Hari ini Emey Suhaila datang ke kampus seorang diri.
Azura tidak ikut sama. Kononnya badannya terasa tidak sihat padahal Emey
Suhaila tahu Azura cuba mengelak daripada Emey Suhaila. Merajuk lagilah agaknya
tu. Tengoklah dalam kelas nanti, mesti Azura terpacul juga.
Mana boleh Azura ponteng kuliah. Tambahan pula hari ni
ada kuliah Dr. Zainal yang wajahnya iras-iras Razif, teman lelaki Azura itu.
Mestilah Azura tidak mahu lepaskan peluang cuci mata tengok muka Dr. Zainal.
Dapat juga dia melepaskan rindu sebab sudah lama tidak bertemu teman lelaki kesayangannya
itu. Almaklumlah, habis saja belajar tingkatan enam, mereka sudah mengikat tali
pertunangan. Rancangnya bakal melangkah ke alam perkahwinan pula selepas tamat
pengajian masing-masing. Kalau boleh hari-hari Azura mahu hadir kuliah Dr.
Zainal. Tapi sayangnya Dr. Zainal jarang beri kuliah untuk kelas mereka. Paling
kerap pun seminggu ke dua minggu sekali.
Bercakap pasal Dr. Zainal teringat pula Emey Suhaila pada
Razif. Yalah, tadi pun Emey Suhaila ada cerita tentang teman lelaki merangkap
tunang Azura tu kan. Pantas saja tangan Emey Suhaila menyeluk tas tangannya dan
mengeluarkan Vivaz Pro berwarna silver. Vivaz Pro itu pun Emey Suhaila beli
dengan menggunakan duit biasiswa yang diterimanya. Kira salah guna duit
biasiswalah ni. Teringat ketika Emey Suhaila mahu membeli telefon bimbit ini,
hari-hari Emey Suhaila terpaksa menyumbat telinga mendengar leteran Azura yang
tidak setuju dia membazirkan wang membeli telefon bimbit baru. Sedangkan
telefon bimbitnya sebelum ini, Nokia N70 masih elok rupa paras dan fungsinya.
Tapi Emey Suhaila tetap berkeras. Kononnya N70nya itu sudah ketinggalan.
Vivaz sekarang pun macam sudah ketingalan. Orang sekarang
sibuk gunakan iphone atau galaxy. Emm.. Emey Suhaila juga merancang untuk beli
satu. Kalau Azura tahu, mengamuklah budak kecil itu. Biarlah. Kalau pelajar
lain nampak dia selalu bertukar telefon yang terkini mestilah mereka semua akan
cemburu. Siapa boleh lawan Sakura Hime? Cik Melissa pun kalah.
Emey Suhaila memang ambil berat akan imejnya. Imejnya
mesti mengikut trend terkini. Dari
hujung rambut hinggalah ke hujung kaki, semuanya mesti punya citarasa tinggi.
Apa orang putih kata, hight taste... high class? Banyak juga duit Emey
Suhaila habis gara-gara mahu menjaga sangat imejnya itu padahal Emey Suhaila
bukannya datang dari keluarga yang mewah. Anak Datuk pun bukan. Bila duit poket
kering, mulalah Emey Suhaila minta wang saku daripada keluarga di kampung.
Kononnya duitnya banyak habis untuk membeli buku dan menyiapkan kerja kursus.
Emey Suhaila mengeluh halus. Telefon bimbit di tangan
masih ditenung. Hatinya berkira-kira sama ada mahu menghubungi Razif atau
tidak. Tapi kalau Emey Suhaila telefon Razif pada waktu begini, jam berapa di
sana? Dibuatnya tengah malam atau awal pagi, kasihan pula jika tidur Razif
diganggu. Kalau telefon pun, hendak cakap apa? Lupa pula rancangan asalnya
untuk menghubungi lelaki itu. Emey Suhaila lepaskan satu lagi keluhan lalu
menyimpan vivaz itu semula ke dalam perut beg tangan Polo miliknya.
“Hai, jauh termenung...” tegur satu suara.
Sepantas kilat Emey Suhaila menoleh ke sebelah setelah
lamunannya serta-merta berderai bersama-sama teguran orang itu. Hati Emey
Suhaila tiba-tiba diterpa rasa mual melihat Razali yang sudah mengambil tempat
di sebelah.
