Sakit betul hati Emey Suhaila kerana terserempak lagi
dengan Razali di kelas pagi tadi. Pantang lihat Emey Suhaila seorang tanpa
Azura, mesti Razali ambil kesempatan mahu mendekatinya. Jika Azura ada, jangan
kata dekat. Tegur Emey Suhaila juga lelaki itu tidak berani. Malahan jika Razali
memandang muka Emey Suhaila dari jauh pun sudah diserang dulu oleh Azura.
Pandangan tajam Azura yang seakan haiwan buas kelaparan itu pasti menjadi
habuan.
Azura memang tidak suka akan Razali. Azura juga tahu yang
Emey Suhaila tidak berkenan pada Razali tetapi lelaki itu tidak putus asa mahu
memikat Emey Suhaila. Bila Emey Suhaila rasa rimas dengan tindakan Razali,
Azura juga seakan terkena tempiasnya kerana Azura sudah lama berkawan rapat
dengan Emey Suhaila. Bak kata orang, cubit peha kiri peha kanan juga terasa
peritnya. Oleh sebab Emey Suhaila tidak menyukai, kerana itulah Azura benci
Razali tahap maksima.
Rimas Emey Suhaila dibuat Razali hari ini. Ikutkan hati
yang sebal memang Emey Suhaila mahu keluar saja dari dewan kuliah, sama seperti
tindakannya sebelum ini. Tapi takkanlah Emey Suhaila asyik hendak ponteng
kuliah semata-mata sebab Razali. Nanti markah kedatangan Emey Suhaila juga yang
percuma melayang. Sepanjang kuliah pagi tadi Emey Suhaila menahan perasaan.
Bila Emey Suhaila mengelak, Razali tetap mengekori ke
mana saja Emey Suhaila pergi. Banyak kali Emey Suhaila beralih tempat duduk,
Razali mengikut dan turut henyak punggung di sebelahnya.
‘Wah! Ini sudah dikira gangguan psikologi!’ Emey Suhaila
membentak dalam hati. Sudahnya Emey Suhaila duduk cepat-cepat di sebelah
Rogayah yang kebetulan kosong. Tiada ruang di sebelah Emey Suhaila yang boleh
Razali mencelah. Emey Suhaila suka hati.
Tapi mula saja kuliah di depan, bahu Emey Suhaila dicuit
dari belakang. Terkejut besar Emey Suhaila sebaik menoleh. Razali
tersengih-sengih di belakangnya, menampakkan barisan giginya yang berkarah
sebab merokok. Tidak lalu Emey Suhaila mahu tengok senyuman lelaki itu.
Lekas-lekas Emey Suhaila paling muka ke depan. Selang beberapa saat, satu suara
halus singgah ke telinga Emey Suhaila.
“Aku suka kau...” Perlahan suara itu berbisik namun Emey
Suhaila percaya posisi Razali ketika itu sangat dekat dengannya. Emey Suhaila
dapat rasakan deru nafas lelaki itu yang menghentam tengkuknya. “Kau dengar
tak?” ulang suara itu lagi.
Emey Suhaila tidak senang duduk. Tubuhnya pantas ditolak
ke depan lalu tangan diletakkan atas meja. Saat itu, telinga nipis Emey Suhaila
dapat menangkap suara tawa halus Razali. Bergoncang jantung Emey Suhaila
dibuatnya. Lantas Emey Suhaila menjeling ke kanan dan kiri. Namun spontan satu
keluhan halus dilepaskan. Mahu bangun dan beralih tempat duduk, dia sudah
diapit oleh dua orang pelajar di kiri dan kanan.
Tambah malang, tempat duduk Emey Suhaila pula berada di
tengah-tengah barisan. Tidak kira dari arah mana pun, terpaksalah Emey Suhaila
minta laluan daripada pelajar lain untuk meredah laluan sempit itu kalau Emey
Suhaila berniat untuk beralih tempat duduk sekali lagi. Termasuklah Rogayah
yang nampaknya khusyuk mendengar kuliah. Sedangkan Emey Suhaila gelisah bagai
nak rak di situ pun tidak sedikit pun Rogayah ambil endah. Perhatiannya tetap
ke depan.
Sementara Razali mulalah nak buat drama dan kuliah
syarahannya di belakang Emey Suhaila. Pelajar lain dalam barisan tempat duduk Emey
Suhaila menggeleng kepala bila terdengar kata-kata Razali. Ada juga yang
berdehem berkali-kali. Tidak kurang juga yang sudah mula melemparkan jelingan
pada Emey Suhaila.
