Senang hati Saif
Azrai masuk pejabat hari ini. Ceria saja mukanya menyapa pekerja lain sebaik
masuk ke pejabat.
“Hai, ceria nampak
hari ni?” Kak Suzi menegur hairan. Semalam tidak datang kerja. Hari ini
masuk-masuk saja sudah tersenyum lebar pada semua orang. Hairan sungguh
gayanya. Ke mana agaknya anak bos pergi semalam?
Saif Azrai yang
baru hendak berjalan ke biliknya singgah sekejap di depan Kak Suzi. “Akak
tengok muka saya ni. Ada muka orang bahagia tak?” Mukanya ditayang di depan Kak
Suzi. Sekejap ditayang sebelah kanan, sekejap ke sebelah kiri. Macam model nak
peragakan muka pula Kak Suzi tengok. Berkerut dahi Kak Suzi serta-merta.
“Lain macam aja
kamu ni. Mesti ada apa-apa ni. Kamu tengah hot
bercinta ke?” Telah Kak Suzi bersama senyuman penuh makna. Renungan juga mengancam
sama. Tergelak Saif Azrai dibuatnya.
“Amboi, Kak Suzi.
Akak pun nak pikat saya juga ke?” Tempelaknya sengaja mahu menyakat Kak Suzi.
“Ish, budak ni!”
Laju saja Kak Suzi menghempuk lengan Saif Azrai dengan fail yang memang
dipegangnya sejak tadi. Berderai lagi tawa Saif Azrai gamat memenuhi ruang di
depan pejabat itu. Sebelum Kak Suzi berleter panjang, cepat-cepat dia menghayun
langkah ke biliknya.
“Ha, Azrai.”
Spontan Saif Azrai
menahan kakinya bila namanya dipanggil lagi. Dia berpaling semula ke arah Kak
Suzi.
“Tuan Haji ada
pesan suruh kamu jumpa Tuan Haji lepas kamu masuk pejabat.” Pesan Kak Suzi
bersama senyum yang masih tersimpul kemas di bibir. Saif Azrai mengangguk saja.
Sebelum pintunya ditolak, baru dia teringat yang dia merancang untuk bertemu
Izi Helmy sebelum datang ke pejabat tadi. Lantas dia segera memulas tombol
pintu Izi Helmy yang hanya bersetentang.
Kelam-kabut Izi
Helmy menyorokkan buku yang dibacanya di bawah punggung. Duduknya dibetulkan
sedikit kemudian pura-pura sibuk menggoyangkan tetikus ke kiri ke kanan.
“Amboi, anak bos
pun tak reti ketuk pintu orang dulu. Kalau dibuatnya aku tengah minum tadi,
silap hari bulan tercekik air aku sebab terkejut.” Sindir Izi Helmy menjeling
riak Saif Azrai yang sudah terpacak di depan mejanya. Beg Saif Azrai dilihatnya
masih dibahu. Baru sampailah tu. Getusnya dalam hati.
“Eleh, kau pun
selalu main masuk aja bilik aku tak reti nak bagi salam, tak pula kau fikir
macam tu. Kena heart attack aku kat
dalam tu sebab sergahan kau tau. So, fair
and square la.” Balas Saif Azrai selamba.
Izi Helmy
mencebirkan bibir. Yalah. Memang dia tak boleh nak menanglah kalau nak bercakap
dengan sepupu sendiri. “Yalah, yalah. Kau jugalah yang menang. Kau nak apa cari
aku pagi-pagi ni, encik bos?” soalnya malas.
Amboi. Ni siapa
yang bos ni, dia ke aku? Dia pula soal aku macam dia bos aku. Dei, kau kalau
nak jadi bos pergi balik Penang okey. Getus Saif Azrai lagi dalam hati.
“Kerja aku minta
kau tolong semalam kau dah buat belum?”
“Ha? Kerja? Kerja
apa?” Izi Helmy melopong terus.
Saif Azrai
bersilang tangan memeluk tubuh. Muka bingung sepupunya direnung. Sahlah belum
buat kalau dah muka seposen macam tu yang dipamerkan. “Set time nak jumpa owner
restauran dekat Miharja tu. Ha, belum buatlah tu.”
“Apasal aku pula
yang kena?”
Spontan satu nafas
pendek dihela terus. Dari tangannya menyilang ke tubuh kini diletak ke meja Izi
Helmy. Kedua tangannya menekan meja itu bagi menampung tubuh yang ditolak ke
depan muka Izi Helmy.
