Terkiput-kiput
Sasha Amira duduk. Rasanya tadi dia duduk di kerusi yang lain. Awal tadi dia
duduk di tempat pemandu tapi sekarang... Matanya dihalakan ke luar jendela,
lebih rela dia memandang keluar dari memandang ke sebelah.
Jauh Sasha Amira
memandu hari ini setelah habis kuliah. Dari Seri Kembangan dia terus melalui
Lebuhraya Sungai Besi hingga ke Damansara, meredah kesesakan jalan beberapa kali
pun dia tidak kesah. Sengaja dia mahu buang masa untuk melengahkan masa.
Ikutkan hati malas dia mahu pulang ke rumah kerana hari ini dia terpaksa
mengikut Puan Damia pergi ke butik pengantin untuk mengukur pakaian.
Hatinya masih belum
rela untuk berkahwin walau puas dia berfikir berjuta kali. Telinganya sudah
cukup sesak diasak suara tegas mama dan nasihat Intan Nazira mahupun Zaimah.
Papa tidak lagi bersuara kerana tetap sibuk dengan urusan kerja seperti biasa.
Tapi Sasha Amira yakin jawapan papa tetap sama. Tiada apa yang dapat mengubah
jawapan papa apatah lagi mama.
Suhana Azreen
langsung tidak dapat dihubungi. Bagai sengaja kakak sulungnya itu tidak mahu
menjawab panggilannya. Nampak sangat memang Along juga bersubahat dengan mama.
Sasha Amira semakin yakin tentang itu. Ah, tapi apa yang mahu dimarahkan pada
Along. Dia tahu Suhana Azreen juga pasti tersepit. Bila rasa marah menunjal
dalam hati dan mahu dihemburkan pada Along, setiap kali itu jugalah hatinya
berbicara seperti ini. Bukan salah Along.
Jadi daripada
pulang awal dan mengikut telunjuk mama terus, dia lebih rela tersangkut dalam
kesesakan lalu lintas. Tersangkut buat selama-lamanya juga dia sanggup. Mungkin
dia perlukan lebih masa untuk bertenang dan berfikir tentang buruk baiknya
mengikut saja aturan hidupnya sekarang.
Namun tempoh masa
yang diharapkan tidak pernah begitu panjang. Puan Damia tidak membenarkan dia
berfikir terlalu lama. Panggilan daripada mama bertalu-talu nyaring berbunyi
walau berkali-kali sengaja tidak diendahkan Sasha Amira. Kerana tidak sampai
hati dan menanggung dosa mengabaikan ibunya itu, dia akur menjawab panggilan
Puan Damia yang ke sepuluh.
“Kamu ke mana
berkali-kali mama telefon tak jawab?” Suara Puan Damia kedengaran gelisah di
hujung talian. Serba salah Sasha Amira dibuatnya. Tiba-tiba hatinya didatangi
rasa berdosa. Namun dia tidak menjawab soalan Puan Damia itu kerana tidak tahu
apa yang patut dijawabnya. Kalau diberi alasan, bertambah berat beban dosanya
kerana membohongi mamanya.
“Kamu tak lupa kan
hari ni kamu kena pergi butik pengantin.”
Pura-pura Sasha
Amira tepuk dahi. Sengaja dia pura-pura lupa sebelum mamanya itu teruskan lagi
cakap.
“Hai, cepatlah
balik. Mama dah tunggu lama dah ni.” Suara Puan Damia menyusul lagi ke telinga.
“Hmm... sekejap ma.
Sasha sangkut dalm jam ni.” Akhirnya
Sasha Amira mengaku. Tapi tidak diakuinya yang sebenar-benarnya dia yang cari
penyakit supaya terkandas lama di tengah jalan raya. Kalau mama tahu mahunya
telinganya diasak sampai ke butik pengantin nanti tidak henti-henti.
