Keluar saja dari Golden Screen Cinema, Qayreena mengadu
perutnya lapar. Walhal dalam panggung tadi bukan main lagi disumbatnya caramel popcorn ke mulut. Bila diminta
memilih restoran, katanya teringin pula hendak makan makanan mediterranean.
Tapi tiba-tiba ajak masuk ke Bosphorus Fine Turkish Cuisine bila sudah pusing
serata aras enam untuk mencari makan.
Wah! Pandai
perempuan ni cari tempat makan. Kopak duit aku!
Tengok rupa
restoran itu saja, Saif Azrai sudah telan liur. Mukanya saja yang berlagak
tenang. Mana boleh tunjuk kalut depan perempuan, itu prinsip nombor satu. Dalam
otaknya juga asyik bekira-kira kalau makanan di sini tidak kena dengan
seleranya.
Mereka dilayan
dengan penuh tertib sebaik masuk ke dalam restoran. Perggh! Rasa macam orang
besar. Mereka dibawa ke sebuah meja berdekatan jendela. Menu, Saif Azrai
serahkan kepada Qayreena untuk membuat pilihan. Gadis itu membelek buku menu
lama-lama. Dalam diam, Saif Azrai menjeling harga.
Fuh! Nasib baik tak
mahal sangat. Perlahan-lahan dia menarik nafas lega.
Qayreena memilih
Shephard Salad dan Bosphorus Pizza. Itu yang Saif Azrai dengar. Salad? Piza?
Bertalu-talu Saif Azrai membebel dalam hati.
Come onlah, Qay.
Datang restoran mahal ni semata-mata makan salad dan piza? Dekat Pizza Huts pun
ada!
Saif Azrai
bersandar ke kerusi. Lembut. Dia memandang ke kiri, depan, atas dan bawah. Rekaan
dalamannya nampak elegan dengan gabungan warna-warna pastel dan tidak terlampau
padat. Suasananya pun senyap. Emm... tenang.
Mati lamunannya dek
rangkulan Qayreena yang datang mendekat. “Kenapa dengan you ni? Nampak macam
tak ada mood aja,” soalnya dengan wajah
ceria. Cerialah dia lepas dilayan sekejap tadi. Bola Kampung The Movie. Macam
nak nangis Saif Azrai dalam panggung. Bukan tidak mahu menyokong filem
tempatan, tapi huhu sudah lebih sepuluh tahun tidak tengok kartun. Hari ni pula
pecah rekod, tonton kartun dalam panggung.
Saif Azrai sekadar
senyum nipis. Lambat-lambat lengannya yang dirangkul Qayreena ditarik perlahan.
Kemudian dia pula yang mengelus tangan Qayreena sambil merenung ke dalam mata
gadis itu.
“Mana boleh I
hilang mood dengan you. You always bring happiness in every moment
of my life.”
“Really?”
Senyum tersungging
lagi di bibir Saif Azrai, lebih lebar daripada tadi. Tersipu Qayreena seperti
biasa. Ops! Kedua-dua mereka tersentak bila makanan yang dipesan tadi sudah
tiba. Spontan Saif Azrai berdehem kecil. Qayreena pula pura-pura betulkan
rambut dan duduknya.
“Sorry sir, madam.” Pinta pelayan lelaki
yang menghantar pesanan sebelum meletakkan makanan itu di atas meja. “Enjoy your meal, sir, madam.” Katanya
pula sebelum beredar pergi.
Termenung sekejap
Saif Azrai melihat makanan di depan mata. Memang tidak salah, salad dan piza.
Hampa. Perutnya lapar, tapi... ah, belasah ajalah! Sepotong piza dialihkan ke
depan Qayreena. Belum sempat piza itu mendarat ke atas piring, tangan Qayreena
terlebih dulu menahan.
“I dietlah sayang. This is enough for me.” Garfu dan sudu
ditunjuk ke depan salad, sedia untuk mengaut isi dalam mangkuk itu dan dipindah
ke dalam piringnya. “Piza tu I order cuma
untuk you aja.”
Ha? The whole pizza? OMG!
*******
Izi Helmy
mundar-mandir dalam pejabat. Entah berapa kali dikerling Victorinox Swiss Army
di pergelangan tangan. Tidak cukup, waktu pada skrin Iphonenya dilihat untuk
kepastian. Tidak cukup lagi, dia keluar ke depan pejabat. Melihat jam dinding
yang tergantung di belakang meja Kak Suzi. Mana-mana jam yang dirujuknya tidak
banyak beza waktu yang ketara.
Dah 7 petang!
Tidak tentu arah
Izi Helmy menunggu Saif Azrai di sini. Bila dilihat keliling, tiada seorang pun
yang tinggal. Hanya dia di sini. Sedangkan pekerja lain semuanya sudah pulang
ke rumah. Orang yang terakhir meninggalkan pejabat adalah Fauzi, akauntan
syarikat yang juga sudah pulang setengah jam lalu kalau tidak silap Izi Helmy.
