Ha? Sasha Amira
melopong melihat Kairel Azam diheret Zaimah ke depannya. Sedangkan lelaki itu
macam malu-malu saja hendak berdepan dengan Sasha Amira. Telinganya pula asyik
mendengar suara Zaimah sepatah dua, namun tidak dapat difahami butirnya bila
diselang-seli pula dengan marahnya pada Kairel Azam.
“Ish, kau ni.
Sinilah. Nak ke mana pula? Tadikan kau dah setuju.” Varsity jacket jenama Adidas yang dipakai Kairel Azam ditarik-tarik
Zaimah pada bahagian lengannya sekaligus lelaki itu terbawa ke arahnya.
La, ni kenapa pula
ni? Sasha Amira terpinga-pinga.
“Ni, Sha. Aku dah
bawa dah boyfriend palsu kau. Kau
tayang aja dia depan mama kau. Selesai masalah!”
Ha? Sekali lagi
Sasha Amira menganga. Pagi tadi sudahlah keluar awal senyap-senyap sebab hendak
mengelak dari Puan Damia. Baru sesuap dua dinikmatinya roti telur sebagai
sarapan pagi walaupun sudah jam sembilan lebih. Nasib baik kelasnya habis awal
tadi. Boleh juga alas perut sekejap sementara nak menunggu kelas Encik Razak
sekejap lagi. Tapi Zaimah pula tiba-tiba buat perangai yang bikin seleranya
mati.
“Eh, kau ni buang
tebiat ke apa?” Suara Intan Nazira dulu yang memarahi Zaimah. Kairel Azam sudah
ditarik Zaimah duduk di sebelahnya, bertentang dengan Sasha Amira.
Mentang-mentanglah badan Kairel Azam tu jauh lebih kecil dari saiz Zaimah,
diperlakukan lelaki itu lagak pembuli yang membuli budak lemah. Ini yang bikin
Intan Nazira bengang. Nasi lemak yang dihadapnya tadi juga ditolak tepi. Hilang
selera. Entah bila pula dia berkawan dengan samseng ni?
“Apahal tiba-tiba kau
heret budak kaca mata tebal ni depan kitorang? Buat hilang selera aja! Ops!
Err... aku bukan hilang selera sebab kau, Azam. Aku hilang selera sebab tengok
Zaimah ni heret kau. Jangan salah faham pula.” Kalut Intan Nazira beri
penjelasan pada Kairel Azam. Sumpah, dia benar-benar maksudkan apa yang dikata.
Bukan dia tidak suka pada Kairel Azam. Orangnya, kalau dibuang cermin mata
tebal tu, memang ada rupa. Manis tu ada. Badannya bukanlah macam papan lapis
kurusnya. Boleh kira maskulin jugalah, ala-ala gimnas bawah 15 tahun. Otaknya
pun boleh tahan pandai. Tapi tulah... bercakap dengan Sasha Amira pun jarang.
Tiba-tiba hendak dibuat teman lelaki palsu dek kerana idea Zaimah. Macam
manalah Kairel Azam yang sikit punya takut perempuan tu boleh setuju. Intan
Nazira pun hairan.
“Kau jangan salah
faham tau,” ulang Intan Nazira lagi.
Kairel Azam cuma
mengangguk faham sambil membetulkan bingkai cermin matanya yang jatuh dari
tulang hidungnya yang rendah.
“Sekejap suruh
Sasha ni ikut aja pilihan mama dia, sekejap bagi balik akal gila kau ni. Eh,
tak payahlah Zaimah. Tak payah...” Tapak tangan Intan Nazira dilayang ke udara,
menandakan dia tidak setuju dengan kerja Zaimah. Memang ini kerja gila. Hendak
mengaku Kairel Azam teman lelaki Sasha Amira sampai bila? Kalau Puan Damia
suruh mereka kahwin nanti macam mana? Apa lagi alasan? Konon-konon putus
hubungan? Sama saja kesudahannya nanti. Tetap Puan Damia carikan jodoh lagi
lepas tu.
Macam-macam soalan,
macam-macam kemungkinan yang bermain di fikiran Intan Nazira. Tapi semuanya
belum terluah. Sasha Amira pula, dari awal cuma tunjuk blur. Hai, setujukah dengan cadangan Zaimah tu?
