Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Sunday, May 26, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 30


Pulang saja dari rumah Haji Rauf dan Hajah Kistina, malam itu juga Izi Helmy menelefon Puan Kamisah di Penang. Bukan sebab mengharap sangat akan tawaran Haji Rauf yang mahu menyerahkan syarikat itu kepadanya kalau dia berkahwin dulu. Tapi dia cuma mungkin terlalu ego untuk tewas pada Saif Azrai sedangkan dia dulu yang menyemai cinta dan kononnya ada buah hati ulam jantung. Selama ini berlagak sangat dan asyik sengaja mahu menayang buah hati di depan Saif Azrai. Kalau sepupunya itu yang naik akad dulu, malu besarlah dia.
“Assalamualaikum, mak. Mak sayang kat Izi tak?” Mesti Puan Kamisah tercengang bila ditujah soalan itu sebaik menjawab panggilan. Izi Helmy sangat pasti.
“Buang tebiat ke apa kamu ni? Jarang-jarang telefon, tiba-tiba tanya macam tu.” Bergetar suara Puan Kamisah kedengaran di telinga Izi Helmy. Dah agak dah. Mesti emaknya itu lontarkan ayat itu kepadanya. Buang tebiat? Huhu memang Izi dah buang tebiatlah ni mak.
“Alah, mak jawab ajalah. Mak sayang Izi tak?” ulangnya tersengih-sengih lalu hempas tubuh ke katil. Dalam pada menunggu jawapan Puan Kamisah, berguling-guling dia atas katil. Tergedik-gedik, lagak macam bercakap dengan teman wanita pula gayanya.
“Apa kenalah dengan kamu ni. Hmm... mak manalah yang tak sayang anak. Tentulah mak sayang. Kalau tak sayang, dah lama mak buang kamu masa kecil dulu!”
“Kalau mak sayang Izi, mak boleh tolong Izi tak?” Manja bunyinya.
Berkerut dahi Puan Kamisah dibuatnya. Bingung. Entahkan dia sekarang tengah bercakap dengan anak sendirikah atau dengan lelaki miang mana agaknya. Dah kena miang keladi ke anak aku ni? Getus Puan Kamisah hairan.
“Kamu ni kenapa? Miang benar mak dengar. Terkena miang keladi ke miang buluh ni? Ha, apa yang kamu nak mak tolong?”
“Ayah ada dekat dengan mak tak?”
“La, kenapa pula dengan ayah?”
“Shh... alah mak, mak jauhlah sikit dengan ayah. Rahsia ni...”
Puan Kamisah menggeleng kepala. Kepalanya memandang ke pintu. Suaminya sudah lama keluar bilik sejak solat Isyak tadi. Cuma Puan Kamisah saja yang masih di bilik, membelek rambutnya yang memutih di depan cermin. Kerana geram dan rasa gatal yang menggigit kulit kepala, dicabut rambut putih itu dari kepala.
“Mak kat bilik ni. Ayah kamu tengok tv dekat depanlah agaknya. Apa yang nak rahsia sangat dari ayah ni?” Lembut semula suara Puan Kamisah. Mesti ada yang tak kena dengan anaknya itu. Kalau tidak masakan mahu berahsia dengan ayah sendiri. Apalah agaknya yang dia nak mengadu dengan maknya ni.
Izi Helmy senyum sendiri. Matanya memandang ke siling, mencari-cari ayat mahu dilontarkan pada Puan Kamisah.
“Apa dia ni, cakaplah. Kalau tak mahu cakap, mak letak telefon.” Puan Kamisah mengugut.
“Eh, nantilah mak.” Kalut Izi Helmy menghalang Puan Kamisah daripada menamatkan panggilan. Laju otaknya menyusun ayat. “Izi nak minta tolong mak, pujuk ayah untuk meminang Aina. Boleh ya mak.”
Senyap. Seketika kemudian, telinga dapat mendengar suara halus Puan Kamisah melepaskan keluhan.
“Mak bukannya tak mahu tolong tapi kamu sendiri tahu perangai ayah kamu. Kalau kata dia A, A la hendaknya. Ayah kamu tu pun bukannya tak suka kamu kahwin. Kamu sendiri yang cari pasal dulu. Sebelum kamu belajar dekat luar negari dulu, berapa kali nak hantar rombongan tak jadi. Sekali rombongan tak jadi. Sekali pula pinangan dah terima, kamu pula yang tiba-tiba tak jadi nak kahwin. Ingat tak?” Keras sedikit suara Puan Kamisah cuba mengingatkan. “Sekejap gatal nak kahwin, sekejap tak mahu. Pinang meminang anak orang ni bukan perkara main-main, Izi. Malu tau mak dan ayah masa tu.”
