Hari ini Saif Azrai
tidak dapat menumpukan perhatian terhadap kerja. Mujur semua urusan penting
sudah selesai. Buat masa sekarang, dia cuma perlu menanti kelulusan pihak lain
selain memantau kerja-kerja kontrak yang sedang berjalan. Tapi hari ini dia
tidak mampu melakukan apa-apa kerja. Fikirannya melayang-layang dan asyik
memikirkan tentang tawaran Haji Rauf.
“Siapa antara kamu
berdua yang berkahwin dulu, papa akan serahkan jawatan dan anak syarikat di KL
ni kepadanya.”
Saif Azrai menekan
kepala ke meja. Tidak senang duduk, dia bangun pula ke tingkap yang hanya di belakang
meja kerjanya. Jendela diselak dan dia merenung keluar. Terik mentari petang
menyuluh betul-betul ke mukanya. Namun dibiarkan saja tanpa berganjak walau
setapak. Sedangkan saat ini hatinya bagai kelam tidak bercahaya. Harapannya
semakin tipis bila lamarannya semalam ditolak Qayreena tanpa memberi sebarang
alasan. Cuma diberitahu yang dia belum bersedia. Tapi kenapa? Ah, mungkin ini
balasan untuknya yang menolak puluhan wanita sebelum ini.
Hmmm.... Panjang
nafas yang memberat dilepaskan.
“Hai, kapten!”
Seperti semalam,
lamunannya sekali lagi tersentak dek teguran suara garau yang memang dia sangat
kenali. Dia segera berpaling ke belakang. Dilihatnya Izi Helmy seperti biasa
sudah masuk ke bilik pejabatnya. Kali ini menghenyak pula punggungnya ke sofa. Tangan
didepangkan kedua belah.
Amboi. Relaksnya
dia. Getus Saif Azrai dalam hati. Halus kedengaran suara Izi Helmy merungut
letih dan panas. Baru balik dari mana agaknya. Dari pagi tak nampak batang
hidung dia.
“Hai, happy nampak orang tu!” tegur Saif Azrai
tersenyum nipis. Punggungnya dilabuhkan semula ke kerusi kerja. Memandang Izi
Helmy dengan tenang. Dia tidak mahu tunjukkan stres di depan Izi Helmy seperti
semalam. Dia tidak mahu kelihatan terdesak di mata lelaki itu. Hari ini dia
perlu berlagak tenang. Biar Izi Helmy pula yang tergugat.
Konon katanya
bila-bila masa boleh masuk meminang ya. Tengoklah orang tu tergeliat lidah ke
tak nak melamar buah hati dia nanti. Kutuknya lagi.
Setahun lepas, Izi
Helmy pernah bercerita yang dia cuba melamar Aina. Memang terkejut besar ketika
itu bila Izi Helmy ambil keputusan mahu mengakhiri zaman bujangnya dan
meninggalkan terus tabiat lama yang bergelar kaki perempuan tu. Tapi cerita Izi
Helmy, kelu lidahnya ketika ingin mengungkap kata-kata itu. Sudahnya, ia
berakhir tanpa sebarang kata lamaran.
Saif Azrai yakin
Izi Helmy masih belum berani. Bermadah cinta, memang dia pro. Tapi untuk
mengungkap perkataan kahwin itu sendiri, dia menggeletar satu tubuh.
“Macam biasalah,
bro. Aku memang selalu happy. Kau apa
cerita? Semalam kata nak melamar kan? Siapa yang kau lamar? Anak Tan Sri
Iskandar tu ke?”
Tersungging senyum
di bibir Saif Azrai mendengar telahan Izi Helmy. Amboi, ikan besar aja yang dia
pilih.
“I’m no that desperate nak lamar anak Tan
Sri Iskandar tu la. Jatuhlah air muka aku kalau baru sekali jumpa nak terus
buat bini.”
“Jadinya, siapa
lagi?”
Saif Azrai
mendengus sambil senyum sumbing sebelum menjawab. “Kau ni buat-buat lupa ke
saja nak kutuk aku ni tak laku? Mestilah aku lamar buah hati aku, Qay yang muka
macam mat saleh tu!”
