Emey Suhaila hempas keluhan halus. Letih rasanya melayan
Rogayah yang banyak soal. Puas dia mengelak tapi sejak tadi Emey Suhaila masih
belum berjaya melepaskan diri. Rancangan awalnya mahu terus pulang ke kolej
tadi. Perutnya juga sudah terasa lapar. Terbayang-bayang yee mee claypot Mak
Cik Mariam yang panas dan enak di kafe kolej. Fuh, kalau makan masa panas-panas
memang best. Melekat rasanya dalam
kotak ingatan sampai gian pula dibuatnya. Kalau hari-hari makan claypot Mak Cik
Mariam pun Emey Suhaila tidak kesah. Memang sedap... tak tipu.
Emey Suhaila toleh sebelah kiri. Melihat muka Rogayah
yang beria-ia di sebelah membuatkan Emey Suhaila semakin lemas. Bukan
telinganya saja yang sudah mula panas diterjah soalan Rogayah yang lagaknya
macam wartawan gosip itu. Malahan, seluruh tubuh Emey Suhaila rasa terbakar.
Angin yang menyerbu keluar dari penghawa dingin kereta juga sedikit pun tidak
terasa. Tambah melelahkan nama Razali tidak putus keluar dari mulut Rogayah.
‘Hai, tak ada soalan lain ke nak tanya? Buat sakit hati
aje dengar nama lelaki tu tau. Dahlah masuk kereta aku suka hati dia. Bila pula
aku pelawa dia masuk kereta ni?’
“Ila, cepatlah cerita dekat aku. Kau dengan budak lelaki
tu ada apa-apa ke? Aku tengok muka dia tadi macam ada perasaan aje dekat kau.
Betul eh dia suka dekat kau?” soal Rogayah lagi entah buat ke berapa kali.
Sesak telinga Emey Suhaila disumbat soalan-soalan itu.
Sesak juga dadanya mendengar telahan Rogayah yang entah apa-apa. Namun kebisuan
Emey Suhaila tidak mengubah keadaan itu malah Rogayah semakin ligat menyoal.
Spontan satu lagi keluhan dilepaskan Emey Suhaila.
“Cukup!” Emey Suhaila bersuara agak keras dengan kedua
belah tapak tangannya dilebarkan di depan muka Rogayah. Terkebil-kebil Rogayah
yang baru saja berniat mahu melontarkan soalannya lagi. Mulutnya yang sibuk sangat
bercakap tadi melopong.
“Cukuplah tu Rogayah. Tak penat ke kau tanya aku
macam-macam soalan? Aku penatlah nak jawab.” Emey Suhaila bersuara lagi.
“Kau tak jawab pun soalan aku tadi. Satu soalan pun kau
tak jawab...” balas Rogayah mencebik.
“Aku tak ada jawapan untuk soalan kau tu. Yang kau pun,
asyik tanya tu... tanya ni, tak henti-henti macam keretapi, yang mana satu aku
nak jawab? Sudah... sudah. Aku malas nak jawab semua soalan kau tu. Kau tanya
ajelah orang lain.”
“Aik! Aku nak tanya pasal kau pun kena tanya orang lain
ke?” Rogayah garu kepala, tidak mengerti.
Emey Suhaila hela nafas halus, malas mahu membalas. Kalau
dibalas, makin panjang pula ceritanya nanti. Budak Rogayah ni bukan boleh
diberi peluang. Baru berkenalan beberapa hari, sudah selamba tanya Emey Suhaila
macam-macam. Boleh buat gosip pula tu. Kalau Emey Suhaila jawab pun, dia faham
ke nanti. Entah-entah bertambah-tambah soalan dalam kepalanya yang tidak
sabar-sabar mahukan jawapan. Tidak larat Emey Suhaila mahu menghadap
soalan-soalan Rogayah yang mengalahkan soalan atas kertas peperiksaan nanti.
Ish, lebih baik Emey Suhaila cari akal untuk ubah topik!
“Ni, yang kau pun sibuk masuk juga dalam kereta aku ni
buat apa? Aku ada ajak kau masuk ke tadi?”
Rogayah tercengang. Lantas dia pandang keliling lalu
tangannya sekali lagi hinggap ke kepala. Menggaru. Wajahnya jelas nampak blur.
Emey Suhaila geleng kepala. ‘Ah, sudah! Sendiri masuk pun
tak sedar ke? Tulah, sibuk sangat menyoal itu dan ini sampai tak sedar dia
dekat mana,’ rungut Emey Suhaila dalam hati.
“Sudahlah! Alang-alang kau dah masuk ni... takkan aku nak
halau kau keluar pula. Jom aku hantar kau balik kolej ajelah. Kau duduk kolej
mana?” soal Emey Suhaila acuh tak acuh.
Rogayah terpinga lagi. Sementara Emey Suhaila sendiri
terkejut akan pelawaannya tadi. ‘Alamak!’ Terpacul perkataan itu dari mulutnya
tapi perlahan. Dalam hati, Emey Suhaila menyumpah. Ikutkan rasa, mahu saja dia
tampar mulut sendiri yang ringan saja membuat tawaran itu.