Lemah terus hati Izi Helmy mendengar jawapan Puan Kamisah. Bukan hati saja yang lemah, satu tubuh ni rasa longlai bagai disedut semua tenaga. Ingatkan dapatlah memujuk emaknya supaya slow talk dengan ayah. Tapi nampak gayanya, mak pun dah terikut cara ayah. Alamatnya, akur ajalah...
“Kali ni pula, kamu betul-betul ke nak kahwin dengan Aina? Mak dan ayah ni pun kalau tak Mak Cik Kistina kamu yang beritahu pasal Aina, takdelah agaknya kami ni tahu pasal dia. Mama ni tak memilih sangat calon menantu asalkan dia baik, pandai jaga diri, jaga laki, hormat orang tua, cukup. Yang mak risaukan sekarang ni, kamu tu. Boleh ke kamu jaga anak orang ni? Seriuskah kali ni, tak main-main dah?”
“Sumpah, mak. Kali ni Izi serius dengan keputusan Izi. No doubt kata omputih!” Sahut Izi Helmy yakin sekaligus bangun dari baringannya dan terus duduk tegak.
“Bahasa omputih ni mak bukannya faham. Mak belajar sampai darjah enam aja.” Tawa halus Puan Kamisah menghiasi talian seketika. “Kamu ikut ajalah cakap ayah. Balik jumpa ayah, biar ayah tengok sejauh mana persediaan kamu tu nak jadi suami orang. Bawalah Aina sekali jumpa mak dan ayah. Kami orang tua ni nak juga tengok dulu calon menantu sebelum nak hantar rombongan meminang. Baikkah dia, cantikkah dia, hodohkah dia, sengetkah dia...”
“Dia cantik mak! Itu confirm!” Laju Izi Helmy memintas.
“Amboi, tak sabarnya dia. Cantik di mata kamu tak semestinya cantik di mata kami orang tua ni. Kamu tu anak mak, mak tahu sangat. Menilai kecantikan rupa semata-mata. Dah. Mak nak tengok ayah kamu dekat depan. Kalau kamu nak kahwin, kamu ikut aja cakap ayah. Lepas tu, boleh jugalah mak tolong sikit-sikit. Kalau tak, mak pun tak boleh buat apa. Kamu gigit jari ajalah bila si Aina tu kahwin dengan orang lain. Assalamualaikum.”
“Erk! Waalaikumusalam...” Lemah Izi Helmy menjawab salam Puan Kamisah. Tidak sempatlah dia nak bela diri. Bertalu-talu pesan Puan Kamisah dihembur ke telinganya. Sekali lagi, ugutan yang sama Puan Kamisah lontarkan. Gigit jari? Aina kahwin dengan lelaki lain?
Hai... dia mengeluh. Teringat ugutan Aina tempoh hari.
“I tak sampai hati nak tolak pinangan orang...”
Mengeluh lagi dia buat sekian kalinya. Berat. Berat macam ni. Berat!

*******

Puan Damia labuhkan punggung di atas katil. Sibuk tangannya menyapu losyen ke kaki dan tangan. “Abang...” panggil Puan Damia lembut lalu menoleh ke arah suaminya yang masih sibuk membuat kerja di sebelah. Penuh katil itu dengan kertas-kertas kerja Encik Rahim.
“Hmm...” Encik Rahim sekadar menyahut. Sedangkan tumpuannya masih setia ke atas dokumen dan jari sibuk menunjuk di atas kertas yang lain. Seringkali terlihat kepala Encik Rahim sekejap ke kanan sekejap ke kiri memandang ke dua dokumen di tangannya.
“Dua minggu lagi Haji Rauf dan Hajah Kistina nak hantar rombongan meminang. Abang mesti ada dekat rumah tau.” Puan Damia memberitahu. Tubuhnya ditolak ke belakang dan menyandar diri ke katil. Sebiji bantal pula dicapai untuk dibuat peluk.
“Abang dengar tak apa sayang cakap ni?” soal Puan Damia mencuit bahu Encik Rahim. Puas ditunggu reaksi suaminya itu namun macam tiada apa yang berlaku. Puan Damia sekarang tidak sabar menunggu lama.
