“Kamu turunkan kami
dekat sini cukup. Tak perlu hantar sampai dalam,” kata Haji Rauf menyuruh Saif
Azrai menghentikan kereta di depan lobi pelepasan. Saif Azrai mengikut seperti
yang disuruh. Kereta Mercedes yang dipandunya membelok ke kiri dan berhenti.
Perlahan-lahan
mereka bertiga keluar dari kereta. Saif Azrai bergegas ke belakang dan
mengeluarkan bagasi dari boot.
“Betulkah papa dan
mama tak mahu Azrai hantar sampai berlepas? Awal lagi ni.” Bagasi yang
disorongnya di letak atas lantai. Kini dia menghadap Haji Rauf dan Hajah
Kistina serentak.
“Tak apa. Kamu nak
ke pejabat lagi. Pandai-pandailah papa dengan mama minum-minum dulu ke sebelum check in. Jangan lupa mesyuarat dengan Datuk
Razali nanti.”
Saif Azrai
mengangguk tanda faham. Tangan Haji Rauf dicapai dengan sopan. Dikucupnya
tangan Haji Rauf sambil membongkok di depan orang tua itu. Sebaik salam
dilepaskan, mereka berpelukan.
“Jaga diri
baik-baik, pa. Enjoy your honeymoon.
Hehe...” Tersengih senyum nakal di bibirnya. Haji Rauf membalas senyum.
Lega hati Saif
Azrai bila Haji Rauf tidak berkata apa tentang hal semalam. Hal yang Haji Rauf
terdengar suara Qayreena. Ah, lupa barangkali. Dia beralih pula kepada Hajah
Kistina. Seperti yang dibuat kepada Haji Rauf sama juga kepada Hajah Kistina.
Namun lebih mesra Hajah Kistina menyambut, memeluk dan mencuim kedua belah
pipinya.
“Dah besar panjang
anak mama. Dah cukup matang dah kan nak membezakan yang mana baik dan yang mana
buruk. Dah cukup besar dah pun nak berkahwin.”
Erk! Ketar lutut
Saif Azrai tiba-tiba. Rasa macam semua sendi-sendi tiba-tiba jadi longgar dan
mahu memisahkan semua tulang-temulang bila mendengar soal kahwin pula yang
ditutur Hajah Kistina.
Aiseymen. Mama tahu
juga ke pasal semalam? Hatinya tertanya-tanya.
Tangan Saif Azrai
terus dielus dan dilurut dek tapak tangan Hajah Kistina. Sekali sekala hinggap
ke wajah anaknya itu. Membelek-belek wajah itu bagai lama mahu berpisah. “Mama
tak kesah siapa calonnya tapi biarlah elok rupa paras dan peribadinya, elok
latar belakangnya. Mama dan papa ni masing-masing dah makin tua. Tak mahu
tengok anak mama ni jadi bujang terlajak pula. Sasha tu, pandai-pandailah kamu
ambil hati dia.” Hajah Kistina menyambung. Namun Saif Azrai juga lekas memintas
sebelum Hajah Kistina bercakap lagi. Tangan Hajah Kistina disambar dan
digenggam erat.
“Mama, mama, mama.”
Panggilnya. “Mama dengan papa kan nak pergi honeymoon.
Patutnya mama kena enjoy yourself.
Bukan fikir pasal Azrai lagi. Nanti bikin spoil
mood honeymoon pula.” Dia berjenaka sambil menayang senyum nakal. Dia tidak
mahu mama terus bercerita soal kahwin dan cinta. Ops. Bercinta mungkin boleh,
tapi berkahwin... oh tidak, tidak. Sudah acap kali rasanya hati ini bersuara,
bahawasanya dia belum bersedia untuk sebuah ikatan perkahwinan.
“Ish, budak ni.
Orang bercakap pasal dia, dia ubah topik pada kita pula.” Marah Hajah Kistina
lalu menampar lembut lengan Saif Azrai. Anaknya itu cuma tersengih dan ketawa.
“Awak ni pun. Beri
pesan macam lama sangat kita nak tinggalkan rumah. Dahlah, jom masuk.
Minum-minum dulu. Saya pun terasa lapar pula perut ni.” Haji Rauf mengajak.
Bagasi di depan Saif Azrai dicapainya pemegang atasnya.
