Terharu hati Hajah
Kistina bila suaminya pulang membawa sebakul bunga segar untuknya. Hadiah ulang
tahun perkahwinan mereka. Tapi bukan Haji Rauf saja yang sediakan kejutan.
Hajah Kistina juga ada caranya sendiri.
Giliran Haji Rauf
pula yang terkejut melihat hidangan yang disediakan isterinya, sudah siap
terhidang atas meja makan. Banyak betul makanannya, macam kenduri. Istimewa
pula tu, macam restoran lima bintang. Dari juadah utama sampailah pencuci
mulut. Kek juga ada sebagai kepala meja. Haji Rauf dekatkan diri ke meja makan.
Ada tulisan rupanya atas kek itu.
Selamat Ulang Tahun
“Saya buat sendiri
tau kek ni.” Hajah Kistina memberitahu tanpa diminta.
Haji Rauf tersenyum
lebar. Baru saja Haji Rauf mahu buat kejutan lain untuk mengajak Hajah Kistina
makan malam di restoran malam nanti. Nampaknya, tidak jadilah bila melihat
masakan isteri yang lebih enak.
Tanpa berlengah,
Hajah Kistina mengajak Haji Rauf duduk makan bersama. Nasi beriani dicedok
masuk ke dalam pinggan dan diletakkan di depan Haji Rauf. Sepinggan lagi
diletakkan di tempatnya, di sebelah Haji Rauf. Kemudian Hajah Kistina tuang
pula jus limau yang dicampur madu ke dalam gelas, dihulur juga segelas untuk
Haji Rauf, segelas untuk dirinya.
“Makanlah, bang.
Kenapa ditenung aja lauk tu?”
“Saja nak awak
layan.”
Tersenyum lebar
Hajah Kistina menyambut senyum suaminya. Lucu pun ada dalam hati bila suaminya
itu masih hendak bermanja-manja bila sudah tua-tua begini. Kurma kambing
disudukan ke dalam pinggan Haji Rauf. Dicedoknya lebih sedikit memandangkan itu
lauk kegemaran suaminya itu. Acar nenas disudukan juga ke atas nasi Haji Rauf. Gugusan
anggur hitam diletak sekali dekat dengan pinggan.
“Makan buah ni
dulu, bang.”
Haji Rauf mengikut.
Dua tiga biji diambil dan digigit perlahan isinya. Hajah Kistina mengikut
kemudiannya.
“Bila awak beli
semua lauk yang dibuat masak hari ni?” Terpacul pula soalan itu dari mulut Haji
Rauf sekaligus Hajah Kistina memandang ke sebelah.
“Ish, abang ni. Kan
baru minggu lepas kita shopping
barang dapur. Dah lupa?”
Haji Rauf
mengangguk lambat-lambat. Bukan lupa tapi tak ingat. Maklumlah, umur sudah
lanjut. Kalau orang umur begini, mesti sudah bercucu.
“Itu pula yang dia
tanyakan. Bukannya nak puji masakan isteri ke apa...” rungut Hajah Kistina
ala-ala manja.
“Sedap. Tengok rupa
pun dah tahu mesti sedap. Masakan isteri abang memang sentiasa sedap. Tak
pernah tak sedapnya...” Haji Rauf memuji. Kembang senyum Hajah Kistina bila
mendengar.
“Abang ingat, nak
suruh Azrai tu kahwin. Dia tu dah cukup besar nak jadi suami orang. Kita ni pun
dah cukup tua untuk jadi atuk dan nenek. Apa pendapat awak?” Tiba-tiba Haji
Rauf mengusulkan hal itu. Nasi mula disuap ke mulut bersama kurma kambing.
Emm... sedap. Makin lama makin sedap masakan Hajah Kistina pada selera Haji
Rauf.
