Sekali lagi hari
ini Saif Azrai terpaksa keluar ke pejabat awal kerana kereta Haji Rauf
ditinggalkannya di pejabat semalam. Terpaksa dia mengikut waktu kerja Haji
Rauf, keluar rumah seawal jam tujuh setengah pagi.
Seperti biasa,
Hajah Kistina lebih awal bangun untuk menyediakan sarapan pagi. Turun saja Saif
Azrai ke bawah, Hajah Kistina sudah melayan Haji Rauf makan pagi. Wow! Mesranya
pasangan yang baru balik dari honeymoon
tu. Usik Saif Azrai dalam hati saja.
Ajakan mama supaya
duduk minum bersama terlebih dulu bergema. Saif Azrai duduk di depan Hajah
Kistina sementara Haji Rauf duduk di kepala meja. Hajah Kistina melayan juga
Saif Azrai makan seperti dilayannya Haji Rauf.
“Emm... lamanya tak
makan masakan mama.” Ujar Saif Azrai memuji. Tersimpul senyum Hajah Kistina
menghiasi wajahnya.
“Hai, baru dua tiga
hari tak makan masakan mama dah rindu? Malam tadi rumah kita masuk ‘budak
kecik’ kamu tahu?”
Terdiam Saif Azrai
diajukan soalan itu. Tangan yang baru saja menyuap nasi juga kaku. Budak kecik?
“Makanan kita kena
curi malam tadi. Habis berkerak periuk mama.” Tenang Hajah Kistina bercerita
tapi ada bunyi sindiran di dalamnya. Saif Azrai menelan liur. Kemudian
cepat-cepat disuapkan terus nasi goreng ke mulut laju-laju.
Haji Rauf dan Hajah
Kistina menjeling serentak, curi-curi melihat reaksi anak lelaki mereka.
Tersembunyi senyum di bibir masing-masing.
“Makanan apa yang
hilang, mamanya?” Haji Rauf pula pura-pura menyoal.
“Emm... bubur yang
Sasha beri tulah, bang. Hairan saya. Yang lagi hairan tu, licin pula bubur tu
dimakannya sampai ke kerak-kerak tu pun macam dikeruk dia.”
“Aik. Memang pelik
tu. Selalunya ‘budak kecik’ ni curi duit aja. Ni curi makan pula?”
“Tak tahulah, bang.
Lapar agaknya ‘budak kecik’ tu, tuan dia tak bagi makan.” Tambah Hajah Kistina
lagi.
Terus-terusan Saif
Azrai rasa panas. Tidak keruan hingga kering rasa tekaknya. Terlupa pula dia
mahu mengemaskan dapur malam semalam. Mesti pasal hal itu yang mama bangkitkan.
Err... apa nak balas? Ke senyap aja?
Air teh yang
dituang Hajah Kistina tadi disedut laju. Adoi! Panas! Terbatuk-batuk Saif Azrai
menahan panas dalam tekak.
“Perlahan-lahanlah
sikit minum tu. Panas lagi air tu. Papa tak tinggalkan kamu kut.”
“Tak mama, ehem...
hemm... Azrai ada meeting dengan client kejap lagi.” Saif Azrai beri
alasan. Walhal tiada pun temujanji dengan sesiapa hari ini melainkan...
melainkan Qayreena.
Hajah Kistina
tersenyum simpul lagi. Wajah suaminya dipandang lalu dijungkit kening sedikit.
Faham benar Haji Rauf akan isyarat isterinya itu. Dia turut tersenyum.
*******
Qayreena menghadap
diri di depan cermin besar di sebelah almari bajunya. Satu per satu baju dikeluarkan
dari almari dan diletak ke tubuh. Emm... dia termenung sekejap sambil menilai
sendiri. Tidak suka, dia mencapai baju yang lain.
Hingga baju yang
kedua puluh, penuh katilnya dicampak baju yang tidak dia berkenan. Dia rebahkan
tubuh atas timbunan baju tersebut. Berguling-guling dia di situ. Hatinya teruja
setiap kali mahu berjumpa Saif Azrai. Setiap kali bersama lelaki itu dia mahu
tampil menarik. Tapi rasanya macam sudah semua baju ditayangnya di depan Saif
Azrai. Hmm... dia bangun semula. Duduk bersila atas katil dan membelek-belek
lagi baju yang bertimbun. Yang masih tersangkut di dalam almari dijengah sama.