“Kalau ya pun,
jawablah panggilan mama tadi. Beritahu yang jalan sesak. Kamu ni buat mama
risau ajalah. Kalau kamu jawab dari tadi, taklah mama susah hati menunggu aja
di rumah ni. Kamu tahulah kan, mama ni bukannya sihat sangat. Macam-macam yang
mama fikir, mulalah darah tinggi naik. Lepas tu sakit kepala. Siapa yang nak
tengok-tengokkan mama dekat rumah ni. Papa kamu bukannya ada. Asyik-asyik
sibuk, sibuk, sibuk.”
Tengok.
Berjelar-jelar cakap Puan Damia yang terpaksa didengarnya. Dia juga mula risau.
Bab darah tinggi mamam naik memang Sasha Amira tidak dapat nafikan. Mama memang
suka streskan diri pasal banyak perkara. Kadang-kadang perkara kecil dan remeh
pun mama perbesarkan. Manalah darah tinggi mama tak melangit tingginya. Bila
darah tinggi mama naik tiba-tiba, mulalah mama sakit kepala dan pitam. Masa
Suhana Azreen kahwin dulu begitu, masa Abang Zafuan kahwin pun begitu. Sasha
Amira ingat lagi masa dua tiga hari lepas dia kecewa dengan Saiful Muslim, dua
tiga kali dia nampak mama hampir pitam. Sebab darah tinggi jugalah agaknya tu.
Sejak tiga empat tahun kebelakangan ni lebih kerap mama diserang sakit kepala.
Setiap kali dengar jemputan walimatul urus mama terus rasa nak pitam. Tapi masa
mama marah-marahkan Sasha Amira tak pernah pula nampak mama pitam ke urut
kepala ke pening pun tak. Hairan sungguh tengok mama.
Sasha Amira terus
tenang memandu melalui tekanan dalam kesesakan. Ah, dia sendiri yang cari
pasal. Nak tertekan sekarang pun tak ada guna. Nanti silap-silap dia pula yang
kena darah tinggi macam Puan Damia. Oh, tidak rela dia mahu bergantung hidup
pada ubat yang berlambak seperti mamanya itu kerana sakit darah tingginya.
“Jauh termenung.”
Teguran suara lelaki buatkan Sasha Amira menoleh ke sebelah. Saif Azrai yang
masih sibuk memandu memandangnya sekilas dua. Sapaannya tidak dibalas Sasha
Amira lalu dia menyambung semula khayalannya.
Duduk di sebelah
Saif Azrai dalam satu kereta yang sama, hanya mereka berdua. Sebab itulah dia
asyik terkiput-kiput malu bercampur kekok sejak awal tadi. Kata mama tempoh
hari dia terpaksa ke butik pengantin dengan mama hari ini. Tapi bila tiba saja
di rumah, dia yang bagai terasa diserang darah tinggi bersama sakit jantung.
Sekali lagi dia ditipu mentah-mentah oleh mama. Kalau tahu macam ni, dia
lengah-lengahkan lagi masa balik ke rumah tadi.
Hai Sasha, mudah
benar kau jatuh dalam jerat rancangan mama. Kutuknya tak habis-habis pada diri
sendiri.
“Kalau awak rasa
penat, tidurlah dulu. Nanti dah sampai saya kejutkan.” Sekali lagi suara Saif
Azrai menyinggah ke telinga. Berbulu rasanya mendengar perkataan tidur disebut
lelaki itu. Sensitif. Serta-merta dia terimbau pertemuan pertama mereka dulu.
Ada ke patut dirinya yang pengsan tak sedarkan diri dikata tidur selama 3 jam
oleh lelaki itu. Bijak sungguh dia.
Sasha Amira menoleh
juga akhirnya dengan niat mahu melemparkan jelingan tajam pada lelaki itu namun
hasratnya itu terkubur apabila melihat senyuman menawan yang terlukis di bibir
Saif Azrai. Lesung pipit di sebelah saja pipinya juga buatkan dia begitu
terpesona. Aduh. Dia kalah lagi pada senyuman seorang lelaki. Cepat-cepat dia
kalingkan semula muka ke luar tingkap kereta. Ah, kenapa begitu mudah dia tewas
hanya pada senyuman?