Tersengih-sengih
Izi Helmy sambil duduknya asyik berubah sekejap ke kiri sekejap ke kanan.
Nampak sangat ketidakselesaan dia tu. Saif Azrai perasan. Senyum dibibirnya itu
pun cuma sekadar nak cover line la
tu. Entah-entah dalam hati sudah berdebar macam nak meletup.
“Hai, baru berapa
bulan kau kenal dia. Tiba-tiba aja nak kahwin. Ni sebab desperate dengan tawaran uncle
hari tu ke, bro?”
Tahu tak apa!
Takkan aku nak lepaskan jawatan papa pada kau, mangkuk! Jerit Saif Azrai namun
hanya dalam hati. Mukanya masih tenang menghadap Izi Helmy. Mana boleh dia
nampak gelabah depan sepupunya itu.
“Hoho... desperate? Ini bukan desperate namanya bro. Bak kata kau kan,
bila hati dah berkenan tak mahunya cari lain. Jadi, sebelum hati aku ni cari
lain... biar aku ikat dia ketat-ketat. Lagipun umur makin tua bro. Malu kut kat
orang sebaya aku ni dah ada anak dua tiga orang tapi aku ni masih single mingle lagi!”
Pula dah! Terus
saja Izi Helmy mencebirkan bibir. Dulu kata lain. Dulu kata muda lagi, masih
boleh memilih. Sekarang perasan tua pula. Pastu siap nak banding dengan orang
anak dua tiga orang. Tak pernah-pernah dia fikir pasal tu semua. Sah-sahlah dia
terpengaruh dengan tawaran uncle hari
tu. Eh, tak boleh jadi ni. Aku pun tak mahu kalah juga. Kalau aku menang,
perggh dua syarikat tu aku pegang! Getus Izi Helmy pula dalam hati.
“Jadi, kau melamar
Qay la semalam?” Berdebar-debar jantung Izi Helmy menanti jawapan dan bila Saif
Azrai menangguk dengan senyum meleret di bibir, alamak. Bagai nak gugur jantung
ni rasanya.
“Apa jawapan dia?”
soalnya terus tidak sabar. Namun hatinya kian berdebar laju.
Saif Azrai cuma
menayang senyum. Sepatah pun dia tak jawab.
“Wow! Dia setuju ke
bro?” Besar mata Izi Helmy bertanya tapi masih senyum Saif Azrai saja yang
menjadi jawapan. Dia terkejut. Mungkinkah telahannya benar? Dalam hati memang
bagai nak pecah jantung ni kerana risau bercampur gelisah.
“Serius ke bro?”
Dia bangun dari duduk dengan riak terkejut. Kaki menganjak ke arah Saif Azrai.
“Hoho, tahniah bro!” ucapnya teruja sambil menepuk-nepuk bahu sepupunya itu.
Pura-pura dia menunjukkan rasa gembira sebab dia tidak mahu kelihatan terdesak
dan menggelabah bila ditayang muka terkejut terus. Walhal memang tengah kecut
perut tahap maksima bila lamaran Saif Azrai berjaya.
*******
Fuhhhh!
Saif Azrai menarik
nafas panjang setelah Izi Helmy keluar dari biliknya. Berjaya dia kelentong
sepupunya itu. Kononnya lamaran terhadap Qayreena berjaya dan mereka akan
merancang untuk berkahwin tidak lama lagi. Hakikatnya, semua itu cuma dusta.
Aduh. Dia henyak
tubuh ke kerusi. Kepala dialaskan ke kepala kerusi. Qayreena sudah menolak
lamarannya. Siapa lagi yang tinggal? Anak Tan Sri Iskandar, si cantik manis
Putri Laila Kirana itu? Aduh... dia masih baru dalam senarai bakal teman
wanitanya.
