Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Sunday, April 28, 2013

Sayang Kata Benci: Bab 17


Hmm... hmmm.... hmmmm....
“Ni apa kerja asyik mengeluh aja dari tadi ni? Macam tengah fikir masalah dunia pula,” Intan Nazira menegur bila telinganya tidak tahan lagi mendengar keluhan yang bertalu-talu keluar dari mulut Sasha Amira. Bikin orang susah hati saja. Bukannya nak bercerita.
Sasha Amira memandang muka Intan Nazira. Lama tanpa sebutir perkataan. Kemudian, keluhannya saja yang akhirnya menjawab teguran Intan Nazira tadi.
“Hmm... ni dah kenapa pula? Mama kau bawa jumpa calon suami lain ke?” Telahnya sebarang. Muka Sasha Amira monyok. Intan Nazira dapat merasakan seperti telahannya tadi benar. Lantas dikoreknya lagi cerita. “Betul eh?” Tubuhnya mendekati Sasha Amira. Soalannya diulang berkali-kali sambil menonjol lengan kawannya itu berulang kali, selagi Sasha Amira tidak buka mulut.
“Kali ni siapa pula? Eh, kalau kau tak nak juga kau kenalkanlah dekat aku aja. Tak adalah membazir mama kau carikan.”
“Tak adalah...” jawab Sasha Amira malas.
“Habis tu?”
Huhu... Muka Sasha Amira mencemik dengan muncung mula terbit di bibir. Kepalanya diletak sekejap atas meja, kemudian angkat semula. Dah macam gaya aerobik pula gamaknya. “Aku stres la. Stres!” beritahunya keras dengan suara serak. Tangan menekan-nekan kepala. Mengenangkan soalan mama pagi tadi sebelum dia keluar ke kolej, bikin dia tambah stres.
“Nanti ajaklah teman lelaki kamu tu datang makan tengah hari dekat rumah. Tak pun makan malam.”
Aduh. Tidak henti-henti mama bertanya pasal teman lelaki Sasha Amira. Beria mama hendak berkenalan dengannya. Masalahnya sekarang, teman lelaki Sasha Amira memang tidak pernah wujud.
Kalau tidak pun, mama akan tanya sama ada Sasha Amira sudah menghubungi Azrai atau pun tidak. Hai, kalau tidak jawapannya mulalah mama buka cerita semula pasal teman lelaki Sasha Amira. Hai, mama ni. Tak puas lagi menjerat Sasha Amira dengan soalan-soalan berkenaan cinta.
“Dei, kau ni dari tadi monyok. Stres, stres, stres. Stres kenapa?” Laju tangan Intan Nazira menampar tangan Sasha Amira. Mahu merah tangan Sasha Amira yang putih itu berbekas penampar Intan Nazira. Spontan Sasha Amira mengaduh seraya menggosok tangannya yang mula terasa perit.
Huh! Tangan oktopus dah hinggap ke badan! Gerutu hati Sasha Amira. Sudahlah hati ini sudah cukup bengkak dek desakan mama. Tapi disebabkan tidak mahu melawan kata mama, dia diamkan saja. Cuma alasan yang mampu diberikan setiap kali mama membangkitkan hal yang sama. Kalaulah papa ada, bolehlah juga minta papa sebelahkan dia.
“Mama aku sekarang dalam dua tiga hari ni, makin ligat pula dia tanya pasal teman lelaki aku-”
“Bila kau ada teman lelaki?” Pintas Intan Nazira hampir menjerit. Hampir saja menarik perhatian teman-teman sekelas. Sekelip mata mereka berdua menjadi perhatian namun cuma sesaat dua. Kemudian, masing-masing kembali membuat hal sendiri.
