Yeehaa!
Melonjak Saif Azrai
dan Izi Helmy gembira sebaik keluar dari bilik mesyuarat. Mereka bersalaman dan
berpelukan. Puas dan lega. Paling seronok bila dapat pujian daripada Encik
Hairol berkenaan kertas kerja yang mereka bentangkan tadi. Tidak sia-sia datang
pejabat awal pagi tadi dan kelam-kabut berdua di bilik Saif Azrai menyiapkan
slaid pembentangan. Siap tampal nota dekat depan pintu ‘Don’t disturb us’ lagi. Makan tengah hari pun tidak sempat jamah.
Cuma secawan milo panas diteguk sekadar mengalas perut.
Risau bila
diberitahu Haji Rauf semalam yang Encik Hairol akan datang bersama. Berbanding
Haji Rauf yang lembut bila menegur, Encik Hairol pula keras tegurannya. Bukan
senang hendak puaskan hati Encik Hairol. Silap sikit, dibanding-bandingkan
dengan zamannya dulu.
“Saya dah baca proposal kamu berdua dan hmm... okey,
rancangan yang bagus. Well done.”
Macam satu kemenangan besar bila mendapat pujian Encik Hairol walaupun muka
Encik Hairol seriusnya, ya ampun. Kecut perut ni. Tak dapat dibaca riak
wajahnya, nak pujikah, nak marah ni?
Dalam puji, tetap
ada amarannya.
“Tapi jangan
setakat rancang atas kertas. Progressnya
nak juga. Proposal is nothing if you do
nothing.”
Itu belakang kira.
Tahun ini ada dua bulan lagi belum berakhir. Sekarang ni masa nak meraikan
kejayaan mereka yang telah mendapat pujian kedua-dua bos besar. Fuh, akhirnya
setelah dua tahun berkecimpung dalam dunia JRH Interior & Construction Sdn
Bhd. Kertas kerja sulung mereka akhirnya mendapat pengiktirafan Haji Rauf dan
Encik Hairol. Rasa macam dapat pangkat Datuk pula seronoknya.
Jadi impian Saif
Azrai mahu meluaskan kebolehannya mereka bentuk bangunan bakal menjadi nyata.
Sebagai pemulaan, mungkin perlu merangkak disebabkan tenaga kerja mereka yang
tidaklah begitu ramai seperti syarikat kontraktor gah yang lain. Tapi mereka
yakin mampu bersaing jika mereka menggunakan pelan strategi yang telah
dirancang dalam kertas kerja itu.
Saif Azrai menghela
nafas puas dan berjalan ke kerusinya. Fail yang dibawa bersama dihempas atas
meja sebelum hempas punggung ke kerusi. Izi Helmy juga sudah terlebih dulu
duduk bersilang kaki di depan. Kepala disandarkan ke belakang dan kemudian dia
berpusing 180 darjah. Menarik nafas lega sekali lagi sambil tersenyum lebar.
“Well done!” ulangnya mengajuk pujian
Encik Hairol tadi. Kepala lekas dipusingkan ke arah Izi Helmy. Sepupunya itu
juga tersenyum lebar sampai tidak cukup pipi hendak ditarik.
“Well done, bro. Well done!” Ulangnya
lagi. Kali ini menepuk kuat kedua belah tapak tangan. “Fuh! Tak sangka ayah kau
akan puji kita kali ni.”
Izi Helmy tergelak
bersama kepalanya yang terangguk-angguk setuju. Tidak cukup rasanya hendak
melepaskan rasa puas. Kalau boleh mahu diraikan sepanjang hari. Bunyi pintu
dikuak dari luar membantutkan keseronokan mereka. Serta-merta mereka berdua
menoleh ke arah pintu serentak.
“Malam ni kamu
berdua ikut papa dan uncle pergi dinner Suria Holding. Kami nak kenalkan
kamu berdua dengan kenalan syarikat kita. Jangan lupa, jam lapan.” Haji Rauf
singgah sekejap, hanya memberitahu dan terus keluar semula.
Saif Azrai dan Izi
Helmy berpandangan. Melopong mulut tidak percaya, kemudian bergema suara tawa
mereka satu bilik pejabat itu.
Dinner?
“Wow! What a lucky day!” ujar Saif Azrai
dengan nada teruja sambil menepuk lagi tangannya. Dia terlampau gembira hingga
bangun dari tempat duduk. Tubuh Izi Helmy kemudiannya ditangkap masuk ke dalam
pelukan.