“Bukannya betul.
Cuma suruh Azam ni berlakon aja.” Zaimah membalas. Perhatiannya beralih kepada
Kairel Azam yang terkiput-kiput di sebelah. “Kau janji cuma nak berlakon aja
depan mama Sasha kan. Bukan jadi boyfriend
betul kan.” Dia minta kepastian dengan jari telunjuk diketuk-ketuk ke depan.
Laju Kairel Azam
mengangguk. Bingkai cermin mata ditolak lagi ke atas. Kemudian dia menekur
semula ke lantai pantri.
“Ha, bolehlah kau
mengaku yang Azam ni boyfriend kau.
Kan mama kau suruh kau ada boyfriend
sebelum umur kau 30. Lagi berapa bulan aja ni, Sha.” Kata Zaimah kepada Sasha
Amira pula kali ini.
Sasha Amira masih
diam membatu. Mukanya tidak banyak berubah seperti tadi. Blur. Tengok muka Zaimah dan kemudian beralih kepada Kairel Azam.
Namun tiada jawapan. Intan Nazira perhatikan semua. Tak boleh jadi ni. Kalau
Sasha Amira sudah terpegun, biar dia yang berbalah dengan Zaimah. Harap-harap
telinga Sasha Amira masih berfungsi. Pandai-pandailah dia dengar dan fikir mana
yang baik, mana yang buruk. Idea gila Zaimahkah yang baik, mahupun pendapat
Intan Nazira yang dia mahu terima pakai.
“Eh, yang kau pula
yang susah hati pasal tu kenapa? Kut ya pun nak tolong kawan, agak-agaklah.
Fikir tu biar jauh sikit, jangan singkat sangat. Kau cuma fikir masa dua tiga
bulan ni aja. Lepas ni, kalau dibuatnya mama Sasha suruh diorang kahwin pula
lepas ni, macam mana? Nak pura-pura putus cinta pula ke? Habis tu, sama ajalah
sudahnya tetap mama dia akan carikan jodoh juga untuk dia. Sama aja, tak
berkesudahan juga ceritanya. Betul tak betul apa yang aku cakap ni?” Akhirnya,
terluah juga segala isi yang berlegar dalam kepala.
Senyap. Zaimah juga
hilang kata mahu membalas. Dia diam dan berfikir.
“Azam, aku minta
maaflah dengan idea kawan aku ni. Kau jangan ambil pusing sangat. Kalau kau
betul-betul ada hati dengan Sasha, aku taklah kesah sangat. Tapi kalau setakat
berlakon, tak payahlah...” tutur Intan Nazira lagi kali ini kepada Kairel Azam.
Dia tidak mahu ada salah faham. Hai, ni semua salah Zaimah. Bertindak tanpa
berbincang terlebih dulu. Ikut kepala dia aja.
Kairel Azam pandang
Sasha Amira. Sementara Sasha Amira sudah bulat mata memandang Intan Nazira. Kairel
Azam ada hati dekat aku? Dia sudah panik lantas terus memandang Kairel Azam. Saat
itu, Kairel Azam melarikan pandangannya ke bawah semula.
*******
Okey! Lets go baby!
Saif Azrai terus
bangun dari kerusi bila dilihatnya jam sudah hampir jam sepuluh. Kertas-kertas
yang dicontengnya tadi disusun kemas dan diletak semula atas meja sekejap
sementara dia mematikan komputer.
Kunci kereta serta
iphone dicapai dan masuk ke dalam kocek. Kertas yang disusun tadi dibawa
bersama keluar dari bilik. Singgah sekejap di bilik Izi Helmy.
“Assalamualaikum
Encik Izi Helmy bin Hairol,” tegurnya sebaik pintu ditolak. Terkejut Izi Helmy
terus beralih pandangan dari skrin komputer ke arah si sepupu yang tiba-tiba
muncul.
“Fuh, anak bos. Tak
ketuk pintu dulu. Terkejut beruk aku!”