Sementara Sasha Amira sekejap tadi ternganga, bila cakapnya dipintas Intan Nazira sebelum sempat dia menyudahkan kata. Lepas itu, matanya pula yang meliar memandang mata-mata yang memerhati. Zaimah yang tadinya syok melayan keropok Jackelnya juga berpaling ke muka Sasha Amira, memandang dengan mata bundarnya yang kian membulat seolah-seolah terkejut dengan kenyataan Intan Nazira tadi.
“Bagilah aku habis cakap dulu.”
Intan Nazira lebarkan tapak tangan ke depan, memberi isyarat seperti memberi laluan. Terdengar keluhan Sasha Amira terlebih dulu sebagai pembuka kata. Duduknya dibetulkan.
“Dengar sini baik-baik ya wahai kawan-kawanku yang baik hati dan bijak pandai... aku harap sangat dapat idea macam mana nak selesaikan masalah aku ni. Otak aku ni dah tak boleh fikir dah. Beku aku rasa!” Beritahunya diajukan pada Intan Nazira dan juga Zaimah.
“Okey...cer citer, cer citer,” sampauk Zaimah meminjam trademark Usop Wilcha.
Hmm... Sasha Amira lepaskan keluhan halus terlebih dulu. “Korang ingat tak dulu aku ada beritahu yang aku kelentong dekat mama yang aku dah ada boyfriend sebab nak mama berhenti carikan aku jodoh.”
Fikir sekejap. Tidak lama, Intan Nazira terlebih dulu beri respons yang dia ingat kenyataan Sasha Amira yang lepas. Sibuklah Zaimah yang tidak ingat bertanyakan pada Intan Nazira. Yang mana ya? Bila? Puaslah Intan Nazira pulayang perlu mengingatkan kawannya itu. Setelah berbuih mulutnya mengimbas beberapa hari lepas, barulah Zaimah mengangguk sungguh-sungguh.
“Haaaa.... yang tu....”
Laluan diberikan semula kepada Sasha Amira untuk meneruskan ceritanya. “Ha, apa cerita dengan boyfriend kau tu? Mama kau tanya pasal dia?” Intan Nazira meneka.
Perlahan-lahan Sasha Amira mengangguk bersama muncungnya lagi. Intan Nazira hampir tergelak. Dulu sudah diberi amaran, Sasha Amira tunjuk lagak. Kononnya pandailah dia jawab dengan mama dia. Kan dia pelakon. Sekarang tayang muka tempoyak basi dia pula depan kami. Ceh! Tak boleh pakai punya pelakon.
“Bukan takat tanya aja, pasal boyfriend aku tu, pasal lelaki yang mama aku kenalkan dulu. Lepas tu, mama siap daftarkan aku pergi kursus pra-perkahwinan. Diam-diam tak beritahu pun.”
Menganga Intan Nazira dan Zaimah mendengar cerita. Sementara Sasha Amira melekap lagi kepalanya ke meja. Sedih bercampur hampa. “Parah aku macam ni. Dahlah mama aku dah bagi warning suruh aku bawa boyfriend kenalkan kat dia sebelum umur aku 30 tahun. Kalau tak... huhuhu...” Dia merengek perlahan.
“Kalau tak kenapa?” Beria Zaimah menyoal.
Sasha Amira menekup muka ke meja. Stres! Makin stres! sebelum ini dia abaikan saja ugutan mama itu. Tapi dua tiga hari ni, lain macam aja perangai mama. Teringat warning Along hari tu, buatkan dia sedar.
“Kalau tak kenapa, Sasha?” Zaimah mengulang soalannya. Bahu Sasha Amira dipautnya perlahan. Dapat dilihatnya mata Sasha Amira yang mula kemerahan bila kawannya itu mengangkat muka. Gulp! Zaimah menelah liur. Parah kawan aku ni.
“Kenapa ni, Sasha? Hei, janganlah macam ni...”
Sedu Sasha Amira mula menjentik cuping telinga. Intan Nazira yang selalu becok bercakap dan membebel juga terkesima di tempat duduknya. Sasha Amira menarik nafas dalam-dalam setelah dipujuk Zaimah.