‘Nak hantar Rogayah balik? Dibuatnya dia terus tanya
macam-macam nanti macam mana? Larat ke aku nak dengar?’ Emey Suhaila menjerit
dalam hati tapi mulutnya yang gatal sangat pelawa Rogayah tadi sudah pun
terlepas cakap. Takkanlah dia hendak tarik balik. Tegarkah dia buat begitu?
Kalau sampan, bolehlah dia tarik talinya tapi ini...
‘Ah, cakap ajelah yang aku ada hal ke... tak adalah minah
ni nak ikut kot.’
“Boleh juga. Aku duduk Kolej keempat!” ujar Rogayah
sungguh-sungguh sambil tersenyum lebar. Belum sempat Emey Suhaila beri alasan
mahu mengelak, Rogayah terlebih dulu bersuara. Alamak, tak dapatlah Emey
Suhaila lari lagi. Kalau tiba-tiba dia hendak beri alasan pun, kasihan pula
pada Rogayah yang nampak bercahaya saja mukanya. Teruja sangatlah tu agaknya.
Tidak dapat dinafikan lagi, seronoknya hati Rogayah bila Emey
Suhaila mahu menghantarnya pulang. Tidak perlulah dia bersusah-payah beratur
panjang menunggu bas dan berebut dengan penuntut-penuntut lain.
“Eh, terima kasihlah Ila. Kau ni memang baiklah...”
sambung Rogayah lagi dengan lagak teruja sambil menggoncang tangan Emey Suhaila
berkali-kali. Bergegar rasanya tubuh Emey Suhaila seketika. Rogayah lekas-lekas
membetulkan posisi duduknya. Kemudian tangannya menarik tali keledar dan dipasang
kemas. Sempat Rogayah melempar senyuman ke arah Emey Suhaila di sebelah.
Melihat keadaan itu, Emey Suhaila gumam bibir. Senyum
kelat terlukis di bibirnya. ‘Alahai, nampaknya terpaksalah... nak buat macam
mana lagi. Salah aku juga. Gatal sangat ajak tadi siapa suruh.’
Emey Suhaila cucuh kunci ke lubang kunci lalu dipulas
sekali. Bunyi enjin kereta yang bergetar dapat didengar dari dalam. Tidak lama,
kereta Viva hitam yang dipandu Emey Suhaila meluncur meninggalkan tapak parkir
itu.
Pada awalnya, perjalanan mereka senyap sunyi tanpa
sepatah perkataan. Rogayah pula seakan tidak senang duduk. Matanya meliar ke
seluruh sudut dalam kereta. Emey Suhaila sempat menjeling ke arah Rogayah.
Lagaknya macam tidak pernah naik kereta. Awal-awal tadi pandai pula dia duduk
diam-diam. Tapi sebaik kereta itu bergerak, Rogayah mula tidak duduk diam.
Semua benda dia mahu belek. Tambah sebal, bermacam pula soalan yang meluncur
laju keluar dari mulut Rogayah bersama pemerhatiannya. Macam-macam Rogayah
tanya pasal kereta lagak orang nak cuba pandu uji kereta pula. Kalau boleh
semua benda dalam kereta itu dia mahu tanya.
‘Hai, berminat nak beli kereta pula ke cik Rogayah ni.’ Gerutu
hati Emey Suhaila melihat peel Rogayah. Letih Emey Suhaila menjawab semua
soalan gadis itu. Sengaja Emey Suhaila mainkan CD lagu kuat-kuat sebab tidak
mahu melayan soalan-soalan Rogayah lagi. Biar suara gadis di sebelahnya itu
tenggelam dek melodi dan nyanyian Mariah Carey yang lantang.
Emey Suhaila tarik nafas panjang setelah letih memanjat
tangga hingga ke tingkat dua. Alamak, ada setingkat lagi terpaksa Emey Suhaila
daki. Jauhnya rasa. Fuh, inilah padahnya kalau rajin sangat bersenam. Baru naik
tangga sikit sudah termengah-mengah. Kalau hendak diharapkan ada lif dekat
kolej ni, jangan haraplah. Sampai ke zaman cucu cicit pun tidak mungkin kolej ini
sudah naik taraf sampai sediakan lif untuk kolej pelajar yang cuma empat
tingkat itu.
Tapi kalau hendak dibandingkan dengan beberapa minit lalu
di mana Emey Suhaila terpaksa melayan kerenah dan soalan Rogayah... hah, yang
itu lagi letih! Sesak nafas dibuatnya. Mulut keretapi itu tidak reti langsung
hendak berhenti. Pet pot pet pot tidak henti-henti. Orang yang mendengar pula
yang jadi lelah dibuatnya.
Pijak saja lantai aras tiga, Emey Suhaila hempas nafas
panjang. Fuh, sampai juga! Leganya rasa, macam sudah sampai ke puncak gunung
Himalaya pula. Namun sesak nafas masih terasa mengasak dada yang kian rancak
menyedut udara masuk. Emey Suhaila terus atur langkah. Berjalan menerusi laluan
kecil, melintasi bilik penghuni searas dengannya.
