Yes! Izi Helmy menarik nafas lega. Duduknya dibetulkan
beberapa kali. Makin teruja untuk menjawab soalan Encik Hairol.
“Okey, rukun islam
dah lepas. Sekarang sebutkan rukun iman pula.”
“Ada enam perkara
iaitu percaya pada Allah, percaya pada malaikat, percaya pada kitab, percaya
pada para rasul, percaya pada hari akhirat dan percaya pada qada’ dan qadar.”
Laju mulut Izi Helmy menuturkan rukun iman seperti diminta Encik Hairol.
Kemudian dia tersenyum bangga.
Alah, soalan kacang
aja. Budak tadika pun boleh jawab! Desisnya riak.
Encik Hairol
menganggukkan kepala. Sengaja dia uji soalan asas dahulu pada anaknya. Soalan
paling susah akan menyusul kemudian. Balik-balik saja dari pejabat, Encik
Hairol menerima kunjungan anaknya yang membawa calon menantu. Budak ni datang
nak bawa calon bukannya nak beritahu. Sabar sajalah.
Kalau bercakap
tentang Aina, gadis yang dibawa anaknya itu, pada penadangan pertama Encik
Hairol rasa manis budaknya, elok rupa paras dan peribadinya. Tapi bukan itu
yang dirisaukan Encik Hairol. Malah dia tidak banyak halangan. Anakya ini yang
membimbangkan. Tidak sabar-sabar Izi Helmy mahu diduga dan diuji Encik Hairol
tahap agamanya. Selesai solat Maghrib, barulah Encik Hairol mengajak anaknya
itu duduk di ruang tamu sementara Aina sibuk membantu Puan Kamisah di dapur.
“Rukun nikah?”
Izi Helmy
tersenyum. Bab ini paling dia suka. Lancar saja dia memberi lima rukun nikah,
bersama dengan syaratnya sekali. Biar Encik Hairol yakin yang dia benar-benar
memegang kata-katanya. Cakapnya untuk berkahwin bukan sekadar mainan kata. Dia
serius. Dia tekad.
“Rukun solat?” soal
Encik Hairol lagi dengan wajah tenang.
Erk! Izi Helmy
terdiam.
“Err...” Bagai
tersekat anak tekak hendak menjawab. Alamak! Bola matanya liar memandang
keliling. Sekejap ke atas, bawah, kiri, kanan, semuanya dipandang untuk mencari
jawapan. Jawapan dalam otaknya juga gagal dicari.
Tidak lama Puan
Kamisah muncul dan mengambil tempat di sebelah Encik Hairol. Lekas Izi Helmy
memandang muka emaknya. Seakan meminta-minta pertolongan. Rukun solat... bukan
dia tidak solat. Cukup solat lima waktu tapi err... dia masih tidak mampu
menjawab soalan Encik Hairol tadi. Soalan Ustaz Kairol pun tidak sepayah ini.
Cuma menyuruh baca doa makan.
Puan Kamisah
terkumat-kamit bibirnya seakan memberikan jawapan. Berkerut-kerut dahi Izi
Helmy cuba memahami bahasa bibir ibunya. Bila Encik Hairol menoleh ke sebelah,
Puan Kamisah pura-pura gigit jari sambil mendongak ke atas.
“Awak ni kenapa
dekat sini? Tinggalkan budak Aina tu seorang dekat dapur?” Encik Hairol menyoal
apabila menyedari tingkah isterinya.
“Tak adalah, bang.
Ni nak ajak makan. Aina dah siapkan meja makan.”
“Ehmm... awak pergi
dulu. Saya dan Izi akan menyusul sekejap lagi.” Arah Encik Hairol sedikit
tegas. Monyok muka Puan Kamisah tapi dia bangun juga setelah diminta buat kali
kedua supaya kembali ke dapur. Sambil berjalan ke dapur, tangannya memberi
isyarat rukun-rukun solat pada Izi Helmy.
“Tak payahlah awak
pula nak mengajar budak ni, Kamisah oi...”
Kelam-kabut Puan
Kamisah ke dapur bila ditegur Encik Hairol. Alamak, terkantoi pula. Encik Hairol
pula menggeleng-geleng kepala. Bukannya dia tidak tahu isterinya cuba membantu.
