Izi Helmy memandang
kertas-kertas atas mejanya. Baru balik dari berbincang dengan client lama tadi. Sekarang terpaksa pula
menghadap usul untuk mendapatkan kontrak yang dikeluarkan Gleneagles. Masih
belum siap sepenuhnya. Sekali dia menarik nafas panjang. Tubuhnya dihempas ke
badan kerusi. Baru beberapa minit dia duduk di pejabat, punggungnya sudah
terasa panas. Waktu kerjanya bermula jam sembilan, namun seperti sudah lebih
dua puluh empat jam dia bersusah payah hari ini walaupun jarum jam baru saja
melepasi angka dua belas. Letih.
Ini semua anak bos
punya pasal. Banyak kerjanya diserahkan tiba-tiba keapada Izi Helmy. Kononnya
hendak diberi peluang kepada Izi Helmy belajar lebih. Alasan. Pagi tadi, Saif
Azrai menghantar sebuah mesej pesanan ringkas kepada Izi Helmy. Katanya tidak
dapat masuk ke pejabat pagi ini dan meminta supaya Izi Helmy cover dia baik-baik, terutama didepan
Haji Rauf.
Alasannya ada hal
kecemasan. Hai, kecemasan apanya kalau dengan ayah sendiri pun hendak berahsia.
Ini mesti tidak lain tidak bukan, pergi berfoya-foyalah ni. Dokumen yang
meninggi depan mata dipandang kosong. Nafas ditarik lebih panjang. Penat
rasanya mahu menyambung kerja. Tapi kalau tidak dibuat, tidak berganjaklah
kerja itu dari situ. Tarikh tutup sudah semakin hampir. Hendak diharapkan Saif
Azrai sekarang, memang jangan mimpilah. Tempoh hari pun, dijelaskannya prosedur
kerja kepada Izi Helmy macam keretapi ekspres. Bagai hendak tercabut wayar otak
Izi Helmy cuba memahami dan mengingat serentak.
Bip!
Mata Izi Helmy
merenung telefon yang berbunyi. Suara Haji Rauf terus bergetar dari pembesar
suara sebaik dia menekan punat di telefon itu tadi.
“Ada pun kamu. Dari
pagi tadi uncle cari, kamu ke mana?”
“Maaflah, uncle. Ada emergency meeting dengan Mr. Lee, yang nak ubahsuai rumah tumpangan
dekat Pudu tu. Tak sempat nak beritahu uncle.”
“Kenapa dengan
kontrak tu, ada masalahkah?” Suara Haji Rauf kedengaran bimbang.
“Ada sikit komplen
la, uncle. Dia tak puas hati
sedangkan kerja-kerja ubah suai dekat situ baru aja bermula. Tapi tak apa, uncle. Saya dah bincang semula dengan
Mr. Lee dan perjelaskan semua seperti dalam kontrak.”
Haji Rauf
mengiakan, tanda faham. Itulah cabaran dalam perniagaan. Hendak memuaskan hati
pelanggan bukan mudah. Kadang kala, kerja baru siap tidak sampai sepuluh
peratus sudah terima bermacam aduan. Dalam keadaan itu, mereka kenalah bijak
mengawal keadaan agar kedua-dua belah pihak tidak menanggung kerugian.
“Kamu tahu ke mana
Azrai pergi?” Tanya Haji Rauf lagi.
Bergetar juga
jantung Izi Helmy bila ditanya soalan itu. Tapi nasib baik dia sudah
menyediakan skrip jawapan awal-awal. Seawal selepas Saif Azrai sendiri yang
meminta bantuannya.
“Pandai-pandailah
kau cover aku baik-baik nanti depan
papa.” Begitulah antara isi dari mesej yang dihantar Saif Azrai kepadanya.
Ceh! Gumamnya
geram. Bila dihubungi untuk bertanya lebih lanjut tidak pula Saif Azrai
menjawab panggilannya. Penting hingga masuk dalam hutan tebal agaknya hal kecemasan
yang dimaksudkan Saif Azrai hingga tidak dapat dihubungi. Entah-entah sepupunya
itu sudah tersangkut gadis hutan pula kali ini. Sebab itu payah benar hendak
dihubungi.
“Dia pergi ke jumpa
client, uncle. Ada kontrak baru nak masuk,” jawabnya lambat-lambat.
“Bila dia akan
masuk pejabat?”
“Tak pasti pula
tentang tu, uncle. Mungkin petang
nanti, dia masuklah agaknya.”
Kedengaran lagi
suara Haji Rauf menggumam faham. “Ha, tak apalah. Nanti kalau dia masuk pejabat,
beritahu pada uncle. Uncle ada hal nak dibincangkan dengan
dia, dan kamu juga.”