“Helo Encik Izi
Helmy. Bukan kau ke person in charge untuk projek tu? Aku cuma
tolong buat pelan design aja tau. Aku
ada projek lain lagi nak kena settle.”
Ha? Izi Helmy
menganga lagi. “Oh, yakah?” soalnya pula kurang pasti. Kelat muka Saif Azrai
merenungnya tajam. Adoi. Dia dah buat dah muka singa jantan dia tu. Malas betul
aku nak layan.
“Emm... nantilah
aku telefon dia. Nak set masa aja kan. Kau nak bincang sekali dengan dia, betul
tak?”
“Tak ada
nanti-nanti, Encik Izi Helmy. Kau tahu kan papa tak suka kalau pelanggan yang hubungi
kita dulu. Kalau dia call kita tanya
mana design yang kita janjikan
sebelum kau follow up dia, teruk kita
nanti kalau papa tahu. Baru kena puji sikit hari tu, terus tak boleh buat
kerja?”
Woah! Garang
nampaknya dia. Kacau daun betul la. Baru aja nak khusyuk telaah buku agama. Dah
kacau. Mana nak masuk otak apa yang aku baca tadi. Malas dia mahu bertekak, dia
iakan saja.
“Ya, aku telefon
sekarang. Okey!” Ganggang telefon dicapai. Sebelah tangan lagi mencapai iphone.
Mencari nama Encik Halim, pemilik restoran di Miharja itu. Butang pada dada
telefon lekas ditekan laju-laju mengikut susunan nombor yang tertera pada skrin
iphonenya. “Tengah telefon ni. Puas hati?” ujarnya sambil menunjuk ke arah
telefon.
Berbuah senyum
nipis di bibir Saif Azrai. Bergetar rasa perut menahan rasa lucu melihat reaksi
Izi Helmy. Tidak tahan, dia keluar dari bilik Izi Helmy dengan muka serius.
Rapat saja pintu itu berlari dia masuk ke biliknya pula. Pecah tawanya di situ.
Rasa macam nak berguling sekali atas lantai. Seronok pula rasanya menyakat
orang.
Ops! Teringat pesan
Kak Suzi tadi. Lekas begnya ditinggalkan atas sofa dan dia keluar semula menuju
ke bilik Haji Rauf.
Tuk! Tuk!
“Masuk.” Kedengaran
suara Haji Rauf menyahut dari dalam. Dengan hati gembira, Saif Azrai menolak
daun pintu.
“Papa cari Azrai?”
soalnya menjengahkan kepala ke dalam. Haji Rauf yang sibuk meneliti dokumen
mengangkat muka.
“Ha, Azrai. Duduk
sekejap.”
Saif Azrai mengikut
kata lalu dia henyak punggung di depan Haji Rauf. Dia menanti sambil memerhati
Haji Rauf serius memeriksa kertas di tangan. Lehernya dipanjangkan sedikit,
mahu menjengah dokumen yang diteliti papanya. Serius saja muka Haji Rauf, risau
pula. Bukan kerja aku kan? Dia tertanya-tanya.
Selesai membelek
dokumen itu, Haji Rauf meletakkannya ke tepi dahulu. Wajah Saif Azrai
dipandang. Serentak Saif Azrai membetulkan duduknya yang longgar lalu
ditegakkan badan.
“Semalam mama kamu
beritahu yang kamu nak minta hantar rombongan meminang.”
Gulp! Terus saja
Saif Azrai menelan liur bila hal itu dibangkitkan Haji Rauf. Tapi entah kenapa
dia tiba-tiba rasa gemuruh, dia tidak tahu. Sepatutnya dia rasa lega atau
gembira bila mama sudahpun memberitahu papa. Pastilah orang tuanya akan
menetapkan tarikh untuk pergi meminang si anak dara. Tapi kenapa dia berdebar
saja dalam hati bagai ada rama-rama yang terbang menari-nari dalam taman
hatinya? Soalan itu tidak mampu dijawab.
“Kamu ni betulkah
nak kahwin dengan Sasha? Betul kamu berdua dah kenal satu sama lain sebelum nak
melangkah ke alam perkahwinan pula?”
Diam. Tiada jawapan
mampu Saif Azrai berikan. Melihat anaknya membatu, Haji Rauf menyandar ke
kerusi.
