Saif Azrai
bersiul-siul kecil sambil menekan butang pada papan kekunci. Sekejap tangan
kanannya didekatkan ke hidung. Ummmpphhh.... hingga terpejam matanya menikmati
haruman di tangan. Senyumnya melebar hingga ke telinga mengenangkan makan malam
sempena ulang tahun syarikat Suria Holding yang kedua puluh semalam. Bukan
kerana makanannya, tapi kerana si cantik jelita, Putri Laila Kirana.
Lama mereka
berborak semalam. Dari perbualan tentang kerjaya hingga ke soal peribadi.
Berjaya juga si pipit ini menangkap enggang masuk ke sangkar yang sama. Tapi
dia tidak puas. Mendengar suara lunak merdu Putri Laila Kirana buatkan dia rasa
masa begitu cepat berlalu. Seolah-olah begitu cemburu akan perbualan rancak
mereka. Bukan suaranya saja enak didengar, tawanya, senyumnya... oh, dia
tergoda.
Sebelum pulang,
berjaya dia bersalaman dengan Putri Laila Kirana sebagai ucapan selamat tinggal.
Dia menghidu lagi tangannya. Walau sudah berkali dibilas tangan itu, bagai
masih terbayang haruman tangan Putri Laila Kirana. Pakai losyen apa agaknya
dia. Wangi.
“Ehemm... syok
nampak!”
Teguran suara garau
tiba-tiba membantutkan lamunannya. Serta-merta Saif Azrai buka kelopak mata dan
nampak Izi Helmy tersengih di depan. Sudah duduk pun tanpa segan silu.
Mamat ni lagi.
Asyik kacau blues aku ajalah!
Getusnya kurang senang.
“Kau ni tak reti ke
ketuk dulu pintu tu sebelum masuk? Asyik nak menyergah orang aja.” Marahnya
tidak senang. Tangan cepat diturunkan ke bawah. Kembali mengetuk papan kekunci
laju-laju untuk berlagak sibuk di depan Izi Helmy.
“Dah berapa kali
aku ketuk, tak berjawab. Macam nak tercabut dah pintu tu. Aku panggil
berkali-kali pun kau tak menyahut. Sibuk nampak. Tengah fikirkan ideakah? Atau
teringatkan awek sedondon semalam?” sindir Izi Helmy selamba. Sengaja hendak
menyakat Saif Azrai.
Terus saja jari
Saif Azrai kaku tidak bergerak. Mukanya perlahan-lahan dipalingkan ke arah Izi
Helmy. Sepupunya tersengih sambil mengangkat kening, seperti selalu dibuatnya.
Riak nakal itu, Saif Azrai masak sangat.
“Eleh, tak payah
nak tayang muka terkejut kau tu sangatlah, bro. Bukan aku tak nampak bukan main
lagi kau berbual dengan anak Tan Sri Iskandar semalam. Hai, nampaknya ada orang
tu nak pancing ikan besar. Hati-hati bro kalau nak pancing ikan besar guna kail
kecil. Silap-silap kau yang terhumban masuk laut dalam.”
Saif Azrai
menganga. Ni apa pula madah-madah segala. Pancing ikan besarlah, kail kecillah,
masuk laut dalam la. Banyaklah dia punya pancing. Siapa ikan, siapa kailnya?
Kutuk Saif Azrai dalam hati.
“So, kau nak apa masuk bilik aku ni?”
Terus saja Saif Azrai menyoal dengan muka serius.
Izi Helmy mencebir.
“Alah, garanglah pula. Ni, draft plan kau ni aku dah tengok.” Kertas yang
dibawa bersama tadi diletakkan atas meja Saif Azrai. “Kalau ikut pelan elektrik
bangunan tu, rasanya tak ada masalah.” Tambahnya lagi lalu bersandar semula ke
kerusi.
Saif Azrai angguk.
