Saif Azrai duduk
bersandar di kerusi sambil merenung ke dalam kolam ikan koi di laman rumah.
Dalam kesamaran malam yang hanya disinari cahaya lampu neon di taman itu, dia
dapat melihat dua tiga ekor ikan koi yang berenang-renang di dalam.
Plup!
Sebiji batu kecil
dilontar masuk ke dalam kolam menyebabkan ikan koi tadi bertempiaran berenang
tidak tentu arah. Wajahnya masih kelat. Tiba-tiba hatinya rasa serba salah
untuk meneruskan rancangan gilanya ini. Menipu mama yang kononnya dia sudah
benar-benar jatuh hati pada Sasha Amira sedangkan dia cuma tidak mahu
melepaskan harta papa jatuh semuanya pada Izi Helmy. Memang mereka rapat, dan
sependapat dalam banyak hal. Tapi untuk menjadi orang bawahan sepupunya itu,
dia tidak rela. Biarlah mereka setara. Izi Helmy juga bakal mewarisi harta
Encik Hairol juga nanti.
Memang itu
tujuannya. Namun rasa bersalah tetap ada jika dia mempergunakan Sasha Amira
dalam hal ini. Perlahan dia melepaskan nafas halus yang cukup panjang. Jarinya
menggaru-garu hujung kening. Cuba menimbang semula keputusan yang bakal dibuat.
Ah, biarlah. Malas dia hendak fikir panjang lebar. Belum tentu lagi Sasha Amira
akan menerima risikan dan pinangannya. Segera dia bangun dari kerusi dan
berpaling. Dilihatnya Hajah Kistina sudah berada di depan pintu bersama Haji
Rauf. Langkahnya dihayun ke depan mendekati orang tuanya.
“Betul awak tak
mahu saya ikut? Tak baik pula kalau tak ziarah orang yang sakit.” Haji Rauf
menyoal lagi.
“Tak apalah, bang.
Biar saya dan Azrai sajalah yang wakilkan. Abang pergilah dengar ceramah Ustaz
Kairodeen tu. Nanti cerita dengan saya sekali ya.” Terpaksa dia menipu
suaminya. Kononnya mahu pergi melawat Puan Damia yang khabarnya kurang sihat. Ceramah
Ustaz Kairodeen yang selalu mereka ikuti lepas solat Isyak di surau dijadikan
pula sebagai alasan supaya suaminya tidak ikut sama. Maafkanlah Tina, bang.
Semuanya yang Tina buat atas permintaan anak kita. Hajah Kistina mohon dalam
hati. Resah bercampur debar dengan rasa bersalah kerana membohongi sang suami.
“Kalau macam tu,
yalah. Awak kirim salamlah dekat Damia dan Rahim nanti,” ujar Haji Rauf sambil
membetulkan kopiah yang tersarung di kepala.
Hajah Kistina cuma
mengangguk dan tersenyum nipis. “Kalau macam tu, saya pergi dululah ya bang.”
Tangan Haji Rauf disambut dan dikucup lembut. Saif Azrai yang baru berdiri
setapak dari Haji Rauf juga mencapai tangan tua itu.
“Bawa kereta tu
baik-baik malam-malam ni.” Sempat Haji Rauf berpesan kepada anaknya.
“Papa pun, bawa
kereta baik-baik ke surau tu. Kalau tak nampak jalan, pakai cermin mata.” Saif
Azrai juga mengingatkan Haji Rauf sambil tersenyum-senyum.
Saif Azrai mengikut
Hajah Kistina masuk ke kereta. Sementara Haji Rauf sudah masuk ke tempat
pemandu di Mercedesnya. Haji Rauf membiarkan Forte Saif Azrai mengundur keluar
terlebih dulu, barulah Haji Rauf mengikut. Kemudian, mereka membawa haluan
berbeza.
