Terkebil-kebil
matanya dibuka. Rasanya belum puas dia bermalas-malasan atas katil selepas
solat Subuh pagi tadi. Sekarang telinganya sudah dihujani suara nyaring Puan
Damia. Tubuhnya digoncang sama.
Tiba-tiba dunianya
terasa begitu terang. Bila dibuka mata lebih luas, dapat dilihat jendela
kamarnya telah diselak luas oleh Puan Damia. Puan Damia masih di situ, mengikat
kaki jendela naik ke atas. Bibir Puan Damia rancak terkumat-kamit, meleteri
Sasha Amira agaknya. Namun tidak sebutir pun mampu Sasha Amira tafsirkan ketika
ini. Dia pejamkan mata semula walau silau matahari memancar hingga ke katilnya.
Selimut ditarik hingga menutup seluruh kepala. Malap semula. Emm... baru sedap
nak sambung tidur.
“Ish, anak dara ni!
Makin kuat orang berleter, makin sedap pula dia tidur.” Puan Damia mendekati
katil. Selimut ditarik kasar dari menyelubungi tubuh anaknya. “Eh, bangunlah.
Apa anak dara bangun lepas matahari dah tegak ni? Mama dulu, lepas subuh dah kena
buat kerja rumah tau. Kemas rumah, masak. Hei... budak ni. Malas betul.
Bangun.” Kejut Puan Damia sambil menepuk-nepuk lengan Sasha Amira.
“Ngantuklah, ma...”
sungutnya. Mata yang terasa silau ditutup dengan tapak tangan. Masih terang,
dia berubah kedudukan untuk membelakangi jendela.
“Tahu pun kantuk.
Siapa suruh balik lewat-lewat malam? Ha, bangun. Jangan nak membuta lagi
terang-terang macam ni. Kalau tak nak bangun, mama siram dengam air nanti.
Mandilah kamu dekat sini.” Bergoncang lagi tubuh Sasha Amira. Lambat-lambat dia
bangun kerana tidak tahan bergegar satu badan. Ditambah pula dengan suara Puan
Damia yang nyaring bagai menyanyi-nyanyi di telinga. Mukanya dikesat dengan
tangan. Saki baki air liur basi juga dikesat sama.
“Kelas Sasha petang
hari ni, ma. Buat apa bangun awal sangat ni? Bagilah Sasha tidur sekejap lagi,
boleh? Sekejap aja...” Pintanya malas. Mulut menguap besar hingga tidak sempat
dikatupnya dengan tangan.
Huh, macam mulut
badak pula rupanya. Puan Damia menggeleng dan bercekak pinggang. Tidak senonoh
benar dia lihat perangai anak daranya yang bongsu ini.
“Jangan nak
mengada. Pergi bangun, mandi. Berus gigi, basuh muka tu. Dah rupa sememeh macam
seminggu tak mandi dah mama tengok. Ini kalau calon suami tengok, semua cabut
lari!” Lengan Sasha Amira ditampar lagi. Berkali-kali dikerah anak daranya itu
bangun. Puan Damia tetap gagah berleter selagi Sasha Amira tidak berganjak dari
tempat tidur.
Lemah gemalai
pergerakan Sasha Amira, bangun dari katil dan berjalan ke almari. Membelek baju
yang tergantung satu per satu. Ada yang berkenan, dia capai dan disangkut ke
lengan. Dia menguap lagi dua tiga kali dalam perjalanan ke bilik mandi. Dia
duduk atas mangkuk tandas. Menguap lagi lalu matanya terkatup semula. Belum puas
dia lelap seminit dua, bunyi ketukan pintu bilik air mengejutkannya sekali
lagi.
“Bilik ni nanti
jangan lupa kemas. Berselerak mengalahkan bilik anak bujang!” Terdengar lagi
suara Puan Damia memekik di luar. Sasha Amira menjawab malas lalu menyambung semula
tidurnya.
*******
Selesai menjamah
roti bakar, Haji Rauf meneguk habis teh O dari cawannya. Kemudian dia bangun
meninggalkan meja makan. Hajah Kistina tenang mengikut di belakang untuk
menghantar suaminya hingga ke pintu.
“Ha, Azrai. Tak
mahu pergi sama?” Haji Rauf menyoal saat terlihat anaknya menuruni anak tangga
dari atas. Masih bersiap-siap nampaknya membuntangi lengan bajunya.