Hajah Kistina
memeluk lagi anaknya. “Mama pergi dulu. Kamu jaga diri baik-baik tau,” pesannya
lagi sebelum membontoti sang suami yang terlebih dulu bergerak.
“Selamat bercuti
papa, mama!” Pekik Saif Azrai bila kedua orang tuanya menghampiri pintu masuk
ke KLIA. Dia menanti dan memerhati sehingga bayang mereka hilang dari
pandangan. Sempat dia lihat keliling. Ramai sungguh orang hari ini. Entah dari
mana hendak ke mana.
*******
Satu... dua...
tiga...
Hmmm.....
Puan Damia mengeluh
menghadap kalendar di depannya. Pen sudah sedia di tangannya. Dengan keluhan
berat, dia pangkah sehari lagi pada kalenjar itu. Lebih kurang tiga bulan lagi,
tahun ini akan berakhir. Jadinya, kurang tiga bulan lagi umur anak bongsunya
bakal meningkat setahun lagi.
Hmmmmm... satu lagi
keluhan dilepaskan lebih panjang. Puan Damia teringat akan kata dua yang
diberikan pada Sasha Amira sebelum ini. Anaknya itu perlu berkahwin atau pun
sekurang-kurangnya membawa bakal suami berjumpanya sebelum anaknya itu mencapai
30 tahun. Bila dibilang, umur Puan Damia juga meningkat setahun tahun depan.
Sudah cukup tua untuk hidup kesunyian.
Puan Damia duduk di
meja makan. Menghadap nasi goreng yang dimasaknya awal pagi tadi. Seperti
biasa, Encik Rahim yang terkocoh-kocoh hendak ke tempat kerja tidak sempat
menjamah walau sesudu. Rumah ini juga sunyi sepi, bagai tidak berpenghuni.
Spontan, dilepaskan satu lagi nafas halus.
“Hai, kenapalah
orang tua tu ubah rumah ni jadi besar? Lepas tu, senyap-sunyi aku duduk seorang
dalam ni. Ada anak dara pun, tak reti bangun pagi. Celik mata aja nanti, terus
menghilang. Tinggal lagi aku seorang. Hai...” Puan Damia menggeleng-geleng
kepala. Dia lekas bangun dan berjalan ke atas. Kaki menuju ke arah bilik anak
daranya.
“Sasha, dah bangun
belum? Bangun cepat. Apa anak dara bangun lewat aja ni?” Jerit Puan Damia
sambil mengetuk pintu bilik Sasha Amira berkali-kali.
Ada suara yang
menyahut dari dalam. Samar-samar tapi Puan Damia dapat mendengarnya. Malas
bunyi suara itu.
“Bangun. Dah pukul
berapa ni. Kamu nak tunggu matahari atas kepala baru nak bangun ke?” Kejutnya
lagi. Tombol dipulas. Berkunci pula hari ini. Lantas Puan Damia mengeluh dan
menggeleng lagi. Tidak puas dia mengetuk pintu itu. Diketuk dan terus diketuk.
Tuk! Tuk! Tuk!
Lebih kuat dan bertalu-talu.
“Bangun!” Suaranya
juga kian bergetar. Namun pintu itu masih tidak terbuka. Tidak tahan geram,
Puan Damia menghempas keluhan lebih berat buat sekian kalinya. Lantas dia
meninggalkan bilik itu diikuti dengan bebelannya yang selalu menghiasi rumah
ini.
“Apalah nasib dapat
anak dara macam ni. Pemalas. Malas bangun pagi. Malas kemas bilik. Bukan bilik
aja, rumah ni pun jangan haraplah dia nak kemas. Setahun sekali ajalah bila
masa nak raya. Itu pun dengan muncung-muncung dia sekali. Tak boleh ke bangun
awal, temankan mama dia ni. Temankan kawan lama-lama sampai malam boleh pula.”
Leternya terus dan kembali ke meja makan. Duduk semula di tempatnya tadi dan
termenung sekejap.
Hmmm...
Entah berapa kali
Puan Damia menarik nafas panjang hari ini. Letih dan bosan. Pinggan dicapainya
sebiji lalu disenduk nasi goreng sesenduk dua. Disuap pula nasi goreng itu
sedikit demi sedikit ke dalam mulut. Masih belum dapat meredakan rawan di hati.