Sudah terang lagi bersuluh, kata orang. Encik Hairol menghadap muka Izi Helmy
semula. Satu keluhan dilepaskan perlahan. Apa nak jadilah dengan budak ni?
“Kamu ni solatkah
tak?” Terus saja Encik Hairol mengajukan soalan itu. Musykil sungguh dia rasa.
“Eh, solat ayah!”
Pantas Izi Helmy menjawab.
“Habis tu, kenapa
yang payah sangat nak jawab soalan ayah? Rukun nikah bukan main lagi kamu
hafal. Sampai ke syarat-syarat semua kamu bagi.”
“Err... susahlah
ayah, nak terangkan macam ni. Macam sesi temuduga pula.” Izi Helmy memberi
alasan dengan muka yakin. Kalau Izi Helmy tayang mukanya yang berdebar macam
hatinya yang separuh nak meletup ni, nampak sangat dia tak tahu jawapan untuk soalan
Encik Hairol tadi.
“Dah tu, kalau demo
lagi senang, tunjuklah.”
Ha? Izi Helmy
tercengang.
“Ha, Isyak pun dah lama
masuk waktu. Jom solat sekali, kamu jadi imam!” Encik Hairol mengajak lantas
lekas bangun dari duduk. Namun Izi Helmy masih tidak berganjak dari tempat
duduknya bagai sudah melekat punggungnya pada kerusi.
“Tunggu apa lagi?
Marilah.”
“Izi jadi imam?”
Muka Izi Helmy sudah pucat. Inilah kali kedua dia diminta menjadi imam. Kali
pertama ketika belajar agama di sekolah dulu.
“Yalah. Macam mana
nak jadi ketua keluarga kalau jadi imam solat pun tak boleh?” Saja Encik Hairol
menduga anaknya.
“Eh, boleh. Boleh
ayah. Mana pula tak bolehnya.” Serta-merta Izi Helmy menyahut dengan penuh
yakin dan terus bangun mengikut langkah Encik Hairol.
Terdengar suara Encik
Hairol memberitahu Puan Kamisah. Diajaknya pula Puan Kamisah dan Aina solat
berjemaah bersama-sama.
Hohoho! Izi, kau
memang cari nahas! Kalau solat Zohor, tak apalah juga sebab ayah tak dengar
bacaan kau. Ni solat Isyak! Harulah kau kena tegur semua tajwid yang
tunggang-langgang. Dahlah Aina pun akan solat sama. Aduh. Malu besar aku macam
ni! Tidak henti-henti dia mengutuk diri sendiri dalam hati. Sedangkan benaknya
juga tidak putus mengingati niat solat sebagai imam.
Berdebar jantung
bila Encik Hairol terlebih dulu menguji cara dia mengambil wuduk. Diperhatikan
setiap langkah Izi Helmy satu per satu dengan teliti. Fuh, kalau nak jumpa
Ustaz Kairol ketar macam nak tercabut kepala lutut, sekarang berdepan dengan
Encik Hairol lagi haru rasanya. Macam nak tercabut tangkai jantung. Doa selepas
mengambil wuduk yang selama ini dia tidak pernah lupa juga boleh jadi gagap
bila Encik Hairol tiba-tiba menyuruh melafazkannya lebih kuat hingga sampai ke
telinga ayahnya itu. Alahai Aina, susahnya aku nak kahwin dengan kau!
*******
Izi Helmy menjengah
dapur. Selesai solat Isyak tadi tidak nampak langsung bayang buah hati perangan
jantungnya itu. Rupa-rupa tengah sibuk menyiapkan minuman lagi dekat dapur.
Perlahan-lahan dia menginjakkan kaki bila dilihatnya Aina sendirian. Tak nampak
bayang Puan Kamisah bersama Aina. Dalam fikiran sudah merancang mahu menyakat
Aina yang nampak leka membancuh air.
“Sayang buat apa
tu?” Sayup suara itu dibisikkan dari belakang Aina. Lantas Aina yang terkejut
berpaling serta-merta ke belakang. Tambah mengharukan, teko gangsa yang
dipegangnya tadi tercampak ke depan, mengena ke tubuh Izi Helmy.
