Tergesa-gesa Saif
Azrai mengemas pelan dan berlari ke kereta Mitsubishi Lancer milik Izi Helmy.
Sepupunya itu sudah menanti di tempat duduk pemandu. Pelan serta beg bimbit
berisi fail dicampak masuk ke ruang belakang sebelum dia memboloskan diri ke
tempat duduk penumpang di bahagian depan.
“Apasal kau set
masa dengan owner tu pagi ni? Bukan
baru semalam ke telefon dia? Agak-agaklah sikit.” Celoteh Saif Azrai sebaik
duduk di sebelah Izi Helmy. Tali keledar ditariknya dan dipakai ke tubuh. Izi
Helmy di sebelah sibuk menoleh ke belakang untuk mengundurkan kereta.
“Dah pagi ni aja
yang Encik Halim tu free. Biasalah,
dia kan banyak restoran merata tempat.” Lambat Izi Helmy menjawab setelah
kereta dipandunya melalui jalan lurus. Cermin pandang belakang dan sisi
dikerling sekali dua. Seketika kemudian, dia mengubah haluan dan masuk ke
lorong sebelah kanan. Pedal minyak dipijak lebih jauh dan kereta itu meluncur
laju.
“Dah tu, tak reti
nak beritahu awal-awal? Bukan semalam kau telefon dia pagi-pagi ke? Apasal tak
terus beritahu? Tu pun nasib baik aku masuk pejabat tak berapa lewat sangat
hari ni.” Saif Azrai menjeling ke sebelah. Sibuk sepupunya itu melihat depan,
kanan dan kiri jalan. Jalan Raja Chulan ini pun, pagi-pagi inilah dia nak sibuk
macam pasar malam.
Salah Izi Helmy
juga. Sudah buat temu janji semalam, tak diberitahunya Saif Azrai awal-awal.
Kalau diberitahu boleh juga Saif Azrai datang pejabat lebih awal. Sampai saja
pejabat jam 8.30 pagi, Izi Helmy sudah serbu biliknya dan menggesa Saif Azrai
ikut berjumpa Encik Halim jam sembilan di lokasi projek. Dari pejabat nak ke
restoran Encik Halim di Miharja itu makan masa lebih kurang lima belas minit.
Itupun kalau tak jam. Sekarang nak
bawa kereta macam lumba Formula 1 pula.
Bukan dia marah
sebab itu saja. Paling geram, mengah dia mencari dokumen lakaran reka bentuk
dalaman untuk restoran Encik Halim yang sekejap tadi hilang dari simpanannya.
Merata dia mencari. Seiingatnya dia cuma letak atas meja selepas diluluskan
Haji Rauf. Bila dicari, tiada. Panik dia sampai rasa macam tak cukup oksigen. Rupa-rupanya
sepupunya yang bijak pandai itu sudah ambil terlebih dulu dan menunggu saja di
kereta. Bukannya nak beritahu.
“Dah ambil pelan
tu, bukannya nak beritahu. Lelah la kawan ni mencari. Dia boleh takat telefon
aja desak orang cepat. Kalau aku tak tanya, tercari-carilah aku kat dalam
pejabat tu.” Bebel Saif Azrai lagi. Ni yang aku tak suka ni, dah besar panjang
pun nak kena tegur. Mengayat perempuan tak payah pula diajar. Semua nama
perempuan dia ingat. Getusnya geram.
Izi Helmy diam
membatu. Dia tidak berniat langsung mahu menjawab apa-apa. Memang salah dia
pun. Yalah, dia mengaku. Memang dia lupa nak beritahu Saif Azrai tentang
temujanji dengan Encik Halim. Dia lupa juga nak beritahu Saif Azrai yang dia
sudah capai fail tu dari atas meja Saif Azrai sebelum sepupunya datang pejabat
lagi. Berleterlah mengalahkan mak nenek sekalipun, Izi Helmy tak mahu dengar.