Agghh! Makin stres
Izi Helmy dibuatnya. Kata Saif Azrai pagi tadi hendak pinjam keretanya sekejap
saja. Ini sampai separuh hari, lebih dah pun, tak juga nampak batang hidung
dia. Masakan Saif Azrai bawa balik terus Lancernya itu.
Tak boleh jadi ni!
Iphone disambar dari
atas meja. Dia mundar mandir ke depan ke belakang sambil menanti panggilannya
bersahut.
“Pick up, pick up, pick up.” Bebelnya
sendiri. Sebelah tangan sekejap mencekak pinggang, sekejap menekan-nekan
kepala.
Sementara di
restoran, Saif Azrai sudah termengah-mengah mahu menyuap piza kambing ke dalam
mulut. Huhu. Terasa satu mulutnya berbau kambing. Kalau papa, sukalah dia apa
saja masakan daripada kambing. Tapi kalau Saif Azrai, huhu... sebab buah hati
yang pesan khas untuknya, terpaksalah juga makan walau tak suka. Sumpah inilah
kali pertama dan kali terakhir dia makan piza kambing!
Terkejutnya dia
saat telefonnya berdering juga bergegar dalam poket seluar. Lambat-lambat Saif
Azrai membersihkan tangan dengan napkin. Saku seluar diseluk lalu Iphonenya sudah
berada dalam genggaman. Qayreena memandang, seakan ingin tahu gerangan siapa
yang menelefon.
“My cousin...” Bisik Saif Azrai dengan
gerak bibir setelah dijeling seketika nama pemanggil di skrin. Hai,
perempuan... mesti diingatnya perempuan lain yang telefon. Selalu sangat Saif
Azrai terkena begitu. Queen control,
suka serkap jarang, cemburu, semua jenis perempuan macam itu pernah menjadi
teman wanitanya. Lepas tahu perangainya begitu, apa lagi. Say goodbye la.
“Yo, bro!” Terus
saja Izi Helmy menyergah.
Astagfirullah. Saif
Azrai hempas nafas halus. Lantas Saif Azrai terus mencelah sebelum suara di
telinga meneruskan perbualan. Sebelum kau terus cakap, biar aku bagi ceramah
dulu. Kasi kau bau kambing sekali! Rancangnya sambil senyum sinis.
“Telefon orang tu
patutnya berilah salam dulu. Bukan terus menerjah bro... bro. Kita kan orang
Melayu, Islam pula tu. Bahasa cermin bangsa tau!” Saif Azrai menegur. Serius
bunyinya. Walhal dalam hati mahu tergelak sakan kerana mengusik Izi Helmy.
Ha, ambik! Jawab,
jawab!
Terus saja Izi
Helmy menelan liur. Hai, takkanlah Saif Azrai pun hendak jadi ustaz? Tak cukup
lagi agaknya ayah sendiri dan bakal ayah mertua seorang ustaz. Adoi! Rasa macam
kepala ni dah kena hempap dek batu besar.
“Assalamualaikum,
Ustaz Saif Azrai.” Cepat saja Izi Helmy mendapat akal menyindir sepupunya. Ini
Izi Helmy okey. Bukan susah sangat Izi Helmy hendak fikirkan idea-idea nakal
hendak menjawab balik sindiran Saif Azrai. Kita kan satu kepala. Kedengaran
suara halus Saif Azrai tertawa kecil.
“Sibuk sangat ke
memikat hati si burung merpati sampai tak balik-balik office lagi? Bro, dah berpeluh aku tunggu kau dekat sini, sorang-sorang pula tu. Takkan kau nak
suruh aku tidur dekat office ni kut!”
“Apasal kau nak
tidur dekat situ pula? Pergi ajalah balik. Tak payah tunggu aku. Hai, selalunya
kau tu tak payah nak beritahu, terus lesap macam tu aja.”
Hai, ni yang parah
bercakap dengan orang yang syok bercinta ni. Aku pun bercinta juga. Tapi tak
adalah sampai syok sendiri sampai nyanyok macam dia.
“Nak balik macam
mananya bro kalau dah kereta aku kau bawa ke hulu ke hilir. Hadoi!” Izi Helmy
buat suara apek lagak Johan di hujung perbualan diikuti dengan keluhan yang
cukup jelas sampai ke telinga Saif Azrai. Lantas serta-merta Saif Azrai tepuk
dahi.
“Alah, sorry la bro. Kau bagi aku solat Maghrib
dulu. Lepas tu, aku gerak.”
“Jangan lambat bro.
Aku pun nak dating juga.”
Bip! Bip!
“Okey, okey. Aku
tahulah. Eh, ada incoming call. Aku cau dulu.” Saif Azrai lekas melihat
panggilan yang masuk. Bulat sedikit matanya melihat nama papa yang terpapar
atas skrin. Dia berdehem sekali lalu menjawab panggilan daripada Haji Rauf.
“Assalamualaikum, papa.” Halus suara Haji Rauf menjawab salam. “Ada apa, pa?”
