Hmm... hmmm....
hmmmm....
“Ni apa kerja asyik
mengeluh aja dari tadi ni? Macam tengah fikir masalah dunia pula,” Intan Nazira
menegur bila telinganya tidak tahan lagi mendengar keluhan yang bertalu-talu
keluar dari mulut Sasha Amira. Bikin orang susah hati saja. Bukannya nak
bercerita.
Sasha Amira memandang
muka Intan Nazira. Lama tanpa sebutir perkataan. Kemudian, keluhannya saja yang
akhirnya menjawab teguran Intan Nazira tadi.
“Hmm... ni dah
kenapa pula? Mama kau bawa jumpa calon suami lain ke?” Telahnya sebarang. Muka
Sasha Amira monyok. Intan Nazira dapat merasakan seperti telahannya tadi benar.
Lantas dikoreknya lagi cerita. “Betul eh?” Tubuhnya mendekati Sasha Amira.
Soalannya diulang berkali-kali sambil menonjol lengan kawannya itu berulang
kali, selagi Sasha Amira tidak buka mulut.
“Kali ni siapa
pula? Eh, kalau kau tak nak juga kau kenalkanlah dekat aku aja. Tak adalah
membazir mama kau carikan.”
“Tak adalah...”
jawab Sasha Amira malas.
“Habis tu?”
Huhu... Muka Sasha
Amira mencemik dengan muncung mula terbit di bibir. Kepalanya diletak sekejap atas
meja, kemudian angkat semula. Dah macam gaya aerobik pula gamaknya. “Aku stres
la. Stres!” beritahunya keras dengan suara serak. Tangan menekan-nekan kepala.
Mengenangkan soalan mama pagi tadi sebelum dia keluar ke kolej, bikin dia
tambah stres.
“Nanti ajaklah
teman lelaki kamu tu datang makan tengah hari dekat rumah. Tak pun makan
malam.”
Aduh. Tidak
henti-henti mama bertanya pasal teman lelaki Sasha Amira. Beria mama hendak
berkenalan dengannya. Masalahnya sekarang, teman lelaki Sasha Amira memang tidak
pernah wujud.
Kalau tidak pun,
mama akan tanya sama ada Sasha Amira sudah menghubungi Azrai atau pun tidak.
Hai, kalau tidak jawapannya mulalah mama buka cerita semula pasal teman lelaki
Sasha Amira. Hai, mama ni. Tak puas lagi menjerat Sasha Amira dengan
soalan-soalan berkenaan cinta.
“Dei, kau ni dari
tadi monyok. Stres, stres, stres. Stres kenapa?” Laju tangan Intan Nazira
menampar tangan Sasha Amira. Mahu merah tangan Sasha Amira yang putih itu
berbekas penampar Intan Nazira. Spontan Sasha Amira mengaduh seraya menggosok
tangannya yang mula terasa perit.
Huh! Tangan oktopus
dah hinggap ke badan! Gerutu hati Sasha Amira. Sudahlah hati ini sudah cukup
bengkak dek desakan mama. Tapi disebabkan tidak mahu melawan kata mama, dia
diamkan saja. Cuma alasan yang mampu diberikan setiap kali mama membangkitkan
hal yang sama. Kalaulah papa ada, bolehlah juga minta papa sebelahkan dia.
“Mama aku sekarang
dalam dua tiga hari ni, makin ligat pula dia tanya pasal teman lelaki aku-”
“Bila kau ada teman
lelaki?” Pintas Intan Nazira hampir menjerit. Hampir saja menarik perhatian
teman-teman sekelas. Sekelip mata mereka berdua menjadi perhatian namun cuma
sesaat dua. Kemudian, masing-masing kembali membuat hal sendiri.
Sementara Sasha
Amira sekejap tadi ternganga, bila cakapnya dipintas Intan Nazira sebelum
sempat dia menyudahkan kata. Lepas itu, matanya pula yang meliar memandang
mata-mata yang memerhati. Zaimah yang tadinya syok melayan keropok Jackelnya
juga berpaling ke muka Sasha Amira, memandang dengan mata bundarnya yang kian
membulat seolah-seolah terkejut dengan kenyataan Intan Nazira tadi.