Sekarang dia cuma mahu tumpukan perhatian pada pemanduannya. Dilayan cakap Saif
Azrai nanti, silap-silap tercium kereta depan. Makin leceh jadinya nanti.
*******
Selesai
perbincangan dengan Encik Halim dekat dua jam, Saif Azrai berkejar pula ke
Taman Cannaught untuk memantau projek taska di kawasan itu. Alang-alang Izi
Helmy yang memandu, terpaksalah dia ikut sekali. Mesra Saif Azrai menyapa pekerjanya
sebaik melawat lokasi. Abang Rahman, pekerja papa paling senior di situ datang
menghampiri. Dibawanya Saif Azrai dan Izi Helmy melawat seluruh bangunan dua
tingkat itu yang sudah diubahsuai kepada beberapa bilik seperti pelan yang
dipersetujui bersama dengan pemilik taska tersebut.
Lincah mulut Abang
Rahman menjelaskan perkembangan di situ. Projek yang hampir lapan puluh peratus
siap itu dijangka akan siap sepenuhnya lebih kurang sebulan lagi, seperti yang
dijanjikan. Terangguk-angguk Saif Azrai puas hati mendengar penerangan Abang
Rahman. Izi Helmy pula sibuk ambil kesempatan memeriksa pendawaian dan
perpaipan untuk memastikan semua kerja yang dijalankan cukup sempurna dan tidak
akan menimbulkan masalah di hari depan. Jatuhlah reputasi syarikat mereka jika
ada aduan lepas projek siap nanti.
Selepas puas hati
memantau projek di situ, Saif Azrai dan Izi Helmy menuju ke Giant Taman
Cannaught, hanya beberapa minit dari tapak taska tadi. Kebetulan nampak papan
nama restoran makanan segera A&W dalam perjalanan datang ke mari tadi, apa
salahnya singgah sekejap. Alang-alang sudah dekat tengah hari, diajaknya Izi
Helmy makan di situ. Izi Helmy dipaksa belanja sebagai hukuman dia bikin Saif
Azrai huru hara pagi tadi.
“Kot ya pun nak
suruh aku belanja, janganlah sengaja nak order
macam-macam bro. Saja nak kenakan aku nampak!” Rungut Izi Helmy sambil menatang
dulang ke meja. Saif Azrai juga turut sama meletakkan dulang yang dibawanya ke
meja yang sama.
“Aik. Macam tak
ikhlas aja bunyi.”
“Bukan tak ikhlas
bro, tapi tak berapa la.” Izi Helmy tersengih menampakkan barisan giginya yang
berlapis. Kerusi ditarik dan dihenyak punggung di depan Saif Azrai yang sedia
bersandar. Air float disedut sedikit
sebelum menyumbat pula kentang goreng putar ke mulut. Woah! Baru terisi perutnya.
Pagi tadi tidak sempat dia menjamah sarapan pagi sebab teringat akan temujanji
dengan Encik Halim yang dia lupa untuk beritahu Saif Azrai. Bergegas terus dia
ke pejabat. Ingatkan anak bos datang awal hari ni. Kalau tahu, sempat saja dia
bantai nasi lemak ke, mi goreng ke dekat kedai mamak area Bukit Bintang.
“Siapa suruh kau
buat aku terkocoh-kocoh pagi tadi. Ini pun nasib baik aku tak minta belanja
hotel lima bintang!”
“Uish! Kalau hotel
lima bintang lagi hangus duit aku kumpul nak kahwin, bro. Dah la pagi tadi aku
tak sarapan pagi sebab nak jimat punya pasal.” Izi Helmy beri alasan. Bukan nak
jimat sangat, tapi tak sempat. Walhal duit simpanannya dah cukup sangat kalau
nak kahwin dua tiga kali.
“Hai, kata tak mahu
kahwin. Tiba-tiba aja cerita pasal nak kahwin. Kau pun terpengaruh juga ke
dengan tawaran papa aku tu? Tak cukup lagi dengan syarikat ayah kau dekat
Penang tu?” Tempelak Saif Azrai bernada sindiran. Sengaja dia mahu menguji
sepupunya itu.
