Rogayah terkebil-kebil membelek tubuhnya di depan cermin.
Jari Rogayah menarik-narik hujung baju yang dikenakan ke badannya. Rasa sendat
semacam! Sedangkan Emey Suhaila pula tidak sudah-sudah menyuruhnya
terpusing-pusing di situ. Sebelah tangan Emey Suhaila menompang dagu. Letih
Rogayah dibuatnya asyik terpusing sekejap ke depan, sekejap ke belakang.
Seketika kemudian, Emey Suhaila menggelengkan kepala sambil mencebik, tidak
puas hati. Emey Suhaila meminta supaya Rogayah mencuba pakaian lain yang sudah
awal-awal lagi Emey Suhaila pilih.
Rogayah hempas keluhan. Mukanya sudah mula monyok macam
tempoyak. Melihat pakaian yang bertimbun Emey Suhaila lambakkan di sebuah
bangku kecil, buatkan Rogayah makin lelah. Spontan satu lagi keluhan
dilepaskan. Kali ini lebih panjang.
“Cepatlah tukar baju lain. Apa yang kau terdemut-demut
lagi tu?” Emey Suhaila menegur sedikit keras.
Rogayah mencebik. Namun dia tidak membalas walau sepatah.
Sepasang lagi baju disambar dari timbunan pakaian itu.
‘Aduh, aku ni dah jadi model ke apa? Kenapa Ila suruh aku
cuba semua pakaian ni? Banyaknya...’ ngomel Rogayah tidak mengerti dan terus
melangkah masuk ke dalam bilik persalinan semula.
Sebaik Rogayah keluar, Emey Suhaila terus geleng kepala.
Tangan Rogayah pula terus hinggap ke kepala. Belum sempat dia mahu tayang baju
itu, Emey Suhaila awal-awal lagi sudah menggeleng.
“Tukar baju lain.”
“Hah?!” Terkejut Rogayah mendengar arahan Emey Suhaila
yang macam puan besar pula lagaknya. Kemudian, Emey Suhaila menunjuk ke arah
timbunan baju di penjuru.
“Banyak lagi baju kau kena cuba. Cepatlah. Dah pukul
berapa dah ni...” gesa Emey Suhaila sambil melihat jam di tangan.
Rogayah monyok. Lemah lututnya melihat timbunan pakaian
itu. Pandangannya beralih kepada Emey Suhaila kemudiannya. Lemah saja air muka
Rogayah.
“Kita buat apa sebenarnya ni Ila? Kenapa kau suruh aku
cuba semua baju ni? Kau nak beli kedai ni ke? Penat tau aku nak tukar baju
banyak kali,” rungut Rogayah dalam nada keletihan.
“Cuba ajelah Jangan banyak tanya.” Emey Suhaila tunjuk
jam lalu memberi isyarat supaya Rogayah terus mencuba pakaian lain.
Hanya keluhan yang mampu Rogayah lepaskan. Dengan
terhentak-hentak, Rogayah berjalan ke penjuru dan menyambar satu lagi pakaian. Sempat
dia menjeling wajah Emey Suhaila sebelum masuk semula ke dalam bilik persalinan.
Pintu bilik persalinan itu dihempas kuat. Sengaja Rogayah mahu tunjuk protes.
Mahu bersuara dia tidak pandai.
Emey Suhaila sekadar tersengih. ‘Aik, pandai marah juga
rupanya budak ni...’ Emey Suhaila gelak dalam hati. Mahu pecah perut juga dia
melihat riak wajah Rogayah yang mencuka selepas berkali-kali Emey Suhaila
menyuruhnya mencuba pakaian di butik itu.
Pakaian yang dipilih Emey Suhaila pula semuanya boleh
dikatakan fesyen yang pasti tidak pernah Rogayah gayakan. Lihat lagaknya yang
geliang-geliut itu juga sudah tahu. Mahunya gadis itu tidak geram. Ah, walaupun
Rogayah merungut macam-macam pun Emey Suhaila tidak akan endah. Emey Suhaila
akan tetap teruskan niatnya untuk memaksa Rogayah lakukan apa yang bermain di
otaknya sekarang. Semuanya Emey Suhaila sudah aturkan khas untuk Rogayah.
“Nasib kaulah Rogayah...”