“Bagilah aku habis
cakap dulu.”
Intan Nazira
lebarkan tapak tangan ke depan, memberi isyarat seperti memberi laluan.
Terdengar keluhan Sasha Amira terlebih dulu sebagai pembuka kata. Duduknya
dibetulkan.
“Dengar sini
baik-baik ya wahai kawan-kawanku yang baik hati dan bijak pandai... aku harap
sangat dapat idea macam mana nak selesaikan masalah aku ni. Otak aku ni dah tak
boleh fikir dah. Beku aku rasa!” Beritahunya diajukan pada Intan Nazira dan
juga Zaimah.
“Okey...cer citer,
cer citer,” sampauk Zaimah meminjam trademark
Usop Wilcha.
Hmm... Sasha Amira
lepaskan keluhan halus terlebih dulu. “Korang ingat tak dulu aku ada beritahu
yang aku kelentong dekat mama yang aku dah ada boyfriend sebab nak mama berhenti carikan aku jodoh.”
Fikir sekejap.
Tidak lama, Intan Nazira terlebih dulu beri respons yang dia ingat kenyataan
Sasha Amira yang lepas. Sibuklah Zaimah yang tidak ingat bertanyakan pada Intan
Nazira. Yang mana ya? Bila? Puaslah Intan Nazira pulayang perlu mengingatkan
kawannya itu. Setelah berbuih mulutnya mengimbas beberapa hari lepas, barulah
Zaimah mengangguk sungguh-sungguh.
“Haaaa.... yang
tu....”
Laluan diberikan
semula kepada Sasha Amira untuk meneruskan ceritanya. “Ha, apa cerita dengan boyfriend kau tu? Mama kau tanya pasal
dia?” Intan Nazira meneka.
Perlahan-lahan
Sasha Amira mengangguk bersama muncungnya lagi. Intan Nazira hampir tergelak.
Dulu sudah diberi amaran, Sasha Amira tunjuk lagak. Kononnya pandailah dia
jawab dengan mama dia. Kan dia pelakon. Sekarang tayang muka tempoyak basi dia
pula depan kami. Ceh! Tak boleh pakai punya pelakon.
“Bukan takat tanya
aja, pasal boyfriend aku tu, pasal
lelaki yang mama aku kenalkan dulu. Lepas tu, mama siap daftarkan aku pergi
kursus pra-perkahwinan. Diam-diam tak beritahu pun.”
Menganga Intan
Nazira dan Zaimah mendengar cerita. Sementara Sasha Amira melekap lagi
kepalanya ke meja. Sedih bercampur hampa. “Parah aku macam ni. Dahlah mama aku
dah bagi warning suruh aku bawa boyfriend kenalkan kat dia sebelum umur
aku 30 tahun. Kalau tak... huhuhu...” Dia merengek perlahan.
“Kalau tak kenapa?”
Beria Zaimah menyoal.
Sasha Amira menekup
muka ke meja. Stres! Makin stres! sebelum ini dia abaikan saja ugutan mama itu.
Tapi dua tiga hari ni, lain macam aja perangai mama. Teringat warning Along hari tu, buatkan dia
sedar.
“Kalau tak kenapa,
Sasha?” Zaimah mengulang soalannya. Bahu Sasha Amira dipautnya perlahan. Dapat
dilihatnya mata Sasha Amira yang mula kemerahan bila kawannya itu mengangkat
muka. Gulp! Zaimah menelah liur. Parah kawan aku ni.
“Kenapa ni, Sasha?
Hei, janganlah macam ni...”
Sedu Sasha Amira
mula menjentik cuping telinga. Intan Nazira yang selalu becok bercakap dan
membebel juga terkesima di tempat duduknya. Sasha Amira menarik nafas
dalam-dalam setelah dipujuk Zaimah.