Saif Azrai membelek
senarai nama dalam iphonenya. Lebih separuh adalah nama wanita. Masakan dia
mahu menghubungi bekas teman wanita lamanya dulu? Lepas tu, tiba-tiba ajak
kahwin? Ah, gila! Jatuh air muka aku nanti!
Kepalanya dihentak
semula ke kerusi. Sebelah tangan menekup ke dahi. Dia pejamkan mata, cuba untuk
bertenang. Berkali-kali nafas panjang dan dalam ditarik lalu dilepaskan
perlahan. Ketika itulah, wajah seseorang muncul di ruang fikirannya.
Serta-merta dia buka kelopak mata.
Wajah gadis bertudung
itu cuba diingatkan. Siapa dia? Mungkinkah Kirana? Ah, tak mungkin. Kirana
tidak bertudung. Aisyah Hana? Ish, dia dah bersuami. Fikirnya beberapa kali dan
terus cuba mengingati wajah itu. Macam biasa dia lihat baru-baru ini.
“Ha! Sasha?!”
katanya separuh menjerit seraya menolak tubuhnya ke depan bila dia mengingati
wajah itu. Saif Azrai bingung. Entah kenapa wajah itu yang muncul, dia tidak
pasti.
*******
Sementara Izi Helmy
pula sesak nafas sebaik keluar dari bilik Saif Azrai. Habis satu biliknya itu
dia mundar-mandir. Ke depan ke belakang dan ke depan semula. Tangannya memicit-micit
kepala sekali sekala.
“Fuh! Dia dah lamar
Qay?!” teriak Izi Helmy tiba-tiba serentak langkahnya yang terhenti tiba-tiba.
“Biar betul!”
“Eh, tak boleh. Tak
boleh. Aku yang ada buah hati dulu, dia pula tiba-tiba nak kahwin? Mana aci
langkah bendul!” Izi Helmy bergegas ke mejanya. Iphone miliknya dicapai dari
atas meja.
Nombor Aina lekas
didail dan dia menanti panggilan itu bersahut dengan hati yang berdebar. Dua
tahun dia menyemai cinta terhadap Aina dan kerana gadis istimewa itu dia
belajar untuk setia. Masakan dia mahu kalah pada Saif Azrai yang entah berapa
bulan mengenali Qayreena. Tentulah jawapannya tidak!
“Assalamualaikum...”
Hati Izi Helmy
serta merta kembang bila mendengar suara itu. Rasa rindu kembali menjelma
walaupun baru semalam berjumpa. Aish, kalau dia percaya cakap Saif Azrai
semalam yang dia nak melamar Qayreena, dah tentu dia juga akan melamar Aina.
“Waalaikumusalam. Buah
hati I sibukkah hari ni rawat pesakit? Bila nak rawat sakit I ni pula?”
Mengekek halus Aina
ketawa mendengar usikan Izi Helmy sebaik menelefon. Ada saja gurauan nakalnya
yang sampai ke telinga.
“Emm... sibuk tu
sibuklah juga. Emm... nampaknya I ada patient
baru yang nak kena bagi ubat untuk rawat penyakit gatal dia.”
Tawa Izi Helmy yang
berdekah-dekah bila mendengar jawapan Aina. Faham sangat dia. Mesti dialah
orangnya yang dimaksudkan Aina.
“Ubat apa you nak
bagi I?”
“Hmm... tengoklah
you gatalnya tang mana. Kalau nak yang ringan I boleh kasi hidrokortison. Econazine pun ada. Teruk lagi, I bagi
pula clobetasol propionate. Emm...
yang mana?”
Izi Helmy melopong.
Tak pernah dia dengar nama-nama itu. Apa ke benda tu? Desis hatinya.
“Aduh susah juga
ada buah hati doktor ni. Tak faham langsung bahasa yang you pakai. Tok batin
yang tengah sakit ni juga yang nak kena beritahu penawar apa paling mujarab
untuk sakit tok ni.” Dia ketawa lagi setelah menghabiskan ayatnya.
“Oh, tok batin ya.
Apa ubatnya, tok?”
Menggeletek Izi
Helmy di atas kerusi. Bagai menari-nari bersama hatinya yang gembira tidak
terkira. “You nak tau apa ubatnya?”