Izi Helmy juga
tidak kurang terujanya. Berbalas pelukan dan menepuk-nepuk belakang tubuh Saif
Azrai dengan rasa gembira. Lagak mereka sekarang tidak ubah macam pasukan bola
sepak yang meraikan kemenangan di perlawanan akhir.
“Apa yang kau
seronok sangat ni, bro?” soal Izi Helmy tiba-tiba namun tidak mematikan senyum
lebar Saif Azrai. Malah kian melebar dan bersandar ke sofa sambil merenung
siling. Satu nafas panjang dihela perlahan. Kerusinya itu berpusing lagi ke
kiri dan ke kanan.
“Dinner... big company... big opportunity...
pretty women...” Perlahan suara itu keluar dari mulut Saif Azrai namun
masih bisa didengar Izi Helmy. Woah! Yang terakhir itu paling jelas walau makin
halus bunyinya.
“Hai, ada hati nak
jual minyak ke malam ni?” usik Izi Helmy sambil tersenyum nakal. Keningnya
diangkat sekali. Jahat aja muka.
“Tak pernah aku join corporate dinner macam ni. Mesti
penuh dengan perempuan cantik, seksi dan bijak. Kan?”
Saif Azrai mula
pasang angan-angan. Membayangkan makan malam yang bagai syurga dipenuhi dengan
bidadari jelita lagi menawan. Menggoda dan tergoda. Oh, betapa indahnya perempuan
itu dijadikan Tuhan.
“Itu kalau cun.
Kalau tua kerepot yang boleh dipanggil mak, macam mana? Nak cuba tackle juga?”
Ish! Kacau daun
betul budak Izi ni. Aku baru aja nak berangan, dia boleh bagi statement menyampah dia tu. Bikin spoil! Kutuknya dalam hati.
Izi Helmy pula
boleh tersengih-sengih di depannya dengan kening asyik dijungkit ke atas. Rasa
macam nak bagi saja pelempang sekali. Biar pipinya juga terjungkit ke atas.
*******
Awal Saif Azrai
bersiap untuk menghadiri makan malam ulang tahun Suria Holding bersama Haji
Rauf. Selalunya bila ke pejabat, Haji Rauf yang siap dahulu. Jarang benar Saif
Azrai mendahului papanya kalau urusan kerja.
Hairan Haji Rauf
melihat anak bujangnya sudah menanti di ruang tamu saat kakinya baru mencecah separuh
anak tangga ke bawah.
“Hai, awal kamu
siap?” Haji Rauf menegur. Tangannya masih membetulkan kolar kemeja yang rasa
kurang selesa di tengkuk. Haji Rauf malam ini tampil ringkas tapi segak dengan
kemeja batik lukisan tangan yang dibelinya ketika menghadiri kenduri kahwin di
rumah Mak Long Esah, kakak sulung Hajah Kistina di Terengganu.
Berdiri Saif Azrai
dari duduk apabila mendengar teguran Haji Rauf. Haji Rauf baru memijak lantai
dan menuju ke ruang tamu di mana dia menanti. Di belakang Haji Rauf, Hajah
Kistina menyusul. Hajah Kistina tersenyum dan mendekati anak lelakinya.
“Kacak anak mama
ni,” puji Hajah Kistina sambil membelek sut berwarna kelabu yang dipakai Saif
Azrai. Tersenyum lebar Saif Azrai bila dipuji. Rasa kembang seluruh punggung.
Jam sekarang sudah
menghampiri angka lapan. Tanpa berlengah lagi, Haji Rauf mengajak Saif Azrai
keluar. Saif Azrai memandu Mercedes E200 CGI milik Haji Rauf untuk ke jamuan
malam ini. Perlahan-lahan kereta yang dipandunya mengundur keluar dari
perkarangan rumah dua tingkat itu. Hajah Kistina menghantar dari depan pintu
dan tersenyum senang.
Makan malam yang
berjalan di ballroom utama Hotel
Istana, Kuala Lumpur sudah mula dipenuhi tetamu-tetamu Tan Sri Iskandar sebaik
mereka tiba. Haji Rauf disambut mesra oleh Tan Sri Iskandar sendiri di muka
pintu.
“Tahniah Tan Sri.
Selamat ulang tahun.”
Tergelak Tan Sri
Iskandar menerima ucapan Haji Rauf. “Pejam celik pejam celik aja, Haji. Dah dua
puluh tahun rupanya Suria Holding ni. Maknanya saya ni pun dah tua. Janggut pun
dah putih.” Balas Tan Sri Iskandar berjenaka sambil melurut janggut pendeknya
di depan Haji Rauf. Tawa mereka bersahut.