Gulp! Dengan aku
sekali? Izi Helmy menalan liur dua kali. Menakutkan bunyinya bila bos besar
hendak berjumpa, walaupun bapa saudara sendiri. Jangan kata bapa saudara, kalau
dengan ayahnya lagi dia kecut perut. Lagi-lagi kalau bab agama. Ketar kepala
lutut hingga ke tumit. Tapi di belakang ayahnya, pijak semut pun tak mati.
Teman wanita tidak cukup seorang. Dia dan Saif Azrai, sama saja. Teman wanita
mereka tidak ada yang tahan lama. Asyik bertukar wajah. Memang layak jadi sepupu
sekepala.
Tapi itu cerita
lama. Bukan dia tidak lagi rapat dengan Saif Azrai tetapi dia tidak lagi aktif
dalam pergaulan dengan ramai wanita. Sejak bertemu Aina, buah hati ulam
jantungnya sekarang, semuanya bagai berubah. Bertemu pula masa dia dan Saif
Azrai makan di kedai mamak, Restoran Kayu Nasi Kandar di Bandar Permaisuri
selepas habis mesyuarat dekat-dekat situ. Masa hendak bayar, tidak cukup pula
dua ringgit lima puluh sen. Duit yang ada dalam dompet semuanya not besar,
tidak mahu diterima mamak yang ketika itu menjaga kaunter bayaran. Nak juga
duit kecil. Banyak cekadak pula. Aduh. Saif Azrai pun sama. Sikit duit kecil
pun tidak dibawanya. Tiba-tiba datang seorang gadis baik hati menghulurkan tiga
keping not seringgit. Ainalah gadis itu.
Tebal muka memang
tidak terungkap tebalnya, mengalahkan Tembok China barangkali. Tapi Izi Helmy
ambil juga peluang untuk berkenalan dengan Aina waktu itu. Kononnya hendak
membayar hutang. Sudah Aina halalkan, Izi Helmy tidak puas hati. Beria dia
hendak bayar. Akhirnya dia berterus-terang.
“Kalau awak belum
bersuami, belum bertunang mahupun ber’kekasih’, boleh kita berkenalan?”
Saif Azrai memang
dari awal sudah tarik diri. Beredar ke kereta. Tidak mahu kacau kalau si sepupu
sudah berkenan dulu. Mula-mula Aina tidak menjawab. Berkerut wajahnya sejenak.
Kemudian dia tersenyum dalam diam. Bolehlah tu jawapannya. Suka hati Izi Helmy
bukan kepalang. Sampai melompat-lompat dia di situ. Buat tebal muka sendiri.
Aina adalah wanita
bertudung pertama pernah dia kenal. Ingatkan kerja sebagai ustazah.
Rupa-rupanya pemegang Ijazah Kedoktoran dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan
kini berkerja di Pusat Perubatan universiti yang sama. Dekat dua tahun mereka
berkenalan. Satu hubungan yang paling lama pernah dia pertahankan. Dengan Aina
juga, bukan seperti bekas teman wanitanya yang lain. Macam merpati jinaknya.
Mesra tapi hendak didekat payah. Tersentuh jari pun tidak boleh. Makin merenyam
rasa hatinya bila tidak dapat memegang walau pada tangan gadis itu yang nampak
mulus. Hai, geram rasa hati ini. Itu yang bertambah lama agaknya hubungan
mereka. Ops! Jauh pula melencong bercerita tentang buah hati.
“Baiklah, uncle. Kalau dia masuk nanti, saya
maklumkan pada uncle.”
Panggilan
diputuskan. Serentak Izi Helmy menarik nafas lega. Fuh, semangat.
“Nasib baik aku
pandai kelentong. Kalau tak mesti kau dah kantoi punya!” Dokumen semalam
ditarik keluar dari fail. Dibelek-belek sekejap untuk melihat bahagian mana
lagi yang perlu disiapkan. Emm... memang banyak. Lantas dia menghempas keluhan
seraya membiarkan dokumen itu atas meja. Tubuhnya dihempas semula ke kerusi.
Digerakkan ke kiri dan ke kanan. Kemudian pusing 360 darjah. Malas rasanya
hendak menghadap kertas yang bertimbun atas meja. Main pusing-pusing atas
kerusi ni rasa seronok juga.
“Hai, dia sedap keluar
tak masuk office... kita pula yang
kena cover. Ada kecemasan konon.
Citt! Entah-entah pergi berfoya-foya dekat luar sana tu. Aku pula yang jadi
mangsa buat semua kerja dia, buat cerita dok kelentong ayah dia. Nasib baik dia
bos, aku kuli. Kalau aku bos, senang aja aku pecat dia. Habis cerita. Tak payah
susah-susah nak buat cerita macam-macam. Ish, ni kalau bertimbun dosa aku
menipu kat uncle sebab nak cover line, aku pass semua dekat dia balik. Mana aci aku tanggung sorang!” Menceceh mulut Izi Helmy
sendirian. Tentang siapa lagi mulutnya hendak bising sekarang ini kalau tak
kerana sepupu ‘kesayangan’ yang tiba-tiba menghilang.