Emey Suhaila hempas keluhan. Tebal muka Emey Suhaila tapi
bukannya Emey Suhaila yang salah. Razali yang memekak di belakang. Pot pet pot
pet dengan ayat jiwangnya. Mahu saja Emey Suhaila muntah di situ juga sedang
tumpuannya pada kuliah yang disampaikan pensyarah di depan sudah lama lenyap.
Berbanding pelajar lain, Rogayah di sebelah Emey Suhaila pula tidak beri
sebarang respon. Mukanya kosong sambil tekun menulis atas buku notanya. Bagus
juga kalau Minah Kecoh tu tidak ambil kesah. Kalau dia nampak apa yang berlaku
sekarang ni, memang kecohlah jawabnya lepas ni.
Tindakan Razali tidak berhenti di situ. Selepas berakhir
satu kuliah dan bermula kuliah seterusnya, dia terus mengganggu Emey Suhaila
dengan kata-kata dan surat cintanya. Panas punggung Emey Suhaila kerana terus
duduk diam tapi Emey Suhaila pula sudah bagaikan orang bodoh sebab bersabar saja
di situ. Ketika ada ruang untuk dia beredar juga Emey Suhaila tidak berganjak
dari tempat duduknya. Malahan pelajar lain pula yang beralih tempat duduk
kerana tidak tahan duduk di situ. Sakit telinga mereka mendengar suara Razali
yang menjengkelkan tapi pada Emey Suhaila pula yang mereka lemparkan kemarahan.
“Ish, menyibuk betul dalam kuliah ni. Orang nak dengar
kuliah pun tak senang. Kalau nak bermadah mesra, pergilah tempat lain.”
“Entahnya. Si Ila tu pun satu, pergi layan laki tu buat
apa? Tegurlah sikit. Ini tidak, dia pun sama menggatal.”
“Nak tunjuk kat oranglah tu yang diorang tu pasangan
romantik...”
Bertalu-talu Emey Suhaila mengeluh bila terdengar suara
sumbang yang beronggok-onggok. Marahnya pada Razali makin menebal. ‘Eh
perempuan-perempuan ni... sesedap rasa dia aje tuduh aku yang menggatal. Cuba
korang beritahu aku apa nak dibuat dengan lelaki gila macam Razali tu?’ gerutu
hati Emey Suhaila apabila telinganya terus mendengar dirinya dicanang orang.
Mulalah bermacam-macam cerita yang keluar selepas itu. Semakin panas punggung Emey
Suhaila duduk di situ.
Walaupun selepas habis kuliah, Razali masih mengekori Emey
Suhaila dari belakang. Puas Emey Suhaila larikan diri. Semakin laju langkah Emey
Suhaila, semakin rapat Razali di belakang. Setelah hampir lima belas minit Emey
Suhaila mencelah ke sana dan ke sini akhirnya Emey Suhaila berjaya juga lari
dari pandangan Razali.
Emey Suhaila pandang keliling. Rasanya Razali tidak dapat
mencarinya dalam kumpulan manusia yang berasak-asak mula memenuhi ruang kafe
yang kecil itu. Kebetulan dua orang pelajar bangun setelah menghabiskan makanan
mereka. Emey Suhaila cepat-cepat buka langkah ke arah meja tersebut dan terus
henyak punggung di situ. Pinggan di depan ditolak ke tepi lalu Emey Suhaila
menangkup mukanya ke meja. Takut-takut Razali berjaya juga mencarinya nanti.
Kalau dia tidak tunjuk muka, mungkin lebih selamat.
Perlahan-lahan Emey Suhaila hempas keluhan halus bila
mengenangkan nasib malang yang menimpanya hari ini. Entah sampai bila dia perlu
lari begini. Bukannya Emey Suhaila tidak pernah berterus-terang cuma Razali
saja yang tidak makan saman. Walaupun telah ditolak mentah-mentah, lelaki itu
masih berusaha mahu memikat Emey Suhaila. Itukah yang dinamakan cintanya yang
mendalam pada Emey Suhaila? Kalau terus begini, mungkinkah hati Emey Suhaila
akan terbuka jua untuk Razali? Ah! Emey Suhaila malas mahu memikirkannya. Razali
juga bukan lelaki idamannya. Iras wajah lelaki itu biasa saja. Hodoh tidak,
kacak sangat pun tidak dan yang paling penting poket Razali tidak berisi
seperti mana yang Emey Suhaila harapkan.