‘Eleh, sibuk betullah mamat ni. Masa-masa nilah dia sibuk
nak dekat dengan aku. Macamlah tak ada tempat lain nak duduk. Mentang-mentang
aku seorang aje hari ni, dia nak ambil kesempatanlah tu,’ gerutu Emey Suhaila
dalam hati. Soalan Razali tadi langsung tidak dibalasnya malah dibalas pula
dengan jelingan tidak senang.
Razali pula dari tadi tersengih lebar memandang Emey
Suhaila. Tangannya sudah mula merayap ke kepala, tergaru-garu kepalanya yang
entahkan gatal entahkan tidak. Itulah tabiat Razali bila berdepan dengan Emey
Suhaila. Kalau boleh seluruh tubuh mahu digarunya. Agaknya Razali mesti naik
miang bila nampak Emey Suhaila barangkali. Sebab itulah dia tergaru-garu macam
kera mencari kutu.
“Seorang aje ke hari ni?” Razali menegur lagi sambil
tersengih menampakkan barisan giginya yang berlapis.
‘Dah nampak aku seorang kat sini, lagi nak tanya. Ada
nampak sesiapa ke dekat sebelah aku ni? Ish, rimas betullah.’ Emey Suhaila
lempar jelingan sekali lagi kemudian membuang pandangannya ke tempat lain. Tidak
kuasa dia mahu melihat senyum kambing si Razali. Mual betul.
“Azura mana?” soal Razali lagi. Tangannya yang merayap ke
belakang kepala tadi sudah diletakkan di atas peha. Menekan pehanya sambil
pandangannya melilau lihat keliling. “Dari tadi aku tak nampak dia...”
“Kenapa? Kau cari dia ke?” soal Emey Suhaila acuh tak
acuh. Cemburu juga dalam hati bila Razali bertanyakan soal Azura. Hai, cari
Azura rupanya.
Emey Suhaila kerling keliling. Sudah ada mata yang
memerhati. Spontan satu keluhan halus dilepaskan Emey Suhaila. Dia risau benar
kalau timbul gosip yang tidak sedap didengar. Apatah lagi bila Razali beriak
bagai tidak pernah jumpa perempuan. Malu tapi mahu. Hai, Mat Romeo macam Razali
yang selalu bertukar perempuan macam baju ini pun tahu malukah?
Si Razali ni pula pantang diberi peluang. Bila Emey
Suhaila sudah mula melayan perbualannya, mulalah miang di badannya makin
menyengat. Air muka Razali serta-merta berubah. Malu-malu kucing dia tadi terus
saja lesap bagai dibawa angin. Rambut yang berkepuk dengan gel dilurut ke
belakang dengan penuh gaya. Dasar Mat Romeo.
Emey Suhaila sekadar menjeling riak Razali dari ekor mata
sambil tersenyum sumbing. Tidak kuasa mahu melihat gelagat lelaki romeo itu.
Makin rasa hendak muntah dia jadinya.
Lambat Razali bersuara. Tawa kecilnya terlebih dulu
muntah mendengar soalan Emey Suhaila tadi lantas cepat-cepat dia menafikannya. “Tak
adalah. Kalau kawan kau tu tak ada, bolehlah aku duduk dengan kau. Cuba nasib
nak pikat kau...” balas Razali dengan sambil diselangi dehem berkali-kali.
Konon mahu buat suara macho.
Terbeliak mata Emey Suhaila. Walaupun Razali tunjuk muka
selamba, tapi Emey Suhaila pasti dia tidak tersalah dengar. Saat Razali jungkit
keningnya, hati Emey Suhaila makin yakin. Sahlah apa yang didengarnya tadi.
Kali ini Emey Suhaila pula ukir senyum sumbing. Tidak
mahu percaya dan dia sememangnya tidak mahu apa yang didengarnya tadi itu
benar. Emey Suhaila masih mengharap yang dia tersalah dengar tetapi apabila
Razali berganjak ke tempat duduk betul-betul di sebelah Emey Suhaila, Emey Suhaila
mula tidak sedap hati. Kemudian Razali lontarkan pandangan terus ke mata Emey
Suhaila sambil melebarkan senyum. Kali ini pandangannya berbeza dari tadi. Emey
Suhaila terpana seketika. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang.
