“Ish, mana anak
dara ni tak balik-balik lagi? Tiap-tiap hari balik lambat. Ada ke kelas sampai
langit gelap macam ni?”
Puan Damia resah
menanti di ruang tamu. Jendela berkali-kali diselaknya lalu mata mengintai
laman di luar. Namun deruan kereta Sasha Amira juga tidak kedengaran. Apatah
lagi bayang anak bongsunya itu.
Terus Puan Damia
menerpa dan mendapatkan suaminya yang sibuk menekan butang kalkulator.
“Abang... abang,” panggil Puan Damia sambil menepuk tangan suaminya
berkali-kali.
Encik Rahim
mengangkat muka seketika seraya menyahut. Kemudian beralih semula kepada kerjanya.
“Tengoklah perangai
anak dara abang tu. Hari-hari balik lewat. Entah ke manalah dia merayap.” Jam
yang melekat di dinding dijeling sekilas. Pandangan Puan Damia kemudiannya
mengintai keluar sekali lagi. Lantas satu keluhan halus dihempas perlahan.
“Manalah budak ni pergi agaknya...”
“Abang! Abang
dengar tak saya cakap ni?” Puan Damia menepuk tangan Encik Rahim lagi apabila
melihat suaminya itu masih sibuk dengan kerja. Hatinya yang gundah dan tidak
senang duduk ini langsung tidak dia peduli.
“Ehmm...” Encik
Rahim sekadar menyahut bersahaja. Matanya terus meneliti kertas akaun atas meja
sambil tangannya sesekali menekan digit di badan kalkulator.
“Abang ni, saya
tengah bercakap pasal anak kita. Abang pula asyik sibuk dengan kerja aje.”
“Ehmm... kalau saya
tak buat kerja, siapa lagi yang nak buat? Awak?” balas Encik Rahim bersahaja.
“Ish, abang ni.
Bukannya dia nak tenangkan hati orang ke apa. Kenakan lagi adalah.” Puan Damia
peluk tubuh dan terus memalingkan badan dari suaminya.
Encik Rahim menggeleng
melihat reaksi Puan Damia. Kertas-kertas yang dipegang tadi diletakkan atas
meja sebentar. “Hai, dah tua-tua pun nak merajuk. Hodoh rupanya...” seloroh
Encik Rahim perlahan. “Sasha tu kan dah besar. Tahulah dia jaga diri. Entah dia
keluar dengan kawan ke, ada kelas malam ke. Takkan dia tak beritahu awak?”
“Anak orang lain tu
belajar juga. Tak ada pun saya nampak dia orang tu balik malam-malam macam anak
kita tu. Ni mesti merayap entah ke mana-manalah tu!” Puan Damia membuat
andaian. Jari telunjuknya diketuk ke udara, menyokong kesimpulan yang baru
dibuatnya.
“Mana awak tahu
anak orang lain balik pukul berapa. Awak ni, janganlah nak fikir bukan-bukan
pasal anak sendiri.” Tenang Encik Rahim menegur.
“Saya tahulah bang.
Saya yang hari-hari duduk rumah ni. Bukannya saya nak menjaga tepi kain orang.
Tapi si Sasha tu boleh kata tiap-tiap hari balik lewat. Hati ibu mana yang tak
curiga. Takkanlah hari-hari ada kelas sampai ke malam. Lecturer tu pun tak ada masa punya nak mengajar sampai langit
gelap. Dia pun ada keluarga juga nak dihadap.”
“Alah, jalan jam lah agaknya tu.” Lekas Encik Rahim
memintas cakap isterinya. Melopong mulut Puan Damia bila ayatnya tidak mampu
diteruskan. “Kalau susah-susah sangat, awak telefon aja anak awak tu. Apa guna
ada telefon kalau dekat saya ni yang awak leterkan.”
“Ha, itulah
masalahnya!” Puan Damia menyambung semula. “Anak kita tu, kalau saya telefon
bukannya dia reti nak jawab. Kalau balik lewat pun tak reti nak beritahu. Buat
kita risau aja tunggu dekat rumah ni.”
“Macam mana dia tak
takut nak jawab panggilan awak. Awak tu selalu sangat telefon dia nak ajak
jumpa calon suami. Seriklah budak tu!”
“Eh, orang tua ni.
Orang serius, dia main-main pula...” Puan Damia tarik muka apabila tawa kecil
Encik Rahim menyinggah lagi ke telinga. “Anak kita tu bukannya muda lagi, bang.