*******
Selepas hampir
sejam perjalanan dan meredah kesesakan lalu lintas, Saif Azrai memberhentikan
kereta di depan pagar rumah Encik Rahim. Pagarnya terbuka luas dan sebuah MyVi
kuning terjojol separuh ke luar pagar. Hajah Kistina menjenguk kepala dari
dalam kereta untuk melihat rumah itu sama ada masih terang atau pun sudah
gelap. Mujur masih terang menandakan penghuninya mungkin ada di rumah.
“Emm... dah hafal
rupanya dia jalan ke rumah Mak Cik Damia ya?” Sakat Hajah Kistina lalu
menanggalkan tali keledar dari tubuh.
Saif Azrai cuma
tersenyum. Tidak berniat mahu membalas usikan mamanya. Dia ikut keluar bila
melihat Hajah Kistina sudah melangkah ke pagar rumah. Kemudian bungkusan coklat
Godiva dan sebakul buah yang dibeli di KLCC tengah hari tadi dibawa keluar dari
tempat duduk belakang. Mamanya dibontoti dari belakang.
“Assalamualaikum...”
Nyaring suara Hajah Kistina memberi salam. Kali kedua Hajah Kistina melaungkan
salam, pintu rumah itu terbuka dari dalam. Terjengul wajah Puan Damia yang
terkejut di muka pintu sambil membetulkan serkup di kepala.
“Ya Allah, Hajah.
Waalaikumusalam.” Tangan dan tubuh Hajah Kistina dicapai Puan Damia. Seketika,
mereka bersalaman dan berpelukan penuh mesra. “Masuklah, Hajah. Azrai pun ada
sama? Mari, mari. Silakan masuk.” Bersungguh Puan Damia menjemput tetamunya
masuk ke dalam. Terus saja mereka diajak jemput ke ruang tamu.
“Eh, buat
susah-susah aja kamu ni. Banyak pula tu.” Ceria muka Puan Damia menyambut
bungkusan dari tangan Saif Azrai.
“Tak ada susahnya,
makcik. Tak ada apa pun.” Saif Azrai membalas dengan senyuman yang tak lekang
di bibir. Bakul buah yang agak berat diletak sendiri Saif Azrai ke ruang makan
sebelum kembali ke ruang tamu.
“Sekejap ya Hajah,
Azrai. Saya bancuh air sekejap.”
Hajah Kistina cuma
membuah senyum. Sebaik Puan Damia menghilang ke dapur, Hajah Kistina memandang
keliling. Matanya tertancap pada sekeping bingkai gambar yang tergantung di
dinding. Besar juga keluarga Puan Damia. Sudah ada beberapa orang cucu rupanya.
Untung Puan Damia ada anak yang ramai kalau hendak dibandingkan dengan Hajah
Kistina yang cuma anak seorang. Terdetik rasa syukur di lubuk hati bila Saif
Azrai sudah bersedia hendak menamatkan zaman bujangnya. Beria nampaknya dia.
Alhamdulillah. Bolehlah Hajah Kistina pula menimang cucu selepas ini. Merasa
juga dia mahu menjadi nenek.
“Apa yang
dimenungkan tu, Hajah? Jauh benar nampaknya.” Tegur Puan Damia yang baru sampai
dengan membawa dulang air. Perlahan Hajah Kistina menoleh lalu tersenyum.
“Besar keluarga
Puan Damia ya. Dah ramai cucu rupa-rupanya.” Lembut Hajah Kistina memberitahu
apa yang tersirat di benaknya. Itu yang dilihat, itulah yang dilontarkan.
Puan Damia sibuk
menuang air coklat keperangan ke dalam cawan dan dihulurkan ke depan Hajah
Kistina dan Saif Azrai. Kemudian dia duduk setentang dengan Hajah Kistina. “Emm...
dah tua Hajah. Anak pun dah besar panjang. Tapi tulah, namanya saja cucu ramai.
Semuanya jauh-jauh, Hajah. Separuh di Kedah, separuh di Terengganu. Balik ke
sini pun jarang-jarang sangat. Sunyi juga kita ni.” Perlahan suara Puan Damia
meluahkan diserta dengan hembusan nafas halusnya.