Rogayah melopong. Matanya terkebil-kebil memandang muka Emey
Suhaila. Kemudian pandangannya beralih ke arah botol minyak wangi yang ditunjuk
Emey Suhaila tadi. Melihat pada tag harga minyak wangi tersebut yang mencecah
tiga angka, mata Rogayah terus membulat. Mulutnya terus melopong. Rogayah toleh
ke arah Emey Suhaila semula.
“Nak buat apa ni?” muntah soalan itu dari mulut Rogayah
dengan mata terkelip-kelip.
“Nak buat apa lagi, sembur dekat badan kaulah!” balas Emey
Suhaila mudah. “Buat apa kau melopong dekat situ. Cubalah bau.”
Rogayah pandang botol warna merah jambu itu lama-lama.
Kemudian dia hidu bawah ketiak. Busuk sangatkah Rogayah hingga Emey Suhaila
mengajaknya membeli minyak wangi pula. Walhal, Rogayah sudah sedia pakai minyak
wangi sebelum ke kuliah pagi tadi.
“Cubalah cik...” kata pekerja wanita di depan kaunter
pula. Sejak tadi wanita itu hanya tersenyum melihat lagak Rogayah dan sejak
awal juga wanita itu bercakap tidak berhenti, cuba mempromosikan barang
jualannya. Cebisan kad yang disembur minyak wangi itu juga awal-awal lagi sudah
dihulurkan kepada Rogayah. Namun Rogayah sekadar memegangnya. Malah setiap
butir kata wanita itu bagaikan hanya dibawa angin. Satu pun tidak singgah ke
telinga Rogayah yang ternganga sejak tadi. Kali ini juga, gelagat dan kata
wanita itu tidak dipedulikan Rogayah.
“Minyak wangi ni tak sama macam minyak wangi yang kau
pakai sekarang. Yang ni kau pakai sekali aje, baunya sampai ke petang tahu.
Lagipun tahan lama. Belilah satu... bukannya selalu.” Emey Suhaila mencucuk
dari tepi.
Rogayah telan liur. Matanya tidak berkerdip memandang
jenama minyak wangi itu. Bukan bentuk botol atau harumannya yang menarik
perhatian Rogayah tetapi harganya.
‘Mak ai... botol kecil kenit macam ni dah seratus lebih?
Apa yang hebat sangat sampai nak terjerut leher aku tengok harga dia. Mahu
makan biskut kering satu semester aku macam ni...’ Rogayah raba poket seluar.
Serba salah dibuatnya.
“Eh, apa yang kau tenung botol tu macam nak makan?” Emey
Suhaila tepuk bahu Rogayah setelah lama menanti reaksi Rogayah. Sejak beberapa
minit lalu, kawannya itu diperhatikan termenung saja di depan kaunter itu.
Sedangkan pekerja wanita yang sibuk bercakap tadi pula mengalih perhatiannya
kepada Emey Suhaila. Terpaksalah Emey Suhaila pula yang terangguk-angguk
mendengar kata-kata wanita berbangsa cina itu.
“Kena beli juga ke ni?” soal Rogayah lagi sambil menoleh
ke arah Emey Suhaila.
Emey Suhaila tarik muka lalu hempas keluhan halus.
Matanya meliar pandang keliling, melihat orang ramai yang lalu lalang di
sekitar kompleks beli-belah itu. Lelah dia mengajak Rogayah mencari wangian
yang sesuai dengannya. Semua yang ditunjuk Emey Suhaila, Rogayah tidak
berkenan. Balik-balik, geleng kepala. Itu sajalah jawapannya.
Telinga Emey Suhaila pula yang letih mendengar bermacam
ayat-ayat manis yang keluar dari mulut-mulut promoter di situ. Yalah, semuanya
mahu jual produk mereka. Mestilah cakap yang baik saja. Kalau dikira-kira sudah
dekat dua jam mereka berlegar di sekitar situ dan di kaunter itu saja sudah
lebih setengah jam. Kalau boleh, Emey Suhaila tidak mahu Rogayah menolak lagi.
Kalau Emey Suhaila kata ya, yalah jawapannya. Rogayah kena beli walau sebotol!
“Kenapa? Kau tak suka juga ke?”
Rogayah pandang keliling. Kemudian dia berbisik ke
telinga Emey Suhaila. “Bukan tak suka tapi... harganya mahal sangatlah. Minyak
wangi dekat sini semuanya mahal-mahal. Kalau ya pun, beli yang murah aje
dahlah.”