Orang perempuan ni tak sama macam lelaki. Makin tua, makin kerepot, makin tak
laku pula nanti. Takkan abang nak tengok anak kita seorang tu jadi anak dara
tua? Dia tu aja yang liat sangat nak kahwin. Kakak abang dia semua dah beranak
pinak dah pun!”
Kali ini Encik
Rahim tidak membalas. Perhatiannya juga sejak tadi sudah beralih semula ke
kerja akaun yang dikerjakan sebaik selepas makan malam tadi.
“Abang... abang.”
Tangan Encik Rahim ditepuk lagi. Namun suaminya tidak menyahut kali ini. “Apa
kata kita kahwinkan aja Sasha tu.”
Baru cakap tadi,
dia dah buat perangai lagi. Encik Rahim bersungut dalam hati. Malas dia mahu
melayan cakap Puan Damia kalau hal yang dibincangkan soal kahwinkan anak. Bukan
dia tidak mahu lihat anaknya berumahtangga tapi sudah puas dinasihatkan budak
itu. Kalau tuan badan sendiri berkeras hendak cari calon sendiri, biarlah.
Encik Rahim tidak mahu lagi berkeras dengan anak-anak.
“Kalau dia dah
kahwin, dah ada laki, tak adalah saya risau. Laki dia boleh jaga, hantar jemput
dia tiap-tiap hari. Apa kata abang? Kalau kita jodohkan Sasha dengan Azman,
anak Kak Long tu okey tak bang?”
Azman. Dalam diam,
Encik Rahim cuba mengingatkan tentang Azman, anak bongsu kakak sulungnya yang
kini berkerja dengan syarikat petroleum dan kini bertugas di pelantar minyak di
Terengganu. Tiga empat bulan sekali baru balik rumah.
“Awak ni tak
habis-habis nak jodohkan dengan saudara sendiri. Tak berkembang keturunan kita
nanti. Lagipun budak Azman tu kerja pelantar minyak. Tiga empat bulan baru
jumpa isteri. Entah-entah sampai setengah tahun. Hendak ke awak tengok anak
awak tu kahwin jarak jauh?”
“Emm... kalau macam
tu, saya ada calon lain. Anak Haji Rauf dan Hajah Kistina. Baik budaknya, bang.
Kerja pun dekat-dekat sini aja. Bolehlah dia datang jenguk-jenguk kita selalu.”
Senyap. Tiada respon daripada suaminya. “Kalau tak mahu anak kita tu kahwin, abang
upahlah driver untuk Sasha.” Puan
Damia menduga.
Pula dah!
“Ha? Driver? Nak buat apa? Saya pun tak pakai
driver, si Sasha tu pula kita nak
upah driver?” Terkejut benar Encik
Rahim mendengar cadangan Puan Damia. Entah apa pula rencana isterinya itu
sekarang ini.
“Alah, abang kan
tauke kilang cetak. Bukannya abang tak mampu nak upah driver. Anak kita tu kan anak dara. Hari-hari balik malam, saya
risaulah. Sekarang ni macam-macam hal boleh jadi. Tengah bawa kereta pun, boleh
kena rompak. Carilah orang yang baik-baik. Saya pun tak kesah sangat kalau nak
bermenantukan driver kalau dah anak
kita tu liat sangat nak kahwin.”
La, ke situ pula!
Encik Rahim menggeleng-geleng kepala. Pening juga kepala Encik Rahim melayan
kerenah Puan Damia yang susah hati sangat akan Sasha Amira yang tidak bersedia
untuk berkahwin. Kalau boleh sekarang juga dia mahu melihat anak bongsunya itu
bernikah.
“Awak ni, janganlah
suka hati aja nak paksa budak tu kahwin. Awak tu dulu pun liat juga.
Berkali-kali saya ajak kahwin awak tolak. Jual mahal sangat. Anak awak tu ikut
perangai awaklah agaknya.” Encik Rahim terus menggeleng.
“Alah, itu pun
kalau ada jodoh bang. Yang penting, ada juga orang yang jemput dia kalau dia
balik lewat. Sekarang ni, macam-macam hal berlaku kat luar tu bang. Merompaknya
lain, menyamunnya lain. Ha, ada pula kes cabul. Risau saya. Kalau abang tak
mahu upah driver, abang ajalah pergi
hantar dan jemput dia dari kolej.”
“Hai,
macam-macamlah awak ni. Kalau driver
tu, awak percayakah bulat-bulat nak jemput anak dara kita tu balik malam-malam?
Ha, sudahlah. Rentikan aja akal awak nak ambil driver tu.”
“Habis tu, kita
kahwinkan ajalah dia dengan anak Haji Rauf tu.”