“Eh, jemput minum
Hajah, Azrai. Janganlah malu-malu.” Jemput Puan Damia tiba-tiba bila tersedar
yang dia merungut pula di depan tetamu. Tetiba Hajah Kistina mengangguk dan
dicapainya cawan yang terhidang. Air teh panas diteguk perlahan.
“Minta maaflah Puan
Damia sebab kami datang tiba-tiba aja malam-malam ni.” Ujar Hajah Kistina pula.
Cawan tadi diletakkan semula ke bawah dengan cermat.
“Eh, tak apa Hajah.
Pintu rumah saya ni sentiasa terbuka untuk Hajah sekeluarga.” Tangan Puan Damia
lincah bergerak mengikut tutur katanya. Gembira reaksi Puan Damia menerima
kunjungan Hajah Kistina.
“Sebenarnya Puan
Damia, saya ni ada hajat datang ke mari.”
“Hajat apa tu
Hajah?” Puan Damia bersungguh mahu mendengar.
Saif Azrai terbatuk
kecil. Elok rasanya dia meninggalkan Hajah Kistina saja yang bercakap dengan
Puan Damia. “Maaf Mak Cik Damia. Boleh tak kalau saya nak tumpang tandas
sekejap?” celahnya sekadar mencari alasan untuk berlalu. Serta-merta perhatian
wanita itu beralih kepadanya.
“Boleh. Tandas ada
dekat dapur. Kamu masuk dapur nanti, belok kiri. Hujung sekali, tandaslah tu.”
Tangan Puan Damia menunjuk ke arah dapur.
Saif Azrai
mengangguk dan meminta diri untuk pergi. Tubuhnya dibongkokkan semasa melintas
di depan Hajah Kistina dan Puan Damia. Tidak lekang Puan Damia tersenyum memerhatikan
tindak-tanduk Saif Azrai. Sopan sungguh budak itu di matanya.
*******
Sedar tidak sedar
sudah melepasi jam sembilan setengah malam. Kalau diikutkan mata yang memberat,
sudah lama dia tidur beralaskan tilam. Tambah-tambah dengan kepala yang sudah
mula sakit menyiapkan assignment yang
diberi Puan Suhaila sejak pulang dari kolej petang tadi. Badannya juga sudah
mula sakit. Sasha Amira cuba menegakkan tubuh. Sengal di bahagian pinggang dan
belakang makin terasa. Sebelum dia meneruskan kerja, dia bangkit ke bilik air.
Mencuci muka dan mengambil wuduk. Segar sikit matanya.
Dia menyarung
telekung ke tubuh dan mengerjakan solat Isyak setelah hampir sejam dia
lewatkan. Usai mengerjakan solat, dia memanjatkan doa ke hadrat Ilahi. Syukur
alhamdulillah beberapa hari ini dia berasa tenang. Mama tidak lagi bercakap
mahupun bertanya soal teman lelaki. Jadi, fikirnya tidak perlulah dia mengikut
idea Zaimah yang mahu mempergunakan Kairel Azam sebagai teman lelaki di depan
Puan Damia.
Krukkk!
Perutnya juga sudah
bernyanyi-nyanyi kelaparan sebaik tangan ditekup ke muka. Baru dia sedar yang
lama dibiarkan perut itu kosong. Dengan malas Sasha Amira bangun dan turun ke
dapur. Hasrat di hati untuk menjamah sesuatu agar perutnya tidak merajuk nanti.
Diselaknya tudung saji, kosong. Dalam peti sejuk juga tiada lauk yang masih
tinggal.
“Mama ni... bising
kalau orang tak makan tapi sikit lauk pun tak tinggalkan?” Rungutnya lagi.
Periuk nasi dibuka. Kosong dan kering. Aik! Ketika itulah dia sedar yang Puan
Damia tidak masak hari ini. Petang tadi mama ada pesan padanya supaya membeli
murtabak di pasar malam. Patutlah mama tidak memanggilnya makan.