Prang!
Terkedu Izi Helmy
tiba-tiba. Dia dan Aina sama-sama berpandangan tanpa suara. Lambat-lambat Izi
Helmy pandang ke tubuhnya, dari dada hingga ke kaki mulai rasa perit sedikit
demi sedikit. Saat itu barulah otaknya mampu mentafsir rasa perit yang kian
menjalar seluruh kulit.
“Ouch! Panas!
Panas! Panas!” Dia melompat-lompat sambil mengibas bajunya yang dibasahi air
teh panas. Aina yang panik kerana terperanjat dek sergahan Izi Helmy tadi cuma
mampu terpaku dan tidak tentu arah melihat reaksi Izi Helmy yang dilihat tak
ubah seperti cacing kepanasan.
“Apa bising-bising
ni?” Puan Kamisah segera bergegas dari ruang tamu sebaik mendengar bunyi bising
dari dapur. Puan Kamisah juga terpinga-pinga melihat anak lelakinya
terkitai-kitai tidak keruan. Sekejap, dia berlari ke bilik air yang terletak di
hujung dapur.
“Apa dah jadi ni?
Izi?” soal Puan Kamisah gusar. Baru sekejap dia meninggalkan Aina di dapur
seorang. Sekadar menghantar sepiring kuih kepada suaminya di ruang tamu.
Anaknya tadi sibuk kononnya hendak mengaji selepas solat Isyak. Sekarang pula
dilihatnya di dapur tidak tentu arah macam kera kena belacan. Hairan sungguh.
Puan Kamisah mendapatkan
pula Aina yang terpacak di tepi kabinet. Wajah gadis itu jelas kebingungan.
Tiada siapa boleh menjawab soalan Puan Kamisah sekarang.
*******
Tidak habis-habis
Puan Kamisah menggeleng-gelengkan kepala. Sementara Izi Helmy asyik mengaduh
saja dari tadi bila ubat dicecahkan ke kulitnya yang melecur. Encik Hairol pula
sikit pun tidak tunjukkan kasihan. Suaminya itu sengaja leka membaca surat
khabar pagi tadi.
“Ouch!” Kuat Izi
Helmy menjerit dengan suara garaunya. Berkerut-kerut wajahnya menahan pedih yang
mencucuk-cucuk kulit. “Perlahanlah sikit mak. Sakit...”
“Tahu pun sakit.
Yang kamu pergi sergah anak dara orang tu, siapa suruh? Sendiri cari penyakit.”
Sengaja Puan Kamisah gosok lagi kulit kaki anaknya kuat-kuat. Makin tua makin menjadi
gatalnya. Dekat dalam rumah sendiri, dengan mak ayah dia ni ada dalam rumah ni
pun, dia berani nak tunjuk miang. Ha, padan muka. Dah kena balasannya.
“Ni nasib baik
melecur sikit. Kalau satu badan sampai ke muka-muka, lagi padan muka kamu.”
“Sikit apanya mak.
Separuh badan ni. Tapi nasib baik buah hati Izi ni doktor. Dia sentiasa ada
ubat untuk sakit Izi ni...” Sempat Izi Helmy senyum nakal serentak mengenyit
sebelah mata ke arah Aina yang duduk di sebelah Puan Kamisah, sekadar memerhati
dan membantu sikit-sikit.
“Amboi. Bukan main
merenyam lagi dia!” Tegur Puan Kamisah geram lantas digosoknya lagi kuat-kuat.
Meraung lagilah anaknya itu jawabnya. Puan Kamisah sudah tidak kesah. Malu
mukanya ini depan bakal menantu, yang anaknya ini sikit punya miang-miang
keladi. Sementara Aina menggumam bibirnya rapat-rapat, mahu menahan tawa yang
bisa meletup bila-bila masa.
“Memang dah patut
kahwin budak ni, bang. Dah gatal sangat nampaknya anak kita ni. Aina, malam ni
biar makcik temankan kamu tidur. Risau pula makcik nak biarkan kamu tidur
seorang. Budak ni, bukan boleh percaya sangat. Dah gatal sangat nak berbini!”
