Setelah menghantar Rogayah balik ke kolej, Emey Suhaila
memandu keluar dari perkarangan kolej itu menuju ke kolej kediamannya pula.
Baru sekarang rasa sakit mula menular ke seluruh tubuhnya setelah hampir
seharian membeli-belah bersama Rogayah. Tapi, Emey Suhaila puas hati setelah
berjaya mendera gadis itu seraya memaksanya mengeluarkan duit dengan jumlah
yang besar.
Emey Suhaila ketawa besar dalam hati. Terbayang wajah
Rogayah yang terkulat-kulat setiap kali mengeluarkan wang dari dompetnya. Telan
liur Rogayah dibuatnya. Mahunya tidak! Bukan angka kecil yang terpaksa gadis
itu bayar. Setiap kedai yang diborong mereka mahu mencecah lebih seratus.
Paling kurang pun adalah dalam seratus lima puluh ke atas. Walhal Rogayah baru
saja sampai ke sini dan baru saja berbelanja besar untuk memasuki kolej itu.
Mesti gadis itu terkira-kira baki duitnya yang masih tinggal sekarang.
Tiba-tiba Emey Suhaila rasa tidak sedap hati pula. Rasa
kesal mula terpalit di hati kerana memperlakukan Rogayah begitu. Tapi... Emey
Suhaila buat semua ni pun untuk kebaikan Rogayah juga walaupun pada awalnya
memang dia berniat jahat pada Rogayah.
Emey Suhaila geleng kepala laju-laju. “Ish! Aku ni buat
apa nak baik hati sangat! Padanlah muka dia... nak sangat berkawan dengan aku
kan. Betul kata Zura... pakaian Rogayah tu memang kolot habis. Kalau nak
berkawan dengan aku, takkan nak biarkan dia terus dengan fesyen kolot dia tu!
Malulah aku nanti. Lagipun kalau aku berjaya ubah imej dia tu, mesti orang lain
pun terbeliak mata. Mesti orang respect
dekat aku sebab dah make over
perempuan hodoh macam Rogayah tu!” Emey Suhaila senyum meleret sambil sibuk
terbayangkan reaksi teman-teman kolej setelah melihat perubahan Rogayah. Yang
lelaki pastinya melopong nanti. Silap-silap ada yang berdarah hidung sebab terpegun
sangat.
“Eh, tapi... kalau dia jadi lagi femes daripada aku pula
nanti macam mana?” Bermacam bayangan silih berganti melintas di fikiran Emey
Suhaila. Walaupun Rogayah itu kecoh orangnya, tapi mukanya nampak suci. Tiada
siapa mahu menegurnya sebelum ni pun sebab pakaiannya saja. Masing-masing takut
dikutuk oleh mulut-mulut jahat yang suka mengata.
Tapi bila Rogayah sudah jadi bergaya macam mereka nanti,
mesti pelajar perempuan pun senang hendak berkawan dengannya. Pelajar lelaki
pun mulalah juling mata agaknya dan ramai pula yang cuba memikat Rogayah lepas
ni. Peti surat Rogayah juga mulalah penuh dengan kad dan surat cinta.
“Tidak!!!” Emey Suhaila jerit kuat-kuat sekaligus kakinya
mencengkam pedal brek serentak jeritannya. Kereta Viva itu berhenti tiba-tiba
di tengah jalan dan badan Emey Suhaila terhinjut ke depan.
Nasib baik tiada kereta yang mengikut di belakang. Kalau
tidak pasti kereta Viva kesayangannya itu sudah disondol dari belakang.
Sementara Emey Suhaila dalam kereta dari tadi menggelengkan kepala sambil
menekan kepalanya kuat-kuat.
“Tidak... tidak! Tidak!” pekiknya berkali-kali. Kalau
benar bayangannya itu, habislah status Emey Suhaila. Emey Suhaila tidak lagi
menjadi perhatian lelaki-lelaki setelah Rogayah mula menjadi pesaingnya?
Entah-entah lelaki kaya idaman Emey Suhaila nanti pun
Rogayah yang kebas dulu. Yalah, Rogayah kan bermuka suci... pandangannya pun
nampak tulus. Mesti lelaki terpukau dengan pandangan matanya tu. Tambahan pula,
khabarnya Rogayah tu budak pandai. Kalau tidak masakan dia boleh dapat biasiswa
kolej yang sudah dua kali Emey Suhaila cuba mohon tapi ditendang. Alamak,
nampaknya Emey Suhaila sudah cipta pesaingnya sendiri.
“Tidak!”
Emey Suhaila geleng laju-laju... berkali-kali hingga
kepalanya juga terasa pening. Namun bayang dalam kotak fikiran Emey Suhaila
terus menyinggah. Emey Suhaila melayangkan kedua tangannya ke udara. Lagak
seperti halau ayam masuk reban saja rupanya. Bayangan yang terus menerjah
ditepis jauh-jauh.