Alah, mama ni. Tak
tinggalkan sikit pun murtabak untuk aku? Huhu... Dia bersedih sambil tangan
masih mencari-cari makanan yang boleh dibuat alas perut. Kabinet dapur
kemudiannya dijengah untuk mencari sesuatu. Mi segera perisa kari menarik hati.
Laju saja tangannya mencapai sebungkus mi segera.
Pintu peti sejuk
dikuak semula. Mencari telur, sayur dan makanan beku yang boleh dicampur
bersama. Bebola daging yang masih keras membeku disiram di bawah air mengalir.
Biar cepat sedikit ia lembut. Bawang merah dikupas dan dihiris halus, menjadi
perisa. Siap semua bahan tersedia, Sasha Amira capai periuk lalu diisi air
separuh penuh. Ditenggeknya di atas dapur kemudiannya. Sementara menanti air
mendidih, Sasha Amira membersihkan bebola daging dua tiga biji di bawah air
mengalir dan dipotong dua. Setiap tindakan dilakukan seteliti yang mungkin agar
tidak mengeluarkan bunyi yang terlampau kuat.
Selepas hampir
sepuluh minit, semuanya hampir siap. Bau kari harum menusuk ke hidung. Emmm...
sedapnya. Hanya tinggal langkah terakhir, Sasha Amira sedia telur di tangan.
“Awak buat apa tu?”
“Oh, makcik kau!”
Latah Sasha Amira gara-gara terkejut dek sapaan suara di belakang. Telur yang
baru hendak dipecahkan masuk ke dalam periuk juga terpelanting ke dinding.
Aduh, buat kerja
orang aja! Rusuhnya dalam hati melihat telur itu meleleh sepanjang dinding
hingga ke bawah. Bila ditoleh, seorang lelaki memakai kemeja T berwarna coklat
muda dan berseluar slack sudah terpacak kurang setapak darinya.
Siapa pula ni?
Berkerut-kerut dahi Sasha Amira melihat lelaki itu. Kepala lelaki itu pula
terjengah-jengah melihat isi dalam periuk. Tambah sebal Sasha Amira melihat
wajah itu.
“Awak masak apa malam-malam
ni? Sedapnya bau. Nampak pun macam menyelerakan!” Saif Azrai tersenyum-senyum.
Hidungnya didekatkan ke muka periuk. Terliur juga baunya.
Sasha Amira melirik
tajam dari pinggir mata. Melihat gelagat lelaki itu membuat hatinya kian
jengkel. Entah siapa lelaki itu, dia tidak kenal. Tiba-tiba datang menyakat dan
berlagak macam rapat sangat dengan dirinya. Gerutu hati ini melihat tingkahnya.
Ikutkan geram, mahu saja dia tekup muka lelaki itu ke dalam periuk. Sibuk
sangat. Kain di tepi sinki dicapai lalu sisa telur tadi dibersihkannya
lekas-lekas. Soalan lelaki itu tadi tidak minat dia mahu menjawabnya.
“Awak curi makan
ya?”
Sasha Amira
menjeling lagi. Lelaki itu masih tersenyum simpul sambil menyandar ke kabinet
dapur. Ni siapa pula jantan ni? Nak cari pasal dengan aku ke apa?
“Awak ni siapa?”
soal Sasha Amira berkerut-kerut. “Ish, tak lalu dah aku nak makan. Kenyang
tengok muka orang yang menyakitkan hati!” Sasha Amira merungut dengan suara
perlahan. Entah-entah lelaki itu tetamu mama. Nanti kecil hati pula kalau dia
dengar cakap Sasha Amira yang memang mulut tak ada insurans bila perut tengah
lapar. Rasa nak makan orang saja. Lelaki itu pula muncul-muncul saja sudah buat
dia jengkel. Memang sendiri yang cari pemangsa. Dengan geram, picu dapur
dipusing dan api terus terpadam.
“Wow! Hebatnya muka
saya boleh buat orang yang lapar jadi kenyang.” Saif Azrai terus menyakat.
