Sasha Amira hempas
buku-buku yang baru dipinjamnya dari perpustakaan atas meja. Tubuhnya juga
dihempas sama ke kerusi. Kemudian dia menungkat dagu. Huhu! Wajahnya mencemik
bila hati mula merusuh. Baru semalam dia melonjak gembira bila Along
memberitahu hendak balik sekali lagi. Kali ini bersama anak-anak sempena cuti
sekolah. Baru teringat hendak bayar hutang rindu yang tidak puas bermanja
dengan Along seminggu lepas.
Tiba-tiba pagi
tadi, Along pula kata tidak jadi hendak balik kerana adik iparnya tiba-tiba
hendak datang menemani di rumah. Cis! Mentang-mentang sudah habis sekolah,
menunggu keputusan SPM sebelum tahu ke mana hala tuju selanjutnya, adik abang Mazlan
yang bernama Nina itu asyik saja melekat di rumah mereka. Naik Kedah dari Perak
pun sanggup. Rasanya dari tahun lepas dia habis SPM. Tak dapat offer mana-manalah tu. Malas belajar
agaknya. Sempat dia kutuk dalam hati.
Along pun baik
benar dengan adik abang Mazlan itu. Mengalahkan sayangnya pada adik sendiri.
Cerita Along tadi, dia masak lauk gulai tempoyak lauk kegemaran Nina. Esok
mereka rancang hendak jalan-jalan cuci mata bersama, kemudian ke Langkawi dan
bercuti di sana. Cemburu pula Sasha Amira mendengar cerita along. Dia ni yang
adik kandung pun along tak pernah turutkan begitu. Hendak bawa bercuti, jauh
sekali. Entah-entah Along sengaja nak bagi dia cemburu. Ish, tak baik betul
Along ni!
Kehadiran sepiring
kuih menyentak tumpuan Sasha Amira. Kepalanya diangkat melihat orang yang
membawanya. Aduh! Bikin rosak mood betul bila wajah dia yang muncul. Terkejut
beruk dia melihat Kairel Azam yang sudah duduk di depannya.
“Saya tengok awak
hari ni macam tak ada mood aja. Dengan kawan-kawan rapat awak pun awak larikan
diri. Kenapa?”
Terkejut lagi Sasha
Amira buat kali kedua. Tidak perasan pula yang Kairel Azam memerhatikannya
sepanjang kelas pagi tadi. Mood Sasha Amira memang rosak habis lepas dapat
mesej Along pagi tadi. Apatah lagi Along sakan bercerita tentang Nina. Sakitnya
hati macam nak baling aja Samsung Ynya ke dinding. Dia tak suka ada orang lain
yang merampas kasih sayang Along daripadanya. Dulu Abang Mazlan, lepas tu
datang pula Haikal dan Ariel. Sekarang adik ipar Along pula? Memang tak boleh
dimaafkan!
“Err... awak lapang
tak petang ni?”
“Hmm...”
Kairel Azam
membetulkan duduknya berkali-kali. Terkumat-kamit bibir mahu meneruskan kata.
Kerana tidak cukup semangat, dikumpul segala kekuatan untuk meluahkan apa yang
tersirat di minda. “Awak nak tak keluar dengan saya lepas kelas nanti?”
“Boleh...”
Kembang senyum
Kairel Azam mendengar jawapan itu. Lantas dia bangun dari duduk. “Betul ni?”
soalnya dengan riak teruja sambil menekan kedua belah tangan ke meja.
Suara itu sekaligus
meleraikan lamunan Sasha Amira. Bulat matanya melihat Kairel Azam membawa
mukanya dekat depan mata Sasha Amira. Sepantas kilat Sasha Amira tolak tubuh ke
belakang.
“Betul apanya ni?”
Kairel Azam mula
terkial-kial membetulkan duduknya bila menyedari perubahan di wajah Sasha
Amira. Jari mulalah merayap ke kepala. Tergaru sana tergaru sini. “Kau kata
tadi nak keluar dengan aku...”
“Ha?!” Sasha Amira
terkejut beruk seraya membulatkan mata lebih besar. Suara halus Kairel Azam
tadi walaupun perlahan tapi masih mampu telinga yang nipis ni dengar. Betulkah
dia jawab macam tu? Betul dia kata nak keluar dengan Kairel Azam? Malas Sasha
Amira mahu fikir panjang. Buku-bukunya disambar dari atas meja dan dipangku
satu demi satu di sebelah tangan.