“Tak ada apa. Papa
nak beritahu ni, takut tak sempat jumpa kamu dekat rumah. Papa dah mengantuk,
nak tidur awal malam ni.”
“Beritahu apa, pa?”
tanya Saif Azrai tidak sabar.
“Papa nak minta
kamu tolong hantar papa dengan mama ke airport
esok pagi. Kami nak ke Langkawi.”
“Siapa tu sayang?”
Qayreena mencelah bila lama benar Saif Azrai bercakap di telefon. Lepas tu,
macam hendak menyorok masa bercakap. Musykil sungguh rasa hati ni. Telinga ni
pula asyik terdengar nama pa saja yang keluar dari mulut lelaki itu. Siapa dia
tu? Zaripah? Latipah?
Kalut Saif Azrai
meletak jari telunjuk di bibir. Dia bangun dari kerusi dan berjalan keluar,
meninggalkan Qayreena seorang diri. Gadis itu menarik muka. Hatinya mula
mengesyaki yang bukan-bukan.
“Papa dengan mama
nak ke Langkawi?” Saif Azrai menyambung semula perbualan dengan Haji Rauf di
luar restoran.
“Kamu dengan siapa
tu?” Haji Rauf dengar suara yang muncul di telefon tadi. Dengarnya macam milik
seorang gadis.
“Dengan kawan, pa. Papa
ada mesyuarat ke dekat Langkawi?” Dia cuba mengalih semula topik. Tapi Haji Rauf
masih musykil.
“Emm... kalau dah
ada teman wanita, baguslah. Bila ada masa tu, kenal-kenalkanlah dengan papa dan
mama.”
“Kawan biasa aja,
pa. Tak lebih dari tu.”
Haji Rauf tidak
percaya. Kawan biasa apa sampai bersayang-sayang? Tak sah lagi, teman tapi
mesralah tu. Budak-budak sekarang, baik Azrai mahupun Izi, dua-duanya mahu
sorok kekasih daripada orang tua. Kalau tidak pecah tembelang, entah sampai
bila agaknya dia mahu sorokkan. Izi Helmy dulu pun begitu. Kalau tidak Hajah
Kistina yang secara tidak sengaja beritahu hal Aina kepada Kamisah, isterinya
Hairol, entah-entah sampai sekarang mereka tidak tahu yang anak mereka ada buah
hati.
“Esok pukul berapa flight papa dan mama?”
Soalan Saif Azrai
bergetar di telinga sekaligus meleraikan lamunan Haji Rauf yang melayang
seketika.
“Pukul 10.30. Lagi
satu, papa nak minta kamu ganti bapa untuk mesyuarat dengan Datuk Razali pukul
sebelas esok. Datuk Razali tu kenalan papa juga. Rasanya kamu pun kenal. Dia
pernah bagi kontrak pada kita buat pejabat barunya dulu. Kali ni, dia nak buat
rumah untuk hadiah perkahwinan anak dia yang baru kahwin. Apa-apa info pasal
mesyuarat tu, kamu tanya Suzi nanti.”
Senyap. Saif Azrai
cuma mengangguk-angguk sendiri. Sesekali mengiakan.
“Hmm... itu ajalah.
Kamu tu balik awal sikit. Jangan nak bawa anak dara orang lama-lama.
Assalamualaikum.”
Gulp! Talian
diputuskan. Ada juga amanat yang papa sampaikan. Hai, punggung pun memang dah
panas. Memang tak sabar nak balik rumah. Dia sudah mula bosan berjalan dengan
Qayreena. Hati pula asyik terkenangkan si bunga yang tak dapat-dapat dikejar.
Nampak gayanya macam singkat juga usia hubungan mereka.
Dia bergegas masuk
ke dalam. Belum sempat duduk, dia sudah memanggil pelayan untuk membawa bil.
Qayreena yang melihatnya terpinga-pinga.
“Sorry sayang. I kena balik sekarang. I
lupa I pinjam kereta cousin I. Dia
masih tunggu lagi dekat office. So, I have to go.”
“Habis tu, I? You
janji nak teman I sepanjang hari.”
“I’m so sorry, Qay. Takkan I nak biarkan
sepupu I tunggu atau tidur dekat office
tu.” Lembut dia memujuk dan dia harap Qayreena faham. Tidak sabar menunggu,
Saif Azrai meninggalkan sekeping not seratus di atas meja. “Sorry, darling. Nanti I telefon you,
okey. Bye.” Pipi Qayreena dicuit
sebelum pergi tergesa-gesa.
Qayreena hanya
mampu menghempas keluhan. Hampa. Sangat hampa. Seorang pelayan datang seketika
kemudian membawa bil bersamanya. Dengan hati bengkak, Qayreena mengambil duit
yang ditinggalkan Saif Azrai tadi dan dihempas atas bil berkenaan. Benci. Belum
puas dia melepaskan rindu. Ada saja halnya yang menyekat temu janji mereka.
Benci. Benci.
Benci.
No comments:
Post a Comment