Sudu dihempas ke pinggan.
Pang!
Kuat bunyi sudu
menghentam pinggan kaca itu. Air teh diteguknya pula. Kemudian Puan Damia
bangun semula, dan meniti anak tangga naik ke tingkat dua. Kali ini dia
berjalan ke kamarnya sendiri.
Tidak lama, Puan
Damia keluar semula dari bilik dengan siap bertudung. Beg tangan disangkut ke
bahu. Dia mahu ke pasar. Barang dapur juga banyak yang sudah susut. Memang
selalu Puan Damia yang berbelanja sendiri. Hendak mengharapkan Encik Rahim,
suaminya itu asyik sibuk. Cuma duit belanja saja yang ditinggalkan.
Puan Damia berjalan
terus ke jalan besar. Lebih senang menunggu teksi di situ berbanding jalan di
depan rumahnya. Tiada orang di perhentian teksi. Dia menunggu seorang di situ.
Seorang lagi. Kalau ada orang lain, bolehlah juga dia bertegur sapa. Bosan.
Mata Puan Damia
memandang jalan. Sunyi. Tiada kereta dari arah sini. Dia menanti. Sekejap
kemudian, muncul sekumpulan besar kenderaan memecut laju ke arahnya. Puan Damia
sedia berdiri. Matanya mencari kelibat teksi. Ada tapi sudah disewa orang lain.
Mata Puan Damia meliar pula ke laluan sebelah sana. Banyak pula teksi kosong
yang lalu di seberang sana.
Eh? Kahwin?
Pantang Puan Damia
terpandang perkataan kahwin. Matanya dikecilkan untuk membaca isi kain lentang
yang tergantung atas pagar Pusat Belia Antarabangsa di depan. Kurang jelas,
Puan Damia menganjak setapak ke depan. Dikecilkan lagi matanya.
Kursus Pra-Perkahwinan
A Murad Consultant
Hubungi Puan Yati :016-2345678. ; Encik Murad :
.017-3456789
Kursus kahwin? Puan
Damia berfikir-fikir. Tidak lama, tersimpul senyum di bibir. Lekas Puan Damia
mengambil telefonnya dari beg tangan. Nombor yang tertera di atas kain lentang
itu disalin ke dalam telefonnya.
Pin!
Terkejut Puan Damia
bila sebuah teksi berhenti di depannya. Siap tekan hon nyaring. Nasib baik Puan
Damia tidak sakit jantung. Fuh, semangat. Hilang konsentrasi Puan Damia
terhadap nombor-nombor tadi. Cuma sempat menyimpan salah satu nombor yang
tertera.
Kelihatan pemandu
teksi itu menjengukkan kepala, seakan bertanyakan arah tujuannnya sama ada dia
hendak menaiki teksinya atau tidak. Alang-alang teksi sudah berhenti depan
mata, Puan Damia naik terus. Telefonnya tadi segera disimpan ke dalam beg.
“Pasar basah
kompleks Bandar Tun Razak,” beritahu Puan Damia sebaik masuk ke dalam perut teksi.
*******
Masuk saja ke
pejabat, Saif Azrai terus berjumpa dengan Kak Suzi untuk bertanyakan tentang
mesyuarat Haji Rauf yang bakal digantikannya hari ini.
“Mesyuarat tu jam
sebelas dekat Kelab Royal Selangor. Datuk Razali nak bincangkan tentang kontrak
untuk ubah suai rumah yang baru dibelinya dekat Bukit Antarabangsa.” Teratur
Kak Suzi menerangkan kepada Saif Azrai, seperti mana yang tertulis dalam diarinya.
“Ubah suai, bukan
bina baru?”
“Emm... tak pasti
pula akak pasal tu. Tapi dengar-dengarnya rumah tu Datuk beli atas orang
sebagai hadiah perkahwinan anak lelaki dia. Dekat dengan rumah dia. Sebab tu
dia nak ubah suai ikut citarasa anak dia tu. Alah, ni mesti kes nak anak duduk
dekat-dekat ni.” Saif Azrai hampir tergelak bila Kak Suzi hendak mula bergosip
pula. Pandailah Kak Suzi nak buat hipotesis pak nujum dia. Tapi masuk akal
juga. Datuk Razali tu bukannya tak mampu nak beli rumah baru tapi rumah yang
dekat dengan rumahnya juga yang menjadi pilihan.