“Kan dah bagitau
dulu. Kalau aku tak dapat calon sebelum 30 tahun, aku kena kahwin dengan
pilihan mama aku...”
*******
Belum pun sejam
mereka masuk ke restoran makanan segera McDonalds, sudah riuh. Mula-mula memang
hajat nak makan tengah hari dekat kafe, tapi Sasha Amira pula tiba-tiba
teringin nak makan chocolate sundae.
Hendak sejukkan hati yang lara katanya.
Riuh restoran itu
pada waktu tengah hari. Apatah lagi sekarang banyak pula promosi harga rendah
yang ditawarkan McDonalds untuk hidangan tengah hari. Kerusi meja hampir penuh
dengan manusia. Memang sudah diduga sebegini sesak. Juling biji mata hendak
mencari tempat kosong. Bila jumpa, Sasha Amira terlebih dulu cop tempat duduk.
Dipesan saja makanan pada Intan Nazira mahupun Zaimah yang beratur di kaunter.
Malas dia nak ikut beratur. Sementara menunggu, matanya melilau. Habis setiap
sudut diperhatikan. Telinganya sekarang sudah macam separuh pekak dek
hinga-bingar suara manusia.
Sekumpulan remaja
beruniform sekolah yang siap bawa belon bermacam warna dan pakai topi bentuk
kon di kepala menjadi perhatian. Nampak gembira benar wajah-wajah mereka. Lepas
tu, nyanyikan lagu selamat hari jadi. Sambut hari jadi rupanya. Tiba-tiba saja
muncul kek dari belakang, dibawa oleh seorang budak lelaki dengan pakaian biasa.
Mestilah lelaki itu pun salah seorang daripada mereka. Duganya.
Salah seorang budak
perempuan yang duduk di meja itu nampak sangat mukanya terkejut. Surprise! Sasha Amira boleh meneka.
Mestilah budak perempuan tu punya hari jadi hari ini. Selesai budak perempuan
itu meniup lilin, budak lelaki yang bawa kek tadi hulurkan sekuntum bunga
mawar. Tersipu-sipu malulah dia bila kawan-kawan riuh menjerit suka sambil
menepuk tangan.
Hai, so sweet! Saiful Muslim dulu pun,
bercinta bagai nak rak tapi sekuntum bunga pun tidak pernah dia beri padanya.
Budak-budak muda sekarang lagi advance
nampaknya. Jeles akak. Sasha Amira terkenang-kenang wajah Saiful Muslim, saat
dia begitu romantik, saat dia beriak nakal, saat dia tersenyum.
Dia tersenyum
sendiri tapi tidak lama senyumnya pun mati bila dia sedar ianya cuma kisah
silam. Kisah silam yang tak mungkin kembali. Kisah silam yang berakhir dengan
keperitan dan kekecewaan. Lelaki itu kini milik orang. Bila mengenangkan semua
itu, dia kembali hampa. Teringat pula amaran mama yang hendakkan dia berkahwin
mahupun bercinta sebelum umurnya menjangkau 30 tahun. Hari dihitung dalam
kepala. Sekali lagi dia hampa.
Hai, kenapalah aku
lahir pada hari 1 Januari tu? Kurang tiga bulan, kurang daripada 100 hari lagi
hari jadi yang ke tiga puluh akan tiba. Tapi... dia mengeluh lagi.
“Aik, mengeluh lagi?
Nah, chocolate sundae kau. Bagi sejuk
sikit dada tu eh.” Intan Nazira menghulurkan cawan sundae ke depan Sasha Amira.
Kemudiaan dia ambil tempat di depan kawannya itu. “Tak elok asyik mengeluh ni.
Nanti rezeki lari.”
Sasha Amira diam.
Sundae yang dihulur Intan Nazira tadi terus disudu sedikit dan disuap ke mulut.
