“Hai, nama aku Suhaila... Emey Suhaila,” Emey Suhaila
perkenalkan diri sambil menghulurkan tangannya ke arah Rogayah yang baru
mendaftarkan diri di kolej itu. Kiranya Rogayah ini boleh dikatakan pelajar
barulah di situ.
Rogayah tersenyum gembira lantas kalut menyapu tapak
tangannya pada baju sebelum menyambut tangan Emey Suhaila yang tiba-tiba saya
menegur. Mahunya Rogayah tidak rasa gembira. Kalau diikutkan hati yang
melonjak, mahu saja dia melompat riang di situ kerana Emey Suhaila orang
pertama yang mahu berkenalan dengannya sejak dia mendaftarkan diri pagi tadi.
Sedangkan sejak kelas pertama yang dia hadiri beberapa jam lalu, pelajar lain
asyik memandangnya seperti nampak alien. Apa yang pelik sangat pada tubuh
Rogayah? Telinga Rogayah besar macam gajahkah? Belakang Rogayah ada ekorkah?
Habis tu, kenapa Rogayah rasa macam orang lain pandang serong?
“Hai... nama saya Rogayah. Rogayah binti Mohamad Yusof.
Saya asal dari Pahang... dekat bandar Chini. Dekat dengan Tasik Chini tu. Saya
baru sampai semalam, naik bas. Saya tumpang rumah kawan sekampung saya dekat
bandar ni. Pagi tadi pun, dia yang hantar saya ke sini. Susah juga nak cari
kolej ni ya. Berbelit-belit jalan dekat sini. Sampai sesat-sesat kami nak
sampai ke sini. Nasib baik tak terlewat nak mendaftar tadi. Kolej ni pun boleh
tahan besar juga ya, banyak kali saya sesat tadi...” balas Rogayah panjang
lebar sambil tersengih-sengih. “Atau saya ni yang asyik sesat aje kan...”
Rogayah menggaru belakang kepala sambil terus tersengih memandang Emey Suhaila
dan seorang lagi gadis yang bersama Emey Suhaila. Terlintas juga di benak
Rogayah mahu bertanyakan siapa gadis itu. Namun belum sempat dia bertanya, Emey
Suhaila pantas bersuara.
Emey Suhaila yang sekadar menganggukkan kepala mendengar
cerita Rogayah tadi lekas memperkenalkan Azura di sebelah. “Ni, Zura. Kawan
aku...”
Rogayah tersengih lagi. Tangan pantas dihulur. Azura
sekadar menjeling huluran tangan Rogayah lalu mencebik.
‘Huh, tak kuasa aku nak layan. Buat apalah si Ila ni
ramah sangat nak bertegur sapa dengan budak ni? Kolot semacam aje aku tengok.
Dah tu, mulut tu macam keretapi. Orang suruh perkenalkan diri aje, dia pula
yang lebih-lebih beritahu macam-macam. Ada orang tanya ke?’ gumam Azura meluat.
Emey Suhaila singgung siku Azura bila melihat Rogayah
masih tersengih menghulur tangannya. Sekali, dua kali disinggungnya tapi Azura
tetap buat tak endah. Tak boleh jadi ni. Emey Suhaila singgung lengan Azura
sekali lagi, kali ini lebih keras dan kali ini membuahkan reaksi daripada
Azura.
“Apa?” Pantas Azura melenting seiringan jelingannya.
“Kalau ya pun tak suka, balas ajelah salam dia tu. Tak
baik tau biarkan orang hulur tangan lama-lama macam tu.” Perlahan Emey Suhaila
berbisik ke telinga Azura. “Sambut ajelah. Kalau kau tak sambut, nanti dia
terus hulur macam tu... macam mana?”
“Biarlah dia!” Emey Suhaila cepat-cepat meletakkan jari
telunjuk di bibirnya sebaik Azura menjawab.
“Shhh... perlahanlah sikit. Kau ni...”
Azura mengeluh keras. Bosan. “Biarlah dia. Bukannya aku
yang suruh. Kalau orang dah buat tak tahu tu, takkan tak reti bahasa lagi?”
Azura bersuara lebih perlahan, mengikut saja rentak kawannya itu.
“Dia tu kan budak kampung. Budak baru pula tu. Kalau kau
tak suka pun janganlah tunjuk sangat. Bagi lah muka sikit. Kalau tak mahu bagi
muka dekat dia, bagilah muka pada aku...”
Azura mengeluh lagi. Kemudian satu jelingan dilepaskan
sekilas. Sudah banyak kali dia mendengar ucapan yang sama. Setiap kali ada
pelajar baru masuk, Emey Suhaila sibuk mahu bertegur sapa. Tentulah kerana ada
agenda tersembunyi. Manalah tahu pelajar baru tu anak orang kaya, ada adik
lelakikah, abangkah, bolehlah Emey Suhaila cuba pikat. Entah-entah kalau mereka
ada teman lelaki kaya pun, Emey Suhaila mahu kebas.
Tapi bukan itu saja agendanya. Emey Suhaila buat semua
ini pun kerana angan-angannya mahu menjadi Ratu Kolej. Hendak mengalahkan
Melissa, teman kuliah mereka yang jahat mulut itu. Gelaran Ratu Kolej itu pun
Melissa dan geng kamcingnya yang reka sendiri selepas berjaya menyogok ahli
jawatankuasa untuk mencipta gelaran tersebut. Setiap semester, pelajar akan
mengundi Ratu Kolej pilihan mereka. Bagai pilihan raya pula. Setiap semester
jugalah Melissa yang memegang gelaran itu. Mana tidaknya, ramai pelajar telah
diberi pampasan sebelum hari mengundi. Mentang-mentang duit berkepuk, semua
orang mahu disogoknya.
Tangan Rogayah yang masih dihulur disambut Azura acuh tak
acuh. Namun begitu, Rogayah masih tersenyum lebar kerana dapat berkenalan
dengan Emey Suhaila dan Azura serentak. Tidaklah dia rasa kekok sangat selepas
ini.
“Siapa nama kau tadi?” Azura bertanya malas. Terpaksa
bersuara untuk mengikut rentak Emey Suhaila. Nanti Azura digelar sombong pula
kalau dia terus diam. Tapi memang bukan mudah untuk Azura berkawan. Dia memang
jarang mahu berkawan. Tambahan lagi orang seperti Rogayah. Langsung Azura tidak
berkenan. Persahabatannya dengan Emey Suhaila bertahan juga kerana mereka
memang sudah lama kenal.
“Rogayah!” jawab Rogayah sungguh-sungguh. Bersemangat
sungguh dia bagai menjawab soalan temuduga.
“Rogayah?” Azura mengulang nama yang disebut Rogayah
tadi. Rogayah menoleh ke arah Azura serentak mengangguk sungguh-sungguh.
“Ya, saya Rogayah.” Rogayah mengiyakan.
“Euw... kolotnya nama kau. Nama kampung... kan.” Azura
singgung lengan Emey Suhaila sambil mencebik lagi.
Emey Suhaila angguk setuju. Namun dia malas hendak
panjang cerita. Takut budak baru itu terasa hatilah pula. Silap hari bulan,
awal-awal lagi dia sudah dicop sebagai berlagak pula pada fikiran Rogayah.