Emey Suhaila katup kelopak mata perlahan-lahan. Riuh di
sekitarnya tidak dipedulikan walaupun telinga menangkap bermacam bunyi. Bunyi
tapak kaki berkali-kali lalu di sebelah Emey Suhaila dan kerana itulah Emey
Suhaila tidak berani mahu melihat kaki-kaki itu. Takut ia adalah milik manusia
yang tidak mahu dia bertembung.
‘Argh! Tinggalkan aku seorang!’ raung Emey Suhaila dalam
hati. Sesak kepalanya bila membayangkan lelaki itu, siapa lagi kalau bukan
Razali.
“Kat sini rupanya kau!”
Emey Suhaila angkat muka serta-merta bila mendengar satu
suara menegur. Matanya bulat memandang ke depan lalu Emey Suhaila hempas nafas
lega bila melihat Rogayah yang menungkat dagu di depannya. Tangan Emey Suhaila
mengurut-urut dada yang terasa berderau. Bagai mahu tercabut tangkai jantungnya
tadi. Mati-mati Emey Suhaila ingat Razali yang menegur. Fikiran berserabut
hingga tidak dapat membezakan suara lelaki mahu pun perempuan. Tapi bila
melihat wajah Rogayah, Emey Suhaila lega.
“Kenapa dengan kau ni?” soal Rogayah yang mula tunjuk
reaksi hairan. “Tengok aku macamlah tengok hantu. Teruk sangatkah make-up aku ni?” Rogayah muncung sambil
meraba mukanya.
Emey Suhaila geleng sambil melayangkan tapak tangan ke
kiri dan kanan. Dia lihat muka Rogayah dekat-dekat lalu menggeleng lagi. “Kau make-up ke? Tak nampak macam make-up pun...” balas Emey Suhaila
selamba menyebabkan Rogayah menarik muncung panjang sekali lagi. “Alah, tak
payahlah nak muncung macam tu. Tak comel pun. Boleh ikat dengan getah gelang
tahu,” usik Emey Suhaila sambil ketawa kecil. Gelisah dan gemuruh di hatinya
tiba-tiba saja lenyap, seakan sudah ditelan riuh suara manusia yang masih sesak
dalam kafe itu.
Rogayah mencebik tidak senang. Kemudian dia menungkat
dagu semula. Matanya sesekali meliar ke arah pelajar-pelajar lain yang enak
menjamu selera dan akhirnya perhatiannya kembali kepada Emey Suhaila semula.
“Eh, kau duduk sini tapi tak makan kenapa? Tak laparkah?”
Emey Suhaila diam. Dia raba perut seketika lalu turut
pandang keliling. Memang perutnya sudah mula berkeroncong sejak tadi tapi...
“Ramai sangat oranglah dekat kaunter. Malas aku nak
beratur panjang. Tunggulah orang reda dulu,” balas Emey Suhaila memberi alasan.
Rogayah sekadar mengangguk.
“Eh, kenapa kau tak pakai baju yang kita beli semalam?”
lontar Emey Suhaila pula sambil membelek tubuh Rogayah hingga terjengah-jengah
dari balik meja. Melihat Rogayah hari ini hanya mengenakan T-shirt besar lengan
pendek, seluar slack dengan kasut sarungnya seperti biasa.
Rogayah mula tidak senang dan terkiput-kiput di depan Emey
Suhaila. “Kenapa kau tengok aku macam tu?” Air muka Rogayah sedikit demi
sedikit berubah rona.
Emey Suhaila alih pandangannya ke depan. Dia memandang
tepat ke muka Rogayah. “Tu... cermin mata tu pun masih pakai lagi buat apa?” Emey
Suhaila menolak jari telunjuk ke depan kemudian diturunkan semula. Satu keluhan
halus dilepaskan tiba-tiba. “Kau ni Aya...” Emey Suhaila menggeleng. “Penat aje
aku reka imej baru untuk kau tapi baju macam ni juga yang kau pakai. Buang duit
aje tahu...”
Rogayah diam sementara Emey Suhaila terus mengomel di
depan. Terpaksalah Rogayah mendengar semua syarahan Emey Suhaila hingga habis
sebab dia tidak sampai hati pula mahu terus beredar macam itu saja. Nampak
tidak sopan pula kalau dia buat begitu. Mahu mencelah pula, Rogayah tidak tahu
mahu berkata apa. Otaknya tiba-tiba saja tepu. Niat Rogayah datang ke sini pun
untuk mengisi perut yang sudah menyanyi tapi rasanya perutnya sudah kenyang
mendengar leteran Emey Suhaila.
