Bunyi butang
kekunci pada komputer riba rancak diketuk dek jari-jemari Sasha Amira. Serancak
perbincangannya dengan Intan Nazira. Zaimah pula setengah jam pertama saja ikut
sama dalam perbincangan kerja kursus yang diberi Encik Razak. Lepas itu nasi
kukus ayam dara pula yang dihadapnya. Konon kata tadi nak beli untuk makan
malam. Tiba-tiba pula mengadu perut lapar. Padahal kurang sejam lalu baru saja
menjamah makan tengah hari dekat restoran area kolej.
Kuih lapis yang
mama hidangkan untuk mereka tadi habis juga dilantak Zaimah seorang. Entah
perut jenis apa si Zaimah ni. Besar benar nafsu makannya. Sasha Amira jeling
gelagat Zaimah sekali sekala. Masih sibuk menyuap nasi ke mulut. Ayam goreng
pula diongges rakus. Sasha Amira menggeleng.
Letih menaip, Sasha
Amira berhenti. Kebas jari-jemarinya, macam nak patah pun ada. Komputer riba
diserahkan pula kepada Intan Nazira.
“Kau taip pula!”
Duduknya dialihkan.
Punggung pun dah naik kebas duduk bersila setempat dekat sejam. Kaki dilunjur
ke bawah kemudian berjuntai hampir ke tanah. Kedua belah tapak tangannya
bertaut dan diregang ke depan. Selepas itu berubah ke kanan dan ke kiri.
Berketak bunyi tulang-temulangnya. Akhir sekali diletak atas lantai pangkin
lalu mencempung tubuh. Kakinya digoyang ke depan dan ke belakang perlahan-lahan
sambil mata memandang pokok-pokok bunga Puan Damia di laman.
Laman rumahnya
bukanlah besar sangat. Sekadar dihiasi dengan pangkin yang tingginya atas
sedikit dari paras lutut Sasha Amira bila berdiri. Lagi, ditambah serinya
dengan bunga-bunga hiasan yang tersusun kemas kelilingnya. Ada merah, ungu,
jingga, putih, merah hati, warna campur-campur pun ada. Jenisnya pun bercampur
aduk. Dari seringkas-ringkas bougaenvilla hinggalah ke kaktus yang tersusun
atas tembok. Namun laman rumah itu sentiasa bersih dijaga rapi oleh Puan Damia.
Puan Damia memang tidak suka kalau rumah bersepah atau kotor sedikit. Mulalah
ringan tangan angkat penyapu. Kalau tidak pun, mulut Puan Damia dulu yang
menceceh berleterkan isi rumahnya. Siapa lagi yang selalu kena menahan telinga
mendengar bebelan mama sekarang kalau bukan Sasha Amira. Sudah kebas rasanya
telinganya dibebel. Tentang pelajaran, memang dia mengaku salah sendiri. Tapi
bukan itu saja. Macam-macam yang mama bebelkan. Pasal rumah, kahwin, pasal papa
yang jarang ada di rumah itu pun dileterkan padanya. Boleh kira macam dah
lalilah telinga ni.
Mama jadi macam tu
pun mestilah bersebab. Sunyi agaknya bila papa asyik sibuk dengan kerja. Balik
ke rumah juga hadap dokumen kerjanya. Bunga-bunga ini sajalah teman mama.
Jangan nak gatal-gatal petik bunganya. Mengamuk mama nanti.
“Uii!”
Sasha Amira
tersentak seraya menoleh apabila bahunya ditolak dari belakang. Dapat
dilihatnya muka Intan Nazira mencuka tahap sederhana. Alah, kira
sedang-sedanglah tu.
“Apa kes pula ni?
Yang sorang sibuk melantak, jaga perut dia aja. Yang sorang pula mengelamun,
entah dah sampai bulan ke agaknya. Aku ni, tercongok dekat sini, kena buat
kerja ni sorang-sorang sudahnya ke?”
Aduh! Dah mula
dah... kawan Sasha Amira yang seorang ini pun lebih kurang fesyennya dengan
Puan Damia. Kuat membebel. Bolehlah kiranya hendak menggantikan tempat Puan
Damia. Ops, ganti tempat berleter aja. Tak boleh lebih-lebih okey.