“Dua puluh tahun
Tan Sri, bukan senang nak bertahan selama tu. Orang hebat dan sabar macam Tan
Sri aja yang mampu memegang empayar sebesar Suria Holding.”
“Emm... Haji pun
apa kurangnya. Buka syarikat sendiri, jatuh bangun sendiri. Kalau nak
dibandingkan dengan saya, semua ni tinggalan arwah ayah saya dulu. Tak sehebat
Haji.”
“Eh, mana pula Tan
Sri. Tinggalan pun, Tan Sri juga yang majukan lagi syarikat ni hingga disegani
ramai.”
Haji Rauf dan Tan
Sri Iskandar saling memuji dan bergelak tertawa. Sementara Saif Azrai cuma
senyum meleret di sebelah papanya. Mata liar memandang keliling. Tercari-cari
si cantik jelita.
“Oh, ya. Mana Encik
Hairol, tak datang sekali?” Tan Sri Iskandar bertanya sebaik tawanya reda.
“Kejap lagi
agaknya. Dia baru sampai dari Penang pagi tadi.” Tan Sri Iskandar
mengangguk-angguk faham. “Ya Allah, lupa pula.” Haji Rauf menepuk dahi sedikit
bila Tan Sri Iskandar memandang Saif Azrai di sebelah. Leka benar mereka
berborak.
“Perkenalkan, Tan
Sri. Anak saya, Saif Azrai.” Haji Rauf menyentuh lengan Saif Azrai sekaligus
cepat perhatian anak lelakinya itu beralih kepada Tan Sri Iskandar.Walau
terkejut disapa tiba-tiba dek Haji Rauf, dia cuba berlagak tenang di depan Tan
Sri Iskandar.
“Nice to meet you Tan Sri.” Sopan Saif
Azrai menegur dengan senyum di bibir lalu tangan dihulurkan kepada Tan Sri
Iskandar. Salamnya bersambut mesra.
“Azrai ni baru
belajar selok-belok perniagaan. Lepas ni, kalau ada rezeki kita berkerjasama,
pada dialah saya bergantung.”
Tan Sri Iskandar
mengangguk lagi. Matanya memandang keliling tiba-tiba seakan mencari seseorang.
Oh, ya!
“Let me introduce you my daughter. Dia
dan adiknya pun berkerja dengan saya sekarang. Biasalah Haji, pada siapa lagi
kita nak serahkan semua ni kalau ada anak cucu sendiri, ya tak?” Sempat Tan Sri
Iskandar bersenda sebelum meminta diri sebentar untuk mencari anak
perempuannya.
Sementara menanti,
Haji Rauf sibuk menegur kenalan yang kebetulan dilihatnya tidak jauh dari
tempat mereka berdiri. Diperkenalkan Saif Azrai juga kepada mereka. Lembut
bibir Saif Azrai menguntum senyum. Dalam hati, lebih lebar rasa gembiranya bila
terkenangkan Tan Sri Iskandar yang mahu memperkenalkan anak perempuannya.
Wow! Ada canlah dia
hendak bermanis mulut lepas ni. Mesti anak Tan Sri tu cun melecun orangnya!
Fikirnya sendiri.
Setelah beberapa
orang Haji Rauf perkenalkan, penat sudah kepalanya diangguk tanda hormat, Tan
Sri Iskandar muncul semula. Rapat agaknya papa dengan Tan Sri Iskandar sampai
Tan Sri Iskandar sendiri yang datang menyapa. Desis hati Saif Azrai.
“Inilah anak sulung
saya, Haji. Putri Laila Kirana.” Saat Tan Sri Iskandar memperkenalkan anak
perempuan, Saif Azrai terpaku. Tiba-tiba dirasakannya dunia ini miliknya
seorang.
Cantik! Meletop!
Kau memang the boom! Hatinya menjerit
teruja.
Putri Laila Kistina
mengukir senyuman manis di depan Haji Rauf dan Saif Azrai. Kepalanya
ditundukkan sedikit tanda hormat. Sudah dipesan oleh Tan Sri Iskandar tadi yang
Haji Rauf tidak bersalaman dengan wanita bukan muhrim.
Bagai ditikam
jantung Saif Azrai bila Putri Laila Kirana tersenyum kepadanya. Wow! Menawan
senyumannya. Potongan badannya cukup seksi walaupun menyarung dress labuh yang
kurang terdedah berwarna kelabu keperakan. Sedondon pula dengan sut yang
dipakai Saif Azrai malam ini. Dan bila dia membuka mulut...