“Hai, lambat balik hari ni Ila. Kelas lambat habis ke
tadi?” tegur Kak Aini yang sedang menyidai pakaiannya yang baru saja di basuh
di ampaian depan biliknya.
Emey Suhaila hanya mampu tersenyum kelat menjawab soalan
Kak Aini itu. Tidak larat rasanya mahu bersuara sedangkan dia masih seksa
menahan mengah yang belum pun berkurang. Kunci bilik dikeluarkan lambat-lambat
dari dalam kocek beg lalu dicucuh masuk ke dalam lubang kunci. Tombol pintu
dipulas dan daun pintu dibuka separuh. Emey Suhaila terkial-kial menanggalkan
kasut tumit tinggi dua incinya dan dibiarkan saja di depan pintu sebelum masuk
ke dalam. Setelah pintu ditutup rapat, Emey Suhaila terus hempas tubuh ke
katil. Hanya katil itu saja yang dapat dilihatnya ketika ini.
Wah, nikmatnya rasa bila dapat golek-golek atas katil
walaupun tilam keras macam papan lapis. Letihnya jangan cakaplah. Emey Suhaila
tekup muka ke bantal. Uhm, bau harum pewangi Downy masih segar menusuk ke
hidung. Seakan mahu terus dibuai dek mimpi ketika ini.
Sambil terkebil-kebil, Emey Suhaila menjeling ke arah
katil sebelah. Dalam pandangan yang agak kabur, dia nampak ada susuk tubuh yang
berselubung di katil itu. Emey Suhaila terus buka mata luas-luas. Matanya
sesekali digosok dengan jari. Sah! Memang Emey Suhaila tidak silap pandang.
Susuk tubuh yang memaling ke dinding itu adalah Azura. Kalau bukan Azura, siapa
lagi?
Emey Suhaila bangun dari baring. Bantal yang dibuat alas
kepala tadi disambar lalu dipeluk kuat. Matanya dari tadi memandang ke arah
Azura yang seakan enak tidur.
“Amboi, sedapnya dia tidur. Dahlah tak datang kuliah...
membuta pula dekat bilik ni,” ngomelnya sendiri lantas membuang bantal dalam
dakapan ke arah tubuh Azura.
Azura terus dibuai lena. Nyenyak sangatlah tu sehingga
suara Emey Suhaila yang bergema satu bilik itu tidak mampu mengejutkan
tidurnya. Malahan bantal yang singgah ke tubuhnya juga seakan tidak memberi
sebarang impak.
Emey Suhaila lempar pandang ke arah tingkap yang tertutup
di hujung bilik. Dia bangun dan berjalan ke tingkap itu. Cermin tingkap sengaja
dibuka luas, membiarkan cahaya petang yang terik menerangi bilik itu sekaligus
menyuluh ke kepala katil Azura. Namun tindakan Emey Suhaila itu tidak sedikit
pun menggugat tidur Azura. Gadis itu masih berselubung dengan selimut meliputi
seluruh tubuh.
Emey Suhaila gumam bibir sambil mencekak pinggang. “Aik,
panas terik macam ni pun boleh tidur lagi? Siap pakai selimut pula tu petang-petang
ni. Ada nyamuk ke?” Emey Suhaila beralih dari tepi tingkap. Badannya pula
terasa bahang dipanah terik matahari petang. Sedang Azura seperti kebal tidak
berganjak walau panahan matahari tepat ke katilnya.
“Eh, Zura. Bangunlah... dah pukul berapa ni?” Jam loceng
di atas meja sempat dijeling. “Takkanlah sebab hal semalam kau tak datang
kuliah. Lepas tu tak mahu cakap dengan aku lagi. Sampai bila kau nak merajuk
ni? Macam budak-budaklah kau buat macam ni. Nak aku mengadu dekat abang
kesayangan kau tu ke?”
Azura masih tidak beri respon. Selalunya kalau Azura
dengar saja nama Razif, pasti dia akan terjaga. Pantang bila Emey Suhaila
mengugut mahu mengadu kepada Razif, Azura pasti akan melenting. Tak mahu kena
bebel dengan abang kesayangan dialah tu. Alah, kalau Razif berleter pun...
leter-leter sayang kata orang. Tapi kali ini, Azura buat tidak endah. Kenapa?
Azura merajuk pada Razif jugakah? Emey Suhaila hempas keluhan halus. Geram.
Lantas dia menerjah ke katil Azura.
Emey Suhaila terus menarik selimut yang menutup tubuh
Azura sebaik hempas punggung di sebelah gadis itu. Kemudian tangan lebar Emey
Suhaila pantas menampar lengan Azura yang masih tidak terjaga.
“Hei, aku cakap dengan kaulah. Bukan dengan dinding!
Janganlah buat tak tahu aje...” Emey Suhaila goncang tubuh Azura namun mata
Azura masih tidak mahu buka. Mata itu sengaja ditutup rapat. Emey Suhaila
nampak dahi Azura berkerut. Emey Suhaila juga nampak titik-titik peluh yang
membasahi dahi Azura. “Itulah, siapa suruh kau pakai selimut tengah-tengah
panas terik ni. Kan dah berpeluh sakan.” Emey Suhaila menegur sambil menepuk
lengan Azura sekali lagi. Selimut yang masih menutupi separuh tubuh Azura
diselak habis.
