Habis saja kuliah,
Sasha Amira terus bergegas keluar. Dia mahu berjumpa Puan Raihana. Dia sudah
pasang tekad mahu merayu pada Puan Raihana. Pada Intan Nazira dan Zaimah yang
mengajak makan tengah hari bersama, disuruhnya pergi dahulu. Dia akan menyusul
kemudian.
Langkah kaki
dihayun laju ke bilik pensyarah. Teruja tidak sabar tapi dalam masa sama kecut
juga perut. Entah apa yang dia hendak beritahu. Puas dia mereka ayat di fikiran
tapi tidak langsung tertulis walau sebaris kata. Cuma tekad menjadi kekuatan
diri.
Masuk saja ke bilik
pensyarah, dia mencari Puan Raihana. Yes!
Puan Raihana ada di tempatnya. Sedang sibuk menekan huruf-huruf pada papan
kekunci. Matanya pula khusyuk menghadap skrin komputer.
“Assalamualaikum,
puan.” Sasha Amira memberi salam, tanda hormat. Ada getaran dalam nadanya.
Gulp! Dia menelan
liur berturut-turut bila Puan Raihana menoleh. Otaknya tiba-tiba beku. Terus
saja dia membongkok tanpa banyak berfikir.
“Puan, tolonglah
bagi saya jawab soalan ujian semalam. Saya bukan sengaja tak datang. Saya accident. Dahi saya ni bukti yang saya accident semalam.” Bersungguh-sungguh
Sasha Amira menjelaskan pada Puan Raihana sambil menunjuk luka di dahinya yang
belum baik sepenuhnya. “Luka ni memang sebab accident semalam. Bukan sebab saya sengaja nak tarah kulit saya
untuk cari alasan. Tolonglah, puan. Bagi saya peluang.” Dia membongkok lagi,
merayu-rayu. Sekali tengok sudah macam lagak hormat orang Jepun pula. Beria dia
tunjukkan keikhlasan dengan harapan Puan Raihana akan memberi muka.
“Kawan-kawan awak
tak beritahu ke?”
“Tak puan!
Kawan-kawan saya tak beritahu apa-apa pasal ujian semalam. Saya tak tahu soalan
apa dalam ujian tu.” Pantas dia menjawab sambil menggeleng laju bersama kedua
tangannya juga dilayang ke kiri kanan. Menidakkan.
Tiba-tiba Puan
Raihana menggeleng bersama tawa kecilnya. Tergamam Sasha Amira di situ. Apa
yang kelakar? Apa yang lucu? Dia ada buat lawakkah buat salah?
“Maksud saya,
kawan-kawan awak tak beritahu ke yang saya tak jadi buat ujian semalam. Saya
akan habiskan syllabus dulu. Lepas
tu, sebelum peperiksaan akhir, saya akan adakan ujian. Jadi, masa tu jangan tak
datang. Ujian tu nanti akan menyumbang 10% daripada markah keseluruhan.”
Ha?
“Semalam tak ada
ujian?” ulangnya. Melihat Puan Raihana menggeleng buat dia benar-benar rasa
lega. Marah pun ada. Hampeh punya kawan! Dua-dua boleh tak beritahu aku pasal
ujian batal semalam. Buat penat tambah malu aja aku merayu depan Puan Raihana.
Tersengih-sengihlah
Sasha Amira selepas itu untuk mengundur diri. Tebal rasa kulit muka ini
mengalahkan tebalnya buku teksnya. Makin laju kakinya dihayun kali ini. Lebih
laju dari mengejar masa mencari Puan Raihana tadi. Tidak sabar hendak
dihemburnya rasa marah dan tidak puas hati pada Intan Nazira dan Zaimah.
*******
“Alah, takkan
dengan sepupu pun nak kedekut. Aku pinjam kejap aja... kejap aja,” Suara Saif
Azrai sudah merayu-rayu. Tidak senang duduk dia di pejabat. Tiga wanita seperti
pagi tadi asyik menyinggah ke kotak fikiran. Hendak buat kerja pun tak fokus.
Setiap patah perkataan yang ditaip, terbayang wajah Sasha Amira. Selagi dia
tidak dapat, dia tidak puas hati.
Berkeras benar Izi
Helmy tidak mahu pinjamkan keretanya. Kononnya takut Lancer Sportback
kesayangannya pula yang sakit masuk bengkel. Hai, tangkai jaring punya sepupu!