Saif Azrai tidak
membalas. Dia terus berjalan ke arah meja Izi Helmy dan duduk di depannya tanpa
dipelawa. Kertas di tangan diletakkan di atas timbunan kertas di depan Izi
Helmy pula. Bola mata Izi Helmy mengikut saja pergerakannya. Akhirnya mendongak
semula memandang Saif Azrai. Dia angkat kedua belah kening seakan meminta
penjelasan. Namun sepupunya itu cuma tersenyum bahagia.
“Aik! Ni yang
tersengih aja kenapanya? Ni, apa dia?” Kertas dari tangan Saif Azrai tadi
ditepuk-tepuk.
“Tu, draft untuk pelan restoran dekat
Miharja.” Saif Azrai tenang bersandar. Tangannya bersilang memeluk tubuh. “Idea
aku nak buat macam tu. Papa suruh kita siapkan cepat. Aku janji dalam dua hari
dah boleh siap. Kalau ada yang tak kena, kau betulkanlah ya. Aku nak keluar
hari ni. Ada hal.” Jelasnya mudah kemudian bangun dari duduk. “Kalau ada
apa-apa, just let me know.” Tangan
menggayakan telefon di telinga.
“Eh, macam ni aja?
Mana pelan besarnya?”
“Lepas kau betulkan
draft tu, baru aku buat pelannya!”
balas Saif Azrai tanpa menoleh ke belakang. Tangannya diangkat ke atas dan
melambai ke arah Izi Helmy. Sekelip mata, bayangnya hilang dari balik pintu
yang tertutup rapat.
Melopong Izi Helmy
di tempatnya. Melihat Saif Azrai pergi dengan rasa bingung. Lakaran kasar yang
ditinggalkan Saif Azrai dibelek perlahan-lahan. Haru. Terpaksa pula
disambungkan semua kertas itu untuk melihat lakaran keseluruhan. Nama saja
terlatih berkerja dengan syarikat barat masa praktikal dulu. Tapi berkerja
dengan Izi Helmy lagak macam amartur. Lepas itu, pandai-pandai janji dengan bos
hendak siapkan dalam masa dua hari. Sekarang, tiba-tiba dia cabut lari entah ke
mana. Hai, nampaknya kerja Izi Helmy untuk projek yang diuruskannya juga yang
terpaksa diketepikan sekejap.
“Hai, dekat muka ni
jugalah dia nak campak kerja. Tak dapat aku nak jumpa buah hati. Tak apa...
lepas siap ni, esok ke bolehlah aku pergi kacau buah hati aku kat hospital.
Hehe...” aturnya nakal. Sudah lama tidak keluar makan dengan Aina, lagi-lagi
dekat restoran Nasi Kandar yang Aina selalu pergi. Rindu pula nak makan mi
goreng mamak. Hai, entah rindukan buah hati ke rindukan masakan mamak?
*******
Fuh! Sasha Amira
menarik nafas panjang. Bertalu-talu Puan Damia menghubunginya semasa kuliah
Encik Razak berjalan. Hendak dijawab, bukannya ramai sangat pelajar untuk
kuliah Encik Razak. Kalau dijawabnya, nampak sangatlah tak dengar kuliah. Nasib
baik Encik Razak beri rehat sepuluh minit di pertengahan kuliahnya. Baru saja
Sasha Amira hendak menelefon mama semula, telefonnya dulu yang bergegar. Sekali
lagi nama mama tertera di dada skrin.
“Mama tak masak
hari ni. Nanti tolong belikan nasi kukus atau apa-apa lauk sebelum balik rumah
nanti ya.” Ingatkan penting sangatlah halnya sampai berkali-kali mama telefon.
Rupa-rupanya itu saja pesanan mama.
Nasi kukus? Nasi
kukus mana? Kalau nasi kukus yang selalu dibawanya balik, biasanya tengah hari
sudah habis terjual. Oh, yalah! Semalam ada Abang Man pesan yang dia akan
simpankan sebungkus dua untuk Sasha Amira. Tapi kalau disimpan pun, masakan
Abang Man nak tunggu sampai petang.
Sasha Amira belek
jadual. Masih ada kelas Puan Raihana selepas kelas Encik Razak. Kalau
dikira-kira, agak-agak sempat ke nak sampai kedai Abang Man sebelum tengah
hari.