“Eh, Razali tu betul suka dekat kau ke Ila?” muntah
soalan itu dari mulut Rogayah tiba-tiba. Pinggannya yang sudah pun licin ditolak
ke tepi lalu gelas air yang tinggal separuh didekatkan ke bibir. Glup... glup!
Air kosong itu diteguknya habis.
Sementara Emey Suhaila yang masih enak menjamu makanannya
hampir tersedak diajukan soalan itu. Emey Suhaila tepuk dada yang terasa sesak.
Kemudian dia juga turut menyambar gelas dan meneguk air itu laju-laju. Sebaik
menelan air masuk ke dalam tekaknya, Emey Suhaila memandang tepat ke muka
Rogayah. Matanya dibulatkan sedikit dengan dahi berkerut.
“Hah?” soal Emey Suhaila minta diulang soalan Rogayah
tadi. Takut-takut telinganya tadi tersilap dengar.
Rogayah hentak gelasnya yang sudah kosong di tepi,
bersama pinggannya tadi. “Aku tengok Razali tu macam suka aje dekat kau.
Betullah eh tekaan aku sebelum ni?” ulang Rogayah sambil menungkat dagu menanti
reaksi Emey Suhaila. Dari air mukanya, Rogayah nampak beria-ia sangat mahu
tahu.
Namun soalan Rogayah tadi masih tidak membuahkan jawapan.
Sebaliknya, Emey Suhaila hanya tercengang di depannya. Terpaksalah Rogayah
teruskan dengan semua andaian yang berasak-asak dalam fikirannya sekarang.
“Aku rasa musykillah Ila. Dari pemerhatian aku, aku
tengok cara Razali tu macam syok dekat kau. Tengoklah masa dekat kuliah pagi tadi.
Bukannya dia dengar kuliah pun tapi asyik nak mengorat kau aje.”
Emey Suhaila melopong tapi cepat-cepat dia katup mulutnya
semula. Bimbang lain pula yang masuk ke dalam tekaknya nanti. Terkejut dia
mendengar kata-kata Rogayah. Sangkanya Rogayah tidak pasanga telinga sedangkan
Rogayah nampak khusyuk mendengar kuliah yang disampaikan oleh pensyarah.
Rupa-rupanya telahan Emey Suhaila itu jauh sekali meleset. Dalam diam
rupa-rupanya Rogayah tetap curi dengar.
Ah, Razali juga yang salah. Tindakan dan kelakuannya itu
terlalu ketara. Sesiapa saja yang nampak juga boleh meneka niatnya. Tapi,
masakan Emey Suhaila mahu mengaku di depan Rogayah. Oh, tidak! Emey Suhaila
tidak mahu Razali!
“Kalau dia tak suka kau, takkan dia nak kejar kau ke sana
ke sini?” tambah Rogayah lagi bila Emey Suhaila masih terus membisu.
Emey Suhaila telan liur. ‘Kejar? Mana dia tahu mamat tu
kejar aku?’ Emey Suhaila gelisah. Nasi yang masih berbaki atas pinggan dikais
dengan sudu. Hilang terus seleranya untuk menghabiskan makanan tengah harinya
itu setelah hal Razali dibangkitkan Rogayah. Mendengar nama Razali saja sudah
cukup buat selera Emey Suhaila terbantut.
“Kau diam ni, maknanya betullah ya?” Rogayah meneka.
“Hah?!” Cepat-cepat Emey Suhaila tunjuk reaksi sambil
membuntangkan matanya. “Jangan nak merepeklah. Mana ada!” jawab Emey Suhaila
tegas. Sudu yang dipegangnya sejak tadi diletakkan di pinggan. Kemudian air
dalam gelas yang masih berbaki pula dicapai lalu diteguk walau tidak haus. Sedang
bahang mula terasa menyengat tubuh Emey Suhaila kini.
Rogayah muncung, tidak puas hati dengan jawapan Emey
Suhaila. “Habis tu, kenapa dia buat macam tu? Kalau dia tak suka kau, mesti dia
tak akan buat semua tu. Aku rasa dia memang suka dekat kaulah Ila...”
“Eh, yang kau ni kenapa pakai macam ni lagi? Mana baju
yang kau borong semalam? Kenapa tak pakai?” Bergetar suara Emey Suhaila
melemparkan soalan-soalan itu kepada Rogayah sekali lagi. Emey Suhaila cuba
untuk mengubah topik perbualan mereka. Tidak sanggup lagi dia mahu mendengar
cerita berkenaan Razali terus-terusan disebut Rogayah. Rasa berasap telinganya
mendengar nama itu. Jiwanya juga turut bergetar kerana dihentam rasa tidak
selesa memikirkan tentang lelaki itu.
