Pulang saja dari
rumah Haji Rauf dan Hajah Kistina, malam itu juga Izi Helmy menelefon Puan
Kamisah di Penang. Bukan sebab mengharap sangat akan tawaran Haji Rauf yang
mahu menyerahkan syarikat itu kepadanya kalau dia berkahwin dulu. Tapi dia cuma
mungkin terlalu ego untuk tewas pada Saif Azrai sedangkan dia dulu yang
menyemai cinta dan kononnya ada buah hati ulam jantung. Selama ini berlagak
sangat dan asyik sengaja mahu menayang buah hati di depan Saif Azrai. Kalau
sepupunya itu yang naik akad dulu, malu besarlah dia.
“Assalamualaikum,
mak. Mak sayang kat Izi tak?” Mesti Puan Kamisah tercengang bila ditujah soalan
itu sebaik menjawab panggilan. Izi Helmy sangat pasti.
“Buang tebiat ke
apa kamu ni? Jarang-jarang telefon, tiba-tiba tanya macam tu.” Bergetar suara
Puan Kamisah kedengaran di telinga Izi Helmy. Dah agak dah. Mesti emaknya itu lontarkan
ayat itu kepadanya. Buang tebiat? Huhu memang Izi dah buang tebiatlah ni mak.
“Alah, mak jawab
ajalah. Mak sayang Izi tak?” ulangnya tersengih-sengih lalu hempas tubuh ke
katil. Dalam pada menunggu jawapan Puan Kamisah, berguling-guling dia atas
katil. Tergedik-gedik, lagak macam bercakap dengan teman wanita pula gayanya.
“Apa kenalah dengan
kamu ni. Hmm... mak manalah yang tak sayang anak. Tentulah mak sayang. Kalau
tak sayang, dah lama mak buang kamu masa kecil dulu!”
“Kalau mak sayang
Izi, mak boleh tolong Izi tak?” Manja bunyinya.
Berkerut dahi Puan
Kamisah dibuatnya. Bingung. Entahkan dia sekarang tengah bercakap dengan anak
sendirikah atau dengan lelaki miang mana agaknya. Dah kena miang keladi ke anak
aku ni? Getus Puan Kamisah hairan.
“Kamu ni kenapa?
Miang benar mak dengar. Terkena miang keladi ke miang buluh ni? Ha, apa yang
kamu nak mak tolong?”
“Ayah ada dekat
dengan mak tak?”
“La, kenapa pula
dengan ayah?”
“Shh... alah mak,
mak jauhlah sikit dengan ayah. Rahsia ni...”
Puan Kamisah
menggeleng kepala. Kepalanya memandang ke pintu. Suaminya sudah lama keluar
bilik sejak solat Isyak tadi. Cuma Puan Kamisah saja yang masih di bilik,
membelek rambutnya yang memutih di depan cermin. Kerana geram dan rasa gatal
yang menggigit kulit kepala, dicabut rambut putih itu dari kepala.
“Mak kat bilik ni.
Ayah kamu tengok tv dekat depanlah agaknya. Apa yang nak rahsia sangat dari
ayah ni?” Lembut semula suara Puan Kamisah. Mesti ada yang tak kena dengan
anaknya itu. Kalau tidak masakan mahu berahsia dengan ayah sendiri. Apalah
agaknya yang dia nak mengadu dengan maknya ni.
Izi Helmy senyum
sendiri. Matanya memandang ke siling, mencari-cari ayat mahu dilontarkan pada
Puan Kamisah.
“Apa dia ni,
cakaplah. Kalau tak mahu cakap, mak letak telefon.” Puan Kamisah mengugut.
“Eh, nantilah mak.”
Kalut Izi Helmy menghalang Puan Kamisah daripada menamatkan panggilan. Laju
otaknya menyusun ayat. “Izi nak minta tolong mak, pujuk ayah untuk meminang
Aina. Boleh ya mak.”
Senyap. Seketika
kemudian, telinga dapat mendengar suara halus Puan Kamisah melepaskan keluhan.
“Mak bukannya tak
mahu tolong tapi kamu sendiri tahu perangai ayah kamu. Kalau kata dia A, A la
hendaknya. Ayah kamu tu pun bukannya tak suka kamu kahwin. Kamu sendiri yang
cari pasal dulu. Sebelum kamu belajar dekat luar negari dulu, berapa kali nak
hantar rombongan tak jadi. Sekali rombongan tak jadi. Sekali pula pinangan dah
terima, kamu pula yang tiba-tiba tak jadi nak kahwin. Ingat tak?” Keras sedikit
suara Puan Kamisah cuba mengingatkan. “Sekejap gatal nak kahwin, sekejap tak
mahu. Pinang meminang anak orang ni bukan perkara main-main, Izi. Malu tau mak
dan ayah masa tu.”
