“Kamu betulkah
boleh memandu ni?” Resah Puan Kamisah melihat kaki anaknya. Berjalan pun
terjinjut-hinjut, inikan pula mahu memandu dari sini ke Kuala Lumpur. Ada-ada
saja akalnya mahu merisaukan hati orang tua ni. “Tak bolehkah cuti lama sikit.
Tunggu sehari dua lagi ke. Kamu pun bukannya selalu balik jenguk mak dengan
ayah ni.”
“Bukan Izi tak mahu
mak... tapi Aina ni susah sikit nak dapat cuti. Maklumlah kerjanya
tanggungjawab besar. Esok dah kerja. Takkanlah Izi nak biarkan dia memandu sorang-sorang pula balik ke KL.” Ujar
Izi Helmy, cuba memujuk. Tangan ayah dan ibu dicapainya lalu dicium. Kelat muka
Puan Kamisah membiarkan tangannya disambar anaknya.
“Balik dulu ya
makcik...” Aina juga menghulurkan tangan kepada Puan Kamisah. Puan Kamisah cuba
untuk tersenyum walaupun masih nampak tawar.
“Baik-baik jalan.
Ada masa singgahlah rumah makcik ni lagi ya,” pesan Puan Kamisah seraya menarik
Aina masuk dalam rangkulannya. Mesra Puan Kamisah memeluk Aina sedang Encik
Hairol dan Izi Helmy hanya memerhati.
“Alah mak, nanti
dah jadi menantu mak bolehlah mak tengok dia selalu.” Seloroh Izi Helmy
selamba. Hampir tersembur tawa Puan Kamisah yang hampir menangis mahu
melepaskan mereka balik ke Kuala Lumpur. Bagai tidak puas dia melepaskan rindu
pada anak sendiri. Untuk menatap dan mengenali bakal menantu sendiri pun seakan
tidak puas. Tidak puas merasai punya anak perempuan di rumah, yang sama-sama
membuat kerja dapur bersama. Pipi Aina diciumnya mesra dan Aina hanya membiarkan.
“Tak acinya, mak.
Dengan Izi mak tak mahu ke peluk cium?” Sakat Izi Helmy lagi. Bukan ciuman yang
dia dapat, tapi tapak tangan Puan Kamisah yang terlebih dulu melebar ke
lengannya. Ouch! Serta-merta rasa perit namun dia masih tersengih nakal. Tidak
lama, tubuhnya juga dipeluk erat oleh Puan Kamisah.
“Kalau ada masa,
cutilah lama sikit. Tak pun kerja aja dengan ayah. Dah lama kamu belajar dekat
syarikat Uncle Rauf tu. Kalau kamu
kerja dekat sini kan boleh mak tengok anak mak ni selalu.” Sayu suara Puan
Kamisah menyusun kata sebaik meleraikan pelukannya. Air mata yang tidak
semena-mena menitis dikesat laju-laju dengan hujung lengan baju. “Ayah kamu pun
mesti perlukan penolong. Siapa lagi yang nak mewarisi kerja ayah kalau bukan
kamu. Kan bang,” sambung Puan Kamisah beralih kepada Encik Hairol di belakang.
“Awak ni cubalah
bawa bersabar. Kalau budak berdua ni kahwin nanti pun, takkanlah Izi nak kerja
dengan saya sedangkan Aina dekat KL. Dah tentulah dia tetap akan kerja dengan
Abang Rauf tu nanti.”
Tambah kelat muka
Puan Kamisah menerima jawapan itu. Wajahnya dipalingkan semula ke arah Izi
Helmy. “Kalau pun nak kerja dekat KL tu, selalu-selalulah balik jenguk mak
dekat sini. Tak pun telefon. Sekarang ni macam-macam teknologi ada kan.”
“Yalah, mak. Izi
akan ingat pesan mak tu. Lepas ni Izi janji, Izi akan hubungi mak selalu.
Betul, tak tipu!” Janjinya sambil mengangkat tangan separas bahu, seakan
mengangkat sumpah.
“Ish, budak ni.
Orang serius, dia main-main pula.”
Berderai tawa Izi
Helmy bila tangan Puan Kamisah sekali lagi laju hinggap ke tubuhnya.
“Okeylah mak. Kami
jalan dululah ya mak,” kata Izi Helmy sebaik tawa mereka reda. Wajah Aina
dipandang sebagai memberi isyarat. Aina sekali lagi tersenyum dan tunduk hormat
kepada Puan Kamisah dan Encik Hairol sebelum memboloskan diri ke kereta. Kereta
yang dipandu Aina mengekor Izi Helmy dari belakang.
Pin!
Nyaring bunyi hon
seraya Puan Kamisah melambaikan tangannya kepada anak serta bakal menantunya.
Diperhatikannya hingga mereka hilang dari pandangan. Hmm... satu nafas halus
dilepas perlahan selepas bayang mereka tenggelam.