Long as I know you got me
I’ll be loving you long time, as I can be
I’ll be loving you long time, eternally
There’s no stopping you and me
I’ll be loving you long time, as I can breathe
I’ll be loving you long time, eternally
Sambil menyanyi
kecil, dia main suai padankan pakaiannya. Akhir sekali dia sudah buat keputusan
setelah hampir setengah jam memilih. Sehelai blaus polos yang ringkas dipadankan
dengan skirt ketat berwarna gelap. Sedikit tampil seperti wanita korporat. Selesai
memilih, Qayreena berlari ke dalam bilik air.
Masih bergema lagu
Mariah Carey I’ll be loving you long time
yang dinyanyikan Qayreena hingga ke dalam bilik mandi. Berulang-ulang korusnya
entah berapa kali hinggalah dia keluar dari bilik mandi itu.
Keluar dari milik
mandi, dia sambung menyanyi. Tubuhnya turut menari ke kiri dan ke kanan,
mengikut rentak rancak nyanyiannya. Dengan senang hati, rexona disembur ke kedua
belah ketiak. Minyak wangi Armani disembur sebelum blaus yang dipilihnya tadi
disarung ke tubuh.
Lalala~ Dia terus
menyanyi sambil bersiap. Villa dua tingkat itu sunyi sejak awal pagi tadi. Kini
hanya dihiasi suara nyanyiannya saja. Di tingkat bawah, Mak Kiah pembantu
rumahnya sibuk agaknya mengemas dan memasak. Itulah rutin harian Mak Kiah.
Hendak dibuat kawan pun tidak seronok.
Siap mengenakan
pakaian ke tubuh, Sasha Amira membelek tubuh di depan cermin. Ke depan, ke
belakang dia melangkah. Kemudian berpusing dua tiga kali. Emm... sesuai dengan
gaya wanita pejabat. Sehelai skaf dwi warna diikat di leher blous sebagai
penambah seri.
Perfect! Pujinya sendiri sambil memetik jari.
BB cream kemudian
dioles nipis. Bedak asas jenama Mac mula disapu ke muka. Pemerah pipi,
pembayang mata dan semua sepupu-sepapatnya disapu kemudiannya. Paling akhir,
pelembap bibir disapu melapisi lipstik merah yang terlebih dulu dioles ke
bibir. Selesai semua rutin solekannya, dia tenung muka lama-lama di depan
cermin. Berpusing lagi untuk penilaian kali terakhir.
“You are so pretty, Qay.” Pujinya lagi.
Tas tangan berwarna hitam menambahkan lagi penampilannya. Sederhana saiznya.
Tidak terlalu besar dan tidak juga terlalu kecil.
Lalalala~
Qayreena menyanyi
semula. Kaki melangkah meninggalkan biliknya yang berselerak tidak berkemas
dengan pakaiannya yang dikembuh keluar dari almari tadi. Lalala.... dia terus
menyanyi dengan senang hati.
*******
Huahhh!
Saif Azrai
meregangkan tangannya ke atas. Kemudian beralih ke kiri dan ke kanan. Letih
hampir separuh hari berbincang dengan Izi Helmy mengenai reka bentuk restoran
yang mereka kendalikan dekat Miharja. Masih belum selesai pelan dalamannya. Izi
Helmy juga turut sama mengeliat dan meregangkan otot. Kalau boleh otaknya yang
tegang ini pun sama hendak dikendurkan.
Projek itu
dijadualkan akan dimulakan sebulan lagi. Sekurang-kurang seminggu lagi pelan
itu mesti dibereskan sebelum bertemu dengan para pembekal. Dalam seminggu itu
jugalah dia perlu membentangkan pelan itu kepada pemilik restoran tersebut.
Kalau pemiliknya setuju dengan rekaan itu, bolehlah diteruskan kerja. Kalau
tidak, berbalah pendapat lagilah dia dengan Izi Helmy seperti sekarang. Begitu
Izi Helmy kata tidak kena, begini Saif Azrai pula geleng kepala. Masih belum
bertemu kata sepakat.