“Kalau nak
beritahu, beritahulah. Kalau you tak beritahu pun tak apa.”
“Okey, okey. I
beritahu. Emm... kalau sakit macam I ni, kahwinlah jawapannya. Ada juga orang
yang akan isi kekosongan hati ni...” Izi Helmy memberitahu dengan penuh
perasaan. Tergamam Aina seketika sebelum tawa halusnya bergema semula.
“Kalau macam tu
kahwinlah.”
“Alah, macam mana I
nak kahwin kalau orang tu tak sudi...”
Aina tertawa lagi.
“Hai, mengadanya
dia. You tengah melamar I ke apa ni?” soal Aina terus terang.
“Buat-buat tak tahu
pula dia.”
Aina geleng kepala.
Lucu ada hairan pun ada. Suara dan perangai Izi Helmy hari ini macam
kanak-kanak yang meminta dibelikan gula-gula. Merengek mahukan apa yang
dikehendakkan.
“Bukan tak tahu
tapi you tu... tak romantik langsunglah.” Suara Aina bernada hampa. Kalut Izi
Helmy bangun dari kerusi.
Woah! Pertama kali
perempuan kata dia tidak berlagak romantik. Aduh, semua ex-girlfriend aku selama ni yang low class ke aku yang makin hampeh? Getusnya sendiri tidak percaya.
“Kalau you betul
nak melamar, datanglah jumpa mak ayah I untuk kenal-kenal. Lepas tu baru
meminang.”
“Meminang?”
Wow! So traditional!
“Ya, dah memang jadi
tradisi dalam keluarga I. Kalau orang lain yang datang merisik atau meminang
dulu, I tak sampai nak kecilkan hati orang.”
Izi Helmy melopong
pula kali ini. Bagai dua kali kepalanya dihempap bebanan yang cukup berat.
Mula-mula disuruh merisik. Aduh, ingatkan zaman moden ni tuan badan sendiri
beritahu orang tuanya. Lepas tu terus kahwin. Tak payah adat-adat. Sekarang
pula, dia kata tak sampai hati nak kecilkan hati orang? Maksudnya apa? Dia tak
akan tolak kalau ada orang lain yang meminang dulu? Aduh! Stres... stres...
stres! Bebelnya panjang lebar dalam hati. Dia tertekan. Hati mahu kahwin, tapi
bila dengar kena jumpa ibu bapa Aina, huhu.... menggeletar semula kepala lutut
Izi Helmy.
“Okeylah, tok
batin. I ada patient lagi ni. I should go now.”
Berderai lamunan
Izi Helmy dek suara Aina. Tergesa-gesa sedikit bunyinya. Tidak lama, terdengar
pula suara lembutnya memberi salam dan talian terputus. Namun Izi Helmy masih
terpaku sendiri. Kenapa dia rasa sebegini teruk sekarang walaupun pada awalnya,
dia gembira sangat mendengar suara Aina, dia tidak tahu sebabnya. Mungkinkah
dia terpukul dengan kata-kata Aina yang berbau ugutan tentang pinangan orang
lain itu? Aduh. Sakit kepalanya tiba-tiba.
“Err... Kak Suzi,
kacau sekejap boleh?” Izi Helmy berbisik ke depan Kak Suzi. Terkejut Kak Suzi
yang tadi sibuk menaip dan tidak sedar akan kehadirannya. Seperti biasa, Kak
Suzi tarik nafas bertalu-talu sambil mengurut dada. Lagak asma saja Kak Suzi
ni.
“Ha, apa dia?”
Izi Helmy pandang
keliling. Semua perkeja lain di ruang depan pejabat itu masing-masing sibuk
dengan kerja. Kepalanya didekatkan lagi ke depan Kak Suzi. “Kalau perempuan tak
sampai hati nak kecilkan hati orang yang meminang tu, maknanya apa?” bisiknya
perlahan.