‘Ah! Sudah. Kenapalah pula mamat ni tengok aku macam tu?
Nak panah jantung aku dengan asmara mata dia tu ke? Alamak, hati aku ni pun
kenapa berdebar semacam? Takkanlah aku dah jatuh hati pada dia sebab pandangan
dia tu aje. Tolonglah. Tak mungkin! Dia tu bukan jenis putera idaman aku.
Jangan harap nak curi hati aku!’
Cepat-cepat Emey Suhaila kelip mata, cuba menepis panahan
mata Razali yang berjaya membuatkan hatinya bergoncang seketika. “Apa yang kau
nak ni sebenarnya Razali? Kalau kau nak jumpa Azura, kau pergilah cari dia. Tak
payah nak terhegeh-hegeh dekat sebelah aku ni.” Emey Suhaila cuba lepaskan
amarahnya yang tidak senang dengan kelakuan Razali. Melihat muka lelaki itu
saja sudah cukup bikin Emey Suhaila rimas. Pantang nampak Emey Suhaila
sendirian, mesti Razali muncul depan mata Emey Suhaila. Tapi setiap kali itu
juga asyik bertanyakan Azura. Kalau nak tahu apa-apa tentang Azura, tanyalah
pada tuan badannya sendiri.
Hati Emey Suhaila benar-benar mahu marah tapi entah
kenapa nada suaranya terdengar tergagap-gagap. Hatinya bergetar. Adakah panahan
mata Razali tadi masih menyebar kesannya pada hati Emey Suhaila?
“Aku bukan nak jumpa Azura. Aku nak jumpa kau,” akui
Razali. Pandangannya sekali lagi dipanah terus ke mata Emey Suhaila. Aduh. Emey
Suhaila geleng kepala, tidak mahu terus melihat pandangan romeo itu.
Emey Suhaila cuba keraskan hati yang hampir lebur. “Dah
kita satu kelas, hari-hari kau nampak muka aku. Buat apa nak cari aku lagi?”
Emey Suhaila menyoal lagi. Lebih keras.
Razali terus lebarkan senyuman. Tangan kanannya diangkat
lalu jari singgah ke dagu Emey Suhaila. Emey Suhaila yang terkejut bulatkan
mata sebesar yang boleh. Lantas sepantas kilat refleksnya menepis tangan Razali
kuat-kuat.
Tawa Razali menyinggah lagi ke gegendang telinga Emey
Suhaila. Geram hati Emey Suhaila mendengar suara itu. Rasa macam mahu hempuk saja
muka Razali dengan fail atas meja. Tapi takut pelajar lain nampak pula nanti.
Habislah imej lembut Emey Suhaila tercalar. Tapi kalau dibiarkan terus begini,
tidak tercalarkah imej Emey Suhaila melayan mamat romeo seperti Razali? Nanti
Emey Suhaila pula percuma dicop Minah Romeo.
“Hari-hari nampak pun tak dapat dengar suara kau. Bila
dengar aje suara kau yang merdu bak buluh perindu tu, hati aku ni rasa sejuk
sangat. Macam melayang-layang.” Razali bermadah lagak si pujangga. Kemudian
melempar satu senyuman menawan.
Emey Suhaila tersenyum sumbing sekali lagi setelah
mendengar jawapan Razali sekaligus membalas senyuman yang dilemparkan Razali
kepadanya. Sumpah Emey Suhaila betul-betul rasa hampir nak muntah. Kata-kata
dan senyuman Razali itu betul-betul menjolok anak tekaknya. Sepuluh minit lagi
kuliah akan bermula dan pelajar-pelajar lain sudah mula memenuhi dewan kuliah. Sementara
Emey Suhaila mulai terasa sesak nafas di situ.
Tangan Emey Suhaila cepat mengemas barang-barangnya dan
terus bangun meninggalkan dewan kuliah. Emey Suhaila dengar Razali memanggil
namanya berkali-kali namun Emey Suhaila tidak mahu ambil peduli. Dr. Zainal
juga sudah masuk dari pintu depan dan Emey Suhaila tetap tidak peduli.