Izi Helmy
tersengih-sengih. Kotak pembungkus burgernya dikoyak dan burger itu digigit
suku. Beria dia mengunyah. Lapar benar lagaknya. Saif Azrai juga menyumbat hot
dog ke mulut.
“Aku tak kesah pun
tentang jawatan uncle tu, bro. Bak
kata kau, syarikat ayah aku pun ada. Pada siapa lagi dia nak turunkan kalau tak
pada anak dia sorang ni.” Sahut Izi
Helmy sambil mengunyah. Ditelan makanannya dengan bersusah-payah. “Jadinya aku
tak akan lamar Aina selagi kau tak ada calon. Kita naik pelamin sama-samalah
bro. Baru adil dan saksama!” Cadangnya pula.
Saif Azrai
tersenyum sumbing. Disedut lagi air hingga separuh. Adil dan saksama konon.
Bukannya dia tidak kenal sepupu sendiri yang membesar bersama. Izi Helmy mana
pernah hendak kalah. Kalau Saif Azrai percayakan cakapnya bulat-bulat,
silap-silap Saif Azrai yang gigit jari. Bahagianya belum tentu, syarikat papa
pun dia melepas.
“Excuse me...”
Saif Azrai dan Izi
Helmy menoleh serentak bila ada suara yang menegur di sebelah. Berubah wajah
Saif Azrai serta merta melihat gadis yang terpacak di sebelah mejanya. Lantas dia
berdiri dan cuba mengingati nama gadis itu.
“Sally?” Tekanya.
Gadis itu
mengangguk sungguh-sungguh. “Azrai?” Ceria wajah mereka berdua dan saling
berjabat tangan. “Long time no see! How
are you?” Ucapnya ceria.
“Yeah. Dah lama...”
Perlahan Saif Azrai membalas. Kalau dulu, mahu saja dipeluknya gadis itu bila
berjumpa. Tapi sekarang, mungkin tidak...
Sally, wanita
berbangsa Serani itu merupakan teman wanita terakhirnya semasa belajar di
United Kingdom. Saif Azrai senior setahun daripada Sally. Sally ada bersama
menghantarnya di lapangan terbang sebelum terbang pulang ke Malaysia. Mereka
ada bertukar-tukar alamat ketika itu. Tapi tidak pernah antara mereka mencari
antara satu sama lain. Pernah sekali Saif Azrai menerima surat daripada Sally.
“Wow! Siapa ni?
Awek lama ke?” Tempelak Izi Helmy sengaja menelah.
Tergelak kecil
Sally mendengar telahan Izi Helmy. Sedangkan Saif Azrai berdehem sekali dua.
“Ini sepupu I.”
Saif Azrai memperkenalkan Izi Helmy kepada Sally. Lekas Izi Helmy juga bangun
menyambut salam Sally. Muka Izi Helmy ceria semacam, menayang senyum nakal dan
jelingan penuh makna kepada Saif Azrai.
“Dan ini Sally,
emm... ex-girlfriend aku masa dekat
UK dulu.” Lambat Saif Azrai mahu memperkenalkan Sally kepada Izi Helmy.
“Woah! Ex-girlfriend, bolehlah sambung balik
percintaan yang terbantut dulu. Tak payahlah aku tunggu lama-lama nak naik
pelamin dengan kau.” Selamba Izi Helmy berseloroh.
Berubah air muka
Saif Azrai serta-merta. Dia perasan perubahan itu. Tapi kenapa? Hei, bro.
Relakslah, cinta lama takkan tak boleh bercantum semula. Muka Sally dipandang
pula. Gadis itu cuma menyimpul senyum.
Seketika, seorang
lelaki berbangsa Cina datang menghampiri Sally. Lelaki itu mendukung seorang
kanak-kanak lelaki, lebih kurang setahun usianya.
“Suami I, Raymond.
Ray, they are my friends.” Sally
memperkenalkan pula suaminya sebaik sedar kehadiran lelaki itu di sebelahnya.