Berkerut dahi Kak
Suzi berfikir sambil jarinya mengetuk-ngetuk dagu. “Emm... kalau tak silap akak,
emm... apa ya? Agaknya perempuan tu akan terima ajalah kut. Ha, kalau fikir
logik macam tulah maksudnya kan?”
“Ha! Betullah kan
kak!” Izi Helmy menyahut seraya menepuk kedua belah tangan. Kemudian kepalanya
terangguk-angguk. Benarlah kata hatinya tadi. Itu yang dimaksudkan Aina.
Alamak! Parah aku kalau betul macam tu.
“Kenapa tiba-tiba
kamu tanya soalan tu? Haaa... ni mesti ada apa-apa...”
Izi Helmy cuma
tersengih. Sebelum Kak Suzi mengusik dan membuat andaian macam-macam, dia
terlebih dulu cabut lari masuk ke bilik pejabatnya. Hatinya tidak tenteram.
Bila mengenangkan Saif Azrai sudah melamar Qayreena, dia makin tak keruan.
*******
“Ha?” Puan Kamisah
membeliakkan biji mata. Dia yang sedang tidur tadi dikejutkan dengan panggilan
telefon anaknya. Telinga digosok berkali-kali. Mungkinkah dia yang salah
dengar?
“Izi nak minta mak
ayah hantar rombongan meminang.” Ulang Izi Helmy lagi, sebutir-sebutir. Dia
sudah puas berfikir sejak petang tadi. Masa memandu pulang, dia asyik fikirkan
hal yang sama. Masa mandi pun begitu, makan, masa tidur juga matanya tidak mahu
lena. Hal lamaran Saif Azrai kepada Qayreena tidak henti-henti datang
mengganggu. Kenyataan Aina juga tidak kurang buat dia separuh gila.
Dia tekad. Walau
bergetar segala lutut dan sendi seluruh tubuh, Encik Hairol dan Puan Kamisah
yang akan menghadap orang tua Aina nanti kan. Meminang, sepatutnya tidak
melibatkan dirinya. Itu yang dia baca dalam internet sekejap tadi setelah
matanya tidak juga mahu tidur. Semua itu kan kerja orang tua. Dia senang hati.
Sebab itu dia berani menelefon Puan Kamisah tengah-tengah malam ini. Tidak
sabar pula mahu menunggu esok hari.
Puan Kamisah
melopong. Lekas suaminya di sebelah dikejut. Encik Hairol terpisat-pisat
menggosok mata sambil merungut kerana diganggu lenanya tengah-tengah malam.
“Anak kita nak
suruh hantar rombongan pinang anak orang!” Bisik Puan Kamisah kepada Encik
Hairol. Kali ini Encik Hairol pula yang terkejut besar dan membuntangkan mata
tidak percaya.
“Kamu ni
mengingaukah apa? Biar benar kamu nak mak hantar meminang sekarang?”
“Bukan sekaranglah
mak. Tapi secepat mungkin, boleh mak?”
“Eh, boleh
sangat...” Tidak puas Puan Kamisah mahu bercakap dengan anaknya, Encik Hairol
lekas menyambar telefon dari telinga Puan Kamisah. Tergamam Puan Kamisah di
situ dengan bibir digumamkan.
“Ha, dah puas
berjoli sana sini? Berkepit dengan anak dara orang, bini orang sana sini? Ni
nak suruh ayah dengan mak pinang betul-betul ke main-main?” Suara Encik Hairol
lantang menerjah ke telefon. Biar berdesing telinga anak bujangnya seorang itu.
Dari muda sampai ke tua, tidak pernahnya dia senangkan hati orang tua ini.
Sosialnya tidak boleh dilarang. Depan orang tua, bukan main baiknya. Belakang
kita, dia ingat orang tua ni tak tahu agaknya.