‘Razali nak tackle
aku? Argh! Tolonglah! Aku tak ingin! Jadi, jangan cakap pasal ni lagi dan
jangan sebut nama dia lagi. Aku tak suka! Aku tak suka!’ Mahu saja Emey Suhaila
jerit begitu ke telinga Rogayah tapi satu butir pun tidak terluah dari mulut Emey
Suhaila. Entah kenapalah mulut Emey Suhaila rasa berat sangat nak cakap begitu.
Padahal memang itulah yang bermain di benaknya sekarang tapi entah macam mana,
soalan lain pula yang meluncur laju keluar dari mulutnya.
“Kan semalam aku dah teman kau beli banyak baju yang
cantik-cantik. Kenapa kau tak pakai? Nak buat apa simpan saja dalam almari. Nak
buat perhiasan ke kain lap kaki? Baju yang kau pakai ni dah boleh pakai masa
tidur tahu? Ke baju yang kita beli semalam tak cukup? Nak aku teman kau beli
baju barukah?” Emey Suhaila jengah ke bawah meja. Kemudian dia angkat muka
semula dan terus memandang ke arah Rogayah. “Tengok! Kasut pun kau tak tukar
lagi. Apalah kau ni...” Emey Suhaila geleng kepala. “Beli kasut banyak-banyak
pun, kasut sarung tu juga yang dia pakai...”
“Ops... cop! Cop!” Rogayah cepat-cepat pintas cakap Emey
Suhaila yang terus saja membebel tiba-tiba. Sekaligus, kata-kata Emey Suhaila
serta-merta mati di situ. “Alah, kau ni tak habis lagi ke nak bebel dekat aku?”
Rogayah mengeluh.
Emey Suhaila tenung muka Rogayah. Perlahan-lahan Emey
Suhaila telan liur, membasahi tekaknya yang kali ini benar-benar terasa kesat.
Gelas di tepi dicapai tapi air di dalamnya telah pun kering. Emey Suhaila
kembali tenung muka Rogayah yang muncung panjang lalu Emey Suhaila gumam bibir.
“Kau tu yang tak mahu ikut cakap. Kalau tak mahu,
cakaplah terus-terang semalam. Tak payahlah membazir beli tapi simpan saja buat
koleksi,” bisik Emey Suhaila perlahan. Dia tidak berniat mahu Rogayah mendengar
kata yang terucap keluar dari mulutnya kali ini. Jujurnya, Emey Suhaila bukan
sengaja mahu berleter mahupun ajukan bermacam soalan macam peluru berpandu
kepada Rogayah tapi itulah yang terkeluar dari mulutnya tadi sebab hendak
mengelak dari mendengar cerita pasal Razali.
“Yalah... yalah. Esok lusa bila aku dah bersedia, aku
pakailah ikut macam yang kau ajar. Tapi... berilah aku masa. Aku kena juga
biasakan diri sikit-sikit. Kalau tiba-tiba nak berubah terus, aku rasa
janggallah.” Rogayah mengalah.
Emey Suhaila diam. Rogayah juga diam membisu. Buat seketika,
perbualan mereka seakan mati. Hanya riuh suara manusia yang turut memenuhi kafe
itu saja yang sampai ke telinga mereka. Sedangkan Emey Suhaila kembali mengais makanannya
dengan sudu tapi tidak pula disuap ke mulut.
Namun, kebisuan cerita mereka tidak lama apabila Rogayah
kembali membuka ceritanya semula.
“Kalau Razali tu sukakan kau, apa salahnya? Kenapa kau
asyik nak mengelak saja? Suka tu tak salah kan...” kata Rogayah lagi setelah
melihat Emey Suhaila senyap saja dari tadi. Kebisuan Emey Suhaila itu memberi
ruang kepada Rogayah untuk terus merisik tentang Razali. Dia benar-benar mahu
tahu hubungan lelaki itu dengan Emey Suhaila.
Emey Suhaila bulatkan mata apabila nama Razali tetap
menjadi topik perbualan Rogayah. Lantas Emey Suhaila mengeluh keras. ‘Tak ada
nama lain ke dia nak sebut?’ desis Emey Suhaila dalam hati.