Macam-macamlah alasan yang dia bagi. Tapi ini Saif Azrailah. Takkan dia
mengalah begitu mudah. Dipendekkan cerita...
“Kaulah sepupu aku
paling baik dunia akhirat. Paling terer dapat buah hati cun melecun, baik rupa
dan peribadinya, taat pada agama...” Baru puji sikit, belum habis pun ayatnya
Izi Helmy terus lambung kunci.
Fulamak! Pantang
dipuji ke tak lalu telinga tu nak dengar pujian Saif Azrai yang sudah memang
berpura-pura? Ah, tak kesahlah apa pun sebabnya Saif Azrai tersenyum lebar.
Sekarang dia sudah berada dalam perut Lancer milik Izi Helmy. Kali ini, dia
bawa seorang. Oh, bukan senang tu. Satu sejarah sudah tercipta!
GPS dalam kereta
Izi Helmy ditekan-tekan. Emm... jangan sampai tersilap arah kali kedua. Nama
Kolej SEGi Seri Kembangan ditaip dan dicari. Jumpa! Dia tersenyum lagi sambil
membetulkan duduknya, memakai tali keledar dan bersedia untuk berlepas.
Lalalala~
Bibirnya menyanyi
kecil. Sukanya dalam hati, mahu berjumpa kekasih baru. Ops! Jumpa? Tidak...
tidak. Kita tengok-tengok lagi sekali dulu. Kalau nak beli barang pun, kena
tengok dulu kualitinya, rupanya sampai puas, baru beli!
*******
Muncung pak depa
muka Sasha Amira duduk di depan Intan Nazira. Di sebelah, Zaimah yang seronok
nampaknya menyuap nasi ke dalam mulut juga menoleh sekejap. Mempelawa Sasha
Amira makan, kemudian menyambung aktivitinya tadi. Nyum... nyum.
“Sampai hati korang
tak beritahu aku langsung pasal ujian semalam tak jadi ya? Buat malu aja aku
pergi merayu dengan Puan Raihana semata-mata nak jawab soalan tu!” Bentak Sasha
Amira tidak puas hati sekaligus Zaimah pula yang tersedak.
Tersembur nasinya
ke depan. Masyaallah. Intan Nazira dan Sasha Amira menoleh serentak. Zaimah
pula jadi tumpuan kali ini. Tak semenggah betul budak ni!
“Kau pergi merayu
dekat Puan Raihana?” Ulang Zaimah pula hampir menjerit. Tidak percaya, matanya
dibulatkan sebesar mungkin.
“Yalah. Aku
bukannya terer subjek Puan Raihana
tu. Kalau ujian pun terlepas, percuma markah melayang. Apa nak jadi dengan final exam nanti? Kalau fail, kan dah kena repeat. Confirm mama aku mengamuk
nanti!”
“Uish, takkanlah
sampai fail. Paling teruk pun gred C
aja kut!”
Sasha Amira
mencebik mendengar betahan Zaimah yang menidakkan cakapnya tadi. Whatever... Ya Allah, tebal di muka
masih tidak susut. Malunya hendak jumpa Puan Raihana lepas ni. Sasha Amira
sambar air limau ais milik Zaimah lalu selamba disedut laju. Wuaahhh! Sejuknya
tekak...
“Lepas ni nak buat assignment Encik Razak dekat mana?”
Intan Nazira pula buka mulut sekaligus mengubah topik perbualan mereka. Assignment Encik Razak. Ya! Kelas Encik
Razak yang mengajar subjek Finance
Accounting tadi sempat memberikan kerja berkumpulan kepada mereka. Nasib
baik Encik Razak sporting. Dibiarkan
pelajar-pelajar memilih pasangan atau ahli kumpulan sendiri. Minuman dua orang,
maksimum tiga orang setiap kumpulan. Cantik. Memang molek sangat mereka
bertiga.
Sasha Amira sesak
nafas. Subjek yang diajar Encik Razak juga salah satu subjek lemahnya. Sakit
kepala. Nasib baik assignment yang
juga akan menyumbang markah kepada markah akhir nanti bukan kerja individu.
Intan Nazira kan ada. Abang dia berkerja sebagai akauntan di syarikat kontraktor.
Mestilah adik dia pun bijak bab kira-kira ni.
“Buat dekat rumah
Sashalah.” Zaimah pula menjawab setelah agak lama soalan Intan Nazira tadi
tidak berjawab. Masing-masing diam. Dia tengok dia, dia tengok dia. Susah
sangat agaknya soalan iru macam soalan periksa. Sudahnya, biar Zaimah yang
tolong jawab.
