Teruja benar hati
Saif Azrai bila menerima kunci Kia Forte miliknya semula. Dibelek-beleknya
kereta itu sepuasnya. Bahagian depan yang dulu kemik kini sudah kembali seperti
sedia kala. Tidak puas melepaskan rindu, dia masuk ke dalam. Memusingkan
stereng ke kiri kanan, lagak seperti sedang memandu. Setiap sudut dibelek.
Rindu pun ya, nak check kut-kutlah
ada yang hilang pun ya. Puas hati, dia keluar semula.
“Woah! Baby aku dah baik!” Menjerit dia suka
hati sambil merebahkan tubuhnya perlahan atas badan kereta. Bagai dipeluk
kereta itu puas-puas.
Sedang dia
menikmati saat-saat bahagia itulah dia menerima panggilan daripada Haji Rauf.
Papanya menelefon memberitahu yang mereka baru saja menaiki kapal terbang untuk
pulang ke Kuala Lumpur. Penerbangan mereka dijadualkan akan berlepas beberapa
minit saja lagi.
Menganga Saif Azrai
melihat jam di tangan. Perjalanan dari Langkawi ke Kuala Lumpur tidak sampai
satu jam. Perjalanannya pula hendak ke KLIA itu yang entah berapa lama agaknya
masa akan diambil. Apa lagi kalau petang-petang begini. Masing-masing berkejar
balik ke rumah. Jalan sesak, itu sudah tentu.
Segera Saif Azrai
memboloskan diri ke dalam kereta. Iphone, wallet,
termasuk lesen semuanya ada. Okey! Enjin dihidupkan sambil mulut sibuk
menceceh.
“Janganlah jam... janganlah jam.”
Mengundur saja
kereta itu keluar dari petak parkir, dia memecut laju ke depan seraya menjerit
suka. Fuiyoo! Dah lama tak merasa naik kereta sendiri. Ada Mercedes papa, tak
berani dia hendak merayap merata tempat. Nanti papa check meter, mesti papa soal siasat.
Sah! Belum apa-apa,
Saif Azrai sudah tersangkut dekat Jalan Bukit Bintang sebelum masuk ke Jalan
Tun Razak. Hai, kenapalah office papa
dekat Raja Chulan, kawasan yang mana pun laluan yang diambil mesti confirm sesak?
Sampai saja di
KLIA, Haji Rauf dan Hajah Kistina sudah menanti di lobi ketibaan bila
dihubungi. Lekas-lekas Saif Azrai pergi mendapatkan Haji Rauf dan Hajah Kistina
setelah memberhentikan kereta. Tangan kedua orang tua dikucup mesra dan sekali
lagi Hajah Kistina memeluk tubuhnya bagi melepaskan rindu.
“Sekejapnya papa
dan mama pergi honeymoon. Patutnya
kurang-kurang pun biarlah seminggu, papa. Barulah puas.” Usik Saif Azrai sambil
menayang senyum nakal. Bagasi dari tangan Haji Rauf disambut dan disorong
menuju ke kereta.
“Mama kamu ni,
rindu sangat dengan kamu. Tak bolehnya dia nak berpisah lama-lama dengan anak
kesayangan dia ni. Papa minta kamu jemput ni pun sebab mama kamu yang suruh.
Berkeras tak mahu naik limosin sebab nak tengok muka anak dia dulu sesampai
dekat sini konon.” Jawab Haji Rauf menyakat isterinya. Lekas Hajah Kistina
membidas.
“Eh, kita pula yang
jadi alasan. Papa kamu ni yang sibuk sangat fikir pasal syarikat. Tinggal
sehari pun dah susah hati.” Sahutan Hajah Kistina dalam nada gurauan itu menyambung
tawa Haji Rauf dan Saif Azrai serentak. Saif Azrai membuka pintu untuk Hajah
Kistina dan mereka bertiga masuk ke dalam kereta.
“Bukan awak ke yang
tak sabar nak jumpa anak awak ni? Nak tahu pasal perkembangan dia dengan emm...
siapa nama budak perempuan tu, Misha? Tasha?” Haji Rauf menyambung lagi dalam
kereta. Kereta yang dipandu Saif Azrai perlahan-lahan meninggalkan perkarangan
KLIA.
“Sasha la, bang.”
Sampuk Hajah Kistina membetulkan. Haji Rauf mengiakan saja selepas itu.