“Eh, ceritalah benda lain... asyik cakap pasal Razali tu
tak bosankah? Nanti tersedak pula mamat tu kau asyik sebut nama dia saja.” Emey
Suhaila cuba mengelak.
“Kenapa?”
“Kenapa kau sibuk sangat nak cerita pasal dia? Kau ada
hati dekat dia ke?” Emey Suhaila cuba pulangkan paku buah keras. Hah, nak
sangat kenakan Emey Suhaila... sekarang biar Emey Suhaila pula usik Rogayah.
Serta-merta Rogayah menggelabah. Bersungguh-sungguh dia
geleng kepala, menafikan telahan Emey Suhaila itu. Sedang Emey Suhaila
tersenyum sinis di depan Rogayah. “Ish, mana ada! Tak baik kau buat gosip liar
tu tahu.”
‘Oh, kau buat gosip liar kat aku tak apa ya...’ Emey
Suhaila hela keluhan perlahan. Ikutkan hati mahu saja dia gelak besar melihat
reaksi Rogayah yang kalut semacam membidas usikannya tadi. Begitu juga rasanya
seperti mahu saja dia marah Rogayah teruk-teruk ketika gadis itu tidak
sudah-sudah bercerita tentang Razali dan mengaitkan dirinya dengan lelaki itu.
Ah! Emey Suhaila benci lelaki itu. Kalau diikutkan hatinya yang marah, memang Emey
Suhaila mahu ketuk mulut Rogayah. Paling tidak pun tengking Rogayah depan orang
ramai supaya gadis itu berhenti bercerita yang bukan-bukan.
Tapi, Emey Suhaila cuba kawal perasaan sebab... Emey
Suhaila kan nak sangat rampas status Ratu Kolej yang dipegang Melissa selama
ini. Dia perlu menjaga imej baik supaya lebih ramai pelajar akan mengundinya
nanti. Biar Melissa meraung satu kolej kerana kalah teruk dengan Emey Suhaila
walaupun sudah menyogok pelajar kolej.
Tapi cerita Rogayah tetap tidak berhenti di situ. Gadis
itu terus saja bercerita pasal Razali dan bikin Emey Suhaila makin tidak
keruan. Emey Suhaila terus mati kata-kata dan terpaksa mendengar cerita Rogayah
yang entah apa-apa hinggalah Emey Suhaila semakin panas mendengar
andaian-andaian yang cuba dibuat Rogayah. Walaupun ianya benar, tapi Emey
Suhaila mahu menafikannya.
Sementara Rogayah semakin petah bersuara. Macam-macam
pula kesimpulan yang keluar dari peti suaranya itu. Rasa bahang terus terasa di
seluruh tubuh Suhaila sehingga meresap ke ruang hatinya. Emey Suhaila hempas
keluhan. Telinganya juga sudah seakan bernanah mendengar bait kata Rogayah.
Bukan sebab ianya pedas sehingga menghiris hati halusnya tapi Emey Suhaila
tidak mahu lagi mendengar kenyataan yang Razali cuba mencuri hatinya itu. Walau
itulah realitinya, tetapi kebenaran itulah yang buatkan Emey Suhaila rasa
lemas. Sakit jiwa Emey Suhaila memikirkan perangai lelaki itu yang masih
terhegeh-hegeh walaupun sudah acap kali cintanya ditolak.
Tanpa bersuara, Emey Suhaila tolak kerusi ke belakang dan
mengangkat punggung. Begnya cepat-cepat disambar lalu terus beredar
meninggalkan Rogayah yang melopong memerhatikan Emey Suhaila pergi.
Masuk saja ke dalam bilik, Emey Suhaila terus hempas
tubuh ke katil. Tangan kanannya diletakkan ke belakang kepala, mengalas tengkuk
lalu Emey Suhaila mendongak ke arah siling. Kipas yang ligat berpusing di
siling diperhati. Leka Emey Suhaila seketika.
Tika nama Razali tiba-tiba melintas di fikiran, Emey
Suhaila geleng kepala laju-laju. Razali. Ah, kalau boleh Emey Suhaila tidak
mahu mendengar nama itu lagi. Sakit hatinya mengenangkan sikap Razali yang
selalu bikinnya malu. Kerana sikap Razali itu jugalah banyak mulut yang mula
mengatanya.
“Kenapa kau monyok aje ni?”
