Haji Rauf
membelek-belek fail dan dokumen yang perlu ditandanganinya. Selesai menyemak
dan menurunkan tandangan, kertas cadangan yang disediakan pewaris tunggal, Saif
Azrai bersama sepupunya Izi Helmy berkenaan rancangan syarikat untuk penggal
tahun hadapan dibeleknya pula.
Teliti Haji Rauf
menyemak. Dulu, sewaktu dia mula-mula membuka syarikat ini bersama Hairol,
adiknya yang kedua juga ayah kepada Izi Helmy, mereka berdualah yang
bersusah-payah menguruskan semua dokumen dan kertas kerja. Ke sana ke sini
mencari pelanggan. Dengar saja kontrak dibuka, usul mereka bentangkan
bersungguh-sungguh semata-mata untuk memperkenalkan syarikat mereka yang
setahun jagung itu.
Bukan senang hendak
bersaing, lagi-lagi bersama dengan syarikat kontraktor lain yang sudah gah
mencipta nama. Kegagalan sudah acap kali diterima mereka. Namun, Haji Rauf dan
Encik Hairol gigih bertahan atas dorongan bapa mereka yang ketika itu masih
ada. Mereka mencuba dan terus mencuba. Alhamdulillah, selepas mengharungi lima
tahun yang sukar, syarikat mereka yang kecil dan pada asalnya hanya mempunyai
lima orang pekerja kian berkembang. Malah, Encik Hairol menawarkan diri untuk
mengembangkan perniagaan mereka ke Utara Semenanjung. Kini cawangan mereka di
Pulau Pinang diuruskan Encik Hairol. Jumlah pekerja mereka di kedua-dua pejabat
JRH Interior & Construction Sdn Bhd kini juga sudah bertambah hingga hampir
lima puluh orang.
Izi Helmy pula
diarahkan Encik Hairol untuk belajar selok-belok perniagaan di bawah pengawasan
Haji Rauf memandangkan projek yang diterima syarikat mereka di Kuala Lumpur
lebih banyak berbanding di Pulau Pinang. Lebih banyak projek yang dikendalikan,
lebih banyak yang Izi Helmy dapat belajar.
Haji Rauf
mengangguk-angguk ketika membaca kertas cadangan mereka. Elok strateginya. Saif
Azrai lulusan University of Liverpool dalam jurusan seni bina, Izi Helmy pula
graduan Kejuruteraan Sivil dari University of Derby. Memang moleklah gabungan
dua tenaga muda ini. Jika beginilah rupa cadangan mereka untuk penggal hadapan,
tidak sia-sia Haji Rauf dan Encik Hairol menghantar mereka belajar sampai ke
negara orang. Haji Rauf tidak keberatan untuk membawa usul ini dalam mesyuarat
lembaga akan datang.
Hingga ke muka
surat terakhir, Haji Rauf menggeleng tiba-tiba seraya melepaskan nafas halus.
“Ni siapa yang
sediakan proposal ni? Macam mana
seorang boleh tandatangan, seorang tak ada?” Haji Rauf menggeleng lagi.
Ganggang telefon diraih dari sebelah. Nombor sambungan ditekan dan dia menanti
jawapan.
Tiada jawapan. Dahi
Haji Rauf berkerut sedikit. Lantas Haji Rauf bangun dan keluar dari pejabatnya,
berjalan ke depan menuju ke bilik Pengarah Urusan. Diintainya sekejap ke dalam
bilik itu dari cermin kaca. Terang. Tapi tidak nampak apa-apa dengan jelas dari
birai yang tertutup rapat. Tombol pintu ditolak ke bawah lalu daun pintu dikuak
ke dalam. Tiada orang di dalam. Spontan Haji Rauf melihat jam di pergelangan
tangannya.
“Hai, tak masuk
pejabat lagikah budak ni?”
Haji Rauf berjalan
ke bilik Izi Helmy pula. Orangnya juga tiada dalam bilik itu.
“Ada hal dekat luar
agaknya.” Haji Rauf meneka. Namun dia tidak puas hati. Dia berjalan ke depan
dan mendekati meja setiausahanya. “Suzi, Azrai tak masuk pejabat lagikah?”
Suzi atau nama
penuhnya Suziliana, sudah lebih sepuluh tahun berkerja dengan Haji Rauf. Sejak
awal-awal penubuhan syarikat ini lagi. Dari anak dara hinggalah sudah beranak empat.
Dia merupakan salah seorang pekerja yang setia dari dulu, mengharungi saat
sukar bersama mereka hinggalah syarikat ini stabil kemudiannya. Pada asalnya,
Suzi memegang jawatan pembantu tadbir. Ketika itu, Haji Rauf dan Encik Hairol
lebih banyak berkerja sendiri. Masing-masing tidak mempunyai setiausaha. Hanya
selepas lima tahun, Haji Rauf melantiknya sebagai setiausaha untuk membantunya
menguruskan hal pentadbiran.