“Hmm... nak meminang siapa?”
“Ish, siapa lagi? Sasha la. Mana kita ada anak lagi. Abang ni...” Puan Damia menggeleng. Kalau dah sibuk dengan kerja tu, entah-entah suaminya itu tidak faham pun apa yang hendak dibincangkan. “Saya nak bincang pasal anak ni, bang. Hentilah dulu buat kerja tu.” Puan Damia lembutkan suara, meminta-minta.
“Abang tengah sibuk ni. Cakap ajalah...” Balas Encik Rahim yang masih sibuk dengan kerjanya.
“Alah bang, bukannya lama. Sekejap aja.”
Perlahan suara keluhan Encik Rahim kedengaran. Lambat-lambat dia berpaling ke arah Puan Damia. Muka Puan Damia berbuah ceria namun wajah Encik Rahim pula yang nampak serabut. Serabut dengan kerja yang bertimbun masih belum selesai.
“Nanti bila Haji dan Hajah datang, abang jangan tak ada pula. Tak elok pula kalau saya aja yang jadi wakil pihak perempuan.” Beria Puan Damia memberitahu sebaik Encik Rahim mengalih perhatian kepadanya.
“Sasha?” Sepatah Encik Rahim bertanya.
“Alah, Sasha biarlah dia. Abang jangan beritahu budak tu. Kalau dia tahu, memang sahlah dia tak mahu terima pinangan sesiapa. Sampai bila kita nak tengok anak kita tu membujang bang. Dia tu perempuan. Makin lama makin kerepot, makin tak laku nanti. Jarang ada lelaki nak kat orang perempuan tua tau bang.” Panjang lebar Puan Damia menjawab.
Sekali lagi Encik Rahim melepaskan keluhan halus. Tidak habis-habis isterinya itu masuk campur hal anak-anak. Dari yang sulung sampailah ke anaknya yang kedua, semuanya nak dipaksa-paksa kahwin dengan pilihannya. Sekarang beralih pula pada anak bongsunya.
“Sashanya suka ke pada budak tu? Awak ni cukup-cukuplah asyik memilih menantu sendiri. Biarlah budak tu pula buat keputusan sendiri. Yang nak kahwin nanti, dia. Yang nak kena hidup dengan lelaki tu nanti dia. Bukan kita.” Bidas Encik Rahim tidak setuju.
“Masalahnya bang, budak tu sampai sekarang tak ada teman lelaki. Saya ni mak dia bang. Saya ni faham benar perangai dia, perasaan dia. Saya bukan saja nak paksa-paksa. Anak kita tu tak nak kahwin, tak nak bercinta mesti sebab budak lelaki yang tinggalkan dia dulu tu. Bukannya tak ada orang yang nak. Saya risaulah bang. Sampai bila dia nak tolak semua jodoh sebab lelaki tu. Saya takut nanti lama-lama, langsung tak ada jodoh untuk dia.”
“Kalau ya pun, biarlah budak tu buat keputusan. Nak ke dia kahwin dengan anak Haji dan Hajah tu? Saya ni pun, tak jumpa lagi budaknya. Macam mana orangnya?”
“Nak jumpa macam mana kalau abang tu asyik sibuk memanjang. Saya nak bercerita pun tak sempat.” Puan Damia menjawab selamba. Mengeluh lagi suaminya itu. Puan Damia bangun dan bergerak ke arah almari. Gambar Saif Azrai dicapainya dari dalam beg tangan lalu henyak semula punggung ke katil.
“Ni, gambar budaknya.” Gambar itu dihulurkan kepada Encik Rahim. Suaminya itu menyambut lalu tekun membelek gambar itu sambil sesekali membetul-betulkan cermin matanya.
“Namanya Saif Azrai, muda sikit daripada anak kita tu. Dia baru habis belajar dua tahun lepas, dekat UK. Dia ni arkitek dekat syarikat Haji Rauf tu. Alah bang, Haji Rauf kan kawan abang. Abang tahulah perangai dia. Macam mana dia, macam tulah anak dia bang.”
Macam tu pula? Encik Rahim menghulurkan semula gambar Saif Azrai kepada isterinya. Cermin matanya ditanggalkan seraya menarik lagi nafas panjang untuk entah yang ke berapa kali.
“Kalau ayahnya baik, tak semestinya anaknya pun baik.”