Langkahnya dipercepatkan melintasi barisan pelajar-pelajar lain dan keluar
melalui pintu belakang. Saat Razali memekik memanggilnya sayang, Emey Suhaila
terus panjangkan langkah. Bergoncang jantung Emey Suhaila apabila terdengar
suara riuh pelajar lelaki lain yang seolah-olah bersorak atas tindakan Razali. Silap-silap
Dr. Zainal pun turut perasan. Kalau putera raja yang buat macam tu, tak apalah
juga. Tapi lelaki itu Razali. Malunya.
‘Ish, mamat ni. Kacau daun betullah. Pantang nampak aku
seorang, sibuk nak menyibuk. Azura ni pun satu, kalau tak kerana dia biarkan
aku pergi kuliah seorang tak adalah mamat tu nak menghimpit,’ ngomel Emey
Suhaila sendiri sambil melepaskan keluhan bertalu-talu. Tapak tangan kanannya
diletakkan di dada. Emey Suhaila dapat rasa degupan jantungnya yang kencang.
Seakan Emey Suhaila baru saja lari pecut 100 meter. Emey Suhaila juga dapat
rasakan hatinya yang bergetar.
‘Ah, sudah. Tolonglah Emey Suhaila. Tak mungkin kau jatuh
hati pada Razali tu. Dia bukan lelaki yang kau suka. Tak mungkin!’
Emey Suhaila melirik ke jarum di pergelangan tangan.
Sudah jam empat. Sudah berjam-jam dia menghabiskan masanya di kafe selepas
keluar dari dewan kuliah. Bukannya Emey Suhaila lari daripada mendengar kuliah
tapi terpaksa dia melarikan daripada Razali. Ah, lelaki itu selalu saja muncul
di depan matanya bila Emey Suhaila sendirian. Malahan hari ini sikap lelaki romeo
itu berjaya buatkan hati Emey Suhaila juga tiba-tiba berombak kencang. Ah!
Malas mahu fikir hal itu lagi. Menggigil rasa seluruh tubuh Emey Suhaila setiap
kali memikirkannya. Lebih baik lupakan saja.
Emey Suhaila geleng kepala laju-laju bila senario di
dewan kuliah tadi melintas lagi di fikirannya. Serentak Emey Suhaila menghela
keluhan panjang. Azura juga sampai sekarang tidak nampak batang hidung.
Jangankan batang hidungnya, bayang pun tidak muncul. Agaknya Azura memang
betul-betul tidak sihat, bukanlah sekadar merajuk padanya. Emey Suhaila jeling
jam lagi lantas bingkas bangun dan memungut fail-failnya dari atas meja.
Baru saja Emey Suhaila mahu menghayun langkah pergi, ada
satu suara memekik namanya dari belakang. Serta-merta Emey Suhaila menoleh.
Matanya tertancap pada sesusuk tubuh yang sedikit berisi terhayun-hayun berlari
ke arahnya.
“Ila... nanti kejap!” pekik Rogayah yang terhentak-hentak
berlari mendapatkan Emey Suhaila. Sesekali dia membetulkan begnya yang
berkali-kali jatuh dari bahu.
Emey Suhaila sekadar tercegat di tempatnya berdiri dan
memerhati Rogayah yang tercungap-cungap di depannya sekarang. Bersusah-payah
nampaknya Rogayah mahu membayar hutang oksigen setelah berlari entah berapa
jauh jaraknya.
“Kenapa ni Rogayah? Sampai termengah-mengah macam ni, kau
tak apa-apa ke?” soal Emey Suhaila, mula tunjuk muka gelisah. Tangannya menepuk
belakang Rogayah yang terbongkok-bongkok menahan sesak nafas dari tadi.
Rogayah melayangkan tapak tangannya ke udara, menandakan
dia tidak apa-apa. Seketika kemudian Rogayah tegakkan badannya dan menarik
nafas dalam-dalam lalu dilepaskan perlahan-lahan.
“Apa halnya kau cari aku sampai mencungap-cungap ni,
macam orang kena asma aku tengok.” Berkerut-kerut dahi Emey Suhaila memandang
muka Rogayah. Muka Emey Suhaila yang cerah juga sudah mulai merah kerana
gelisah.