Tersentap jantung
Izi Helmy apabila pintu biliknya tiba-tiba dikuak dari luar. Matanya tertancap
ke pintu dengan wajah panik. Fuh, semangat. Buah hati ulam jantung yang muncul
rupanya. Hai, baru saja bercerita tentangnya tadi. Sekarang sudah muncul depan
mata. Serentak Izi Helmy menarik nafas lega. Nasib baik bukan Haji Rauf. Kalau
Haji Rauf yang muncul, lepas itu terdengar pula mulut Izi Helmy menceceh pasal
Saif Azrai, memang habislah mereka berdua kali ini. Habis Izi Helmy disoal
siasat nanti. Habis cerita Saif Azrai yang kononnya tengah sibuk menyelesaikan
hal kecemasannya itu. Pendek kata, habis semualah terbongkar pada Haji Rauf.
“Assalamualaikum...”
Manis Aina memberi salam. “Hai, kenapa muka you macam nampak hantu aja?” Aina
mengambil tempat di depan Izi Helmy tanpa dipelawa. Tali beg tangannya
dilurutkan dari bahu lalu begnya dipangku.
“Bukan macam nampak
hantu tapi macam nampak bidadari yang baru turun dari kayangan,” balas Izi
Helmy berjenaka sekaligus mengundang tawa Aina. Sejuk hati dia memandang buah
hati yang memakai kebaya dengan berselendang litup.
“Amboi. Makin
pandai bermain kata nampaknya. Dah mula nak jual minyakkah?”
“Eh, I bukannya
saudagar minyak yang nak jual minyak sayang. I ni cuma kuli yang makan gaji
aja. Tak kaya macam saudagar minyak tu...” Izi Helmy ketawa lagi bersama
jawapannya yang meluncur bersahaja dari mulutnya.
“Kasih dan sayang
bukan diukur daripada harta. Tapi, sebelum you nak panggil I dengan panggilan
sayang tu, kenalah jumpa mak ayah I dulu.”
Alah, lemah lutut
Izi Helmy bila mendengar cadangan Aina. Berjumpa mak ayahnya? Hoho... kecut
perut bila difikirkan.
“Nak panggil pun
tak boleh?”
Aina senyum sambil
melayangkan jari telunjuknya ke kiri dan kanan. Alah, tak sporting! Izi Helmy mencebik.
“You jadi nak lunch dengan I tak hari ni? Semalam
beria suruh I keluar awal dari hospital. Nasib baik hari ni schedule I tak penuh. Tapi nampaknya
macam you pula yang busy.” Mata Aina
memandang kertas-kertas dan fail yang berselerak atas meja di depannya. Ditoleh
juga ke meja di belakang, meja panjang yang disusun bersama sofa kulit berwarna
hitam. Tidak ada bezanya. Bersepah dengan kertas. Sibuk bernar nampaknya.
Oh, ya! Lupa pula.
Sebab makan malam semalam tak jadi disebabkan Aina kena ganti doktor bertugas,
mereka ganti pula nak makan tengah hari bersama hari ini. Ish, ni semua Saif
Azrai punya fasal. Sibuk sangat hendak menyiapkan kerja-kerja bosnya itu,
sampai janji dengan buah hati pula terlupa. Tapi manalah boleh hendak mengaku
depan buah hati yang dia terlupa kan. Mesti cover
line baik-baik punya!
“Eh, mestilah jadi.
You punya hal, mana boleh lupa. Kerja I bukannya banyak sangat. Kertas-kertas
ni pun, sengaja I tak mahu kemas. Saja nak tayang kat orang yang I ni banyak
kerja.” Jawabnya selamba. Aina sekadar memandang dan tersenyum. Hendak percaya
atau tidak, emm... banyak yang keluar dari mulut lelaki itu sekadar gurauan.
Entah manalah yang hendak dipercayakannya.
“Jomlah. I nak bawa
you pergi makan tempat special hari
ni.” Izi Helmy lekas menyimpan dokumen penting tadi ke dalam fail semula.
Kemudian dia terus bangun. Blazer yang dipakainya tadi ditanggalkan dan
dibiarkan pada badan kerusi. Panas nak pakai tengah-tengah hari ni. Seterusnya
mengajak Aina keluar dari bilik pejabatnya itu. Aina cuma mengikut. Bangun dan
mendahului ke pintu.
“Special? Dekat mana tu? Rumah your mom ke?”
Erk! Biar betul,
sampai ke Penang! Terkedu Izi Helmy tidak menjawab sedangkan Aina pula yang
terkekek ketawa lantas segera keluar dan terus melangkah.