“Emm... tak
nampaknya, papa. Azrai lapar. Nak makan dulu...” balas Saif Azrai sambil
tersengih-sengih pada papanya. Tangan pura-pura meraba perut, minta simpati.
“Macam mana bos
datang lagi awal daripada staff ni?”
Gurau Haji Rauf pula lalu ketawa kecil. Saif Azrai menyambut tawa papa. Tangan
orang tua itu dicapai lalu dicium tanda hormat. Hajah Kistina cuma tersenyum.
Kemudian menghantar Haji Rauf hingga ke kereta pula sementara anak bujangnya
hilang ke dapur.
Tangan sang suami
dicium Hajah Kistina sebelum suaminya itu masuk ke dalam perut kereta. Elok
saja duduk Haji Rauf, dihulurkan pula beg bimbit milik suaminya itu.
“Jalan hati-hati,
bang.” Pesan Hajah Kistina seperti selalu.
Sedikit demi
sedikit kereta Mercedes E200 CGI mengundur ke belakang, keluar dari perkarangan
rumah banglo dua tingkat itu dan akhirnya hilang dari pandangan. Hajah Kistina
menghayun langkah ke dalam rumah semula. Dia menuju ke dapur di mana anak
bujangnya sedang menjamah sarapan pagi seorang diri.
Hai, kalau bangun
awal sikit tadi kan boleh sarapan bersama. Tak adalah makan seorang. Kasihan
anak mama.
Saif Azrai lemparkan
senyum bila terlihat kelibat mamanya muncul di ruang makan. “Mama dah makan?”
“Dah, dengan papa
tadi.” Pendek jawapan Hajah Kistina. “Nak air?” Hajah Kistina mempelawa bila
dilihatnya cawan anaknya masih kosong. Cepat Saif Azrai mengangguk. Roti yang
baru dioles jem tadi disumbat ke dalam mulut.
“Makanlah
perlahan-lahan. Tercekik nanti.” Hajah Kistina menegur. Senyum tersungging di
bibir melihat gelagat anak bujangnya yang nampak tergopoh-gapah sejak papanya
keluar tadi. Teh O yang masih panas dituang separuh ke dalam cawan dan
dihulurkan kepada Saif Azrai. Kemudian, Hajah Kistina duduk di kerusi
setentang. Sekeping lagi roti bakar dioles dengan marjerin bercampur jem
strawberi kegemaran Saif Azrai.
“Macam mana dengan
gadis yang mama kenalkan tempoh hari? Kamu berkenan tak?” soal Hajah Kistina
tiba-tiba. Roti bakar tadi diletakkan di atas piring dan didekatkan pula di
depan Saif Azrai kemudiannya.
Hehe! Saif Azrai
gelak nakal dalam hati. Hendak kata berkenan, dia belum tahu. Tapi bolehlah
dimasukkan dalam senarai tambahan untuk dipikat. Sekarang ni, memang tengah
cari peluang pun mama. Ikutkan rasa hati, mahu diberitahu pada Hajah Kistina
sebegitu rupa tapi nampak sangat dia pula yang gelojoh hendak mengejar cik
bunga. Lagipun, Hajah Kistina tidak tahu-menahu langsung perihal teman wanita
anaknya yang berderet itu. Sangkanya, Saif Azrai cuma tahu duduk bawah
ketiaknya saja selama ini. Tidak pernah langsung mahu bersosial mencari teman
hidup. Walhal, pantang ada peluang, dengan client
Haji Rauf pun dia berani memikat.
Salah seorangnya,
bekas teman wanitanya yang baru putus tiga bulan lepas. Aisyah Hana namanya.
Orang cantik, secantik namanya. Seorang Pengarah Urusan di sebuah syarikat
farmaseutikal. Jarang sekali dia jumpa Pengarah Urusan perempuan, anak Melayu
pula tu. Langsung Saif Azrai tidak lepaskan peluang. Awalnya, tanya soalan asas
yang biasa saja. Setakat hendak mengenali pelanggan sendiri. Saif Azrai juga
tidak langsung bazir banyak masa. Baru seminggu hubungan terjalin antara syarikat
kontraktor dan pelanggan, dia sudah mula buka langkah untuk berkenalan lebih
dekat. Hubungan mereka lama juga bertahan. Putusnya hubungan mereka pun sebab
Aisyah Hana dilamar terlebih dulu oleh lelaki lain. Saif Azrai pula dengan
senang hati melepaskannya pergi walaupun Aisyah Hana hanya mahu setia padanya.
