Pagi-pagi lagi Saif
Azrai sudah buat alasan sakit perut kerana tidak masuk pejabat awal hari ini.
Turun saja bersarapan, dia pura-pura cirit-birit. Dua tiga kali berlari ke
tandas dengan muka berkerut-kerut.
“Kenapa dengan kamu
ni? Salah makankah semalam?” Hajah Kistina sudah mulai risau melihat keadaan
anaknya. Tidak senang hati dia melayan sang suami makan pagi ini.
Sekejap-sekejap Hajah Kistina ke dapur, meninjau anaknya dari luar tandas.
“Azrai, kamu tak apa-apa? Nanti mama carikan ubat ya.”
Gelisah Hajah
Kistian menyelongkar laci di mana dia menyimpan bermacam jenis ubat. Sebotol
Poh Cai dikeluarkan. “Mama letak ubat dekat depan, ya. Kamu makan tau nanti,”
teriak Hajah Kistina sebelum berjalan ke ruang makan semula. Ubat dan air suam
diletakkan di atas meja. Kemudian dia duduk semula di sisi suaminya. Nafas
halus dihela berkali-kali, wajah ibu itu gelisah. Sesekali kepalanya berpaling
menjengah ke dapur.
Haji Rauf menyedari
kegelisahan isterinya. Diteguknya air kopi panas perlahan-lahan lalu bersuara.
“Kenapa Azrai tu? Dari tadi keluar masuk tandas.” Tenang Haji Rauf bertanya
lalu meletakkan semula cawan di atas piring alas.
“Tak tahulah, bang.
Masuk anginkah, salah makankah, tak tahulah. Risau saya tengokkan. Lama pula tu
tak keluar-keluar dari tandas.” Hajah Kistina panjangkan lagi lehernya untuk
menjengah ke dapur. “Air lagi bang?” Sempat dilihatnya cawan Haji Rauf yang
hampir kosong. Teko sedia dicapainya namun gelengan Haji Rauf mematikan
pergerakannya.
“Cukup...” balas
Haji Rauf sambil melebarkan tapak tangan dekat cawannya. “Nanti suruhlah Azrai
tu pergi klinik. Kalau tak sihat lagi, tak perlulah ke pejabat.” Beritahu Haji
Rauf yang sudah bangun dari kerusi dan berjalan ke pintu. Hajah Kistina
membontoti di belakang hingga ke kereta. Tangan sang suami disambut dan dikucup
seperti biasa.
Berlalu saja kereta
Mercedes yang dipandu Haji Rauf meninggalkan pekarangan rumah, Hajah Kisitina
kembali ke dapur. Bunyi air dari tandas menandakan anaknya masih berada di
dalam.
“Azrai, anak mama
okey tak?” Risau hati Hajah Kistina anaknya itu tidak keluar-keluar dari
tandas. Entah pengsankah di dalam sana sebab lemah badannya, bukannya dia tahu.
Macam-macam yang bermain di fikiran sekarang. Pintu bilik air diketuk
bertalu-talu sambil bertanyakan keadaan Saif Azrai.
Beberapa ketika
kemudian, lenyap bunyi air yang terus mengalir tadi. Senyap sekejap dan Hajah
Kistina dapat mendengar suara deras air bila pam ditarik selepas itu. Tidak
lama, pintu diselak dari dalam. Lekas Hajah Kistina mencapai tangan anaknya
sebaik wajahnya terjengul dari balik pintu. Dipapahnya Saif Azrai yang nampak
letih itu ke meja makan.
“Kamu ni tak
apakah? Macam teruk aja mama tengok. Makan ubat ni.” Botol poh cai yang diambil
tadi dihulur kepada Saif Azrai yang sudah duduk di kerusi. Segelas air suam
dihulur sama. Saif Azrai menyambut namun hanya digenggam dalam tangan.
Nasi kerabu Hajah
Kistina senduk sedikit ke dalam pinggan berserta dengan ikan kembung goreng
lalu diletak juga dekat dengan Saif Azrai. “Ni, makan sikit. Buat alas perut.”
“Papa mana, ma?”
soalnya pula dengan suara lemah.
“Papa dah pergi
kerja. Emm... papa pesan suruh kamu pergi klinik. Kalau tak elok juga sakit
kamu, tak payah datang pejabat.”
“Yakah, mama?” soal
Saif Azrai teruja sekaligus bikin berkerut dahi Hajah Kistina melihat anaknya.