*******
Perlahan-lahan
Sasha Amira membuka mata. Kelopak matanya terasa berat benar. Bila dicelik,
pandangannya kabur dan sedikit demi sedikit menjadi lebih jelas. Putih. Itu
yang pertama Sasha Amira dapat lihat.
Sepatutnya Sasha
Amira berada di kolej tapi di mana Sasha Amira berada sekarang? Dia cuba
bertanya pada diri sendiri. Sasha Amira cuba melihat keliling namun payah benar
rasanya mahu memusingkan kepala walau sedikit. Hendak menoleh ke kiri kanan,
rasanya juga tidak mampu. Kepalanya betul-betul terasa berat.
Bila diingat-ingat,
perjalanan ke kolej tadi terasa begitu panjang. Terlalu panjang hingga Sasha
Amira kurang jelas dengan apa yang berlaku.
“Oh, awak dah
sedar!” Tiba-tiba satu suara bergema di telinga. Sangat jelas dan Sasha Amira
yakin ia datang betul-betul di sebelahnya. Seketika kemudian, terpacul muka
Saif Azrai di atas muka. Terus saja Sasha Amira terkejut serentak bangun.
“Aduh...” Sasha
Amira meraba kepala. Sakit terhantuk dek kepala Saif Azrai. Keras betul, macam
batu! Bijak sungguh lelaki itu menyapanya begitu. Kalau muka-muka yang
sememangnya Sasha Amira mahu lihat, tidak apalah juga. Ini muka lelaki itu yang
muncul. Malu. Malu sebab terbaring di depannya.
Eh! Sasha Amira
dapat merasa sesuatu di dahinya. Sebelah tangan lagi juga diangkat dan meraba
seluruh benda yang melekat di kepalanya.
“Kenapa kepala aku
berbalut pula ni?” Dia mengomel sendiri. Aduh. Sakit mula terasa.
“Awak dah okey ke?”
Serentak Sasha
Amira menoleh ke arah suara di sebelah. Saif Azrai masih mengurut dahi. Amboi.
Kepala keras macam batu pun sakit ke? Gerutu hati Sasha Amira melihat muka itu.
“Itulah. Kacau lagi
pemandu berhemah ni memandu. Tengok apa dah jadi. Dah bertampal dah dahi dia.
Tapi kalau tak cukup besar, saya boleh minta doktor lilit terus macam rocker.
Nak?” Sempat lagi Saif Azrai menyakat.
Sasha Amira diam.
Hendak ketawa atau tidak, dia tidak tahu. Pandai pula lelaki itu hendak bergurau
walau baru sekejap saja berjumpa. Tapi bila fikir balik, alamak! Sasha Amira
angkat tangan kiri. Jam yang terbelit di pergelangan tangan ditenung lama-lama.
Huhu... sah, dia terlepas ujian Puan Raihana. Dia mencemik.
“Ala... ala...
kenapa buat muka mencerut tu lagi? Sakit ya? Tulah kalau awak tak kacau pemandu
berhemah ni tadi kan tak jadi macam ni.”
Sasha Amira
mencebik dan mencemik lagi. Aduhai. Kata-kata Saif Azrai tidak seidikit pun
buat hatinya terpujuk. Makin sedih adalah. Bukannya dia hendak pujuk atau
menenangkan orang yang sakit tambah sedih dan risau kerana tidak sempat
menjawab ujian tergempar Puan Raihana. Diri sendiri pula yang dia puji. Huh!
“Sakit tak?”
Terbelalak mata
Sasha Amira bila sedar muka Saif Azrai mendekat semula. Fuh, semangat! Baru
sekejap fikirannya melayang, dia sudah mula ambil kesempatan. Entah apalah yang
hendak dibeleknya pada luka di dahi Sasha Amira tadi. Bersilat tangannya
menepis tangan Saif Azrai sekaligus menjauhkan lelaki itu dari dirinya. Beg
miliknya yang dilihat terletak di hujung katil dicapai. Kemudian dia terus
bangun meninggalkan katil. Langsir diselak.
Ops! Ada seorang
doktor lelaki sedang merawat pesakit. Langkahnya terhenti seketika. Terdengar
suara Saif Azrai bertanya di belakangnya, dia teruskan saja langkah keluar. Dia
juga dengar suara lelaki itu berterima kasih kepada doktor tadi dan entah
apa-apa lagi yang dibualkan selepas itu, dia tidak tahu. Dia terus meluru
keluar dari klinik.
“Awak nak ke mana
ni? Awak tu belum stabil lagi.” Saif Azrai sudah berada di belakangnya. Tangan
Sasha Amira disambar.