Emey Suhaila cuba ukir senyuman. Rasa bengang yang
berlingkar dalam hati sedaya upaya ditepis jauh. ‘Relaks Ila... relaks. Sabar
ajelah dengan perangai budak ni. Ish, letih betullah nak jadi plastik ni. Aku
luku juga budak Rogayah ni nanti. Banyak songeh pula dia. Kata nak jadi kawan
aku kan... nah, ikutlah rentak aku kalau nak sangat jadi kawan aku. Jangan
banyak songeh boleh tak? Aduh...’
Emey Suhaila menarik nafas dalam lalu dilepaskan
perlahan. Terpaksalah Emey Suhaila maniskan senyum sebaik melihat Rogayah
terpinga-pinga merenungnya.
“Alah, kau cubalah beli satu. Minyak wangi ni boleh tahan
apa baunya. Lembut aje....”
“Minyak wangi aku busukkah?”
Emey Suhaila tersenyum menahan tawa yang hampir meletup.
Bukan kerana kata-kata Rogayah yang menggeletek hatinya tetapi melihat riak
muka Rogayah yang bikin hatinya tidak tertahan mahu gelak besar. Masa-masa
nilah dia asyik menghidu bau badan. Buat malu saja.
“Bukan masalah minyak wangi kau tu tak wangi. Tapi apa
salahnya kau cuba yang berjenama. Dua tiga bulan boleh tahan ni...”
Rogayah berkira-kira sedang tangannya sudah merayap ke
poket seluar sekali lagi. Emey Suhaila memerhatikan saja gelagat Rogayah itu
beberapa ketika.
“Sudahlah kalau kau tak mahu... jom kita pergi. Ikut aku
pergi tempat lain pula,” ujar Emey Suhaila dan terus menarik tangan Rogayah
pergi dari situ.
Rogayah terpinga-pinga mengikut saja ke mana Emey Suhaila
pergi. Hampir tergolek dia gara-gara ditarik Emey Suhaila tadi. Entah ke mana
pula Emey Suhaila mahu pergi. Kalau Rogayah masuk kelas tadi pun, kuliah
mungkin sudah berakhir setengah jam lalu. Entah-entah sekarang Rogayah sudah
sampai ke biliknya di kolej dan boleh lontar tubuh ke katil. Memang enak kalau
dapat melayan tidur petang-petang begini.
“Eh... eh, nak pergi mana pula ni Ila?” Rogayah
terkial-kial menarik tangannya dari cengkaman Emey Suhaila tetapi gadis itu
terus saja menariknya macam menarik leher lembu saja gayanya.
“Ikut ajelah!”
Rogayah melopong lagi buat sekian kalinya. Rasa tegang
muka Rogayah kerana asyik melopong saja hari ini. Semuanya gara-gara tindakan Emey
Suhaila yang entah apa mimpinya. Awal-awal tadi sudah mengarah Rogayah mencuba
pakaian berpasang-pasang sampai tidak terlarat Rogayah mahu keluar masuk bilik
persalinan lagi. Boleh kata hampir semua pakaian satu butik itu dicubanya.
Dari butik pakaian beralih pula ke kedai kasut.
Bermacam-macam jenis kasut Rogayah cuba. Tergolek-golek Rogayah dibuatnya
kerana pertama kali berjalan dengan kasut tumit tinggi. Tambahan lagi,
tingginya bukan calang-calang. Kalau diukur mungkin lebih dua inci tumit halus
itu. Agaknya kalau terpijak kaki orang lain pun boleh tembus.
Selepas hampir semua kedai kasut disinggah mereka, sudah
dua pasang kasut terpaksa Rogayah beli. Harganya juga boleh tahan mahal.
Sepasang saja sudah hampir seratus ringgit. Patutlah Emey Suhaila menyuruhnya
keluar wang banyak-banyak dari mesin ATM awal-awal lagi. Kalau terus macam ni,
keringlah akaun Rogayah dalam bank.
Perjalanan mereka tidak berakhir di kedai kasut sahaja.
Selesai membeli-belah kasut, Emey Suhaila membawa Rogayah pergi membeli-belah
beg tangan dan diikuti dengan alat solek. Ternganga Rogayah mendengar kuliah
ringkas jurujual yang petah mengajarnya cara bersolek. Rogayah hanya angguk
walau satu pun dia tidak ingat. Otaknya terus fikir jumlah baki duitnya dan
berapa banyak lagi yang bakal lebur. Sehinggalah Emey Suhaila mengajaknya ke
kaunter minyak wangi pula. Puas juga Rogayah menggeleng dan akhirnya dia
berjaya untuk tidak membeli mana-mana wangian yang disuruh Emey Suhaila. Yeah!