Oh, dia dengar.
Namun Sasha Amira tidak peduli. Matanya dijeling lagi seraya melangkah pergi. Tidak
jauh dia melangkah, perutnya berdondang sayang cukup kuat. Erk! Sasha Amira
terpaku. Perutnya diraba perlahan sambil melirik ke muka Saif Azrai. Kebetulan
pula perutnya itu manja sangat merengek saat kakinya memijak lantai di depan
lelaki itu. Dia dapat lihat muka lelaki itu sudah tersengih-sengih.
Ah! Pedulikan kalau
mamat tu nak tersengih macam kerang busuk sekalipun. Perut ni perlu diisi juga!
Langkahnya berpatah semula mendekati dulang yang terbuka. Terus saja diangkut
periuk bersama tanpa memindahkan dulu isinya ke dalam mangkuk. Sudu garfu, siap
dibawa bersama. Biarlah apa lelaki itu hendak kata. Anak dara tak senonoh makan
dalam periuk? Terpulang!
Seboleh mungkin
Sasha Amira tayang muka selamba. Dulang sudah diangkat tinggi mahu dibawa lari.
Namun belum sempat kakinya melangkah pergi, lelaki itu menahan di depannya.
Apahal pula ni? Gumam hatinya marah.
“Awak tak ingat
saya ke?”
Makin berkerut muka
Sasha Amira menghadap lelaki itu. Kenal? Aku kenal dia ke? Hatinya
tertanya-tanya. Aduh, otaknya tidak mampu mengingati wajah itu kerana perut
yang lapar sudah meracuni fikirannya yang asyik berfikir tentang makan, makan,
makan.
“Saya datang nak
jumpa awak. Saya nak tanya... sudi tak awak jadi suri dalam taman hati saya?”
Terbeliak besar
mata Sasha Amira mendengar kenyataan itu. Muka lelaki di depannya ditenung
lama. Bersungguh reaksi mukanya. Perlahan-lahan dia berganjak semula ke
kabinet. Dulang di tangan diletak atas kabinet dengan pergerakan yang longlai
sebelum ia betul-betul jatuh terlepas dari tangannya ke lantai. Terpaku sekejap
dia di situ dan dapat rasakan haba yang kian mendekat, lekas dia berpaling.
Saif Azrai
mendekati setapak. Wajah Sasha Amira yang tadinya ketat kini bertukar rona. Blur!
“Kalau awak tak faham,
biar saya beritahu dalam bahasa mudah. Sudi tak awak jadi isteri saya?”
Wajah Sasha Amira
kini sudah kemerahan kerana menahan geram bercampur malu. Aku tahulah maksud
kau tadi nak aku jadi isteri kau. Aku tahu yang kau tu tengah melamar aku.
Ingat aku ni lurus sangat ke tak faham ayat berbunga kau tadi. Tapi yang kau tu
siapa tiba-tiba nak melamar aku pula ni? Panjang lebar Sasha Amira merusuh
dalam hati.
Matanya terus
membulat memandang lelaki yang masih tidak mampu dia ingati wajahnya. Siapa dia
ni? Soalan itu masih berlegar-legar dalam otaknya. Wajah lelaki itu pula
dilihat beria dan bersungguh seakan mengharapkan jawapan Sasha Amira ketika
itu. Oh, tidak.
“Mama!” Terus saja
Sasha Amira menghayun kaki mencari Puan Damia di bilik.
Si jejaka Saif
Azrai yang tertinggal di dapur makin lebar senyumnya. Sedangkan dalam hati
sudah berguling-guling menahan lucu melihat reaksi Sasha Amira tadi. Mi segera
yang dimasak Sasha Amira tadi ditenung seketika kemudian mengintai gelagat
gadis itu dari balik dinding.
“Mama... mama!”
Berulang-kali Sasha Amira memanggil Puan Damia. “Mama, ada lelaki gatal dekat
dapur!” Adunya pada Puan Damia sambil mencari Puan Damia dari tingkat atas
hingga ke luar.