Tiada respon. Tangan
dalam genggaman Saif Azrai ditarik kasar. Kakinya dihayun semula. Bukan niat
untuk tunjuk kurang ajar. Sasha Amira cuma rasa sedih. Kesal. Sebal hingga
sakit hati mengenangkan ujian. Balik-balik ujian itu yang mengganggu
fikirannya. Dia rasa marah pula sekarang. Marah kerana Saif Azrai juga yang
salah hantarnya ke Kota Damansara. Kalau terus ke Seri Kembangan, mesti sempat
dia menjawab ujian itu!
Lelaki itu mesti
sengaja ambil kesempatan. Tadi pun dia mendekati tu sebab cuba nak ambil
kesempatan juga kan? Hatinya menduga.
“Awak, janganlah
macam ni. Bukan saya yang sebabkan awak berbalut macam tu.” Diam. Dia melihat
Sasha Amira terus melangkah. “Okeylah. Kalau sebab saya, saya minta maaf okey. Aduhai...
awak tahu tak 3 jam saya tunggu awak tidur tadi. Takkan awak nak pergi macam tu
aja. Sekurang-kurangnya beritahulah, saya tolong hantar.”
Erk! Tolong hantar?
Saif Azrai berkira-kira sendiri. Entah menghantar gadis itu dengan apa lagi
kalau keretanya juga sudah masuk bengkel. Datang ke mari pun nasib baik ada
orang yang baik hati hulurkan bantuan.
“Saya nak ke
Institut Kesihatan Sains dan Kejururawatan. Kalau tak silap, dekat-dekat situ
ada klinik. Bolehlah saya tolong hantarkan. Tempat lain, saya tak familiar sangat.”
Wow! Pelajarkah
dia? Atau pensyarahkah dia? Ah, tak kesahlah. Nasib baik yang baik hati tolong
tadi lelaki. Kalau perempuan, sudah tentu Saif Azrai ambil kesempatan cucuk
jarum sekali. Sekarang, kenalah jaga awek
baru yang nampaknya tengah merajuk ni. Alahai, comel juga muka dia. Walaupun
kereta sekarang tidak ada, masih ada cara lain untuk menghantar dia pulang.
Wahai cik adik
manis yang suka mencerut muka, saya hantar awak dengan teksi boleh? Fikirannya
mereka-reka ayat sedang kaki terus mengejar Sasha Amira dari belakang.
Tiba-tiba langkahnya terhenti sebaik sedar Sasha Amira terpacak di depan
menghadap mukanya dengan muka masam.
Fuh, semangat.
Nasib baik sempat brek. Kalau dah, tercium pula anak dara orang. Dia juga yang
marah orang lagi nanti.
“Helo, Mr... siapa
nama awak?”
Tergamam sekejap dengan
dahi berkerut. “Azrai..” jawabnya lambat.
“Ha, Mr. Azrai. Ni
nak tanya sikit, bila masa pula saya tidur? Betul ke awak ni belajar tinggi
sampai ke UK? Kalau betul pandai, takkan tak boleh beza antara tidur dengan tak
sedarkan diri? Ke awak ni beli aja ijazah awak tu dengan duit?” Sasha Amira mendengus
tidak senang. Sumpah dia tidak berniat hendak cakap yang bukan-bukan. Tapi
makin didengar suara Saif Azrai, makin tebal sakit di hati. Kenapa? Kerana
ujiannya jugakah atau kerana cakap Saif Azrai yang tidak boleh diterima
akalnya?
Wow! Pedasnya ayat.
Tersentap hatinya. Bengkak, namun Saif Azrai menarik nafas dalam-dalam. Cuba
menenangkan diri. Tidak pernah dia gagal memikat selama ini. Masakan gadis
pilihan Hajah Kistina pula dia gagal memujuk. Hei, ini Saif Azrai okey. Sepatah
perkataan yang keluar dari mulutnya sepatutnya boleh memujuk puluhan wanita.
Qayreena, teman
wanitanya sekarang senang dipujuk. Senyum saja, gadis itu menjinak semula. Saif
Azrai mencuba. Senyuman paling menawan ditayang di depan Sasha Amira.
La! Kenapa nak
tersenyum pula ni? Sasha Amira berkerut-kerut. Malas dia hendak melayan.
Langkahnya dihayun semula. Memandang kiri dan kanan. Entah di mana dia berada
sekarang. Langkah dibuka lebih panjang dan selaju yang mungkin. Kerana dia tahu
Saif Azrai membontoti di belakang. Lantas Sasha Amira bergerak lebih pantas.
Tidak sampai
sepuluh meter dia berlalu, sekali lagi langkahnya terhenti. Kini Saif Azrai
sudah berada di depannya. Memandang ke muka Sasha Amira dengan wajah tenang dan
kemudian tersenyum lagi. Sasha Amira mencerlung mata ke muka Saif Azrai.
“Jom, saya hantar
awak balik. Muka awak tu pun nampak pucat. Risau saya nak biarkan awak jalan
sendiri. Nanti kalau awak pengsan, siapa yang tahu?” Tangan dihulur. Namun
hanya dipandang serong oleh gadis di hadapannya. “Jomlah...” Dia cuba memujuk
lagi.