Saif Azrai keluar
meninggalkan Izi Helmy seorang dalam bilik pejabatnya. Izi Helmy mengurut-urut
pula belakang badan. Aduh. Satu badan rasa kejang. Kaki pun kejang semacam
setelah duduk lama di sofa. Seketika kemudian, Saif Azrai masuk semula membawa
dua mug air. Satu dihulurkan kepada Izi Helmy.
“Hoho, rajinnya
sepupu aku hari ni.” Pujinya tersenyum-senyum.
“Tak payah nak
puji-pujilah. Kau tu kalau puji bukannya pernah ikhlas.” Tempelak Saif Azrai
lalu hempas semula punggung di sofa. Kertas yang penuh dicontengnya berselerak
atas meja dijelingnya sekilas lalu air milo O panas yang dibancuhnya tadi
ditiup perlahan sebelum diteguk sedikit-sedikit. Izi Helmy pula asyik tersengih
macam kambing di depan. Sakit senyum agaknya sepupunya itu.
“Eh, aku nak tanya
kau sikit ni.” Mug Saif Azrai letakkan atas meja. Kemudian tubuhnya disandarkan
ke belakang. Nafas panjang ditarik perlahan, melepaskan lelah di dada. “Macam
mana kau boleh terpikat dengan Aina dulu?”
Mata Izi Helmy
bulat mendengar soalan itu tiba-tiba muntah dari mulut Saif Azrai. Mugnya juga
diletak perlahan di atas meja. Baki air dalam mulut ditelan terus. “Apasal
tiba-tiba kau tanya macam tu? Aik! Takkanlah kau pun nak jadi setia macam aku
kut!” Tebaknya berseloroh.
“Nak setia?” Hampir
tergelak Saif Azrai dibuatnya. Makin difikir tebakan Izi Helmy tadi, makin
mencuit hatinya menahan lucu. “Usia masih muda beb. Masa masih panjang. Banyak
lagi pilihan depan mata boleh pilih. Kenapa pilih untuk setia sedangkan masih
banyak pilihan lain?”
Izi Helmy mencebir.
Berlagak habis nadanya.
“Sekarang bolehlah
kau cakap macam tu. Dulu aku pun sama fikiran macam kau. Cuba kalau kau dah
jumpa yang berkenan di hati, tak mahu kau cari lain beb.”
Saif Azrai pula
mencebik. Duduknya dibetulkan sedikit. Sebelah kaki diangkat naik ke atas
sebelah kaki lagi. Tangannya didepangkan ke atas kepala sofa. Fuh, lagak orang
besar!
“Sebab tulah aku
tanya kau apa yang kau berkenan sangat dengan Aina tu sampai terus berubah.
Sebab ayah dia ustaz, otak lelaki buaya macam kau ni kena basuh habis-habis
ke?”
Izi Helmy diam. Air
diteguknya lagi. Tenang wajahnya menghadapi soalan dan seloroh Saif Azrai. Otak
kena basuh ya...
“Itulah yang kau
tak faham. Kau tak kenal Aina tu betul-betul, manalah kau nak tau kenapa aku
berkenan dengan dia. Dia lainlah bro. Manis dia, cantiknya dia, jinaknya dia...
uish, jinak-jinak merpati kata orang. Nak dekat senang, nak sentuhnya payah.
Makin susah dapat makin geram hati ni.”
“Itu yang aku tak
faham. Kalau susah, carilah orang lain.”
Jari telunjuk Izi
Helmy laju digoyang ke kiri kanan sambil bibir herot mengucap ‘No, no, no’ berulang kali. Tidak setuju
nampaknya dia.
“Tak boleh...”
“Apa yang tak
boleh?”
“Ah, kau budak
mentah lagi. Kau takkan faham punya. Yang kau tu, dah berapa bulan dengan Qay.
Dua tiga bulan ada kut. Selalunya sebulan dua kau dah cari lain. Kenapa masih
setia dengan Qay?”
Budak mentah dia
panggil aku? Hampeh punya sepupu!
“Belum dapat
pengganti, aku setialah dengan dia. Cuba dah dapat yang baru, dah tentu aku
tinggalkan dia. Mana boleh hidup sehari tanpa perempuan, bro. Tak bernafaslah
aku.” Selambanya Saif Azrai menjawab. Mengundang lagi cebikan Izi Helmy buat
sekian kalinya. Yeah. Itulah yang dia juga pernah lalui dulu. Perempuan memang
tidak cukup seorang. Dalam bercinta, cari juga pengganti sebagai payung untuk
berpisah dengan yang lama. Ah, cerita lama. Malas dia mahu selak semula memori
lalu. Malu.