Namun bagi Saif Azrai pula, dia belum mahu memikul komitmen sebagai suami.
Kecewanya Aisyah Hana ketika itu, langsung Saif Azrai tidak peduli.
Ha. Sekarang, kisah
Sasha Amira, gadis yang Hajah Kistina sendiri buat pertama kalinya perkenalkan
kepada anak bujangnya yang kini sudah menjangkau 26 tahun. Saif Azrai
berfikir-fikir, reaksi yang bagaimana hendak ditunjuk pada Hajah Kistina.
Teruja? Gembira? Atau jual mahal?
“Emm... boleh
tahanlah, ma.” Ujarnya terangguk-angguk sambil mengonyak roti dengan gigi dan
dikunyah bersungguh-sungguh.
“Hai, boleh tahan
aja?”
Saif Azrai
menangguk lagi. Hajah Kistina merenungnya dengan wajah kurang percaya. “Boleh
tahan... ada rupa, badan cantik, mata cantik...”
“Hai, anak mama ni.
Semuanya ciri fizikal sajakah yang kamu tengok?”
“Nak komen
lebih-lebih pasal peribadi dia, belum sempat kenal lagi mama.”
Hajah Kistina
tersenyum lagi. “Kalau macam tu, bila lagi kamu nak jumpa dia? Nak kenal-kenal?
Lambat-lambat nanti diambil orang pula.”
Wow! Mama macam
serius aja bunyinya nak bermenantukan Sasha Amira. Belum tentu lagi aku
berkenan dengan dia. Emm.. kalau dari segi rupa, memang boleh tahanlah. Cantik
memang cantik. Tapi tak ada istimewanya. Kalau hendak dibandingkan dengan
Qayreena, gadis putih mulus itu jauh lebih perfect!
Jika diberi markah, Saif Azrai beri lima per sepuluh markah pada Sasha Amira.
Okeylah tu, kira lulus jugalah walaupun gred C.
Hajah Kistina
merenung penuh makna. Seakan tidak sabar ingin tahu jawapan daripada mulut Saif
Azrai. Sementara Saif Azrai kenalah pandai berlakon. Diari diraih dari dalam
beg bimbitnya. Dia membelek-belek helaian diarinya dari satu muka ke satu muka.
Matanya tekun mencari tarikh, walaupun planner
bulan ini kosong tiada catitan. Semua urusan yang seharusnya dia selesaikan
sudah ditolak awal-awal kepada Izi Helmy. Kasihan sepupunya itu. Berkampunglah
dia dekat pejabat untuk menyiapkan semua kerja yang dia tinggalkan.
“Aik! Nak jumpa
calon isteri pun kena tengok planner?
Hai... anak Haji Rauf. Sama aja perangainya.” Hajah Kistina menggelengkan
kepala serentak menghempas nafas halus.
Gulp! Saif Azrai
tersengih. Calon isteri? Geli rasa telinga Saif Azrai dengar perkataan itu.
Sekali lagi soalan yang sama berlegar di fikiran. Mahukah dia beristeri?
Setakat kenal dulu, bolehlah.
Britt! Britt!
Iphone milik Saif
Azrai berdering. Pantas dia menyambar telefon dari atas meja. Entah-entah Haji
Rauf yang menelefon. Jauh sekali sangkaannya meleset bila tiada nama pemanggil
yang tertera atas skrin. Hanya lebih sepuluh angka yang tidak dikenali. Dia
berkerut. Akhirnya dijawab juga panggilan itu bila memikirkan bimbang-bimbang
pelanggan baru yang menghubunginya ketika itu.
“Helo.” Tenang dia
memulakan bicara di talian. Seketika ada suara wanita yang menyahut.
“Helo,
assalamualaikum. Ni, Azrai ya?”
“Waalaikumusalam.
Ya, saya Azrai bercakap. Siapa yang bercakap di sana?”
“Makcik ni, Mak Cik
Damia.”
Tergamam Saif Azrai
seketika. Matanya bulat memandang tepat ke muka Hajah Kistina di depan. Nafas
ditarik perlahan-lahan. Fuh, baru saja mama cerita pasal Sasha Amira tadi.
Sekarang mamanya pula yang menelefon.
“Ya, Mak Cik Damia.