“Tak apa. Terima
kasih aja!” Kata-kata itu laju dituturnya sebelum berlalu pergi.
Saif Azrai
mengejar. Makin dikejar makin laju Sasha Amira berlari. Ah, biarkan saja.
Langkahnya kembali perlahan dan hanya memerhati. Jauh ditinggalkan Saif Azrai
di belakang.
Saif Azrai menarik
nafas dalam-dalam sekali lagi. Letih. Fuh, berapa jauh lagi agaknya Sasha Amira
hendak menapak. Sedang matahari petang pula semakin galak rasanya menyimbah
bahangnya ke bumi. Berpeluh sakan dia dibuatnya. Nasib baik pagi tadi sudah
disembur Rexona Men di ketiak. Kalau tidak, mesti ketiak sudah bahu hangit
semacam.
Tidak tahan panas,
Saif Azrai mencapai Iphone dari kocek seluar. Seketika kemudian, diletakkan di
telinga dan dia menanti panggilannya berjawab.
*******
Brip! Brip!
Izi Helmy yang enak
menjamu selera dengan Aina menggelabah bila telefonnya bergegar dalam poket
seluar. Baru sekaranglah dia dapat menjamu makan tengah hari selepas tiba-tiba
saja ada client datang ke pejabat
untuk bertemu Saif Azrai. Terpaksalah Izi Helmy yang ambil alih urusan dengan client tersebut.
Hai, nak datang
berbincang pun waktu lunch hour.
Kesian kat buah hati aku kena tunggu lama. Nasib baik dia tak busy. Kalau tak, melepas! Muka tayang raut
manis, hati siapa yang tahu. Yang sebenanrnya, itulah yang dirungutkannya
ketika perbincangan tadi. Dalam diam, dia menghitung waktu. Panas punggunglah
kata orang, tak sabar rasanya nak keluar.
Telefon masih
berdering. Makin lama makin nyaring pula bunyinya. Menggeliat-geliut dia ke
kiri kanan sambil tangan terkial-kial menyeluk poket dan memegang Iphone 4S di
tangan. Ditenung nama si pemanggil betul-betul di skrin.
Dino. Itulah nama
timang-timangan Saif Azrai masa kecil dulu. Sebabnya, mereka berdua selalu
habiskan masa bersama. Main bersama, makan bersama, tidur bersama. Tinggal pun
serumah bersama kedua-dua ibubapa mereka serta atuk dan nenek. The Flinstones adalah salah satu
rancangan kegemaran mereka ketika itu. Disebabkan Izi Helmy merasakan watak
Dino, haiwan peliharaan Fred dalam rancangan ini sama sikapnya seperti Saif
Azrai, dipanggilnya Saif Azrai Dino. Yalah. Manjanya dengan Hajah Kistina,
kalau boleh hendak berkepit di bawah ketiak mamanya sepanjang masa. Bukan main
marah lagi Saif Azrai bila dipanggilnya Dino. Merajuk hingga tidak mahu
bertegur sapa. Sampai sekarang, jangan dipanggilnya dengan nama itu. Melenting
dia nanti. Silap-silap terima hadiah buku lima. Ops! Buat cerita. Tak pernah
pula dia terkena buku lima Saif Azrai selama ini.
“Sekejap ya.
Azrai...” Izi Helmy memberitahu sambil menayang telefon pintarnya kepada Aina.
Mestilah kena beritahu kalau telefon berdering depan buah hati. Takut-takut
nanti si jantung hati itu cemburu buta pula.
“Helo anak bos. Amboi,
sampai ke petang tak nampak bayang.” Terus saja kedengaran suara garau Izi
Helmy menyergah gegendang telinga dengan nada seloroh. Siapa lagi yang asyik
memanggilnya anak bos. Sepupunya itu saja yang berani.
Saif Azrai hempas
nafas yang terasa berat. Penat. Bajunya sekali-sekala dikibas perlahan bagai
meminta angin mendinginkan tubuhnya yang mula bahang.
“Kau dah masuk office ke? Ha, kalau kau nak jumpa aku
nantilah eh. Aku baru aja nak makan dengan buah hati. Penat aku cover kau sampai melayang lunch hour aku!”
“Amboi. Tak
sempatlah aku nak beri salam ke apa, terus aja nak berleter. Ha, elok sangatlah
kau dengan buah hati kau tu. Aku nak minta tolong sikit.”
“Aik! Bukannya nak
bagi chance aku berdating lama sikit. Nak minta tolong
pula? Tolong apanya?”
“Kau datang ambil
aku. Mintalah Aina datang sekali sebab nanti aku nak pinjam kereta kau. Kau
balik dengan buah hati intan payung kau tu.”
Aik! Macam tu pula!