Lakaran kasar itu dibiarkan saja atas meja. Nanti tahulah dia cari masa lukis
pelan reka bentuk dalaman sebelum membuat temujanji dengan empunya restoran itu
nanti. Dia tenung muka Izi Helmy. Sepupunya itu masih di situ. Keningnya
diangkat ke atas seakan bertanya hal apa lagi yang membuatkan Izi Helmy masih
tidak berganjak.
“Macam mana
orangnya, siapa nama anak Tan Sri Iskandar tu... Putri Kirana?” Dahinya
berkerut-kerut sambil diketuk-ketuk dengan jari telunjuk, cuba mengingatkan
nama anak sulung pewaris Suria Holding.
“Correction! Her name is Putri Laila
Kirana.” Saif Azrai membetulkan. Mukanya masih serius seperti tadi. Alah,
pura-pura kedekut cerita konon. Getus Izi Helmy.
“Wow! Panjangnya
nama. Putri... Laila... Kirana,” ulangnya satu per satu. “Macam mana orangnya,
bro? Takkanlah tak mahu kongsi sikit kut!” Sengaja dia tayang muka teruja.
Sekadar tunjuk minat. Tidak puas hati selagi tidak mendengar cerita perkenalan
Saif Azrai dengan anak gadis Tan Sri Iskandar semalam. Alang-alang sudah nampak
depan mata, tercuit juga hati ni nak tahu serba sedikit.
“Kenapa? Kau
berkenan jugakah?” Saif Azrai dungkat dagu dengan sebelah tangan. Keningnya
pula terjungkit nakal menduga hati Izi Helmy. Laju Izi Helmy mengangkat kedua
belah tangan ke atas seakan menyerah kalah.
“Huish. Dengar buah
hati aku, gigit jari aku nanti kalau dia merajuk!” Kepalanya digeleng sama
sungguh-sungguh. Hampir tergelak Saif Azrai melihat gelagat sepupunya itu. Hai,
orang tengah belajar nak setia pada yang seorang. Baru acah sikit, dah kalut.
“Lagipun aku tak
kacau kalau ada orang lain yang berkenan dulu.”
“Jadinya kalau aku
tak masuk line dulu, kau ada hati nak
try la ya.” Makin ligat Saif Azrai
menduga Izi Helmy. Berbeza responsnya kali ini, Izi Helmy tersengih. Huh! Dasar
lelaki buaya. Mana senang nak tinggal tabiat lama. Kutuk Saif Azrai lagi
diam-diam.
“Siapa yang tak
tergugat tengok anak Tan Sri Iskandar tu, bro. Dahlah rupa cantik, badan pun
cantik, meletop beb!” ujar Izi Helmy jujur lalu mencium jari dengan lagak yang
mengiurkan. “Pandai pula tu. Aku dengar PR dia bukan main hebat. Sikit hari
lagi, dia dah boleh ganti tempat Tan Sri Iskandar take over company ayah dia tu. Perempuan macam tu, lelaki mana yang
tak nak. Kalau tak dapat dibuat bini, dapat bercintan-cintun sehari dua
jadilah!”
“Banyaklah kau
punya bercintan-cintun!” Pantas Saif Azrai memintas sebelum Izi Helmy terus
melalut. Kalau sudah datang angin gatal dia tu, macam-macamlah yang dia fikir.
“Bercinta setakat dua tiga hari, apa dapat? Tak pernah dibuat orang melainkan
kau. Kau tu aja yang bercinta tak sampai seminggu dah bertukar pasangan. Paling
tidak, kau bercinta dengan dua tiga perempuan sekaligus.”
Izi Helmy. Kalau
hendak dibandingkan dengan Saif Azrai, memang Izi Hemy selayaknya yang dapat
gelaran kaki perempuan atau nama Inggerisnya playboy! Itu baru playboy
namanya kalau asyik bertukar pasangan dan bercinta entah berapa banyak wanita
serentak. Sedangkan aku cuma bercinta dengan seorang wanita dalam satu-satu
masa aja okey. Kalau bertukar pasangan, itu bukan menunjukkan yang aku ni playboy tapi putus sebab nak cari
pasangan yang lebih serasi. Alah, sedangkan orang berkahwin pun bercerai-berai.