Ada apa yang saya boleh tolong ke?” Tertib Saif Azrai menuturkan kata. Suaranya
berubah mesra. Hajah Kistina juga terkejut sekejap mendengar nama Puan Damia
disebut Saif Azrai. Kemudian dia tersenyum-senyum.
“Makcik nak minta
tolong kamu sikit. Boleh kamu datang rumah makcik?” Suara makcik Damia
kedengaran tergesa-gesa.
Permintaan Mak Cik
Damia lekas dipertimbangkan Saif Azrai. Aduhai. Macam mana ya? Kalau kata
tidak, dulu dia juga yang beria-ia beritahu hubunginya saja, bila-bila masa pun
boleh. Nak tunjuk baik sangat depan orang tua. Padan muka kau Azrai! Sempat dia
kutuk diri sendiri.
“Bila tu makcik?”
Dia cuba bertanya.
“Sekarang, boleh?”
Alamak! Habis aku!
“Sekarang?” Saif
Azrai terdiam. Wajah Hajah Kistina dipandang lagi. Jam di pergelangan tangan
dibelek pula kemudian. Diari juga dibelek sama. Macam mana ya? Boleh ke
tidak... boleh ke tidak?
*******
“Alamak! Hari ni
ada test Puan Raihana!” Kelam-kabut
Sasha Amira berlari dari bilik mandi ke luar apabila dia terjaga dari tidur.
Bila dilihat jam loceng di sebelah katil, jarum panjang sudah menunjuk diantara
nombor sepuluh dan sebelas.
“Habis aku. Macam
mana boleh lupa ni?” Sasha Amira kalut mencapai buku nota atas meja belajar di
sudut tepi biliknya. Hai, macam manalah dia boleh terlena dalam bilik air.
Berjam-jam memerap dalam tu, tidak juga mandi. Nota kelas Puan Raihana
dibelek-belek. Ada dua topik semuanya untuk soalan ujian hari ini.
Erk! Kelas Puan
Raihana akan bermula jam 12 nanti. Sasha Amira berkira-kira. Perjalanan dari
rumahnya ke kampus mengambil masa lebih kurang 15 minit. Sekarang... Sasha
Amira paling ke jam loceng sekali lagi. Matanya dikecilkan untuk menilik kedudukan
jarum jam itu. Pukul 10.45 pagi. Kalau jalan sesak, lebih kurang setengah jam
ada kut! Tambah setengah jam, jadinya 11.15 pagi. Dia tenung baju yang
dipakainya sekarang.
Ahhhhhh!
Bagai pelesit dia
berlari ke bilik air semula. Terkocoh-kocoh dia mandi. Tidak sampai lima minit,
dia sudah keluar dari bilik mandi.
*******
Bak kata mama tadi,
hendak pikat anak kenalah pikat ibunya dulu. Macam biasa dia dengar bidalan
itu. Sebab itulah dia muncul di sini. Ingatkan kena tolong ‘bakal mertua’. Ops!
Bakal mertua? Hoho, tak mungkin. Saif Azrai belum bersedia. Semua yang dibuat
cuma untuk sedapkan hati mama. Dalam hati, tetap seronok sebab boleh memikat
bunga yang baru.
“Makcik ni beri
jalan aja. Pandai-pandai kamu berdua nak kenal hati budi masing-masing.”
Wow! Puan Damia
memang ibu moden zaman sekarang. Open
minded! Sporting! Okey, apa lagi gelaran untuk Puan Damia? Pendek kata idea
Puan Damia memang terbaik. Awal-awal sudah beri laluan untuk Saif Azrai memikat
anaknya. Senanglah macam ni. Buat letih saja Saif Azrai meronda kampus belajar
Sasha Amira sehari suntuk semalam. Itu pun tidak mendatangkan hasil selain
ketiaknya yang hangit dibasahi peluh.
Saif Azrai menanti
di ruang tamu. Sementara Puan Damia menghilang sekejap tadi. Katanya hendak ke
dapur. Tinggal Saif Azrai seorang, menanti anak gadis Puan Damia dengan hati
berbunga. Bermacam khayalan berlegar di fikirannya. Tercari-cari ayat biasa
yang digunakan untuk mula-mula mengenali hati wanita. Emm... macam sudah lama
tidak memikat. Kali terakhir, pada Qayreena sebulan selepas dia berpisah dengan
Aisyah Hana.