Ah, entah-entah
anak dia sendiri yang berkenan dengan rumah tu.
“Okeylah, kak.
Terima kasih pasal info tu,” ujar Saif Azrai sebelum berlalu ke bilik. Kak Suzi
membalas senyuman.
Di depan pejabat,
dijengah sekejap ke depan bilik Izi Helmy yang cuma bersetentang. Hai, tidak
masuk pejabat lagi sepupunya itu. Mentang-mentang bos besar tak ada. Daun pintu
biliknya ditolak ke dalam lalu dia melangkah masuk. Pintu dirapatkan semula dan
dia duduk termenung di depan meja.
Kahwin... kahwin...
kahwin.
Hai... satu nafas
halus dilepas perlahan. Terbayang muka Qayreena. Cantik, bergaya, kaya, emm...
tapi hati dah mula bosan dengan Qayreena. Kenapa? Mungkinkah kerana Sasha Amira
yang masih belum tertambat hatinya?
“Sasha tu,
pandai-pandailah kamu ambil hati dia.”
Masih
terngiang-ngiang kata-kata Hajah Kistina di lapangan terbang tadi. Emm... ambil
hati, tak jadi masalah. Tapi kalau dia jual mahal sangat, malaslah! Abang Man
pun, sudah berapa hari dia menunggu berita dari abang nasi kukus ayam dara tu.
Tapi masih tiada panggilan daripada Abang Man yang diterimanya setakat ini.
Lambatlah macam ni. Baik dia bertindak sendiri.
Bunyi riuh di luar
menarik perhatian Saif Azrai. Macam kenal suara hilai tawa yang sesekali muncul
di antara perbualan mereka. Lantas dia segera bangun dan keluar. Sah. Tawa
mengilai tadi tidak lain tidak bukan milik Izi Helmy.
“Amboi, happy nampak. Pagi-pagi lagi dah gelak
besar!” Tegur Saif Azrai sambil kakinya datang menghampiri. Serta-merta semua mata
menoleh ke arahnya. Baik Izi Helmy, Kak Suzi mahupun, eh, Aina pun ada sama.
Wah, nak tayang buah hati lagi depan oranglah tu.
“You buat apa dekat
sini? Tak kerjakah?” soalnya terus kepada Aina. Wajahnya ditayang sekali dengan
riak terkejut tahap maksima.
“Amboi. Directnya soalan. Aku yang bawa Aina
datang ke mari. Alang-alang dia cuti hari ni, gantilah dating semalam yang tak jadi disebabkan orang tu kan. Tak dapat dating kat luar, teman aku kerja pun
jadilah. Bersemangat lagi aku nak buat kerja.”
Saif Azrai
mencebik. Akal hendak menyindir dirinyalah tu. Tahu sangat. Bukan dia sengaja.
Jalan sepanjang Bukit Bintang sesak teruk semalam. Itu pun nasib baik dia
singgah solat dulu di Pavilion untuk solat Maghrib. Kalau tidak, maghrib pun
melayang sama.
“Jadinya kau nak
Aina teman kau dekat pejabat sepanjang hari ni? Ke nak menghilang lepas tengah
hari?” Ambik kau! Saif Azrai pula kenakan Izi Helmy. Ingat dia akan minta maaf
sampai melutut? Huh. Jangan harap. Tak cukup lagi ke semalam Saif Azrai minta
maaf berkali-kali lepas sampai ke pejabat bila jam pun sudah tunjukkan dekat
pukul sepuluh waktu itu. Kisahnya, Aina sudah menelefon sebelum Saif Azrai
sempat sampai dan akhirnya temujanji mereka pun batal.
Membebel lagi Izi Helmy
dalam kereta kerana terpaksa menghantar pula Saif Azrai ke rumah. Menghadap
lagi jalan sesak ke Ampang. Aduh. Saif Azrai pekakkan telinga dan pura-pura
tidur. Penat kononnya.
“Alah, Azrai. Kalau
dah namanya pasangan dua sejoli, ke mana-mana mestilah nak berkepit.