Kemudian Saif Azrai tersengih-sengih pula. Makin hairan Hajah Kistina
dibuatnya.
“Eh eh, kamu ni.
Sakitkah tidak? Yang tiba-tiba seronok sangat ni kenapa?”
Saif Azrai
tersengih lebar. Ubat yang digenggamnya tadi diletak atas meja. Sebaliknya nasi
kerabu pula disambar dan disuap ke mulut.
“Azrai tak sakit
pun, ma. Saja cari alasan nak masuk pejabat lambat,” jawabnya lambat sambil
menayang muka nakal di depan Hajah Kistina. Senyap Hajah Kistina memandang
anaknya. Bila dilihat anaknya itu berselera benar menjamah nasi, melayang tapak
tangan Hajah Kistina ke lengan anaknya itu.
“Ish, kamu ni. Buat
mama risau aja!” Marahnya lalu tertawa kecil. Kepala digeleng-gelengkan bila
Saif Azrai hanya tersengih bagai anak kecil.
“Sebenarnya ma,
Azrai ada hal nak tanya mama ni.” Saif Azrai bersuara dengan mulut kembung.
Hampir tersembur nasi dari mulutnya.
“Makanlah
perlahan-lahan. Mama tak fahamlah apa kamu cakap.” Hajah Kistina menegur
kemudian tersenyum lagi melihat gelagat anaknya yang asyik tersengih saja pagi
ini. Awal-awal pagi sudah risaukan orang dengan lakonan cirit-biritnya.
Sekarang tersengih pula. Mesti ada apa-apa ni. Hajah Kistina meneka dalam hati.
Lekas-lekas Saif
Azrai menelan makanannya. Air kopi diteguknya laju-laju. Ops! Panas! Melecur rasa
tekak. Diteguk pula air suam untuk melegakan radang dalam mulutnya. Aduh. Panas
juga.
“Azrai ada hal nak
tanya mama. Pasal Sasha...” cakapnya perlahan di hujung ayatnya. Tangan
diletakkan ke mulut sekali seakan-akan berbisik ke telinga Hajah Kistina. Terus
saja Hajah Kistina mengangguk perlahan sambil tersenyum.
“Jadinya buat-buat
sakit perut tadi sebab Sasha la ya?”
Saif Azrai
tersengih lagi. Nasi kerabu yang asyik dijamahnya tadi ditolak menjauhinya.
Kedua belah siku diletakkan atas meja dan tekun menghadap Hajah Kistina pula
kali ini.
“Mama, kalau mama
emm... kalau mama...” Emm... macam mana nak tanya ya? Tidak terkeluar pula
soalannya yang berlegar di benaknya dari mulut. Entah bagaimana hendak
dilontarkan kepada Hajah Kistina, dia masih terfikir-fikir. “Kalau mama...”
“Kalau mama apa?”
“Kalau mama pinang
dia boleh tak?” Terhinjut bahu Saif Azrai seraya melatah laju gara-gara terkejut
dek soalan Hajah Kistina walaupun nada mamanya tadi bukanlah tinggi mana.
Perlahan saja bunyinya tapi disebabkan terlampau banyak yang difikirkan dalam
kepala ini, buatkan dia mudah terkejut.
“Pinang Sasha?”
Berkerut lagi dahi Hajah Kistina, lebih ketara dari sebelumnya.
“Eh, bukan, bukan.”
Kalut Saif Azrai membetulkan keadaan. Beria dia melayangkan tapak tangannya ke
kiri kanan tanda menafikan. “Bukan tu maksud Azrai, mama.”
“Habis tu?”
Diam. Dia
tergaru-garu di kepala. Spontan Hajah Kistina menghela nafas halus bila agak
lama dia menunggu.
“Hmm... kalau nak
suruh mama pinangkan dia pun boleh. Tapi kenalah kena pada gayanya. Nanti mama
bincang dengan papa dulu.”
“Alah, mama
janganah beritahu papa dulu.” Cepat Saif Azrai memintas cakap mamanya. “Mama
risik-risiklah dengan Mak Cik Damia dulu. Bincang dengan dia kalau kita boleh
hantar meminang anak dia tu.”
“Eh, budak ni. Dia
pula yang ajar orang tua.” Hajah Kistina gelengkan kepala. “Nak merisik pun
kenalah beritahu papa. Perginya pun dengan papa, nak jumpa mak dan ayahnya
Sasha tu. Yang anak mama ni, tiba-tiba nak suruh meminang anak orang, kamu
betul ke nak kahwin dengan dia?”