Lantas dia tarik nafas panjang lalu dilepaskan perlahan.
Dia cuba bertenang. “Tak mungkin... tak mungkin,” katanya berulang-ulang sambil
menggeleng lagi. “Mustahil dia dapat tandingi akulah. Mustahil sangat-sangat!”
Emey Suhaila terus menggeleng disertai dengan layangan tapak tangannya ke
udara. Bersungguh-sungguh dia mahu menafikan taksiran awalnya tadi.
“Memanglah lepas make-up
muka dia tu cantik tapi kalau nak bandingkan dengan aku, aku lagi cantik!
Lagipun kan badan dia lagi berisi dari aku. Takkanlah dia boleh lawan tauke
pula,” omelnya lagi sengaja mahu sedapkan hati sendiri disusuli dengan anggukan
kepala yang setuju dengan pendapat sendiri.
“Betul... betul! Dia tak mugkin tandingi aku. Aku akan
tetap jadi puteri di mata orang...” Berulang-ulang Emey Suhaila ulang ayat yang
sama. Kemudian Emey Suhaila terus mengangguk. Emey Suhaila mahu percaya
kenyataan itu hingga rasa gelisah di hati kian pudar. Lantas Emey Suhaila hela
nafas perlahan-lahan.
Emey Suhaila pandang depan semula. Matanya terbeliak
tiba-tiba. “Eh, kenapa aku ada dekat sini lagi? Rasanya dah jauh aku drive tadi tapi tetap ada dekat luar kolej
ni lagi?” Emey Suhaila hempas keluhan halus. Lalu kakinya diletakkan atas pedal
minyak dan ditekan perlahan. Perlahan kereta itu bergerak ke depan tapi belum
sempat Emey Suhaila memecut, telefon bimbitnya berbunyi nyaring.
“Oh mak aku!” Emey Suhaila melatah serentak memberhentikan
keretanya semula. Telefon bimbit yang masih berdering disambar cepat. Dia
melihat nombor pemanggil di skrin. Kemudian dia termenung sejenak. Emey Suhaila
tidak kenal nombor itu tapi ia nampak seakan biasa dia lihat. Tapi siapa? Tanpa
berfikir lebih panjang, Emey Suhaila membetulkan tekak yang terasa ketat
sebelum menjawab panggilan itu. Manalah tahu lelaki mana yang sesat menelefonnya
waktu-waktu begini. Kenalah lontar suara paling cun.
Namun belum sempat Emey Suhaila berkata walau sepatah...
walau satu perkataan ‘helo’ yang sudah sedia dia lafazkan dengan nada paling
mengancam, kedengaran satu suara perempuan sudah terlebih dulu menerjah ke
gegendang telinganya.
“Ila, kau kat mana?” soal suara itu terus. Emey Suhaila
terkesima. Lantas otaknya lekas berkira-kira gerangan wanita yang mengenali
namanya itu.
‘Siapa ni? Kak Fida ke? Yalah... Kak Fida, kakak sepupu
kesayangannya itu kan suka tukar-tukar nombor sembarangan. Lepas tu nak kacau
orang.’ Emey Suhaila meneka. Tapi bila diingat-ingat semula, rasanya suara itu
bukan milik Kak Fida. Emey Suhaila yakin sangat tapi Emey Suhaila rasa macam biasa
saja dengar suara itu. Intonasinya juga...
“Aku turun tadi, tengok kau dah lesap. Kau dah balik ke?
Kenapa tak tunggu aku? Aku nak ikut kau balik!” kata suara itu lagi. Lantang
hingga Emey Suhaila terpaksa menarik telefon bimbitnya jauh dari telinga. Pun
begitu Emey Suhaila masih dapat mendengar bunyi desir keluar dari lelubang
kecil di telefon bimbitnya. Betapa kuatnya suara itu bagai sebatu jauhnya
wanita itu terpaksa memekik. Tetapi Emey Suhaila tidak mengerti butirnya.
‘Siapa ni? Terjerit-jerit dekat telefon. Macamlah aku ni
pekak sampai dia perlu terjerit-jerit macam tu,’ bentaknya dalam hati. Ingatkan
dapat bercakap dengan teman lelaki baru. Rupa-rupanya entah suara perempuan
manalah yang mahu menggegarkan gegendang telinga Emey Suhaila. Seketika Emey
Suhaila hempas keluhan kecil. Telefon bimbit itu diletakkan semula ke telinga
setelah tiada lagi bunyi yang keluar. “Siapa ni?” soalnya malas.
“Akulah! Aya!”
“Aya? Aya mana?”
“Rogayahlah!”
Emey Suhaila angguk kepala acuh tak acuh. “Oh, sejak bila
kau tukar nama?”
“Bila pula aku tukar nama? Nama aku tetap Rogayahlah, tak
ada nama lainnya. Tapi kan kau juga yang suruh aku biasakan dengan nama Aya
yang kau bagi ni. Pendek dan glamourlah
kononnya. Aku tengah biasakanlah ni! Kau pula yang lupa ke?”