Masa sekolah,
bercinta-cintun dengan rakan sekolah. Kalau boleh semua gadis di sekolah dia
hendak empunya milik. Bila belajar di universiti, makin menjadi-jadi
perangainya. Makin ligat berkepit dengan perempuan keliling pinggang. Pelajaran
entah ke mana, agama entah ke mana. Sudahlah belajarnya jauh dari mata orang
tua. Risau orang tua ni dibuatnya. Lihat gambar di laman sosial, macam-macam
perempuan ditayangnya. Kononnya semuanya kawan. Tapi manalah hendak senang hati
orang tua ini kalau sudah tahu perangai anaknya itu. Sekolah depan mata kita
pun, dia boleh pasang dua tiga. Dekat sana yang jauh nun di sana, manalah Encik
Hairol nak kawal semuanya.
Lepas balik dari
UK, Encik Hairol minta abangnya, Haji Rauf tolong tengok-tengokkan. Dihantarnya
Izi Helmy kerja dengan Haji Rauf juga kerana di sana lebih banyak kerjanya.
Jadi lebih banyak peluang anaknya itu belajar selok-belok syarikat mereka. Sudah
dua tahun lamanya. Dalam tempoh masa itu tiada pula Encik Hairol mendengar
cerita yang buruk-buruk pasal anaknya. Tapi hati ayah ini sukar untuk percaya.
Manalah tahu budak itu bisa butakan hati Haji Rauf yang lembut. Ketika Encik
Hairol tinggal sehari dua di rumah Izi Helmy semasa ada mesyuarat dengan Haji
Rauf tempoh hari, tiada pula anaknya itu mengaku ada kekasih. Sekarang
tiba-tiba pula nak disuruh masuk meminang? Hairan sungguh.
“Kalau setakat nak
main-main, baik tak payah.” Putus Encik Hairol tegas. Izi Helmy sudah panas
telinga mendengar tujahan Encik Hairol. Ayahnya itu memang dari dulu garang
menyinga padanya. Bersyarah tidak pernah letih. Gerun hati ni tapi tidak juga
dengar kata.
“Bukan main-main,
ayah. Betullah ni. Takkanlah Izi nak main-main pula dalam hal kahwin ni.” Izi
Helmy menjawab serius.
“Ayah tanya sebelum
ni, kenapa tak mahu bagitahu yang kamu dah ada teman wanita? Sekarang pula tiba-tiba
nak suruh ayah dan mak meminang anak orang. Kamu ni buang tebiat ke apa?”
“Err... yang tu...
err....” Izi Helmy tidak mampu menjawab. Kalau boleh memang dia tidak mahu
bercerita dahulu pada Encik Hairol mahupun pada Puan Kamisah pasal ni. Tidak
sebelum dia mengumpul semua kekuatan untuk berdepan dengan sebuah pertalian
perkahwinan. Tapi...
“Aina kan nama
teman wanita kamu?”
Erk! Dia terkedu
lagi. Mana pula ayah tahu nama Aina? Dia tertanya-tanya.
Encik Hairol
merengus halus. “Kamu ingat kamu boleh rahsiakan pada ayah? Sudahnya, pada
orang tua ni juga yang kamu akan datang dan minta pinang dia kan.”
Diam lagi.
Berkali-kali Izi Helmy menelan liur. Sedikit sebanyak dia rasa terpukul dengan
kata-kata Encik Hairol. Tegasnya ayahnya.
“Kahwin tu bukan
setakat cakap aja, atau hantar rombongan meminang aja tahu. Kahwin tu satu
tanggungjawab. Kamu sendiri pun tak betul... terumbang-ambing, macam mana nak
bimbing anak orang?”
“Ish, abang ni.
Baguslah budak tu dah nak kahwin.” Puan Kamisah menampar peha suaminya. Tidak
setuju dengan cara suaminya itu. Encik Hairol meletakkan jari telunjuk ke bibirnya,
berkerut-kerut menyuruh Puan Kamisah senyap semasa dia sedang bercakap di
telefon. Biar dileterkan anaknya dulu. Perkara ini bukannya hal main-main.
Tidak semudah itu dia akan melepaskan Izi Helmy untuk mengambil anak orang.