Emey Suhaila terdiam seketika bila melihat tubuh Azura kelihatan
menggeletar. Telinganya pula tiba-tiba saja menangkap suara halus Azura yang
mengerang perlahan. Emey Suhaila menoleh, memandang tepat ke muka Azura yang
semakin berkerut. Tangan Emey Suhaila pantas mencapai dahi Azura lantas muka Emey
Suhaila terus berubah panik.
“Ya Allah! Panasnya!” teriaknya separuh menjerit.
Emey Suhaila mula gelabah. Kepalanya tertoleh-toleh ke
kiri dan ke kanan tetapi otaknya langsung tidak tahu apa harus dibuat. Selimut
yang tadinya ditarik dilebarkan semula menutupi tubuh Azura. Namun tubuh Azura
semakin rancak pula menggeletar. Emey Suhaila bangkit dan berlari ke pintu.
Suis kipas segera ditutup. Kemudian dia mundar-mandir sendiri sambil
sekali-sekala menoleh ke arah Azura.
“Alamak! Apa aku dah buat ni? Badan Zura panas betul...
macam seterika! Apa aku nak buat?” soal Emey Suhaila bertalu-talu seorang diri.
Tidak senang duduk dia jadinya. Sekejap duduk di kaki katil, sekejap
mundar-mandir dan sekejap mencangkung. Rambutnya juga sudah berkali-kali
diramas, memikirkan tindakan yang patut dibuatnya tapi sedari tadi Emey Suhaila
buntu.
“Aku kena beritahu Razif ke? Hah, Razif! Betul... betul!”
Emey Suhaila bangun dari cangkung dan cepat-cepat capai telefon bimbit dari
dalam tas tangannya yang hanya dicampak atas katil sebaik balik tadi.
Nombor telefon Razif segera dicari dan butang hijau pada
dada telefon ditekan. “Eh, kejap!” Emey Suhaila lekas-lekas putuskan talian
yang baru dua saat dibuatnya. Nasib baik Razif tidak sempat menjawab panggilan
tu. “Kalau aku beritahu si Razif tu pun, apa dia boleh buat. Ish, apa aku nak
buat ni?” Emey Suhaila garu kepala lagi. Sesak kepala otaknya yang sememangnya
rasa tepu sejak dari kolej tadi. Agaknya otaknya sekarang sudah penuh diisi
dengan soalan-soalan Rogayah yang meluncur bagai peluru beberapa jam lalu. Ops,
belum sejam pun berlalu rasanya.
Emey Suhaila mendapatkan Azura semula. Dahi Azura diraba
lagi. Panas. “Zura, kau tak apa-apa ke? Kau demam ni...” kejut Emey Suhaila
lalu menepuk-nepuk bahu Azura. “Zura...” Berkali-kali Emey Suhaila cuba
mengejutkan Azura tapi usahanya itu tidak menampakkan hasil. Emey Suhaila garu
kepala lagi. “Aduh, apa aku nak buat ni? Zura... bangunlah. Apa aku nak buat
dengan kau ni? Sekurang-kurangnya beritahulah apa patut aku buat sekarang ni?” Emey
Suhaila menggelabah hingga hampir menangis.
Azura tidak pernah demam tinggi begini. Selalunya kalau
Azura rasa tidak sihat, awal-awal lagi dia sudah makan macam-macam vitamin.
Paling kurang pun minuman isotonik 100plus pasti akan menjadi teman setianya.
“Hah! 100plus!” Emey Suhaila mendapat akal. Tanpa
membuang masa, dia terus meluru keluar dan turun ke kafe.
Emey Suhaila terus mundar-mandir di dalam bilik.Sudah
letih dia mengejut Azura tapi gadis itu masih tidak bangkit. Air 100plus yang
bersusah-payah dibelinya tadi juga masih tidak luak. Lima minit tadi, Emey
Suhaila ada meraba panas di dahi Azura. Ternyata badan Azura masih lagi hangat.
Agaknya kalau letak telur dekat bawah ketiak Azura, telur pun masak. Emey
Suhaila geleng kepala sungguh-sungguh. Apalah yang Emey Suhaila fikir ni?
Mengarut betul!
Matahari yang tadinya terik memancar ke dalam ruang bilik
juga kini kian gelap. Sekejap lagi, azan Maghrib pasti akan berkumandang. Emey
Suhaila pula sejak balik tadi, belum sempat menyiram tubuhnya yang sudah mula
terasa berlengas. Mesti ketiaknya juga sudah hangit. Tapi dari tadi Emey
Suhaila asyik sibuk fikir tentang Azura hingga lupa akan semua tu.
“Selimut dah pakai... kipas dah tutup sampai aku pula
yang berpeluh kepanasan. Air pun aku dah belikan tapi dia pula tak mahu minum.
Bangun pun tak larat, macam mana dia nak minum. Aduh, apa aku nak buat lagi ni?