Alamak! Emey Suhaila kenalah jaga imej. Kalau tidak, habislah peluang dia mahu
jadi Ratu kolej yang disukai ramai. Pelajar baru seperti Rogayah inilah ibarat
batu loncatan bagi Emey Suhaila untuk membina imej yang baik.
Pantang dengar ada pelajar baru yang mendaftar ke kolej
itu, Emey Suhaila pasti akan bertegur sapa dan kalau boleh, Emey Suhaila sedia
hulurkan bantuan. Bunyinya sudah macam Emey Suhaila Biro Kebajikan kolej pula.
Alah, Emey Suhaila cuma nak bina nama saja. Setakat dua tiga kali beri
pertolongan pun pasti sudah dapat memikat hati orang supaya fikir Emey Suhaila
seorang yang baik kan. Bukan susah sangat. Lepas mereka dapat kawan nanti, tak
payahlah Emey Suhaila bersusah payah lagi. Tapi, harap-harap mereka tidak lupa
untuk memangkah nama Emey Suhaila sebagai Ratu nanti.
“Tak kesahlah. Itu kan nama yang mak ayah dia bagi...
boleh tahan juga apa nama tu. Glamor...”
“Pakaian dia pun kolot semacam!” Azura menambah, sengaja
mahu sakitkan hati Rogayah. Namun Rogayah tetap tunjuk riak blur dan masih
setia dengan sengihnya. ‘Sengih... sengih. Tengoklah sampai bila kau boleh
sengih macam tu!’ getus Azura dalam hati. Azura pula yang rasa mual mahu
melihat senyuman Rogayah.
Lantas Azura terus menjeling tubuh Rogayah dari atas ke
bawah berulang kali sambil tunjukkan riak tidak selera. Sengaja dia mahu
mencari modal untuk mengutuk Rogayah lepas ini. Puas membelek, Azura pandang
tepat ke muka Rogayah. “Eh, kau ni dari puak apa dekat Tasik Chini tu?”
Rogayah melopong tidak mengerti. Rogayah melihat pakaian
yang tersarung ke tubuhnya, mengikut rentak Azura tadi. Tapi baginya, semuanya
nampak elok saja.
Emey Suhaila menampar bahu Azura. “Kenapa kau tanya dia
macam tu pula?” soalnya kurang setuju. Wajah Rogayah dicuri pandang dari hujung
mata.
“Kau tengoklah pakaian dia...” Azura melebarkan tapak
tangan ke arah tubuh Rogayah dari atas ke bawah. “Aku tak sangka aku akan jumpa
orang macam ni lagi pada zaman ni. Sekarang ni orang pedalaman pun dah pandai bergaya.
Tapi...” Azura menggeleng-gelengkan kepala.
Emey Suhaila pula membelek pakaian Rogayah. Dia juga
tidak nafikan mahu tergelak besar melihat penampilan gadis itu tetapi demi
untuk menjaga imejnya sendiri, Emey Suhaila pura-pura tenang. Kalau tidak
kerana mahu memancing hati Rogayah, sudah lama dia ketawa terbahak-bahak di
situ seraya setuju akan pendapat Azura. Tapi disebabkan mahu memancing budak
baru itulah, Emey Suhaila terpaksalah tunjuk baik. Rupa Rogayah macam mudah
terpedaya. Mudah sajalah kalau Emey Suhaila mahu berlakon baik di depan
Rogayah.
“Kenapa dengan pakaian dia? Aku tengok okey aje...”
Terbeliak mata Azura yang sudah sedia bundar itu bila
mendengar jawapan Emey Suhaila. Sama ada telinganya yang tersalah dengar atau Emey
Suhaila yang demam. Masakan gadis pencinta fesyen itu boleh menerima penampilan
Rogayah tanpa sebarang komen. Sedangkan bila Azura memakai jeans dengan
snickers pun Emey Suhaila sudah komen macam-macam. Pakaian Rogayah pula yang Emey
Suhaila kata okey. Pelik!
“Apa yang pelik sangat? Dia cuma pakai baju kurung kain
kapas aje. Sekarang ni kan fesyen orang pakai baju kurung cotton...” Emey Suhaila bersuara lagi seakan dapat membaca soalan
di benak Azura.
“Hey, i’m not
complaining about her baju kurunglah. Tapi... kau tengoklah betul-betul. Kain
dia punya singkat macam orang nak pergi sawah. Eh, dekat kampung kau tu kau
kena redah sungai ke?” aju Azura selamba. “Lepas tu pakai pula kasut sarung warna
putih macam budak sekolah. Bawa beg pun beg sekolah.”
Azura menggeleng-gelengkan kepala. Rogayah pula hanya
mampu melopong.
“Turunkan sikit kain tu...” Azura mengarah sambil
menunjuk ke arah kain Rogayah. “Buat apa kau melopong dekat situ? Aku suruh kau
turunkan sikit kain kau tu... turunkan...” Telunjuk Azura dihala ke kain
Rogayah lalu diarah ke bawah sambil mengulang arahannya tadi berulang-ulang.
Rogayah terpinga-pinga mendengar arahan Azura sambil
menunjuk kainnya, tidak pasti.
“Ya. Aku cakap pasal kain kau tulah! Turunkan sikit...”
Keras suara Azura memberi arahan. Emey Suhaila hanya memerhati.
Sementara Rogayah tetap mengikut kata Azura walaupun
terpinga-pinga tidak mengerti. Terkial-kial dia membetulkan kainnya di depan
Azura dan Emey Suhaila. Jika pelajar lain nampak, tambah malulah Rogayah.
Macamlah tiada tandas mahu membetulkan kain. Di tengah-tengah lobi yang
pastinya ramai pelajar lalu-lalang pula dia terkial-kial menurunkan kainnya.
“Hah! Kan elok sikit tu...” Azura senyum puas. Sedap
sedikit matanya memandang penampilan Rogayah walaupun gayanya masih nampak
kurang. Tetapi jika dibandingkan dengan awal tadi, lagi teruk. Tambah-tambah
Azura tidak senang melihat stokin putih yang dipakai Rogayah menutupi hujung
betis. Tingginya macam stokin yang dipakainya waktu sekolah rendah dulu.
Kainnya pula singkat macam banjir paras betis.
“Ish! Kau ni... kenapa buat Rogayah macam tu. Malulah
dia...” Emey Suhaila menegur.
Azura mencebik lagi. “Hei, aku berani potong jarilah.
Kalau dah dia tak malu pakai gaya balut nangka ni, takkan dia malu aku buat
macam tulah. Untuk kebaikan dia juga! Kau ingat ada ke orang nak berkawan
dengan orang low class macam dia tu.
Aku dah ubah jadi normal sikit tu pun, kira baiklah!” Azura berbisik ke telinga
Emey Suhaila.
Emey Suhaila geleng kepala walaupun dia akui kata-kata
Azura itu. Memanglah manusia kalau nak berkawan, tak semua yang sekadar melihat
luaran semata-mata. Asalkan hati baik, mudah saja mendapat teman. Tapi, tidak
semua juga begitu. Dengan penampilan Rogayah yang terlampau kolot, berapa
sangatlah orang yang mahu mendekatinya. Mungkin boleh dibilang dengan jari.