Bagai satu kemenangan pula bagi Rogayah.
Tapi, kali ini Emey Suhaila membawanya ke kedai cermin
mata pula. Emey Suhaila menunjukkan kanta lekap kepada Rogayah, bagi
menggantikan cermin mata tebal yang biasa dipakai Rogayah. Katanya cermin mata
Rogayah itu tidak lagi sesuai dengan imej baru Rogayah.
Rogayah lihat tubuhnya. Satu keluhan tidak semena-mena
dilepaskan perlahan. Rogayah kutuk diri sendiri sebab mengikut saja rentak Emey
Suhaila membeli-belah. Ingatkan beli-belah sikit. Rupa-rupanya banyak pula
Rogayah perlu labur duit hingga poketnya juga hampir lebur.
“Dahlah Ila... nak buat apa beli benda ni pula?”
Terlontar soalan itu oleh Rogayah dalam nada perlahan. Mukanya berkerut
menampakkan garisan halus. Ikutkan rasa hati mahu menangis Rogayah di situ. Beg
yang bertimbun di atas lantai dijeling sekilas. “Aku bukan reti nak pakai benda
semua ni. Pakai cermin mata aku ni sudahlah...” sambungnya.
“Eh, mana boleh. Cermin mata kau tu tak kenalah dengan
imej kau sekarang. Buat penat aje aku ubah pakaian kau kalau kau terus nak pakai
cermin mata tu. Kau simpan ajelah cermin tu dalam laci. Tak payah pakai lagi.
Sekarang, kau cuba pakai contact lens
ni pula,” balas Emey Suhaila tegas lalu menolak kotak kanta pelekap mata ke
depan Rogayah.
Rogayah tenung kotak itu lama-lama. Rogayah betul-betul
rasa mahu menangis. Tapi air matanya tidak pula mahu keluar. Sudah setengah jam
dia menolak dengan pura-pura tidak endah cakap Emey Suhaila mahupun jurujual
yang masih tercegat di depan mereka. Tapi...
“Kalau kau tak mahu yang berwarna, ambil yang tak ada
warna ni.” Emey Suhaila meletakkan satu lagi kotak yang sama di depan Rogayah.
Rogayah tenung kotak itu pula. Kemudian mengalih pandang
ke kotak sebelum ini semula. Dia terus tenung dua kotak itu silih berganti.
Kali ini tangan Rogayah sudah mula merayap ke kepala.
“Apa lagi yang kau fikir tu? Lamanya buat keputusan. Kalau
kau tak reti pakai, baca saja arahan dalam lampiran tu nanti. Alah, aku pun
boleh ajar nanti.” ujar Emey Suhaila namun Rogayah tetap tidak berganjak. Mengiakan
tidak, menolak juga tidak. Kaku saja di situ, keras macam batu sambil matanya
masih melekat memandang kotak yang berada di depannya. Emey Suhaila hela nafas
halus lalu geleng kepala. “Kalau susah sangat kau nak pilih, biar aku saja yang
pilih. Miss, tolong bungkuskan yang
ini ya...” Selamba saja Emey Suhaila menunjuk ke arah kotak kanta lekap yang
ditenung Rogayah sejak sepuluh minit lalu.
Tersentak Rogayah mendengar suara Emey Suhaila yang baru
saja didengarnya tadi. Tercengang dia melihat lagak Emey Suhaila yang membuat
keputusan bagi pihaknya. Tidak habis di situ, semua barang yang dicadangkan
jurujual itu Emey Suhaila hanya mengangguk saja.
Rogayah nampak jurujual wanita berbangsa cina itu
memasukkan satu kotak kanta lekap ke dalam beg plastik bersama satu botol
berwarna putih. Entah apalah yang ada dalam botol itu, Rogayah sendiri tidak
pasti. Tadi, tak ada pula mereka tunjukkan pasal botol itu padanya. Tiba-tiba
saja wanita itu masukkan botol itu bersama.
Rogayah terkejut besar bila bahunya terasa ditepuk
seseorang. Lekas-lekas dia menoleh setelah melopong saja memerhatikan
gerak-geri jurujual tadi.
“Pergilah bayar.” Emey Suhaila bersuara dengan muncungnya
panjang ke depan.
Rogayah mengikut arah muncung Emey Suhaila. Jurujual
wanita tadi menanti di depan kaunter bersama senyuman. Rogayah tercengang lagi.