Raymond
menghulurkan tangan di depan Saif Azrai. Tenang Saif Azrai menyambut. Dia kenal
lelaki itu. Sally pernah menceritakan tentang lelaki itu masa mereka bercinta
dulu. Pilihan orang tuanya. Akhirnya Sally mengikut juga pilihan keluarga.
Satu-satunya surat daripada Sally yang pernah Saif Azrai terima adalah kad
undangan majlis perkahwinan mereka dan dia tidak memunculkan langsung diri ke majlis
itu. Untuk apa? Untuk mengaku yang dia ditinggalkan Sally yang memilih lelaki
pilihan keluarga sebagai teman hidup? Oh, tidak sama sekali Saif Azrai rasakan
diri ditinggalkan kerana dia terlebih dulu mencari pengganti Sally selepas
pulang ke tanah air.
Muka Izi Helmy
tercengang. Woah! Sekali dia bawa laki da. Patutlah muka Azrai berubah habis!
Kekasih lama sudah dibawa lari lelaki lain! Ah, nasib kaulah Azrai. Kau juga
yang selalu tolak bila perempuan ajak kahwin. Sama juga dengan perangai aku
dulu kan. Takut sangat pada komitmen lepas kahwin. Getus Izi helmy memerhatikan
saja dalam diam.
*******
Senang hati Puan
Damia setelah mendapat panggilan daripada Hajah Kistina sekejap tadi. Khabarnya
Hajah Kistina dan Haji Rauf akan menghantar rombongan meminang dalam dua minggu
lagi. Tidak senang duduk Puan Damia mahu membelek pokok bunganya. Dia duduk di
ruang tamu. Sekejap duduk di sini, sekejap beralih pula ke sofa sana. Otaknya
merancang lebih teliti.
Pinangan itu harus
diterima. Sasha Amira kali ini perlu menurut kata. Tidak sekali dia mahu
mendengar kata tidak dari mulut anaknya itu. Penat rasanya mulut ini menolak
pinangan orang beberapa kali. Malu muka ibu bapa ini, Sasha Amira bukannya
tahu.
Telefon digenggam
dalam tangan. Jam menunjukkan angka satu. Pasti anak sulungnya tengah berehat
sekarang. Lantas nombor Suhana Azreen dihubungi Puan Damia. Dia tekad dengan
keputusannya kali ini. Ini adalah plan B yang dirancang sejak bertemu Hajah
Kistina dan Puan Damia tidak mahu plan Bnya gagal lagi.
“Helo, assalamualaikum
Along.” Ceria sungguh suara Puan Damia.
*******
“Amboi, lama kamu
tak jengah aunty dekat sini ya. Baru sekarang nampak muka.” Hajah Kistina
menyambut anak sepupunya itu. Terkejut juga bila yang didengarnya memberi salam
bukan suara anak lelaki mahupun suaminya tadi semasa dia sibuk memasak untuk
makan malam di dapur. “Ha, langkah kananlah kamu. Aunty pun memang tengah masak
untuk makan malam. Bolehlah makan sama.”
Izi Helmy
tersengih-sengih. “Memang tu pun hajatnya aunty. Nak menuntut janji aunty nak
belanja tempoh hari.” Balasnya sambil menampakkan barisan giginya di depan
Hajah Kistina.
“Orang tu kan
memang muka tembok, mama. Orang tak ajak pun dia akan duduk makan sekali!”
Tempelak Saif Azrai yang baru masuk ke dalam rumah. Sinis nadanya lalu
mengundang tawa halus Hajah Kistina. Kakinya dihayun tenang mendekati Hajah
Kistina seperti biasa. Tangan wanita itu dikucupnya.