Apalah sangat kalau nak dibandingkan dengan orang bercinta, berpisah dan
bercinta pula dengan orang lain.
“Itu dulu bro. Alah kau ni, tak payahlah nak ungkit
hal lama lagi. Kalau Aina dengar pasal ni, melepas aku bro.” Dia mengingatkan lagi.
Memang tidak pernah
walau sekali dia ceritakan pada Aina pasal zaman silamnya. Apatah lagi
berkongsi hal percintaan lama. Mana ada perempuan yang ingin dengar kisah cinta
lama teman lelaki. Kalau Izi Helmy pun, dia mengaku yang dia tak rela dengar
cerita cinta Aina sebelum bertemu dengannya. Hendak Izi Helmy mengaku keburukan
sendiri macam ni... Aina, you tau tak yang I ni dulu playboy. Macam tu? Huish lagilah tidak.
Kali ini Saif Azrai
benar-benar tergelak. Suka dia tengok muka pucat Izi Helmy. Takut tembelangnya
pecah pada buah hatilah katakan. Mencerlung mata Izi Helmy memandang Saif
Azrai. Mukanya pula yang serius kali ini. Namun makin galak sepupunya itu
ketawa sedangkan dia puas menunjuk riak marah di sini.
“Ada orang tu takut
kat girlfriend. Haha...” Saif Azrai
gelak suka hati. “Ini baru jadi girlfriend.
Nanti jadi bini, entah macam mana.” Tawanya ditahan-tahan tapi makin ditahan
makin kelakar. Mahu taknya. ‘Lelaki buaya’ di depannya sekarang dah bertukar
jadi lelaki takut perempuan. Dahsyat penangan Aina. Entah apa ubat yang
disuntik Dr. Aina dalam badan sepupunya itu.
“Kutuklah...
kutuklah puas-puas. Nanti kena kat batang hidung sendiri, baru kau tau seram
sejuknya bercinta ni.”
Ah, malas nak
layan! Sebelum Saif Azrai menyakat mahupun menyindir lagi, Izi Helmy angkat
punggung. Bukan setakat punggung yang rasa panas, ikutkan hati satu badan ni
rasa terbakar lebih-lebih telinganya. Macam dah hangus terbakar kena BBQ dek
hilai tawa sepupu sendiri.
“Jangan sibuk
gelakkan aku aja, bro. Tu pelan tu
jangan lupa. Kau janji dengan uncle
nak siap esok kan?” Sempat Izi Helmy menuding jari ke arah lakaran kasar di
depan Saif Azrai. Mati tawa sepupunya itu serta-merta. Matanya mengikut
telunjuk Izi Helmy tidak berkerdip.
Ha, baru tau nak
terkujat! Getus Izi Helmy geram.
Izi Helmy tidak
ambil pusing respons Saif Azrai. Tanpa buang masa, dia keluar dengan tenang
meninggalkan Saif Azrai tergamam sendiri.
“Esok? Adui!”
Keluhnya kuat. Lekas lakaran yang terbiar atas meja tadi disambarnya. Jam
dikerling sekilas. Sekali lagi dia mengeluh, lebih kuat. “Izi ni pun satu,
bukannya nak ingatkan awal-awal. Berceloteh aja panjang. Aduh, macam mana boleh
lupa ni!” Bebelnya sendiri.
*******
Saif Azrai kelam
kabut menyiapkan pelan lakaran reka bentuk dalam restoran yang perlu diserahkan
pada Haji Rauf. Teruk. Masih banyak lagi yang perlu dibuat. Haji Rauf pula ada
menelefon tadi. Mengajak dia makan tengah hari bersama sementara Uncle Hairol masih ada di KL. Khabarnya Uncle Hairol akan balik ke Penang esok.