“Apa yang
bising-bising ni?” Teguran Puan Damia itu terus mematikan langkah Sasha Amira.
Tidak perasan pula Puan Damia di ruang tamu tadi.
“Ada lelaki gatal
dekat dapur, mama!” Beritahunya terus sambil berjalan ke arah Puan Damia yang
sudah berdiri di ruang tamu. Saat itu, dia ternampak kelibat seorang wanita
bertudung litup bersama Puan Damia di ruang tamu. Alamak. Mama memang ada
tetamulah. Siapa ya? Macam kenal... alamak. Hajah Kistina ke? Habis tu, lelaki
tu anak Hajah Kistina tulah ya? Fikirnya sendiri. Kepalanya berpaling memandang
ke arah dapur. Dia gigit jari.
“Lelaki gatal?”
Terkejut Sasha
Amira apabila soalan itu diulang Puan Damia. Demi menjaga hati Hajah Kistina,
dia sedaya upaya mencari alasan.
“Aaa... tak, bukan
mama. Ada nyamuk dekat dalam blik. Gatal Sasha kena gigit. Kat mama simpan
shieldtox? Cari kat dapur tak jumpa pun...” adunya sambil menggaru-garu tangan
walau tidak terasa gatal.
“Nyamuk?”
Berkerut-kerut muka Puan Damia tidak faham. Tadi kalau tak silap telinga
mendengar lain yang disebut Sasha Amira. Sekarang lain pula cakapnya. Hairan
Puan Damia. Namun setelah dilihatnya Sasha Amira tersengih-sengih menjeling
sekejap-sekejap ke arah Hajah Kistina, fahamlah Puan Damia sekarang.
“Oh, ada mama letak
dekat dalam kabinet awah sinki. Mama ada tetamu ni, kamu pergi cari sendiri
dekat dapur nanti.”
Sasha Amira menjengah
tetamu yang dimaksudkan dari tubuh Puan Damia. Terkial-kial dia tersenyum dan
mendekati Hajah Kistina. Tangan Haji Kistina disalamnya sopan.
“Ha, jangan lupa
pakai tudung sebelum nak ke dapur tu. Nanti kamu terkejut pula nampak anak
Hajah dekat dapur tu nanti.” Pesan Puan Damia sebaik anaknya itu meninggalkan
ruang tamu.
Kaku seketika
langkahnya. Tangannya memegang kepala. Ya Allah. Maknanya tadi bogel kepala aku
depan lelaki tu! Kalutnya dalam hati.
Kelam-kabut Sasha
Amira berlari naik ke atas. Tidak mahunya dia turun-turun. Shieldtox? Tak
payah. Itu cuma alasan semata-mata.
“Minta maaflah
Hajah pasal anak saya tu. Kadang-kadang perangainya macam budak-budak,” kata
Puan Damia sebaik duduk semula ke sofa.
Hajah Kistina cuma
tersenyum. Tidak tahu apa yang mahu dibalas lalu dia cuma mendiamkan diri.
Matanya menjeling sekali ke arah dapur rumah Puan Damia. Hendak mencari kelibat
anaknya. Entah ke manalah budak itu pergi lama benar di dalam tandas.
“Pasal hal tadi tu
Puan Damia, macam mana?” Hajah Kistina kembali semula kepada perbincangannya
dengan Puan Damia yang tergendala tadi. Tersenyum Puan Damia dilihatnya.
“Kalau ikutkan saya
Hajah, saya tak kesah bila-bila pun boleh. Bak kata saya tadi, pintu rumah saya
ni sentiasa terbuka untuk Hajah sekeluarga. Kalau tentang hal pinang meminang
ni, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan.” Sambut Puan Damia lalu menutup
mulutnya dengan tangan, menahan tawa yang begitu teruja dek hajat yang dibawa
Hajah Kistina.
“Kalau macam tu,
saya bincang dululah dengan Haji bila suami saya tu lapang untuk datang meminang.
Tarikhnya nanti saya beritahu Puan Damia kemudian.”