“Sudahlah tu
Kamisah. Awak ni tiap kali budak tu balik, awak tayang muka sedih awak tu. Buat
galat aja budak tu nak balik KL. Cubalah kuatkan sikit hati tu. Budak tu nak
jalan jauh.” Encik Hairol menegur. Faham benar dia akan perubahan di wajah
isterinya itu. Bila anak itu di depan mata, ditatangnya bagai minyak yang
penuh. Kalau kita ini menegur, dibelanya budak itu. Bila berjauhan, begitulah
mukanya. Sekejap lagi monyoklah dia sehari dua hingga dengan kita ni pun tak
mahu bertegur sapa.
*******
“Tak aci betullah
macam ni. Memang betul-betul tak adil...”
Geli hati Aina
mendengar rungutan Izi Helmy dari tadi. Baru seminit mereka meninggalkan rumah
Encik Hairol dan Puan Kamisah, Izi Helmy sudah menghubunginya. Belum pun
sekilometer mereka pulang. Telinga Aina pula asyik ditadah dengan rungutan Izi
Helmy yang sungguh tidak puas hati dengan bapanya sendiri.
“I yang bawa you
jumpa mak dan ayah I tapi I pula yang kena uji lebih-lebih. You senang aja kan.
Tak kena apa-apa pun. Pergi rumah you, I juga yang kena soal. Anak ke berapa,
mak ayah dekat mana, bla bla bla. You, mak ayah I tak tanya apa-apa pun.”
“Mana you tau I tak
kena tanya? You skodeng ya?”
“Tak adalah. Sebab
I ada psikik lepas I kena mandi teh panas semalam, dah tentulah I tahu.”
Selamba Izi Helmy membidas sekaligus mengundang tawa Aina yang tidak mampu lagi
menahan lucu. Bila diimbas peristiwa semalam, menggetar rasa perut ni menahan
tawa yang menjolok-jolok. Sebab itulah Lancer yang dipandu Izi Helmy serupa
orang lesen L. Agaknya kaki dia sakit lagi kut! Tebak Aina dalam hati.
“Dahlah melecur
satu badan, subuh tadi pun kena imamkan solat juga. Aduh, teruk I kena. Ayah
you yang ustaz tapi ayah I tu lagi dahsyat daripada ayah you.” Rungutnya lagi.
“Emm... orang
perempuan apa yang nak diuji? Orang lelaki kan nak jadi ketua keluarga. Dah
tentulah nak diuji kemampuan dia memimpin keluarga.”
Terdiam Izi Helmy
mendengar syarahan pendek buah hati ulam jantung. Kalau dah buah hati kata begitu,
dia akur. Aci tak aci tolak ke tepi. Tiba-tiba teringat akan kata-kata Encik
Hairol semasa menghantar mereka pulang tadi.
“Kalau budak berdua
ni kahwin nanti pun, takkanlah Izi nak kerja dengan saya sedangkan Aina dekat
KL.”
Dengar cakap Encik
Hairol tadi, macam ayahnya sudah setuju membenarkan dia berkahwin dengan Aina. Adakah
itu tandanya yang Encik Hairol mengizinkan dia berkahwin? Yes! Yes! Yesss! Bergegar tempat duduk bila dia bersorak gembira.
Jari tiba-tiba menekan punat radio. Berkumandang lagu Backstreet Boys menghiasi
ruang kereta. Tanpa segan silu dia ikut menyanyi sama.
Aina yang mendengar
semuanya dari corong telefon tertawa seraya menggeleng-geleng kepala. Lupa
agaknya dia yang mereka masih atas talian. Atau sengaja lelaki itu mahu menghadiahkan
lagu itu untuknya, Aina sendiri tidak pasti. Namun dia juga tidak berniat untuk
memutuskan talian dan mendengar setiap butir kata yang keluar dari mulut lelaki
itu.
*******
Mesra Sasha Amira
memeluk Suhana Azreen. Ikutkan rasa tidak mahu dilepaskan tubuh itu. Rindu
dengan Along yang menebal masih belum terubat akan kepulangan Along yang begitu
singkat. Borak-borak dengan Along semalam sampai pagi pun tidak puas.
Puan Damia yang
melihat kemesraan anaknya hampir menangis. Hati ibu ini lagilah sedih
mengenangkan anak-anak semuanya jauh belaka. Jarang balik menjenguk kita pula
tu. Namun dalam sedih, ada gembira. Kerana kemesraan itu, Puan Damia yakin plan
Bnya pasti berjalan dengan lancar.
“Along kena pergi
ni dik. Nanti budak-budak balik sekolah. Tak sampai hati Along nak biarkan dia
orang makan nasi bungkus aja...” ujar Suhana Azreen cuba meleraikan pelukan
Sasha Amira. Kuat rangkulan adiknya itu. Memang begitulah dia dari kecil hingga
sudah besar panjang sekarang.