“Belum sampai bulan
lagi. Baru sampai awan aja, dah hujan.” Tubuhnya ditolak semula ke belakang,
menyandar ke dinding. Kaki dilunjurkan lagi. “Alah, nantilah aku sambung buat.
Aku nak rehat kejap aja.” Jawabnya sambil melurut tangan ke kaki dari atas
hingga ke bawah. Perggh! Lega rasa.
“Habis tu, aku ni
tak payah rehat ke cik kak?”
“La, rehatlah.
Siapa tak bagi kau rehat?” soal Sasha Amira acuh tak acuh. Riak Intan Nazira
yang mencekak pinggang sambil duduk bersila itu dilihat enteng saja.
“Kau suruh aku
taip.”
Hmm... budak Intan
ni pun.
“Yalah... yalah.
Letak aja komputer ni dekat bawah. Jom rehat sama-sama.” Komputer riba diambil
dari riba Intan Nazira lalu diletaknya atas lantai pangkin sebelum mengajak.
“Eh, kau nak minum tak?” Sasha Amira meraba tekak. Baru perasan dia belum
meneguk walau setitis air sejak balik tadi.
“Nak, nak!” Zaimah
dulu yang menyahut. Hai, budak ni pula pantang dengar pasal makan ke minum ke,
laju aja respons dia.
Dengan gelengan
kepala, dia mengatur langkah masuk ke rumah. Sampai di dapur, Sasha Amira buka
peti sejuk. Yes! Ais banyak lagi. Dia
lantas mengeluarkan jag dari kabinet dan membancuh air ribena. Enak rasanya,
baik juga untuk kesihatan. Cewah, macam iklan promosi pula.
“Mama dengar Azrai accident.”
Terkejutnya Sasha
Amira bukan kepalang bila tiba-tiba saja suara nyaring Puan Damia muncul dari
belakang. Entah bila mama masuk ke dapur pun dia tak sedar. Hampir tergolek jag
air yang digodaknya. Nasib baik sempat tahan. Sedangkan Puan Damia nampak
tenang saja mengeluarkan bahan mentah dari dalam peti beku. Hendak memasak
untuk makan malam agaknya.
“Nanti kamu ikut
mama pergi rumah Hajah Kistina. Mama nak ziarah anak dia.” Sayur kailan
dikeluarkan sama. Cadangnya hendak masak kailan ikan masin. Dengan ikan kerapu
masak masam manis. Cukuplah hendak makan dua beranak. Oh, hari ni kena masak
lebih sikit. Bolehlah diajak kawan-kawan anaknya makan bersama. Meriah sikit.
“Mama jumpa tak
kunci Sasha? Puas Sasha cari dalam bilik, tak jumpa pun.” Saja Sasha Amira ubah
topik.
“Hmm... nak jumpa
macam mana kalau asyik ada masa, baik buat tahi mata.”
Aduh. Terkena lagi
Sasha Amira. Yalah, dia mengaku. Carinya sekejap saja. Selak sini, jenguk sana,
sudah putus asa. Letihlah. Kalau boleh dipanggil saja nama macam panggil kucing
lepas tu dia datang sendiri pada kita kan senang.
Siap membancuh,
Sasha Amira rasa sikit dengan lidah. Okey, cukup manis cukup rasa. Perfect! Dia beralih ke peti beku. Bekas
ais diraih.
Plup! Plup! bunyi
ketulan ais dimasukkan ke dalam air.
“Mama dah jumpa.
Bawah bantal kamu aja. Manalah nak jumpa kalau kemas katil tu cuma alih-alih
sikit aja. Orang kalau nak berkemas tu, dikebas semua gebar. Ada mama letak
atas meja solek kamu.”
Terdengar lagi
leteran Puan Damia menusuk ke telinga. Sasha Amira iakan saja. Dalam hati lega
juga bila kuncinya sudah dijumpa. Rindu dekat ‘baby’. Sementara Puan Damia berlagak tenang walaupun sebenarnya itu
cuma cerita rekaannya saja. Kisah sebenar, habis satu bilik tidurnya
diselongkar sebaik Encik Rahim keluar berkerja. Dari katil, hinggalah dalam
almari baju. Dicelah-celah lipatan pakaian juga diseluk sama. Semata-mata untuk
mencari gugusan kunci kereta yang dia sorokkan. Berjam-jam dia mencari.