Rogayah geleng kepala lalu menelan liur bertalu-talu.
“Aku cuma nak tanya... eh, bolehkah saya biasakan diri dengan nama ‘aku’ ni?”
Emey Suhaila beliakkan mata. Tangannya pula menepis ke
udara, malas mahu ambil kesah akan soalan itu. “Ikut suka kaulah. Aku pun tak
biasalah cakap saya awak ni. Macam formal semacam aje. Itu aje ke yang kau nak
tanya sampai separuh tenat macam ni?”
Rogayah angguk sungguh-sungguh. Kemudian menggeleng pula
laju-laju. “Eh, bukan tu yang aku nak tanya!” Beg yang asyik terjatuh terus
ditanggalkan dari bahu dan dipeluk ke badan. “Aku cuma nak tanya kenapa kau
keluar dari kuliah masa Dr. Zainal baru masuk tadi?”
Emey Suhaila telan liur. Otaknya berfikir-fikir. Jika
Rogayah tahu yang dia keluar masa Dr. Zainal baru masuk, mesti Rogayah sedar
akan pekikan Razali tadi. Alamak, betulkah Rogayah dengar? Belum sempat Emey
Suhaila berdalih, Rogayah bersuara lagi.
“Tapi... handsome
juga Dr. Zainal tu ya.” Rogayah tersengih-sengih.
Emey Suhaila bulatkan mata. Tak sangka juga Emey Suhaila
yang Rogayah akan cakap begitu. ‘Eh, boleh tahan juga minah ni. Sempat lagi
cuci mata tengok muka lecturer. Aku
ingat orang macam dia ni tak ada perasaan...’ Emey Suhaila gelak dalam hati.
“Eh, Azura mana? Dari tadi muka dia pun aku tak nampak?
Dia dah balik ke memang dia tak masuk kelas?” soal Rogayah bertalu-talu sambil
tercari-cari kelibat Azura. “Ke sebab Zura tak ada tadi, kau tak masuk kuliah?
Kamu berdua bergaduh ke?” duganya lagi ke muka Emey Suhaila.
Mata Emey Suhaila terkebil-kebil melihat mulut Rogayah
yang bertimbun-timbun mengajukan soalan kepadanya. Rasanya muka Emey Suhaila
sudah mula lemas ditimpa bermacam soalan serentak.
‘Mak aii... banyaknya soalan minah ni. Tak reti berhenti.
Yang mana satu aku nak jawab ni?’ Emey Suhaila melepaskan keluhan halus bila
Rogayah terus bertanya tidak henti-henti tanpa sempat dia menjawab soalan gadis
itu sebelum ini. Mata Emey Suhaila menjeling lagi jam di tangan dan kemudian
beralih ke kawasan sekitar. Kafe yang tadinya lengang kini sudah dipenuhi
penuntut yang baru saja tamat kuliah. Barisan depan kaunter makanan sudah mula
panjang. Masing-masing sibuk mahu mengisi perut sebelum balik ke kolej. Sedang Emey
Suhaila sudah malas mahu mendengar pertanyaan Rogayah lagi. Banyak sangat
soalannya, entah bila mahu berhenti. Soalan pertama Rogayah tadi pun dia sudah
lupa.
Emey Suhaila angkat tangan kiri ke paras dada. Jam ditenung
sekilas lalu tangannya diturunkan semula. Satu keluhan panjang dilepaskan
kemudiannya. Kalau Emey Suhaila tidak silap kira, sepuluh minit jarak masa
selepas Emey Suhaila menjeling jam tangan sebelum ini. Mulut Rogayah masih
rancak menyoal.
“Cop!” Pintas Emey Suhaila cepat sambil melebarkan tapak
tangannya di depan muka Rogayah. Serta-merta suara Rogayah lenyap bersama
matanya yang dibuntangkan ke arah Emey Suhaila. Emey Suhaila hela nafas halus
seraya menarik tangannya semula. Matanya yang sepet itu cuba dibuka luas-luas.
Sengaja mahu Rogayah tahu yang dia tengah marah sekarang.