“Kan dah bagitau dulu. Kalau aku tak dapat calon sebelum 30 tahun, aku kena kahwin dengan pilihan mama aku...”

*******

Belum pun sejam mereka masuk ke restoran makanan segera McDonalds, sudah riuh. Mula-mula memang hajat nak makan tengah hari dekat kafe, tapi Sasha Amira pula tiba-tiba teringin nak makan chocolate sundae. Hendak sejukkan hati yang lara katanya.
Riuh restoran itu pada waktu tengah hari. Apatah lagi sekarang banyak pula promosi harga rendah yang ditawarkan McDonalds untuk hidangan tengah hari. Kerusi meja hampir penuh dengan manusia. Memang sudah diduga sebegini sesak. Juling biji mata hendak mencari tempat kosong. Bila jumpa, Sasha Amira terlebih dulu cop tempat duduk. Dipesan saja makanan pada Intan Nazira mahupun Zaimah yang beratur di kaunter. Malas dia nak ikut beratur. Sementara menunggu, matanya melilau. Habis setiap sudut diperhatikan. Telinganya sekarang sudah macam separuh pekak dek hinga-bingar suara manusia.
Sekumpulan remaja beruniform sekolah yang siap bawa belon bermacam warna dan pakai topi bentuk kon di kepala menjadi perhatian. Nampak gembira benar wajah-wajah mereka. Lepas tu, nyanyikan lagu selamat hari jadi. Sambut hari jadi rupanya. Tiba-tiba saja muncul kek dari belakang, dibawa oleh seorang budak lelaki dengan pakaian biasa. Mestilah lelaki itu pun salah seorang daripada mereka. Duganya.
Salah seorang budak perempuan yang duduk di meja itu nampak sangat mukanya terkejut. Surprise! Sasha Amira boleh meneka. Mestilah budak perempuan tu punya hari jadi hari ini. Selesai budak perempuan itu meniup lilin, budak lelaki yang bawa kek tadi hulurkan sekuntum bunga mawar. Tersipu-sipu malulah dia bila kawan-kawan riuh menjerit suka sambil menepuk tangan.
Hai, so sweet! Saiful Muslim dulu pun, bercinta bagai nak rak tapi sekuntum bunga pun tidak pernah dia beri padanya. Budak-budak muda sekarang lagi advance nampaknya. Jeles akak. Sasha Amira terkenang-kenang wajah Saiful Muslim, saat dia begitu romantik, saat dia beriak nakal, saat dia tersenyum.
Dia tersenyum sendiri tapi tidak lama senyumnya pun mati bila dia sedar ianya cuma kisah silam. Kisah silam yang tak mungkin kembali. Kisah silam yang berakhir dengan keperitan dan kekecewaan. Lelaki itu kini milik orang. Bila mengenangkan semua itu, dia kembali hampa. Teringat pula amaran mama yang hendakkan dia berkahwin mahupun bercinta sebelum umurnya menjangkau 30 tahun. Hari dihitung dalam kepala. Sekali lagi dia hampa.
Hai, kenapalah aku lahir pada hari 1 Januari tu? Kurang tiga bulan, kurang daripada 100 hari lagi hari jadi yang ke tiga puluh akan tiba. Tapi... dia mengeluh lagi.
“Aik, mengeluh lagi? Nah, chocolate sundae kau. Bagi sejuk sikit dada tu eh.” Intan Nazira menghulurkan cawan sundae ke depan Sasha Amira. Kemudiaan dia ambil tempat di depan kawannya itu. “Tak elok asyik mengeluh ni. Nanti rezeki lari.”