Lemah terus hati
Izi Helmy mendengar jawapan Puan Kamisah. Bukan hati saja yang lemah, satu
tubuh ni rasa longlai bagai disedut semua tenaga. Ingatkan dapatlah memujuk
emaknya supaya slow talk dengan ayah.
Tapi nampak gayanya, mak pun dah terikut cara ayah. Alamatnya, akur ajalah...
“Kali ni pula, kamu
betul-betul ke nak kahwin dengan Aina? Mak dan ayah ni pun kalau tak Mak Cik
Kistina kamu yang beritahu pasal Aina, takdelah agaknya kami ni tahu pasal dia.
Mama ni tak memilih sangat calon menantu asalkan dia baik, pandai jaga diri, jaga
laki, hormat orang tua, cukup. Yang mak risaukan sekarang ni, kamu tu. Boleh ke
kamu jaga anak orang ni? Seriuskah kali ni, tak main-main dah?”
“Sumpah, mak. Kali
ni Izi serius dengan keputusan Izi. No
doubt kata omputih!” Sahut Izi
Helmy yakin sekaligus bangun dari baringannya dan terus duduk tegak.
“Bahasa omputih ni mak bukannya faham. Mak
belajar sampai darjah enam aja.” Tawa halus Puan Kamisah menghiasi talian
seketika. “Kamu ikut ajalah cakap ayah. Balik jumpa ayah, biar ayah tengok
sejauh mana persediaan kamu tu nak jadi suami orang. Bawalah Aina sekali jumpa
mak dan ayah. Kami orang tua ni nak juga tengok dulu calon menantu sebelum nak
hantar rombongan meminang. Baikkah dia, cantikkah dia, hodohkah dia, sengetkah
dia...”
“Dia cantik mak!
Itu confirm!” Laju Izi Helmy
memintas.
“Amboi, tak
sabarnya dia. Cantik di mata kamu tak semestinya cantik di mata kami orang tua
ni. Kamu tu anak mak, mak tahu sangat. Menilai kecantikan rupa semata-mata.
Dah. Mak nak tengok ayah kamu dekat depan. Kalau kamu nak kahwin, kamu ikut aja
cakap ayah. Lepas tu, boleh jugalah mak tolong sikit-sikit. Kalau tak, mak pun
tak boleh buat apa. Kamu gigit jari ajalah bila si Aina tu kahwin dengan orang
lain. Assalamualaikum.”
“Erk!
Waalaikumusalam...” Lemah Izi Helmy menjawab salam Puan Kamisah. Tidak
sempatlah dia nak bela diri. Bertalu-talu pesan Puan Kamisah dihembur ke
telinganya. Sekali lagi, ugutan yang sama Puan Kamisah lontarkan. Gigit jari?
Aina kahwin dengan lelaki lain?
Hai... dia
mengeluh. Teringat ugutan Aina tempoh hari.
“I tak sampai hati
nak tolak pinangan orang...”
Mengeluh lagi dia
buat sekian kalinya. Berat. Berat macam ni. Berat!
*******
Puan Damia labuhkan
punggung di atas katil. Sibuk tangannya menyapu losyen ke kaki dan tangan.
“Abang...” panggil Puan Damia lembut lalu menoleh ke arah suaminya yang masih
sibuk membuat kerja di sebelah. Penuh katil itu dengan kertas-kertas kerja
Encik Rahim.
“Hmm...” Encik
Rahim sekadar menyahut. Sedangkan tumpuannya masih setia ke atas dokumen dan
jari sibuk menunjuk di atas kertas yang lain. Seringkali terlihat kepala Encik
Rahim sekejap ke kanan sekejap ke kiri memandang ke dua dokumen di tangannya.
“Dua minggu lagi
Haji Rauf dan Hajah Kistina nak hantar rombongan meminang. Abang mesti ada
dekat rumah tau.” Puan Damia memberitahu. Tubuhnya ditolak ke belakang dan
menyandar diri ke katil. Sebiji bantal pula dicapai untuk dibuat peluk.
“Abang dengar tak
apa sayang cakap ni?” soal Puan Damia mencuit bahu Encik Rahim. Puas ditunggu
reaksi suaminya itu namun macam tiada apa yang berlaku. Puan Damia sekarang
tidak sabar menunggu lama.