Rumah aku? Sasha
Amira tercengang.
“Aku dah rindu
dengan nasi kukus ayam dara abang tepi jalan dekat area rumah kau tu!” Katanya
jujur.
Herot bibir Sasha
Amira mencebir. Rindu dekat nasi kukus ke abang nasi kukus? Nasi kukus Abang
Man agaknya yang dimaksudkan Zaimah. Kedai nasi kukus mana lagi yang selalu
mereka singgah. Tak jauh dari rumahnya, dekat sangat. Jalan kaki pun tak sampai
sepuluh minit. Memang selalu Sasha Amira beli nasi kukus di situ. Bila mama
malas hendak masak, di situlah dia membeli juadah makan tengah hari. Yalah,
mama nak masak pun yang makan mereka berdua saja. Papa selalu balik lewat malam.
Balik-balik saja terus mandi, solat, tidur. Begitu sajalah rutin papa di
kebanyakan hari. Kalau papa balik tengah hari, papa akan telefon dulu. Kelam
kabutlah mama sediakan makanan.
Bercerita semula
tentang abang nasi kukus dan nasi kukus ayam daranya tadi, yang malunya bila
diajak Zaimah bersama, kawannya itu banyak pula soal. Itu dan ini. Macam bunga
nak memikat kumbang pula. Hai, kita pula yang tebal muka. Dia menjeling jam
seketika. Hmm... itu pun kalau ada rezeki Zaimah hendak menjamah nasi kukus
ayam dara Abang Man. Waktu begini agaknya sudah berderet orang beratur.
“Bila? Dr. nak assignment tu Isnin depan kan?” Sasha Amira
menyedut lagi air limau ais Zaimah. Rasa sedap pula bila sudah dirasa sekali.
Selagi ada, disedut lagi.
“Hari ni, okey?
Esok petang aku dah ikut family balik
kampung. Mak Usu aku kahwin.”
Huk! Huk! Huk!
Terbatuk-batuk
Sasha Amira. Tersedak dia dibuat perkataan kahwin yang disebut Zaimah tadi.
Haish, pantang benar telinganya mendengar perkataan itu. Sensitif. Cepat-cepat
dia tutup mulut sambil mengurut dada. Fuh! Fuh! Nafas ditarik perlahan-lahan.
Kawan-kawannya cuma melihat. Buat-buat tak faham sudahlah.
“Elok sangatlah tu.
Alang-alang aku kena hantar Sasha balik rumah hari ni kan...”
Sasha Amira angkat
muka. Aik! Macam tak ikhlas aja bunyinya.
*******
Straight through my heart, a single bullet got me,
I can’t stop the bleeding, oh
Straight through my heart, she aimed and she shot me,
I just can’t believe it, oh
No, I can’t resist and I can’t be hit
I just can’t escape this love
Straight to my heart, soldier down
My heart, soldier down, my heart...
Bersungguh-sungguh
Saif Azrai menyanyi dalam kereta, melayan lagu hits Backstreet Boy yang pernah
popular masa zaman muda-mudanya dulu. Cewah, macam sekarang dah tua sangat. Sumbang
bunyinya, terkucil sana sini. Macam suara itik. Rosak lagu orang.
Simpan lagi rupanya
Izi Helmy akan CD kegemaran mereka waktu sekolah dulu. Mulalah diselaknya sama
memori-memori dulu, zaman mereka nakal baru berjinak-jinak mengacau anak dara
orang. Haha. Kalau tahu dek Encik Hairol ke Haji Rauf, keliling rumah agaknya
kena kejar dengan rotan.
Brit! Brit!
Alahai. Telefonnya
pula berbunyi ketika ini. Kacau daun betul. Baru saja nak mengimbas kenangan
lalu sambil melalak dalam kereta. Bunyi audio diperlahankan sedikit.
“Helo,” jawabnya
cepat-cepat. Terdengar suara manja yang menyahut di hujung talian. Alahai, cair
hati ini. Dia kenal suara itu dan dia tahu siapa pemiliknya. Lantas senyuman
tersungging di bibir.
“Helo beautiful... rindu I nak dengar suara
you.” Berubah terus suaranya. Baru sekarang hendak manis mulut. Entah-entah kalau
‘sepupu paling baik dunia akhirat’ tu yang telefon, sudah dibambu pula. Kacau
daun katanya.