Yummy... sedapnya. Nikmatnya rasa hingga terpejam kedua belah mata. Sekejap,
dia dapat melupakan hal yang membuatkan otaknya kusut. Dia mencapai pula chicken burger yang dikirim tadi. Zaimah
dan Intan Nazira sudah syok melayan makanan masing-masing. Bila dilihat set
hidangan yang dibeli Zaimah, memang selalu biji matanya besar. Besar selera
kawannya yang seorang itu. Rasanya masa toleh sekejap tadi baru dibuka bungkusan
bigmacnya. Sekarang, Zaimah sedia untuk menikmati burger kedua. Spontan Sasha
Amira geleng kepala. Laju benar Zaimah telan burgernya.
Sasha Amira bangun
dari duduk. Menuju ke sinki untuk mencuci tangan. Selesai mencuci tangan, dia
membelek muka sekejap di cermin bila dilihatnya wajahnya macam berminyak.
Kertas tisu ditarik sehelai lalu menyapu muka yang rasa melekit. Kemudian
dirasa pula dengan jari. Masih berminyak. Heuuww... boleh dibuat goreng ayam
agaknya.
Tengah-tengah sibuk
membersihkan muka dengan tisu, tiba-tiba datang seorang lelaki hendak mencuci
tangan. Lelaki yang memberi bunga kepada budak perempuan yang menyambut ulang
tahun kelahiran tadi. Sasha Amira pura-pura buat tidak tahu. Tapi setiap
perbuatan lelaki itu dapat dilihatnya dari ekor mata. Tangan siap dibasuhnya.
Dia menghimpit dan memanjangkan tangan untuk mencapai tisu di sebelah Sasha
Amira.
Ops! Beritahulah
dulu kalau nak menyelit. Rusuhnya tidak selesa. Lelaki itu memandangnya.
Kemudian kenyit mata sambil tersenyum sebelum berlalu.
Berkerut-kerut dahi
Sasha Amira kerana tidak faham. Seketika kemudian, bibirnya mencebir sumbing.
“Ek eleh budak kecil ni, aku ni pangkat akak kau aje tau!” Ngomelnya sendiri
lalu menyudahkan sapuan bedak pula ke muka.
Zaimah sudah
selesai makan apabila Sasha Amira kembali ke meja. Bersandar kekenyangan.
Pinggan Zaimah dipandang. Licin. Memang pantas kawannya itu makan. Kunyah ke
telan? Riuh di hujung sana masih menjadi tarikan. Sasha Amira juga tidak
terkecuali melontar pandang.
Bising tapi seronok
melihat gelagat mereka. Lima budak perempuan, dua lelaki. Tidak sampai sepuluh
orang tapi kecohnya satu kampung. Mereka bergelak ketawa, bergurau senda dan
bila melontar kentang goreng ke kawan sedepa jauhnya, Sasha Amira geleng
kepala.
Budak-budak ni...
tak tengok ke budak Afrika yang kebuluran. Korang kat sini, buang-buang
makanan. Tengok macam Zaimah, ha licin dia makan. Hatinya asyik berdetik itu
dan ini.
Dalam pada dia
memandang, dia perasan lelaki tadi merenungnya dalam diam. Duduk di sebelah
budak perempuan tadi, mungkin teman wanitanya. Kalau sudah diberi bunga
setangkai, mestilah ada hubungan istimewa kan. Tapi mata merenung Sasha Amira
di sini. Uish! Cepat-cepat Sasha Amira melarikan pandangan. Dia pura-pura
melihat jam di tepi kaunter pesanan. Hampir jam satu setengah. Rehat hampir
habis. Pukul dua setengah akan ada tutorial Puan Raihana lagi.
Ingat pasal Puan
Raihana, Sasha Amira rasa malu. Malulah teringatkan babak dia merayu sakan
depan Puan Raihana sebelum ini. Aduh. Malunya nak berdepan dengan Puan Raihana
masa kelas nanti. Rasa hendak sorok aja muka bawah meja.
“Eh, jom balik
kolej.” Sasha Amira mengajak, tidak tahan. Panas punggungnya duduk lama-lama di
sini. Budak lelaki itu dilihatnya masih menjeling-jeling. Hai, main
jeling-jeling pandang-pandang pula dia.