“La, abang ni ke
situ pula perginya.” Hajah Kistina muncung manja. Baru saja hendak kembang
semangkuk mendengar pujian suami. Tiba-tiba pula diaju soalan begitu. Tapi,
Hajah Kistina suka juga. “Sebenarnya saya pun memang ada terfikir hal yang
sama.” Diam sekejap. Muka Haji Rauf ditenung dari tepi. “Tapi tulah bang, saya
tengok Azrai tu macam tak ada teman wanita aja selama ni.”
Terbatuk-batuk Haji
Rauf mendengar kenyataan itu. Segera Hajah Kistina menyambar gelas Haji Rauf
dan menghulurkan air itu kepada suaminya.
“Makan
perlahan-lahan, bang. Jangan sampai tercekik...” Belakang suaminya diurut
perlahan sementara Haji Rauf pula mengurut di bahagian batang leher hingga ke
dada. Bukan kerana tercekik, dia tersedak. Tapi kerana kenyataan yang anaknya
itu tiada teman wanita. Pandai budak itu menyembunyikan di depan Hajah Kistina.
Kalau teman wanita anaknya itu tidak selalu muncul di pejabat, entah-entah Haji
Rauf sendiri pun tidak tahu.
Setahun lepas
dengan perempuan lain. Dua tiga bulan lepas, dilihatnya dengan gadis lain pula.
Kalau dilihat dari pakaiannya, dua-dua Haji Rauf tidak berkenan. Tapi tak
tahulah pula kalau gadis-gadis itu bukan teman wanita anaknya. Cuma kenalan
biasa barangkali, Haji Rauf tidak mahu buruk sangka. Kebebasan anak tidak mahu
disekat lebih-lebih kerana budak itu sudah cukup umur. Sudah cukup matang
sepatutnya. Tapi dalam masa yang sama risau juga Haji Rauf bila memikirkan hal
itu. Kalau yang dilihatnya itu hendak dibuat menantu, Haji Rauf memang kurang
berkenan.
“Saya ada kenalkan
Azrai dengan anak perempuan kawan saya, Puan Damia isterinya Rahim kawan abang
dulu. Abang ingat tak?”
“Rahim?” Nama itu
berulang-ulang disebut Haji Rauf hingga berkerut-kerut dahinya. Tapi masih
belum dapat diingatnya siapa Rahim yang dimaksudkan Hajah Kistina.
“Alah, Rahim yang
kita pergi masa kenduri kahwin anak lelaki Datin Isma dan Datuk Razali dulu
bang. Kenduri yang sama tarikh dengan anak Kak Ngah. Ingat tak?” Hajah Kistina
cuba mengingatkan.
Lama Haji Rauf
menyelak diari lampau, akhirnya dapat juga dia mengingati nama dan rupa empunya
nama itu. “Maksud awak, Rahim yang buka kilang cetak tu?”
“Betullah agaknya
tu, bang. Saya ni pun tak ingat sangat pasal kerjanya tu. Kan abang yang asyik
berborak dengan dia pasal hal kerja.”
Rahim, yang
dikenalinya ketika sama-sama berkerja di syarikat yang sama. Di syarikat itulah
Haji Rauf belajar selok-belok berniaga sebelum berjinak-jinak dalam bidang itu.
Lama tidak jumpa. Apa khabar agaknya sekarang?
“Masa tulah saya
tahu yang mereka ada anak dara lagi seorang. Namanya emm... kalau tak silap,
Sasha Amira. Cantik budaknya, bang.”
Haji Rauf
mengangguk-angguk. Mula timbul minat hendak mengetahui lebih lanjut. Lantaran
itu banyak yang Haji Rauf bertanyakan.
“Awak dah jumpakah
budaknya?”
Hajah Kistina
senyum meleret. Air dari gelasnya diteguk sedikit terlebih dulu. Alang-alang
suaminya sudah bertanya, elok benarlah kalau dia bercerita. Senanglah nanti
bila suami isteri sudah berkenan. Boleh dicari jalan untuk mempercepatkan jodoh
mereka.
“Dah. Azrai pun dah
jumpa budaknya sebelum ni. Saya dengan Damia memang rancang nak satukan mereka
berdua ni, bang. Apa pula pendapat abang?”