Rupa-rupanya dalam beg tangannya saja. Letih rasa badan ini.
“Alang-alang dah
jumpa kunci kereta kamu tu, nanti tolong bawa mama pergi rumah Hajah Kistina.”
Kata Puan Damia lagi mengingatkan sebelum anaknya itu berlalu bersama dulang
berisi air.
Sempat Sasha Amira
berfikir macam-macam sebelum sampai ke pangkin luar. Malas rasanya hendak
keluar, lagi-lagi pergi melawat lelaki. Yang sakit bukannya dia, tapi Sasha ni
ha yang dah berparut dekat dahi. Belum sembuh pun lagi. Tapi bila difikir-fikir
balik, memang salah dia. Kalau dia tidak kacau ‘pemandu berhemah’ itu tempoh
hari kan, semua itu tidak akan berlaku. Patutnya dia yang minta maaf.
Okeylah... okeylah.
Sasha Amira temankan. Hendak melawat orang ‘sakit’ saja pun. Kalau memang itu
niat mama, Sasha Amira ikutkan saja.
*******
Rasanya macam sudah
jauh dia berjalan, tidak larat lagi hendak naik atau turun ke aras yang lain.
Pusing satu aras ini pun rasa macam tidak habis-habis. Besar benar Pavillion
ni!
Kebetulan lalu di
depan bistro The Loaf, Qayreena
singgah sekejap. Tekaknya terasa haus setelah beberapa jam tidak menyentuh air.
Penuh kafe itu dengan pelanggan. Namun nasibnya baik masih ada satu meja dengan
dua kerusi yang kosong. Dijelingnya jam seketika. Lantas satu nafas halus
dilepas perlahan.
Saif Azrai berjanji
untuk datang. Tapi sudah entah berapa jam agaknya dia menunggu, meronda seluruh
Pavillion. Lelaki itu masih belum memunculkan diri. Caramel cappucino menjadi peneman.
The Loaf, sentiasa
sesak dan ramai pengunjungnya. Baik di kafe mahupun cawangannya di Tokyo Street di aras enam. Khabarnya
pastri di sini menggunakan teknik pembuatan tradisional Jepun. Apa bezanya
dengan bakeri di tempat lain, Qayreena tidak tahu. Sebab itulah dia mencuba
salah satu daripada menunya yang pelbagai. Lihat rupanya juga sudah terliur
lidah, rambang mata Qayreena menghadap aneka jenis pastri. Akhirnya mango cheese cashew nut menjadi pilihan.
Bolehlah dibuat alas perut. Rasa sedikit. Sedap juga. Masam, lemak manis
semuanya macam cukup.
Dua tiga minit
berlalu. Bosan.
Jarinya asyik
bermain dengan penyedut minuman, dan dikacaunya minumannya berkali-kali.
Sesekali matanya liar memandang keliling. Sesak sekitar Pavillion dengan orang
ramai, tidak kira tempatan mahupun pelancong. Di jalan raya juga sesak dengan
kenderaan. Dapat didengar deruan enjin yang kuat dari sini. Apa lagi suara
manusia, dapat didengarnya dari semua sudut. Bingit namun dia masih kebosanan.
Tidak tahan
menunggu, nombor Saif Azrai didail.
“Sorry, darling. Jalan sesak teruk. I
baru nak masuk car park. You dekat
mana sekarang?” Laju Saif Azrai menjawab panggilannya. Terus saja Qayreena
mengeluh, lebih panjang. Biar lelaki itu tahu yang dia hampir mati kebosanan
kerana menunggu.
“I dekat The Loaf, 3rd floor,” jawabnya malas lalu mengeluh lagi. Sengaja diberitahu
sekali arasnya. Kalau lambat juga mencari bistro ini, memang panjanglah
rajuknya nanti.
“Kejap ya sayang.
Sekejap aja lagi I datang.” Lembut nada Saif Azrai, seakan mahu memujuk
Qayreena. Sekejap, talian diputuskan.