“Nak balik? Burger
kau tu pun tak jamah lagi, tak lapar ke? Tu, sundae tu tak habis pun. Kalau tak
habis, mari bagi aku habiskan.”
Sasha Amira tolak
terus cawan sundaenya ke depan Zaimah. Ha, ambillah kalau nak sangat. Dia cuma
terasa nak balik kolej. Makin tidak selesa duduk di sini. Tenangkan jiwa apanya
kalau makin celaru dek pandangan budak lelaki itu. Tidak ada siapa pula antara
kawan-kawannya yang perasan. Atau pun kawan-kawan budak itu sudah biasa. Dasar
lelaki buaya agaknya.
Emm... dia pandang
luar tingkap aja kut! Sasha Amira cuba sedapkan hati.
Pandangannya
beralih ke sebelah. Melihat Zaimah yang masih berselera menghabiskan sundae.
Eh, eh... dia makan burger aku sekali? Ish, budak Zaimah ni. Sabar ajalah.
Kerana lapar, Sasha Amira sumbat kentang goreng yang masih berbaki ke mulut.
Jadilah untuk dibuat alas perut.
Oh, tak boleh jadi
ni! Hati Sasha Amira merusuh bila menyedari masih ada mata yang memandang. Kali
ini dia tidak mahu lari. Sasha Amira membalas renungan itu dengan pandangan
tajam, menandakan dia benar-benar tidak selesa. Lelaki itu pula tersenyum.
Sekarang, siap melambai lagi.
Eii... tak cukup
awek dekat sebelah, ada hati nak pandang yang lain. Gerutu hati Sasha Amira
melihat lagak lelaki itu. Zaimah disuruhnya menghabiskan makanannya
cepat-cepat. Sasha Amira bangun semula. Sekali lagi dia pergi ke sinki, memcuci
tangan cepat-cepat. Lelaki itu muncul lagi di sebelahnya. Dia membasuh tangan
sambil matanya tetap melekat memandang Sasha Amira dari dalam cermin.
Kali ini, awal-awal
lagi Sasha Amira berganjak ke belakang bila lelaki itu menutup pili. Sudah
pasti lelaki itu akan menarik tisu. Selamat. Sasha Amira juga tidak menunggu lama.
Terus saja ditarik tisu selepas selesai mencuci sabun di tangan.
Baru hendak menarik
nafas, lelaki itu muncul pula di sebelah Sasha Amira. Sehelai tisu diletakkan
atas meja depan Sasha Amira. Sasha Amira cuma memandang kosong. Mendongak
dengan riak pura-pura tidak mengerti. Lelaki itu menggerakkan bibir lalu
tersenyum. Sasha Amira faham maksud gerakan bibir itu.
Call me!
Heuw! Badan pun tak
berapa nak tinggi, ada hati nak mengorat orang yang lagi tua. Entah-entah umur
dia pun cuma budak hingusan aja! Getusnya geli-geleman.
Intan Nazira
tergelak-gelak sambil menyorok muka dalam tapak tangannya. Zaimah pula tergamam
dengan mulut buncit. Sasha Amira menggesa kawannya itu supaya cepat. Panas dia
duduk di situ. Bekas makanan yang bersepah atas meja dipungut masuk atas
dulang. Termasuk kertas tisu yang tertulis nombor telefon budak lelaki tadi
direnyuk dan dibuang sama dalam dulang. Budak lelaki tadi sudah kembali ke
tempatnya tapi masih setia memandang ke sini.
Eii... geramnya.
Geramnya.
Bagai ada api yang
membakar hatinya kini. Menyampah, meluat, benci semuanya ada. Matanya meliar
pandang keliling. Sesekali bibirnya dibebel kepada Zaimah, mengerah lagi
kawannya itu segera menghabiskan makan dan minumnya. Lama pula rasa Zaimah
menyudahkan makan kali ini. Tadi laju sangat. Sekarang perut dah mengah pulakah
sampai terdemut-demut? Saat matanya memandang ke kaunter, tiba-tiba dia
tertancap pada seorang pelayan di kaunter itu. Kaunter sudah semakin surut.