“Hmm... nak
meminang siapa?”
“Ish, siapa lagi?
Sasha la. Mana kita ada anak lagi. Abang ni...” Puan Damia menggeleng. Kalau
dah sibuk dengan kerja tu, entah-entah suaminya itu tidak faham pun apa yang
hendak dibincangkan. “Saya nak bincang pasal anak ni, bang. Hentilah dulu buat
kerja tu.” Puan Damia lembutkan suara, meminta-minta.
“Abang tengah sibuk
ni. Cakap ajalah...” Balas Encik Rahim yang masih sibuk dengan kerjanya.
“Alah bang,
bukannya lama. Sekejap aja.”
Perlahan suara
keluhan Encik Rahim kedengaran. Lambat-lambat dia berpaling ke arah Puan Damia.
Muka Puan Damia berbuah ceria namun wajah Encik Rahim pula yang nampak serabut.
Serabut dengan kerja yang bertimbun masih belum selesai.
“Nanti bila Haji
dan Hajah datang, abang jangan tak ada pula. Tak elok pula kalau saya aja yang
jadi wakil pihak perempuan.” Beria Puan Damia memberitahu sebaik Encik Rahim
mengalih perhatian kepadanya.
“Sasha?” Sepatah
Encik Rahim bertanya.
“Alah, Sasha
biarlah dia. Abang jangan beritahu budak tu. Kalau dia tahu, memang sahlah dia
tak mahu terima pinangan sesiapa. Sampai bila kita nak tengok anak kita tu
membujang bang. Dia tu perempuan. Makin lama makin kerepot, makin tak laku
nanti. Jarang ada lelaki nak kat orang perempuan tua tau bang.” Panjang lebar
Puan Damia menjawab.
Sekali lagi Encik
Rahim melepaskan keluhan halus. Tidak habis-habis isterinya itu masuk campur
hal anak-anak. Dari yang sulung sampailah ke anaknya yang kedua, semuanya nak
dipaksa-paksa kahwin dengan pilihannya. Sekarang beralih pula pada anak bongsunya.
“Sashanya suka ke
pada budak tu? Awak ni cukup-cukuplah asyik memilih menantu sendiri. Biarlah
budak tu pula buat keputusan sendiri. Yang nak kahwin nanti, dia. Yang nak kena
hidup dengan lelaki tu nanti dia. Bukan kita.” Bidas Encik Rahim tidak setuju.
“Masalahnya bang,
budak tu sampai sekarang tak ada teman lelaki. Saya ni mak dia bang. Saya ni
faham benar perangai dia, perasaan dia. Saya bukan saja nak paksa-paksa. Anak
kita tu tak nak kahwin, tak nak bercinta mesti sebab budak lelaki yang
tinggalkan dia dulu tu. Bukannya tak ada orang yang nak. Saya risaulah bang.
Sampai bila dia nak tolak semua jodoh sebab lelaki tu. Saya takut nanti
lama-lama, langsung tak ada jodoh untuk dia.”
“Kalau ya pun,
biarlah budak tu buat keputusan. Nak ke dia kahwin dengan anak Haji dan Hajah
tu? Saya ni pun, tak jumpa lagi budaknya. Macam mana orangnya?”
“Nak jumpa macam
mana kalau abang tu asyik sibuk memanjang. Saya nak bercerita pun tak sempat.”
Puan Damia menjawab selamba. Mengeluh lagi suaminya itu. Puan Damia bangun dan
bergerak ke arah almari. Gambar Saif Azrai dicapainya dari dalam beg tangan
lalu henyak semula punggung ke katil.
“Ni, gambar
budaknya.” Gambar itu dihulurkan kepada Encik Rahim. Suaminya itu menyambut
lalu tekun membelek gambar itu sambil sesekali membetul-betulkan cermin
matanya.
“Namanya Saif
Azrai, muda sikit daripada anak kita tu. Dia baru habis belajar dua tahun
lepas, dekat UK. Dia ni arkitek dekat syarikat Haji Rauf tu. Alah bang, Haji
Rauf kan kawan abang. Abang tahulah perangai dia. Macam mana dia, macam tulah
anak dia bang.”
Macam tu pula?
Encik Rahim menghulurkan semula gambar Saif Azrai kepada isterinya. Cermin
matanya ditanggalkan seraya menarik lagi nafas panjang untuk entah yang ke
berapa kali.
“Kalau ayahnya
baik, tak semestinya anaknya pun baik.”