Pula dah! Mantap
sungguh isterinya bertindak. Haji Rauf baru berfikir-fikir kerana risau kalau-kalau
anaknya itu memang kaki perempuan. Sedangkan Hajah Kistina pula yang sudah
terlebih dulu mencarikan calon.
“Saya ada gambar
dia. Nanti, saya tunjukkan.”
Haji Rauf
mengangguk lagi. Disimpan dahulu soalan-soalan yang tersusun kemas dalam otak.
Hal anak biar tolak tepi dulu. Sekarang sepatutnya masa untuk meraikan hari
ulang tahun perkahwinan mereka. Haji Rauf berdehem sekali dua.
“Awak siapkan
pakaian kita sekali nanti. Esok kita nak ke Langkawi.”
“Ada apa pula ke
Langkawi, bang? Abang ada meeting
dekat sana?”
“Takkanlah saya nak
meeting bawa awak sekali. Tentulah
saya nak ajak awak pergi bercuti. Dulu tak berkesempatan, sekarang saya nak
bawalah awak pergi honeymoon.”
Seloroh Haji Rauf selamba. Tersipu malu Hajah Kistina dibuatnya. Lantas lengan
Haji Rauf ditamparnya lembut.
“Abang ni... dah
tua-tua nilah dia nak tunjuk romantik.”
“Saya ni kan memang
romantik orangnya. Awak aja buat-buat tak nampak...”
“Ish, abang ni...”
Jari-jemari Hajah Kistina sekali lagi menyinggah ke lengan Haji Rauf. Malunya
muka bila disakat suami.
*******
Balik saja Zaimah
bersama Intan Nazira, Puan Damia terus mengajak Sasha Amira pergi melawat Saif
Azrai di rumahnya.
“Cepat bersiap,
Sasha. Jom teman mama lawat Azrai.”
Sasha Amira yang
kebetulan hendak ke biliknya cuma mengangguk. Beg dan komputer ribanya dibawa
bersama setelah baru selesai menyiapkan assignment
yang diberi Encik Razak.
Dia membersihkan
diri dulu sebelum solat dan bersiap. Kalau sudah namanya anak dara, mestilah
lama bersiapnya. Sasha Amira pun memang sengaja berlengah-lengah. Malas.
T-shirt yang tercetak tulisan ‘I love Hollywood’ disarung ke tubuh. Dipadankan
dengan jeans fit cut. Macam biasa,
solekan nipis disapu ke muka. Shawl maroon
bercorak hitam yang dipakainya dua hari lepas dicapai dari ampaian lalu dililit
kemas ke kepala.
Selesai penilaian
terakhir, dia mencapai beg dan diletak ke bahu. Kunci kereta disambar. Ops,
minyak wangi lupa sembur. Wangian Britney Spears Fantasy disembur sekali picit.
Semerbak haruman beri menusuk ke hidung.
Turun saja tangga,
kedengaran suara Puan Damia merungut panjang. Pantas Sasha Amira menoleh ke
arah Puan Damia yang menanti di ruang tamu. Cepat mamanya bersiap. Sebuah
termos juga sedia depan mama.
“Laaaa...” Puan
Damia lekas bangun dari duduk. Kepalanya digeleng berkali-kali sambil mata
merenung anaknya, membuatkan Sasha Amira terpinga-pinga seketika. “Kenapa pakai
macam ni? Pakailah elok sikit. Blaus ke, baju kurung ke. Pergi tukar.”
Sasha Amira
memandang pakaian di tubuh. “Kenapa pula mama? Okeylah ni. Sasha tunggu dalam
kereta aja pun.” Betahnya.
“Jangan nak mengada
tunggu dalam kereta. Ikut sekali mama masuk. Tak manis nanti kalau mereka
nampak kamu tak keluar kereta.”
“Dia nak kata apa
pula, mama?”