Kena telefon ambulan ke?” Emey Suhaila mengomel sendiri sambil terus
mundar-mandir. “Atau kena juga telefon Razif?” Emey Suhaila menggeleng. “Ish,
buang masa! Tapi aku kena minta bantuan. Otak aku ni dah macam tak boleh fikir
apa-apa. Tapi... aku nak tanya siapa? Razif?” Emey Suhaila ketuk kepalanya
dengan tangan. Entah kenapa nama lelaki itu saja yang singgah ke kepalanya.
Pantang perihal berkaitan Azura mesti nama Razif saja yang melintas di fikiran.
Tapi mustahil jika dia menghubungi lelaki itu sekarang. Membazir kreditnya saja
jika orang yang menjawab nanti mamai dalam lena. Nanti hatinya juga yang sakit.
‘Ah! Lupakan aje pasal mamat dekat negara omputih tu.
Tolonglah Ila, fikir betul-betul. Lenyapkan nama Razif tu sekejap dari otak
kau. Sekarang, kau kena fikirkan apa yang patut kau buat. Tak payah buang masa
nak telefon si Razif tu. Ok... Ila, tarik nafas dalam-dalam. Kau kena relaks,
barulah boleh fikir betul-betul.’
Rasa gemuruh sudah menyesakkan kepalanya yang kian tidak
mampu berfikir dengan tenang. Gemuruh di dada juga perlu ditepis jauh. Emey
Suhaila duduk bersila di atas lantai kemudian dia menarik nafas panjang
beberapa kali. ‘Mak... apa mak akan buat kalau aku demam ya?’ soalnya sendiri.
“Nak panggil Kak Aini ke? Dia tu kan ketua hostel! Mesti dia boleh tolong!”
Emey Suhaila bergegas ke pintu. Namun langkahnya terhenti
sebelum tangannya sempat menarik daun pintu. “Tak mahulah!” Emey Suhaila
menoleh ke belakang. Matanya meliar melihat seluruh bilik. “Huh, nanti mesti
kena berleter panjang lebar dengan Minah busy
body tu. Lepas tu mesti Kak Mastura tu pun menyibuk sama juga. Tolongnya
sikit, leter dia aje yang banyak. Buat sakit hati aje. Tak payahlah. Baik aku
fikir sendiri!”
Emey Suhaila nekad dan terus kembali ke katil. Melihat
keadaan Azura dari situ, Emey Suhaila terus kerah otak. Dia cuba berfikir jika
dia berada di tempat ibunya. Sesekali Emey Suhaila menekan kepala. Sedangkan
hatinya yang cuba ditenangkan sejak tadi masih diasak bermacam perasaan yang
entah apa-apa. Emey Suhaila sendiri tidak dapat mentafsirkan perasaannya
sekarang ini. Adakah gelisah, risau atau gelabah yang menghantui dan menerkam
hatinya tidak sudah-sudah? Apa yang pasti, otaknya sekarang pula rasa seakan
tepu.
Telefon diraih dan akhirnya nombor ibunya didail. Telfon
diletakkan di telinga dan dia menanti jawapan. Tapi panggilan tidak berjawab.
Hampa. Dia duduk semula dan memikirkan tindakan selanjutnya.
Emey Suhaila ketuk kepalanya yang terasa beku. Beku macam
ais! Tiada ruang langsung untuk jentera otaknya berfikir. Sakit hati pula Emey Suhaila
dibuatnya. Kerana terlalu geram gara-gara otaknya yang langsung tidak dapat
berfikir dan hatinya yang tidak mahu bertenang, Emey Suhaila bangkit semula
dari duduk dan terlompat-lompat di tepi katil sambil melepaskan amarah.
“Ish, apa kenalah otak aku ni. Beku semacam aje ni?”
bentaknya geram sambil mengetuk lagi kepalanya dengan ruas jari. “Arghh... tension betullah. Satu apa pun tak boleh
nak fikir!” marahnya terus. Ikutkan marah yang berbulu di hati, mahu saja Emey
Suhaila hentak kepala ke dinding. Biar retak ketulan ais yang penuh dalam
otaknya sekarang ini.
Emey Suhaila geleng kepala kuat-kuat. Terasa bergoncang
kepalanya namun mindanya masih terasa kosong. Macam orang hilang ingatan pula
rasanya. Emey Suhaila terlompat-lompat lagi, sambil meraung geram pada dirinya
sendiri. Mahu saja dia berguling atas lantai lagak anak kecil yang tidak dapat
gula-gula tapi belum sempat dia berkelakuan begitu, suara azan sayup-sayup
menyelinap masuk ke gegendang telinganya. Emey Suhaila terdiam seketika.
Kemudian matanya meliar mencari sesuatu dari dalam bilik itu. Namun dia tidak
pasti apa yang dicari.
Langit di luar jendela sudah hampir gelap. Azan yang
berkumandang di luar itu menandakan waktu Maghrib sudah tiba. Emey Suhaila
terduduk. Dia mengucap panjang sambil mengurut dada perlahan-lahan. Emey
Suhaila cuba bertenang sementara bibirnya terkumat-kamit menjawab lafaz azan yang
dilaungkan.