Selepas sepuluh
minit masa berlalu, Encik Rahim yang menghilang tadi masuk semula ke dalam
kelas. Pelajar-pelajar juga sudah kembali ke tempat masing-masing. Pelajaran
diteruskan seperti biasa. Cuma fikiran Sasha Amira saja yang melayang-layang
mengatur waktu. Sempat tak sempat. Sempat, tak sempat. Kuliah Encik Razak habis
jam sebelas. Kemudian diikuti pula dengan kelas Puan Raihana. Kalau Puan
Raihana tak rajin nak buat soal jawab hari ni, bolehlah kelasnya habis tepat
jam dua belas. Kalau ada juga sesi soal jawabnya macam selalu, lewatlah sikit.
Lepas tu, kalau jalan tidak sesak, sempatlah rasanya nak sampai gerai Abang Man
sebelum jam satu.
Dia
terangguk-angguk sendiri seraya mengangkat tangan kanannya separuh ke atas.
Sempat... sempat.
“Ya, Sasha?”
Sasha Amira tidak
beri respon bila Encik Razak memanggil namanya. Dia hanya tersedar setelah
Intan Nazira menepuk bahunya beberapa kali. Muka Intan Nazira dipandangnya
dengan bingung. Muncung Intan Nazira panjang menghala ke arah Encik Razak.
Berkerut dahi Sasha Amira tidak mengerti. Bila dia berpaling ke depan, melihat
Encik Razak memandang ke arahnya, dia tambah bingung.
“Kamu ada soalan?”
Encik Razak bertanya. Sasha Amira bingung lagi. Dia pandang kiri kanan, hingga
ke belakang. “Saya tanya kamu, Sasha. Nampak tadi kamu angkat tangan, macam nak
tanya sesuatu. Ada soalan?”
Sasha Amira tunjuk
batang hidung sendiri sekadar mahukan kepastian. Dirinyakah yang Encik Razak
maksudkan? Sasha Amira binti Rahim? Dan bila Encik Razak mengiakan, dia cuma
mampu tersengih. Lambat-lambat dia menggeleng.
“Okey. Tak apa.”
Encik Razak tenang menyambung semula kuliahnya. Sedang Sasha Amira sudah tebal
muka. Intan Nazira mula berbisik di sebelah.
“Kau berangan eh?”
Aduh. Malunya muka.
Satu kelas tertumpu padanya seorang tadi. Dia pula boleh pandang orang lain
dengan muka terpinga-pinga. Nasib baik Encik Razak sporting orangnya. Agghh! Malu! Hilang terus konsentrasinya bagi
setengah jam kedua untuk kuliah Encik Razak. Buku notanya hampir bersih hari
ini, cuma tertulis sebaris dua daripada perbincangan kuliah. Namun pengumuman
yang diberitahu Encik Razak sebelum kelasnya berakhir memberi semula semangat
kepada Sasha Amira.
“Kelas Puan Raihana
hari ni dibatalkan atas sebab Puan Raihana tak berapa sihat hari ni. Jadi,
kelasnya akan digantikan pada tarikh yang akan diberitahu kelak.”
Betul? Yes! Melonjak hati Sasha Amira mendengar
berita itu. Bukan gembira atas kesihatan Puan Raihana yang kurang baik tapi
gembira kerana dapatlah dia pergi gerai Abang Man lekas sedikit. Dapat juga dia
beli lebih sedikit kalau ada rezeki. Lantaran itu sepantas kilat Sasha Amira
mengemas begnya sebaik Encik Razak keluar dari kelas.
“Aik. Cepatnya hari
ni. Nak ke mana?” Intan Nazira menegur.
“Aku dah janji
dengan mama nak balik awal.”
“Nak buat apa? Nak
pergi jumpa calon suami lain ke?” Zaimah pula menyampuk.
Uish. Budak ni. Tak
ada benda lain agaknya dalam kepala dia. Lelaki... lelaki... lelaki. Ni kalau
aku beritahu dia yang aku nak pergi gerai Abang Man, mesti dia sibuk nak ikut.