“Eh, mestilah mama.
Takkanlah Azrai nak kahwin kalau tak suka.” Yakin Saif Azrai menjawab.
“Sashanya?”
Ops! Sasha? Manalah
Saif Azrai tahu sama ada gadis itu suka padanya atau tidak. Hendak berkenalan
pun payah. Minta nombor telefon, macamlah nak minta harta pusaka dia. Kedekut
benar. Tiada jawapan yang mampu dia berikan pada Hajah Kistina. Lantas dia cuma
tersenyum dan tersengih.
“Oh, jadinya anak
mama ni dah jumpa si dia dalam diam ya...” Telah Hajah Kistina tersenyum
menyangka anaknya sudah menjalin hubungan baik dengan Sasha Amira. Makin lebar
senyum Saif Azrai, pura-pura mengiakan dengan senyum miang.
“Kita pergi melawat
Mak Cik Damia malam nilah, mama.” Cadang Saif Azrai. Berkerut lagi muka mamanya
dengan senyum yang masih belum mati. “Kita risik-risik aja dulu dengan Puan
Damia. Jangan beritahu papa dulu. Ya, ma?” Keningnya diangkat sekali.
Bersungguh-sungguh nampaknya dengan keputusan itu.
“Macam tu pula?”
“Alah, tolonglah
ma. Bolehlah... ya?” Saif Azrai merayu-rayu sambil kedua belah tapak tangan
bersatu dan meminta-minta di depan Hajah Kistina. Makin berkedut dahi orang
tuanya. Dalam hati Saif Azrai memohon supaya dilembutkan hati mama, begitu juga
hati papa nanti. Tidak lupa, hati gadis bernama Sasha Amira yang keras macam
batu tu. Dia tiada pilihan lain sedangkan Qayreena sudah menolak lamarannya
bulat-bulat. Tak kesahlah siapa isterinya nanti, asalkan dia berkahwin dulu
sebelum Izi Helmy.
*******
Baru pukul sebelas
setengah pagi, Izi Helmy sudah menghilangkan diri dari pejabat. Dia memandu
laju menuju ke KLCC. Sesaknya KLCC seperti hari-hari biasa. Entah dari mana dan
hendak ke mana orang-orang di situ. Ramainya macam ada perlawanan bola sepak.
Berlaga-laga Izi Helmy berjalan sampai ke tingkat atas menuju ke Kinokuniya,
kedai buku terbesar di menara berkembar ini. Nama Kinokuniya begitu popular
dalam carta pencarian dalam internet. Senang nak dicari, sebab itu dia memilih
untuk ke mari.
Masuk saja ke
Kinokuniya, dia memandang keliling. Besar betul kedai itu, penuh dengan buku di
sana sini. Sudah lama dia tidak masuk kedai buku. Hendak membaca, lagi jangan
haraplah. Memang perkara paling malas dalam hidupnya. Kakinya terus melangkah
sambil mata mencari sudut buku agama. Di celah-celah rak, dia dapat melihat
beberapa orang duduk bersila sambil khyusuk membaca.
Oh, boleh baca
dekat sini ya. Bagus juga, tak payah beli pun boleh baca sampai habis! Detiknya
dalam hati.
Habis satu kedai
dipusingnya tapi masih tidak jumpa rak yang dicari. Hendak bertanya, saja dia
hendak tunjuk eksyen. Dia boleh cari sendiri okey. Pekerja-pekerja kedai itu
juga nampaknya sibuk benar menyusun buku-buku yang telah dibaca pengunjung ke
rak asal. Sekali tengok, macam perpustakaan pula gaya di sini.
Di kaunter, sudah
ramai yang beratur untuk membuat bayaran menggunakan baucar buku 1 Malaysia.
Oh, patutlah kedai sesak. Penuh dengan pelajar-pelajar yang hendak menggunakan
baucar rupanya. Izi Helmy kembali melangkah mencari sudut buku agama hingga
jumpa. Satu baris demi satu baris rak dilaluinya.
Yes! Berjaya dia menjumpai zon buku agama tanpa meminta
bantuan sesiapa. Ini Izi Helmy la. Bangga sekejap rasa dalam hati. Rak di depan
mata dipandang sekilas, dari atas ke bawah dan ke atas semula. Tidak begitu
banyak pilihan di situ. Tapi yang seronoknya, dia boleh duduk bersila dan
menyelak buku-buku yang ada di situ. Macam orang lain buat. Emm... beberapa
buah buku sudah diselak dan dibacanya sedikit. Entah yang mana paling bagus
untuk dijadikan panduan. Pilihannya mestilah yang ringan dan mudah difahami.