“Jangan banyak
tanya. Pergi tukar sekarang.” Puan Damia sudah menolak-nolak tubuh Sasha Amira
supaya naik ke bilik semula. Macam kambing hendak di suruh balik kandang pula
rasanya. Sasha Amira merungut-rungut sendiri. Langsung tidak didengari Puan
Damia kerana suara Puan Damia yang beleter lebih nyaring seluruh rumah.
“Kita ni nak jenguk
dia dekat rumah. Kalaulah mak ayah dia ada sama, tengok anak dara mama ni tak
rupa anak dara... malulah mama. Pakaiannya macam nak pergi beli ikan dekat
pasar.”
Pergi pasar? Heuw!
Kalau betul pergi pasar, pakai seluar trek cukuplah. Sampai sana, lipas sampai
betis. Kaki pula sarung aja selipar Jepun. Senang. Kotor nanti pun senang nak
dibersihkan.
Pening hendak
memilih pakaian, Sasha Amira sarung terus baju kurung ke tubuh. Baju yang
sepadan dengan shawl yang dipakainya tadi. Nasib baiklah semua pakaian mama dah
siap gosok. Licin.
Kena lagi sembur
Britney Spears Fantasy buat kali kedua sebelum turun semula ke bawah. Lebar
senyum Puan Damia memandangnya. Ada lagi cakap-cakap mama selepas itu.
“Ha, macam ni kan
manis. Sejuk mata nak pandang.” Puan Damia memuji. Sasha Amira sekadar membalas
dengan senyum nipis.
Puan Damia meminta
Sasha Amira singgah dahulu ke PPUKM. Aik! Bukan hendak melawat ‘orang sakit’
dekat rumahnya ke? Kenapa nak ke hospital pula ni? Macam-macam Sasha Amira
persoalkan. Namun semua soalan itu tidak sempat keluar dari mulutnya, Puan
Damia sudah memberitahu. Seakan tahu apa yang bermain di fikiran anaknya.
Rupa-rupanya cuma
mahu singgah ke kedai cendemata di lobi hospital tersebut. Kedai itu yang
paling dekat dengan rumahnya. Sasha Amira berhenti sekejap di depan lobi pelawat
sementara Puan Damia pergi membeli buah tangan. Tidak lama, Puan Damia kembali
dengan sebakul buah-buahan.
Untunglah jadi
orang sakit. Ada orang kesahkan dia... getus hati Sasha Amira. Sempat matanya
menjeling luka di dahi dari cermin. Lukanya itu kian kering nampaknya. Dia yang
terang-terangan sakit ini, tidak pula Puan Damia belikan buah, masakkan bubur
sedap-sedap untuk dirinya. Makannya macam orang normal. Emm... sedap juga!
Laluan ke Ampang sesak
teruk. Ini pertama kali Sasha Amira memandu ke sana. Agghhh! Tension! Kiri kanan kenderaan
menghimpit. Dari bulatan Cheras sampailah ke susur masuk ke Ampang sesak. Hendak
ikut laluan lain, dia tidak tahu. Sekarang ini pun mengharapkan khidmat GPS
pada telefonnya. Apa yang boleh dikata sekarang ini... memang silap besar
keluar waktu orang lain baru balik kerja. Puan Damia di sebelah pula ada saja
modalnya.
“Banyaknya kereta.
Manalah orang-orang ni nak pergi? Masing-masing sorang satu kereta, manalah tak sesak jalan ni.”
“Orang nak baliklah
tu mama. Kan baru lepas office hour
ni. Nampak aja seorang. Manalah tahu dia nak ambil anak-anak dari sekolah, bini
balik kerja ke.” Sasha Amira melayan juga sepatah dua. Lepas itu, ada lagi yang
Puan Damia celotehkan. Kali ini, Sasha Amira cuma diamkan saja. Dia mahu
menumpukan perhatian pada kenderaan yang mengapit di kiri dan kanan. Motosikal
yang tiba-tiba datang mencelah mengerikannya. Rasa nak tercabut jantung ni bila
dia tiba-tiba muncul.