‘Kalau bertanya tak reti nak berhenti. Ish, orang bawa
kereta pun ada masa kena tekan brek tau. Tapi mulut minah ni macam tak ada brek
aje. Brek rosak ke nak kena bagi lampu isyarat merah baru reti nak berhenti
mengejut?’ rengus Emey Suhaila dalam hati.
“Apa soalan pertama kau tadi?”
“Hah?” Rogayah terpinga-pinga ditujah soalan Emey Suhaila
itu. Anak mata Rogayah melirik ke atas, cuba mengingati semua soalan yang
keluar dari mulutnya tadi. Macamlah semua soalannya itu ada tertulis dekat atas
situ. Namun, puas diselak diari memonya tadi, Rogayah hanya mampu beri reaksi
tercengang sambil mengetuk bibirnya dengan jari. Sesekali terdengar Rogayah
mengomel sendiri.
Emey Suhaila menjeling tajam serentak melepaskan keluhan
halus buat sekian kalinya. ‘Hah, tengok! Sendiri yang tanya aku macam-macam,
dia sendiri tak ingat apa yang dia tanya. Kalau macam tu, tak payahlah aku
jawab. Aduh, memang patutlah Zura tak suka budak becok ni. Sabar ajelah...’
getus hati Emey Suhaila.
Emey Suhaila peluk tubuh, masih setia menanti jawapan
Rogayah. Sengaja dia mahu beri Rogayah peluang. Tak apalah kan sesekali beri
dia peluang. Sratu Kolej mestilah seorang yang baik hati...
Rogayah garu kepala hingga tudungnya yang tadi agak kemas
kini sudah semakin senget menampakkan urat rambutnya yang terjelir keluar dari
tepi anak tudung.
“Apa yang aku tanya tadi?” Terpacul soalan itu dari bibir
Rogayah setelah puas berfikir.
Mahu terjelepuk Emey Suhaila dibuat Rogayah. Buat letih
saja Emey Suhaila beri peluang tapi akhirnya Emey Suhaila pula yang disoalnya
balik. Memang buang masa betul!
‘Aku pula yang dia tanya. Aku pun tak ingat. Itulah...
banyak sangat soal. Lain kali tulis dalam buku semua soalan yang kau tanya
orang tu,’ ngomel Emey Suhaila bengang. ‘Ops! Emey Suhaila, control... control. Jangan marah-marah. Nanti ada orang nampak kau marah pula.
Melayang gelaran Ratu Kolej yang kau bakal rampas semester depan.’
“Lah, aku dah lupalah apa yang kau tanya tadi. Banyak
sangat soalan kau tadi... tak sempat aku nak salin.” Emey Suhaila masih cuba
tersenyum walau dalam hati rasa mahu saja dia ketuk kepala Rogayah. Biar dia
ingat sikit. ‘Hah, ambik kau! Kalau tak faham juga aku perli tu tak tahulah!’
“Aku pun tak ingatlah.” Rogayah tersengih. Jarinya pula
masih menggaru kepala yang tidak langsung terasa gatal. Itu sajalah modal
Rogayah sejak tadi. “Apa yang aku tanya ek?” soalnya sekali lagi sambil
mengetuk kepalanya dengan jari beberapa kali.
“Ah, tak apalah.” Emey Suhaila memintas. Malas dia mahu
menunggu lagi. Nanti buang masa dia lagi. Sekarang ni pun dah lebih dua puluh
minit dia buang masa menghadap Rogayah tapi dari awal tadi Emey Suhaila tidak
pasti topik perbualan mereka sepanjang masa itu. Yang dia tahu dari awal tadi
telinganya ditujah bermacam-macam soalan dari mulut Rogayah. Sedangkan otak Emey
Suhaila langsung tidak dapat menyimpan walau satu soalan daripadanya.
Kesimpulannya, daripada banyak-banyak soalan Rogayah tadi tidak satu pun yang
dapat Emey Suhaila berikan jawapan sebab Emey Suhaila memang tidak ingat.
Rogayah pun sudah tentu tidak ingat juga. Harap maklum ya.
“Hah!” Rogayah petik jari seraya terus menyoal. “Kenapa
kau keluar dewan kuliah tadi masa Dr. baru masuk?” Baru dia teringat akan
soalannya tadi.