Saif Azrai yang
perasan perubahan di wajah Sasha Amira biarkan saja. Senyumannya dilebarkan lagi.
Walau tumpuannya diberikan sepenuhnya ke jalan, namun sekali kala matanya
menjeling juga reaksi wajah Sasha Amira. Tidak dijeling ke sebelah, dijelingnya
dari cermin. Dia cuba untuk menanam rasa cinta terhadap gadis itu walaupun
mereka tidak pernah bercinta. Tapi kerana ini keputusannya untuk menikahinya,
walau bukan atas dasar cinta, ah, bukan sukar untuk menyemai rasa itu. Dia Saif
Azrai bin Haji Rauf, memupuk rasa cinta dalam hidupnya tidak pernah begitu
susah. Apa yang hendak dirisaukan walau tidak pernah bercinta walau sesaat,
tapi mahu hidup bersama setiap hari selepas ini kan, itu bukan satu masalah
yang harus dipandang serius. Senang macam makan kacang aja.
*******
Lama Izi Helmy dan
Aina menunggu dalam butik. Naik berpeluh walaupun angin penghawa dingin kuat
menghembus. Krisya, perancang majlis perkahwinan Saif Azrai dan Sasha Amira
juga sudah berkali-kali menelefon mereka. Alasannya, jalan sesak.
Izi Helmy bingkas
berdiri. Di luar dia sudah nampak kelibat dua mempelai itu melangkah lenggang
kangkung.
“Amboi, sudahlah
datang lambat. Jalan pula terkedek-kedek.” Omel Izi Helmy bengang. Tangan
dicekakkan ke pinggang.
“Alah, bawalah
bersabar. Mereka tu kan bakal raja, kita ni pengapit aja.” Aina membalas. Bukan
berniat hendak menyebelahi sesiapa tapi sekadar cuba menenangkan hati Izi
Helmy. Lelaki itu pun kalau marah, bukannya betul-betul. Mereka berdua itu
sudah macam adik beradik. Bertekak, bergaduh itu macam adik dengan abang saja.
Saja hendak minta perhatian kut!
Izi Helmy
mencemikkan muka mendengar cakap Aina. Nasib baik buah hati ulam jantungnya ini
ada. Kalau tak memang dah bersilat dia depan Saif Azrai nanti. Izi Helmy
mengecilkan biji mata memandang keluar. Sama ada panas mentari yang terik
memancar ataupun matanya yang tersilap lihat gadis yang berjalan di sebelah
Saif Azrai itu. Jauh benar jaraknya.
“Aik! Bila pula Qay
bertudung?” Rungutnya perlahan seorang diri. Diamati wajah itu betul-betul.
Makin mereka mendekat ke butik, makin jelas dilihatnya gadis itu bukannya
Qayreena.
“Helo encik bos.
Amboi, janji pukul lima setengah. Sekarang dah dekat pukul enam setengah encik
bos. Jam mati baterikah, encik bos? Kejap lagi kita sibuk cari baju, orang dah
laung azan dekat luar.” Perli Izi Helmy dengan loghat bakunya sebaik Saif Azrai
sudah melangkah masuk ke dalam butik bersama gadis yang dilihatnya bersama
sepupunya itu. Wajah gadis itu puas ditenungnya lama-lama. Memang sah bukan
Qayreena.
La, siapa pula yang
sepupu aku bawa ni? Kata nak kahwin dengan Qay? Bingung Izi Helmy jadinya tapi
tidak pula diluahkan depan mereka. Silap lontar soalan nanti, ada pula orang
layang penumbuk.
“Ha, lebih kurang
macam tulah. Nanti kau belikanlah jam tangan baru untuk hadiah kahwin aku nanti.
Paling koman pun, biarlah Charriol
ke, Hermes ke...” balas Saif Azrai selamba sekaligus mengiakan saja cakap Izi
Helmy. Siap minta saguhati lagi. Ambik kau.
Amboi. Pilihan yang
mahal-mahal semua. Getus Izi Helmy geram.
“Alah, encik bos.