Bertemu dengan
Qayreena hanyalah satu kebetulan. Di shopping
mall KLCC semasa dia mencari hadiah perkahwinan buat Aisyah Hana. Ketika
itu, dia bergeser bahu dengan gadis itu di depan askulator hingga Qayreena
hampir terjatuh. Mujur dia sempat menangkap tubuh gadis itu sebelum melutut ke
lantai. Woah! Dengar bunyinya macam aksi dalam filem hindustan.
Untuk memikat
Qayreena, tidak susah. Pada pandangan pertama Qayreena sudah tertambat hati.
Cinta pandang pertama, kata orang! Bila dilihatnya gadis itu seakan malu-malu
kucing, mulalah dia masuk jarum. Tanpa segan silu, diajaknya minum bersama di
kafe sebagai meminta maaf kerana hampir menyebabkan gadis itu tersembam.
Kononnyalah walhal itu cuma alasan untuk memikat. Tidak sangka pula yang
Qayreena itu anak orang berada. Haha! Saif Azrai memang cukup bertuah dapat
memancing si ikan emas.
“Minumlah dulu.” Pelawaan
Puan Damia itu serta-merta meleraikan fikirannya yang melayang mengingati
memori lama. Cewah, baru beberapa bulan lepas berlalu saja pun.
“Buat susah-susah
aja mak cik ni...”
“Apa susahnya. Air
teh bujang aja ni ha... makcik nak siapkan bungkusan untuk mama kamu sekejap.” Beritahu
Puan Damia lagi. Secawan teh diletak di depan Saif Azrai sebelum Puan Damia
berlalu ke dapur semula.
Saif Azrai membalas
dengan senyuman. Teh yang dihidang diteguk sedikit tanpa segan silu.
*******
Seluruh meja solek diselongkar
hingga berselerak botol-botol kosmetik yang awalnya tersusun kemas. Di dalam
laci juga dibelek sekali. Beg yang dipakainya semalam juga dipunggah hingga
kosong isi perut. Namun benda yang dicari masih tiada.
Lima belas minit
saja tadi dia ambil untuk membaca nota Puan Raihana. Itupun dapat tengok
sedikit saja. Entah ingat atau tidak. Hatinya berdebar. Sekarang pula, kunci
keretanya pula tidak jumpa. Aduh. Buang masa betul!
“Mana pula aku
letak kunci semalam? Dah merata aku cari ni, tak jumpa juga.” Rungut Sasha
Amira perlahan sambil terus meraba-raba atas katil. Dijelingnya jam di
pergelangan tangan. Sasha Amira sudah hampir lewat. Kuliah akan bermula kurang satu
jam lagi. Tapi ketika inilah kunci keretanya pula yang hilang tanpa kesan.
Habislah... habislah. Kenyataan itu asyik bermain di fikirannya sekarang.
Cuba diingatnya
semula di mana kali terakhir dia meletak kunci itu semalam. Sepatutnya tidaklah
tersorok sangat tempatnya. Tapi... akhirnya, satu keluhan dihempas agak keras.
Dengan terhentak-hentak,
Sasha Amira berlari keluar dari bilik. Menuruni tangga, mencari Puan Damia di
bawah.
“Mama...” Sasha
Amira memanggil sambil mencari bayang Puan Damia. Hingga ke dapur dicarinya
tapi Puan Damia tiada. Dia menjengah ke halaman belakang. Tiada juga. “Mama...”
panggilnya panjang hampir menangis. Kaki dihayun pula ke depan. Dapat
dilihatnya kelibat Puan Damia di ruang tamu. Puan Damia bagai tercari-cari
suara yang memanggil-manggil namanya.
“Mama nampak kunci
kereta Sasha tak?” Soalan itu terus saja keluar dari mulut Sasha Amira sebelum
Puan Damia bersuara. “Dah merata Sasha cari dekat bilik tak ada. Manalah kunci
tu hilang...” Tangan meraba kepala. Kusut fikirannya bila letih mencari tapi
tidak juga ketemu benda yang dicari. Matanya tercari-cari juga di sekitar meja
makan dan kabinet. Dalam masa yang sama otaknya mencongak waktu. Jika dikira
mahu sudah lebih sepuluh minit dia mencari merata tempat.
Sedangkan sudah
tersungging senyum nipis di bibir Puan Damia dalam diam. Menjadi akalnya untuk
menyembunyikan kunci kereta itu awal-awal tadi. Rancangannya kali ini mesti
menjadi. Jadi, sekarang kenalah Puan Damia berlakon.