Selebihnya, Rogayah lebih banyak menjadi bahan tawa orang. Mungkin cara Azura
kasar tapi niatnya tidak disangkal ada baiknya.
“Maaflah ya Rogayah. Kawan aku ni memang macam ni.
Cerewet!”
Rogayah angguk lagi bersama senyumannya yang semakin
lebar. Suka hatinya dapat berkenalan dengan Emey Suhaila. Rasanya macam susah
saja dia mahu berjumpa manusia seperti Emey Suhaila di kolej itu. Sedangkan
Azura menjeling tajam ke arah Emey Suhaila, tidak senang dengan gelaran yang
baru saja diberi Emey Suhaila tadi.
‘Dia kata aku cerewet? Tak sedar diri tu seribu kali
lebih cerewet daripada aku? Ceh, tak habis-habis nak berpura-pura minah ni.
Entah-entah dalam hati dia tak henti-henti kutuk minah kolot ni!’ getus Azura
geram. Nasib baiklah Emey Suhaila sudah bertahun-tahun jadi kawan rapatnya dan
dengan nama persahabatan itu, Azura malas mahu berkira sangat. Lagipun ibunya
pernah berpesan, kawan perlu saling menjaga. Kalau Emey Suhaila itu bukan
kawannya, awal-awal lagi dia sudah buka bengkung gadis itu.
“So, Rogayah
duduk dengan siapa dekat sini? Ada saudara mara ke dekat sini or Rogayah duduk dengan kawan Rogayah tu?”
tanya Emey Suhaila lagi.
“Eh, tak adalah. Seganlah saya nak tumpang rumah dia
lama-lama. Dahlah saya dah susahkan dia sejak semalam sampai ke hari ni.
Lagipun, dia pun duduk menyewa dengan orang lain. Duduk empat orang serumah.
Kalau saya tumpang lama-lama, apa pula kata kawan serumah dia nanti. Takut ada
yang tak senang pula. Jadi, saya duduk dekat hostel kolej."
Emey Suhaila terangguk-angguk mendengar jawapan Rogayah
yang panjang meleret. Terasa lama sungguh mahu menanti jawapan bagi soalannya
tadi. Tapi Emey Suhaila berusaha berlagak setenang mungkin.
“Emm... cik Emey duduk dekat hostel jugakah?” soal
Rogayah pula sambil membetulkan failnya yang hampir muntah dari pegangan.
“Eh, tak payahlah nak bercik-cik dengan aku. Panggil saja
aku Sakura... Sakura Hime.”
Rogayah berkerut tidak mengerti. “Sa... ku... ra... Hi...
me?”
Emey Suhaila mengangguk sambil senyum meleret.
“Kenapa nama tu? Tadi rasanya kalau tak silap saya... awak
kata awal-awal tadi nama awak Emey Suhaila kan?”
“Betul!”
“Habis tu... nama yang tadi tu, siapa pula?”
“Akulah. Orang dekat sini semua panggil aku Sakura Hime!”
Rogayah berkerut lagi. Dia masih tidak mengerti.
“Nama dia memang Emey Suhaila tapi orang panggil dia
Sakura Hime sebab dia yang suruh. Kononnya nak jadi puteri macam Puteri Sakura
dalam anime Card Capter Sakura tu lepas jadi Ratu Kolej nanti...” Azura
menyampuk sekaligus menjawab persoalan yang bermain di kotak fikiran Rogayah.
Dalam masa yang sama, Azura menjeling jam di tangan. Kalau dibiarkan soal jawab
itu berlarutan, banyaklah masa terbuang di tengah-tengah lobi ini saja.
Sedangkan masa terus berlalu, bukannya berhenti untuk beri ruang mereka
berceloteh lama.
‘Hai, Ila ni pun satu! Nak berkenalan pun lama sangat.
Jam-jam nilah dia nak bergaul mesra. Tak kena masa betul! Nak cerita banyak
lain kalilah...’ Azura membebel dalam hati. Jarum jam diintai berkali-kali.
“Ah, sudahlah! Kau panggil aje dia Sakura lepas ni. Kalau
kau nak berkawan sangat dengan dia ni!” tempelak Azura pantas bila melihat
Rogayah tidak sudah dengan muka berkerutnya.
Emey Suhaila angguk kepala, mengiakan kata-kata Azura. Rogayah
ikut angguk kepala, perlahan walau dia sendiri tidak berapa mengerti penerangan
yang Azura berikan sekejap tadi.
‘Card Capter tu menatang apa pula? Haiwan peliharaan ke
permainan tradisional?’ Puas Rogayah mencari jawapan tetapi masih buntu. “Jadi,
nak kena panggil Sa... Sakuralah ni ya?” soalnya tergagap-gagap menyebut nama
itu.
Emey Suhaila angguk, mengiakan.
Rogayah cuba berkali-kali menyebut nama itu tetapi rasa
mahu tergeliat otot mulutnya. Kemudian Rogayah tersengih sendiri. “Susahnya nak
sebut nama awak ni. Terbelit lidah saya!” Rogayah merungut bersama sengih yang
masih tidak pudar.
“Kenapa pula?” soal Emey Suhaila sambil menutup mulutnya
dengan tangan. Tawa yang kian menjolok mahu meletup keluar cepat-cepat ditahan.
“Saya tak pernah dengar nama tu. Sebab tu rasa kekok
sikit nak sebut...”
“Apa yang susah sangat. Sakura. Sa... ku... ra!” sampuk
Azura cuba mengajar Rogayah menyebut nama itu. Namun berkali-kali dicuba,
Rogayah tetap tidak bisa menyebutnya. “Aduh! Keras betul lidah kau nilah. Ni
baru nama Sakura... belum lagi dia pakai nama orang Perancis. Memang terbelit
terus agaknya lidah kau tu!” Azura bersuara lagi, sedikit keras.
“Tak apa... nanti dia biasalah.” Emey Suhaila pula
menyampuk, cuba meredakan amarah kawannya itu yang mudah sangat hendak meletup
keluar. Azura memang baran orangnya. Pantang silap sedikit, dia pasti mahu
melenting. Patutlah lelaki tidak berani mendekatinya. Takut-takut terkena bias queen control pula nanti. Cuma seorang
saja yang berani. Kalau nak tahu siapa, teruslah baca.
“Alah! Nanti kau berlatih sebut nama dia dekat depan
cermin bila balik nanti. Mesti biasa punya.” Azura memberi cadangan. Acuh tak
acuh.
Rogayah hanya angguk kepala sambil terkebil-kebil
memandang muka Azura. Sedangkan dalam otaknya masih berkira-kira akan cadangan
gadis itu. ‘Nak tunggu aku balik, lambat lagi. Sekarang baru pukul berapa.
Habis tu, sementara tu aku nak panggil Emey Suhaila ni apa?’ detiknya dalam
hati.
“Habis tu, sekarang ni saya nak kena panggil awak Suhaila
ke... Sa... sa... sa...” soal Rogayah lagi tergagap cuba menyebut nama itu.
Emey Suhaila tersenyum saja melihat gelagat Rogayah yang
bersusah payah mahu menyebut namanya. Lantas Emey Suhaila mengalah. “Kalau
susah sangat kau nak sebut nama aku tu, panggil aje aku Ila. Sakura Hime tu
gelaran aje. Tak ramai pun yang panggil aku dengan nama tu.”