“Sorry la Azam. Aku tak tahu apa yang aku
cakap tadi, aku pun tak tahu apa yang Zaimah janji dengan kau. Maaflah, aku tak
bolehlah nak terima kau jadi boyfriend
aku. Sorry ya.” Berulang kali Sasha
Amira memohon maaf dengan harapan Kairel Azam tidak menyimpan apa-apa dalam
hati. Punggung lekas diangkat meninggalkan Kairel Azam seorang diri.
Bukan kerana Kairel
Azam tu budak nurd, dia tidak mahu
terima lelaki itu. Tapi dengan mana-mana lelaki pun dia tidak mahu. Hatinya
memang sudah cukup tertutup untuk seorang insan bergelar lelaki.
*******
Puas Sasha Amira
melarikan pandangan dari renungan Kairel Azam dalam kelas. Lelaki itu asyik
memandang tapi bila pandangan mereka bertentang pula, kedua-dua melarikan mata.
Aduh. rasa janggal duduk dalam satu kelas yang sama walaupun Sasha Amira cuba
berlagak biasa. Spontan wajah Zaimah yang dijelingnya tajam. Ni semua Zaimah
punya pasal. Kalau Zaimah tak pandai-pandai buat rancangan sendiri tanpa
persetujuan Sasha Amira, Kairel Azam tak akan jadi begitu. Hendak jadi klon
Puan Damia agaknya si Zaimah ni.
Dalam dia marah-marah
dalam hati, dia dikejutkan dengan gegaran telefonnya dalam beg. Sensitif benar
bila punggung juga rasa bergegar sama gara-gara begnya yang diletakkan di
belakang tubuh. Laju dia mengensot sedikit dan mengeluarkan telefon yang masih
galak meronta.
Along! Nama itu
tertera atas skrin. Mata Sasha Amira melingas ke depan. Pensyarahnya belum lagi
masuk untuk memulakan kuliah. Jam di pergelangan ditenung pula. Sempat kut
kalau setakat jawab lima enam minit. Dia mengagak.
“Helo!” Laju Sasha
Amira menjawab panggilan itu. Kepalanya disorokkan sedikit di bawah meja, lagak
bercakap dengan teman lelaki pula mahu sembunyi-sembunyi begitu. Intan Nazira
yang perasan tindakan kawannya di sebelah berkerut wajahnya.
Bercakap dengan pakwe ke sampai nak sorok-sorok ni? Orang
kalau bercakap dengan buah hati, lagi nak satu dunia tahu! Getusnya sendiri.
“Assalamualaikum,
dik. Huk huk!”
Terdengar suara
Along terbatuk-batuk. Berkerut dahi Sasha Amira lantas dia tegakkan badan
semula. Lambat-lambat salam Along tadi dijawab perlahan.
“Waalaikumusalam.
Kenapa dengan Along ni? Tak sihat?” Suara Suhana Azreen terbatuk lagi. Kasihan
Sasha Amira dengarkan.
“Hmmm...” Lemah
suara Suhana Azreen menjawab. “Adik datang teman Along boleh? Kesian
budak-budak ni tak ada orang jaga. Along tak laratlah.”
Ha? Sasha Amira
melopong.
“Along kata Nina
nak datang.”
Hairan Sasha Amira.
Pagi tadi elok saja Along bila beritahu Sasha Amira yang Along masakkan gulai
tempoyak untuk Nina. Sekarang pula, tiba-tiba Along tak sihat. Nafas berat
Suhana Azreen panjang sampai ke telinga. Aduh, kasihannya Along.
“Along tak bagi dia
datang. Pagi tadi ingatkan sakit biasa aja. Tapi makin panas pula badan along
ni. Perut ni pun macam terbelit-belit aja rasanya. Kasihan pula nak biarkan Nina
datang tapi Along sakit pula.”
Mencebik bibir
Sasha Amira. Pada Nina, tak sampai hati. Sudahnya harapkan adik dia ni juga
yang tolong jaga. Pandai budak tu nak datang berfoya-foya dekat Kedah,
pandailah dia jaga Along, jaga anak-anak buah! Gerutu rasa hati Sasha Amira
sekarang ini. Tapi bila mengenangkan cuti sekolah baru saja bermula, teruja
juga dia nak datang Kedah. Dah lama tak bertekak dengan Haikal dan Ariel.
Untung-untung dapat juga dia ikut budak-budak tu pergi bercuti nanti. Along kan
rajin bawa anak-anak dia bercuti. Jadinya yang ikut Along ke Langkawi nanti
bukan Nina, tapi dirinya. Hehe. Suka... suka. Tapi Along kan sakit. Macam mana
pula nak bawa berjalan? Aduh... Dia mengeluh.
“Boleh tak dik?