“Mama masak apa
hari ni? Biar Azrai tolong.” Katanya menawarkan diri. “Ha, kau pun tolonglah
sama. Jangan tahu makan aja.” Tempelak Saif Azrai lagi memandang ke arah Izi
Helmy. Sengaja nak menyindir sepupunya itu. Lelaki itu bukannya pernah masuk
dapur. Lelaki sejati katanya kalau tak reti masak ni. Dia ingat lelaki memang
tak patut belajar masak atau tolong-tolong di dapur ke? Pigi dah. Cef yang
femes kat luar sana pun sekarang ramai lelaki tau! Sempat dia membebel dalam
hati dalam langkahnya ke dapur mengikut Hajah Kistina.
“Mama masak ringkas
aja hari ni. Kari ikan dengan sayur labu. Dah nak siap pun. Ha, Izi tak
perlulah kamu susah-susah dekat dapur ni. Kamu kan tetamu. Tunggu aja dekat
depan.” Hajah Kistina mengajukan pula kepada Izi Helmy yang dilihatnya sudah
menjengukkan kepala atas periuk. Laju tangan Hajah Kistina mengetuk tangan anak
sepupunya itu. Lantas tudung periuk yang terbuka tadi diletak semula di
atasnya.
“Baunya sedap aunty.
Rindu benar nak makan masakan aunty.” Izi Helmy cuba membodek.
“Kalau rindu,
datang ajalah. Rumah kamu pun bukannya jauh sangat.”
“Boleh ke datang
selalu aunty?” Sesekali dia menjeling Saif Azrai. Ingatkan saja nak bermanja
dengan Hajah Kistina untuk menyakat Saif Azrai. Sepupunya itu kan rapat benar
dengan mamanya. Sajalah nak tahu cemburukah dia kalau Izi Helmy pula hendak
bermanja. Tapi hampa. Tenang saja Saif Azrai dilihatnya sibuk membancuh air di
kabinet sana.
“Apa pula tak
boleh. Datang aja. Kamu pun bukannya tak biasa dengan kami. Suruh duduk sekali,
kamu tak mahu. Kalau duduk dengan kami kan, hari-hari kamu boleh merasa masakan
aunty.”
Izi Helmy
tersengih-sengih.
“Kalau kamu kahwin
pun, ada jugalah orang tolong masakkan untuk kamu. Tak adalah makan nasi
bungkus hari-hari.”
Gulp! Telan liur
Izi Helmy dibuat kenyataan Hajah Kistina yang sekejap tadi sampai ke telinga.
Kahwin lagi. Adoi! Cakap memang seronok nak kahwin. Nak tak nak sekarang dia
memang kena kahwin sebab tak mahu juga kalah pada Saif Azrai. Tapi masalah
besar sudah jatuh atas kepala saat ayahnya sendiri yang mahu menguji terlebih
dulu sebelum setuju untuk meminang Aina.
“Kamu dengan Aina
pun, rasanya dah lama kenal kan. Bila lagi nak naik pelamin?” Hajah Kistina
menyoal lagi sambil tangannya sibuk mengambil pinggan dan dibawa ke ruang
makan. Terkedu Izi Helmy di tempatnya. Sementara Saif Azrai juga mula pasang
telinga dalam diam. Sudu yang dikacau dalam jag juga semakin perlahan bunyinya.
Berminat dia hendak tahu jawapan sepupunya itu.
“Azrai pun dua
minggu lagi dah nak hantar meminang. Aunty dah siap panggil orang lagi. Kamu
bila lagi? Boleh aunty dan uncle ikut sekali,” sambung Hajah Kistina setelah
kembali ke dapur.
Ternganga Izi Helmy
yang bersandar ke sinki. Hantar meminang? Azrai hantar meminang? Masak aku!
Yang aku ni dengan ayah sendiri pun tak lepas lagi! Desisnya dalam hati,
semakin gemuruh dan kalut dengan kenyataan Hajah Kistina. Memang tak boleh
jadi.
Saif Azrai juga
tidak terlepas rasa terkejut dek kata-kata Hajah Kistina. Dua minggu lagi nak
meminang? Hatinya berdebar risau. Tapi gembira sebab mendahului sepupunya.
Entahlah. Bercampur-baur rasanya dalam hati. Entah apa sebenarnya yang
dirasainya sekarang.
No comments:
Post a Comment