Sasha Amira diam. Sundae yang dihulur Intan Nazira tadi terus disudu sedikit dan disuap ke mulut. Yummy... sedapnya. Nikmatnya rasa hingga terpejam kedua belah mata. Sekejap, dia dapat melupakan hal yang membuatkan otaknya kusut. Dia mencapai pula chicken burger yang dikirim tadi. Zaimah dan Intan Nazira sudah syok melayan makanan masing-masing. Bila dilihat set hidangan yang dibeli Zaimah, memang selalu biji matanya besar. Besar selera kawannya yang seorang itu. Rasanya masa toleh sekejap tadi baru dibuka bungkusan bigmacnya. Sekarang, Zaimah sedia untuk menikmati burger kedua. Spontan Sasha Amira geleng kepala. Laju benar Zaimah telan burgernya.
Sasha Amira bangun dari duduk. Menuju ke sinki untuk mencuci tangan. Selesai mencuci tangan, dia membelek muka sekejap di cermin bila dilihatnya wajahnya macam berminyak. Kertas tisu ditarik sehelai lalu menyapu muka yang rasa melekit. Kemudian dirasa pula dengan jari. Masih berminyak. Heuuww... boleh dibuat goreng ayam agaknya.
Tengah-tengah sibuk membersihkan muka dengan tisu, tiba-tiba datang seorang lelaki hendak mencuci tangan. Lelaki yang memberi bunga kepada budak perempuan yang menyambut ulang tahun kelahiran tadi. Sasha Amira pura-pura buat tidak tahu. Tapi setiap perbuatan lelaki itu dapat dilihatnya dari ekor mata. Tangan siap dibasuhnya. Dia menghimpit dan memanjangkan tangan untuk mencapai tisu di sebelah Sasha Amira.
Ops! Beritahulah dulu kalau nak menyelit. Rusuhnya tidak selesa. Lelaki itu memandangnya. Kemudian kenyit mata sambil tersenyum sebelum berlalu.
Berkerut-kerut dahi Sasha Amira kerana tidak faham. Seketika kemudian, bibirnya mencebir sumbing. “Ek eleh budak kecil ni, aku ni pangkat akak kau aje tau!” Ngomelnya sendiri lalu menyudahkan sapuan bedak pula ke muka.
Zaimah sudah selesai makan apabila Sasha Amira kembali ke meja. Bersandar kekenyangan. Pinggan Zaimah dipandang. Licin. Memang pantas kawannya itu makan. Kunyah ke telan? Riuh di hujung sana masih menjadi tarikan. Sasha Amira juga tidak terkecuali melontar pandang.
Bising tapi seronok melihat gelagat mereka. Lima budak perempuan, dua lelaki. Tidak sampai sepuluh orang tapi kecohnya satu kampung. Mereka bergelak ketawa, bergurau senda dan bila melontar kentang goreng ke kawan sedepa jauhnya, Sasha Amira geleng kepala.
Budak-budak ni... tak tengok ke budak Afrika yang kebuluran. Korang kat sini, buang-buang makanan. Tengok macam Zaimah, ha licin dia makan. Hatinya asyik berdetik itu dan ini.
Dalam pada dia memandang, dia perasan lelaki tadi merenungnya dalam diam. Duduk di sebelah budak perempuan tadi, mungkin teman wanitanya. Kalau sudah diberi bunga setangkai, mestilah ada hubungan istimewa kan. Tapi mata merenung Sasha Amira di sini. Uish! Cepat-cepat Sasha Amira melarikan pandangan. Dia pura-pura melihat jam di tepi kaunter pesanan. Hampir jam satu setengah. Rehat hampir habis. Pukul dua setengah akan ada tutorial Puan Raihana lagi.
Ingat pasal Puan Raihana, Sasha Amira rasa malu. Malulah teringatkan babak dia merayu sakan depan Puan Raihana sebelum ini. Aduh. Malunya nak berdepan dengan Puan Raihana masa kelas nanti. Rasa hendak sorok aja muka bawah meja.
“Eh, jom balik kolej.” Sasha Amira mengajak, tidak tahan. Panas punggungnya duduk lama-lama di sini. Budak lelaki itu dilihatnya masih menjeling-jeling. Hai, main jeling-jeling pandang-pandang pula dia.