Serta-merta Emey Suhaila angkat tubuh dan memandang ke
arah suara yang menegur. Azura terpacak di depan Emey Suhaila sambil cuba
mengeringkan rambutnya dengan tuala. Emey Suhaila tercengang seketika. ‘Bila
pula Zura... aku ingat dia tengah tidur tadi?’ detik hati Emey Suhaila sambil
terpinga-pinga memandang Azura.
“Apasal kau tengok aku macam tu? Ada benda pelik ke kat
muka aku ni? Ada buih sabun lagi ke?” Azura kalut menekup mukanya dengan tuala
dan terus beralih ke kepala. Rambut yang masih basah digosok laju-laju.
“Kau dah sihat ke?” Akhirnya soalan itu yang keluar dari
mulut Emey Suhaila setelah terkebil-kebil memerhati gelagat Azura sekejap tadi.
Azura terus beria-ia menggosok rambutnya yang panjang itu
dari pangkal kepala hinggalah ke hujung. Puas menggosok, tuala di tangannya
disangkut ke bahu. Seketika, Azura hela nafas panjang. “Boleh tahanlah. Aku
rasa dah baik sikit...” balas Azura lambat sambil meraba dahinya. Masih terasa
sedikit hangat walaupun dia baru selesai mandi.
Emey Suhaila menganggguk. “Baguslah...” Emey Suhaila
membisik kata-kata lega itu perlahan. Terlalu halus hingga tidak didengari oleh
Azura. Emey Suhaila benar-benar lega. Sekurang-kurangnya, esok lusa mungkin
Azura sudah boleh pergi ke kuliah. Dengan adanya Azura yang garang bagai mak
tiri itu, mungkin lelaki bernama Razali itu tidak berani datang dekat.
“Yang kau ni pula, kenapa? Monyok macam tapai basi aje
aku tengok. Ada masalah ke? Budak Razali tu kacau kau lagi eh?” Azura meneka.
Emey Suhaila serta-merta angkat muka dan memandang terus
ke muka Azura. Mata Azura bulat memandangnya. Tekaan Azura itu memang tepat, seakan
teman rapatnya itu dapat membaca semua fikiran Emey Suhaila.
“Dia menggatal dengan kau lagi ke?” ulang Azura lagi.
Kali ini lebih keras lalu Azura merengus keras. Kakinya ditarik ke atas dan
dilipat di antara keduanya. “Ish, mamat tu memang tak serik-serik kan. Kau
jangan layan mamat tu, Ila. Aku tak suka kau rapat dengan dia.” Azura mula naik
marah bila mengenangkan sikap Razali. Angin panas mula berdebus-debus keluar
dari rongga hidungnya.
“Aku pun tak suka. Tapi aku tak tahulah... kalau kau tak
ada, sikap dia makin menjadi-jadi. Letih aku larikan diri dari dia. Macam
banduan lari dari penjara pula aku rasa,” keluh Emey Suhaila.
“Kau tu pun diam aje buat apa? Tak payah nak berlagak
lembut dengan mamat tu. Kau tu pun bukannya lembut asli pun. Marahlah aje dia
cukup-cukup, tak guna nak pura-pura berlembut lagi. Makin menjadi-jadilah miang
mamat tu nanti.” Azura mula bersyarah di depan Emey Suhaila sambil tangannya
dilayangkan ke udara, mengikut rentak bebelan yang dilontarkan. Berkerut-kerut
muka Azura menahan geram terhadap Razali yang tidak pernah makan saman itu. Lelah
Azura asyik bertekak dengan lelaki itu setiap kali bersua muka. Azura bertekak
sebab lelaki itu tidak faham-faham yang Emey Suhaila tidak menyukainya tapi masih
bersungguh-sungguh mahu menyunting hati Emey Suhaila. Emey Suhaila pula
menggila-gila tidak suka tapi hanya berdiam diri. Pada Azura saja asyik dia mengadu
itu dan ini. Sesak telinga Azura mendengar aduan Emey Suhaila. Mahu tidak mahu,
terpaksa juga Azura menjadi ‘penyibuk’ lagak ‘bodyguard’ Emey Suhaila.
“Lelaki tu pun tak reti bahasa. Kalau orang asyik
mengelak tu maknanya orang tak sukalah. Itu pun tak faham-faham. Asyik nak
kejar sana-sini. Tapi, kalau aku ada tak berani pula dia nak kacau kau. Aku rasa
kau kena jadi macam aku nilah, Ila. Tak payah nak jadi lembut-lembut sangat
macam watak ‘Ratu Kolej’ dalam bayangan kau tu. Nak berlembut pun tengok
tempatlah. Dengan lelaki miang keladi macam Razali tu, kau janganlah diamkan
aje. Sampai bila kau nak terus lari dan mengelak macam ni? Makin kau lari,
makin galak pula dia kejar. Laratkah kau nak lari? Silap-silap dengan gelaran
Ratu Kolej yang kejar sangat tu tak kesampaian gara-gara dia.”