Rogayah melopong.
“Kenapa nak melopong pula tu. Nak suruh lalat masuk mulut
kau ke? Alah, Sakura dah bagi kau panggil dia Ila aje... susah lagi ke nak
sebut? Patutnya orang baru macam kau ni kena panggil gelaran dia tu tau,” keluh
Azura setelah melihat reaksi Rogayah yang nampak bingung di hadapan mereka. Kemudian,
Azura menjeling tidak senang. Tercalit rasa sebal dalam hati bila terpaksa
menghadap kerenah Rogayah. Sebelah kakinya juga sudah mengetuk lantai. Bosan.
‘Hai, kenapalah si Ila ni tadi sibuk sangat nak bertegur
sapa dengan budak kampung ni. Blur
semacam aje aku tengok!’ Sudah berkali-kali Azura intai jam di pergelangan
tangan. Agaknya sudah setengah jam mereka berbual di tengah lobi itu. Rancangan
mahu terus bergerak ke kafe setelah berakhir kelas tengah hari tadi terbantut
apabila Emey Suhaila bertindak menyapa budak baru bernama Rogayah itu. Walaupun
sakit hati, terpaksa juga Azura ikut menghadap Rogayah. Sebab kawan punya
pasal. Tapi lama pula perbualan mereka. Perut Azura juga sudah semakin rancak
berkeroncong. Entah bila agaknya sesi temubual ini akan berakhir. Azura sudah
puas mengeluh. Namun keluhannya seakan tidak diendahkan walaupun oleh kawan
baiknya sendiri.
Sementara Rogayah cepat-cepat katup bibirnya setelah
ditegur Azura. Tangannya yang terasa gatal tidak semena-mena hinggap ke kepala.
Menggaru kepala yang beralaskan kain tudung. Sudahnya kain tudungnya yang
dipakai sedikit longgar senget ke kanan. Azura hanya tersenyum sumbing melihat
tingkah Rogayah. Ikutkan hati, tidak selera dia mahu menghadap budak kampung
itu lagi. Rasa tebal seinci mukanya.
“Okeylah Rogayah, kita orang nak pergi makan ni. Kau nak
ikut sekali? Boleh kita borak panjang nanti.”
Terbeliak mata Azura mengerling ke arah Emey Suhaila di
sebelah. Mahu saja Azura cekik batang leher Emey Suhaila kuat-kuat. Suka hati
dia saja mahu mempelawa budak kampung itu makan bersama mereka. Sedangkan Azura
sudah lama muak mahu melayan Rogayah yang kolot lagi terkemut-kemut itu.
Namun reaksi Azura tadi langsung tak terlihat oleh Emey Suhaila.
Tak nampak atau sengaja buat-buat tak endah? Hati Azura menjerit. Lantas Azura
lemparkan pandangannya ke arah Rogayah. Dia mengharapkan gadis itu akan cuba
mencari alasan untuk tidak menyertai mereka tapi sengih yang sedia tersimpul di
bibir Rogayah bikin hati Azura bergetar kuat.
‘Alah, janganlah budak kolot ni ikut kita orang.
Elok-elok aku ada selera nak makan nanti terus jadi tak lalu, nak menghadap
muka dia ni pula...’ Azura mohon dalam hati.
“Eh, betul ke ni?” soal Rogayah beria-ia.
Serentak, Azura mengintai reaksi Emey Suhaila. Membulat
lagi matanya bila melihat Emey Suhaila mengangguk. ‘Eh, Ila ni. Pandai-pandai
aje kau angguk kepala tu kenapa? Tak boleh ke geleng aje kepala tu. Ish, aku
gelengkan kepala kau tu nanti sampai teleng,’ getus Azura dalam hati. Geramnya
Tuhan saja yang tahu.
“Tak mengganggu ke?” Rogayah bertanya lagi. Takut-takut
kalau penyertaannya nanti mengundang rasa tidak selesa antara dua orang gadis
yang baru saja dia kenal itu. Tapi, Rogayah tidak langsung perasan akan tingkah
Azura yang sememangnya tidak selesa dengan kehadirannya. Tumpuannya kini hanya
pada Emey Suhaila, gadis yang manis mulut menegurnya sejak tadi.
“Tak adalah. Ganggu apanya pula. Jomlah join sama. Boleh kita borak lama
sikit... kan Zura.” Emey Suhaila menyenggol lengan Azura yang terkumat-kamit
berceloteh sendiri di sebelahnya.
Terangkat bahu Azura kerana terkejut lalu tergagap-gagap
mengiakan saja cakap Emey Suhaila tadi. Dalam hati, menyumpah seranah dia pada
kawannya yang seorang itu. Pandai-pandai saja mengajak. Terus hilang selera
Azura mahu makan nasi ayam yang asyik difikirkan sejak habis kuliah tadi.
“Jomlah...” ajak Emey Suhaila lagi sambil tertawa kecil
menjeling reaksi Azura di sebelah. Dia tahu Azura sedang marah tapi dia tidak
peduli. Emey Suhaila tidak mahu mensia-siakan peluang untuk mendekati gadis
seperti Rogayah.
Mungkin pada pandangan orang lain Rogayah nampak kolot.
Tak! Untuk gadis seusianya, Rogayah memang nampak tersangatlah kolot. Jadi,
inilah masanya untuk Emey Suhaila memancing perhatian orang. Pertama kali dia
bertembung dengan Rogayah di depan lif pagi tadi. Mereka menaiki lif yang sama.
Dengan tidak sengaja, Eemy Suhaila memasang telinga. Dari perbualan Rogayah
dengan seorang gadis yang mungkin kawan yang dimaksudkannya sebelum ini, Emey
Suhaila tahu Rogayah pelajar baru.
Mata yang memandang gelagat Rogayah yang gelabah, tertawa
sesama sendiri. Segalanya Emey Suhaila perhatikan. Ramai juga yang mengata
penampilan Rogayah yang jelas kolot. Dari situlah Emey Suhaila mereka rencana. Emey
Suhaila yang berhati murni berkawan baik dengan semua orang, tidak kira rupa
atau penampilan. Kalau Emey Suhaila berjaya mengubah penampilan Rogayah,
bertambah femeslah Emey Suhaila nanti. Sesuai dengan gelaran Ratu Kolej! Ouch!
‘Jangan... jangan... jangan! Cakap ajelah kau tak mahu!’
Azura masih mengharap. Matanya merenung bibir Rogayah lama-lama sambil
mengharap perkataan ya tidak keluar dari bibir nipis itu.
“Boleh juga!” balas Rogayah beria-ia sambil tersengih
gembira, menampakkan barisan giginya yang bersepah.
Jawapan Rogayah tadi sekaligus meranapkan harapan Azura
dan menggoncang hati Azura yang sedia bergelodak. Azura menghempaskan keluhan
lalu melemparkan jelingan tajam ke arah Emey Suhaila. Namun semua tindakannya
itu seakan tidak diendahkan oleh dua manusia yang di depan dan di sebelahnya
sekarang. Bagai mahu tercabut nyawanya menahan geram. Ish! Sakit hati betul
bila jadi macam orang halimunan dekat situ.