Qayreena mengetap bibir.
Menarik nafas panjang sekali lagi. Bosan! Suara Saif Azrai masih belum dapat
memujuk. Disedutnya lagi air bagi menyejukkan hati.
Sementara di
kawasan parkir, Saif Azrai baru menghentikan kereta. Tergesa-gesa dia keluar
dan menekan bip. Langkah kaki dihayun laju berlari di tepi-tepi kereta sambil
kepalanya melilau mencari arah ke lif. Jam dijeling lama-lama, tapi kurang
jelas nombor yang dilihatnya gara-gara tubuh yang bergoncang. Diangkat tinggi
sikit. Huh! Lama Qayreena menunggu.
*******
Tension! Stres! Tapi berbaloi. Kerja akhirnya hampir siap. Hanya
perlu dicetak dan kemudian, siaplah untuk diserahkan kepada Haji Rauf sebelum
bos besarnya itu bercuti esok. Jam dilihat sekejap. Masih ada masa. Nasi
bungkus yang dibeli Kak Suzi tadi dikerling
Kebetulan dia
nampak Kak Suzi sibuk bersiap untuk keluar makan bersama teman-teman sepejabat.
Izi Helmy pula ketika itu hendak ke tandas. Kak Suzi menegur.
“Tak pergi makan ke
Izi?”
Alang-alang Kak
Suzi bertanya, Izi Helmy meminta pertolongannya supaya membelikan makanan
untuknya. Dia tidak sempat keluar hari ini. Sekarang ini waktu genting untuk
menyiapkan kerja yang hampir tamat tarikh akhirnya. Tarikh itu perlu dikejar.
Haji Rauf yang bakal bercuti juga perlu dikejar sama. Dalam masa yang sama,
perutnya makin rancak bermain lagu.
Sudah dua jam
makanan itu di atas rak yang memuatkan fail-fail berkaitan kontrak yang
dikendalikannya sejak dua tahun lepas. Separuh disimpan di sini. Separuh
disimpan di bilik Saif Azrai.
Krukkk!
Perutnya berbunyi
lagi. Tidak mampu rasanya mahu menahan rasa lapar berterusan. Seksa. Tanpa
menoleh kiri kanan, nasi bungkus itu disambarnya. Kerja yang hampir selesai
ditinggalkan dulu. Nafsu makan perlu juga dilayan. Nanti sakit, diri sendiri
yang susah.
Tengah dia enak
menjamu selera, matanya terlihat pula kelibat Haji Rauf lalu ke depan. Erk!
Hampir tercekik gara-gara terkedu. Dia tinggalkan makanan atas meja, menjenguk
ke luar sekejap melalui pintu yang dibukanya sedikit. Dia nampak Haji Rauf
bercakap-cakap dengan Kak Suzi, setiausaha syarikat ini. Izi Helmy mula pasang
telinga.
Bulat matanya bila
mendengar patah kata Haji Rauf yang berkata hendak balik sekejap lagi. Ha?
Aduh, uncle nak balik awal pula! Dia
menepuk dahi lantas panik dia di situ. Ke kiri ke kanan tanpa hala tujuan. Tangannya
yang bersisa nasi dan sambal dilap saja dengan tisu hampir sekotak.
Kertas kerja yang
perlu diserahkan pada Haji Rauf dicetak segera. Bila diangkat muka surat
pertama yang dicetak, matanya membulat lagi.
Bala! Bala! Hatinya
menyumpah bila waktu-waktu beginilah dakwat mesin pencetaknya hampir kering.
Berbelak jadinya dokumen yang dicetaknya tadi.
“Masa orang nak
cepatlah, dia nak buat hal. Saja nak minta perhatian jugakah?” Dia merungut. Kerja
mencetak muka seterusnya lekas dihentikan. Dia mengulang cetak kali kedua. Kali
ini disambungkan dengan mesin pencetak di meja Kak Suzi.
Berlari Izi Helmy
keluar. Menuju ke meja Kak Suzi dengan tergesa-gesa. Kak Suzi yang terkejut,
besar matanya memandang ke muka Izi Helmy. Seketika kemudian, tangannya
diletakkan ke dada sambil menarik nafas panjang.