Setelah dekat sejam
meredah kesesakan lalu lintas di merata tempat, mereka sampai juga ke kawasan
Ampang Jaya. Sasha Amira melihat GPSnya sekilas. Jangkaan tiba ke destinasi
cuma beberapa minit saja lagi.
“Yang mana satu
rumahnya, mama?” soal Sasha Amira setelah keretanya dipandu masuk ke kawasan
taman yang diberitahu Puan Damia awal-awal tadi. Matanya memandang rumah-rumah
di luar sana. Puan Damia juga turut sama mencari.
“Nombor 12.”
*******
Usai makan, Haji
Rauf membantu Hajah Kistina mengemas meja makan. Sementara Hajah Kistina
mencuci pinggan mangkuk. Mata Hajah Kistina menjeling sekali-sekala, melihat
suaminya sampai menyapu dapur pula. Terulit senyum di bibir Hajah Kistina.
“Assalamualaikum...”
Hajah Kistina
menoleh ke belakang sambil tangan masih sibuk membilas gelas di bawah air
mengalir. Telinga dibuka lebih luas. Semacam ada suara di luar rumah.
“Abang,” panggil
Hajah Kistina. “Macam ada orang beri salam dekat luar. Cuba abang pergi
tengok.”
Haji Rauf juga
menjenguk ke depan. Tanpa berlengah, penyapu disimpankan ke tepi lalu bergegas
ke ruang depan. Makin jelas suara orang yang memberi salam. Pintu dibuka Haji
Rauf seraya menyahut salam. Dua orang wanita terpacak di depan. Seorang sebaya
isterinya dan seorang lagi muda belia.
“Haji Rauf ke?”
Puan Damia bertanya kurang pasti.
“Ya, saya.” Belum
sempat Haji Rauf bertanya perihal tetamu yang datang, suara Hajah Kistina
mencelah.
“Siapa tu bang?”
Tidak lama Hajah Kistina sudah berada tidak jauh di belakang Haji Rauf.
Kepalanya dijenguk dari balik tubuh suaminya dengan mata dikecilkan untuk
melihat wajah tetamu di luar.
“Eh, Puan Damia!”
panggil Hajah Kistina ceria. Langkah kakinya semakin laju menghampiri dan
menyambut tubuh Puan Damia masuk ke dalam pelukannya. Pipi mereka bersentuhan
dua tiga kali. Nampak mesra. “Sasha pun ada?”
Lekas Sasha Amira
bersalaman dengan Hajah Kistina sambil menayang senyuman manis. “Apa khabar
makcik?” soalnya sebagai pembuka.
“Alhamdulillah.
Khabar baik. Abang, nilah Puan Damia yang saya ceritakan tadi tu,” beritahu
Hajah Kistina perlahan kepada suaminya.
Tergamam seketika
Haji Rauf dan menayang muka serba salah di depan Puan Damia. “Ya Allah. Minta
maaflah Puan Damia. Saya tak berapa cam tadi. Maklumlah, dah tua. Ingatan ni
tak berapa elok sangat.” Haji Rauf berseloroh.
“Eh, tak apa Haji.
Saya pun selalu juga macam tu. Bak kata Haji, dah tua...” balas Puan Damia lalu
tertawa kecil. Tawa Puan Damia disambut pula oleh Haji Rauf dan Hajah Kistina.
“Eh, apalah yang
diborakkan dekat luar aja ni. Silalah masuk.” Haji Rauf menjemput dan Hajah
Kistina pula membawa tetamu-tetamunya ke ruang tamu. Duduk saja mereka dua
beranak, Hajah Kistina meminta diri ke dapur.
“Eh, tak perlulah
susah-susah Hajah.”
“Tak ada
susahnyalah.” Hajah Kistina menghilang ke dapur.
Senyap seketika.
Puan Damia cuma tersenyum di depan Haji Rauf. Matanya melihat-lihat dalam rumah
itu sekali sekala. Cantik. Rumah ini banyak diubah suai, dari rumah teres biasa
menjadi bagai rumah mewah. Almaklumlah, pemiliknya sendiri punya syarikat
kontraktor.