“Jadinya, Qay tu
pun belum tentu kekal la ya. Macam tu?”
Saif Azrai menjungkit
bahu seraya mencebirkan bibirnya ke depan. Tiba-tiba pintu biliknya dikuak dari
luar tanpa sekalipun bunyi ketukan.
“Hai, sayang...”
Baru kalut muka
Saif Azrai bila dilihatnya Qayreena sudah terpacak depan pintu biliknya. Pucat
lesi muka Saif Azrai bangun dan mendapatkan Qayreena.
“Hello, sunshine. What bring you here?” Dalam hati berdoa tidak henti-henti. Gemuruh
hati Tuhan saja yang tahu. Kalaulah Qayreena dengar apa yang dia cakap tadi,
memang habis dia. Silap-silap dia pula buat pertama kalinya ditinggalkan
golongan Hawa itu. Tapi dari reaksi Qayreena dan wajahnya yang berseri-seri,
Saif Azrai membuat tafsiran sendiri.
Dia tak dengar kut!
Qayreena tersenyum
manis. Lengan Saif Azrai dirangkulnya mesra. “Kan you janji nak lunch dengan I.”
Sah, dia tak
dengar. Fuh! Selamat.
“Okeylah. Pasangan
serasi bersama nak berdua-duaan, aku pun tak mahu kacau daun dekat sini.” Izi
Helmy bangun dan melangkah ke arah pintu. Bahu Saif Azrai ditepuknya beberapa
kali sambil merenung ke dalam mata sepupunya dengan pandangan penuh makna. Apa
maknanya, Saif Azrai sendiri tahu mentafsirkan.
Bak kata Nabil Raja
Lawak, lu fikirlah sendiri bro!
Keluar saja Izi
Helmy dari biliknya, lekas-lekas Saif Azrai rapatkan pintu. Kepalanya sempat
dijengah ke luar sekejap tadi.
“Ada orang nampak
you tak?” soalnya seperti biasa.
“Kenapa ni sayang?
Tiap kali I datang mesti you tanya macam tu. I ni tak dialu-alukan datang ke
mari ke?” Lengan Saif Azrai ditamparnya dengan riak manja. Auch! Gugur jantung
cik abang.
“Bukan macam tu,
sayang. Cuma I tak suka ada gosip liar.” Saif Azrai memberi alasan sambil
pinggang Qayreena dipagut dan dibawanya duduk di kerusi di depan meja kerjanya.
Dalam hati, dia tidak mahu Haji Rauf nampak kelibat Qayreena di sini. Malulah
pada papa kalau papa nampak. Izi Helmy bawa teman wanita bertudung litup,
ala-ala perempuan Melayu terakhir. Saif Azrai? Hoho... nanti dulu. Biar dia
memilih puas-puas, barulah ditayang dan mengaku teman wanita di depan papa.
Saif Azrai duduk
bersandarkan meja. Wajah Qayreena dielus lembut dari situ. “Lagipun, kan I dah
cakap dulu. Dekat pejabat ni bukan tak privasi tapi kurang privasilah sayang.”
Ujarnya lembut sekadar memancing hati dan perasaan Qayreena. Tersipu Qayreena
dibuatnya. Lantas hinggap lagi tamparan manja Qayreena, kali ini di pehanya.
“Jahatlah you ni.”
Saif Azrai
tersenyum simpul melihatkan reaksi Qayreena. “Emm... I lunch lewat sikit hari ni. Masih ada kerja yang I kena bereskan.
You boleh tunggu?” Tangan Saif Azrai menunjuk ke arah kertas-kertas yang
berselerak di atas meja di belakang Qayreena. Gadis itu mengikut pandang ke belakang.
Kemudian dia tersenyum senang.
“Kalau dengan you,
sampai hujung nyawa pun I sanggup tunggu.”
Laju tangan Saif
Azrai menyambar pipi Qayreena. Dipicitnya pipi Qayreena yang tinggi itu
perlahan. “Hai, makin sayang I dekat you tau.”