Tidak sesibuk awal tadi. Muncul akal nakal tiba-tiba lantas dia bangun sambil
tersenyum nipis. Kertas tisu tadi diambilnya semula lalu bangun ke depan
kaunter. Pelayan perempuan nampak macam budak sekolah, baru habis SPM agaknya.
“Ya, cik.” Budak
perempuan itu bersuara dengan senyuman, sedia untuk mengambil pesanan.
“Budak lelaki tu
suruh saya bagi pada awak!” bisiknya kepada budak perempuan itu lalu
menghulurkan kertas tisu yang tertulis sesuatu kepada pelayan itu. Telunjuknya pula
menunjuk ke arah budak lelaki tadi. Dia nampak budak lelaki itu memandang.
Berkerut-kerut wajahnya. Sedangkan budak perempuan di depan Sasha Amira
sekarang sudah tersipu-sipu. Alahai... budak-budak.
Sasha Amira senyum
puas. Padan muka! Dia menyambar beg tangan lantas mengajak kawan-kawannya
pergi. Zaimahlah yang paling kalut memungut barang-barangnya. Mulut dan tangan
comot tidak sempat dibersihkan. Nasib baik sempat sambar tisu sehelai yang
masih belum diguna atas meja.
“Eh, apasal kau
pergi bagi nombor budak tu pada cashier
tu pula? Apa salahnya kenal-kenal. Manalah tahu kau boleh syok dekat dia,” kata
Intan Nazira tidak setuju akan tindakan Sasha Amira.
Sasha Amira diam
tidak menjawab. Langkahan kakinya terus dihayun selaju yang mungkin. Sakit
hati... sakit hati, itu yang dia rasakan sekarang.
“Entahnya, kata nak
cari boyfriend. Tapi dah dapat, reject pula!” Zaimah pula menyampuk.
“Agak-agaklah kalau
nak cari boyfriend pun. Terang-terang
dia dah ada awek dekat sebelah, siap bagi bunga, lelaki macam tu ke aku nak
jadikan boyfriend? Dahlah muka macam
budak kecik. Eii... tak payah... tak payah.”
“Alah, jadi boyfriend palsu pun apa salahnya. Dapat
juga selamatkan diri kau tu daripada amaran mama kau tu.” Zaimah memberi idea.
Senyap. Tiada
jawapan daripada Sasha Amira selepas itu. Beg tangan yang hampir terlurut dari
bahu dibetulkan dua tiga kali. Ish, beg ni pun nak mengada-ngada juga. Habis
semua benda dirasakan tidak kena. Berkali-kali suara dia marah-marah sendiri
hinggap ke telinga Zaimah dan Intan Nazira. Senyap kawan-kawannya itu tidak
menjawab bila angin Sasha Amira makin teruk nampaknya.
Intan Nazira sudah
mula susah hati. Mulalah dia fikir macam-macam akal hendak tolong kawannya tu. Boyfriend palsu? Emm... puas Intan
Nazira fikir idea yang dilontar Zaimah tadi.
*******
Kalau tadi cuma
sakit hati, sekarang rasa macam nak tercabut tangkai jantungnya apabila suara
lembut Puan Damia menyapu telinga.
“Mama masak special untuk makan malam nanti. Ajaklah
boyfriend kamu datang makan sekali.”
Sasha Amira pandang
ke depan. Puan Raihana sudah lama keluar dari kelas. Lihat pula ke kiri, kanan
dan belakang. Boleh dikira pelajar lelaki dalam kelasnya. Azam, Lokman, Hafizi
dan Andy. Empat orang saja. Tidak banyak pilihan untuk dijadikan teman lelaki
sementaranya, seperti mana akal Zaimah. Puas dia fikirkan idea itu masa kelas
Puan Raihana sedang berjalan. Elok juga idea itu tapi siapa lelaki yang hendak
dijadikan bidan terjun? Aduh. Melencong jauh otaknya.