Masa makan di kafe, Emey Suhaila rancak beramah mesra
dengan Rogayah. Sedangkan Azura terkulat-kulat menghabiskan nasi ayamnya yang
sudah lebih sejam dia hadap. Seleranya betul-betul lesap. Lesap bersama bait
kata dan tawa Rogayah yang sedari tadi menyinggah ke gegendang telinga.
Azura kais nasi dengan sudu sambil mengintai riak wajah
Rogayah yang duduk di depan Emey Suhaila. Rogayah juga nampak seronok sangat.
Sesekali suara Rogayah yang terkekek-kekek ketawa terus singgah ke telinga
Azura. Ikutkan rasa, mahu saja Azura sumbat telinganya dengan kapas macam
cerita Seniman Bujang Lapok tu. Dia betul-betul tak ingin mendengar suara
Rogayah. Kalau suara Rogayah sedap didengar macam suara Datuk Siti Nurhaliza ke
tak apalah juga. Gelaklah puas-puas. Azura sedia pasang telinga. Suara Rogayah
pun tidaklah teruk sangat sampai hati Azura jadi meluat. Dari luar, Rogayah
nampak macam budak baik. Tapi, entahlah. Azura sendiri kurang pasti rasa
hatinya ketika ini. Dia memang sudah jelak melihat gelagat budak kampung itu
sejak awal tadi. Rasanya Azura tak mampu mahu berpura-pura baik depan Rogayah.
Hatinya memang rasa mahu muntah. Minta maaf ajelah.
Sementara Emey Suhaila dan Rogayah masih bersoal-jawab,
entah tentang topik apa Azura tak mahu peduli... Azura lempar pandangannya ke
sekitar. Azura nampak beberapa pasang mata sedang memerhati mereka. Azura juga
nampak beberapa orang yang sedang berbisik dan berborak sambil melirik terus ke
arah mereka.
Ah, sudah! Pasti kehadiran Rogayah yang nampak ceria
berborak dengan Emey Suhaila menjadi buah mulut mereka. Apalah agaknya gosip
baru yang bakal tersebar lepas ni? Cerita baik atau cerita buruk yang bakal
mencalarkan imej mereka? Ah! Lantaklah. Emey Suhaila sendiri yang cari pasal.
Sibuk sangat hendak buat baik dengan budak baru bernama Rogayah itu. Kalau
orang pandang serong, dia tanggunglah sendiri. Azura tak mahu terbabit sama.
Tapi, terang-terang orang lain juga nampak Azura turut
sama makan dengan Rogayah. Mahu tidak mahu, terpaksalah Azura terima kenyataan
yang dia sememangnya sudah terjun bersama dalam masalah Emey Suhaila. Apa pun
buah mulut orang nanti, Azura pasti akan terima tempiasnya.
“Ai, tadi kata lapar sangat. Kenapa makan macam tak
selera aje. Teringat kat cik abang ke?” tegur Emey Suhaila sambil tersengih
memandang Azura.
Pertanyaan Emey Suhaila itu sekaligus mematikan lamunan
Azura. Serentak, Azura terpinga-pinga mengalih pandangannya ke arah Emey Suhaila
yang masih setia dengan sengihannya.
“Apa yang menarik perhatian kau sangat dekat sana tu?”
Emey Suhaila mengintai arah yang dipandang Azura tadi. “Cik abang kau ada dekat
sini ke?”
Kemudian, Emey Suhaila paling keliling. Tidak nampak pun
susuk tubuh lelaki yang mungkin menawan hati Azura. Kelibat pelajar perempuan
saja yang berlambak di situ. Kalau ada lelaki pun cuma ada seorang lelaki
berbangsa asing dengan cermin mata di hujung kafe. Lelaki itu nampak khusyuk
menulis sambil kepalanya tergoncang-goncang mendengar muzik melalui earphone. Bila tengok betul-betul, kacak
juga lelaki itu. Tapi, masakan Azura tertawan melihat lelaki itu. Rasanya itu
bukan jenis lelaki yang Azura suka. Kalau tidak silap Azura suka lelaki yang
jenis Mat Bunga.
Pap! Satu tamparan langsung hinggap ke lengan Emey Suhaila
sekaligus mematikan khayalan Emey Suhaila serta-merta.
“Tak payah kau nak cari cik abang aku dekat sini. Dia tak
ada dekat sini, okey!” bebel Azura bengang. Matanya diruncingkan menjeling ke
arah Emey Suhaila. Marah sangatlah tu.
“Habis tu, mata kau tu meliar tengok keliling. Tajam pula
tu macam mata pedang. Macam nampak cik abang kau ada skandal dekat depan mata
pula. Boleh mati tau orang dipanah renungan mata kau tu.”
Azura menjeling lagi. “Tak ada maknanyalah. Mana kau tahu
cik abang aku ada skandal? Jangan nak buat cerita pula!”
Emey Suhaila tertawa kecil mendengar jawapan yang keluar
dari mulut Azura. Azura menjeling buat sekian kalinya, sebab geram dengan
reaksi Emey Suhaila. Pandai-pandai saja dia buat cerita tidak baik tentang buah
hati ulam jantungnya yang kini berada di Rusia. Hai, si Razif ni pun satu.
Kalau ya pun nak sambung belajar, tak payahlah pergi jauh-jauh. Risau juga hati
Azura bila mengenangkan lelaki itu dikelilingi gadis-gadis Mak Salleh tinggi
lampai dan putih melepak tu. Sambung sajalah belajar dekat Malaysia. Bukannya
tak ada universiti tempatan yang boleh dia sambung PhD. Sekurang-kurangnya
boleh juga Azura tengok muka Razif depan mata.
“Amboi! Marah nampak?” tegur Emey Suhaila sambil menguis
lengan Azura. Senyuman masih tidak lekang melekat di bibirnya. Namun Azura
hanya mampu membalas dengan jelingan matanya yang kian tajam. Sesekali bibirnya
herot terkumat-kamit. Entah apalah yang dibebelkannya sendiri. Emey Suhaila
tidak dapat pasang telinga.
“Alah, merajuklah pula. Kalau cik abang kau ada, bolehlah
dia pujuk. Tapi kalau aku minta maaf ajelah... aku tak pandai bab-bab
pujuk-memujuk ni.” Emey Suhaila mengalah lalu membiarkan saja rajuk Azura
berlarutan. Perhatiannya kembali semula kepada Rogayah. Banyak pula cerita yang
dibuka gadis itu. Letih juga Emey Suhaila gelak besar mendengar cerita Rogayah.
Bukannya cerita Rogayah itu kelakar sangat tapi riak wajah Rogayah yang nampak
sangat bersungguh-sungguh macam masuk pertandingan bercerita yang buat Emey Suhaila
rasa mahu tergelak melihat riaknya.
Azura mencebik bersama jelingan matanya melihat Emey Suhaila
kembali memberi perhatian kepada Rogayah. Hati Azura betul-betul rasa tercalar.
Entah kenapalah Azura rasa begini, Azura sendiri tidak pasti. Asyik hendak naik
angin saja. Ikutkan hati mahu saja dia hempas pinggan dan mengamuk. Rasanya
mahu saja dia marah dirinya sendiri kerana berperasaan seperti ini. Masakan
Azura rasa cemburu. Cemburu terhadap Rogayah? Ah! Kenapa pula Azura mahu
cemburu pada Rogayah?