“Apa khabar uncle?” Lembut suaranya memulakan
perbualan. Hati Saif Azrai mula mencair. Senyumnya kian lebar namun masih cuba
berlagak profesional di depan Haji Rauf dan Tan Sri Iskandar.
Haji Rauf dan Tan
Sri Iskandar kemudiannya pergi mendapatkan kenalan mereka yang lain. Sedang
Saif Azrai sengaja tercicir di belakang. Kakinya tidak melangkah mengikut Haji
Rauf yang awalnya mahu diperkenalkan anak lelakinya itu kepada semua kenalan
yang hadir. Yang tidak kenal pun, di sinilah harus dimulakan perkenalan. Itu
pesan Haji Rauf dalam perjalanan ke sini tadi.
Saif Azrai
menganjak ke depan mendekati Putri Laila Kirana yang masih di situ. Seolah-olah
Putri Laila Kirana juga sedang menanti. Ya, yang tidak kenal harus dikenali
dari sini.
“Hello beautiful,” pujinya terus pada
teguran pertama. Dari awal gadis itu dibawa Tan Sri Iskandar, dia sudah
terpegun. Tidak puas rasanya memandang wajah Putri Laila Kirana yang manis itu.
Good bye Qay, good bye Sasha. Hatinya terdetik.
Tersimpul senyum
Putri Laila Kirana menahan lucu bila ditegur begitu. Tidak sangka pula anak
Haji Rauf yang khabarnya penuh tatasusila itu sebegini rupa. Pandangan matanya
bukan main menggoda.
“Tak salah kan
kalau saya memuji kecantikan ciptaan Tuhan.” Saif Azrai berlapik. Cuba cover line memandangkan dia datang
bersama Haji Rauf malam ini. Gadis yang hendak dipancingnya pula anak Tan Sri
Iskandar, yang nampaknya macam teman rapat Haji Rauf.
Calm down, Azrai. Jangan gelojoh sangat. Dia mengingatkan diri.
Dilihatnya Putri Laila
Kirana tersenyum lagi. Oh, manisnya
senyumanmu... Menyanyi-nyanyi dia di dalam hati.
Seketika kemudian,
datang seorang lelaki mendampingi Putri Laila Kirana. Dia tersenyum ke arah
Putri Laila Kirana dan gadis itu membalas mesra. Mereka berbisik seketika.
Oh, ni siapa pula
yang kacau daun ni? Baru aja aku nak mengayat, boyfriend dia dah muncul tayang diri ke? Desisnya di dalam hati.
“Perkenalkan, my little brother. Anak kedua dan bongsu
Tan Sri Iskandar.” Putri Laila Kirana pula memperkenalkan lelaki di sebelahnya
kepada Saif Azrai. Mukanya yang tegang sedikit tadi segera dimaniskan semula
menyambut salam lelaki itu. Adik rupanya. Lega hati Saif Azrai. Masih terbuka
peluangnya untuk memancing ikan besar lepas ini.
“Anuar...” Lelaki
itu memperkenalkan diri.
Aik! Nama yang
perempuan sikit punya panjang sampai aku nak panggil apa pun tak tahu, yang
lelaki sepatah aja namanya?
“Saif Azrai.” Salam
dilepaskan perlahan sebaik menyebut namanya. “Sama cantik, sama kacak.” Dia
memuji kedua beradik itu sambil kedua belah tangan dimasukkan ke dalam kocek
seluar. Nampak lebih relaks dan bersahaja begitu fikirnya.
Putri Laila Kirana
dan Anuar, kedua-dua tersenyum. Ada persamaan antara mereka. Senyuman yang
menawan. Anuar walaupun lelaki, kelihatan maskulin bila tersenyum. Perggh.
Kalau aku ni perempuan, dah cair juga hati ni agaknya. Kalah aku macam ni.
Nasib baik pangkat adik aja dengan si cantik manis kat depan ni. Kalau tak,
melepas. Getusnya lagi.
“He is a Production Manager cum architect from
JRH Interior & Construction Sdn Bhd. And he is the only son of Haji Rauf,
one of the owner of that company.”
Wow! Terpegun Saif
Azrai mendengar Putri Laila Kirana memperkenalkan dirinya kepada Anuar. Hebat
perempuan ni study pasal aku.
Desisnya lagi. Terangguk-angguk Anuar mendengar pengenalan kakaknya. Riak
wajahnya juga terpegun.
“Nice meeting you, Mr Saif Azrai.”
“Thanks. Nice meeting you two as well. Just
call me Azrai.”
Mengangguk lagi. “Come, join us for dinner.” Anuar
mengajak.