“Nak balik? Burger kau tu pun tak jamah lagi, tak lapar ke? Tu, sundae tu tak habis pun. Kalau tak habis, mari bagi aku habiskan.”
Sasha Amira tolak terus cawan sundaenya ke depan Zaimah. Ha, ambillah kalau nak sangat. Dia cuma terasa nak balik kolej. Makin tidak selesa duduk di sini. Tenangkan jiwa apanya kalau makin celaru dek pandangan budak lelaki itu. Tidak ada siapa pula antara kawan-kawannya yang perasan. Atau pun kawan-kawan budak itu sudah biasa. Dasar lelaki buaya agaknya.
Emm... dia pandang luar tingkap aja kut! Sasha Amira cuba sedapkan hati.
Pandangannya beralih ke sebelah. Melihat Zaimah yang masih berselera menghabiskan sundae. Eh, eh... dia makan burger aku sekali? Ish, budak Zaimah ni. Sabar ajalah. Kerana lapar, Sasha Amira sumbat kentang goreng yang masih berbaki ke mulut. Jadilah untuk dibuat alas perut.
Oh, tak boleh jadi ni! Hati Sasha Amira merusuh bila menyedari masih ada mata yang memandang. Kali ini dia tidak mahu lari. Sasha Amira membalas renungan itu dengan pandangan tajam, menandakan dia benar-benar tidak selesa. Lelaki itu pula tersenyum. Sekarang, siap melambai lagi.
Eii... tak cukup awek dekat sebelah, ada hati nak pandang yang lain. Gerutu hati Sasha Amira melihat lagak lelaki itu. Zaimah disuruhnya menghabiskan makanannya cepat-cepat. Sasha Amira bangun semula. Sekali lagi dia pergi ke sinki, memcuci tangan cepat-cepat. Lelaki itu muncul lagi di sebelahnya. Dia membasuh tangan sambil matanya tetap melekat memandang Sasha Amira dari dalam cermin.
Kali ini, awal-awal lagi Sasha Amira berganjak ke belakang bila lelaki itu menutup pili. Sudah pasti lelaki itu akan menarik tisu. Selamat. Sasha Amira juga tidak menunggu lama. Terus saja ditarik tisu selepas selesai mencuci sabun di tangan.
Baru hendak menarik nafas, lelaki itu muncul pula di sebelah Sasha Amira. Sehelai tisu diletakkan atas meja depan Sasha Amira. Sasha Amira cuma memandang kosong. Mendongak dengan riak pura-pura tidak mengerti. Lelaki itu menggerakkan bibir lalu tersenyum. Sasha Amira faham maksud gerakan bibir itu.
Call me!
Heuw! Badan pun tak berapa nak tinggi, ada hati nak mengorat orang yang lagi tua. Entah-entah umur dia pun cuma budak hingusan aja! Getusnya geli-geleman.
Intan Nazira tergelak-gelak sambil menyorok muka dalam tapak tangannya. Zaimah pula tergamam dengan mulut buncit. Sasha Amira menggesa kawannya itu supaya cepat. Panas dia duduk di situ. Bekas makanan yang bersepah atas meja dipungut masuk atas dulang. Termasuk kertas tisu yang tertulis nombor telefon budak lelaki tadi direnyuk dan dibuang sama dalam dulang. Budak lelaki tadi sudah kembali ke tempatnya tapi masih setia memandang ke sini.
Eii... geramnya. Geramnya.