“Subhanallah. Kamu
ni memeranjatkan akak ajalah.”
“Maaflah, Kak Suzi.
Nak cepat, nak kejar bos. Bos dah nak balik kan?” Bisiknya perlahan pada
soalannya yang terakhir. Bibir tersengih-sengih macam tak bersalah saja
rupanya. Kertas yang keluar satu per satu dari mesin pencetak sebelah meja Kak
Suzi diambilnya satu demi satu. Dibelek sambil dibaca sebutir-sebutir. Lebih
cantik cetakan mesin pencetak Kak Suzi daripada mesin yang ada dalam biliknya.
Tak aci!
“Emm... macam tulah
agaknya. Tadi Tuan Haji ada beritahu juga yang dia nak balik awal. Sebab apa,
akak tak tahu pula.”
Izi Helmy tersengih
lagi. Lebih dalam maknanya. Tidak perlu Kak Suzi hendak beritahu sebabnya
kerana dia terlebih dulu yang tahu. Hehe... dia ketawa nakal dalam hati mengenangkan
kenyataan Haji Rauf tengah hari tadi.
Selesai semua
dokumennya tercetak, Izi Helmy menarik nafas lega. “Terima kasih, kak!” ucapnya
laju dan terus berlari semula ke dalam bilik. Dokumen itu disusun lebih kemas
dan diklip bersama. Disimpan masuk ke dalam sebuah fail nipis yang lutsinar dan
berlari semula keluar. Kali ini menuju ke bilik Pengarah. Dia menarik nafas
dalam-dalam sebelum jarinya mengetuk daun pintu.
*******
“Alah, janganlah
masam muka lagi. Kan I dah ada depan mata ni. Jangan marah okey.” Saif Azrai
memujuk. Dielus tangan Qayreena penuh mesra. Gadis itu masih menjeling. Masih
belum terpujuk rupanya dia. Tidak seperti selalu, hari ini susah pula hendak
dipujuk. Macam tahu-tahu saja Saif Azrai tengah tambah senarai teman wanita.
Wajah Qayreena yang
berpaling ditolaknya ke depan supaya menghadapnya. Saif Azrai tayang senyuman
paling menggoda, cuba memikat semula hati si bunga kacukan Melayu Inggeris itu.
“Okeylah, sebagai
hukuman... I akan teman you sepanjang hari ni. Puas hati?” Pujuknya memberi
tawaran.
This is the last. If you keep rejecting, I will say
goodbye~
Nak layan rajuknya
saja letih juga. Bukan susah sangat Saif Azrai hendak cari pengganti. Dengan
rupa yang dia ada, tinggi pula tu, duit pun ada, kereta mewah pun ada... dalam
dunia metropolitan sekarang ni, bukan susah sangat hendak mencari bunga yang sudi
menjadi teman. Nak cari yang best tu
yang payah. Dengan Aisyah Hana dulu sudah cukup seronok hidupnya. Orangnya
lembut, pandai berbual dan yang paling penting tidak banyak kerenah. Tapi dia
pula hendak ajak kahwin lepas baru beberapa bulan kenal. Sebabnya, dah beritahu
kan... sebab Aisyah Hana mahu menolak pinangan orang lain. Oh, tidak. Kalau bab
kahwin, sorry. Belum terlintas di
fikiran Saif Azrai untuk merancang sejauh itu.
Senyum mula terukir
di bibir Qayreena. Kemudian dia pula menangkap genggaman Saif Azrai tadi dekat
ke dagunya. Emm... sudah ada tanda-tanda rajuknya terpujuk nampaknya.
“Hmm... betul?”
Soalnya lagi sengaja mahukan kepastian. Saif Azrai cuma menayang senyum tanpa
sebarang respons lain yang ditunjukkan.
“Kalau macam tu,
you teman I pergi tengok wayang dulu. Lepas tu, kita pergi makan, shopping, jalan-jalan. Boleh?”
Senyum lagi.
Senyuman yang cukup menggoda jiwa dan batin Qayreena. Mahunya tidak terpujuk
melihat wajah lelaki itu. Kalau boleh, dua puluh empat jam hendak melekat
dengan lelaki itu. Sejuk hati merenung wajahnya. Rindu hati bila berjauhan.