Gaji encik bos lagi besar daripada aku. Tak payah tunggulah hadiah besar
daripada aku tu.” Kemudian Izi Helmy datang mendekat ke arah Saif Azrai. Dia
berbisik perlahan ke telinga sepupunya itu. “Apa cerita bro. Bukan kau kahwin
dengan Qay ke? Mana Qaynya? Ni siapa pula perempuan manis cukup lawa yang kau
angkut ni?”
Laju mata Saif
Azrai merenung ke dalam mata Izi Helmy. Huhu. Pandangannya penuh muslihat dan
kebengisan. Bagai singa jantan yang nak mempertahankan permaisuri hatinya dari
dirampas singa jantan lain nampak gayanya.
“Bila pula aku
cakap dengan kau aku nak kahwin dengan Qay. Kau jangan nak buka cerita pasal
dia depan bakal isteri aku ni. Nama bakal isteri aku Sasha Amira binti Rahim.
Ingat nama ni elok-elok. Jangan nak tersasul ke tergeliat lidah sebut nama Qay
nanti.” Bisik Saif Azrai pula lebih kepada memberi peringatan. Wajahnya agak
serius dengan senyuman yang cuba dibuat-buat.
Yuuhuuu! Seriau mak
dik non! Getus Izi Helmy dalam hati. Dijelingnya gadis bernama Sasha Amira yang
masih terpacak di belakang Saif Azrai tadi sekali lagi. Memang dia tak nafikan.
Cantik orangnya. Ish, kalau aku yang jumpa dulu memang aku yang sapu! Tapi
hehe... matanya memandang pula kepada Aina yang tercicir di belakangnya.
Ehem... tak berani dia menduakan cinta hatinya itu. Kan dia berjanji mahu
setia.
Dalam diam dia
menarik nafas lega. Mahu taknya. Nasib baik dia tidak pecahkan tembelang Saif
Azrai tentang Qayreena awal-awal di depan Aina. Setiap kali Aina bertanya siapa
bakal calon isteri Saif Azrai, setiap kali itu jugalah dia saja berahsia. Alah,
you tengok sendirilah nanti. Begitulah jawapannya. Fuh, nasib baik. Kalau tak
kan dah jadi isu. Dia sendiri pun mati-mati ingat Qayreena yang akan berkahwin
dengan Saif Azrai. Hampeh punya sepupu. Dengan sepupu sendiri pun tak kongsi
cerita.
“Ha, pasangan
pengapit yang bagai merpati sejoli, dah sudah pilih bajukah?” Soalan Saif Azrai
yang terasa bergema mematikan lamunan dan khayalan Izi Helmy serta-merta. Wajah
Izi Helmy dan Aina dipandang Saif Azrai silih berganti.
“Seawal jam enam,
keputusan dah muktamad wahai tuanku.” Izi Helmy menjawab sambil menjunjung
titah di depan Saif Azrai. Gelagatnya itu mengundang tawa semua orang di situ
sekali lagi. Laju tangan Aina memukul bahu Izi Helmy dengan majalah. Tidak
tahan malu dengan perangai lelaki itu yang ada-ada saja akalnya. Sebelum Saif
Azrai datang bersama pasangannya tadi juga asyik disakatnya Krisya macam-macam.
Hai, nak menggatal juga agaknya bakal suaminya itu.
“Hai, saya Krisya.
Perancang perkahwinan Encik Azrai dengan Mis Sasha nanti.” Krisya, gadis kecil
molek berkulit hitam manis yang tadi cuma menjadi pemerhati dan mengikut saja
rentak perbualan mereka akhirnya memperkenalkan diri. Salamnya disambut Saif
Azrai dan Sasha Amira bersahaja.
Krisya kemudiannya
menunjukkan pilihan pakaian yang dipilih pasangan pengapit, Izi Helmy dan Aina.
Izi Helmy memilih sut ringkas tapi kemas berwarna hitam dengan bowl untuk
majlis resepsi nanti. Sementara Aina memilih dres berwarna krim ala-ala jubah
tiga lapis sarat dengan taburan manik Swarovski hitam berkilat di lapisan luar.