Sementara Rogayah asyik bercerita, Emey Suhaila menjeling
ke sebelah. Sengaja dia mahu mengintai reaksi Azura. Nampaknya kawannya itu
masih bermasam muka. Tidak senang hati pula Emey Suhaila melihat wajah mencuka
Azura. Rajuk Azura bukannya boleh dibiar lama. Kalau dibiarkan terus,
terpaksalah tunggu Razif menelefon Azura baru hati gadis itu terpujuk. Hai,
macam manalah Razif boleh tahan dengan perangai Azura yang kadang-kadang
keanakan ni. Nasib kaulah Razif dapat awek yang kuat merajuk.
Emey Suhaila singgung lengan Azura. Namun Azura buat
tidak endah dan terus melayan perasaannya. Sudu ditangan mengais nasi ayam yang
masih berbaki dalam pinggan. Ngilu gigi Emey Suhaila mendengar bunyi geseran
sudu besi itu pada badan pinggan kaca itu. Lekas-lekas Emey Suhaila menahan
tangan Azura dari terus berkelakuan begitu. Satu keluhan halus dihembus
kemudiannya seraya memandang tepat ke muka Azura.
“Kenapa dengan kawan aku ni? Angin tak baik tiba-tiba ni,
hormon dah berubah ke?” seloroh Emey Suhaila sambil tersengih. Bahu Azura
dipautnya mesra. “Janganlah macam ni Zura. Aku rasa sunyilah kalau kau senyap
macam ni. Tengok muka kau masam mencuka macam jeruk tu buat aku tak senang
duduk tau...”
Azura tidak membalas tetapi menepis tangan Emey Suhaila
yang merangkul bahunya. Lantas Azura bangun dan menghadap muka Emey Suhaila.
Mata bundar itu tidak berseri seperti biasa tapi seakan ada api yang membakar.
Alamak! Azura betul-betul marah tapi kenapa? Masakan gurauan tentang Razif tadi
yang buatkan gadis itu terus melenting.
“Kalau kau sunyi, cakaplah dengan budak Rogayah ni!” Azura
bersuara sambil menunjuk ke arah Rogayah. Sempat Azura menjeling ke arah
Rogayah. Sementara Rogayah terpinga-pinga memerhatikannya. “Aku nak pergi
tandas,” sambung Azura lalu terus menarik beg sandangnya dan berlalu
meninggalkan Emey Suhaila dengan Rogayah.
Tidak sempat Emey Suhaila mahu berkata apa-apa, Azura
terus panjangkan langkah. Emey Suhaila hempas keluhan halus. Bibirnya digumam
melihat Azura pergi bersama rajuknya yang entah sebab apa.
‘Alamak! Kenapa pula Zura merajuk ni? Aku ada salah cakap
ke? Dia marah aku berkawan dengan Rogayah ke? Hai Zura... takkan tak
faham-faham lagi.’ Otak Emey Suhaila terus ditujah rasa bersalah hingga
wajahnya juga terpancar rasa gelisah tetapi bila melihat riak mata
disekelilingnya, Emey Suhaila pura-pura tenang. Badannya yang kendur tadi
ditegakkan semula. Jarinya yang panjang meruncing menyisir rambut yang
berjuntai di dahi ke tepi.
“Kenapa dengan kawan awak tu?” tanya Rogayah tiba-tiba.
Emey Suhaila sekadar menggeleng sambil membuahkan
senyuman manis.
“Dia tak apa-apa ke?” soal Rogayah lagi. Rasa gemuruh
juga melihat tingkah Azura sekejap tadi. Adakah kerana kehadirannya di situ
yang membuatkan Azura berkelakuan begitu. “Entah-entah kawan awak tu tak suka
pada saya. Maaflah kalau sebab saya, awak bergaduh dengan kawan awak tu...”
“Eh! Tak adalah... janganlah cakap macam tu. Angin dia
tak berapa baik hari ni. Datang bulan agaknya... faham-fahamlah,” balas Emey Suhaila
sambil terus melemparkan senyuman.
Rogayah hanya mengangguk. Tertawan juga dia melihat
senyuman yang terbit dari bibir Emey Suhaila yang merah bak delima itu. Manis
dan menawan! Kalaulah Rogayah ni lelaki, sudah lama cair dibuatnya.
“So, Rogayah ni
anak sulunglah ya?” Emey Suhaila menyambung perbualannya dengan Rogayah yang
tertangguh tadi.
Rogayah cepat-cepat mengibaskan tapak tangannya,
menidakkan tekaan Emey Suhaila tadi.
“Oh, jadi Rogayah ada kakak atau abanglah ya.”
Rogayah menggeleng, sekali lagi menidakkan telahan Emey Suhaila.
Berkerut-kerut dahi Emey Suhaila tidak mengerti.
“Kalau macam tu, kiranya Rogayah anak sulunglah kan.”
Sekali lagi Rogayah menggeleng sekaligus bikin Emey Suhaila
makin bingung. “Habis tu?” soal Emey Suhaila tidak mengerti. Dalam hati rasa
sebal juga bila Rogayah menyebabkan dia berkerut-kerut. Habislah dahinya kedut
seribu. Penat saja dia buat rawatan muka setiap bulan. Tapi sebab nak jaga imej
baik, Emey Suhaila cuba tahan gunung berapi yang terasa mahu meletup saja dalam
dada. Alamak, Emey Suhaila sudah terjangkit penyakit panas baran Azurakah?
“Ikutkan saya bukan anak sulung. Kata mak, sebelum saya
lahir sepatutnya mak lahirkan anak lelaki tapi kandungan mak gugur selepas lima
bulan,” jelas Rogayah. Namun penjelasan Rogayah itu mengundang rasa kurang
selesa kepada Emey Suhaila.
Emey Suhaila hempas keluhan halus. Tangannya yang
diletakkan di bawah meja mengetuk-ngetuk bucu kerusi. ‘Adoi! Maknanya kau anak
sulunglah namanya tu. Kalau dah gugur nak kira juga ke?’ rungut Emey Suhaila
dalam hati. Tanpa Azura di sebelahnya, Emey Suhaila semakin resah. Hatinya juga
kian celaru mengenangkan Azura yang sudah merajuk. Sekaligus Emey Suhaila
seakan tidak mampu lagi berlakon. Bersusah payah dia mahu menahan hati,
berpura-pura tenang akan setiap reaksi dan jawapan Rogayah yang lurus bendul.
Ikutkan hatinya yang sudah mula bengang, mahu saja dia
bertempik depan budak Rogayah ni. Bukan gayanya saja terdemut-demut. Otaknya
juga dua kali lima. Azura pula dari tadi tidak kembali dari tandas. Agaknya
gadis itu terus dengan rajuknya. Entah-entah Azura sudah terus ke surau
meninggalkan Emey Suhaila sendirian melayan cerita Rogayah.
Sudah cukup letih Emey Suhaila berlagak tenang. Seksa juga
rasanya nak menahan sabar melayan cakap Rogayah yang buat Emey Suhaila tidak
habis-habis sakit kepala. Itu baru bercakap kurang sejam. Kalau hari-hari Emey
Suhaila kena hadap muka Rogayah macam mana? Alamak! Kalau Emey Suhaila tidak
silap ingat, Rogayah satu kuliah dengannya. Emey Suhaila gigit bibir. Ish,
maknanya memang hari-harilah Emey Suhaila akan terserempak dengan Rogayah.