Saif Azrai pula
mengangguk. Tangan kanannya dibawa ke depan, seakan mempersilakan Anuar untuk
menjamu selera. Sementara Putri Laila Kirana membisikkan sesuatu ke telinga
adiknya.
“Akak nak borak
sekejap dengan dia. Adik pergi dulu ya.” Halus Putri Laila Kirana berbisik ke
telinga adiknya.
“Okey, just be careful with him.” Anuar
pula mengingatkan. Berkerut sedikit dahi Putri Laila Kirana namun tidak ketara.
Kemudian dia tersenyum semula bagi membalas senyum Anuar yang punya makna
tersirat. Tidak lama, Anuar meminta diri.
“Enjoy yourself, Mr Azrai. Perhaps we can
meet again next time.”
Saif Azrai hanya
tersenyum mendengar. Putri Laila Kirana kini memandangnya. Untuk kali kedua,
mata mereka bertaut. Ehem... Saif Azrai berdehem sekali.
*******
“Hai, Mis Fara.
Lama kita tak jumpa.”
Terkejut Fara
tiba-tiba disapa satu suara. Dia menoleh dan terkejut lagi bila yang menegur
itu adalah Izi Helmy. Lelaki itu tersenyum ke arahnya.
“Tak sangka kita
akan jumpa dekat sini. How are you?” Tangan
dihulur namun tidak disambut oleh Fara. Fara atau nama penuhnya Norfarahana
binti... ops, tak ingat pula Izi Helmy. Wanita pertama yang dipikat Izi Helmy
selepas balik ke Malaysia. Ceritanya panjang kalau nak diceritakan semula.
Perkenalannya bermula
pada hari pertama Izi Helmy menjejakkan kaki ke pejabat Haji Rauf. Gadis ini
dulunya berkerja dengan Haji Rauf sebagai kerani am. Biasalah, pejabat Haji
Rauf tiada seorang pun anak gadis sunti. Yang ada ketika itu cuma Kak Suzi dan
Fara yang perempuan. Itupun Kak Suzi dah kena tolak awal-awal untuk dipikat
sebab menjawat jawatan ibu kepada empat orang anak.
Sebab belum jumpa
yang lain, Izi Helmy menggatal dengan Fara yang memang ketika itu masih bujang.
Baru lepas habis SPM. Lagi mudah dia hendak manis mulut. Tapi tidak lama, Izi
Helmy pula bawa teman wanita ke pejabat. Tinggi lampai dan cantik orangnya.
Seorang model kalau tidak silap. Kerana sedih bercampur malu sebab menepuk
sebelah tangan, Fara berhenti kerja dari firma Haji Rauf.
“You kerja dengan
siapa sekarang? Emm... kalau dah join
dinner ni, mesti jawatan you sekarang bukan calang-calang kan.” Secawan mousse
perisa strawberi dicapai lalu disudukan sedikit ke mulut.
Fara meninggalkan
bufet dan berjalan tanpa hala tujuan. Dia tidak tahu hendak ke mana. Cuma mahu
melarikan diri daripada Izi Helmy, cukup.
“Eh, eh...” Izi
Helmy meninggalkan cawan moussenya tadi di atas meja lalu mengejar di belakang
Fara. Laju langkahnya memintas dan menahan di depan Fara. “Kenapa you lari
daripada I pula ni? Takkan tak nak bertegur sapa dengan kawan lama?”
“Okeylah, Encik
Izi. Saya ni memang bertuah sangat jadi wakil syarikat saya ke majlis makan
malam ni. Syarikat saya tu bukannya besar sangat, tak femes pun. Baru nak
bernafas kata orang. Puas hati?”
Berkerut dahi Izi
Helmy melihat wajah kurang senang Fara. Bercakap dengannya juga bagai acuh tak
acuh. Macam tak rela.
“Kenapa you marah
sangat dengan I ni? If I did something
wrong back then, I’m so sorry okey. Afterall,
kita masih bekas kawan sepejabat kan.”
Bekas kawan
sepejabat. Ya. Itulah statusnya rupa-rupanya dalam hati Izi Helmy dulu. Fara
sedar. Memang dia hanya menepuk sebelah tangan.
“So, you datang seorang ke?” Mata Izi
Helmy meliar seketika. Saat dia mencari-cari, tertancap pula pada sepasang
merpati dua sejoli. Saif Azrai. Mesra dilihatnya berbual-bual dengan seorang
gadis. Ehemmm... tengah memancing nampaknya sepupunya itu.
No comments:
Post a Comment