Ingatkan pilih perempuan untuk dibuat isteri saja susah. Rupanya hendak pilih
buku pun berpeluh.
*******
“Mama, cepatlah
mama.” Teriak Saif Azrai tidak sabar.
“Ya, kejap. Mama
datang ni.” Hajah Kistina yang masih di bilik tergesa-gesa keluar dan menuruni
anak tangga ke bawah bila mendengar suara Saif Azrai tidak henti-henti
memanggil.
“Cepatlah, mama...”
Terkial-kial Hajah Kistina menyarung kasutnya. Kemudian pintu rumah dikuncinya
pula.
“Ma...” panggil
Saif Azrai lagi sudah terlebih dulu masuk ke dalam kereta yang sudah dihidupkan
enjin awal-awal.
“Ya... ya, mama
datang ni.” Tidak tentu arah Hajah Kistina dibuat anak bujangnya. Tergesa-gesa
Hajah Kistina mengatur langkah ke kereta dan duduk di sebelah anaknya. Pintu
ditarik lekas-lekas. “Kamu ni, cubalah bawa bersabar sikit. Kelam-kabut mama
tau. Tudung ni ha, dah serupa apa mama pakai.” Bebel Hajah Kistina lembut lalu
menarik cermin dari atas bumbung kereta ke bawah. Mukanya dibelek-belek. Tudung
yang disarung ke kepala dikemaskan. Sementara anak lelakinya di sebelah asyik
tersenyum dan tersengih. Bertuah punya budak. Dah digesanya orang tua ni, dia
senyum pula. Getus hati Hajah Kistina geram.
Menderu enjin
kereta yang dipandu Saif Azrai meninggalkan pekarangan rumah menuju ke
destinasi. Kononnya hendak membeli buah tangan untuk bertandang ke rumah Puan
Damia malam nanti. Pada tuan rumah juga tidak mahu diberitahu. Katanya mahu
bikin kejutan. Hai, macam-macamlah budak seorang ni.
“Nak beli apa mama
untuk buah tangan? Buah ke, kek ke, bunga ke atau barang-barang? Beg? Baju?
Emm... atau coklat aja?”
Tersungging senyum
Hajah Kistina bila ditujah soalan bertalu-talu oleh anaknya. Dijelingnya
sekilas ke sebelah. Selesai memperkemaskan tudungnya, Hajah Kistina menolak
semula cermin ke atas.
“Beli apa, ma?”
soal Saif Azrai lagi tidak sabar.
“Kenapa kalut
sangat anak mama ni?” Hajah Kistina menoleh ke arah Saif Azrai.
“Bukan kalut ma,
teruja sangat,” balas Saif Azrai memandang ke kiri sekilas. Senyum nakal
ditayang sekali buat mamanya. Hanya sesaat dua, dia memandang semula ke depan.
“Jadinya, nak kena beli apa mama?” Saif Azrai pandang kiri kanan. Jalan sesak
lagi. Aduh. Sengaja dia mengajak Hajah Kistina keluar tengah hari sikit. Memang
niat nak beli buah tangan. Untung-untung kalau terserempak dengan orang pejabat
masa dia keluar, katalah baru balik dari klinik. Singgah sekejap jalan-jalan
kononnya. Tapi, terpaksa pula berdepan dengan jalan sesak waktu-waktu puncak
begini.
“Suka hati kamulah
nak beli apa. Asalkan ikhlas...”
“Alah, ma...
bagilah idea...”
“Hmm... biasanya
orang bagi buah.”
“Buah aja?”
“Habis tu, kamu nak
apa lagi? Susah-susah, kamu bagi aja hati kamu tu.” Balas Hajah Kistina
berseloroh. Pecah ruang sunyi dalam kereta itu dengan gelak tawa Saif Azrai
mendengar seloroh mamanya.
*******
Sesak. Kalau tadi
jalan raya yang sesak dengan kenderaan, sekarang dalam kompleks KLCC pula yang
sesak dengan manusia. Bukan orang tempatan saja yang ramai. Pelancong asing
juga tidak kurang hebat ramainya. Saif Azrai langsung tidak melepaskan tangan
Hajah Kistina. Dipimpin mamanya itu takut-takut terciciran di dalam manusia
yang ramai. Mencari apa agaknya.