“Kamu letak kunci
dekat mana semalam? Semalam kan kamu balik lewat malam. Ha, dah kantuk tu mesti
letak barang merata!”
Hari ini Sasha Amira
tidak boleh tidak muncul. Datang lewat pun dia tidak berani kerana Puan Raihana,
pensyarah bagi kuliah pertamanya sudah memberi amaran. Apatah lagi hari ini
bakal dijalankan ujian tergempar. Lewat menjejak kaki ke dewan kuliah saja
sudah ditolak markah. Lebih lewat lagi, pintu dewan kuliah pula ditutup rapat.
Alamatnya, bye-bye sajalah. Kalau dulu, bolehlah bertolak ansur dan minta
simpati Puan Raihana. Tapi setelah berbadan dua, berubah angin nampaknya
pensyarahnya itu.
“Alah, ma. Mama
tolonglah Sasha cari. Sasha dah lambat ni. Kejap lagi ada ujian...”
“Kenapa dari pagi
tadi tak cari? Dah tahu lewat, baru kelam-kabut nak mencari. Buat tahi mata
lagilah tu. Ah, tak payah susah-susah carilah. Kalau cari pun, entah pukul
berapa baru jumpa. Minta tolong Azrai saja yang hantarkan kamu ke kolej.”
“Ha, nak minta
tolong siapa pula tu mama? Tak payahlah susahkan orang lain...” Sasha Amira
masih terlompat-lompat di depan kabinet. Hingga ke atas itu dia mencari kunci
keretanya. Manalah tahu, dia yang tidur berjalan. Campak barang merata-rata
tempat.
“Apa pula susahnya.
Kebetulan Azrai datang nak hantar lempuk yang Hajah Kistina kirimkan.” Puan
Damia mereka cerita. Lengan Sasha Amira ditepuk anaknya itu berhenti daripada
mencari. “Sudahlah tu. Nanti mama carikan. Kamu pergi kolej dulu dengan Azrai.
Dia tu anak kawan mama, takkan dia nak buat apa-apa pula pada kamu.”
Ish! Mama ni, ke
situ pula. Orang tak fikir pun sampai ke situ tau. Eh, siapa nama mama sebut
tadi? Azrai, anak Hajah Kistina? Lelaki yang mama nak kenalkan masa dekat
Starbucks sebelum inikah?
“Boleh kan Azrai?”
Kedengaran suara Puan Damia berteriak dari tengah ruang yang memisahkan ruang
tamu dengan ruang makan. Sasha Amira pula hanya setapak dua saja dari tempat
mama berdiri. “Boleh kamu tolong hantar Sasha ni ke kolej dia dekat SEGi Seri
Kembangan? Kunci kereta dia hilang.” Dalam diam, Puan Damia mengenyit sebelah
mata ke arah Saif Azrai.
Sasha Amira panjangkan
leher untuk melihat lelaki itu dari balik tiang. Dia dapat melihat seorang
lelaki segak berbaju kemeja berdiri dan tersenyum kepada Puan Damia. Tidak
lama, kedengaran pula suara lelaki itu menjawab.
“Boleh aja, makcik.
Tak ada masalah.”
“Minta maaflah
Azrai ya, ambil masa kamu aja.”
“Eh, tak apa
makcik. Hal kecil aja.” Lembut jawapannya. Sekelip mata, Sasha Amira nampak
Puan Damia berpaling semula. Mendapatkannya.
“Apa kamu tunggu
lagi? Pergilah cepat. Nanti lambat nak ambil ujian. Azrai, jangan lupa bagi
karipap ni pada mama kamu. Ini ajalah yang makcik boleh balas. Kirim salam
dekat mama nanti ya.” Puan Damia beralih pula kepada Saif Azrai. Bekas makanan
atas meja di ruang tamu ditunjuk Puan Damia supaya Saif Azrai tidak terlupa.
Saif Azrai mengangguk.
“Apa lagi yang kamu
tercegat dekat sini?” Suara Puan Damia menerjah lagi ke gegendang telinga Sasha
Amira. Bagai berbisik namun cukup nyaring. Tangan Sasha Amira disambar Puan
Damia. Sekejap ditarik, sekejap ditolak pula bahu anak daranya itu sambil tidak
berhenti mengerahnya pergi.
Ha? Dengan lelaki
tu? Mata Sasha Amira melirik lagi ke arah lelaki itu. Betul dengan lelaki itu?
Malulah...
No comments:
Post a Comment