“Awak okey ke ni?” Rogayah menyoal bila melihat Emey
Suhaila lama membisu. Tidak seperti awalnya. Sebaik Azura pergi, air muka Emey
Suhaila seakan berubah. Kepala Rogayah menjengah wajah Emey Suhaila di depan.
Cermin matanya yang berbingkai tebal diperkemas sambil meruncingkan pandangan
merenung muka Emey Suhaila, seolah-olah tidak dapat melihat dengan jelas.
Emey Suhaila terkejut akan teguran Rogayah itu lantas cepat-cepat
mengangkat mukanya. Emey Suhaila menggeleng sambil menguntum senyuman, menjawab
soalan Rogayah tadi. Rambutnya yang menutupi mata dikais ke tepi.
Terkedu Rogayah seketika. Berkali-kali Rogayah telan liur
melihat senyuman dan tingkah Emey Suhaila. Hai, kalaulah Rogayah ni memang
ditakdirkan menjadi lelaki memang Rogayah sudah jatuh hati pandang pertamalah
pada Emey Suhaila. Jantungnya benar-benar bergetar melihat wajah manis itu.
Ditambah dengan senyuman Emey Suhaila yang memikat... aduh, hatinya rasa
terpanah dengan bunga-bunga cinta. Tapi...
Rogayah geleng kepala laju-laju. Bayangan yang menerpa
mindanya ditepis jauh-jauh. Rogayah bukannya lelaki... tapi seorang perempuan,
sama seperti Emey Suhaila. Ya! Itu cuma berlaku jika Rogayah lelaki tapi Rogayah
ni seorang gadis juga. Masakan Rogayah jatuh hati pada perempuan juga. Ish,
selisih malaikat empat puluh empat.
“Emmm... saya nak pergi solatlah. Dah lewat ni. Nanti ada
kuliah lagi...” Emey Suhaila bersuara sambil mengerling jam di pergelangan tangan.
Terjungkit bahu Rogayah sebab terkejut. Lamunan yang
menyinggah di benaknya sekejap tadi juga lesap serta-merta. Rogayah terikut
tingkah Emey Suhaila yang melihat pergelangan tangannya tapi tiada jam terikat
di tangan Rogayah. Kemudian Rogayah mengalih pandangannya ke depan dan melihat Emey
Suhaila sudah bangun dan mencapai tas tangan dan failnya dari atas meja.
“Lain kali kita borak lagi ya...” Sempat Emey Suhaila
melemparkan senyuman sebelum berlalu pergi.
Sementara Rogayah sekadar melihat kelibat Emey Suhaila
pergi. Kemudian dia termenung melihat pinggan yang sudah lama kering. Sudah
habis sepinggan nasi dia makan. Hanya tinggal tulang ikan saja dalam pinggan
itu. Tapi perut Rogayah masih berdondang sayang ketika ini. Mungkin sebab dia
banyak bercerita sejak awal tadi. Sampai makan pun tidak kenyang.
Rogayah jeling pinggan Azura yang masih berbaki nasi
ayam. Beberapa potong ayam juga masih ada. Cukuplah untuk sesuap dua. Rogayah
telan liur. Tanpa banyak fikir dan tidak pedulikan apa pandangan orang, Rogayah
cepat-cepat sambar pinggan Azura dan diletakkan di depannya. Air liur Rogayah
hampir meleleh melihat nasi berwarna kekuningan itu. Baunya Rogayah sedut
lama-lama. Harum semerbak!
Dengan gelojohnya Rogayah menyuap baki nasi ayam itu ke
dalam mulut. Sup yang masih penuh dalam mangkuk kecil di sebelah pinggan tadi
juga licin dihirupnya. Rogayah tidak ambil kesah jika ada mata yang memandang.
Biarlah apa orang lain hendak fikir. Bukannya Rogayah boleh buat apa untuk
halang mereka fikir macam-macam. Sayang kalau dibiarkan makanan itu terbazir.
Lebih baik Rogayah habiskan. Sekurang-kurangnya perutnya terisi semula walaupun
sedikit.
“Zura, kenapa dengan kau ni? Merajuk lagikah?” soal Emey
Suhaila apabila terpandang Azura di surau. Nasib baik dia jumpa Azura di sini.
Kalau tidak masaklah dia mahu memujuk Azura sampai habis kuliah nanti. Tidak! Emey
Suhaila perlu memujuk gadis itu sebelum kelas bermula. Kalau dibiarkan
berlanjutan lagi, jangan haraplah Azura akan termakan pujukannya. Terpaksalah Emey
Suhaila menelefon Razif jawabnya nanti. Pokailah Emey Suhaila macam tu. Bukan
murah hendak telefon mamat dekat negara orang putih itu. Hai, Zura... Zura.
“Zura...” Emey Suhaila tarik tangan Azura yang tidak
mengendahkan cakapnya tadi. Lengan gadis yang berbadan kecil itu digoncang
berkali-kali. “Zura, janganlah macam ni. Apa yang kau rajukkan ni?”
Azura menarik kasar tangannya daripada pautan Emey
Suhaila. Satu pandangan tajam dilempar terus ke mata Emey Suhaila. Emey Suhaila
cuba membalas pandangan itu tapi pandangannya cuba diredupkan. Kalau tidak
kerana Azura itu kawan sejak zaman persekolahannya dulu, memang Emey Suhaila
sudah sebal hati. Yalah, Emey Suhaila yang digelar Sakura Hime merangkap bakal
Ratu Kolej ini pula yang perlu berlembut dengan Azura. Patutnya Emey Suhailalah
yang dilayan baik-baik, macam puteri. Tapi sekarang ini Azura pula yang
berlagak macam puteri dan Emey Suhaila menjadi dayangnya.
“Apa yang kau rajukkan ni Zura? Beritahulah aku...” ulang
Emey Suhaila lagi. Suaranya masih cuba tunjuk tenang.
“Kau tanyalah diri kau sendiri.” Azura membalas bersama
jelingan matanya. Tercalar rasanya jantung Emey Suhaila dihunus jelingan itu.
Nasib baik sipi-sipi saja.
Emey Suhaila cepat-cepat sambar tangan Azura yang cuba
berlalu pergi. “Aku tak tahu. Kau beritahulah aku.” Pujuk Emey Suhaila lagi.
Azura bertindak melepaskan tangan sekali lagi. Kali ini
lebih kasar. Kemudian mukanya didekatkan ke muka Emey Suhaila. Emey Suhaila
dapat rasa deru nafas Azura yang panas berdebus-debus keluar dari rongga
hidungnya yang mancung macam burung belatuk. Nasib baik hidung mancung itu
kecil. Kalau tidak, percuma saja Emey Suhaila buat rawatan sauna pada mukanya.
“Yang kau sibuk sangat nak beramah mesra dengan budak
kolot tu buat apa? Meluat aku tengok dia, tahu tak?” Akhirnya Azura bersuara.
Rasa gembira pula hati Emey Suhaila bila mendengar suara
Azura. Rasa macam dah setahun tidak mendengar suara kawannya itu. Tapi... budak
kolot? Siapa? Emey Suhaila jeling ke arah mata orang yang keluar masuk surau
itu. Banyak pula yang memandang ke arahnya.