“Kata kamu tadi,
nak cari buah tangan. Kenapa ke sini?” Hajah Kistina besuara tiba-tiba. Mencari
buah tangan berupa apa di sini agaknya, Hajah Kistina tidak tahu apa yang
anaknya itu fikirkan. Kepala Hajah Kistina pula yang mula pening melihat orang
bagai berkerumun sana sini. Agaknya kalau dilihat dari atas, macam semut!
“Beli cincin terus,
boleh tak ma?” Saif Azrai tayang lagi senyum nakal buat sekian kalinya. Kening
dijungkit sekali dua.
“Amboi. Lajunya
dia...” Menggeletek tawa Saif Azrai selepas itu. Hajah Kistina tersenyum saja.
Senang hatinya bila anak lelakinya sudah terbuka hati nak berumahtangga. Yang
dipilihnya pula, calon yang Hajah Kistina sendiri perkenalkan. Jadi benarlah
telahannya selama ini yang anaknya itu belum ada ratu di hati mahupun teman istimewa.
Hai, Puan Damia... termakbul nampaknya doa kita si ibu ni.
“Sebenarnya Azrai
saja nak bawa mama jalan. Mama asyik memerap aja dekat rumah. Sesekali berjalan
tengok dunia luar ni. Ha dekat sini ada macam-macam mama. Petrosains ada,
akuarium ada, taman ada. Kalau mama nak cari calon isteri baru untuk Azrai pun
banyak pilihan dekat sini.”
Ha? Terkejut
sekejap Hajah Kistina mendengar. Tawa mengekek Saif Azrai mengejutkan Hajah
Kistina lantas laju jarinya mencubit lengan Saif Azrai.
“Amboi, gatalnya anak
mama ni.” Makin ligat tawa Saif Azrai bergema.
*******
Izi Helmy
membelek-belek buku yang dibelinya sambil berjalan ke askulator. Laju dia
menuruni askalutor itu tanpa mahu menunggu walau sesaat. Selagi kaki mampu
melangkah, dia hayun ke depan. Dijeling jam sekali. Dia mahu terus balik ke
pejabat untuk menelaah semua buku yang baru dibelinya. Entah macam mana,
tubuhnya berlanggar dengan seseorang sedang dia berjalan laju untuk beralih ke
askalator seterusnya. Bertaburan buku-buku yang dibelek dari tangan jatuh ke
lantai. Dia sudah tayang muka bengang kepada manusia yang tidak reti tengok depan
semasa berjalan itu. Baru saja hendak buka mulut mahu memaki, matanya terlebih
dulu terbeliak bila telinganya menangkap suara menyebut namanya.
“La, kat sini pun
jumpa muka kau juga Encik Izi Helmy bin Hairol. Shopping ke?”
“Bro!” Izi Helmy pura-pura
terkejut. “Eh, aunty pun ada.” Tangan Hajah Kistina disambar dan disalamnya. “Buat
apa dekat sini? Uncle kata kau sakit
perut. Cirit-birit.”
Saif Azrai
memandang sepupunya itu yang sudah menayang sengih bagai kerang busuk. Matanya
pula tertancap pada buku yang terlepas dari tangan Izi Helmy tadi. “Tak payah
kau sibukkan hal aku. Tu, buku kau tu!” Muncungnya panjang menghala ke lantai.
Alamak! Lupa pula.
Izi Helmy kalut memungut buku-bukunya dan disimpan semula dalam beg plastik.
Ish, kalau Saif Azrai nampak buku apa yang dibelinya, malu besar dia nanti.
Izi Helmy
tersengih-sengih lagi. Beria-ia disorokkan beg plastik itu dari pandangan Saif
Azrai. Hairan Saif Azrai tengok.
“Aunty buat apa
dekat sini? Jalan-jalan makan angin ke?” Izi Helmy beralih pula kepada Hajah
Kistina.
“Tak adalah. Saja
temankan Azrai ni nak cari buah-”
“Cari buah
berangan! Ha, cari buah berangan!” pintas Saif Azrai laju lalu terangguk-angguk
sendiri. Hajah Kistina berkerut sedikit dahinya memandang anaknya disebelah.
“Buah berangan?”
Tercengang Izi Helmy tidak mengerti.
“Ak’ah, buah
berangan. Orang kata elok untuk sakit perut.” Saif Azrai beri alasan. “Kau
jalan-jalan tadi ada tak jumpa orang jual?” soalnya pula.