Emey Suhaila terdiam. Baru dia teringat. Memang dia yang
tidak mahu memanggil Rogayah dengan nama penuhnya lagi. Panjang sangat. Bunyi
macam orang kampung pula tu, bak kata Azura. Nama Aya tu nampak lebih moden dan
sesuailah dengan imej baru Rogayah nanti. Dia juga yang memaksa Rogayah membeli
telefon bimbit dan daftar talian sekaligus. Jadi, memang betullah nombor ini
nombor telefon Rogayah yang baru saja dibelinya tadi. Emey Suhaila juga yang
memilih nombor tadi. Patutlah Emey Suhaila rasa macam kenal saja nombor itu.
Lupa pula dia mahu simpan nombor Rogayah itu terlebih dulu dalam telefon
bimbitnya. Kalau dia tahu Rogayah yang telefon tadi, tak perlu jawab pun tak
apa.
“Kenapa kau balik terus? Kan aku cakap tadi, aku naik
kejap aje... hantar barang. Lepas tu aku nak ikut kau balik. Kenapa kau balik
sendiri? Kenapa tak tunggu aku?” soal Rogayah nyaring dan memaksa Emey Suhaila
sekali lagi menarik telefonnya dari telinga.
Puas Emey Suhaila menekan punat di tepi telefon bimbitnya
untuk merendahkan nada tapi suara Rogayah tetap kuat. Macam Rogayah tu cuma di
sebelahnya saja.
“Eh, Aya! Kalau ya pun cakaplah perlahan-lahan. Sakitlah
telinga aku kau jerit-jerit macam ni,” balas Emey Suhaila masih cuba berlembut
walau hatinya sudah bengkak bagai disengat tebuan. Ah, Emey Suhaila sendiri
yang menjolok sarang tebuan. Kalau dari awal Emey Suhaila ikut cakap Azura,
tidaklah letih dia mahu melayan kerenah Rogayah yang banyak mulut itu. Usah
kata hati, telinga Emey Suhaila juga terasa kebas mendengar suara Rogayah yang
nyaring serta soalan yang bertali arus keluar dari bibir gadis itu.
“Oh ya ke? Maaflah... aku tak pernah pakai benda ni.” Ada
tawa kecil tapi nyaring kedengaran. Sambil tersengih, tangan Rogayah sudah mula
merayap di kepala. Kepala yang tidak terasa gatal digaru perlahan. “Kau boleh
datang balik tak? Aku nak ikut...”
Emey Suhaila mengeluh, tidak senang. ‘Ish, budak ni! Tak
puas lagi ke berkepit dengan aku hari ni? Nak ikut aku balik lagi? Nanti aku
suruh dia belanja makan pula baru tahu!’ rusuh Emey Suhaila dalam hati.
“Kau nak aku datang bilik kau tak? Kalau kau tak nak
datang tak apalah. Aku boleh jalan kaki sendiri...” ujar Rogayah lagi setelah Emey
Suhaila sekadar membisu.
“Nak buat apa?”
“Jaga Zuralah. Kau kan tak reti nak jaga orang sakit.
Nanti entah apa pula yang kau buat... makin bertambah sakit pula kawan tu,”
balas Rogayah bersama tawanya yang bergema.
Sakit telinga Emey Suhaila mendengar tawa Rogayah yang
mencucuk gegendang telinganya. Sakit juga hati Emey Suhaila mendengar sindiran
Rogayah itu. ‘Hai, boleh tahan juga mulut minah ni...’ keluhnya.
“Tak payahlah. Aku tahulah nak buat apa nanti. Lagipun
aku rasa Zura mesti dah baik sikit lepas makan ubat dari semalam. Pagi tadi dia
dah boleh bangun dan jaga diri sendiri. Kalau tak, takkan aku boleh ajak kau shopping sakan tadi. Kalau dia terbaring
lagi atas katil nanti aku datang ambil kau! Okey?”
“Oh, macam tu ke? Emmm... okeylah kot.” Rogayah angguk
perlahan.
“Dahlah! Aku tengah drive
ni. Nanti sebab cakap dengan kau, aku langgar pokok pula!” Bohong Emey Suhaila
sekaligus mematikan panggilan. Telefon bimbit terus dicampak ke tempat duduk
sebelah. Tidak semena-mena satu keluhan lagi dihempas perlahan.
Emey Suhaila pandang keluar cemin tingkap. Langit sudah
mula kemerahan menandakan senja sudah tiba. Emey Suhaila ketuk kepala dengan
jari. “Apalah yang aku fikir. Dari tadi aku masih dekat sini juga.” Lalu tangan
kirinya cepat-cepat mengubah kedudukan gear. Pedal minyak pula dipijak
perlahan-lahan dan kereta yang sudah lama berhenti di bahu jalan kini bergerak
semula.
No comments:
Post a Comment