“Ha! Sambung balik
cerita kita tadi.” Terjah Intan Nazira serta-merta sebaik Encik Saiful keluar
dari kelas. Lengan Sasha Amira ditepuk minta perhatian. “Eh, cuba kau cerita
dari awal. Macam mana kau boleh tak dapat nak tolak pinangan orang tu sampai
dah tetapkan tarikh nikah segala?”
Mencemik muka Sasha
Amira mendengar soalan itu yang keluar dari mulut Intan Nazira. Hampir menangis
dia dibuatnya. Ikutkan hati tidak mahu dia ingat-ingat lagi. Tapi selagi dia
dipaksa kahwin dengan Saif Azrai, kenyataan itu tidak mampu ditolak lagi. Memang
itulah puncanya.
“Dulu Abang Razi,
nak masuk line pun tak sempat kau dah
reject. Pilihan mama kau, dah berapa
orang yang tolak. Ada yang masuk meminang pun kau dengan bangganya menolak. Ni
yang aku hairan benar ni. Plan apa
pula yang mama kau pakai kali ni?”
Ish, aku ni lagi
hairan dengan perangai kau ni Intan. Kau ni sebelahkan siapa sebenarnya? Nak
tolong akukah nak puji mama aku? Getus Sasha Amira hanya dalam hati. Mahu saja
dia hemburkan semua tapi bila difikir dua tiga kali tiada gunanya. Tiada faedah
yang dia dapat dari berbalah tidak habis-habis. Siapa pun yang betul, siapa pun
yang disebelahkan kawannya itu, yang pasti sekarang mama yang menang. Sudahnya
dia yang tersepit.
“Tak tahulah plan
apa. Agaknya betullah mama yang rancang semua ni. Along suruh aku tolong jaga
anak dia masa dia sakit minggu lepas. Tapi bila aku sampai sana aku tengok
Along elok aja sihat walafiat. Entah-entah mama yang rancang supaya aku jauh
dari dia. Bolehlah mama terima aja pinangan orang masa aku tak ada. Lepas tu
siap tetapkan terus tarikh nikah. Dua bulan aja lagi, Intan. Tak sampai dua
bulan pun lagi. Tak acilah macam ni sedangkan mama aku kan janji nak bagi aku
peluang sebelum sampai umur aku 30 tahun. Masa banyak lagi!” Muram muka Sasha
Amira. Sepanjang hari ini tidak mampu dia mahu ukir senyum. Lawak lucu Encik Saiful
yang ada saja ideanya bikin suasana kelas riuh setiap kali dia masuk pun dia
tidak masuk campur hari ini. Stres! Stres makin terasa bila melihat cincin di
jari.
“Hebat mama kau!”
Jujur Intan Nazira memang tabik pada Puan Damia. Macam-macam akal yang
berlegar-legar dalam benak wanita itu supaya anaknya yang keras hati ini mahu
berkahwin. Terpaksa memaksa, itu bukan lagi soalannya. Huish, kalau mama Intan
Nazira begitu orangnya, memilih calon pun bukan yang sebarangan, takkan Intan
Nazira berhati batu macam Sasha Amira. Tidak payah dipaksa, dia memang rela.
Kaya, mesti kerjanya bagus. Rupa, emm... tidak pernah pula dia lihat. Tapi, ah
kalau dah kerjanya elok, orangnya baik rupa tu dah jatuh tangga terbawah.
“Kalau aku cakap ni
kau jangan terasa pula. Kau ni yang selalu tolak tuah, Sha. Selalu tolak jodoh.
Kalau aku jadi kau, kalau mak aku nak jodohkan aku dengan orang baik-baik dah
lama aku terima. Lar ni, kau tak dapat nak tolak lagi maknanya memang dialah jodoh
kau. Terima ajalah kenyataan Sha. Tak payahlah nak monyok-monyok, serabutkan
kepala otak kau tu dok fikir nak lari ke nak batalkan ke tarikh nikah yang mama
papa kau dah setuju dengan mak ayah lelaki tu. Nanti bukan setakat dapat malu,
takut-takut nanti tak ada orang lagi yang nak meminang kau. Aku bukannya nak
burukkan mulut sesiapa. Tapi mulut orang Sha, kita tak tahu. Kau nak ke jadi
anak dara sampai ke tua? Takkan tak kesiankan mama dan papa kau. Mana ada mak
ayah yang rela tengok anak mereka jadi andalusia Sha.” Berjelar Intan Nazira
menyambung nasihatnya semalam agar dapat menasihati kawannya itu. Sampai semput
rasanya. Tapi entahkan dengar entahkan tidak Sasha Amira pada nasihatnya tadi.