“Anything for you, sayang.”
Wow! Jawapan Saif
Azrai itu seakan baja yang menyirami taman dalam hati Qayreena. Kian subur dan
mekar berbunga. Bahagiannya dia rasa saat itu. Jika kata-kata manis itu terus
singgah di telinga setiap hari, dunia inilah miliknya.
“Tapi I nak ke
surau dulu. I tak sempat nak solat Zohor lagi tadi.” Saif Azrai menjeling jam.
Dekat pukul empat. Woah. Mengata Izi Helmy solat subuh gajah, dia pula solat
zohor apa yang dihujung-hujung waktu ini? “You?”
Qayreena pula yang
terkedu bila Saif Azrai menyoalnya. Alahai, tak pernah-pernah pula disoalnya
bab agama. Sekarang nak tanya aku dah solat ke belum pula ke? Eii... menyampah.
Nasib baik muka comel. Getus hati Qayreena dalam diam.
“Rahsia
perempuan...” bisiknya bersama gelengan kepala perlahan. Jari telunjuknya
diletakkan atas bibir mengiringi jawapannya itu.
*******
Fuh!
Izi Helmy boleh
menarik nafas lega. Selesai juga kerjanya. Haji Rauf juga sudah pulang
meninggalkan pejabat beberapa minit lalu. Serba salah dia dibuatnya tadi. Bila
dokumen yang disediakan ada saja yang salah setelah disemak Haji Rauf. Tambah
malu, kesilapan itu cuma kesilapan kecil.
Grammar pun boleh salah. Nama aja belajar dekat UK. Memang buat
malu betul! Rungutan itu tidak putus-putus singgah di kepala. Bukan Haji Rauf
yang merungut tapi mulutnya sendiri berleter pada diri sendiri. Itulah padahnya
buat kerja di saat-saat akhir. Ini semua Saif Azrai punya hal. Kalau dia tidak
tiba-tiba serahkan kerja itu bulat-bulat pada Izi Helmy, tidaklah dia merangkak
mahu menyiapkannya.
Bagi pun last minute! Bentaknya lagi.
Nafas panjang
ditariknya lagi. Dokumen yang siap disahkan Haji Rauf disimpan rapi dalam fail.
Kemudian diletak pula di dalam laci berkunci. Okey, selamat. Dia lihat meja di
depan mata. Berselerak dengan recycle
paper, kertas dari dokumen yang tersilap ejaan tadilah. Nasi bungkus yang
baru dijamahnya sedikit tadi juga masih di situ. Baru teringat tangannya belum
sempat dicuci. Didekatkan tapak tangan kanan ke hidung. Huh, melekat bau asam
pedas!
“Ah, tak kesahlah.
Malas nak pergi toilet. Penat!” Nafas
berat dilepaskan sekaligus. Untuk mengubat keletihan, dia menghubungi buah hati
intan payung...
Suara Aina lambat
menyambut panggilan. Sibuk barangkali. Bunyi juga macam bingit semacam aja di
sekelilingnya.
“Waalaikummusalam,
Dr. Aina. Saya telefon ni sebab tak sihat. Boleh tak beritahu saya apa ubatnya
kalau hati rindu?” Kedengaran suara tawa Aina yang menyambut seterusnya. Mesti
pening kepala Aina melayan panggilan Izi Helmy kali ini. Dah kenapa pula dengan
lelaki ni kan? Baru jumpa sehari dah angau?
“Bergantung juga
pada siapa rindu tu.” Aina mengatur ayatnya sedang Izi Helmy sedia mendengar.
Tak dapat tengok muka, dengar suara pun jadilah. Terubat juga rindu di hati
agaknya.
“Kalau rindu pada
Allah, bacalah kalamNya. Kalau rindu pada Rasul, selawatlah ke atas baginda.
Kalau rindu pada ilmu pula, carilah tok gurunya.”
Aduh. Izi Helmy
goyah, rasa macam kena tembak dekat kepala. Kalau sudah buah hatinya anak
ustaz, setiap pendapatnya beralas. Nasib baik tidak dikeluarkan hadis sama
macam Encik Hairol pernah buat padanya dulu. Bila menegur, ada saja hadisnya.
