Puas Sasha Amira
berfikir sejak semalam. Setiap patah nasihat Intan Nazira mahupun arahan tegar
Puan Damia terus terngiang-ngiang di telinga. Pagi tadi berkejar dia
mendapatkan Encik Rahim dengan harapan papanya itu mampu memujuk dan mengubah
keputusan mama. Tapi hampa bila papa juga berkehendakkan yang sama.
“Papa ni sebenarnya
bukan setuju sangat dengan cara mama kamu tapi kamu fikirlah sendiri Sasha.
Selagi kamu belum berkahwin, kamu tu tanggungan papa, tanggungjawab papa. Papa
bertanggungjawab untuk mengahwinkan kamu. Bukan bermaksud papa suka-suka nak
lepaskan tanggungjawab papa ni pada lelaki lain. Tapi kamu dah cukup besar
panjang. Umur kamu makin hari makin meningkat tua, bukan makin muda.” Ujar
Encik Rahim semasa menjamah roti bakar yang disediakan Puan Damia. Puan Damia
awal-awal sudah larikan diri ke dapur. Sibuk mengemas pinggan mangkuk yang
dicucinya malam semalam. Kepala anak bongsunya diusap perlahan, sekadar
memujuk. Tidak mahu dibebani lagi budak itu dengan kekerasan mahupun ketegasan.
“Pilihan mama kamu
tu pun bukannya budak jahat. Baik papa tengok budaknya. Boleh memimpin doa,
bolehlah tu kiranya memimpin anak papa ni. Kamu ikut ajalah cakap mama kali ni.
Jangan lagi ungkit hal nak minta dibatalkan pernikahan ni. Malu papa pada Haji
Rauf nanti. Bukan takat pada Haji Rauf, pada saudara mara yang mama dah beritahu
pasal kamu bakal bernikah ni pun kita akan malu satu keluarga.”
Luluh rasa hati
Sasha Amira bila mendengar kenyataan itu. Pantas betul tindakan mama. Saudara
mara juga sudah diberitahu sedangkan anaknya sendiri ini, yang hendak
dinikahkan ini tidak diberitahu terlebih dulu. Bukan setakat itu sahaja, kad
jemputan, perancang perkahwinan, semuanya siap mama tempahkan. Makin serba
salah Sasha Amira sekarang.
Cincin yang tersarung
di jari manisnya ditenung lama. Dipusing ke kiri dan ke kanan jarinya. Ikutkan
hati tidak ingin dia sarung cincin itu ke jari sebagai tanda menerima keputusan
mama. Tapi sekali lagi hatinya tersepit dek panahan kata-kata mama.
“Puas hati ke dah
pujuk papa kamu tadi? Apa kata papa kamu? Setuju nak ikut cakap kamu untuk
batalkan tarikh nikah?” Bertalu-talu peluru mama lontarkan pada Sasha Amira
sebaik dia turun dari bilik untuk ke kolej tadi. Kemudian kedengaran suara mama
merengus geram. Makin tegas nampaknya mama.
“Cubalah reti ikut
cakap orang tua ni. Jangan ikut kepala kamu aja. Dari besar sampai ke tua puas
dah mama dan papa ikutkan kata kamu. Kamu bercinta masa sekolah dulu, ada mama
larang? Salah mamakah yang kamu kecewa dengan dia dulu? Lepas tu,
bertukar-tukar kolej, bertukar course
pun papa kamu ikutkan aja. Ada papa bising? Semua kata kamu papa ikutkan. Tapi
dalam soal ni, tak boleh ke kamu pula yang ikut cakap kami? Kamu jangan harap
mama dan papa nak ikut cakap kamu. Kami ni bukan maksud tak mahu tengok kamu
berjaya tapi bukan diploma tu yang kami harapkan. Semua orang tua cuma nak
tengok anak mereka bahagia. Kahwin sebelum mereka ni tutup mata. Jadi legalah
rasa beban di bahu ni bila tengok tanggungjawab sebagai mak ayah dah tertunai
bila anak-anak semua dah kahwin dengan pasangan yang baik-baik. Bertahun-tahun
mama beri tempoh, bukan setakat dua tiga bulan sampai hari jadi kamu tahun
depan ni aja. Mama tahulah bukan senang nak bina satu ikatan tapi mama dulu
makan garam dari kamu, mama lebih tahu dan arif dari kamu. Kalau dah kamu
sendiri yang tutup hati terus dari menerima mana-mana lelaki, macam mana nak
terbentuknya satu hubungan? Cuba kamu beritahu mama sikit kalau kamu rasa mama
ni jahil sangat.”
Tergamam Sasha
Amira yang ketika itu sedang menyarung kasut ke kaki. Tebal muka bila mama
berleter panjang lebar di depan muka pintu. Malu rasanya kalau jiran sebelah
rumah ada yang terdengar. Bila dihulur tangan untuk bersalaman dengan mama,
mama tidak menyambut. Sebaliknya cincin yang mama tunjukkan semalam mama
sarungkan ke jarinya laju-laju.