Encik Rahim
menggeleng seraya melepaskan nafas halus. “Saya suka memang suka. Kawan baik
saya. Tapi biarlah budak-budak tu yang buat keputusan sendiri.” Encik Rahim
mengemas barang-barang dan fail-failnya.
“Eh, abang dah
berkemas ni nak ke mana pula? Saya belum lagi habis cerita pasal nak kahwinkan
anak kita seorang tu.”
“Saya pun belum
solat Isyak lagi. Saya pergi solat dululah.” Encik Rahim cuba mengelak.
Puan Damia muncung
melihat suaminya bangun dan meninggalkan ruang tamu. “Ish, orang tua ni.
Masa-masa nilah dia teringat belum solat. Dari tadi khusyuk benar hadap kertas-kertas
kerja dia. Saja nak mengelaklah tu,” gumam Puan Damia sendiri.
Tidak lama, Puan
Damia turut angkat punggung. Jendela diintai lagi. MyVi kuning milik Sasha
Amira masih belum muncul depan pintu pagar. Spontan Puan Damia hempas nafas
halus.
“Hai, kalau driver tak dapat... kenalah aku guna
calon menantu. Tengoklah sama ada budak tu berani balik malam lagi ke tak.”
*******
Dalam samar-samar,
Sasha Amira tenung jam di pergelangan tangan. Tidak nampak di mana jarum
panjang dan pendeknya. Dia seluk pula beg dan mengeluarkan Samsung Young Hello
Kitty miliknya. Tekan punat tengah lalu tertera digit di dada skrin.
Alamak! Dah hampir
pukul 11!
Laju bahu Zaimah di
sebelah digoncang. “Eh, dahlah jom. Dah lewat ni. Nanti bising mama aku.”
“Alah, kejaplah.
Cerita ni dah nak habis dah ni. Sikit aja lagi.”
Sasha Amira pandang
skrin lebar di depan sekejap. Sekilas dia hempas keluhan. Sudah dekat dua jam
dia panas punggung dalam panggung ini. Tidak juga habis.
Petang tadi kata
nak ajak cari boyfriend. Tapi sibuk
suruh aku drive dari Seri Kembangan
sampai ke KLCC semata-mata nak pergi Akuarium yang dia nak sangat pergi sejak
tahun lepas. Lepas tu, tersangkut pula dalam ni. Cari boyfriend ke macam ni? Tak ada siapa pun yang tegur minta nombor
telefon. Ahhh! Idea Zaimah memang tak boleh pakai! Semua ni sia-sia!
“Kalau kau nak
tengok sampai habis, kau tengoklah. Nanti balik sendiri. Aku kena balik
sekarang. Mama aku bising nanti, aku juga yang kena jawab.” Sasha Amira lekas
menyilang begnya ke tubuh. Kemudian dia bangun dan teraba-raba kakinya berjalan
mencari jalan keluar.
“Eh, eh. Jangan
tinggalkan aku...”
Sshhhh....
Ops! Zaimah katup
mulut. Tak perasan pula terkuat dia menjerit tadi. Kan dah kena tegur dek
penonton lain yang rajin sangat hendak menegur. Kelam-kabut Zaimah mengejar
Sasha Amira dari belakang. Kalau disuruh balik seorang malam-malam begini,
memanglah Zaimah tidak berani. Rumahnya pun bukannya dekat dari KLCC.
*******
Perlahan-lahan
Sasha Amira buka pintu pagar rumah. Kemudian dikunci semula. Keretanya diparkir
saja di luar. Rumah teres setingkat yang telah diubah suai menjadi dua tingkat
itu dipandang dari luar. Gelap gelita di dalamnya. Kali terakhir dia lihat jam
tadi hampir dua belas tengah malam. Pasti mama dan papa sudah lena di kamar.
Namun, dia melangkah penuh teliti agar tidak mengejutkan orang tuanya, terutama
sekali mama.
Pintu dikuak ke
dalam. Kepalanya dijengah sekejap. Pandang kiri dan kanan dulu sebelum masuk
dan merapatkan semula pintu. Pandang lagi kiri kanan. Pasti keadaan selamat,
dia terenjit-enjit ke arah tangga. Meniti anak tangga itu hingga ke tingkat
atas.
Yes! Clear!
Tombol pintu
dipulas dengan berhati-hati. Krekk! Ops! Sasha Amira berpaling ke belakang.
Terpaku dia seketika bila Puan Damia terpacak di depan pintu biliknya di hujung
sana. Air muka Puan Damia nampak tegang. Alamak!