Aduh. Masak aku
macam ni! Kalau macam nilah gayanya, alamat aku pula yang kena tidur dekat
pejabat!
Tangannya makin
laju menggerakkan tetikus. Cepat dia melakar pelan menggunakan perisian komputer.
Sedang dia asyik dengan kerjanya, pintu biliknya diketuk.
“Ya!” Dia hanya
menyahut. Mata tidak berganjak dari skrin komputer.
“Jom, Azrai. Ikut
sekali.”
Pantas bola matanya
ditolak ke arah pintu. Haji Rauf sudah mengajak dari muka pintu. Di belakangnya,
Uncle Hairol dan anaknya menyusul.
Spontan Saif Azrai mengerling jam di bahagian bawah skrin komputernya.
“Okey, pa. Kejap
lagi Azrai keluar,” jawab Saif Azrai laju. Haji Rauf mengiakan lalu bayang Haji
Rauf hilang bersama yang lain. Perlahan Saif Azrai mengeluh. Cepat betul masa
berlalu. Sedangkan kerjanya belum separuh pun yang siap.
Habislah...
habislah... Dia menyumpah dalam hati. Namun, kerana tidak mahu papa dan Uncle Hairol menunggu lama, Saif Azrai
lekas meninggalkan kerja. Terkocoh-kocoh dia mencari iphone dari balik timbunan
kertas yang berselerak atas meja. Jumpa, dia berlari keluar.
Dalam perjalanan ke
Serai Thai Restaurat yang terletak di
Lembah Klang, Saif Azrai diam membatu. Perhatiannya cuma ditumpukan ke jalan
raya. Jalan sesak seperti biasa. Makin serabut fikirannya yang memang tengah
kusut mahu menyiapkan kerja yang tertangguh. Perbualan antara Haji Rauf, Uncle Hairol mahupun Izi Helmy sikit pun
tidak dia ambil bahagian. Sikit-sikit saja yang melekat ke telinga. Yang lain,
sekadar lalu bagai bayu yang menghembus. Bila ditanya, barulah dia cuma
mengiakan saja.
Di tengah-tengah
perbualan, Encik Hairol menjawab panggilan yang asyik berdering. Senyap
seketika suara Haji Rauf dan Izi Helmy. Hanya suara Encik Hairol
sepatah-sepatah menghiasi ruang dalam Kia Forte ini.
“Yakah?” Suara
Encik Hairol kedengaran sedikit terkejut. Kemudian nadanya rendah semula bila
sekadar mengiakan. “Emm.. ya... emm. Baiklah, kalau macam tu saya akan balik
segera. Terima kasih Marisa.” Telefon diturunkan dari telinga dan wajah Encik
Hairol nampak sedikit hampa.
“Maaflah, bang.
Setiausaha saya telefon. Katanya ada client
dari Kelantan nak datang petang ni. Ada hal yang nak dibincangkan. Jadi,
nampaknya saya tak dapatlah lunch
bersama hari ni. Saya nak kena balik Penang.”
“Kenapa tak dibuat
aja appointmentnya hari lain?” soal
Haji Rauf kurang faham.
“Katanya penting,
tak boleh tunggu lebih lama. Jadual saya pula penuh sampai minggu depan. Emm...
dia datang dari jauh, bang. Tak sampai hati pula nak diketepikan.” Encik Hairol
menjelaskan.
Haji Rauf
mengangguk setuju. “Eloklah. Hal kita di sini pun dah selesai. Kamu nak ke airport terus ke, nak balik rumah dulu?”
“Elok terus ke airport ajalah, bang. Harap sempat saya
sampai sebelum dia,” jawab Encik Hairol lalu melihat jam di pergelangan tangan.