Ditekan lagi kaki anaknya lebih kuat untuk melepaskan rasa geram yang berbuku
di hati. Ikutkan marah, mahu saja dicubit-cubit anaknya itu. Tapi dah besar
panjang, dah boleh jadi laki orang pun ha!
“Aduh, mak. Sakit
mak... perlahanlah sikit. Mak tak sayangkan Izi ke?” Merayu-rayu suara Izi
Helmy menahan pedih. Bantal kusyen yang dipeluknya dipegang kuat-kuat. Kalau
boleh digigit, digigit juga. Tapi... ayat Puan Kamisah yang terakhir tadi
memang Izi Helmy suka. Kalau sebab kakinya melecur dah boleh kahwin dengan
Aina, dia rela kena simbah air panas sekali lagi. Memang berbaloi.
“Hmm... sebab
sayang sangat dekat kamu la, kamu jadi macam tu!” Sahut Encik Rahim pula. Surat
khabar yang dibacanya dilipat lalu diletakkan di tepi. Matanya memandang ke
arah Izi Helmy ayng masih dirawat emaknya sendiri. “Kalau mak kamu tu tak
manjakan sangat kamu, kamu taklah jadi lelaki gatal. Miang tak bertempat.
Paling kurang pun, kamu jadi macam anak Uncle Rauf kamu tu.”
Izi Helmy mencemik.
Huh! Ayah bukan tahu perangai Azrai tu macam mana. Dia tu lagilah sampai
sekarang asyik tukar kekasih hati. Tu lagi gatal dan tak setia! Getusnya
sendiri.
“Dah, siap!”
Nyaring suara Puan Kamisah serentak menampar kaki anaknya yang siap dibalut.
“Ouch!” Meraung
lagi Izi Helmy ditimpa tapak tangan Puan Kamisah yang cukup berbisa. Dia tenung
kaki kanannya lama-lama. Muka kelat Puan Kamisah ditenung bingung. “Mak, kaki
Izi melecur aja mak. Bukannya patah. Kenapa mak balut macam kaki orang kena
simen ni mak?” Rungut Izi Helmy kurang puas hati. Balutan Puan Kamisah
dibeleknya dari depan ke belakang, belakang ke depan semula. Memang rasa tebal
macam kena simen!
“Mana mak tahu. Mak
bukannya doktor. Orang dah tolong, banyak cekadak pula dia!” Kali ini penampar
Puan Kamisah hinggap pula ke peha anaknya. Lantas dia bangun meninggalkan Izi
Helmy dan beralih duduk di sofa bersama sang suami.
Alamak! Mak
merajukkah? Izi Helmy tenung muka Aina. Kekasih hatinya itu pula angkat bahu.
Aik! Apa ni? Semua berpakat nak buat Izi Helmy rasa serba salahkah?
“Mak... mak...”
Puan Kamisah tidak endahkan panggilan Izi Helmy walau mendayu mana sekalipun
suaranya. Masak. Silap-silap mak tak bagi kahwin pula nanti!
*******
Izi Helmy duduk
bersandar di atas kerusi rehat, menghadap ke jendela. Jendela itu sengaja
dibuka luas untuk melihat bintang yang bertaburan di dada langit. Satu nafas
panjang dihempas kuat. Encik Hairol sudah lama masuk ke bilik. Puan Kamisah
juga sama, sudah lena agaknya sekatil dengan Aina.
Sunyi. Bintang di
langit juga boleh dibilang dengan jari. Tidak begitu banyak yang sudi menemani.
Kerana bosan, dia mencapai iphone yang setia bersamanya sepanjang masa. Angka
melewati jam satu yang pertama dapat dilihat di atas skrin. Sebuah panggilan
dibuat lalu iphone itu diletak di telinga. Tidak lama menanti, tidak sampai
sepuluh saat panggilan berjawab.
“Helo,
assalamualaikum.”
“Woah! Tak tidur
lagi bro?” Terjah Izi Helmy teruja.