Sementara Saif Azrai sudah menelan liur. Masih tiada berita daripada Abang Man,
abang nasi kukus ayam dara tu. Silap Saif Azrai meninggalkan nombor telefonnya
seorang. Patutnya dia minta nombor telefon Abang Man untuk simpanannya juga.
Takut-takut Abang Man terlupa. Ah, tak apalah. Esok-esok, bila lapang dia pergi
lagi berjumpa Abang Man.
Hai, Azrai...
Azrai. Ada cara senang, nak juga guna cara susah. Kutuknya pada diri sendiri.
“Macam mana Azrai?”
Tersentak Saif
Azrai bila bahunya dicuit Hajah Kistina. Matanya serta-merta melirik ke arah
Hajah Kistina di belakang dari cermin.
“Macam mana kamu
dengan Sasha? Oh, mama lupa nak beritahu. Sebelum mama dengan papa ke Langkawi,
Sasha dengan mamanya ada datang. Nak melawat kamu. Dia ada masak bubur nasi untuk
kamu. Ada mama simpan dalam peti.”
Ha? Kenapa mama tak
beritahu awal-awal? Nak harapkan Saif Azrai selongkar peti sejuk, memang
taklah. Bila dia lapar, dia rela keluar makan dekat kedai berbanding masak
sendiri. Lainlah kalau mama ada. Rajin sikit tangan ni nak pegang sudip.
“Macam mana honeymoon mama? Seronok?”
“Eh, budak ni.
Orang bercakap pasal dia, pasal orang pula yang disoal.” Gumam Hajah Kistina
menggeleng kepala.
“Pasal Azrai
bila-bila pun boleh cerita. Pasal honeymoon
mama dan papa, kenalah korek cerita selagi masih hangat ni. Macam mana, pa?” Dia
beralih pula kepada Haji Rauf setelah Hajah Kistina seakan-akan tidak mahu
menjawab. Aduh. Mama nak tanya lagi pasal Sasha Amira, nantilah ya mama.
“Emm... seronok
yang macam mananya bila dah tua-tua ni. Macam itulah...” Spontan jawapan Haji
Rauf.
“Hai, dah tak
seronokkah jalan-jalan berdua dengan saya ni?” sindir Hajah Kistina di
belakang. Sekali lagi mengundang tawa mereka tiga beranak.
*******
Tepat jam sebelas
malam, Saif Azrai bangun dari katil. Buku Escape from camp 14 akhirnya habis
juga dibacanya. The Boom! Itu
deskripsi paling sesuai tentang buku tersebut. Kaki menganjak ke pintu lalu
pintu itu dikuaknya perlahan-lahan. Kepalanya mengintai dulu keluar. Rumah dua
tingkat itu separuh gelap. Hanya disinari lampu hiasan di laluan tingkat atas.
Telinganya dipasang luas-luas.
Confirm! Mama dan papa dah masuk tidur.
Perlahan-lahan
langkah diatur menuju ke dapur. Iphone kesayangan juga dibawa bersama. Peti
sejuk dibuka. Dia mencari bekas bubur nasi yang mama maksudkan petang tadi.
Hendak juga merasa masakan perempuan lain selain mama. Kali terakhir, sarapan
pagi yang Jenny masakkan untuknya masa belajar di UK dulu. Tapi emm... macam
tulah. Kalau sudah teman wanita mat saleh yang masak, tidak berani pula dia
hendak makan. Alamatnya, Ramous kawan serumahnya yang habiskan semua. Tapi di
depan Jenny...
“Your cook was marvelous, honey. You are no. 1 chef in my heart.”
Dia terpandangkan
sebuah termos kecil berwarna biru. Dibuka bekasnya dan yes! Inilah dia! Hatinya menjerit gembira. Terus saja dikeluarkan
dari peti sejuk dan dibawa ke dapur. Didekatkan hidungnya ke mulut termos. Ada
bau sedikit. Bau ayam.
Periuk lantas
diambil keluar dari kabinet. Diletak atas dapur lalu dituang semua isi termos
ke dalam periuk. Api dapur dihidupkan dan dia menanti. Beberapa ketika,
tangannya mencapai senduk. Dikacau bubur yang kian hangat itu sekali sekala.
Bau ayam semakin kuat menusuk ke hidung bersama-sama haruman rempah yang
dicampur bersama. Didekatkan hidungnya sedikit ke depan mulut periuk. Hmm...
wangi.