“Ha, Azrai. Kita ke
airport dulu, hantar Uncle Hairol. Dia tak dapat lunch dengan kita hari ni.” Haji Rauf
memberitahu kepada anaknya yang sedang memandu.
Serta-merta mata
Saif Azrai menjeling ke belakang melalui cermin bila mendengar namanya disebut.
Dia mengangguk saja mengikut arahan Haji Rauf. Haluan kereta yang dipandunya
berubah arah menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang.
*******
Selepas menghantar
Encik Hairol, Haji Rauf tetap mengajak Saif Azrai dan Izi Helmy makan tengah
hari bersama walaupun jam sudah melebihi angka dua. Kalau bos besar yang
mengajak, masakan mahu menolak. Takkanlah ada orang yang hendak marah masuk
pejabat lambat kalau sudah bersama bos besar kan.
“Papa tengok, kamu
berdua ni dah makin matang dalam urusan pejabat. Daripada kertas kerja dan
pembentangan kamu semalam, papa dan Uncle
Hairol nampak yang kamu berdua dah ada matlamat sendiri.” Haji Rauf bersuara
dalam pada mereka menikmati makan tengah hari. Dia lebih senang biasakan diri
sebagai papa walaupun di depan anak buahnya bila Saif Azrai juga ada bersama.
Lebih senang kalau dianggap saja keduanya sebagai anak.
Saif Azrai dan Izi
Helmy masing-masing tersenyum bila dipuji. Izi Helmy siap menyinggul siku Saif
Azrai.
“Kami memang ada
matlamat uncle. Sejak belajar dekat
UK dulu kami dah plan macam-macam
tapi semua tu angan-angan Mat Jenin ajalah.” Jawapan Izi Helmy mengundang tawa
kecil Haji Rauf.
“Dah ada peluang
sekarang, takkanlah masih angan-angan Mat Jenin lagi? Yang kamu beria
bentangkan semalam tu cuma angan-angan, begitu?”
“Eh tak, papa...
bukan tu maksud Izi.” Cepat Saif Azrai menafikan. “Dulu masa tak ada peluang,
jadi angan-angan ajalah, papa. Sekarang dah ada peluang, mimpi jadi realiti
pula. Kan?” Saif Azrai jeling Izi Helmy, minta sokongan. Pantas saja Izi Helmy
mengangguk setuju.
Haji Rauf turut menganggukkan
kepala, tanda faham. “Hmm... peluang yang datang pun bukan selalu. Sekarang ni
banyak syarikat yang tumbuh macam cendawan lepas hujan. Pandai-pandailah kamu
bersaing dengan mereka nanti. Papa dan Uncle
Hairol bolehlah tengok dari belakang aja lepas ni.”
“Papa ada plan nak bersara ke?” Laju soalan itu
meluncur keluar dari mulut Saif Azrai dengan riak terkejut. Lain macam saja
ayat Haji Rauf di pendengarannya tadi.
Ada senyum nipis
terbentuk di bibir Haji Rauf. Sudu dan garfunya perlahan-lahan dilepaskan di
atas pinggan. Haji Rauf menegakkan tubuh dan merenung anak serta anak buahnya
silih berganti. Saif Azrai sudah berhenti mengunyah dan menanti jawapan.
“Kalau kamu dah ada
matlamat kerja, baguslah. Tapi nak juga ada matlamat hidup. Kita ni orang
lelaki sampai satu tahap nak ada orang yang menyokong dari belakang. Papa
dengan Uncle Hairol dulu pun, selain
atuk, mama dan Aunty Kamisah la yang
jadi tulang belakang kami. Umur kamu berdua pun bukannya muda lagi.
Masing-masing dah ada pilihan hati pula tu. Tak perlulah nak tunggu
lama-lama...”
Huk!Huk!
Kalut Izi Helmy
menepuk-nepuk dadanya setelah tersedak mendengar kata-kata Haji Rauf. Gelas air
dicapai lantas diteguk air di dalamnya laju-laju. Suara Haji Rauf lesap kerana
memerhatikan riak Izi Helmy seketika.