Adik tak sayangkan Along ke?”
Alah, alah, alah.
Emosional pula soalan Along ni. Lemah hati adik ni yang dah memang rindu sangat
kat Along tau. Kalau Along tak dapat balik KL, Sasha datang Kedah pun okey
juga. Memang tak pernah pergi rumah Along.
“Yalah. Dengan adik
Along ni juga Along harapkan kan. Kenapa tak suruh aja Nina yang jaga Along”
Sasha Amira sengaja cakap bersenget dengan Alongnya. Sengaja hendak menduga.
“Emm... tak apalah
kalau orang tu tak sudi...”
“Eh, Along...
along.” Sasha Amira juga yang pantas memotong cakap Suhana Azreen. Tak sampai
hati. Takut nanti Suhana Azreen pula yang memutuskan panggilan kerana kecil
hati. Hai, kuat merajuk pula orang sakit ni. “Yalah. Yalah. Sasha datang nanti.
Malam ni juga Sasha naik bas ke Kedah. Puas hati?”
Terkejut Sasha
Amira bila Encik Saiful sudah masuk ke dalam bilik kuliah. Kelam kabut dia
menyudahkan perbualan dengan Suhana Azreen.
“Okeylah, Along. Lecturer dah masuk ni. Nanti bila Sasha
naik bas, Sasha mesej. Along jangan suruh Abang Mazlan seorang datang jemput
tau. Okey, bye.” Sempat dia memesan pada Suhana Azreen. Kalau Abang Mazlan
datang seorang menjemputnya pagi-pagi buta di stesen bas tu nanti, alamatnya
terkiput-kiputlah Sasha Amira sebelah Abang Mazlan. Sudah menjadi abang iparnya
dekat sepuluh tahun. Tapi malunya, ya ampun. Rasa macam hilang hidung.
*******
Puan Damia sibuk
mengemas pakaian untuk Sasha Amira bawa ke Kedah. Dilipat molek-molek dan
disusun dalam beg. Sasha Amira perhatikan saja.
“Along macam mana?
Terukkah sakitnya?”
Sasha Amira menjuir
bibir. Sudah acap kali soalan itu dilontar Puan Damia. sudah berkali juga
dijawabnya tapi jawapannya itu seakan tidak singgah langsung ke telinga Puan
Damia. Mamanya itu begitu risau sampai tidak sabar-sabar nampaknya mama mahu
Sasha Amira pergi menjenguk Along. Tiket sudah dibeli semasa perjalanan balik
dari kolej tadi. Jam sebelas malam nanti baru dia akan naik bas. Sekarang baru
jam enam petang, mama pula terkocoh-kocoh.
“Mama ikut sekali
ajalah. Sasha drive.” Akhirnya
cadangan itu muntah dari mulutnya. Biar Puan Damia sendiri yang lihat keadaan
Suhana Azreen. Biar hati mamanya itu senang melihat anak depan mata sendiri.
Sasha Amira sudah dekatkan duduk. Baju yang dilipat Puan Damia disusun juga ke
dalam beg, mengikut saja rentak Puan Damia.
“Tak boleh. Ada
orang nak da-” Kaku serta-merta tangan Puan Damia bila tersedar. Hampir-hampir
saya dia memecahkan tembelang sendiri. “Ada orang mama nak kena jaga dekat
sini. Kamu sajalah yang jaga Along kamu tu. Pandai-pandailah kamu tolong dia
masak, buat kerja rumah, jaga anak-anak. Jangan tahu nak bergaduh aja dengan
anak sedara!” Bijak Puan Damia berdalih. Matanya sekali dua menjeling riak anak
bongsunya di depan.
Sasha Amira pula
yang dipesan macam-macam. Namun Sasha Amira buat muka selamba. Tidak kesah
langsung dengan pesanan Puan Damia. Tangannya makin perlahan mengatur baju masuk
ke dalam beg. Kalau bab masak tu, otaknya sudah mula fikir banyak. Masak tu
memanglah boleh. Setakat goreng menggoreng, kacang aja. Tapi kalau nak masak
lebih-lebih macam masak gulai ke, asam pedas ke, memang dia tak reti. Rasanya
nanti, masya-Allah tak siapa berani makan. Harap-harapnya anak-anak Along nanti
tak banyak songeh.
“Dah. Kamu pergi
bersiap.” Melayang-layang menu dalam benak Sasha Amira gara-gara terkejut dek
suara mama yang meninggi tiba-tiba. Beg sudah mama zip dan mama bangun dari
katil Sasha Amira. “Nanti papa balik, papa hantar kamu ke stesen bas lepas Isyak!”