Bahu Emey Suhaila serta-merta terhinjut kerana tersentak
akibat ketukan di luar pintu biliknya sebaik azan Maghrib berakhir. Emey
Suhaila urut dada yang sedikit gemuruh lalu bangkit ke arah pintu. Terjengul
muka Rogayah bila daun pintu dibukanya.
Lantas tanpa disedari, Emey Suhaila terus menerpa dan
menangkap tubuh Rogayah lalu memeluk gadis itu erat. Air matanya juga tiba-tiba
saja deras mengalir dari birai mata. Emey Suhaila tidak mengerti kenapa dia
berkelakuan begitu. Malahan, Rogayah juga sudah pasti terpinga-pinga. Sekejap
lagi terpaksalah Emey Suhaila sumbat telinga dan menjawab bermacam soalan yang
pastinya bertimbun keluar dari mulut Rogayah.
Hati Emey Suhaila benar-benar lega melihat wajah itu di
muka pintu. Walaupun Rogayah bukan lelaki idaman yang diharapkan sentiasa
muncul di depannya setiap kali dia dilanda masalah, sama seperti dalam drama
cinta... tapi kehadiran Rogayah itu sudah cukup buat Emey Suhaila lapang dada.
Seakan semua kegelisahan juga berlalu pergi sebaik pintu dibukanya tadi. Ah,
ada Rogayah pun sudah cukup baik daripada Emey Suhaila mati kutu seorang diri
di situ.
“Ke... kenapa ni... Ila?” soal Rogayah terkebil-kebil
bila dipeluk Emey Suhaila. Namun soalannya itu tidak dijawab gadis itu
sebaliknya Emey Suhaila terus mendakap tubuh Rogayah yang agak berisi. Hanya
tangisan Emey Suhaila saja yang Rogayah dapat dengar dengan jelas sejak tadi.
**********
**********
Rogayah pandang keliling. Melopong mulutnya melihat
keadaan bilik Emey Suhaila yang tunggang langgang. Kemas lagi pondok buruknya
di kampung kalau nak dibandingkan dengan keadaan bilik Emey Suhaila di depan
matanya sekarang. Sekali tengok macam rumah setinggan, dua kali tengok macam
sarang penagih dadah. Tingkap yang lebar sudah separuh ditutupi dengan sidaian
pakaian dari atas ke bawah. Dinding pula dipenuhi penyangkut dan semua bersidai
pakaian dan tuala. Rogayah kerut dahi.
‘Hujan ke tadi, yang dia nak sidai semua baju ni dekat
dalam bilik?’ soalnya sendiri sambil terus meliar pandang setiap sudut di bilik
itu. Perhatian Rogayah beralih ke katil yang berkembuh tidak berkemas. Di
hujung katil, ada selonggok pakaian yang tidak berlipat.
‘Wah... ni semua baju Ila ke? Banyak betul! Cantik-cantik
pula tu!’ Rogayah jeling semula ke arah baju yang tersidai di dinding. Wajahnya
teruja. ‘Kalau buka almari baju Ila macam mana rupalah agaknya. Mesti banyak
baju yang cantik-cantik...’ Rogayah lihat baju pada badannya. Berbeza sungguh
gaya mereka. Rogayah geleng kepala beberapa kali kemudian pandangannya melirik
pula ke meja belajar. Penuh dengan buku yang berselerak. Atas meja satu lagi
dilimpahi pula dengan air dari sebungkusan plastik. Rogayah geleng kepala lagi.
Rogayah menoleh ke arah Emey Suhaila. Dia perasan pakaian
Emey Suhaila belum berganti. Haruman minyak wangi yang Emey Suhaila selalu guna
juga sudah tiada. Malahan, ada bau masam yang mula menusuk ke hidungnya.
“Eh, kau tak payahlah nak belek bilik aku ni pula.
Tolonglah aku, apa nak buat dengan Zura tu?” soal Emey Suhaila dalam nada
bengang, seakan dapat membaca fikiran Rogayah yang sudah lebih sepuluh minit
terpacak di tengah-tengah biliknya sambil memerhati keliling.
Melihat reaksi Emey Suhaila yang kembali serius, Rogayah
hanya mampu tersengih. Kotak fikirannya pula sudah dipenuhi soalan. Zura?
Kenapa dengan Zura? Nak Rogayah tolong apa? Apa dah jadi ni sebenarnya?
“Tak payahlah kau nak sengih lama-lama dekat situ. Aku
bukan nak tengok sengih kau tu. Alang-alang kau dah datang bilik aku ni, lagi
baik kau tolong aku. Cepatlah tolong aku. Nanti makin melarat pula demam Zura
tu. Ke kau pun tak tahu nak buat apa?”
Emey Suhaila peluk tubuh. Resah dihati yang tadinya sudah
lenyap kembali menganjal semula. Malah ditambah pula dengan rasa sebal melihat
riak Rogayah yang berlagak macam Guru Disiplin asrama penuh. Kalau boleh semua
sudut dia mahu belek sambil membetulkan cermin mata tebalnya itu.