“Saya dah jumpa sendiri budaknya, bang. Baik budaknya, hormat orang tua. Rupa cantik dah memang tentu. Harta ada, cukup didikannya. Bujang pula tu, bukannya duda atau dah beristeri. Dah elok sangat dah cirinya untuk dijadikan menantu kita bang.” Lekas Puan Damia membela. “Bukan senang nak dapat menantu sempurna macam ni bang. Anak kita tu dahlah belajar tak habis-habis, dah tua pula tu, masak tak reti, buat kerja rumah tak reti. Sasha tu dah cukup bertuah anak Haji Rauf nak pinang dia jadi isteri.”
Encik Rahim diam. Mahu mengikut, serba salah. Mahu menolak pun serba tak kena. Kasihan pada anaknya kalau dipaksa-paksa tapi isterinya itu pun buat semua ini bersebab. Bila ditimbang tara macam-macam perkara, kata-kata Puan Damia ada benarnya. Sampai bila dia hendak melihat anaknya yang seorang itu membujang, sampai ke tua? Kalau ikutkan hati bapa ini, memang mahu Sasha Amira yang di bawah tanggungjawabnya itu ada orang yang menjaga sebelum mata ayah ni tertutup.
“Macam nilah. Saya ni nak tengok juga macam mana budaknya depan mata. Setakat tengok gambar ni, tak puas. Sebelum Haji dan Hajah datang meminang anak kita tu, saya nak buat kenduri doa selamat malam minggu ni. Untuk Sasha tahun akhir nilah. Moga-moga habis dia belajar kali ni. Awak jemputlah Haji sekeluarga. Bolehlah saya tengok calon menantu awak tu.” Encik Rahim buat keputusan. Ceria muka Puan Damia dilihatnya lalu isterinya itu mengangguk setuju bersama senyuman yang tersimpul di bibir.

*******

“I bukan tak mahu jumpa parents you. Tapi mengejut sangatlah. I kena mohon cuti, you fahamlah kerja I bukan boleh cuti macam tu aja. Apa kata buat masa ni, you datang jumpa parents I dulu. Lepas tu baru I minta cuti jumpa parents you pula. Okey?”
Permintaan Aina sekali lagi buatkan Izi Helmy bersandar. Pening kepalanya bila semua orang meletakkan syarat. Encik Hairol mahu menguji tahap didikan agamanya, Puan Kamisah hendak bertemu dulu dengan calon menantunya, Aina pula mahu Izi Helmy dulu datang berjumpa kedua orang tuanya. Lepas ni, siapa pula? Bakal ayah mertua dan mak mertua akan letakkan syarat apa pula? Atau adik Aina yang berusia lima tahun itu yang akan memutuskan syarat lain pula?
Bagi Aina, memang sudah lama kiranya dia menanti soalan itu keluar dari mulut Izi Helmy. Memang belum pernah Izi Helmy perkenalkan dirinya ini kepada orang tua lelaki itu barangkali. Kerana belum pernah diajaknya bertemu mereka. Bila Aina mengajak Izi Helmy ke rumah pun dia asyik mengelak. Kadang-kadang berkira juga sama ada lelaki itu seriuskah pada hubungan mereka. Aina pun bukanlah berkejar sangat mahu berumahtangga. Cuma dia tidak mahu hubungan mereka berakhir tanpa noktah. Nak jumpa yang berkenan di hati, memang payah. Tapi sebab hati dah suka, asyik diberi peluang pada si dia. Dia yakin lelaki itu yang tercipta untuknya, juga sebagai ayah kepada anak-anaknya. Jadi, kalau boleh biarlah hubungan yang terjalin berakhir ke jinjang pelamin.
“Jumpa parents you?” Soalan itu diulang Izi Helmy.
“Emmhemm...” Aina mengiakan serentak mengangguk. Namun anggukannya bukan Izi Helmy dapat melihat. “Mak I pun bukan tak pernah bertanya pasal you. Macam-macam alasan I bagi. Kalau you serius dengan hubungan kita, patutnya you datang jumpa orang tua I dulu. Ini tak, asyik I aja yang mengajak. Macam I ni pula yang terhegeh-hegeh nak kat you. Malu I tau. Tak gentleman la you ni.” Suara Aina berubah nada. Merajuk bunyinya.
Aduh. Izi Helmy tekan kepala dengan jari. Sekali dia kata aku tak gentleman la! Getusnya tidak percaya. Rasa macam leher ni kena jerut bila mendengar Aina berkata begitu.