Andy, budak dari
Kuching Sarawak, suku kaum Bidayuh. Sah-sahlah Sasha Amira kena tolak Andy
awal-awal kerana bukan beragama Islam. Nanti tebal telinganya dibebel Puan
Damia lagi. Hafizi dan Lokman, dua-dua sudah berpunya. Teman wanitanya pula
budak sekelas. Huh, mahukah mereka tolong Sasha Amira? Hai, mesti takut teman
wanita punya. Sudahnya, tinggal Azam seorang. Nak, tak nak, nak, tak nak?
“Emm... tak
bolehlah mama. Dia busy orangnya. Nak
ajak tiba-tiba macam payah pula.” Akhirnya dia memberi alasan untuk mengelak.
Dia tidak mahu jadikan sesiapa sebagai teman lelaki. Tak kiralah Azam, Hafizi,
Lokman mahupun Andy. Huhu bak kata orang Perak, tak sior teman!
“Busy ke alasan aja tu?”
Aduh. Sebiji lagi
peluru bolos masuk ke dalam kepala rasanya. Macam tahu-tahu saja Puan Damia
yang Sasha Amira kelentong. Parahlah
Sasha Amira hendak cari alasan.
“Betul mama, bukan
alasan semata. Nanti Sasha ajaklah dia bila dia free, Sasha beritahu mama ya bila dia nak datang. Sasha ada kelas
lagi ni, mama. Sasha letak telefon dulu tau. Assalamualaikum.”
Lantas Sasha Amira
menarik nafas panjang dan menghempas tubuhnya ke belakang. Fuh, semput! Dah
kenapa pula mama asyik bangkitkan hal teman lelaki pula ni? Sampai telefon
segala, macam dah buat perangai lama pula. Dulu, masa mama sibuk nak kenalkan
Sasha Amira dengan lelaki itu, lelaki ini, selalu juga mama telefon. Kononnya
nak ajak makan sama dekat luarlah, nak minta teman shoppinglah. Rupa-rupanya ada udang di sebalik mi! Mama bawa jumpa
calon menantu pilihan hati mama.
“Apasal pula ni?
Mama kau tanya pasal boyfriend lagi
ke?” Tebak Intan Nazira sebarang sebaik melihat wajah muram Sasha Amira yang
tidak sudah setelah habis bercakap di telefon. Sebarangan tebakannya namun
memang tepat jangkaannya itu. Hanya keluhan saja yang mampu dihempas Sasha
Amira sebagai jawapan. “Parah gini, Sha. Kalau macam nilah gayanya, mama kau
nampaknya memang desperate nak kau
kahwin. Mahu taknya, anak dia dah dekat 30. Nanti lambat kahwin, nak beranak
pun payah. Umur dah meningkat ni lagi payah nak pregnant tau, mak aku cakap. Kalau pregnant pun risiko dia tinggi.”
Sasha Amira pandang
muka Intan Nazira dengan pandangan kosong. Nafasnya saja yang dihempas
bertalu-talu. Sudah mulalah tu syarahan Intan Nazira, hendak menggantikan Puan
Damia. Semua cerita pasal kahwin, beranak semuanya keluar dari mulut dia. Lepas
tu, nak kaitkan pula dengan umur Sasha Amira. Stres Sasha Amira dengar.
“Alah, kalau susah
sangatlah Sasha... kau setuju aja dengan pilihan mama kau tu. Tak payah
susah-susah cari teman lelaki pula dalam masa singkat ni. Bukannya buruk benar
pilihan mama kau. Lelaki hebat-hebat juga apa!” Zaimah sekali lagi menyampuk,
macam biasa.
Huish! Tadinya dia
juga yang bagi idea guna teman lelaki palsu. Sekarang nak suruh aku terima pula
pilihan Puan Damia. Lalang ke apa budak ni? Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri.
Makin serabut otak Sasha Amira dok fikir semua ni lah!