Izi Helmy menoleh
ke sebelah sekejap. Melopong mulut sepupunya itu. Tak handsome langsung buat muka batu belah batu bertangkup dia tu.
Sempat Izi Helmy mengutuk.
“Papa dah fikir
masak-masak. Papa pun dah lama dalam syarikat ni. Dah letih rasanya. Nak juga
berehat dan luangkan masa dengan mama kamu. Papa ingat nak serahkan jawatan
papa ni pada kamu atau pun Izi, dengan syarat... kamu berdua kena kahwin dulu.”
Ha? Tersedak lagi
Izi Helmy buat kali kedua. Tidak makan, tidak minum namun dia masih rasa
tercekik. Sementara Saif Azrai makin galak dia melopong.
“Siapa antara kamu
berdua yang berkahwin dulu, papa akan serahkan jawatan papa menguruskan
syarikat ni di KL.” Tenang Haji Rauf membuat tawaran itu. Dia sudah banyak
berfikir tentang hal ini semenjak pada hari Hajah Kistina menginginkan anak
mereka itu berkahwin lagi.
Bagi Haji Rauf,
berkahwin itu bukan perkara mudah. Namun, bila selalu sangat dilihatnya Saif
Azrai dengan bermacam wanita, Haji Rauf mula risau. Orang tua, fikirnya
macam-macam. Kalau pun bukan teman wanita, manalah kita orang tua ni tahu kalau
anak tak mahu mengaku. Ah, kalau benar tiada teman wanita sekalipun mamanya
juga ada calon untuknya. Kisah Saif Azrai dengan Aisyah Hana pun bukannya Haji
Rauf tidak tahu. Sudah kecoh satu pejabat. Masakan dia sebagai majikan di situ
tidak tahu khabar berita. Pejabatnya itu pun bukanlah besar sangat. Suzi,
selain menjadi setiausahanya, juga menjadi mata-matanya. Kesudahannya, tidak
juga Saif Azrai perkenalkan gadis itu kepada Haji Rauf dengan cara yang betul. Elok
benarlah kalau Saif Azrai dikahwinkan. Moga-moga dia lebih matang lepas ini.
Tidaklah pelanggannya juga mahu dijerat dengan perangkap cinta tanpa penghujung.
“Betul ke apa uncle cakap ni?” Izi Helmy menyahut
sambil menggosok-gosok telinganya. Sedang Haji Rauf tenang tersenyum.
“Tengoklah macam
mana prestasi kamu lepas ni...”
Serentak Izi Helmy
dan Saif Azrai berpandangan. Kali ini Saif Azrai tidak keseorangan kerana Izi
Helmy juga mula ternganga.
Kahwin? Huhu
longgar kedua kepala lutut ni rasanya. Kedua-dua mereka fobia benar bila
mendengar perkataan kahwin. Yang seorang sudah setia dengan kekasih hati dekat
dua tahun namun masih belum bersedia mahu menghadap bapa mertua. Yang seorang
lagi, pencariannya masih belum sampai ke titik noktah. Masih belum berhasil.
Qay yang merajuk sakan, Sasha yang begitu jual mahal, atau Kirana gadis vogue yang baru sehari dia kenali. Siapa
pilihannya?
Tapi taruhan...
jawatan Pengarah di pejabat JRH Interior & Construction Sdn Bhd di Kuala
Lumpur. Siapa yang tak mahu. Saif Azrai menelan liur. Izi Helmy sudah pun
berpunya. Dia punya kelebihan. Sedang cawangan di Penang masih di bawah urusan
Uncle Hairol, yang kesudahannya juga bakal diperturunkan kepada anaknya, Izi
Helmy. Masak aku macam ni. Masak! Kalut hati Saif Azrai ketika ini.
No comments:
Post a Comment