Matanya terkebil-kebil memandang wanita itu.
“Pergilah cepat. Lepas ni kita boleh balik,” gesa Emey
Suhaila lagi sambil menolak badan Rogayah ke depan. Rogayah tiada pilihan. Dia
mengikut saja kata Emey Suhaila walaupun terkulat-kulat mahu mengeluarkan beg
duitnya dari beg.
Selesai membuat bayaran, jurujual itu menghulurkan
bungkusan kepada Rogayah dengan senyum lebarnya. Rogayah menyambut bungkusan
itu perlahan. Bibirnya menggigil mahu membalas senyuman jurujual itu. Lantas
satu senyuman kelat dilemparkan bersama hatinya yang dicengkam bermacam
perasaan. Tapi Rogayah tidak mampu berkata apa-apa. Dia takut Emey Suhaila
tidak mahu lagi berkawan dengannya jika dia engkar. Rogayah bukannya ada kawan
lain di situ melainkan Emey Suhaila.
‘Tak apalah... mungkin ini kali pertama dan terkahirlah
kot. Lagipun tadi kan Ila cakap lepas ni nak balik,” bisik hati kecil Rogayah,
sengaja mahu melegakan hatinya yang dikecam perasaan sedih itu.
Emey Suhaila tarik tangan Rogayah setelah keluar dari
kedai cermin mata itu. Langkahnya pantas dibuka ke depan. Sedangkan Rogayah
terkial-kial memunggah beg yang bertimbun-timbun dalam genggaman.
“Jom kita pergi beli beg pula!” ajak Emey Suhaila beria-ia.
Serta-merta langkah Rogayah terhenti bersama-sama ajakan Emey Suhaila tadi. Emey
Suhaila turut menghentikan langkahnya kerana badan Rogayah tiba-tiba terasa
berat sehinggakan Emey Suhaila pula yang tertarik ke belakang. Emey Suhaila
menoleh. Muka Rogayah terus monyok.
“Kenapa ni?” soal Emey Suhaila tidak mengerti reaksi
Rogayah itu.
“Nak pergi mana lagi ni?”
“Pergi beli beglah...” jawab Emey Suhaila sambil senyum
meleret. Keningnya dijungkit sekali-sekala. Emey Suhaila dengar Rogayah hempas
keluhan berat. Jelas bunyinya.
“Tadi kan dah beli. Beg apa lagi ni? Tadi kau kata nak
balik. Aku dah penatlah shopping
macam-macam barang ni...” Rogayah muncung. Beg yang dipegangnya dihempas ke
lantai dan dibiar berlambak ke lantai. Mukanya tunduk memandang lantai, cuba
tunjuk protes.
Emey Suhaila melihat saja kelakuan Rogayah itu. Emey
Suhaila juga dapat melihat dengan jelas air muka Rogayah yang masam mencuka. Lantas
perlahan-lahan Emey Suhaila juga menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan.
Tubuh Rogayah didekatinya. “Okey... okeylah. Kita balik aje... aku pun dah
penat ni,” balas Emey Suhaila memujuk pura-pura memicit bahunya. “Jomlah
balik,” ajak Emey Suhaila lagi sambil menarik tangan Rogayah setelah memungut
sebahagian beg yang berlambak atas lantai.
Rogayah kelam-kelibut bila tangannya ditarik Emey Suhaila.
Dia menarik tangannya semula dan berlari ke belakang semula bila menyedari
tangannya kosong sedangkan beg di tangan Emey Suhaila tidaklah banyak mana.
Rupa-rupanya lebih separuh lagi beg barang yang dibelinya tadi masih tertinggal
di belakang. Kalut Rogayah memungut semua barangnya lalu berlari semula ke arah
Emey Suhaila yang tersengih saja melihat gelagat Rogayah. Emey Suhaila lekas-lekas
berpusing dan menyambung langkahnya semula. Sengaja dia biarkan Rogayah
terkial-kial mengejarnya di belakang dengan beg yang bertimbun-timbun.
Mahunya Rogayah tidak menang tangan. Hari ini kopak duit
simpanan Rogayah gara-gara Emey Suhaila yang menunjuk saja pakaian dan kasut
yang perlu dibeli Rogayah hanya mengikut macam dah kena pukau. Baju lebih
sepuluh pasang, seluar dua tiga pasang dengan kasut dua pasang... itulah hasil
beg yang bertimbun itu. Kasihan Rogayah...
No comments:
Post a Comment