“Alahai, patutnya
kita pun pakai baju tu untuk naik pelamin sayang. Tak pasal-pasal sebab ayah I busy, kita kena pula jadi orang suruhan hari
tu nanti.” Monyok muka Izi Helmy dengan nada suara sengaja dilemahkan. Bagai
hampa benar tidak dapat naik pelamin sama-sama.
Sedangkan Aina,
diamkan saja. Dia tidak kesah lambatkah cepat yang pasti hatinya sekarang lebih
tenang bila Izi Helmy sudah mengambil keputusan mahu masuk meminang. Tidaklah
dia susah hati kalau-kalau lelaki itu tidak serius terhadap hubungan mereka.
“Okey, pengantin.
Dah boleh tengok baju?” Suzi bertanya bila melihat Saif Azrai asyik membelek
pakaian pengapit mereka. Sementara Sasha Amira tetap bertindak membatukan diri
saja dari awal sampai tadi. “Baju yang ni dah kena cop, okey. Jom ikut I pergi cuba
baju dulu sebelum I ambil ukuran untuk tempahan baju both of you nanti.” Krisya membawa Saif Azrai dan Sasha Amira masuk
ke dalam bilik yang dipenuhi dengan pakaian pengantin. Bulat mata Sasha Amira
bila tangannya digenggam erat lelaki bernama Saif Azrai. Tapi bagai nak
tersembur biji mata pun lelaki itu tidak langsung toleh muka. Ditarik-tariknya
tangannya dari genggaman Saif Azrai juga, bagai tidak mahu dilepaskan. Malah
makin erat pula kemasannya. Amboi. Dah pandai ambil kesempatan nampak!
“Haikal tak dapat
datang hari ni. Jadi dia minta I tolong tengok-tengokkan kalau ada masalah pada
pakaian you nanti.” Haikal, itulah nama pereka busana pengantin mereka yang
dipilih sendiri oleh Krisya. Saif Azrai hanya mengangguk saja dari tadi
mendengar celoteh Krisya. Sasha Amira hanya membontoti bila tangannya ditarik
Saif Azrai supaya mengikut.
Masya-Allah.
Banyaknya baju sampai melopong Sasha Amira melihatnya. Keliling tempat itu
dipenuhi busana pengantin yang cantik-cantik. Sasha Amira mula teruja bila
dikelilingi banyak baju cantik. Teringat masa dia keluar bersama mama dan Along
untuk mencari gaun untuk pementasan drama sewaktu tadika dulu. Rambang matanya
mahu memilih gaun yang paling cantik. Pernah dia berangan-angan mahu menjadi
secantik tuan puteri masa kecil dulu.
Ehem... ehem!
Saif Azrai sudah berdehem
di sebelah. Tika Sasha Amira mendongak memandangnya, lelaki itu tersungging
senyum sambil memberi isyarat agar Sasha Amira menutup mulut. Mula-mula Sasha
Amira tidak faham tapi setelah lelaki itu sendiri yang menolak dagunya ke atas
Sasha Amira terpaku. Malunya. Telinganya pula kemudian menangkap suara tawa
halus Saif Azrai serentak tangannya dicapai lelaki itu dan dibawa menghampiri Krisya
yang sudah memilih baju untuk mereka.
“Baju yang you
tempah untuk majlis nikah dan persalinan pertama majlis resepsi Haikal akan
siapkan ikut design yang you minta.
Emm... lebih kurang dua tiga minggu dia kata. At the moment you berdua cuba dulu baju ni untuk persalinan kedua.
Ni pun bertungkus-lumus dia siapkan sejak your
mom tempah sampai tak tidur malam tau.” Sepasang sut putih dihulurkan pada
Saif Azrai dan gaun kembang dengan jahitan manik bunga daripada kristal dan
Swarovski warna perak dan kelabu untuk Sasha Amira.
Wow! Cantiknya!
Sasha Amira mula teruja. Menggigil pun ada bila gaun itu berada di tangannnya.