Britt! Britt!
Oh, nenek aku!
Latahnya dalam hati gara-gara terkejut dek gegaran dalam kocek belakang seluar
pendeknya. Bergegar rasa punggung. Melompat-lompat dia di depan dapur. Nasib
baik muka tak kena periuk panas. Kalau tidak mahu menjerit dia satu rumah.
Lekas tangannya menyeluk kocek lalu dijawabnya terus telefon itu.
“Helo, sayang. You
tak tidur lagi?” Satu suara manja milik seorang gadis merayap masuk ke liang
telinga. Qayreena. Terus saja bibirnya membentuk senyum.
“Belum. You pun tak
tidur lagi buat apa? Rindu dekat I ke?” soalnya mula hendak menggatal.
Jari-jemarinya yang panjang meraba-raba dinding. Kalaulah dinding itu muka si
Qayreena, mahu dicucuk-cucuk pipi Qayreena, dicubit-cubit hidung Qayreena yang
mancung bak belatuk itu. Tempoh hari kata bosan bila bersama Qayreena, tapi
bila sehari tak jumpa perempuan hati ni rasa kosong semacam.
“Tahu pun you I rindukan
you. Hari tu you janji nak temankan I, you pula pergi tergesa-gesa.” Nada
Qayreena seakan merajuk.
Makin geram hati
Saif Azrai mendengar suara Qayreena. Merajuk pun nak manja-mana. Alahai. Memang
rasa nak cubit aja pipi dia.
“Alah, you
janganlah nak merajuk. Masa tu I pinjam kereta sepupu I. Okeylah, sebagai nak
tebus balik kesalahan I yang lepas, esok kita pergi lunch sama-sama.” Dia mengajak.
Laju saja Qayreena
menguntum senyum lebar namun tidak terlihat dek Saif Azrai yang geram sendiri
membayangkan reaksi Qayreena. Suka hati Qayreena. Mahunya tak suka. Setiap kali
merajuk, pasti akan dipujuk. Dia juga bosan duduk seorang. Papa selalu sibuk
dengan hal syarikat. Tak cukup di KL, sibuk berulang-alik ke main office di Johor Bahru. Mama pula sibuk
dengan persatuan itu dan ini. Hal kebajikan sana dan sini. Kawan-kawan, masing-masing
semua dah berkerjaya. Ddaripada keluar dengan mereka yang ‘sangat-sangat sibuk’
tu, lebih baik keluar dengan buah hati.
“Esok?” Qayreena
mengulang, cuma mahukan kepastian. Seketika kedengaran suara gumaman Saif Azrai
mengiakan. “Janji?” soalnya lagi.
“Janji...”
“Okey, see you tomorrow darling.”
Saif Azrai
tersengih hingga ke telinga bila talian diputuskan. Senang saja hendak
dipendekkan cerita. Tabur saja janji, Qayreena mudah terpujuk. Masih tidak
berubah perangai gadis itu.
Ops! Hidungnya
terbau sesuatu, yang tidak enak dihidu. Kembang kempis hidungnya mengesan dari
mana datangnya bau itu. Alamak! Tangannya menekan kepala apabila terlihat
periuk atas dapur. Berkepul-kepul asap yang keluar dari periuk. Berlari Saif
Azrai ke situ. Cepat-cepat api dipadamkan dan dia menjengukkan kepala sedikit
ke depan mulut periuk. Huhu... hampir kering bubur itu yang tadi sepertiga
penuh. Disuapnya sedikit ke mulut dengan sudu.
Ouch! Melecur
lidahnya kepanasan. Kalut dia mengibas-kibas mulut dengan tapak tangan.
Lidahnya dijelir sekali. Bila reda radangnya, disudunya lagi bubur itu. Kali
ini tidak lupa untuk ditiup perlahan hingga hampir sejuk sebelum disuap ke
mulut.
Huhu. Terasa
hangitnya dalam tekak. Di bahagian dasar periuk, tebal berkerak. Aduh. Ini
semua melayan cakap Qayreena punya pasal. Habis hangit bubur calon menantu mama
masakkan untuk aku. Ops! Laju tangannya menekup mulut.
Calon menantu mama?
Oho... calon teman wanita baru akulah, bukan isteri!
No comments:
Post a Comment