Sejak dari kecil,
mereka berdua sangat rapat walaupun jarak mereka agak jauh. Pergi sekolah
bersama, balik sekolah pula Suhana Azreen akan menunggu Sasha Amira di luar
pagar sekolah adiknya itu. Tidur pula Sasha Amira tidak mahu berenggang dengan
Suhana Azreen. Sampai sekolah menengah,walaupun Encik Hairol sudah mengubah
suai rumah ini untuk diberikan mereka bilik sendiri, Sasha Amira enggan tidur
sendiri. Bila Suhana Azreen berkahwin dan punya anak, berebut pula kasih sayang
Suhana Azreen dengan anak-anak saudaranya. Hai, macam budak kecil.
“Bila Along akan
balik lagi?” Terlepas juga rangkulan Sasha Amira bila dipujuk beberapa kali.
Matanya sudah bengkak kerana teresak-esak menangis sejak tadi.
“Adik janganlah
menangis macam ni. Macamlah Along ni pergi jauh sangat. Tak mahu macam ni.
Buruk.” Suhana Azreen memujuk sambil menyeka air mata Sasha Amira dengan
jarinya.
Esakan Sasha Amira
ditahan-tahan. Bukannya dia sengaja menangis hingga bengkak mata mahupun kering
kolam matanya. Tapi itu semua spontan dek rasa sedih yang melampau. Dulu setiap
masa dengan Along. Sejak Along kahwin dan berpindah ke Utara beberapa tahun ni,
jarang dapat jumpa Along. Telefon pun jarang. Orang tu asyik sibuk memanjang.
Macam dah lupa dekat adiknya ni. Mentang-mentanglah Alongnya itu sudah ramai
teman hidup. Abang Mazlan, Haikal dan Ariel. Kita dekat sini juga yang
kesunyian.
“Kahwinlah dik.
Umur kamu ni dah cukup sangat nak kahwin. Tak adalah kamu rindu sangat-sangat
dekat Along.” Tiba-tiba Suhana Azreena berkata begitu. Itu pesanan Puan Damia
setiap kali menelefonnya. Beberapa hari lepas, Puan Damia baru telefon. Seperti
biasa, disuruhnya Suhana Azreen pujuk Sasha Amira agar adiknya itu terbuka hati
hendak berkahwin. Terbeliak mata Sasha Amira jadinya.
Eh, Along ni. Macam
psikik pula dia boleh baca fikiran orang. Getusnya kurang senang akan perkataan
kahwin yang dicadangkan Alongnya itu.
“Kisah lama tu
lupakan aja dik. Dia dah bahagia agaknya sekarang. Kamu kena juga cari
kebahagian sendiri.”
“Nanti Along sampai
Kedah, telefon tau.” Pantas Sasha Amira memotong cakap Suhana Azreen. Tidak
sanggup lagi telinganya mendengar tentang kahwin, juga tentang lelaki yang
telah merobek hatinya dulu. Dia pula yang menolak tubuh Suhana Azreen ke
kereta. Kemudian tangan Suhana Azreen cepat disambar dan dikucup laju-laju.
“Along jangan lupa
telefon tau!” Pesannya lagi lalu lalu berlari masuk ke dalam rumah.
Gundah gulana hati
Suhana Azreen melihat perubahan adiknya itu. Bila dicakap tentang cinta,
begitulah dia. Bagai fobia benar dia tentang ungkapan itu. Wajahnya dipalingkan
ke arah Puan Damia bila bahunya terasa disentuh orang tua itu.
“Kamu ingat pesan
mama kan?”
Soalan Puan Damia
membuatkan Suhana Azreen mencari-cari memori semalam. Pesanan Puan Damia semasa
sibuk mengemas lepas kenduri semalam. Wajah gusar ibunya dipandang lama. Hati
tua itu pasti lebih resah kerana terpaksa berdepan dengan adiknya itu saban
hari.
“Mama bukan suka
nak memaksa-maksa. Kamu sendiri tengok perangai dia, kalau macam ni terus macam
mana?”
Lambat-lambat
Suhana Azreen mengangguk. “Insya-Allah, ma. Along akan cuba. Along balik dulu,
ma. Kirim salam pada papa nanti ya.” Tangan Puan Damia dicapai sebelum Suhana
Azreen duduk di tempat pemandu.
“Pandu kereta tu
hati-hati. Kirim salam juga dekat suami dan anak-anak kamu.” Sempat Puan Damia
menyampaikan pesanan sebelum anaknya memandu perlahan meninggalkannya. Puan
Damia tidak terus masuk ke dalam. Dia berpaling sekejap memandang rumahnya dari
luar. Mendongak ke atas ke arah bilik Sasha Amira di tingkat dua. Nafas dalam
dihembus perlahan seraya menghayun langkahnya ke laman. Pokok-pokok bunganya
dibelek bagi meredakan hati yang bergetar.
No comments:
Post a Comment