“Mana kereta kau?”
“Sebab kereta aku
tak adalah, aku nak minta tolong. Kereta tu dah sakit, masuk ‘wad kereta’.”
“Apasal?”
“Eh, jangan banyak
tanyalah Encik Izi Helmy bin Hairol. Kat luar ni panas. Nanti aku baham kau,
baru kau tahu!”
Huew! Takutnya...
mengekek Izi Helmy gelak. Sepupunya itu bukannya tahan panas. Macam putera
lilin. Masa sekolah dulu, tidak pernahlah seumur hidup dia main sukan macam
budak-budak lelaki lain. Yang dia tahu, memerap dalam rumah. Tengok tv,
rancangan The Flinstones dia tu.
“Apahal pula kau
gelak? Apa yang kelakar?” Bergegar suara Saif Azrai di talian. Kalau Izi Helmy
ada depan mata, hendak aja dia paut batang leher Izi Helmy macam dalam WWF.
“Ni, yang kau
pagi-pagi dah menghilang katanya ada hal kecemasan tu kenapa? Pasal kereta kau
masuk wadkah? Ke sebab kau pergi kejar perempuan, kereta kau masuk wad?”
Soalan Izi Helmy
itu sekali lagi menggegar telinga Saif Azrai. Bergetar hatinya bila tekaan
sepupunya hampir tepat. Lebih tepat lagi dia sebenarnya sedang mengejar calon
isteri. Ops! Calon isteri? Itu cuma pada pandangan Hajah Kistina. Baginya,
ditekankan sekali lagi dia hanya mengejar calon terbaru dalam senarai teman
wanita. Dapat yang ini, baru genap tiga puluh orang. Ish, belum cukup ramai.
Carta Izi Helmy lebih banyak teman wanitanya. Seratus tahun pun yang dia ada
belum tentu dapat dia tandingi.
“Ceritalah sikit,
sebelum aku datang jemput kau. Takkan dengan sepupu kau yang paling baik ni pun
kau tak nak kongsi cerita kut!”
“Perempuan bukan
sebarang perempuan.”
“Woah! Betul ke
tekaan aku? Fuiyo! Apa cerita ni, Dino? Awek mana pula yang kau kejar kali ni?”
Ha! Dah keluar dah
panggilan manja Saif Azrai antara mereka. Baru saja hendak berkongsi cerita
dengan sepupu ‘kesayangan’. Dengar saja nama itu, rosak terus mood dia hendak bercerita lebih-lebih.
“Macam mana rupa
awek tu? Cantik? Seksi? Macam model? Bila kau nak tayang awek baru kau tu pada
aku. Takkan dengan aku pun nak sembunyi kut!” Bertalu-talu soalan Izi Helmy
menujah telinga apabila Saif Azrai senyap saja dari tadi. Tidak sabar sungguh
sepupunya itu ingin tahu. Gelojoh.
“Datang dulu dekat Serdang
Perdana. Kau carilah Klinik Shukor. Aku ada dekat area situ. Nanti next time aku cerita. Kau mesti datang
tau. Kalau tak melepaslah aku nak pujuk awek baru aku tu.” Talian diputuskan.
Tangannya mengesat pula peluh setelah menyimpan semula Iphone ke dalam poket.
Matanya dikecilkan sedikit. Panahan matahari yang kian terik menyekat
pandangannya. Dalam teragak-agak, dia yakin gadis yang duduk di pondok teksi
itu adalah Sasha Amira. Langkahnya dipantaskan semula untuk mendekati.
Sebuah teksi ungu
kelihatan memberi isyarat ke kiri dan menghala ke perhentian di mana Sasha
Amira berada. Alamak! Langkah Saif Azrai dihayun lebih laju. Cuma tinggal
beberapa meter saja untuk dia menghalang Sasha Amira sebelum teksi itu
berhenti.
Yes! Saif Azrai tercungap-cungap menahan Sasha Amira daripada
pergi. Pintu teksi yang sedia dibuka gadis itu ditahannya.
“Please, biar saya hantar awak balik. Apa
pula kata mama awak nanti bila tengok awak balik naik teksi.”
Sasha Amira
berkerut tidak mengerti. “Nak kata apa pula? Kunci kereta saya kan hilang. Mama
minta tolong awak hantar saya ke kolej aja. Bukan sampai jemput dan hantar
balik rumah,” ujarnya acuh tak acuh. Dia sudah cukup letih hari ini. Kepalanya
juga bagai berdenyut-denyut. Ah, Sasha Amira sendiri yang cari penyakit. Bak
kata Saif Azrai tadi, siapa suruh dia kacau pemandu berhemah itu memandu kan.
Ouch! Sasha Amira
meraba dahi bila Saif Azrai menekan lukanya di dahi. Adoi! Dahlah memang tengah
berdenyut-denyut. Dia pula boleh suka-suka hati tekan macam tu. Sakitlah!