“Belum, Tuan Haji.”
“Dia ada appointment dekat luarkah?” Haji Rauf
menyoal lagi. Sementara Suzi menyelak diarinya seketika. Kemudian memandang
semula ke arah Haji Rauf yang berdiri di depan mejanya.
“Yang itu, saya tak
pasti pula Tuan Haji. Encik Azrai tak ada pula tinggalkan pesanan.”
Haji Rauf
menggangguk faham. “Tak apalah. Terima kasih.”
“Sama-sama Tuan
Haji,” balas Suzi lalu tersenyum. Haji Rauf beredar, kembali ke biliknya
semula. Kertas cadangan tadi disimpannya ke dalam laci. Dokumen lain yang perlu
disemaknya ditarik pula ke depan.
*******
Sasha Amira
memandang ke luar tingkap. Terkiput-kiput rasanya dia duduk di sebelah Saif
Azrai di dalam kereta. Tidak pernah seumur hidupnya dia duduk sekereta berdua
dengan lelaki melainkan papa mahupun abang Zafuan. Dengan Abang Mazlan, suami
Along pun Sasha Amira tidak pernah naik kereta bersama. Segan kononnya.
Sekarang kenalah pula duduk sekereta dengan lelaki yang tidak dikenali. Sebelah
pula tu. Tambah malu bila dia sedar Saif Azrai dari tadi asyik menjeling ke
sebelah. Huhu dahlah dia handsome.
Bergetar jantung ni dibuatnya.
“Awak tak sempat
nak cuci muka ke pagi tadi?”
Tiba-tiba terdengar
suara Saif Azrai bagai berdesing ke telinga. Sepantas kilat Sasha Amira menoleh
ke sebelah dengan dahi berkerut-kerut. Kemudian, dia seluk beg dan mengeluarkan
sekeping cermin kecil. Wajahnya dibelek-belek. Kenapa? Kenapa? Hatinya menjerit
mencari jawapan.
Huh! Tahi mata!
Pandailah lelaki ni nak sound aku
pula.
Sasha Amira tidak
puas hati. Jari telunjuknya lekas membersihkan tahi di kedua belah mata dengan
beralaskan tisu.
“Awak tu bawa
kereta lambat sangat. Ngantuk saya,” jawabnya memberi alasan. Tisu dan cermin
tadi disumbat cepat-cepat ke dalam beg. Dia menjeling sekejap ke cermin pandang
belakang. Dapat dilihatnya senyum yang tersungging di bibir lelaki itu.
Senyum-senyum pula
dia. Dalam hati mengutuk akulah tu. Eii buat penat aja aku dok malu-malu dengan dia. Dia boleh selamba kenakan aku pula. Jadi
menyampah pula!
“Saya memang tak
reti bawa kereta. Saya cuma tahu pandu aja. Kalau nak saya bawa, lagi lambat.
Manalah larat saya nak bawa kereta ni ke hulu hilir dengan awak sekaligus.
Berat tu.”
Ada lagi jawapan
daripada Saif Azrai yang singgah ke telinganya. Amboi, boleh pula dia loyar
buruk masa ni. Kelakar sangatlah tu! Gumam Sasha Amira geram. Lelaki itu
tersenyum-senyum. Senyap. Kali ini Sasha Amira tidak berminat mahu membalas.
Dia melontar semula pandangan ke luar. Sedar tidak sedar kereta yang dipandu
Saif Azrai masuk berhenti di depan pagar palang.
“Assalamualaikum,
encik. Saya nak hantar pelajar ke dalam sekejap. Sekejap aja, boleh?”
Sasha Amira menoleh
serta-merta. Dia mendengar perbualan Saif Azrai dengan seorang pegawai
keselamatan di luar. Seketika, pagar palang di depan kereta bergerak ke atas.
Serentak Saif Azrai memandu masuk ke depan.
“Nak ke mana pula
ni?” Terpinga-pinga Sasha Amira menyoal. Bila dilihat nama kolej di papan tanda
tadi, betullah SEGi College. Tapi bukan di sini kampus yang dia selalu pergi.
Dia terjenguk-jenhuk lagi keluar. Rupa bangunannya pun macam lain.
“Nak hantar
awaklah.” Tenang Saif Azrai menjawab. Sasha Amira pula yang melopong. Huhuhu...
mahu saja dia menangis di sini. Bila melihat jarum jam, hatinya bercampur baur.
Sedih, risau, gemuruh, semuanya ada.