Bagai ada api yang membakar hatinya kini. Menyampah, meluat, benci semuanya ada. Matanya meliar pandang keliling. Sesekali bibirnya dibebel kepada Zaimah, mengerah lagi kawannya itu segera menghabiskan makan dan minumnya. Lama pula rasa Zaimah menyudahkan makan kali ini. Tadi laju sangat. Sekarang perut dah mengah pulakah sampai terdemut-demut? Saat matanya memandang ke kaunter, tiba-tiba dia tertancap pada seorang pelayan di kaunter itu. Kaunter sudah semakin surut. Tidak sesibuk awal tadi. Muncul akal nakal tiba-tiba lantas dia bangun sambil tersenyum nipis. Kertas tisu tadi diambilnya semula lalu bangun ke depan kaunter. Pelayan perempuan nampak macam budak sekolah, baru habis SPM agaknya.
“Ya, cik.” Budak perempuan itu bersuara dengan senyuman, sedia untuk mengambil pesanan.
“Budak lelaki tu suruh saya bagi pada awak!” bisiknya kepada budak perempuan itu lalu menghulurkan kertas tisu yang tertulis sesuatu kepada pelayan itu. Telunjuknya pula menunjuk ke arah budak lelaki tadi. Dia nampak budak lelaki itu memandang. Berkerut-kerut wajahnya. Sedangkan budak perempuan di depan Sasha Amira sekarang sudah tersipu-sipu. Alahai... budak-budak.
Sasha Amira senyum puas. Padan muka! Dia menyambar beg tangan lantas mengajak kawan-kawannya pergi. Zaimahlah yang paling kalut memungut barang-barangnya. Mulut dan tangan comot tidak sempat dibersihkan. Nasib baik sempat sambar tisu sehelai yang masih belum diguna atas meja.
“Eh, apasal kau pergi bagi nombor budak tu pada cashier tu pula? Apa salahnya kenal-kenal. Manalah tahu kau boleh syok dekat dia,” kata Intan Nazira tidak setuju akan tindakan Sasha Amira.
Sasha Amira diam tidak menjawab. Langkahan kakinya terus dihayun selaju yang mungkin. Sakit hati... sakit hati, itu yang dia rasakan sekarang.
“Entahnya, kata nak cari boyfriend. Tapi dah dapat, reject pula!” Zaimah pula menyampuk.
“Agak-agaklah kalau nak cari boyfriend pun. Terang-terang dia dah ada awek dekat sebelah, siap bagi bunga, lelaki macam tu ke aku nak jadikan boyfriend? Dahlah muka macam budak kecik. Eii... tak payah... tak payah.”
“Alah, jadi boyfriend palsu pun apa salahnya. Dapat juga selamatkan diri kau tu daripada amaran mama kau tu.” Zaimah memberi idea.
Senyap. Tiada jawapan daripada Sasha Amira selepas itu. Beg tangan yang hampir terlurut dari bahu dibetulkan dua tiga kali. Ish, beg ni pun nak mengada-ngada juga. Habis semua benda dirasakan tidak kena. Berkali-kali suara dia marah-marah sendiri hinggap ke telinga Zaimah dan Intan Nazira. Senyap kawan-kawannya itu tidak menjawab bila angin Sasha Amira makin teruk nampaknya.
Intan Nazira sudah mula susah hati. Mulalah dia fikir macam-macam akal hendak tolong kawannya tu. Boyfriend palsu? Emm... puas Intan Nazira fikir idea yang dilontar Zaimah tadi. 

*******


Kalau tadi cuma sakit hati, sekarang rasa macam nak tercabut tangkai jantungnya apabila suara lembut Puan Damia menyapu telinga.
“Mama masak special untuk makan malam nanti. Ajaklah boyfriend kamu datang makan sekali.”
Sasha Amira pandang ke depan. Puan Raihana sudah lama keluar dari kelas. Lihat pula ke kiri, kanan dan belakang. Boleh dikira pelajar lelaki dalam kelasnya. Azam, Lokman, Hafizi dan Andy. Empat orang saja. Tidak banyak pilihan untuk dijadikan teman lelaki sementaranya, seperti mana akal Zaimah. Puas dia fikirkan idea itu masa kelas Puan Raihana sedang berjalan. Elok juga idea itu tapi siapa lelaki yang hendak dijadikan bidan terjun? Aduh. Melencong jauh otaknya.