“Elok sangatlah tu,
Hajah. Lagi cepat lagi bagus.” Mengekek jua akhirnya tawa Puan Damia. Tidak
tertahan rasanya rasa teruja yang makin menjolok-jolok dalam hati. “Beritahulah
saya awal-awal nanti, Hajah. Boleh saya buat perancangan,” sambung Puan Damia
lagi seakan berbisik. Melebar senyum Puan Damia. Sudah ada akalnya hendak
merancang sesuatu supaya pinangan Hajah Kistina nanti diterima.
*******
Lama Hajah Kistina
perhatikan anak bujangnya yang memandu di sebelah. Asyik tersenyum saja dari
tadi. Sesekali terdengar tawa halus Saif Azrai singgah ke telinga. Bila
ditoleh, tertawa sendiri rupanya dia.
“Hai, manisnya muka
anak mama malam ni.”
Saif Azrai menoleh ke
arah mamanya sekilas. Makin lama makin lebar senyum di bibirnya. Dalam hati
sebenarnya, bagai menari-nari. Mengenangkan gelagat Sasha Amira tadi buat
hatinya makin lucu. Comel juga minah tu walaupun macam sombong. Pura-pura jual
mahal kut. Entah-entah betullah kata Abang Man, mahu tapi malu! Getusnya
sendiri. Terbayang-bayang wajah Sasha Amira yang terbeliak mata dengan muka
blur dia tadi, Saif Azrai menahan-nahan tawanya lagi serentak menggeleng-geleng
kepala.
“Kamu menyakat
Sasha dekat dapur ya tadi?”
Sekali lagi Saif
Azrai menoleh ke kiri. Kali ini tawanya betul-betul tersembur keluar. Tidak
mampu lagi ditahan-tahan lucu di hati mengenangkan reaksi Sasha Amira tadi.
Dari dia merajuk kononnya hilang selera, kemudian mempamer wajah bingungnya di
depan Saif Azrai hingga dia berlari-lari mencari mamanya. Lepas itu dia
kelam-kabut pula berlari bila baru perasan yang dia tidak menutup kepala. Semua
wajah Sasha Amira itu bagai video yang diputarkan berulang kali di minda Saif
Azrai sekarang.
“Kamu ni...” Hajah
Kistina menggeleng-gelengkan kepalanya. Senyum terukir juga di bibir
mengenangkan sikap nakal anaknya itu. Pandai menyakat anak dara orang rupanya.
Memang nak kena tegur budak ni.
“Patutlah Sasha tu
gelabah semacam mama tengok. Kamu ni, tak malukah kacau anak dara orang? Dia
belum sah jadi milik kamu lagi tau.” Tegur Hajah Kistina lembut. Namun dalam
lembutnya ada tegasnya juga. Cuma Saif Azrai saja yang suka ambil ringan.
“Alah, mama... saja
Azrai nak menguji dia.”
“Menguji apanya.
Mama dan papa yang sepatutnya uji bakal menantu. Bukan kamu.” Hajah Kistina
menggeleng buat sekian kalinya bila melihat anaknya itu mengulit senyum nakal.
Entah apa yang dibuatnya di dapur tadi. Patutlah lama benar. Ingatkan
benar-benar sakit perut seperti pagi tadi.
Hai... Saif Azrai
menarik nafas perlahan-lahan. Tumpuannya sudah berkali-kali melayang memikirkan
tentang Sasha Amira walau mata setia memandang ke jalan. Baru datang jumpa di
rumah, dia sudah menyakat Sasha Amira. Agak-agak dia terima tak pinangannya
nanti?
Ah, itu belakang
kira. Saif Azrai tidak mahu fikir banyak. Kalaupun Sasha Amira tolak
pinangannya nanti, dia masih ada sekuntum bunga masih mekar tak berusik. Putri
Laila Kirana. Gadis itu pula akan didekatinya nanti. Ini Saif Azrai la. Hendak
mendapatkan pengganti, bukannya susah sangat.
No comments:
Post a Comment