Sasha Amira
perhatikan saja Puan Damia keluar dari biliknya. Terbayang-bayang Kedah, negeri
jelapang padi di minda. Hatinya tiba-tiba melonjak gembira. Akhirnya dia akan
menjejakkan kaki ke negeri itu. Alang-alang menyeluk pekasam, dia cuti lama
sedikit untuk ke Kedah. Mestilah nanti Along akan bawa Haikal dan Ariel
berjalan-jalan selepas kebah dari sakitnya, mungkin sekitar Alor Setar dan
Langkawi. Bolehlah dia tumpang sekaki. Dia mula pasang angan-angan yang
macam-macam.
Wah! Seronoknya!
Tubuh dihempas ke tilam dan dia berguling-guling gembira di situ.
*******
Macam-macam pesanan
Puan Damia semasa menghantarnya ke Puduraya. Telinga Sasha Amira mula kebas
dihujani pesanan mama yang berulang-ulang sama.
“Naik bas
sorang-sorang tu, pandai-pandai jaga diri. Jangan tidur mati pula dalam bas.
Nanti jadi apa-apa, kena rabakah, kena rompakkah tak sedar.”
Huish! Puan Damia
betul-betul menakutkan Sasha Amira. Mulalah dia tengok orang yang duduk di
sebelah kiri, depan dan belakangnya seorang demi seorang dengan pandangan
tajam. Sudahlah malam ini tidak ramai penumpang yang naik dari Puduraya. Tempat
duduk di sebelahnya pula masih kosong. Risau, gelisah, takut, seriau semua rasa
ada. Kalau tuannya nanti lelaki, memang Sasha Amira jaga-jaga. Dekat saja sikit
mengenai tubuhnya, makanlah siku Sasha Amira yang orang kata tajam ni!
Bas yang dinaikinya
pula asyik berhenti. Lama pula tu. Silau cahaya lampu yang menyuluh dalam bas
buatkan anak matanya makin mengecil. Lantas langsir ditarik agar menutupi seluruh
cermin di sebelah tempat duduknya lalu dirapatkan kelopak mata perlahan-lahan.
Baru beberapa saat
matanya tertutup tempat duduknya terasa bergerak seakan ada beban di sebelah.
Serta-merta dia menoleh. Huh. Nasib baik perempuan. Boleh dia lelapkan mata
dengan tenang. Dalam hati makin teruja nak jejak kaki di Kedah. Tapi bila
mengenangkan Along yang sakit, alahai... kesiannya kat Along.
*******
Dengan muka
terpisat-pisat Sasha Amira bangun mengambil beg di bahagian atas kepala bila
pemandu bas memekik memberitahu para penumpang yang bas sudah sampai di
Terminal Bas Shahab Perdana.
“Alor Setar! Alor
Setar!” Pekik pemandu bas berulang kali sekaligus mengejutkan semua isi bas
yang enak lena.
Sasha Amira rasanya
dia baru saja dibuai mimpi. Dari awal bas ini bergerak dia tidak dapat tidur
lena dek kerana asyik berhenti mengambil dan menurunkan penumpang. Dia asyik
terjaga hingga sakit kepala mula rasa mencucuk. Terhuyung-hayang dia berjalan,
menuruni tangga bas hingga memijak tanah negeri Kedah.
“Sasha!”
Segar terus matanya
bila terdengar namanya dipanggil. Keliling dia mencari suara itu sehinggalah
matanya tertancap kepada seorang wanita yang melambai-lambai dari kotak parkir
tidak jauh dari situ. Matanya dikecilkan, cuba meneliti wajah wanita itu dalam
pagi yang masih kelam.
“Along?” Hairan
sungguh dia melihat Suhana Azreen yang datang menjemput. Sihat aja rupa Along.
Dalam bingung, dia berjalan ke arah Suhana Azreen yang menanti di sebelah
kereta Gen2nya.
“Kenapa Along ada
dekat sini?” ajunya terus sebaik mendapatkan Suhana Azreen. Tangan kakak
sulungnya disalam lemah.
“Nak jemput
kamulah. Buat apa lagi, takkan Along nak buat persembahan teater pula dekat
sini!” Tempelak Suhana Azreen mudah. Beg yang dibawa Sasha Amira diambil dari
tangan adiknya lalu disimpan di tempat duduk belakang.
“Yalah. Along kata
sakit, kenapa Along pula yang datang?” soal Sasha Amira lagi setelah ikut masuk
ke dalam kereta. Tali keledar ditarik dan dipasang ke tubuh.