Berkerut sama wajah Saif Azrai bagai terasa sakitnya di dahi Sasha Amira.
“Luka awak tu, apa
awak nak jawab dengan mama awak nanti?” Terpacul soalan itu pula dari mulut
Saif Azrai. “Nanti mama awak ingat saya tak pandai jaga anak dara orang pula.”
Ha? Tercengang
Sasha Amira sesaat. Selepas itu, dia mendengus. Oh, jadi itulah sebabnya yang
dirisaukan lelaki itu? Takut nama baiknya tercalar depan mama? Takut mama tidak
jadi meletakkan dia sebagai calon menantu pilihan? Alahai... kalau begini
gayanya, kalau beginilah sikap lelaki yang mama kata baik sangat tu, Sasha
Amira terlebih dulu yang tawar hati. Dasar lelaki. Semuanya sama. Selfish! Menjerit-jerit dia dalam hati.
Saat itu juga terkenangkan Saiful Muslim. Huh! Namanya cukup baik maknanya dan
sedap didengar di telinga. Peribadinya cukup baik di kaca mata Sasha Amira satu
ketika dulu, saat hatinya dibajai ayat-ayat cinta dan janji-janji manisnya.
Satu ketika, dia
berjanji mahu setia. Sehidup semati juga dia rela. Setelah dihantar bapanya
untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara selepas tamat SPM, dia berjanji
untuk mengubah haluan hubungan mereka kepada hubungan yang halal setelah pulang
nanti. Sasha Amira melepaskan dengan hati rela, sementara dia hanya melanjutkan
pelajaran ke peringkat Tingakatan Enam. Kerana sayang, Sasha Amira menanti.
Cinta mereka terus mekar pada bulan pertama. Setiap hari dinantikan emel
daripada Saiful Muslim. Hari demi hari, kiriman emel Saiful Muslim semakin
jarang singgah ke peti masuknya. Kerana sayang, dia masih percaya. Sibuk
barangkali. Kata-kata itu selalu singgah di bibir bagi menyedapkan hati sendiri.
Selepas empat
tahun, Saiful Muslim masih tidak datang mencarinya. Sepatutnya dia sudah pulang
ke Malaysia. Emel mahupun mesej juga tidak dikirimkan. Malah emel Sasha Amira
tidak pernah berbalas. Sasha Amira pasang tekad. Dia datang sendiri ke rumah
keluarga Saiful Muslim untuk bertemu lelaki itu. Biarlah jika orang mengatanya
perigi mencari timba. Janji yang terikat antara mereka masih tersimpan rapi
dalam hati. Dia tidak peduli.
“Jom saya hantar.
Nanti sepupu saya datang hantar kereta.”
Musnah lamunan Sasha
Amira serentak dek kata-kata Saif Azrai. Tangannya yang terasa perit digenggam
Saif Azrai dilepaskan terus.
“Tak payahlah. Saya
boleh balik sendiri. Kalau mama tanya pasal luka di dahi ni, pandai-pandailah
saya jawab jatuh tangga ke, jatuh longkang ke!” bentaknya mudah sambil menunjuk
telunjuk ke dahi. “Saya pun bukannya bodoh sangat nak cerita dengan mama hal
yang benar. Kalau mama tahu, dah tentulah telinga saya ni yang kebas sebab saya
kacau ‘pemandu berhemah’ ni kan.” Sindirnya lagi seraya menjeling. Dia tidak
menunggu lebih lama. Sudah cukup lama teksi itu menanti. Pemandu teksi itu juga
sudah bising-bising. Cuma Sasha Amira saja yang cuba pekak telinga. Tanpa
berlengah lagi, dia masuk dan menutup pintu teksi cepat-cepat.
“Maaf pakcik,
lambat. Tolong hantar saya ke Taman Jaya, sebelah PPUKM.”
Pemandu teksi
berusia lima puluhan itu mengangguk. Belum sempat dia menukar gear, pintu
penumpang di depan pula yang terbuka.
“Pakcik, saya nak
pergi tempat yang sama dengan cik dekat belakang ni.”
Tercengang Sasha
Amira akan tindakan Saif Azrai. Tiba-tiba saja dia juga masuk ke dalam teksi
yang sama. Hendak pergi tempat yang sama pula tu. Hendak ke rumahnyakah? Buat
apa? Sasha Amira mahu turun. Tapi tidak sempat! Teksi itu sudah mula bergerak
masuk ke jalan utama. Jika dia ikut akal gilanya yang berlegar-legar dalam otak
sekarang, alamatnya berbalut lagilah badannya nanti. Oh, tidak... tidak. Cukuplah
luka di dahi. Tidak ingin dia tambah sakit di merata tubuh lagi. Huhu... sakit.
No comments:
Post a Comment