Erk! Saif Azrai
terkedu seketika selepas menyudahkan ayatnya tadi. Dia menelan liur sementara
Qayreena seronok melayan perasaan gembiranya.
Sorrylah Qay. Sayang I tak pernahnya kekal lama. Lepas I dapat
pengganti nanti, I will say good byelah
dekat you.
Pintu dikuak
tiba-tiba dari luar. Serta-merta mata Saif Azrai tertancap ke pintu. Haji Rauf
terjengul di muka pintu. Alamak. Kelam kabut Saif Azrai bangun dan berdiri
sedang pandangan Haji Rauf terus ke mukanya. Sekejap, Haji Rauf beralih pula ke
arah Qayreena. Buat seketika, mereka berpandangan.
“Papa...” Bergetar
suara Saif Azrai menegur Haji Rauf. Tegak dia berdiri sambil bertalu-talu dia
menelan liur bila Haji Rauf melangkah masuk. Air muka Haji Rauf langsung tidak
dapat dibacanya.
“Am I disturbing?”
soal Haji Rauf. Haji Rauf melempar senyum nipis buat Qayreena yang masih duduk.
Qayreena membalas senyuman lebih manis dengan menundukkan kepala sedikit, tanda
hormat.
“Tak la papa, ada
apa papa?” Saif Azrai pula menyoal lalu mendekati Haji Rauf.
“Itukah teman
wanita kamu dalam telefon tempoh hari atau client
yang kamu cakap pagi tadi?” Terlontar pula soalan itu perlahan dari Haji Rauf
ke telinga anaknya. Matanya melirik lagi Qayreena yang duduk di kerusi. Kalau
teman wanita, kenapa tak disalamnya orang tua ni?
“Eh, taklah papa.
Ini... err...” Saif Azrai pula yang kalut menjawab soalan Haji Rauf tadi. Dia
beralih ke tempat duduknya, berdiri pula di situ sambil tangan asyik menggosok
belakang tengkuk. Sekejap mendepangkan sebelah tangan ke arah Qayreena. “Emm...
ini Qayreena, kawan Azrai masa belajar dulu. Kebetulan kami janji nak lunch sama nanti.”
What?! Kawan?
Berubah air muka
Qayreena serta-merta sebaik mendengar kenyataan itu ditutur Saif Azrai.
Senyuman yang tadinya manis bertukar kelat. Sedang Haji Rauf mengangguk saja. Terus
Qayreena membuang pandangannya ke lantai. Tidak mahu dia mengambil tahu apa-apa
lagi perbualan antara dua beranak itu selanjutnya. Jari-jemarinya kuat
menggengam kaki skirtnya dengan rasa geram.
“Kebetulan papa pun
baru nak balik lunch dekat rumah, papa
singgah ni nak tanya pasal pelan restoran dekat Miharja. Dah siap?”
“Emm... belum papa.
Azrai dengan Izi masih tengah bincang lagi pasal pelan tu.” Tangannya merayap
lagi ke belakang tengkuk dan dibawa ke depan. Mukanya dikaut dengan tangan.
Tayang sedikit muka sibuk menghitung hari depan Haji Rauf. “Buat masa ni, belum
jumpa lagi design yang sesuai dengan
bangunan asal dan budgetnya. Tengoklah dalam dua tiga hari ni, Insya-Allah
boleh siap.” Janjinya pada Haji Rauf.
Haji Rauf
mengangguk lagi.
“Ha, okeylah macam
tu. Sebelum ownernya telefon, kamu
kena update dengan dia dulu. Jangan
sampai dia pula yang follow up dengan
papa bertanyakan design restoran
dia.”
“Baik, pa.” Saif
Azrai pula mengangguk sungguh-sungguh tanda faham. Begitulah prinsip kerja Haji
Rauf. Cepat dan mesra. Haji Rauf tidak gemar kerja lambat sampai pelanggan
meminta-minta. Janjinya minggu depan akan dibentangkan pelan tersebut dengan
pemilik restoran. Janji perlu ditepati.
Selepas sudah
menyampaikan amanatnya, Haji Rauf berlalu pergi. Saif Azrai menarik nafas lega
sambil mengurut dada perlahan. Belum sempat dia bertenang sepenuhnya, suara
Qayreena pula nyaring menyergah.
“Kawan belajar you
kata?”