“Macam mana kau tahu aku keluar dari dewan kuliah?” Emey
Suhaila membalas soalan Rogayah dengan soalannya pula. Kalau boleh memang Emey
Suhaila mahu mengelak daripada menjawab soalan itu.
“Sebab kita kan satu kuliah,” jawab Rogayah cepat. Belum
sempat Emey Suhaila mahu buka mulut semula, Rogayah lebih pantas menyambung.
“Tapi bukan sebab tu aje aku tahu kau keluar kuliah tadi...”
‘Ah, minah ni memang tak reti berhenti cakap. Kalau dah
mula bercakap tu mulalah pot... pet... pot... pet macam keretapilah jawabnya.
Ada aje hal yang dia nak cakap.’ Emey Suhaila geleng-geleng kepala.
“Aku dengar ada budak lelaki memekik nama kau
berkali-kali. Sebab tu aku nampak kau keluar dari dewan walaupun aku duduk
dekat depan. Masa tu pula Dr. Zainal baru aje masuk tapi kau terus aje meluru
keluar, macam ada hal penting. Kenapa? Ada apa-apa ke?”
Emey Suhaila sekadar menjeling, menjawab soalan Rogayah
itu. Jangkaannya di awal tadi memang benar belaka. Ah, sudah! Dia malas mahu
besarkan cerita. Harapannya cerita itu akan hanya berakhir di situ tapi lain
pula yang jadi. Rogayah masih tidak puas dan terus bertanya seakan tetap
mahukan jawapan bagi soalanya tadi. Beria-ia benar Rogayah mahu tahu, kenapa?
Puas juga Emey Suhaila menafikan semua jangkaan yang cuba dibuat Rogayah dan
meminta supaya Rogayah hentikan saja soalan-soalannya itu sehinggalah...
“Budak lelaki tu suka dekat kau ya Ila?” Muntah pula
soalan itu dari mulut Rogayah yang becok sekaligus menjerut tangkai jantung Emey
Suhaila.
Terkejut besar Emey Suhaila menerima soalan bonus itu.
‘Ah, sudah. Minah ni dah jadi paparazi pula ke, tanya aku soalan cepumas ni?
Pandai-pandai aje nak buat gosip...’
“Betul eh?” terjah Rogayah sambil tersenyum simpul.
Emey Suhaila beliakkan mata, seakan mengarahkan Rogayah
berhenti dari terus menyoalnya macam-macam. Kemudian Emey Suhaila hela nafas
panjang. Sesak nafas terasa menghentam dadanya yang sedia berombak kencang.
Melihat senyum simpul yang tidak lekang di bibir Rogayah bikin Emey Suhaila
seakan mahu pengsan saja di situ.
Walaupun Rogayah tidak menyebut nama lelaki yang dia
maksudkan namun Emey Suhaila dapat meneka. Razalilah orangnya. Siapa lagi yang
memekik nama Emey Suhaila di dewan kuliah tadi? Siapa lagi yang bikin Emey Suhaila
resah dan rasa tidak senang sehingga terpaksa meninggalkan dewan kuliah sebelum
kuliah sempat bermula. Nasib baik Dr. Zainal baru saja masuk kuliah ketika itu.
Kalau tengah-tengah kuliah, terpaksalah Emey Suhaila menahan saja. Dewan yang
dingin itupun pastinya terasa bahang semacam.
Memikirkan soal Razali, hati Emey Suhaila juga tiba-tiba
terasa panas. Cepat-cepat Emey Suhaila menyambar tangan Rogayah. Lengan gadis
itu ditampar perlahan.
“Sudahlah. Aku nak baliklah. Lain kali kita borak lagilah
ya...” Emey Suhaila senyum dan mengatur langkah pergi. Kesemua soalan Rogayah
tadi hanya dibiarkan tidak berjawab.
Rogayah berlari-lari anak mendapatkan Emey Suhaila semula
apabila gadis itu sudah jauh ke depan. Beria-ia Rogayah mengulang soalannya
tadi. Bersungguh-sungguh betul dia mahu tahu.
“Ila, tolonglah... beritahulah aku.”
No comments:
Post a Comment