“Pemberian orang
ni, pandai-pandai hargai sikit. Kalau tak nak pakai dua-dua, pakai satu cukup.
Esok-esok kalau dia nampak kamu tak pakai cincin ni, apa pula kata dia nanti.
Jagalah hati orang juga, jangan pentingkan hati sendiri aja.”
Akhirnya Sasha
Amira hempas nafas halus. Jari-jemari kanannya terus bermain dengan cincin emas
18 karat bertatahkan 12 butir berlian yang tersusun kemas di atasnya di jari kiri.
Layakkah dia memakai cincin ini, dia tidak pasti. Dia lagi hairan mengapa
lelaki bernama Saif Azrai itu bersetuju untuk mengahwininya. Dia bukannya
istimewa. Bak kata mama, belajar tak pernah habis. Pandai memasak, pandai
mengemas itu semua dusta. Sasha Amira mengaku dia tidak mahir melakukan semua
kerja itu. Apa yang dipandang Saif Azrai pada dirinya? Kenapa lelaki itu
melamarnya? Mungkinkah sebab keluarganya juga memaksa?
“Good afternoon...” Sapaan Intan Nazira
langsung tidak diendahkan. Sasha Amira masih leka merenung cincin di jari.
Intan Nazira dan
Zaimah sama-sama sudah ambil tempat sebelah-menyebelah. Sekilas Intan Nazira menoleh
ke arah Sasha Amira. Dia nampak Sasha Amira termenung lalu dibiarkan saja.
Tidak lama dia berpaling semula.
“Wah! Cantiknya!”
Pujinya teruja sambil memanjangkan leher untuk menjengah cincin di jari Sasha
Amira. Ketika itulah Sasha Amira baru tersedar akan kehadiran kawannya itu di
sebelah. Kemudian datang pula muka Zaimah yang turut sama membelek tempat yang sama.
Riak terpegun dua kawannya itu dibiarkan saja. Sebaliknya jarinya pantas
ditarik dan disorok ke bawah meja.
“Eh, alah...
tengoklah. Tak puas tengoklah.” Suara Zaimah kedengaran hampa. Melihat reaksi
Sasha Amira yang tidak peduli, Zaimah hempas bahu ke bawah menunjukkan rasa
kecewa.
“Itu ke cincin dia
pinang kau?” soal Intan Nazira tiba-tiba sambil menampar lengan Sasha Amira
sekali. Zaimah yang tadinya hampa sekali lagi tunjukkan minat bila terdengar
soalan Intan Nazira. Laju saja mulutnya menyampuk.
“Pinang? Siapa
pinang siapa?”
“Untung kau Sha.
Kaya bakal suami kau tu. Kalau aku dapat berlian tu sebiji pun jadilah.” Sahut
Intan Nazira mula berangan-angan sekaligus membiarkan saja soalan Zaimah tadi
tidak berjawab. Faham-fahamlah dia nanti. “Kalau aku jadi kau, memang aku tak
tolak tuah dah. Aku ikut aja cakap mama. Tu dah pakai tu maknanya dah setujulah
kan.”
Berkerut dahi Sasha
Amira merenung muka Intan Nazira yang tersengih-sengih di sebelah. Hai budak
ni. Dia pula yang lebih-lebih. Aku tengah stres, serba salah ni tahu tak?!
“Kau cakap
senanglah. Aku yang nak terima ni rasa perit.” Sasha Amira luahkan juga rasa
yang masih belum rela menerima kenyataan bulat-bulat.
“Ni, apa ceritanya
sebenarnya? Aku tak fahamlah.”
“Kau duduk
diam-diam dan dengar aja baik-baik. Nanti kau tahu!” Arah Intan Nazira kepada
Zaimah. Mengangalah mulut kawannya itu kerana tidak faham. Muka Intan Nazira
dan Sasha Amira ditenung silih berganti. Seorang ceria semacam, seorang lagi
mencuka saja wajahnya.
Baru saja Intan
Nazira buka mulut, Encik Saiful sudah masuk ke dalam kelas. Terbantut rasanya
mahu menyambung hujah semalam kalau Sasha Amira masih keras hati tidak mahu
meneruskan perkahwinan dengan jodoh pilihan mamanya.
“Emm... kita
sambung lepas kuliah la.” Bersahaja kata-kata Intan Nazira atur lalu duduknya
dibetulkan semula untuk menghadap ke depan kuliah. Sedangkan Sasha Amira
diam-diam menarik tangannya dari bawah meja dan dibelek cincin itu lagi dari
jauh. Mengeluh lagi bila difikir-fikir. Dia memang sepatutnya tak layak
menyarung cincin itu kan? Saif Azrai tak mungkin dapat terima dirinya yang
sebenar seperti mana dia tidak rela untuk hidup bersama dengan lelaki itu kan?
Dia masih bertanyakan soalan yang sama.
No comments:
Post a Comment