Tersentap jantung
Saif Azrai. Terpaku dia memandang Qayreena waktu itu. Tidak pernah gadis itu
meninggi suara, sekarang naik minyak pula.
“Kenapa you tak
terus-terang aja dengan papa you yang I ni your
girlfriend? Jadinya, siapa I ni sebenarnya pada you. Ha?” Qayreena sudah
bangun berdiri. Meja di depannya dihentak dengan tas tangan, melepaskan segala
rasa marah akan kenyataan Saif Azrai sekejap tadi.
“Calm down, Qay. I cuma nak cover line aja.”
“Cover line apa?” Qayreena cepat memintas
alasan Saif Azrai. “Yang you terkial-kial nak jawab siapa I ni depan papa you
kenapa? You takut nak mengaku depan papa you sebab you tak anggap I ni girlfriend you? Macam tu?” Bengkeng
suara Qayreena melontarkan kata. Marah benar nampaknya Qayreena kali ini. Tidak
diberi peluang untuk Saif Azrai membetulkan keadaan mahupun memberi penjelasan.
Dengan riak marah,
dia menghempas lagi tas tangannya ke meja lalu terhentak-hentak meninggalkan
pejabat Saif Azrai.
“Nanti dulu, Qay!”
Saif Azrai menjerit memanggil nama Qayreena. Dia berlari mendapatkan gadis itu.
Namun sampai di pintu biliknya, langkahnya terhenti. “Aggh!” Gumamnya geram
sambil menggenggam rambut di atas kepala. Keras tangannya dilepaskan jatuh ke
bawah, bagai dilontar segala bingung di kepala jauh-jauh.
Dia hempas punggung
ke sofa, tubuh bersandar lemah. Letih bercampur bingung. Letihnya seperti baru
tamat perlawanan tinju, bingungnya pula seakan baru habis menjawab soalan
peperiksaan. Satu keluhan yang agak panjang dilepaskan perlahan. Entah kenapa
pula dengan perangai Qayreena hari ini. Semalam bukan main manja bercakap di
telefon. Hari ini, hendak naik angin pula. Salah makan ubat ke apa?
Hai... dia mengeluh
lagi. Pantang silap sikit, mesti hendak menayang rajuk. Letih dibuatnya.
Terngiang-ngiang suara Izi Helmy kala ini.
“Jadinya, Qay tu
pun belum tentu kekal la ya.”
Britt! Britt!
Segera Saif Azrai
menolak tubuhnya ke depan dari bersandar di sofa dan memasang telinga luas-luas
apabila terdengar satu bunyi.
Britt! Britt!
Bunyi itu bergema
lagi, lebih nyaring. Oh, telefon aku! Lekas Saif Azrai berkejar ke mejanya
semula. Iphone yang masih bergegar atas meja cepat-cepat dijawab. Nombor yang
tidak dikenali. Siapa?
“Helo...” tuturnya
perlahan sedikit teragak-agak. Berkerut rasanya dahi ini sibuk memikirkan entah
gerangan siapa pula yang menghubunginya. Sebaik mendengar suara di sana
memperkenalkan diri, senyumnya terlukis di bibir. “Ya, Abang Man. Ingatkan
abang dah lupakan saya. Ada berita baik untuk saya ke?” Terus saja Saif Azrai
teruja. Punggung dihempas pula atas kerusi lalu bersandar dengan
senang-lenangnya.
“Ha, tadi dia ada
datang tapi ayam abang dah habis untuk hari ni. Ada abang suruh dia datang,
abang akan simpankan untuk dia esok. Tengoklah kalau dia datang sok.” Panjang
lebar Abang Man memberitahu. Berbunga-bunga hati Saif Azrai. Akhirnya hari yang
dinanti akan tiba.
“Okey, esok saya
akan datang. Terima kasih ya, bang.”
Berseri-seri muka
Saif Azrai dengan rasa gembira setelah mendapat panggilan daripada Abang Man. Yes! Jari jemarinya digenggam kemas dan
diangkat tinggi. Iphone tadi digenggam erat dan dibawa pula ke dada. Wajahnya
puas. Matanya tertutup rapat. Dia mahu menikmati saat-saat kepuasan ini. Puas
rasanya bagai satu kemenangan besar berjaya ditawan. Macam menang pingat emas
Olimpik gayanya. Kalau boleh, mahu saja dipeluknya telefon itu. Seronoknya
hati, bagai menari-nari di dalam.