*******
Menggeletek hati
dan jiwa Puan Damia bila Hajah Kistina juga sependapat. Tidak keruan Puan Damia
setelah Sasha Amira mengikut Saif Azrai tadi. Lama dia bersabar dengan budak
itu. Sudah diberi nombor telefon Saif Azrai kepadanya juga, seperti tiada apa
yang berlaku. Puan Damia tidak sabar menunggu walaupun baru sehari dua lepas
dia berjumpa Hajah Kistina. Entah-entah disimpan saja nombor Saif Azrai buat
pekasam. Atau anak bongsunya itu segan hendak memulakan dulu sedangkan Saif
Azrai tidak muncul pada hari pertemuan tempoh hari. Emm... mungkin juga. Ah,
tidak apalah. Biar orang tua ini yang mulakan dulu. Puan Damia tidak mahu
kesudahannya kali ini sama seperti sebelum ini.
Ingatkan Puan Damia
seorang yang beria-ia. Rupa-rupanya Hajah Kistina juga tidak sabar hendak
bermenantu. Yalah, anaknya juga seorang saja. Untunglah Puan Damia. Kalau sudah
dua belah pihak sudah sepakat, senanglah sikit rancangannya nanti.
“Budak-budak ni
Puan Damia, kadang-kadang orang tua juga yang nak kena masuk campur urusan
jodoh ni. Macam Azrai tu, tak pernahnya dia kenalkan teman wanita pada saya.
Kebetulan Puan Damia pun ada anak gadis yang belum berpunya, senanglah hati
saya. Azrai pun nampaknya macam suka nak kenal Sasha lebih dekat.”
“Elok sangatlah tu,
Hajah. Lega hati saya ni dengar.” Puan Damia menarik nafas panjang. Lapang rasa
dadanya sekarang ini. Tidak sabar pun ada. Kalau benar bagai dikata Hajah
Kistina, tidak sabar juga hendak menunggu perkembangan hubungan anak mereka
itu.
Sudah takdir
barangkali, pertemuan semula dengan Hajah Kistina di majlis kenduri kahwin anak
Datin Isma sebelum ini menjadi satu titik tolak kepada rancangannya hari ini. Dengan
anak Datin Isma, Sofean namanya juga pernah Puan Damia kenalkan kepada Sasha
Amira. Sofean yang berkerja sebagai Pegawai Perubatan di Pusat Perubatan
Universiti Malaya khabarnya baru lulus dalam pengajian di peringkat Sarjana
sebelum pernikahannya itu. Hai, baik orangnya, segak, bijak pula tu. Anaknya
Sasha Amira itu saja yang asyik menolak jodoh, menolak tuah.
Rancak Puan Damia
berborak dengan Hajah Kistina setelah berjumpa. Encik Rahim dan Haji Rauf juga
tidak lepaskan peluang. Lebih rancak berbual tentang perniagaan masing-masing.
Tidak sangka mereka punya anak yang boleh dipasangkan. Dalam diam-diam Puan
Damia merancang dengan Hajah Kistina untuk merapatkan kedua anak mereka. Sang
suami tidak langsung tahu-menahu. Sibuk sangat bercerita tentang kerja. Ha,
kahwinkan sajalah syarikat mereka itu.
“Saya ni pun dah
lama tak buat kenduri kahwin. Sejak anak lelaki saya kahwin dulu, lebih kurang
enam tujuh tahun ada agaknya. Rindu rasa hati ni nak sambut menantu lagi,”
sambung Puan Damia bersama tawa halusnya. Kedengaran tawa Hajah Kistina
menyambut dari corong sana.
“Emm... saya ni
apatah lagi, Puan Damia. Anak seorang aja...”
*******
Huhuhu... Sasha
Amira hampir menangis. Kereta Saif Azrai dipandu sudah cukup laju tapi
perjalanan ke Seri Kembangan bagai tidak sampai ke penghujungnya. Hatinya
berdetak kencang bila melihat jam berkali-kali. Terasa lebih pantas jarum jam
itu bergerak meninggalkan satu per satu saat yang berciciran.
“Awak tak boleh ke
bawa kereta laju lagi? Saya dah lambat ni. Berapa minit aja lagi ujian dah nak
mula.” Muka Saif Azrai di sebelah ditenung. Ditayangnya wajah mohon simpati.
Sekali-sekala Saif Azrai membalas renungan. Air mukanya juga berubah keruh
dengan kerisauan.