“Alah, janganlah cakap macam tu. I bukan tak serius dengan you, tapi... emm... I cuma fobia aja nak jumpa ayah you. Yalah, ayah you tu kan ustaz. Ketar kepala lutut ni rasa macam nak tercabut.”
Hampir tergelak Aina mendengar jawapan Izi Helmy tapi ditahan tawanya dari meletup. Biar lelaki itu tahu dia serius kali ini. No more joke okey!
“Belum jumpa, dah kata fobia. Ayah I tu ustaz aja, bukannya Tuhan yang you nak takut sangat. Harimau pun bukan yang nak baham you.”
Senyap tiada jawapan. Izi Helmy berfikir-fikir. Risau masih ada. Risau disoal bakal ayah mertua tentang agama. Dibuatnya ayah Aina tiba-tiba sergah suruh baca ayat kursi ke, surah al-Quran ke, fuh, menggigil ditambah berpeluh satu badan dia nanti.
Dia baring atas sofa. Tidak senang hati, dia bangun dan mundar mandir sepanjang ruang tamu. Telefonnya masih diletak ke telinga. Tapi sunyi sepi. Aina tidak lagi bersuara. Dia juga masih terus menghitung itu dan ini. Agak-agak ada tak ayah Aina pegang rotan macam Encik Hairol? Bermacam-macam bayang mula menerjah kotak fikirannya. Huh! Seriau!
“You...” Halus suara Aina memanggil. Hairan dia bila panggilan itu sunyi dari tadi. Hanya terdengar suara hembusan nafas Izi Helmy sekali sekala.
“Okeylah. Esok juga I datang jumpa mak ayah you!” Yakin dia memberitahu Aina. Tapi tiba-tiba terasa diri gelojoh sangat. Err... tak apa ke tiba-tiba aja? Soalnya sendiri. Kali ini Aina betul-betul tergelak.
“Kenapa dengan you ni? Tergesa-gesa aja macam kena kejar tok kadi. ”
“Mana ada tergesanya sayang. Ops, Aina.” Gatal pula mulut ni nak panggil sayang. Ni yang tiba-tiba memang rasa tak sabar nak kahwin. Boleh panggil nama tu selalu, sepanjang masa. Lepas tu dengar pula dia panggil kita sayang juga. Paling kurang pun, abang. Oh, bahagianya rasa hati.
“Kan hari tu I dah melamar you. Tuhan dah bukakan pintu hati I ni nak kahwin, elakkan maksiat. Lepas dah halal nanti, bolehlah I jumpa you selalu, tengok muka you puas-puas, pegang tangan you, usap rambut you...”
“Amboi... gatalnya dia.” Pantas Aina memintas cakap Izi Helmy sebelum lelaki itu menyambung lagi ayat-ayat miangnya. Sama ada geli telinga ni nak dengar atau bimbang hatinya diketuk perasaan ganjil, dia tidak tahu. Tapi cukuplah tu. “Kalau ya pun, datanglah dua tiga hari lagi. Terkejut parents I nanti kalau I beritahu you nak datang esok.”
“Sebelum lutut I ketar balik, lebih baik I datang jumpa ayah you cepat-cepat. Tapi dah buah hati minta macam tu kan, nak buat macam mana. Kenalah skru dulu lutut ni ketat-ketat, jangan bagi tercabut. Jadinya, I datang Sabtu nanti. Jangan tak beritahu pula pada mak ayah you. Nanti I datang terkejut pula semua orang. Okey?”
“Emm... suka hati you la.” Lembut suara Aina membalas bersama tawanya yang cukup halus bagai menggeletek liang telinga.
Berbunga hati Izi Helmy mendengar suara Aina lagi-lagi bila dia ketawa. Hai, kalau hari-hari boleh dengar suaranya yang merdu bak buluh perindu tu, sanggup dia menghadap ayah Aina yang bergelar ustaz tu. Jinak-jinak merpati, susah sangat nak didekat. Kalau dengan ikatan tali perkahwinan saja jalan penyelesaian yang ada, nampaknya setiap malamlah dia tidur dengan berpelukan bacaan agama.  



Kesian Izi... hehe nasib kaulah Izi. Kata orang pun, kalau hati dah suka, dah sayang... lautan api pun sanggup direnangi kan. Selamat berjuang ler kat Encik Izi hehehe

No comments:

Post a Comment