Andy, budak dari Kuching Sarawak, suku kaum Bidayuh. Sah-sahlah Sasha Amira kena tolak Andy awal-awal kerana bukan beragama Islam. Nanti tebal telinganya dibebel Puan Damia lagi. Hafizi dan Lokman, dua-dua sudah berpunya. Teman wanitanya pula budak sekelas. Huh, mahukah mereka tolong Sasha Amira? Hai, mesti takut teman wanita punya. Sudahnya, tinggal Azam seorang. Nak, tak nak, nak, tak nak?
“Emm... tak bolehlah mama. Dia busy orangnya. Nak ajak tiba-tiba macam payah pula.” Akhirnya dia memberi alasan untuk mengelak. Dia tidak mahu jadikan sesiapa sebagai teman lelaki. Tak kiralah Azam, Hafizi, Lokman mahupun Andy. Huhu bak kata orang Perak, tak sior teman!
Busy ke alasan aja tu?”
Aduh. Sebiji lagi peluru bolos masuk ke dalam kepala rasanya. Macam tahu-tahu saja Puan Damia yang Sasha Amira kelentong. Parahlah Sasha Amira hendak cari alasan.
“Betul mama, bukan alasan semata. Nanti Sasha ajaklah dia bila dia free, Sasha beritahu mama ya bila dia nak datang. Sasha ada kelas lagi ni, mama. Sasha letak telefon dulu tau. Assalamualaikum.”
Lantas Sasha Amira menarik nafas panjang dan menghempas tubuhnya ke belakang. Fuh, semput! Dah kenapa pula mama asyik bangkitkan hal teman lelaki pula ni? Sampai telefon segala, macam dah buat perangai lama pula. Dulu, masa mama sibuk nak kenalkan Sasha Amira dengan lelaki itu, lelaki ini, selalu juga mama telefon. Kononnya nak ajak makan sama dekat luarlah, nak minta teman shoppinglah. Rupa-rupanya ada udang di sebalik mi! Mama bawa jumpa calon menantu pilihan hati mama.
“Apasal pula ni? Mama kau tanya pasal boyfriend lagi ke?” Tebak Intan Nazira sebarang sebaik melihat wajah muram Sasha Amira yang tidak sudah setelah habis bercakap di telefon. Sebarangan tebakannya namun memang tepat jangkaannya itu. Hanya keluhan saja yang mampu dihempas Sasha Amira sebagai jawapan. “Parah gini, Sha. Kalau macam nilah gayanya, mama kau nampaknya memang desperate nak kau kahwin. Mahu taknya, anak dia dah dekat 30. Nanti lambat kahwin, nak beranak pun payah. Umur dah meningkat ni lagi payah nak pregnant tau, mak aku cakap. Kalau pregnant pun risiko dia tinggi.”
Sasha Amira pandang muka Intan Nazira dengan pandangan kosong. Nafasnya saja yang dihempas bertalu-talu. Sudah mulalah tu syarahan Intan Nazira, hendak menggantikan Puan Damia. Semua cerita pasal kahwin, beranak semuanya keluar dari mulut dia. Lepas tu, nak kaitkan pula dengan umur Sasha Amira. Stres Sasha Amira dengar.
“Alah, kalau susah sangatlah Sasha... kau setuju aja dengan pilihan mama kau tu. Tak payah susah-susah cari teman lelaki pula dalam masa singkat ni. Bukannya buruk benar pilihan mama kau. Lelaki hebat-hebat juga apa!” Zaimah sekali lagi menyampuk, macam biasa.
Huish! Tadinya dia juga yang bagi idea guna teman lelaki palsu. Sekarang nak suruh aku terima pula pilihan Puan Damia. Lalang ke apa budak ni? Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Makin serabut otak Sasha Amira dok fikir semua ni lah!

No comments:

Post a Comment