Berkerut seribu
muka Izi Helmy masih tidak faham. Nama buah berangan pun ini kali pertama dia
dengar. Jangan kata nak tahu bagaimana rupa buah tu. Entah-entah kalau
berselisih pun dengan kedai yang menjual buah berangan, dia tak akan perasan.
“Alang-alang dah
jumpa kamu ni, marilah makan tengah hari sama. Kami memang nak pergi makan
tadi. Aunty pun dah lama tak borak dengan kamu. Dah lama kamu tak datang ke
rumah aunty.”
Serta-merta
perhatian Izi Helmy beralih kepada Hajah Kistina. Wajahnya membuah senyum bila
mendengar ajakan itu. Kalau bab makan, memang dia tidak pernah tolak. Jam di
pergelangan tangan pura-pura dijeling sekejap.
“Boleh juga aunty.
Masih ada masa lagi ni. Tapi... hehe kalau sepupu saya yang baik hati ni yang
belanja, lagi best. Dah lama tak
merasa duit dia!” Tempelak Izi Helmy selamba sekaligus mengundang tawa Hajah
Kistina.
Saif Azrai
mencebir. Tidak berubah perangainya. Dengan sepupu sendiri pun asyik minta
belanja. Tidak pernahlah dia yang keluar duit. Balik-balik, muka Saif Azrai
juga yang kena bayar. Tak apalah. Simpanlah duit tu untuk cik Aina sayang kau
tu ya! Nanti aku bagi rasa duit betul-betul baru tahu. Biar tahu sedap ke tak
sedap rasa duit tu! Getus hati Saif Azrai.
“Tak apalah. Biar aunty
yang belanja hari ni. Kamu berdua kan nak banyak simpan duit, buat belanja
kahwin.”
Erk! Kahiwn?
Aduh... buat teringat kat buku yang baru aku beli aja. Huhu... ayah... ayah.
“Eh, tak boleh
mama. Tak boleh.”
Terkejut Izi Helmy
bila Saif Azrai tiba-tiba aja menerkam tubuhnya.
“Izi ni tengah
sibuk, mama. Dia mesti nak cepat balik office.
Mesti banyak kerja dia dekat office
tu, kan Izi.” Bahu Izi Helmy ditarik, ditolak dan didorong menjauhi Hajah
Kistina. Terpinga-pinga Hajah Kistina melihat kelakuan anaknya. Sementara Izi
Helmy, tidak sempat buat apa. Tubuhnya sudah dibawa jauh meninggalkan Hajah
Kistina.
“Eh, kau tak
payahlah sibuk aku nak berdating
dengan mama aku pun tak senang. Pergilah balik pejabat tu. Follow up dengan owner
restoran Miharja tu, kata kita nak bincang pasal pelan kedai dia, lagi bagus!”
Itu saja kata-kata Saif Azrai sebelum pergi. Kepalanya dipaling ke belakang dua
tiga kali. Tangannya pula memberi isyarat supaya Izi Helmy berlalu pergi.
“Eh, eh. Dia ingat
aku ni anak ayam ke apa? Baru aja aku nak merasa makan free, dia dah halau aku dulu. Kedekut betul!” Herot-birut mukanya
merungut sendiri. Namun bila Hajah Kistina mengangkat tangan, dia maniskan
semula muka sesaat dua sehingga pandangan Hajah Kistina beralih ke depan.
Saif Azrai
berpaling lagi ke belakang. Tersengih lalu menjelir lidah seakan mengejek. Laju
juga Izi Helmy membalas dengan menayang tapak tangan ke depan. Bak kata Imuda,
piiirah!
“Huh! Apa kena
dengan sepupu aku tu? Tiba-tiba perangai macam budak kecik. Nak dating dengan aunty? Aik! Dah hilang awek
ke apa sampai nak dating dengan mama
sendiri. Emm... lain macam aja. Entah-entah... ha?!” Macam-macam otaknya
fikirkan. Mungkinkah Saif Azrai hendak pergi membeli cincin? Jadi, betullah
lamaran dia pada Qayreena diterima? Oh, tidak!!! Terlepas beg plastik dari
tangan Izi Helmy dan mengena betul-betul atas kakinya.
Ouch! Menjerit dia
menahan sakit lalu terlompat-lompat dia di situ.
Laaa... apa pula rancangan Saif Azrai nak jumpa Puan Damia ni? Habislah tergugat Izi lepas ni kan
No comments:
Post a Comment