“Kalau rindu,
kenapa tak telefon? Hari tu you kata nak call
me back. Penat I tunggu tau.”
Alahai. Ini satu
lagi yang lemahkan hati. Nasib baik tak nampak muka. Suaranya dah berbau rajuk
dengarnya. Mesti mulut Qayreena sedang muncung ke depan. Hai, perempuan ni
memang comel kalau mencerut muka. Rasa nak cubit-cubit aja bibir dia.
“Sorrylah sayang. I sibuk sangat dua tiga
hari ni. Terlupa.”
Senyap sekejap.
“Sampai hati you lupakan I ya...”
Alamak. Memang
parah. Dah merajuk lagikah? Oh, relaks Azrai... relaks. Bagi Saif Azrai rajuk
merajuk ni small matter aja!
“Okeylah. Untuk
menebus kesalahan I, you dekat mana sekarang? Rumah? I datang jemput? Kita
keluar together okey.”
“I dekat Pavillion.
Jalan-jalan cuci mata. Boring tau I jalan sorang-sorang.”
“Okey... okey.
Kejap lagi I sampai. See you, baby.”
Kembang semangkuk agaknya hati Qayreena menerima ajakan Saif Azrai. Tapi
tunggulah kau situ. Saif Azrai masih ada misi yang belum selesai. Sebaik GPSnya
memberi arahan untuk masuk ke sebuah jalan kecil, tumpuannya kembali ke depan.
Bibir menyanyi-nyanyi kecil semula. Kereta dipandunya perlahan mengelusuri
jalan itu.
Cekap matanya
mencari kolej di mana Sasha Amira belajar. Eh... eh... memang ada jodoh
agaknya! Perlahan-lahan brek ditekan dan dia memerhati susuk tubuh yang
berjalan di laluan kaki lima. Salah seorangnya milik Sasha Amira.
“Oh, yes! She is coming!”
Tidak berganjak
mata Saif Azrai mengikut ke mana saja gadis itu pergi. Memakai baju kurung
bercorak abstrak dengan kepalanya ditutup kemas dengan shawl. Oh, inilah gadis
pilihan mama. Emm... boleh tahan manis. Bukan saja manis pada pakaiannya. Sesekali
terlihat Sasha Amira tersenyum dan ketawa. Hai, manisnya senyuman dia. Kalaulah
dia pun senyum begitu pada Saif Azrai dan bukan menyinga, kan bagus. Sejuk hati
ni.
Mata Saif Azrai
pandang ke atas sekejap. Kolej SEGi tersergam tidak jauh darinya. Kalaulah
ditakdirkan Sasha Amira masuk semula dalam kolej sebab ada kelas, masakan dia
akan menunggu di situ hingga gadis itu muncul semula. Habis tu, Qayreena macam
mana? Adoi! Dia tepuk dahi.
Eh, kejap... kejap!
Langkah kaki Sasha Amira tidak menghala ke kolej. Sebaliknya dia membelok dan
berhenti di sebuah kereta berwarna putih. Seketika, bayangnya hilang. Tidak
lama, kereta Viva putih itu mengundur dan keluar dari petak parkir. Kelam-kabut
Saif Azrai hidupkan enjin mahu mengekori.
Wah, wah, wah! Dah
macam stalker pula aku ni!
*******
*******
Berkerut-kerut muka
Izi Helmy menahan lapar. Sudahlah pagi tadi dia berkejaran ke bank. Jalan pula
sesak teruk. Nak singgah kedai mamak sarapan pagi dulu pun tidak sebab
mengenangkan kertas kontrak yang belum dia siapkan. Kalau dikira dengan jari
memanglah lagi tiga empat hari lagi tarikh tutupnya. Tapi setelah ditolak cuti,
huhu... belum lagi serahkan pada big boss
untuk semakan dan pengesahan.
Wah! Lapar. Saif
Azrai pula pinjam kereta katanya sekejap. Sampai sekarang tidak muncul bayang
dia. Telefon pula asyik sibuk saja taliannya. Ingatkan bolehlah pesan tolong
belikan makan tengah hari ke sebagai upah pinjam kereta.
Huh! Macam ni, aku
telan aja dia bila dia balik nanti.
Tiba-tiba pintu
dikuak dari luar. Bulat mata Izi Helmy memandang ke arah pintu. Tidak lama
terjengul muka Haji Rauf.
“Kamu tak keluar
makan ke hari ni? Selalunya belum lunch
hour pun bayang dah hilang.”