“Mama tak tidur
lagi?” Tegur Sasha Amira terketar-ketar. Dalam hati ini, lagi bergoncang
rasanya bila melihat Puan Damia sudah bercekak pinggang dengan mata tercegil
memandang ke arahnya.
“Kamu pergi mana?
Kenapa baru sekarang balik? Tahu tak dah pukul berapa sekarang? Keluar dengan boyfriend kamu tu ke?” Bertalu-talu Puan
Damia menyoal. Nyaring suara Puan Damia sampai ke sini. Tidak sempat Sasha
Amira menjawab, mencari alasan juga tidak terkejar, suara Puan Damia sekali
lagi bergema. “Kalau lelaki bawa anak dara orang sampai tengah-tengah malam
macam ni, elokkah perangainya? Dahlah tak diperkenalkan dulu dengan orang tua
ni. Tak minta izin. Pandai-pandai merayap lama-lama.”
“Sasha keluar
dengan Zaimah. Bukan dengan lelaki, ma.”
“Ha, kalau dengan
Zaimah, tak reti nak beritahu? Telefon ada, tak reti nak telefon mama beritahu
nak pergi mana, dengan siapa, buat apa. Ni kalau dengan kawan perempuan
sekalipun, kamu berdua buat apa sampai tengah malam?”
Aduh. Ni semua
Zaimah punya pasal. Tengok, aku juga yang kena tembak dengan mama. Aduh...
apalah aku nak jawab supaya boleh tutup mulut mama ni?
“Maaf, ma...” Itu
sajalah modal Sasha Amira ketika ini. Patutnya dari awal dia reka apa-apa
alasan. Bak kata orang, sediakan payung sebelum hujan. Ingatkan mama mesti dah
tidur waktu begini. Manalah tahu mama masih berjaga.
Muka Puan Damia
masih tegang. Tidak kelihatan langsung tanda-tanda yang menunjukkan marahnya
surut dengan kata maaf Sasha Amira. Sasha Amira menekur ke lantai. Tidak
sanggup mahu melihat wajah menyinga Puan Damia. Sekali lagi bunyi pintu bilik
Puan Damia kedengaran ditolak. Lekas Sasha Amira angkat muka. Sangkanya Puan
Damia sudah masuk ke kamar semula. Rupa-rupanya Encik Rahim pula yang muncul
terpisat-pisat.
“Apa yang bising
tengah-tengah malam ni? Abang nak tidur pun tak nyenyak.”
“Abang tengoklah
anak dara abang tu. Sekarang ni baru balik.”
Encik Rahim
memandang muka isterinya. Kemudian mengikut arah pandangan Puan Damia. Sasha
Amira dilihatnya terkial-kial di depan kamarnya. Sesekali menggaru-garu
kepalanya sambil tersengih kepada Encik Rahim.
“Sudahlah tu. Dah
lewat malam ni. Esok-esok ajalah kalau awak nak marahkan dia pun.” Mudah Encik
Rahim bersuara. Tapak tangannya menutup ke mulut yang menguap besar. “Sudah
Sasha. Masuk bilik cepat. Tidur.” Arah Encik Rahim pada anaknya pula.
Sasha Amira cepat
mengikut cakap papanya. Daripada terpaku di situ saja, menadah telinga dengar
leteran mama lagi selepas itu, lebih baik dia ikutkan kata papa. Sekelip mata
Sasha Amira lesap dari balik pintu yang segera ditutup rapat.
Puan Damia menoleh
ke arah suaminya. Encik Rahim sudah tiada di sebelah. Ditoleh ke dalam bilik,
Encik Rahim sudah mendekati katil semula. Puan Damia turut masuk.
“Abang ni, bila saya
marahkan anak aja, abang bela. Manalah budak tu tak naik lemak.”
“Sudahlah.
Janganlah pada saya pula awak nak berleter. Nak marah pun, tengoklah masa.
Tidur ajalah...” Encik Rahim letakkan kepala atas bantal. Sebelah tangannya
dialas lagi di bawah kepala. Tanpa membuang masa, kelopak matanya lekas
dirapatkan semula. Sementara Puan Damia masih tidak senang hati. Marahnya masih
belum reda. Dia rasa curiga, risau yang bercampur baur.
Dalam kamarnya yang
samar-samar, hanya diterangi sinar lampu jalan di depan rumah, Puan Damia
berfikir-fikir. Mungkin sudah masanya plan
Bnya berganjak ke depan lagi. Itu sebagai hukuman atas tindakan Sasha Amira
hari ini. Kalau Encik Rahim tidak mahu paksa, biar dia saja yang memaksa.
Suaminya itu bukannya faham hati ibu ini.
No comments:
Post a Comment