“Rahim apa khabar,
Puan Damia? Sihat?” Soalan Haji Rauf itu sekaligus mengalih perhatian Puan Damia
kepadanya semula.
“Sihat Haji tapi
macam tulah, sibuk memanjang dengan kilang dia.”
Haji Rauf cuma
tersenyum mendengar jawapan Puan Damia. Senyap lagi. Haji Rauf memandang sekali
sekala ke arah gadis di sebelah Puan Damia.
“Ini anak bongsu
saya, Sasha Amira namanya.” Puan Damia memberitahu seakan dapat membaca fikiran
Haji Rauf. Terkial-kial Sasha Amira tersenyum. Mengangkat mukanya sekejap,
kemudian menekur ke lantai semula.
“Sasha nilah yang
saya cakap tu bang.” Suara Hajah Kistina pula menyambung serentak semua mata
menoleh ke arahnya. Hajah Kistina datang dengan membawa dulang air. Sepiring
kek ulang tahun mereka juga dihidang sama.
“Buat susah-susah
aja Hajah ni.” Dalam hati senang kalau Hajah Kistina sudah berbincang dengan
suaminya tentang Sasha Amira. Mesti menjadi punya rancangan Puan Damia kali ini
kalau bakal besan pun dah sepakat.
“Susah apanya, Puan
Damia. Semuanya memang dah ada.” Gelas yang berisi jus limau madu dihulur di
depan tetamu.
Sasah Amira menelan
liur. Bukan kerana terliur melihat air di depan mata tapi dek kenyataan Hajah
Kistina sekejap tadi. Apa yang diberitahu Hajah Kistina pada Haji Rauf? Hai,
mulalah otaknya fikir yang macam-macam.
“Kami datang ni
sebenarnya nak melawat Azrai. Khabarnya dia accident.”
Bakul buah yang dibelinya tadi dihulurkan kepada Hajah Kistina. Kemudian,
bungkusan termos dihulur juga. “Yang ni bubur untuk Azrai. Sasha yang masak,”
beritahu Puan Damia perlahan, seakan berbisik. Namun masih bisa didengar setiap
telinga yang ada di situ. Haji Rauf dan Hajah Kistina kedua-dua tersenyum.
Sasha Amira, tentulah menelan liur berkali-kali.
Pula dah! Bila pula
aku yang masak? Mama ni... Merungut-rungut dia di dalam hati. Tebal rasanya
muka Sasha Amira terasa lebih tebal daripada konkrit rumah ini.
“Terima kasihlah,
Puan Damia, Sasha. Buat susah-susah aja.”
“Azrainya macam
mana? Dah sihat?”
“Emm... tak ada
apalah, Puan Damia. Accidentnya sikit
aja. Dia tak ada apa. Hari ni dah pergi kerja dah pun.” Hajah Kistina
memberitahu. Lega hati Puan Damia mendengarnya. Muka Sasha Amira di sebelah
ditoleh seketika. Gulp! Dah kenapa pula mama aku ni?
“Baguslah kalau tak
ada apa, Hajah. Lega hati saya ni dengar.”
“Mana pula Puan
Damia tahu pasal Azrai tu accident?” Soalan Hajah Kistina bikin Puan Damia
tersenyum simpul kemudian tersengih.
“Emm... kebetulan
saya telefon dia. Itu yang saya tahu tu Hajah.”
“Oh, manjanya dia
sampai mengadu dekat ehemm... ehemmm...” Hajah Kistina sekadar berdehem di
hujung percakapannya menyebabkan semua yang ada di situ tersenyum-senyum
melainkan Sasha Amira yang cuba disorokkan rasa curiga. Berbakul rasa malu tak
larat nak ditanggung ketika ini. Tapi mengenangkan pasangan suami isteri itu
tidak lepas memandangnya sekali sekala bikin dia ketat muka untuk turut
tersenyum.
No comments:
Post a Comment