Erk! Terkedu Izi
Helmy mahu menjawab. Soalan atau sindiran?
“Errr... belum lagi
uncle. Nak kena siapkan satu kerja ni
dulu,” jawab Izi Helmy tersengih-sengih sambil menunjuk ke arah kertas yang
berterabur atas mejanya. Bukannya nak beri alasan. Tapi memang itulah yang
dihadapnya sejak dua tiga hari lepas. Mahu pecah kepala ma terima kerja orang
ni tiba-tiba.
Haji Rauf melangkah
masuk. Terkebil-kebil Izi Helmy memandang. Aik! Duduk depan Izi Helmy. Gulp!
Nak kena tadah telinga pulakah? Risau... risau.
“Kalau kamu ada
apa-apa nak ditunjuk pada uncle,
bagilah petang nanti. Esok uncle
cuti. Nak buat surprise dekat makcik
kamu sempena ulang tahun perkahwinan kami...” Perlahan Haji Rauf menyampaikan
ayat terakhirnya, seakan berbisik sambil tersenyum nakal. “Kamu janga pula
bercerita dekat orang. Malulah dah tua-tua ni...”
Aik? Tercengang Izi
Helmy sekejap.
“Eh, yakah uncle? Hehe... tahniah uncle.” Serta merta Izi Helmy bangun. Tangan
Haji Rauf ditangkapnya dan digoncang berkali-kali. Beria dia mengucap tahniah
sementara Haji Rauf tenang tersenyum “Yang ke berapa ni, uncle?” Duduk semula.
“Ish, mana boleh
beritahu. Rahsia.” Halus tawa Haji Rauf sebaik menyudahkan jawapannya. Izi
Helmy pula yang lebih-lebih mengekek. Terover
pula!
Haji Rauf bangun
semula dan meninggalkan Izi Helmy. Di depan pintu, Haji Rauf berpaling sekejap.
“Ha, kalau ada apa-apa, bagi pada uncle
petang nanti. Nak serahkan pada pemangku, belum ada antara kamu berdua yang dah
layak pegang jawatan tu.” Terus-terangnya Haji Rauf walau dalam nada gurauan.
Tersengih lagi anak saudaranya itu. Tidak mampu dijawabnya dan melihat saja
Haji Rauf pergi.
Hehe... huhu...
macam-macam perasaan sudah bercampur-baur. Malu pun ada. Kena smash depan-depan. Mana hendak layak
memegang jawatan pemangku kalau masing-masing baru tamat pengajian. Berkeja
dengan Haji Rauf baru masuk dua tahun lebih. Lebih sedikit saja dari usia
hubungannya dengan Aina.
Alamak! Petang ni?
Baru Izi Helmy tersedar. Lantas kelam-kabut dia menyambung kerja. Kertas kerja
itu perlu disiapkan segera. Aduh, stres! Stres!
*******
Kereta yang dipandu
Saif Azrai berhenti di bawah sepohon pokok besar. Viva putih yang diikutnya
tadi ada di depan. Berhenti. Sasha Amira keluar bersama seorang temannya yang
berbadan sedikit gempal. Mereka berjalan ke arah deretan gerai kecil yang
menjual makanan. Meriah nampaknya. Ramai orang yang beratur dan sibuk ke sana
ke sini memilih juadah makan tengah hari.
Krukk!
Lapar pula
perutnya. Tapi cuma sekejap bila melihat ramai gadis di depan sana. Bukan Sasha
Amira saja yang menjadi sasaran. Di depan Sasha Amira ada beberapa orang gadis
turut beratur. Bila mereka menoleh kiri dan kanan, wow! Dari tepi juga sudah
tahu orangnya cantik. Hai, datang dari mana agaknya puteri-puteri kayangan ni?
Lalalala~
Hatinya menyanyi
lagi. Bahagianya dia rasa saat ini. Cuci mata pun perut jadi kenyang. Sekejap
saja sudah sampai giliran Sasha Amira. Amboi, nampak mesra pula peniaga lelaki
itu dengan Sasha Amira. Dengan gadis-gadis lain tadi, biasa saja wajahnya. Ini
yang boleh mendatangkan cemburu!
Aik! Cemburu? Saif
Azrai geleng kepala laju-laju. Bila dipaling semula ke sana, Sasha Amira sudah
tiada. Viva putih tadi juga sudah lesap. Macam chipsmore pula. Kejap ada kejap tak ada. Rancangan awal hendak
kejar Sasha Amira sampai ke rumah. Pura-puralah kononnya nak sampaikan salam
mama pada Puan Damia. Tapi tiba-tiba muncul pula idea gilanya.