Tengok mukanya macam tak ada perasaan. Nasib baiklah Zaimah ada sibuk
menyampuk.
“Betul. Betul.
Betul.” Sokong Zaimah yang dari tadi cuba menjadi pendengar setia. Sudah macam
bunyi dalam animasi Upin Ipin pula. Masa kuliah Encik Saiful tadi ada juga dia
cungkil cerita sikit-sikit daripada Intan Nazira. Tak faham banyak, sikit-sikit
tu jadilah.
“Mama kau tu nampak
aja macam mendesak tapi sebenarnya sebab dia sayangkan anak dara dia ni, tak
mahu kau jadi anda... anda apa tadi? Andalusia? Ha, sebab tulah mama kau buat
semua ni. Lagipun betul kata Intan. Kalau aku pun mak aku nak jodohkan aku
dengan orang baik-baik, kerjanya pun baik, aku terima aja. Tapi kalau boleh aku
nak juga rupanya tu mesti handsome,”
tambah Zaimah sambil syok sendiri membayangkan wajah lelaki idaman dalam kotak
fikirannya.
“Aku ingat lagi
ustaz aku ajar dulu, tak baik lawan cakap mak ayah. Berdosa besar tau. Apatah
lagi kau nak aibkan mereka.”
Huhu. Tentang tu,
Sasha Amira pun tahu. Zaimah ni pun...
“Macam aku cakap
semalam, Sha. Kalau kau tengok drama Melayu pun mana ada mak ayah yang gembira bila
pengantin hilang masa hari kahwin. Jangan kata drama Melayu, cerita lain pun
ada. Inggeris, Korea, ha, apa lagi? Tak adanya dia orang nak gelak suka hati
lepas dimalukan. Ni kalau kau tak lari pun masa nikah, kau nak batalkan sebelum
nikah, mama papa kau juga yang malu. Eh, aku pun tak tahulah berapa banyak kali
aku dah cakap pasal hal malu ni. Pendek kata soalnya memang malulah kalau kau
tetap nak putuskan juga. Kalau kau teruskan dengan hati tak rela pun, kau juga
yang merana. Baik kau relakan ajalah Sha. Anggap dan yakin ajalah yang dia
memang jodoh kau. Ha, kalau tak yakin juga buatlah solat istigharah ke minta
petunjuk dari Allah.” Fuh! Sekali lagi Intan Nazira tarik nafas bertalu-talu.
Semput bercakap macam keretapi ni.
“Dah habis dah? Dah
habis dah bersyarah?”
Tercengang Intan
Nazira dan Zaimah bila Sasha Amira pula bertanya begitu. Orang nasihatkan dia
sebab risaukan dia, kita pula yang macam disindirnya.
“Ek eleh, kau tak
payahlah nak sindir aku macam tu pula Sasha. Aku bukannya nak bersyarah. Aku ni
cuma nak bagi pendapat dan nasihat aja sebagai kawan kau dunia akhirat tau.
Hei, Zemah. Kau tengok kawan baik kau ni. Kita nak bagi nasihat bukannya nak
dengar. Kita pula yang diperli-perli!” Bentak Intan Nazira kurang senang lalu
lengan Zaimah yang berisi itu dilayang tapak tangannya sekali. Bulat mata
Zaimah menahan perit penampar Intan Nazira. Tapi muka Sasha Amira pula yang dicerlungnya.
“Assalamualaikum.”
Serentak mereka
bertiga menoleh ke arah suara yang memberi salam. Serentak juga Intan Nazira
dan Sasha Amira hempas nafas halus sementara Zaimah cuma tercengang lagi.