Bimbang kalau-kalau dia rosakkan baju mahal itu nanti. Grr...
“You try dulu, nanti kalau ada yang tak kena,
I ambil ukuran lagi sekali. Especially
untuk Sasha. Hari tu ukur badan mama you. Takut tak sama pula dengan saiz you.
Tapi kalau tengok dengan mata, macam sama.” Mata Krisya membelek-belek tubuh
Sasha Amira di depan mata. Atas bawah kiri kanan, terpusing-pusing Sasha Amira
dibuatnya. Ha, kenyataan Krisya tadi memang mengejutkan Sasha Amira. Sekali
lagi dia kalah. Memang mama sudah rancang awal-awal. Tengok. Busana
pengantinnya pun mama dah siap tempah ikut ukuran badan mama? Lepas ini entah
apalah lagi kejutan untuk Sasha Amira agaknya.
Tidak berkerdip
rasanya mata Sasha Amira memandang gaun di tangan. Berhati-hati dia menjaga
gaun itu takut terpijak masa berjalan ke bilik persalinan yang ditunjuk Krisya
tadi. Belum sempat sampai, langkah Sasha Amira terhenti di depan pintu bilik
persalinan apabila tiba-tiba Saif Azrai yang membontoti di belakangnya tadi
mengacah di depan.
Subhanallah.
Mengucap Sasha Amira dalam hati kerana terkejut. Matanya yang sedia besar makin
bulat memandang lelaki itu. Saif Azrai pula tayang senyum dengan muka
seposennya. Tak ubah macam rupa yang dilhatnya masa pertama kali lihat lelaki
itu di Starbucks Cafe. Hai, sakit senyum dia dah datang dah ke? Sekarang ni nak
apa? Hendak berebut bilik pulakah? Detiknya dalam hati.
Malas hendak buang
masa bergaduh dan bertekak, dia mengalah untuk ke bilik di hujung satu lagi
tapi Saif Azrai mengikut dan dia terlebih dulu masuk ke dalam. Sasha Amira
mengalah lagi. Dia kembali ke bilik yang tadi. Aik! Saif Azrai meluru masuk.
Tak boleh jadi ni!
“Awak ni nak masuk
bilik yang mana ni?” Sasha Amira menghempas keluhan.
“Bilik yang sama
dengan awak, boleh?” Jawabnya dengan pandangan penuh makna. Tangan Sasha Amira
dicapai lembut, menarik Sasha Amira masuk ke bilik di mana dia sudah sedia
berada.
Membuntang mata
Sasha Amira waktu itu juga. Tangan Saif Azrai ditepisnya kuat lalu menjerit. “Gatal!”
Lantas Sasha Amira lekas berlari ke bilik yang lain. Pintu cepat-cepat dikunci
dari dalam. Berdebar jantungnya dibuat Saif Azrai. Hampir menangis dia di situ.
“Huhu. Kenapa mama
nak kahwinkan aku dengan lelaki miang ni? Baiklah konon!” Bentaknya kurang
senang dengan cara Saif Azrai. Gatal. Gatal. Bertubi-tubi perkataan itu dijeritnya
dalam hati. Benci. Makin seriau dia mahu mengikut rancangan mama. Kalau
beginilah sikap lelaki itu, entah bagaimana harus Sasha Amira hidup bersamanya
nanti. Lagaknya lebih teruk daripada Saiful Muslim.
Sementara Saif
Azrai tersengih-sengih nakal. Dijengahkan kepala ke luar. Pintu bilik
persalinan di hujung sana sudah tertutup rapat. Pemalu juga perempuan ni. Comel
pula aku tengok! Detik hatinya yang suka melihat wajah kalut Sasha Amira. Kalau
teman wanitanya sebelum ini terutama Qayreena, suka benar kalau dia beriak
nakal begitu. Tapi lain pula pada Sasha Amira. Tak habis-habis nak marah dan
tunjuk lagak kalutnya itu. Balik-balik gelaran gatal juga yang dilemparkan ke
muka Saif Azrai.
No comments:
Post a Comment