“Hmm... Abang
Mazlan nak pergi trip dengan jabatan dia esok. Tak sampai hati pula nak kejut
tadi. Lagipun, kalau Abang Mazlan yang jemput nak ke orang tu naik. Silap-silap
buat perangai lama dia tu!”
Sasha Amira
mencebir. Tahu sangat dia apa yang dimaksudkan Suhana Azreen. Mesti masa mama
tiba-tiba minta Abang Mazlan jemput dia dari kolej sebelum mama hadiahkan
kereta MyVi kesayangannya sekarang. Jadi tak perlulah papa datang menjemput.
Rela Sasha Amira naik teksi. Kesian Abang Mazlan ikut tunggu dekat hentian
teksi. Apa yang Abang Mazlan cakap, Sasha Amira buat tak reti. Alah, masa tu
Along baru dua minggu kahwin dengan Abang Mazlan. Tu yang kekok lagi tu.
“Kenapa Along tak
ikut aja Abang Mazlan pergi trip?”
“Malaslah. Baik
Along bawa budak berdua tu jalan-jalan cuti sekolah. Alang-alang kamu dah
datang ni, bolehlah ikut sekali.”
Suka Sasha Amira
dengar jawapan itu. Lagi-lagi ayat terakhir tu, memang itu yang
diangan-angankan sejak dari rumah lagi. Rasa hairan tentang kesihatan Suhana
Azreen yang dilihatnya macam sihat saja gayanya terus hilang. Matanya melontar
pandang ke jalan. Gelap dan sunyi di luar sana.
*******
Lebih kurang dua
puluh minit perjalanan, kereta yang dipandu Suhana Azreen memasuki pekarangan
rumah teres yang terbuka luas pagarnya dan berhenti di sebelah kereta Preve
putih milik Abang Mazlan. Luas juga laman depan rumah Along, boleh muatkan dua
kereta. Kalah rumah papa! Bisiknya dalam hati.
Perlahan-lahan
pintu kereta ditutup dan mereka berjalan ke pintu. Suhana Azreen sempat
meletakkan jari telunjuknya ke bibir sebaik pintu kayu itu ditolak. Macamlah
pintu itu faham bahasa isyarat Along.
Masuk-masuk saja,
Suhana Azreena menjengah bilik anaknya terlebih dulu. Lena dua anak lelakinya
tidur. Kasihan. Lama budak berdua itu menunggu Mak Usu mereka. Sampai dua pagi,
masing-masing tidak gagah lagi menanti hingga terlena depan televisyen.
“Jom Along
tunjukkan bilik adik. Along dah siap kemaskan dah,” bisik Suhana Azreen
perlahan kepada Sasha Amira yang duduk saja di ruang tamu. Matanya yang baru
saja katup terbuka semula. Beg Sasha Amira sambar dan ekori saja Suhana Azreen
yang mendahului.
Biliknya terletak
di belakang sekali, dekat dengan dapur. Saiznya tidaklah besar tapi tidak kecil
juga, cukuplah untuk memuatkan set bilik tidur bersaiz queen dan ada sedikit
ruang untuk solat. Suhana Azreen siap kemaskan katil dengan cadar warna
kegemaran Sasha Amira, merah menyala. Terang mata memandang.
“Bilik ni kecil aja
dik. Kiblat kat sebelah situ.” Suhana Azreen menunjukkan arah kiblat kepada
Sasha Amira. Adiknya itu cuma mengangguk.
“Baju Along ada
dalam almari ni. Yang adik rasa nak pakai, adik pakai ajalah.” Suhana Azreen
buka pintu almari. Ditunjukkan itu dan ini namun seakan bayu yang bertiup di
sebelah telinga Sasha Amira. Nampak saja katil, mata pun mulalah layu. Tidak
sempat Suhana Azreen bercakap banyak, Sasha Amira terus hempas tubuh ke katil.
Bantal ditarik ke bawah kepala.
Suhana Azreen
melihat adiknya yang sudah lena di atas katil bila dia menoleh. Bibirnya
menggumam perlahan lalu mendekati adiknya itu. Selimut ditarik Suhana Azreen
lalu membaluti tubuh Sasha Amira. Suis lampu dipetik sebelum pintunya
dirapatkan bila dia keluar dari bilik itu. Kemudian Suhana Azreen berjalan ke
biliknya. Sang suami masih enak dibuai lena. Sempat Suhana Azreen menjeling jam
di meja kecil sebelah katil. Kejap lagi akan masuk waktu Subuh. Perlahan-lahan
dia labuhkan punggung di sebelah suami untuk menanti azan Subuh.
No comments:
Post a Comment