Entah-entah ke tandas pun berteman kut!” Senda Kak Suzi sekaligus mengundang
tawa Saif Azrai.
“Betullah Kak Suzi.
Give me five!” Tapak tangan Saif
Azrai dihala ke depan Kak Suzi tapi Kak Suzi pula menyorok tangannya. Cuma
tersenyum dan ketawa kecil. Ops. Lupa pula. Kak Suzi memang menjaga adab
pergaulannya. Kalau sentuh-menyentuh, haram katanya sesama bukan muhrim. Tapi
menyakat orang, dia nombor satu.
“Eleh, jeleslah
tu.”
“Eh, tak ada maknanya
akak nak jeles pada kamu Izi oi. Akak ni pun anak dah berderet. Itu menandakan
kasih antara suami dengan isteri. Ah, kamu tu budak mentah lagi. Cakap
lebih-lebih bukan kamu faham.”
“Budak mentah? Saya
ni dah cukup tua bangka dah kak. Muka saya ni ada macam rupa budak-budak ke?”
“Kalau dah cukup
tua, ha kahwinlah. Akak ni pun dah lama mengidam nak makan nasi minyak anak
bos, anak buah bos ke...”
Ehem! Saif Azrai
dan Izi Helmy berdehem serentak. Tergeliat lidah Izi Helmy mahu membalas kalau
perkataan kahwin itu yang keluar dari mulut Kak Suzi. Lemah benar dia dengar
perkataan keramat itu. Kenapalah agaknya orang yang dia kenal asyik cakap
tentang kahwin saja. Dah tua sangat ke dia ni?
“Emm... malaslah
nak layan Kak Suzi lagi. Jom sayang,” ajaknya.
“Emm... you
pergilah. I duduk dengan Kak Suzi aja. Tak baik lelaki dan perempuan
berdua-duaan dalam bilik.”
Alah! Nasib kaulah
Izi dapat buah hati anak ustaz. Muka Kak Suzi dijelingnya sekilas.
Tersenyum-senyum Kak Suzi mendengar jawapan Aina tadi. Terbaik! Dengan rasa
hampa Izi Helmy berlalu ke biliknya. Hai, hilang semangatnya yang
berkobar-kobar hendak memulakan kerja tadi. Kalau sudah buah hatinya tercicir
di luar...
“Ha, Azrai. Ini
dokumen yang Tuan Haji minta akak serahkan pada kamu. Tentang perbincangan
dengan Datuk Razali nanti. Elok kamu keluar awal, nanti takut jalan ke sana
sesak.” Kata Kak Suzi mengingatkan. Sebuah dokumen diserahkan sama kepada Saif
Azrai yang cuma memerhati dari tadi.
Saif Azrai
menjeling jam di belakang Kak Suzi. Betul kata Kak Suzi. Kalau dia tidak keluar
sekarang, takut terlambat pula. Alamatnya, pelanggan yang terpaksa menunggu
kontraktor. Itu sama sekali bercanggah dengan prinsip yang dipegang Haji Rauf.
Dia segera masuk ke
bilik bersama dokumen yang diberi Kak Suzi. Dokumen itu diselak-selak untuk
mengetahui isinya serba sedikit. Jam dikerling lagi. Tidak sempat. Dia bersiap.
Memasukkan semua dokumen yang perlu ke dalam fail dan bergegas keluar.
*******
*******
“Ya Allah. Tak
bangun lagi budak ni.” Puan Damia segera mengetuk pintu kamar anaknya. Sudah
lama rasanya dia keluar membeli-belah di pasar tadi. Sudah balik ke rumah pun,
anak daranya pula tidak bangun-bangun tidur agaknya.
“Sasha. Buka pintu
ni. Kamu belum bangun lagi ke? Matahari dah meninggi dekat luar tu, ha. Bangun
cepat!”
Senyap. Tiada
jawapan dari dalam. Lantaran itu, Puan Damia bergegas ke bilik tidurnya. Mengambil
kunci utama dari dalam laci meja solek. Itulah satu-satunya tempat yang senang
untuk dia ingat. Lantas Puan Damia beregegas semula ke kamar anaknya.
Kunci dicucuh ke
lubang kunci. Ketak! Bunyi kunci terbuka lalu Puan Damia memulas tombol seraya menolak
daun pintu ke dalam.