“Saya dah jumpa
sendiri budaknya, bang. Baik budaknya, hormat orang tua. Rupa cantik dah memang
tentu. Harta ada, cukup didikannya. Bujang pula tu, bukannya duda atau dah
beristeri. Dah elok sangat dah cirinya untuk dijadikan menantu kita bang.”
Lekas Puan Damia membela. “Bukan senang nak dapat menantu sempurna macam ni
bang. Anak kita tu dahlah belajar tak habis-habis, dah tua pula tu, masak tak
reti, buat kerja rumah tak reti. Sasha tu dah cukup bertuah anak Haji Rauf nak
pinang dia jadi isteri.”
Encik Rahim diam. Mahu
mengikut, serba salah. Mahu menolak pun serba tak kena. Kasihan pada anaknya
kalau dipaksa-paksa tapi isterinya itu pun buat semua ini bersebab. Bila
ditimbang tara macam-macam perkara, kata-kata Puan Damia ada benarnya. Sampai
bila dia hendak melihat anaknya yang seorang itu membujang, sampai ke tua?
Kalau ikutkan hati bapa ini, memang mahu Sasha Amira yang di bawah
tanggungjawabnya itu ada orang yang menjaga sebelum mata ayah ni tertutup.
“Macam nilah. Saya
ni nak tengok juga macam mana budaknya depan mata. Setakat tengok gambar ni,
tak puas. Sebelum Haji dan Hajah datang meminang anak kita tu, saya nak buat
kenduri doa selamat malam minggu ni. Untuk Sasha tahun akhir nilah. Moga-moga
habis dia belajar kali ni. Awak jemputlah Haji sekeluarga. Bolehlah saya tengok
calon menantu awak tu.” Encik Rahim buat keputusan. Ceria muka Puan Damia
dilihatnya lalu isterinya itu mengangguk setuju bersama senyuman yang tersimpul
di bibir.
*******
“I bukan tak mahu
jumpa parents you. Tapi mengejut
sangatlah. I kena mohon cuti, you fahamlah kerja I bukan boleh cuti macam tu
aja. Apa kata buat masa ni, you datang jumpa parents I dulu. Lepas tu baru I minta cuti jumpa parents you pula. Okey?”
Permintaan Aina
sekali lagi buatkan Izi Helmy bersandar. Pening kepalanya bila semua orang
meletakkan syarat. Encik Hairol mahu menguji tahap didikan agamanya, Puan
Kamisah hendak bertemu dulu dengan calon menantunya, Aina pula mahu Izi Helmy
dulu datang berjumpa kedua orang tuanya. Lepas ni, siapa pula? Bakal ayah
mertua dan mak mertua akan letakkan syarat apa pula? Atau adik Aina yang
berusia lima tahun itu yang akan memutuskan syarat lain pula?
Bagi Aina, memang
sudah lama kiranya dia menanti soalan itu keluar dari mulut Izi Helmy. Memang
belum pernah Izi Helmy perkenalkan dirinya ini kepada orang tua lelaki itu
barangkali. Kerana belum pernah diajaknya bertemu mereka. Bila Aina mengajak
Izi Helmy ke rumah pun dia asyik mengelak. Kadang-kadang berkira juga sama ada
lelaki itu seriuskah pada hubungan mereka. Aina pun bukanlah berkejar sangat
mahu berumahtangga. Cuma dia tidak mahu hubungan mereka berakhir tanpa noktah.
Nak jumpa yang berkenan di hati, memang payah. Tapi sebab hati dah suka, asyik
diberi peluang pada si dia. Dia yakin lelaki itu yang tercipta untuknya, juga
sebagai ayah kepada anak-anaknya. Jadi, kalau boleh biarlah hubungan yang
terjalin berakhir ke jinjang pelamin.
“Jumpa parents you?” Soalan itu diulang Izi
Helmy.
“Emmhemm...” Aina
mengiakan serentak mengangguk. Namun anggukannya bukan Izi Helmy dapat melihat.
“Mak I pun bukan tak pernah bertanya pasal you. Macam-macam alasan I bagi.
Kalau you serius dengan hubungan kita, patutnya you datang jumpa orang tua I
dulu. Ini tak, asyik I aja yang mengajak. Macam I ni pula yang terhegeh-hegeh
nak kat you. Malu I tau. Tak gentleman
la you ni.” Suara Aina berubah nada. Merajuk bunyinya.
Aduh. Izi Helmy
tekan kepala dengan jari. Sekali dia kata aku tak gentleman la! Getusnya tidak percaya. Rasa macam leher ni kena
jerut bila mendengar Aina berkata begitu.