“Kita hantar ajalah
rombongan meminang Sasha tu, bang. Dia tu baik budaknya. Saya rasa dialah perempuan
paling layak untuk dijadikan isteri Azrai tu. Dah kalau budak tu dah terbuka
hati nak kahwin, takkan kita orang tua nak halang pula bang. Kita pun dah kenal
Sasha tu dengan orang tua dia.” Begitulah antara kenyataan yang dikeluarkan
Hajah Kistina malam semalam. Masih terngiang-ngiang di telinga Haji Rauf hingga
sekarang. Puas dia berfikir. Hajah Kistina tidaklah berkata apa pagi tadi cuma
isyarat mata dan riak wajahnya cukup buat Haji Rauf faham yang isterinya itu
mengharapkan jawapan dan persetujuannya.
Memang rancangan
Haji Rauf hendak anak bujangnya itu berkahwin dan nampaknya ia berjalan seperti
yang dirancang. Walau ada risaunya, Haji Rauf mahu anaknya belajar untuk lebih
bertanggungjawab. Hidup berumahtangga bukannya mudah seperti yang disangka mahupun
seperti yang diharapkan. Memang harapan Haji Rauf di mana alam rumahtangga akan
lebih mematangkan anaknya itu.
“Papa bukan
kesahkan pilihan kamu. Sasha tu dah pernah datang ke rumah. Papa pun dah tengok
sendiri budaknya macam mana. Cuma papa nak pastikan yang kamu ni betulkah
serius nak kahwin dengan budak tu? Bolehkah kamu jaga dia, pikul tanggungjawab
sebagai suami kepada isteri dan ayah kepada anak-anak kamu?”
Agak lama Haji Rauf
menanti jawapan. Anaknya itu menekur sekejap dan puas berfikir dia mengangkat
mukanya.
“Azrai akan cuba,
pa.”
Lantas spontan satu
lagi nafas dihempas Haji Rauf. Kali ini lebih berat hingga jelas bunyinya di
telinga Saif Azrai.
“Hal kahwin ni
bukan boleh dibuat cuba-cuba. Tapi kalau kamu betul dengan keputusan kamu, papa
tak halang. Macam mana kamu ambil anak orang dengan cara baik, kamu jaga dia
dengan cara baik. Itu pesan papa.”
*******
Usai makan malam,
Haji Rauf duduk bersandar di sofa di ruang tamu. Serius wajahnya menonton
berita luar negara yang dilaporkan di kaca televisyen. Kehadiran Hajah Kistina
di sebelah dengan menatang piring berisi buah juga tidak Haji Rauf sedar
sehinggalah Hajah Kistina menyapa pehanya, barulah Haji Rauf menoleh.
“Buah bang,” pelawa
Hajah Kistina sambil menunjuk ke arah piring yang diletak atas meja. Haji Rauf
cuma mengangguk sedang matanya kembali ditolak ke kaca televisyen. Hajah
Kistina turut bersandar dan menonton bersama suami. Berdetak bunyi epal digigit
Hajah Kistina sekali sekala menyentuh leliang telinga Haji Rauf.
“Mana Azrai?” Tiba-tiba
Haji Rauf menyoal.
“Hmm... dekat luar.
Termenung lagilah tu. Sejak balik tadi, saya tengokkan dia diam aja bang. Entah
kenapa pula budak tu. Pagi tadi ceria aja. Hairan saya tengokkan dia bang.”
Terdengar pula nafas halus Hajah Kistina dihembus keluar serentak tangan yang
menggigit buah epal tadi jatuh ke riba.
Perasaan risau mula
menganjal di hati bila suaminya membangkitkan soal anaknya. Risau melihat dia
asyik duduk termenung di depan kolam ikan koi di luar. Selepas itu duduk
memerap lama di bilik. Selalunya tidak begitu. Balik kerja, dia selalu menyakat
Hajah Kistina dulu dan membantunya di dapur. Tadi Hajah Kistina menjengah
sekejap ke luar sebelum ke dapur semula untuk memotong epal. Dilihatnya Saif
Azrai termenung lagi di depan kolam. Risau juga hati ibu ini melihat perubahan
anaknya itu.
“Awak cubalah cakap
dengan anak awak tu. Betulkah dia nak kahwin dengan Sasha. Bila saya tanya, dia
tak jawab. Kalau betullah dia serius nak kahwin, kenapa teragak-agak pula?
Budak Sasha tu anak kawan kita, jangan sampai kahwin sehari dua dah nak
bercerai.” Lembut namun serius nada suara Haji Rauf lontarkan kepada Hajah
Kistina. Buah epal dicapainya sepotong dan disuap juga ke mulut.
Hajah Kistina sudah
bangun meninggalkan Haji Rauf di ruang tamu. Haji Rauf membiarkan saja dan
kembali menonton berita. Sementara Hajah Kistina menjenguk anaknya dari jauh.