‘Alamak! Habislah imej aku macam ni!’ Emey Suhaila
cepat-cepat merangkul bahu Azura lalu menariknya ke tepi, di balik rak kasut yang
tingginya hampir sama dengan ketinggian Emey Suhaila. Di sini tidak banyak mata
yang akan memandang. Ya! Di sini lebih privasi.
Azura tepis tangan Emey Suhaila yang merangkul tubuhnya
setelah hanya mengikut. Kemudian, Azura lemparkan satu lagi jelingan. Aduh!
Azura ni tak penat ke nak jeling-menjeling ni?
“Budak kolot mana ni? Rogayah tu ke?” soal Emey Suhaila
mahukan kepastian.
“Yalah. Mestilah dia... kalau bukan dia siapa lagi?”
balas Azura pula sambil membuntangkan matanya yang bundar. Kalau Razif nampak
riak mata Azura ketika ini mesti rasa nak tercabut nyawa lelaki itu dibuatnya.
Lagak adik-beradik pontianak. Gerun!
“Ish, kau ni. Takkan itu pun nak cemburu. Bukan kau
seorang saja kawan aku. Lagipun, sebelum ni kau okey aje. Kau pun berkawan sama
dengan semua kawan-kawan aku.” Emey Suhaila membalas dengan nada perlahan,
seakan berbisik.
“Aku bukan cemburulah! Tak ada masa aku nak
cemburu-cemburu dengan kau. Kau tu bukannya boyfriend
aku!” Azura turut berbisik, terikut rentak Emey Suhaila tadi.
“Hah! Tahu pun. Habis tu?”
“Ish, aku tak sukalah kau tegur budak tu. Kolot semacam.
Lembap pula tu! Tak payahlah nak buat baik dengan dia... buat sakit hati aje. Meluat
aku tengok gelagat dia tau.”
“Ish, kau ni... dia tu kan budak baru. Mestilah aku nak
tarik perhatian dia. Takkan kau tak faham-faham lagi kawan kau ni?”
“Nak tarik perhatian dia buat apa? Banyak lagi budak lain
kau nak tarik!” pintas Azura hampir menjerit. Cepat-cepat Emey Suhaila
meletakkan jari telunjuknya di bibir. “Tak payah nak tarik perhatian dia...”
Azura berbisik semula sambil mengerling keliling, kalau-kalau ada mata yang
memerhati.
“Aku belum habis cakaplah. Sabarlah, dengar aku cakap sampai
habis dulu.” Azura sekadar memberi laluan walaupun dia malas mahu dengar
penjelasan Emey Suhaila sebenarnya. “Sebab dia macam tulah, aku sengaja buat
baik pada dia. Biar dia fikir aku ni baik. Orang lain pun akan fikir aku ni tak
memilih kawan... tak memilih darjat. Jadi, populariti aku sebagai Hime dekat
sini makin bertambahlah nanti. Ada faham?” terang Emey Suhaila panjang lebar.
Namun Azura menggeleng tidak mengerti. Emey Suhaila
hempas keluhan halus lalu menampar perlahan bahu Azura. Belum sempat Emey
Suhaila mengulang alasannya tadi, Azura terlebih dulu bersuara lagi.
“Hime apa bendanya? Siapa yang bagi kau gelaran Hime tu?
Kau dan aku aje yang tahu pasal nama tu. Orang lain bukan tahu pun. Buat penat
aje kau suruh budak-budak baru tu panggil kau Sakura Hime. Haram, tak ada
seorang pun yang panggil kau dengan nama tulah. Si Rogayah tu, lagilah jangan
harap. Nak sebut nama Sakura Hime pun sampai kejang lidah. Cukup-cukuplah
berangan benda tak berfaedah tu, cik Ila oi.” Azura tepuk bahu Emey Suhaila
berkali-kali.
Emey Suhaila tarik muncung. “Eleh, mana kau tahu? Mereka
panggil aku Hime bila kau tak ada!” Emey Suhaila terus pertahankan diri
sedangkan Azura sekadar mencebik. Bukan Azura tidak kenal Emey Suhaila. Sudah bertahun-tahun
dia mengenali Emey Suhaila. Baik buruknya Emey Suhaila boleh kata semua Azura
tahu. Kalau Azura tidak kenal Emey Suhaila pun Azura boleh tahu yang nada suara
Emey Suhaila tadi menunjukkan dia tidak bercakap benar. Alah, itu ayat biasa
nak pertahankan diri.
“Kenapa? Tak percaya?”
Azura menggeleng-gelengkan kepala. Lantas bahu Emey
Suhaila disambar lagi. “Aku nasihatkan kau, baik kau kawan dengan orang yang
senonoh sikitlah. Tengoklah pakaian dia dengan kau, jauh bezanya. Silap-silap
bukannya orang pandang baik tapi orang kutuk kau pula nanti. Baru padan muka
kau!” Bahu Emey Suhaila ditekan kuat sebelum dilepaskan.
“Kau ni memang tak faham strategi akulah.” Kali ini
tangan Emey Suhaila pula yang menyinggah ke bahu Azura. Kemudian jari
telunjuknya ditayang ke depan muka. “Aku tahulah apa nak buat. Orang takkan
fikir bukan-bukan pasal aku punya. Kalau kau tak faham sudah. Diam-diam aje.
Kalau rancangan aku ni berjaya, makin femeslah aku lepas ni. Dapatlah aku
kalahkan budak Melissa tu!” Emey Suhaila sudah pasang angan-angan. Wajah
kekecewaan Melissa sudah terbayang di mindanya. Sebaliknya Emey Suhaila tersenyum
bangga dengan mahkota Ratu Kolej bak ratu cantik itu yang dipegang Melissa
selama ini.
Azura gosok bahunya laju-laju walaupun sakitnya tidak
langsung terasa. Itu reaksi spontannya bila Emey Suhaila menghadiahkan penangan
walaupun tidak kuat.
“Dahlah! Aku nak solat dulu. Kau dah solat kan? Sekarang,
aku pula...” Emey Suhaila melangkah masuk ke dalam surau. Sementara Azura,
dengan muka agak terkebil-kebil kerana tidak mengerti maksud Emey Suhaila tadi
turut membuka langkahnya beredar keluar dan menunggu Emey Suhaila selesai solat
Zuhur di luar.
“Strategi apalah yang dia merepek tu? Macam-macamlah
strategi dia. Boleh percayakah budak ni? Silap langkah, strategi baik dia tu
humban dia jatuh dalam kutukan orang. Baru padan muka dia. Harap sangat nak
jadi Hime padahal gelaran tu aku aje yang tahu. Hime... Hime... Hime... dari
habis sekolah sampai sekarang tak ubah-ubah. Gelaran Ratu Kolej tu pun,
macamlah dia boleh rampas dari Melissa. Bukan dia tak tahu. Orang tu, dah lama
sogok ramai pelajar supaya undi dia. Bukan jumlah yang sikit. Setakat mengundi
dah dapat duit poket seratus ringgit. Siapa yang tak mahu!” ngomel Azura
sendiri. Kemudian kepalanya digeleng tidak senang.
kemutan cinta
ReplyDelete