Nak menggatal dengan Abang Man tu. Heuww... tak kuasa mak!
“Aku nak pergi beli
lunch untuk mamalah. Okeylah, aku
balik dulu. Bye!” Cepat-cepat Sasha Amira angkat punggung meninggalkan Intan
Nazira dan Zaimah. Tidak sempatlah kawan-kawannya itu hendak membalas cakap
lagi lepas itu.
*******
Sejak awal dia
sampai tadi, Abang Man sudah sibuk melayan pelanggannya. Belum siap ayamnya
masak, orang sudah mula beratur menunggu. Nasi separuh masak dikukus dalam
pengukus. Ayam yang siap diperap dengan rempah digoreng dalam dua kuali
serentak. Tidak menang tangan Abang Man dilihatnya. Namun cekap Abang Man
membuat kerja. Walau sibuk, Abang Man masih ramah berbual dengan peniaga di
sebelah, juga dengan pelanggan-pelanggannya.
Saif Azrai menunggu
sahaja di belakang. Duduk di bangku dan kerusi yang siap tersedia di situ.
Beberapa meja lagi juga mulai penuh dengan pelanggan Abang Man. Ada juga yang
memesan makanan dari gerai bersebelahan. Saif Azrai sempat merasa laksa penang
kakak yang membelanya depan Abang Man dulu.
Berpeluh Saif Azrai
menunggu walaupun agak jauh jaraknya dari dapur milik Abang Man. Agaknya Abang
Man juga sudah bermandi peluh sekarang. Saif Azrai jeling jam. Dikerlingnya
pula ke arah jalan raya. Masih tidak nampak bayang kereta Sasha Amira. Orangnya
juga tidak kelihatan. Dia menjengah pula ayam Abang Man dari situ. Setiap kali
siap digoreng, setiap kali itu juga laju ia terjual.
Susah hati
menunggu, dia bangun dan mendekati Abang Man yang sibuk benar nampaknya. Dia
menggantikan Abang Man mengangkat ayam dan dibiarkan atas jaring seketika. Ayam
perap yang lain dimasukkan pula dalam minyak panas. Setelah selesai, ayam atas
jaring tadi dipindahkan pula ke dalam bekas beralaskan daun pisang. Sementara
Abang Man membungkus nasi didalam kertas minyak. Sambil-sambil itu, Saif Azrai
mula mengira. Masih panjang barisan di depan gerai Abang Man.
“Tak simpankan dulu
ke untuk Sasha, bang? Macam tak cukup aja.” Saif Azrai berbisik ke telinga
Abang Man dalam pada Abang Man sibuk memulangkan wang baki kepada seorang
pelanggan wanita berbangsa Cina.
“Terima kasih ya.”
Terdengar suara Abang Man kepada pelanggannya. Kemudian dia menjengah ayamnya
dalam kuali. Dalam besen dilihatnya sudah kering. Tiada sepotong pun ayam yang
tinggal. Dalam bekas yang sudah siap digoreng, ada beberapa bahagian lagi.
Dicampur dengan masih di dalam kuali, dia mula mencatu. Sementara Saif Azrai
meliar matanya memandang ke arah jalan sekali lagi.
“Dia datang, bang.”
Suara Saif Azrai pula kedengaran kalut bercampur teruja. Topi lekas-lekas
disarung ke kepala. Pura-pura dia sibuk menolong Abang Man. Dalam diam, matanya
menjeling ke arah kereta MyVi kuning yang berhenti di hujung jalan. Seorang
gadis bertudung merah keluar dari kereta itu tidak lama kemudian. Makin
perlahan tangan Saif Azrai bergerak sedang matanya terus mengikut gerak langkah
Sasha Amira yang berjalan ke mari. Kali ini dia tidak tersilap pandang. Memang
betul dia.
*******
“Izi, Azrai mana?”
soal Haji Rauf sebaik menolak pintu bilik Izi Helmy. Dijengahnya tadi ke bilik
Saif Azrai tapi anaknya itu tiada di pejabat.
“Err... dia keluar
kejap uncle. Katanya ada hal.”
Haji Rauf
menggeleng. Ada saja halnya Saif Azrai menghilangkan diri. Setiap kali dicari
itulah, bayangnya lesap.