Rogayah tersengih lagi. Namun reaksinya itu mengundang
rasa tidak senang Emey Suhaila yang sudah tidak lalu mahu melihat senyumannya. Emey
Suhaila ketuk hujung tapak kaki ke lantai beberapa kali seraya merenung tepat
ke muka Rogayah sambil memeluk kuat tubuhnya.
Rogayah cepat-cepat beralih ke arah Azura. Badan Azura
nampak menggeletar sedangkan kipas di siling sejak Rogayah masuk tadi memang
tidak berpusing. Rogayah pula yang sudah mula bermandi peluh walau belum
setengah jam dia masuk ke bilik itu. Walhal, sebelum datang ke sini dia baru
saja selesai mandi. Mungkin kerana bahang inilah yang mengundang bau masam dari
tubuh Emey Suhaila.
“Alamak, macam teruk aje demam Zura ni,” keluhnya sendiri
setelah melihat keadaan Azura.
Emey Suhaila pula hanya melihat gelagat Rogayah dari
tepi. Dia dapat melihat bibir Rogayah yang nipis dan kecil itu terkumat-kamit,
seperti berkata sesuatu tetapi Emey Suhaila tidak dapat mendengar butirnya.
‘Buat apa? Baca jampi ke?’ soal Emey Suhaila sendiri dan
terus memerhati gerak-geri Rogayah dari situ.
Padahal, Rogayah sedang merungut sendirian. Rogayah letak
belakang tapak tangan ke dahi Azura dan tidak lama dia cepat-cepat menariknya
semula lalu mengibas tangannya beberapa kali. Emey Suhaila terkejut melihat
reaksi Rogayah itu.
‘Panas sangat ke badan Zura sampai Rogayah beri reaksi
macam tu sekali? Macam pegang periuk panas pula!’
“Kenapa?” Terpacul soalan itu dari mulut Emey Suhaila.
Hatinya dihambat semula dengan rasa gelisah. Azura tidak pernah seperti ini.
Hari ini pula gadis itu benar-benar mengujinya dan bikin Emey Suhaila separuh
gila memikirkan apa yang perlu dilakukan.
“Panas sangat.” Rogayah masih beriak tenang sambil meniup
tangannya. Lagaknya membuat hati Emey Suhaila semakin resah. “Aku rasa Zura
kena demam panaslah...”
“Aku tahu. Kalau demam biasa takkan panas macam tu. Habis
tu, nak buat apa?” soal Emey Suhaila cepat.
“Hantar ke kliniklah.”
Emey Suhaila angguk faham. Seketika kemudian, Emey
Suhaila bulatkan mata. “Hah?! Klinik?”
“Yalah... hantar ke klinik. Takkan nak hantar pergi balai
bomba pula,” balas Rogayah acuh tak acuh sambil matanya meliar mencari sesuatu.
‘Betul juga. Hantar klinik! Kenapalah aku tak terfikir
dari tadi? Ish, lembap betullah aku ni!’ marah Emey Suhaila. Tangannya ringan
meluku kepalanya lagi. Geram sebab hal kecil begitu pun tidak mampu dia fikir
sendiri.
“Tapi, kita kena redakan panas badan Zura ni sikit. Panas
sangat ni. Kalau suhu badan dia naik lagi, takut kena tarik pula. Bahaya ni.”
Kata-kata Rogayah itu serta-merta mematikan khayalan perasaan
Emey Suhaila. Lantas Emey Suhaila tersentak dan dia juga ikut tercari-cari
bersama Rogayah. “Eh, kita cari apa ni?” Emey Suhaila menyoal.
“Aku cari air.” Rogayah tegakkan badan yang
terbongkok-bongkok sejak tadi, mencari kalau-kalau ada botol air di bawah katil
setelah dia melihat ia tiada di atas meja. “Kau pula cari apa?” soalnya pula.
“Hah?” Emey Suhaila terpinga-pinga. Dia sendiri tidak
tahu apa yang dicarinya. Tindakannya itu sekadar mengikut kelakuan Rogayah
tadi. “Hah, air tak ada tapi ais ni adalah!” Emey Suhaila cepat-cepat menyambar
bungkusan ais dari atas meja Azura lalu dihulurkan kepada Rogayah.
Rogayah melihat bungkusan ais di tangannya lama-lama.
Bungkusan ais yang sudah mencair itu diangkat ke paras kepala dan
dibelek-belek. “Wah... sayangnya ais ni dah cair. Kalau keras lagi mesti sedap
aku gigit-gigit.” Rogayah merungut. Ikatan bungkusan itu dibuka lalu jarinya
diseluk ke dalam. Dua tiga ketul ais yang masih belum mencair diambil lalu
masuk ke dalam mulut Rogayah.
Krak! Kruk! Kruk!
“Eh! Apa kau buat ni? Sempat lagi nak mengunyah ais tu
buat apa?” tegur Emey Suhaila serentak menampar lengan Rogayah. Emey Suhaila
menjeling lalu lontar pandangannya ke tubuh Azura. tubuh itu makin kuat
menggigil. “Ish, kata nak tolong. Kawan ni dah separuh tenat, janganlah
main-main lagi!” rungutnya lagi.