“Bye bye Qay! Kalau
kau tak datang cari aku, jangan harap aku yang nak datang pujuk kau. Akan ku
cari yang lain!” katanya lalu ketawa sendiri.
*******
Usai solat Isyak,
Haji Rauf bergerak ke katil. Majalah Resolusi tekun dibacanya sambil bersandar
ke katil. Bantal sebiji dijadikan alas di belakang tubuh. Seketika, Hajah
Kistina menghampiri dari bilik air dan duduk di sisi suaminya. Seperti
hari-hari lain, sebelum tidur Hajah Kistina mesti mengurut kaki Haji Rauf.
Lembut urutannya membuatkan lega rasa kaki Haji Rauf.
“Abang rasa budak
Sasha tu baik tak orangnya?” Tiba-tiba soalan itu keluar lagi dari mulut Hajah
Kistina sekaligus membuatkan Haji Rauf berhenti membaca. Majalah Resolusi yang
dibacanya sudah jatuh ke riba. Wajah Hajah Kistina ditenung lama. Entah kali ke
berapa dia dengar soalan itu dari mulut si isteri. Suka benarkah Hajah Kistina
pada Sasha Amira?
Hajah Kistina
tersenyum. Dia menganjak duduknya mendekati Haji Rauf di kepala katil. Hajah
Kistina juga bersandar di tempat yang sama. “Saya tengok Sasha tu baik
budaknya, bang. Cantik, lembut, sopan, hormat orang tua. Abang rasa macam mana?”
Haji Rauf menghela
nafas halus perlahan-lahan. Matanya beralih dari wajah si isteri. Melontar
pandang jauh ke depan sambil menaggalkan cermin matanya perlahan-lahan. Tiba-tiba
dia teringatkan gadis yang bersama Saif Azrai di pejabat tadi. Lihat gaya
mereka macam pasangan kekasih tapi bila ditanya, rupanya meleset tekaannya.
“Saya ni bang, dah
lama nak rasa ada anak perempuan dalam rumah ni. Si Azrai tu, tak ada rupa orang
nak kahwin pun.” Haji Kistina menambah. “Abang tak ada carakah nak suruh anak
kita tu kahwin?” Hajah Kistina menepuk tangan suaminya. Memang sudah lama dia
mengidamkan anak perempuan tapi tidak ada rezeki. Sebelum mengandungkan Saif
Azrai, dua tiga kali Hajah Kistina keguguran. Selepas melahirkan Saif Azrai
juga ada sekali dia gugur. Selepas itu, tiada lagi rezeki dia hamil. Bila Hajah
Kistina membangkitkan soal mengambil anak angkat, Haji Rauf tidak pula setuju.
Sebab apa, tidak pernah Haji Rauf beritahu. Hajah Kistina juga tidak mahu
melawan kata. Namun sedih dan sunyinya hati ini mahu menimang cahaya mata
perempuan, Tuhan saja yang tahu.
“Tengoklah macam
mana nanti. Saya fikirkan...” Pendek jawapan Haji Rauf namun cukup menenangkan
hati Hajah Kistina yang mendengar. Kalau kata Haji Rauf, mungkin budak itu akan
ikutkan. Sejak dari kecil, takutnya pada Haji Rauf menggunung.
“Dengan Sasha ke
bang?”
Diam.
“Saya tak kesah pun
dengan siapa dia nak berkahwin, bang. Bukan saya nak memaksa. Asalkan pilihan
dia tu elok, saya terima.” Perlahan suara Hajah Kistina memberitahu isi
hatinya. Memang dia tidak memaksa tapi kalau Sasha Amira pilihan anaknya, dia
lebih gembira. Kerana... mungkin kerana mak ayahnya sudah Hajah Kistina kenali.
“Biarlah budak tu
yang buat pilihan. Kita beri aja izi kalau elok budaknya.” Haji Rauf menjawab
lalu menyarung semula cermin matanya. Majalah Resolusi kembali dibacanya.
Melihat respons suaminya, Hajah Kistina senang hati sedikit. Tubuhnya dilurutkan
ke bawah dan rebah separas tilam. Kepalanya dialaskan bantal dan menghadap Haji
Rauf yang terus membaca.
No comments:
Post a Comment