“Bila dah jadi
suami orang nanti, bukan setakat makan minum dia yang kamu nak kena jaga. Sebagai
suami, kamu akan jadi ketua dalam rumah tangga. Didik isteri, jadi wali pada
anak-anak. Bukan setakat suami atas nama aja. Kamu dengar tak apa ayah cakap
ni?”
“Dengar...” Lemah
Izi Helmy menjawab. Tubuhnya dihempas ke sofa di ruang tamu. Matanya memandang
siling putih dengan rasa hampa. Hendak dapat persetujuan ayah sendiri pun
payah. Belum lagi jumpa bakal mertua. Kalau dibuatnya bapa mertua uji tentang
fardu ain sebelum melepaskan anak daranya, menggelabah dia hendak menjawab.
“Ha, dengar
elok-elok apa ayah cakap ni. Ayah bukan tak suka kamu nak kahwin. Lagi syukur
alhamdulillah kalau kamu betul-betul serius kali ni. Tak lagi nak main-mainkan
anak dara orang. Tapi masakan kamu nanti nak biarkan isteri kamu seorang yang
bimbing anak-anak. Entah-entah, kamu pun kena bimbing dek isteri. Bukan suami
bimbing isteri. Terbaliklah pula!” Encik Hairol bangun dan bergerak ke tepi
jendela apabila Puan Kamisah tidak habis-habis menamparnya dan mahu merampas
telefon dari pegangannya. Hai, maknya ini pun asyik sebelahkan anak. Manalah
anak tak jadi macam tu.
“Ayah nak kamu
sediakan diri dulu sebelum nak ayah dengan mak meminang budak perempuan pilihan
kamu tu. Datang jumpa ayah dulu. Biar ayah uji sejauh mana pengetahuan agama
kamu tu. Baru boleh fikir nak meminang anak orang. Faham?” Keputusan Encik
Hairol muktamad lantas lekas dia putuskan panggilan.
“Diri sendiri pun
tak betul, ada hati nak jaga anak orang.” Kepala digeleng-geleng dan Encik
Hairol kembali ke katil. Puan Kamisah yang menanti sudah mencuka mukanya.
“Apa abang ni?
Budak tu dah nak kahwin, abang pula macam-macam. Nanti dibuatnya dia tawar hati
nak kahwin dan jadi macam dulu, macam mana?” Puan Kamisah susah hati.
“Saya buat semua ni
pun untuk kebaikan dia. Jangan buat malu diri sendiri dan mak bapak. Kalau
betul dia nak kahwin, dia kenalah cari jalan nak selesaikan masalah sendiri.
Kalau tawar hati, maknanya tak serius. Awak tak payah nak cuba ubah keputusan
saya. Keputusan saya tetap. Muktamad.” Tegas Encik Hairol dengan keputusannya.
Puan Kamisah sudah hilang bicara untuk membalas. Hanya nafas berat dilepaskan
perlahan. Encik Hairol pula mudah menyambung lenanya semula. Puan Kamisah juga
yang sudah berat mata memikirkan soal anak bujangnya itu.
Izi Helmy
terlentang atas sofa. Tangan dan kakinya cuba diregangkan lalu perlahan-lahan
melepaskan nafas panjang. Hai, baru saja terbayang bapa mertua menyoal fardu
ain. Nampaknya kena melepasi saringan ayah sendiri dulu. Selagi dia tidak
berjaya lepas, jangan mimpilah Encik Hairol, bapanya yang tegas itu akan
berlembut. Dulu masa kecil, bolehlah Izi Helmy mengelak daripada bebelan ayah.
Sikit-sikit merajuk pada Puan Kamisah. Tak pun, pada Haji Rauf dia minta
perlindungan. Tapi sekarang, emm... bila hati sudah benar-benar sayang, suka
tak suka terpaksa terima syarat Encik Hairol.
“Baik! Kalau itu
syaratnya!”
Bingkas dia bangun
dan berlari ke bilik. Menyelongkar semua laci-laci yang ada. Hingga ke setor,
dia membuka semua kotak yang ada. Apa saja kitab atau buku agama dicarinya.
Kerana sayang, dia harus bertekad.
No comments:
Post a Comment