Enjin kereta
dimatikan. Dengan gaya paling segak, dia keluar dari Lancer milik Izi Helmy.
Eleh, macamlah hendak menarik perhatian gadis-gadis solo. Padahal tak ada siapa
yang peduli kehadirannya pun. Semua orang cuma menumpukan mata pada makanan
saja sekarang ni.
Dia mengatur
langkah ke arah gerai yang dipergi Sasha Amira tadi. Dia ikut beratur. cuma ada
dua orang di depannya. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Emm... couple agaknya. Mesra benar nampak gayanya.
“Maaflah, encik.
Ayam dah habislah.” Tiba-tiba lelaki itu bersuara sebaik Saif Azrai terpacak di
depannya. Raut wajahnya nampak serba salah. Tapi tersenyum.
Saif Azrai senang
membalas senyum. “Tak apalah,” balasnya mengikutkan rentak lelaki itu. Bukannya
dia hendak sangat beli nasi yang dijual lelaki itu. Tapi ada rencana lain okey.
“Abang kenal ke perempuan tadi tu?” tanyanya terus, ambil kesempatan.
Lelaki itu
tercengang. “Perempuan yang mana ya?”
“Perempuan yang
pakai baju kurung warna hitam dengan corak abstrak celoreng hijau tu. Emm...
pakai shawl warna hijau lumut. Alah, yang putih-putih tu... yang datang dengan
kawan dia tadi. Kawan dia tu berisi sikit badannya.” Berbuih mulut Saif Azrai
menjelaskan kriteria Sasha Amira kepada lelaki itu. Mula-mula lelaki itu buat
muka tidak faham tapi lepas kenyataan tentang kawan Sasha Amira tadi barulah
nampak lelaki itu terangguk-angguk.
“Dia girlfriend abang ke?”
Lelaki itu
tergelak. “Tak adalah. Dia tu boleh kata pelanggan tetap dekat sini. Kenapa?”
Oh, yakah? Betul
abang tak ada hai dekat dia? Soalan itu cuma berlegar di benaknya. Tidak diluahkan.
Sebaliknya, hal lain pula yang meluncur laju dari mulutnya.
“Abang boleh tolong
saya tak?”
Lelaki itu diam
tidak menjawab. Saif Azrai segera keluarkan kad nama dari dompetnya dan
diserahkan kepada lelaki tadi.
“Kalau dia datang
lagi, abang beritahulah dekat dia yang ada promosi diskaun ke, makan percuma ke
untuk hari esoknya. Lepas tu abang telefon saya. Saya akan datang esoknya,
pinjam gerai abang kejap boleh?”
Ha?
“Tapi abang cakap
macam tu dengan dia aja. Jangan dengan semua. Tak mampu saya nak belanja semua
orang nanti.” Dia bergurau sedangkan lelaki itu masih terpaku dengan wajah
berkerut.
*******
Puas dia
merayu-rayu depan Abang Man tadi. Mula-mula Abang Man tidak setuju. Nasib baik
ada akak gerai sebelah yang baik hati menyampuk.
“Alah, Man. Kau
tolong ajalah budak tu. Kesian akak tengokkan dia tu. Dapat pahala tau kalau
satukan dua hati ni!”
Ketika itulah Saif
Azrai tahu nama abang yang menjual nasi kukus itu. Susah betul hendak meminta
pertolongan Abang Man. Risau akan menjejaskan perniagaannya nanti. Khabarnya
gerainya ramai pelanggan. Manalah hendak melayan kerenah Saif Azrai yang gila
ni.
Selepas akak gerai
sebelah asyik menyebelahi Saif Azrai, muncul pula suara dari gerai sebelah
lagi. Alahai, baru terasa panas pipi menahan malu. Ah, belasah ajalah. Saif
Azrai buat muka tebal.
Gila! Memang gila!
Tak pernah dia merayu disebabkan perempuan. Namun berbaloi lepas Abang Man
setuju dengan permintaannya. Emm.. tak tahulah kalau Abang Man cuma setuju di
situ tapi tidak dilunaskan janji itu bila tiba masanya nanti. Harap-harap,
Abang Man akan tolong.
Sekarang, Saif
Azrai senang hati. Alamak sekali lagi! Qayreena!!!
No comments:
Post a Comment