“Hai, orang beri
salam bukannya dia nak jawab. Aku dah tidur dah, kau tu yang kacau aku tengah
mimpi dengan bidadari dari kayangan!” Tempelak Saif Azrai bersahaja. Namun
sebenarnya dia juga tengah termenung di atas katil. Melihat kipas yang berputar
laju di siling tidak mampu bikin matanya lena. Pengalaman diminta Encik Rahim
supaya dia mengetuai bacaan doa ketika kenduri di rumahnya tadi masih
terbayang-bayang di ruang mata. Apatah lagi di depan tok imam surau di taman
tersebut. Ya Allah, malunya muka kalau ada yang tersilap. Gemuruhnya
mengalahkan memikat puluhan wanita. Tiba-tiba-tiba teringat Encik Hairol yang
berlagak bagaikan tok guru garang itu. Entah-entah Encik Rahim, ayahnya Sasha
Amira itu juga sama personalitinya dengan pakciknya itu. Kalau ya, aduh. Tepuk
dahilah jawabnya.
Hajah Kistina pula
sekali lagi malam ini bikin hati Saif Azrai bergetar.
“Mama suka sangat
tengok Sasha tu. Manis, tak banyak cakap, rajin, pandai buat kerja. Memang tak
salahlah pilihan kamu. Mama rasa Puan Damia pun dah berkenan sangat pada kamu.
Insyaallah, adalah harapan tu...” Itu yang Hajah Kistina bisikkan bila sampai
di rumah selepas kenduri tadi.
Yes! Cantiklah kalau macam tu. Kau ingat kau akan menang ke
Izi? Kau ingat kau sorang ada awek
cun, awek bertudung?
Bila teringatkan
wajah Sasha Amira yang dicuri-curi pandang ketika di dapur tadi, hatinya
bergoncang. Kemudian teringat pula reaksi kalut Sasha Amira semasa tidak
bertudung yang lepas dan memori itu membawanya kepada wajah-wajah Sasha Amira
sebelum-sebelum ini. Marahnya, malunya, kalutnya. Ouch!
Saif Azrai dapat rasakan
jantungnya yang kian berdetak kencang. Oh
no! Takkanlah aku dah angau betul dengan dia? Tapi... oh tidak apanya. Aku
dah nak meminang dialah. Tak lama lagi dia jadi milik aku. Ah, tak kesahlah
suka ke tak, itu belakang kira. Yang penting, aku tak akan kalah pada Izi. Itu
yang paling mustahak.
“Yo, bro! Berangan
ke? Berbuih aku cakap tapi orang dekat sana tu macam tak ada respons aja!”
Berderai lamunan
Saif Azrai serta-merta dek sergahan Izi Helmy di telefon. Spontan dia tarik
nafas panjang. Sepupunya itu memang suka kacau daun. Baru saja nak layan blues, tak sempat nak feel sampai habis dia dah kacau.
“Hmmm? Ha,
ahhhhh....” Sengaja Saif Azrai beri reaksi seperti orang mamai tengah tidur.
Untung-untung sepupunya itu faham maksud tersiratnya. Boleh dia sambung melayan
khayalannya tadi.
“Yalah, yalah. Aku
tak naklah kacau orang tengah bermimpikan puteri kayangan yang suaranya merdu
macam buluh perindu tu. Sambunglah tidur kau tu balik. Sambung mim-”
Tit tit tit tit tit
Izi Helmy
tercengang. Skrin iphone segera ditenung dengan kerutan yang jelas di wajahnya.
Aik! Terus putuskan
panggilan? Tak sempatlah aku nak habis cakap. Hampeh punya sepupu! Dia hempas
lagi keluhan entah untuk ke berapa kali. Bosan. Tapi badan letih. Mata ni pula
langsung tak mahu tidur. Teruja sangat agaknya bila Aina beritahu yang mak
ayahnya tiada halangan terhadap hubungan mereka. Itu yang makin berkobar-kobar
dia mahu balik kampung dan diuji pula oleh ayah sendiri. Dia mahu buktikan pada
Encik Hairol yang dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai
seorang suami.
Alamak.. makin susah nak jawab. Dua sepupu ni macam masing2 dah dapat green light. Siapa dulu yang pegang tangan tok kadi dulu pas ni ek
No comments:
Post a Comment