“Dah cukup lajulah
saya drive ni. Laju lagi, silap-silap
kena speed trap. Sekarang ni AES
merata tau.” Saif Azrai jeling ke depan, kiri dan kanan. Bukannya dia biasa
dengan jalan ke arah Seri Kembangan. Hendak hantar Sasha Amira ini pun, kena
pakai GPS. Hendak ditanya tuan badannya, dari tadi asyik gelisah nampak
gayanya. “Sekali kena snap dengan
AES, femes kita berdua ada paparazi yang tolong tangkapkan gambar. Melayang 300
ringgit pula tu.”
Sasha Amira
mencemik setelah mendengar jawapan Saif Azrai. Alahai. Kedekutnya bunyi.
Kesahkan 300 ringgit dia aja. Habis tu, markah kosong yang aku bakal terima
sebab tak sempat nak ambil test tu
siapa yang nak kesah? Bergetar jantung Sasha Amira bila tiba-tiba ada tawa
keluar dari mulut Saif Azrai. Pendek tawanya. Eh, apa pula yang kelakar ni?
“Awak ni comel juga
ya bila buat muka mencerut macam tu,” ujar Saif Azrai sambil senyum meleret.
Mata dijeling sekejap-sekejap ke arah Sasha Amira melalui cermin pandang ke
belakang dan akhirnya dia menoleh.
Gulp! Bila dia
menoleh, Sasha Amira menelan liur. Mukanya blur
sekejap.
Itu pujian ke
kutukan? Mencerut? Wajahnya dilihat dicermin sisi seketika. Entah bagaimanalah
rupa mencerutnya itu, dia juga hendak tengok rupanya. Tapi... macam biasa aja.
Mukanya diherot ke kiri kanan. Macam inikah? Saif Azrai gelak lagi melihat
gelagatnya itu. Kali ini lebih besar tawanya.
Tak boleh jadi ni!
“Eii... awak ni tak
payahlah nak buat lawak bodoh pula masa ni. Tak payah nak kutuk saya pula. Muka
mencerutkah, muka memerutkah, tolonglah bawa kereta tu laju sikit. Saya dah
lambat tahu. Jangan bawa macam siput.”
Elok-elok dia
sempat sampai ke kolej tadi, sekarang makin jauh pula perginya. Pandai-pandai
pula Saif Azrai hantar dia ke kampus Kota Damansara. Rasanya awal-awal tadi
Puan Damia sudah memberitahu Saif Azrai lokasi kolej Sasha Amira. Sasha Amira
sendiri pun dengar dengan jelas. Boleh pula dia hantar ke tempat lain.
Entah-entah lelaki ini sengaja hendak melengahkan masa agaknya.
Tidak sabar lagi, Sasha
Amira akhirnya menggila. “Cepatlah... cepatlah. Saya dah lambat...” Ditepuknya
bahu dan lengan Saif Azrai kuat-kuat. Geram. Orang tengah susah hati, dia pula
boleh sindir-sindir orang.
Bergoncang seluruh
tubuh Saif Azrai digegar Sasha Amira sambil berulang kali menjerit dan merengek
supaya Saif Azrai memandu lebih laju. Menjerit juga Saif Azrai meminta Sasha Amira
berhenti dari tindakannya.
“Ya... ya, saya laju
sikit. Awak janganlah macam ni. Saya tak nampak jalan ni...” Saif Azrai panik.
Stereng laju dipulasnya ke kiri.
Bang!
Airbag serta-merta terpacul memenuhi seluruh muka.
Berhenjut-enjut mukanya di situ beberapa kali. Seketika kemudian, dia
mengangkat perlahan kepalanya. Ada rasa perit pada lengannya. Bila dibelek,
tiada luka yang berdarah. Dia menarik nafas lega. Ark! Dadanya terasa perit sedikit
saat dia cuba menggerakkan tubuh. Perlahan dia mengaduh.
Dia memandang ke
depan. Masyaallah. Muncung keretanya sudah menghentam tepi jalan. Lekas-lekas
jarinya menekan butang di tepi pintu. Cermin tingkap sudah melurut ke bawah.
Kepalanya menjengah keluar. Tidak puas hati, bersusah payah dia keluar dari
kereta.
Wah! Cantiknya
kemik! Saif Azrai menekan-nekan kepala. Sah kereta kesayangannya bakal masuk
bengkel lepas ini. Dia berjalan semula ke tempat duduk untuk mengambil
Iphonenya. Ketika itulah dia terpandang Sasha Amira yang tidak sedarkan diri di
tempat duduk sebelah.
Alamak! Lupa pula
pasal awek cun ni!
Bahu Sasha Amira
cuba digerakkan. Tapi gadis itu masih tidak sedarkan diri. Ada luka di dahi
Sasha Amira. Dia panik. Pipi gadis itu ditampar lembut sambil memanggil nama
Sasha Amira berkali-kali.
Tiada respons.
No comments:
Post a Comment