“Aduh Azam, kalau
kau datang sini sebab idea gila kawan aku ni dulu, aku minta maaflah Azam. Aku
dah beritahu dulu yang kami tak akan gunakan idea gila tu,” Intan Nazira
terlebih dulu bersuara sambil memaut bahu Zaimah yang duduk di sebelahnya. Idea
gila siapa lagi kalau bukan idea Zaimah yang mengheret Kairel Azam ketika itu
untuk dijadikan teman lelaki palsu Sasha Amira.
“Sekarang ni
lagilah tak boleh sebab dah ada yang masuk meminang kawan aku ni.” Kali ini
bahu Sasha Amira pula dipagutnya. Selamba Intan Nazira bersuara. Sasha Amira
yang mencerlung mata memandang Intan Nazira yang petah sangat bercakap depan
Kairel Azam. Kalau boleh dia tidak mahu hebohkan hal itu. Agghhh... makin stres
jadinya.
“Tak. Jangan salah
faham. Aku mencelah ni pun sebab nak ucap tahniah.”
“Tahniah? Tahniah
pasal apa? Untuk apa?” Cepat Intan Nazira memotong cakap Kairel Azam.
Berdas-das pula soalannya diajukan.
“Aku dengar tadi-”
Laju Intan Nazira
menerjah ke arah Kairel Azam dan menutup mulutnya. Dia pandang keliling. Nasib
baik tiada orang lain dalam kelas itu lagi melainkan mereka berempat. “Aduh.
Silap betul kita borak pasal hal dalam kelas ni. Sorry la Sasha. Aku tak sengaja nak mulakan tadi. Ingatkan tak ada
orang nak pasang telinga.” Selamba Intan Nazira beri alasan sebaik meleraikan
genggamannya yang menutup mulut Kairel Azam. Tapak tangannya ditumbuk
berkali-kali mengikut rentak tuturnya. Kemudian muka Kairel Azam dipandang
dengan renungan tajam.
“Apasal kau tak
keluar lagi, macam budak-budak lain? Apasal nak pasang telinga? Eh, ni yang aku
tak gemar ni. Kalau pun kau dengar apa kita orang cerita tadi, kau jangan nak
hebahkan cerita ni pada sesiapa. Ini cerita rahsia kita orang bertiga. Ada
faham?” Jari telunjuk dihala ke depan muka Kairel Azam dengan riak wajah
bengis. Sengaja nak takut-takutkan budak kaca mata tebal itu. Kalut Kairel Azam
mengangguk sambil membetulkan bingkai cermin matanya.
“Kalau faham, kau
boleh blah sekarang.” Lurus telunjuk Intan Nazira hala ke arah pintu. Mukanya
dikeruhkan lagi untuk menakutkan Kairel Azam. Tanpa banyak soal Kairel Azam
cuma mengikut kata dan laju kakinya melangkah meninggalkan kelas itu. Intan
Nazira bercekak pinggang memerhati dari belakang.
“Wei, apa hal kau
garang sangat dengan dia tu. Kesian dekat dia tau!” Bela Zaimah setelah dia
tercengang saja sejak awal kedatangan Kairel Azam tadi. Makin tergamam dia tadi
melihat tindakan Intan Nazira yang tidak pernah-pernah garang tiba-tiba saja
nak tunjuk ala-ala samseng depan Kairel Azam. Intan Nazira yang sudah duduk
semula di tempat duduknya tadi dipandang enteng.
“Ihhh... aku kalau
nampak muka dia aja aku rasa geram. Bukan sebab dia tu nurd ke apa, tapi sebab tak boleh nak lupa idea gila kau tu.
Bengang betul aku dengan kau tau. Macam-macamlah idea kau nak fikir
cadangan-cadangan kurang bernas kau tu.”
“Apasal dengan aku
pula. Kau tu yang kepoh sangat bercakap kuat-kuat pasal hal Sasha tu dalam
kelas tak apa? Ha, nasib baik tak ada orang lain yang dengar. Kalau tak kan dah
kecoh satu kelas pasal kawan kita ni dok dilema nak terima pinangan orang.”
Pot! Pet! Pot! Pet!
Mereka berdua berbalah. Sasha Amira juga yang sudahnya mengehmpas keluhan
halus. Dalam diam dia bangun dan meninggalkan dua kawannya itu yang bertekak
berdua di situ. Sikit pun mereka tidak perasan yang kawan mereka yang seorang
ini sudah lesap.
No comments:
Post a Comment