Emey Suhaila membatukan diri dan membiarkan saja Azura
terus mengomel setentang dengannya. Kadang-kala Emey Suhaila rasa lebih baik
kalau Azura terus demam dan terbaring atas katil. Tak perlulah telinganya
disumbat dengan bebelan Azura yang berjelar-jelar. Sekarang sudah tambah
seorang lagi yang rajin menyesakkan telinga Emey Suhaila. Tak pasal-pasal Emey
Suhaila berkawan dengan Rogayah yang berceloteh tak berhenti.
Tapi kalau Azura membebel pun bersebab. Sebab Emey
Suhaila berlagak ayu semata-mata mahu mengejar gelaran Ratu Kolej itu, ramai
lelaki yang terhegeh-hegeh menagih cintanya, termasuklah Razali yang memang
tidak faham bahasa walau telah ditolak berkali-kali. Mungkin betul juga kata
Azura. Mungkin Emey Suhaila terlalu lembut dalam menolak cinta Razali. Mungkin
benar Emey Suhaila perlu berkeras terhadap lelaki seperti Razali.
“Kalau kau nak teruskan juga berlakon jadi baik tu,
nampak gayanya aku kenalah jadi bodyguard
kau!”
Hampir tergelak Emey Suhaila mendengar cadangan yang
tiba-tiba saja dilontarkan Azura. “Bodyguard?”
soal Emey Suhaila tidak percaya. Sedang Azura mengangguk laju. Kali ini Emey
Suhaila benar-benar rasa geli hati. Cepat-cepat Emey Suhaila katup mulut dengan
jari sebelum tawanya terus meletus keluar. “Aku tak perlukan bodyguardlah.”
“Habis tu, kalau kau tak perlu bodyguard baik macam aku ni ubahlah sikit perangai kau tu. Selama
ni pun, aku memang dah jadi macam bodyguard
kau tahu!”
“Kenapa? Kau kata tadi aku berlakon jadi baik? Aku ni
jahatkah?”
“Tak adalah. Kau ni memang baik... suka tolong orang.
Suka menyibuk hal orang. Suka menyusahkan aku...”
“Hah?!” Terbeliak mata Emey Suhaila mendengar jawapan
Azura. Reaksinya itu pula dibalas dengan tawa Azura yang terkekek-kekek ketawa
geli hati.
“Tak adalah. Kau ni memang baik.. betul! Tak adalah jahat
sangat pun.”
“Tak jahat sangat?” pintas Emey Suhaila separuh menjerit.
“Jadi, aku ni jahatlah ya?”
Azura gelak lagi sambil menyisir rambutnya ke belakang.
Tuala yang lama tersangkut di tengkuknya ditarik dan dilebarkan pula pada
kepala katil. “Sikit-sikit tu adalah...” balas Azura lambat dengan nada selamba.
Terbelalak lagi mata Emey Suhaila mendengar jawapan Azura
itu lalu dia terkesima.
Azura betulkan posisi duduknya dan bersandar ke dinding.
Rambut yang masih lembap dibiarkan tidak bersikat. Wajah Emey Suhaila yang mula
nampak muram ditenung dari katilnya. “Tak adalah,” kata Azura lagi dalam nada
bergurau. Senyum nakal sudah terukir di bibir kecilnya. “Kau tu memang baik...
cuma sikap kau yang asyik sangat dengan angan-angan kau nak jadi Ratu Kolej
termasuk Sakura Hime tu yang kelakar. Tapi, bila ramai lelaki nak dekat kau...
kau pula jual mahal. Yang kau cari cuma lelaki kacak yang kaya aje. Kalau
senang nak dapat lelaki sempurna dalam fikiran kau tu, dah lama aku yang kebas
dulu!” Azura gelak nakal. “Mana ada manusia yang sempurna beb! Jangan sampai
yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran sudahlah Ila...” Azura menyambung
tawanya yang masih berbaki.
Emey Suhaila terus diam membatu tanpa membalas kata-kata
Azura kali ini. Entah ke mana kata-kata itu melayang. Entahkan sampai ke
telinganya atau sekadar dibawa angin petang yang agak kuat menyerbu masuk
melalui tingkap yang terbuka luas.