“Hmm... nanti kamu
beritahu pada dia. Esok petang kita ada mesyuarat, dengan ayah kamu. Ayah kamu
akan sampai ke pejabat ni esok pagi. Proposal
yang kamu berdua serahkan pada uncle
sebelum ni uncle nak kamu berdua
bentangkan esok.” Pesan Haji Rauf sebelum keluar dan kembali ke biliknya.
Izi Helmy hanya
mampu mengangguk. Sebenarnya dia tergamam bila mendengar Encik Hairol akan
datang ke sini esok pagi. Aduh. Melepas lagilah nak jumpa buah hati esok kalau
ayahnya ada di sini. Nak kena bentangkan kertas kerja tahunan untuk sesi tahun
depan pula tu. Memang tiada harapanlah dia mahu merayap esok.
Dia memandang
lakaran pelan kecil yang diserahkan Saif Azrai tadi. Masih belum selesai
diperiksa kesesuaian dengan struktur alian elektrik dan lain-lain. Sekarang,
kena pula siap sedia untuk pembentangan esok. Alah, last minute job lagi. Di saat-saat Saif Azrai entah ke mana....
huh, rasa nak meleleh air mata. Come onlah Izi. You are a man, okey! Tak mainlah berendam air mata.
Nombor Saif Azrai
lekas didail. Berdering tapi tiada jawapan.
*******
“Maaflah, Sasha.
Tak ada lebihlah. Cukup untuk dua bungkus aja.” Abang Man serba salah
memberitahu apabila Sasha Amira bertanyakan kalau-kalau masih ada lebih nasi
kukus ayam daranya. Nampak wajah Sasha Amira hampa bila diberitahunya begitu.
“Tak apalah, bang.
Tak ada rezeki lebih. Ingatkan nak simpan buat makan malam.”
“Alah, maaflah.
Lain kali datanglah awal sikit. Tak pun telefon. Bolehlah abang simpankan
lebih.” Abang Man menunjuk nombor telefonnya yang tertera atas kain lentang
yang tergantung di bumbung gerainya. Saif Azrai jeling sama arah telunjuk Abang
Man.
Ceh! Kalau aku tau,
aku simpan nombor Abang Man. Getusnya.
“Hai, bang. Dah ada
pembantu nampak sekarang.”
Saif Azrai sorokkan
muka sebaik Sasha Amira menegur. Belum masanya dia hendak tunjuk muka. Abang
Man pula cuma tayang senyum. Dibiarkan saja Saif Azrai yang membungkus nasi
untuk Sasha Amira. Siap semuanya, Saif Azrai menghulurkannya kepada Sasha
Amira. Not sepuluh yang dihulur Sasha Amira kemudiannya sekadar dilihat.
“Tak perlu bayar.
Saya belanja.”
“Ha?” Sasha Amira
terpinga-pinga.
Saif Azrai
menanggalkan topi dan memandang terus ke wajah Sasha Amira. “Sebagai
balasannya, boleh saya minta nombor telefon awak?”
Sasha Amira
tercengang. Tengok muka macam kenal. Tapi siapa ya? Bila lelaki itu tersenyum,
baru dia perasan.
“Ha, awak?” Merah
padam muka Sasha Amira serta-merta.
*******
Tercabar ego Saif
Azrai hari ini. Hampa sehampa-hampanya dia bila Sasha Amira hanya berlalu
begitu saja. Bukannya nak cakap terima kasih ke apa. Jangankan hendak
tinggalkan nombor telefon seperti diminta. Boleh pula dia jelir lidah sebagai
balasan. Ada ke patut. Haih, jual mahal benar prempuan ni. Saja Saif Azrai
susahkan diri sendiri. Walhal Puan Damia awal-awal sudah berikan nombor telefon
anaknya kepada Saif Azrai. Sengaja cari susah, kata orang.
“Alah, perempuan ni
kadang-kadang saja nak jual mahal. Padahal hati suka. Mahu tapi malu kata
orang!” Terngiang-ngiang suara Abang Man di telinga. Ada juga ya perempuan
macam tu? Hai, kenapalah Saif Azrai tidak pernah pula jumpa perempuan spesies
begitu?