“Sayanglah...” Rogayah tersengih-sengih. Bikin hati Emey
Suhaila bagai mahu meletup. “Kau ni beli tapi tak minum. Sayang tau. Kalau tak
habis, lain kali bagilah aku!”
Emey Suhaila menjeling lagi. Tangannya pula disilangkan
memeluk tubuh. “Bukan aku yang minum. Aku tak minum ais. Aku bagi Zura minum
tadi... tapi dia tak mahu minum pun. Buat penat aje aku bersusah payah turun ke
kafe tadi semata-mata nak belikan dia ais ni. Tapi buka mulut pun dia tak mahu...”
Emey Suhaila merungut.
“Kau bagi dia minum?” Rogayah hampir menjerit, kemudian geleng
kepala. “Tak pernah pula mak aku bagi aku minum ais bila aku demam. Berkesan
ke?” Emey Suhaila diam. “Yang aku tahu, selalunya mak aku suruh aku minum air
mati aje bila aku demam. Tak pula mak aku suruh minum ais. Boleh cepat turunkan
suhu badan ke kalau minum air sejuk?”
Emey Suhaila cuma menjungkit bahu bersama bibirnya yang
dijuirkan. ‘Banyak bebel pula mak cik ni. Buat ajelah apa yang patut!’ gerutu
pula hati Emey Suhaila mendengar celoteh Rogayah yang sudah mula rancak.
Rogayah ketuk-ketuk bibir. Dahinya pula dikerutkan. “Emm...
tak pernah pula aku buat. Air mati tak ada ke?”
“Apa benda tu?” Emey Suhaila berkerut-kerut tidak
mengerti.
“Emm... air matilah. Apa ek orang biasa panggil. Alah,
yang kita selalu minum tulah.”
Berkerut-kerut dahi Emey Suhaila berfikir. Sambil itu
matanya memandang keliling. Emey Suhaila cepat mendapatkan cerek di hujung
mejanya, di balik timbunan buku yang berselerak atas meja lalu ditunjukkan
kepada Rogayah. “Maksud kau, air kosongkah?”
“Hah, betullah tu agaknya. Kau patutnya bagi dia minum air
tu aje...” balas Rogayah mudah setelah memandang Emey Suhaila sekilas. Kemudian
matanya meliar semula. Mencari sesuatu. “Lepas tu, mak aku akan letak kain
basah atas kepala atau badan aku.” Rogayah capai tuala mandi yang tersidai pada
penyidai di dinding lalu dilipat beberapa lipatan. Namun makin dilipat, tuala
itu kian tebal jadinya.
“Tak ada tuala lain ke? Besar sangatlah ni. Macam nak
balut satu badan pula...” Rogayah meminta sambil tersengih-sengih memandang
Emey Suhaila.
Emey Suhaila segera berjalan ke almari bajunya. Laci
almari diselongkar lalu sehelai tuala muka dikeluarkan. Kemudian Rogayah tuang
seidkit air dari cerek sekadar cukup membasahi tuala kecil tadi. Tuala itu
disapu ke keliling leher dan muka Azura sebelum ditekap ke dahi gadis itu.
“Okey, siap!. Sekarang aku nak solat Maghrib dulu... aku
tumpang bilik kau ya.” Rogayah tersengih-sengih lagi. “Nanti aku teman kau
hantar Zura ke klinik. Kau pun pergilah mandi dulu. Aku rasa dari balik tadi
kau belum mandi kan...”
Emey Suhaila tersentak lalu hidungnya mencapai pelipat
ketiak. ‘Alamak! Dah masam rupanya!’
“Aku tumpang solat dekat bilik kau ya?” ulang Rogayah
lagi.
Emey Suhaila sekadar angguk. Mukanya tiba-tiba terasa
tebal. Rasa marah pun ada sebab sudah malukan diri sendiri di depan budak baru
itu. Malunya...
‘Ah, lantaklah. Setakat Rogayah aje pun... bukannya
putera idaman pun. Kalau aku malukan diri macam ni depan lelaki lainlah cerita.
Mesti malu tak sudah. Aduh, aku lagi sanggup berhenti kolej kalau jadi macam
tu!’ Sempat lagi Emey Suhaila melayan perasaan sementara Rogayah sudah
melangkah ke pintu.
“Aku pinjam telekung kau tau!” pekik Rogayah sambil
menepuk bahu Emey Suhaila. Terkejut besar Emey Suhaila yang sibuk fikir
macam-macam. “Aku pinjam boleh kan?” Mata Rogayah terkelip-kelip sambil
tersengih tidak sudah.
“Ya! Pakailah apa-apa kau nak, Rogayah! Nak pakai baju
aku pun boleh!” balas Emey Suhaila sambil menggumam bibirnya. Geram. Berderau
darah Emey Suhaila sebab terkejut akan pekikan Rogayah tiba-tiba tadi. Ingatkan
dah keluar. Rupanya masih terpacak dekat belakang. Hai...
No comments:
Post a Comment