“Subhanallah...”
Puan Damia mengucap panjang bila melihat bilik anak daranya bersepah. Katil
tidak berkemas, kain baju berselerak. Hendak dibuat pemeriksaan mengejut macam
di asrama jugakah? Bila dilihatnya di katil sekali lagi, Puan Damia perasan
Sasha Amira tiada di situ.
Bunyi air jatuh ke
lantai tiba-tiba didengarnya. Barulah Puan Damia sedar anaknya itu berada dalam
bilik air. Segera pintu bilik itu pula diketuknya.
“Sasha, nanti kemas
bilik kamu ni. Apa bilik anak dara bersepah macam anak bujang ni? Buat malu
aja!” Leter Puan Damia lagi. Suara Sasha Amira menjerit mengiakan dari dalam.
Tidak senang Puan Damia melihat bilik anaknya. Dia keluar bersama gelengan
kepala dan menggumam kecil.
*******
“Kamu ada tak
telefon Azrai?”
Ha? Sasha Amira
tergamam lantas tayang muka tidak faham di depan Puan Damia. Baru saja dia mahu
ambil tempat di ruang makan, belum sempat punggungnya mencecah kerusi itu,
suara Puan Damia terlebih dulu menyinggah, mengajukan soalan itu.
Puan Damia berjalan
dari ruang tamu ke ruang makan semula. Lantas turut mengambil tempat di depan
Sasha Amira. Anaknya itu duduk juga lambat-lambat. Pinggan di hujung meja
diambil satu lalu diletakkan di depannya.
“Kamu ada tak
telefon Azrai, anak Hajah Kistina tu. Kad nama dia kan mama dah beri pada kamu.
Takkan kamu tak ada cuba-cuba telefon dia?” Puan Damia mengulang soalannya
lebih panjang bila dilihatnya Sasha Amira lebih rela melayan nasi goreng
daripada soalannya tadi.
“Nak buat apa Sasha
nak telefon dia?”
Spontan Puan Damia
melepaskan nafas halus sebaik soalan itu pula yang sampai ke telinga. “Nak buat
apa lagi, kenal-kenal la. Takkan nak dibuat pekasam aja.”
Sasha Amira diam.
Dia ingat lagi nama itu, mesti lelaki yang pernah disuruh mama menghantarnya ke
kolej sebelum ini. Ah, tapi kalau untuk kenal-kenal yang tujuannya untuk
bercinta seperti mana lelaki-lelaki lain yang pernah mama perkenalkan, dia
tidak mahu. Biar dia tidak mulakan hubungan itu sebelum hatinya terluka lagi.
Saiful Muslim.
Cukup sekali hatinya terluka oleh lelaki itu. Setia dia menanti Saiful Muslim
di tanah air. Tetapi dia pulang ke Malaysia senyap-senyap, tidak sekalipun dia
beritahu. Bila Sasha Amira sendiri yang berkunjung ke rumahnya, barulah
terjawab mengapa lelaki itu lama tidak membalas berita. Rupa-rupanya dia bukan
saja bawa pulang segulung ijazah tetapi juga calon menantu kerana sudah mabuk
bercinta dengan anak mat saleh. Hubungan mereka akhirnya sampai ke jinjang
pelamin tidak lama pulang ke Malaysia. Berkahwin pun tidak menjemput Sasha Amira.
Luluh hati ini diperlakukan begitu. Seminggu dia berendam air mata hanya kerana
seorang lelaki. Kerana itu jugalah dia berhenti belajar semasa di tahun akhir.
Dan kerana lelaki
bernama Saiful Muslim, yang pernah merajai hatinya satu ketika dulu, membawa
jauh hatinya ini hingga lemas di tengah-tengah laut yang memisahkan mereka,
Sasha Amira tawar hati hendak mengenali cinta. Cinta buat dirinya rasa gerun,
cinta buatnya lemas tidak bernafas.
Daripada kad nama
yang diberi mama, kalau tidak silap nama penuh lelaki yang bernama Azrai itu
adalah Saif Azrai. Hai, namanya juga hampir sama... Saif Azrai, Saiful Muslim.
Tolonglah mama, cukuplah. Sasha tak ingin bercinta...
jangan jadikan Sasha ni sebagai seorang yang kejam menolak ramai lelaki.