Kepalanya dihentak
ke stereng dengan beralaskan tangan. Stres! Kalau macam ni punya payah, baik
dia cari perempuan lain. Perempuan yang tak jual mahal. Mahal-mahal sangat
nanti tak laku, baru padan muka perempuan tu!
Baru hendak melelapkan
mata, sekadar mahu melepaskan tekanan. Namun gegaran telefon juga yang
mengganggu ketenangannya. Malas dia menyambut telefon dari kocek.
“Helo...” Lemah
suaranya memulakan bicara.
“Ha, baru sekarang
kau jawab!” Suara Izi Helmy pula berdesing menggegar telinga. Spontan Saif
Azrai hempas nafas yang masih memberat.
Budak ni lagi.
Kalau dia telefon mesti masa mood aku
tengah spoil!
“Uncle cari kau tadi, tahu tak?”
Mendengar nama Haji Rauf terus saja matanya terbeliak seraya tegak kepalanya
menghadap depan. Macam Haji Rauf ada di depannya sekarang.
“Kenapa?” soalnya
terus.
“Uncle pesan esok ada meeting dengan ayah aku. Nak kena present proposal pasal projek tahunan
tu. Ayah aku datang, bro. Mati aku!”
Suara Izi Helmy
kalut. Faham benar Saif Azrai. Mestilah sebab Encik Hairol bakal bermalam di
rumah sepupunya itu. Bagai mimpi ngeri bagi Izi Helmy untuk bersedia dan
berhati-hati dalam setiap tindakan dan percakapannya. Silap sikit, sedialah
tahan telinga dek syarahan percuma Encik Hairol. Tapi bukan Izi Helmy saja yang
risau, Saif Azrai juga bimbang sama bila diberitahu mereka perlu membentangkan
kertas kerja itu esok.
“Esok? Cepatnya?
Pelan Miharja tu?”
“Aduh, bro. Aku tengah pening kepala sorang-sorang hadap draft kau ni. Kau baliklah office
cepat. Kita pecah kepala sama-sama.”
Ah! Sudah! Nak aku
pun pecah kepala sama dengan kau? Huish, aku tak jumpa lagi buah hati yang
mampu menambat hati ini, mana boleh kasi kepala pecah lagi. Not now!
“Dengan presentation untuk esok lagi tak prepare lagi, bro. Adeh. Berkhemah kita
dalam pejabat macam ni!”
Hoho! Yang tu lagi
jangan harap. Tak ada tilam empuk, tak ada selimut tebal, nyamuk kelaparan pun
banyak... oh, tidak... tidak. Saif Azrai menolak dalam hati.
Cukuplah sekali
mereka berdua terbongkang dekat pejabat masa baru sebulan kerja dengan Haji
Rauf. Maklumlah, baru habis belajar. Kerja di situ pun baru lagi. Semangat tu
pun orang kata masih berkobar-kobar hendak tunjuk skill. Kalau boleh semua projek dan kontrak yang sampai ke telinga
mereka nak sapu. Bersengkang mata dekat pejabat untuk siapkan kertas kerja pun
mereka sanggup, sampai tertidur atas kerusi dengan kepala beralaskan meja.
Bangun pagi mulalah
mengadu sakit tengkuklah, sakit pingganglah, sakit ini sakit itu. Ikutkan satu
badan rasa kejang semacam. Bila Haji Rauf tengok dua-dua anak dan anak buahnya
dah teleng kepala, itu yang dibelikannya seorang satu set sofa.
“Yo, bro! Kau dekat
mana sekarang? Cepatlah tolong aku ni. Aku tak cukup tangan ni. Jangankan
tangan, kaki pun tak cukup nak siapkan semuanya, bro.” Bising mulut Izi Helmy.
Mahunya tidak. Penat dia berleter itu dan ini tapi tiada langsung respons yang
didengarnya daripada Saif Azrai. Entah-entah tidur sedang orang sibuk bercakap
dengan dia.
“Aku tahulah. Kalau
kau terus berleter macam mak nenek, macam mana aku nak drive balik office.”
No comments:
Post a Comment