Graduan syariah Islam agaknya ayahnya itu.
“Kalau rindu pada
seseorang?” Sakatnya lagi mahu menduga jawapan Aina kali ini.
“Emm... kalau rindu
pada seseorang, berdoalah yang baik-baik untuk orang yang dirindui.”
Okey! Izi Helmy
angkat bendera putih. Mati akalnya untuk membalas.
“You ada masa tak
malam ni?” Terus saja Izi Helmy menyoal. Pusing-pusing nanti, ada lagi syarahan
agama yang dia dengar.
“Oh, jadinya you
rindu dekat I lah ya?”
Hehe. Izi Helmy
senyum meleret. Duduknya dipusing 360 darjah dengan kaki. Seronok. Itulah yang
dia nak dengar daripada Aina. Ingatkan tak perasan yang orang dekat sini rindu
dekat orang di sana.
“Emm... ya kut!”
balasnya tidak mahu mengaku.
“Kalau ya, kata ya.
Kalau tak, kata tak. Mana ada istilah ‘kut’ dalam soal hati.” Suara tawa Aina
mengekek lagi. Sengaja dia hendak kenakan Izi Helmy. Memang Izi Helmy mengalah.
Gadis itu memang bijak berkata-kata. Lelaki manis mulut sepertinya juga kelu
lidah mahu menjawab.
Oh, tidak. Ini kali
pertama aku dengar lelaki kalah pada perempuan dalam bab bermadah. Agaknya
Ainalah calon pengganti Puteri Diana yang lembut, cantik dan bijak. Tapi bukan
milik rakyat British, hanya milik Izi Helmy bin Hairol!
“Kalau you lapang,
I nak ajak you dinner. Boleh?” Sekali
lagi dia lari dari topik perbualan Aina. Dia kalah kan. Jadi tak perlulah
jawab.
“Bila you nak dinner dengan my parents sekali?”
Aduh! Sebiji lagi
buah kelapa jatuh atas kepala. Pening. Ketar lutut mula terasa bila diaju solan
itu pula dek buah hati sendiri. Belajar untuk setia dia rela, hanya kerana
tertarik pada peribadi Aina. Gadis itu cukup berbeza daripada gadis-gadis yang
pernah dirapatinya. Namun untuk berkahwin, dia belum bersedia. Untuk berdepan
dengan bapa mertua seorang ustaz dan ayah sendiri yang ala-ala tok guru mengaji
dekat rumah dulu, selalu dengan rotan belah duanya... Izi Helmy belum cukup
terbuka. Apatah lagi mahu menanggung semua tanggungjawab sebagai suami, dan
kemudian sebagai bapa. Ops, belum kut! Dia perlukan lebih masa... untuk
mengumpulkan kekuatan diri.
Pada Aina pula,
pendapatnya berbeza. Dua tahun, tempoh perkenalan mereka. Sudah cukup lama dan
satu jangka masa yang cukup untuk mengenali hati budi masing-masing, sekaligus
mempersiapkan diri untuk melangkah ke peringkat seterusnya. Bukan dia dia mahu
mendesak, cuma mahukan kepastian. Orang tuanya juga bukannya tidak pernah
bertanya. Hubungannya dengan Izi Helmy bukan lagi rahsia. Ibunya sudah tahu
tentang lelaki itu dari mulut Aina sendiri. Cuma ayah saja yang belum tahu.
“I gurau ajalah.”
Aina mengalah bersama tawanya. Manja saja bunyinya bagai menggeletek gegendang
telinga Izi Helmy. Seketika, dia lega. Baru ringan sikit kepala ini. “I habis
kerja pukul sembilan malam ni. Kalau you nak dinner sama, lepas I habis kerjalah kan.”
“Okey. Asalkan
dengan you, sampai bila pun I sanggup tunggu!”
Tersembur lagi tawa
halus Aina mendengar jawapan Izi Helmy. Kepalanya digelengkan sama. Pandailah
lelaki itu. Yang dia tu, hendak suruh orang tunggu dia sampai bila?
No comments:
Post a Comment