Nafas yang kian memberat dilepaskan terus sebelum kakinya menyarung selipar.
Perlahan-lahan Hajah Kistina mendekati anaknya yang duduk di bangku di taman
kecil rumahnya. Jauh benar nampaknya Saif Azrai memandang ke depan sampai tidak
langsung perasan kehadiran Hajah Kistina di situ. Entah-entah tembus sampai ke
kerak bumi pandangannya itu.
Hajah Kistina
labuhkan punggung di sebelah anaknya. Nafas berat sekali lagi dihempas lebih
kuat sekaligus menyentak lamunan Saif Azrai. Serta-merta dia menoleh.
“Mama...” tegurnya
lalu membetulkan duduk.
“Kenapa dengan anak
mama ni? Termenung sana termenung sini mama tengokkan.”
Saif Azrai
menggeleng. “Tak ada apalah, ma.” Jawabnya lambat dan terus bersandar. Jarak
antara dua kakinya dilebarkan juga. Hajah Kistina turut bersandar. Matanya
memerhati ikan koi yang tidak banyak bergerak di dalam kolam. Tidak lama
beralih semula ke wajah anaknya di sebelah.
“Kalau tak ada apa,
masakan kamu termenung. Kamu tak pernah macam ni tau.” Senyap. Anaknya itu
senyap membisu. Matanya juga tidak langsung menghadap muka Hajah Kistina. Asyik
menekur dan memandang ke depan bersilih ganti.
“Mama dan papa ni
risau tengok perangai kamu ni, hairan pun ada. Pagi tadi ceria, balik pula
monyok. Bila papa tanya betulkah kamu nak kahwin, kamu senyap. Takkanlah kamu
tiba-tiba ubah fikiran, tak mahu kahwin pula?” Hajah Kistina meneka. Namun
anaknya masih diam. Hajah Kistina meletakkan tangannya ke atas lengan anaknya.
“Kamu ni anak
lelaki. Kalau kamu pun teragak-agak dengan keputusan kamu, macam mana nak
bimbing isteri nanti? Jangan pula buat mama malu tiba-tiba tak mahu pula hantar
meminang sedangkan Mak Cik Damia dah tahu niat kita tu.”
Saif Azrai terkedu.
Makin difikir, makin menebal pula rasa bersalah. Dia mahu merisik Qayreena
sebab dia tidak mahu kalah pada Izi Helmy semata-mata, bukan atas dasar cinta.
Tapi bila ditujah soalan Haji Rauf pagi tadi, dia rasa takut. Jaga anak orang?
Susah sangatkah nak jaga anak orang ni? Dia menghitung beberapa kali. Fobia
semula pada perkataan kahwin itu. Sekarang giliran Hajah Kistina pula mencucuk
tangkai hatinya. Aduh. Penuh dengan rasa serba salah dan tidak tahu apa yang
terbaik perlu dibuat.
Letih hendak fikir
panjang, dia tekad teruskan saja. Belum tentu lagi Sasha Amira akan terima
pinangannya nanti kan. Tapi kalau ditolak pula, terpaksa dia bertungkus lumus
mencari pengganti atau sedia saja untuk tewas kepada Izi Helmy? Oh, tidak. Itu
tidak mungkin berlaku.
“Tak adalah ma.
Azrai termenung bukan sebab hal tu tapi... sebab... sebab hal kerja.” Lambat
dia memberi alasan. Rancangan perlu diteruskan seperti yang dirancang. Siaplah
kau Izi. Walaupun kekasih kau pernah keliling pinggang, bercintan-cintun dengan
buah hati bertahun-tahun, tapi aku akan pastikan kau takkan menang kali ni.
Tekadnya dalam hati.
“Jadi, kamu serius
nak kahwin?”
Saif Azrai cuma
tersenyum manis di depan mamanya sebagi jawapan.
“Kamu boleh jaga
dia?”
Gulp! Oh, tidak.
Soalan ni lagi? Aduh, susah sangat ke nak jaga anak orang? Kenapa mama dan papa
mesti tanya soalan yang sama? Bagi makan, bagi duit aja kan. Getusnya dalam
hati. Namun senyum masih diukir di bibir supaya Hajah Kistina yakin akan
keputusannya.
Ihh...yuri rasa cam nak ketuk-ketuk aja Saif ni kan. Kejap rasa nak kahwin..kejap tak nak. Ingat anak ayam ke boleh main tarik tolak. Anak ayam pun kena kejar dek ibu ayam satu kampung kalau dikacau tau.
No comments:
Post a Comment