“Alah, janganlah
cakap macam tu. I bukan tak serius dengan you, tapi... emm... I cuma fobia aja
nak jumpa ayah you. Yalah, ayah you tu kan ustaz. Ketar kepala lutut ni rasa
macam nak tercabut.”
Hampir tergelak
Aina mendengar jawapan Izi Helmy tapi ditahan tawanya dari meletup. Biar lelaki
itu tahu dia serius kali ini. No more
joke okey!
“Belum jumpa, dah
kata fobia. Ayah I tu ustaz aja, bukannya Tuhan yang you nak takut sangat.
Harimau pun bukan yang nak baham you.”
Senyap tiada
jawapan. Izi Helmy berfikir-fikir. Risau masih ada. Risau disoal bakal ayah
mertua tentang agama. Dibuatnya ayah Aina tiba-tiba sergah suruh baca ayat
kursi ke, surah al-Quran ke, fuh, menggigil ditambah berpeluh satu badan dia
nanti.
Dia baring atas
sofa. Tidak senang hati, dia bangun dan mundar mandir sepanjang ruang tamu.
Telefonnya masih diletak ke telinga. Tapi sunyi sepi. Aina tidak lagi bersuara.
Dia juga masih terus menghitung itu dan ini. Agak-agak ada tak ayah Aina pegang
rotan macam Encik Hairol? Bermacam-macam bayang mula menerjah kotak fikirannya.
Huh! Seriau!
“You...” Halus
suara Aina memanggil. Hairan dia bila panggilan itu sunyi dari tadi. Hanya
terdengar suara hembusan nafas Izi Helmy sekali sekala.
“Okeylah. Esok juga
I datang jumpa mak ayah you!” Yakin dia memberitahu Aina. Tapi tiba-tiba terasa
diri gelojoh sangat. Err... tak apa ke tiba-tiba aja? Soalnya sendiri. Kali ini
Aina betul-betul tergelak.
“Kenapa dengan you
ni? Tergesa-gesa aja macam kena kejar tok kadi. ”
“Mana ada
tergesanya sayang. Ops, Aina.” Gatal pula mulut ni nak panggil sayang. Ni yang
tiba-tiba memang rasa tak sabar nak kahwin. Boleh panggil nama tu selalu,
sepanjang masa. Lepas tu dengar pula dia panggil kita sayang juga. Paling kurang
pun, abang. Oh, bahagianya rasa hati.
“Kan hari tu I dah
melamar you. Tuhan dah bukakan pintu hati I ni nak kahwin, elakkan maksiat.
Lepas dah halal nanti, bolehlah I jumpa you selalu, tengok muka you puas-puas,
pegang tangan you, usap rambut you...”
“Amboi... gatalnya
dia.” Pantas Aina memintas cakap Izi Helmy sebelum lelaki itu menyambung lagi
ayat-ayat miangnya. Sama ada geli telinga ni nak dengar atau bimbang hatinya
diketuk perasaan ganjil, dia tidak tahu. Tapi cukuplah tu. “Kalau ya pun,
datanglah dua tiga hari lagi. Terkejut parents
I nanti kalau I beritahu you nak datang esok.”
“Sebelum lutut I
ketar balik, lebih baik I datang jumpa ayah you cepat-cepat. Tapi dah buah hati
minta macam tu kan, nak buat macam mana. Kenalah skru dulu lutut ni ketat-ketat,
jangan bagi tercabut. Jadinya, I datang Sabtu nanti. Jangan tak beritahu pula
pada mak ayah you. Nanti I datang terkejut pula semua orang. Okey?”
“Emm... suka hati
you la.” Lembut suara Aina membalas bersama tawanya yang cukup halus bagai
menggeletek liang telinga.
Berbunga hati Izi
Helmy mendengar suara Aina lagi-lagi bila dia ketawa. Hai, kalau hari-hari
boleh dengar suaranya yang merdu bak buluh perindu tu, sanggup dia menghadap
ayah Aina yang bergelar ustaz tu. Jinak-jinak merpati, susah sangat nak
didekat. Kalau dengan ikatan tali perkahwinan saja jalan penyelesaian yang ada,
nampaknya setiap malamlah dia tidur dengan berpelukan bacaan agama.
Kesian Izi... hehe nasib kaulah Izi. Kata orang pun, kalau hati dah suka, dah sayang... lautan api pun sanggup direnangi kan. Selamat berjuang ler kat Encik Izi hehehe