Hatinya menjerit
untuk memberitahu mama segala yang berbuku di hati namun tidak pernah terluah.
Hanya perbuatan yang mampu ditunjukkan pada mama betapa dia tidak mahu lagi
bercinta. Hidupnya tidak perlukan seorang lelaki bergelar kekasih.
“Senyap tu maknanya
belumlah tu.” Suara Puan Damia nyaring bergema di telinga. Diikuti suara halus
keluhan mama. Sasha Amira diamkan saja. Lambat-lambat nasi goreng dikais dan
disuap ke dalam mulut. Dikunyahnya lambat-lambat. Mati seleranya sejak tadi,
sejak mama mengajukan soalan tentang Azrai, sejak dia pula mengenangkan tentang
Saiful Muslim.
“Apalah yang kamu
tunggu lagi? Lelaki macam mana lagi yang kamu nak? Macam teman lelaki kamu
dulu?”
Gulp! Sasha Amira
berhenti mengunyah serta-merta. Masakan mama juga mahu bangkitkan tentang Saiful
Muslim? Oh, tidak. Mama masih ingat dia? Sedangkan bagi Puan Damia, ibu mana
yang tidak ingat kalau anaknya bersedih lama-lama, tidak mahu makan, tidak mahu
keluar bilik. Asyik berkurung dalam bilik dan menangis. Sakit hati ibu ini,
risau, marah... bermacam jenis perasaan yang bercampur-baur menjadi satu.
Hingga dia sendiri tidak tahu apa lagi yang hendak dibuat.
Sudah dipujuk,
tidak terpujuk. Dibelai, masih belum surut sedihnya. Bila dimarah, kita balik
yang sedih.
Sudah
bertahun-tahun perkara itu berlalu. Orang itu pun entah-entah sudah
beranak-pinak. Masakan anaknya pula hendak membujang sampai ke tua. Sekarang
bukan masanya hendak mengenang kisah silam. Yang lepas, biarlah berlalu. Tiada
apa yang mampu dilakukan untuk mengubah masa lampau. Dirinya makin tua. Ibunya
ini juga makin tua. Teringin rasanya hendak melihat anak bongsunya berkahwin
depan mata. Menimbang cahaya mata pertamanya, merasa membesarkan cucu. Terubat
jugalah sunyi di hati Puan Damia ini.
“Teman lelaki yang
kamu beritahu tempoh hari, macam mana pula? Bila nak kenalkan pada mama? Boleh
mama bandingkan dengan anak Hajah Kistina tu.”
Tersentak lagi
Sasha Amira. Kali ini sudu terus diletakkan atas pinggan. Seleranya benar-benar
hilang.
“Ada masa nanti,
Sasha kenalkan pada mama ya.” Dia masih manis mulut di depan Puan Damia. Tidak
mahu orang tua itu susah hati, mahupun menghidu yang dia cuma memberi alasan.
“Emm... Sasha dah lambat ni, mama. Sasha pergi kolej dulu, ma.”
Lantas Sasha Amira
bangun dan mendapatkan Puan Damia. Tangan Puan Damia dikucupnya seperti selalu.
Kedua belah pipi mamanya juga dikucup laju.
“Itulah kamu, asal
mama cakap pasal ni aja kamu nak mengelak. Ada aja alasan kamu. Ada kelaslah,
nak ke kolej la, ada study group la.”
Leter Puan Damia lagi sebaik tubuhnya dilepaskan Sasha Amira.
“Bukan nak beri
alasan mama. Tapi memang dah lambat ni.” Sasha Amira pura-pura lihat jam di
pergelangan tangan. Lepas itu tayang muka terkejut dan tergesa-gesa dia
berjalan ke pintu. “Pergi dulu, ma.” Teriaknya sebelum menghilang dari balik
pintu.
Puan Damia melihat
saja anaknya pergi. Telinganya menangkap bunyi deruan enjin kereta anaknya.
Mula-mula jelas dan lama kelamaan kian samar dan terus hilang. Spontan Puan
Damia lepaskan keluhan. Teringat akan kain lentang yang dilihatnya pagi tadi,
Puan Damia bangun mendapatkan telefon bimbitnya di bilik.
No comments:
Post a Comment