Gila! Memang kerja
gila! Sehari suntuk dia menunggu dalam kereta di luar kolej di mana Sasha Amira
melanjutkan pelajarannya. Waktu solat, dia merayap mencari surau atau masjid
paling dekat. Bila terasa hendak ke tandas juga ke situlah arah tujuannya.
Kemudian, dia memandu semula ke sini.
Ah! Tak pernah dia
buat semua ini. Selalunya perempuan yang datang kepadanya tanpa perlu
bersusah-payah. Kenapa kali ini dia pula yang bersusah-payah? Tapi seronok juga
begini. Lain sikit perasaannya.
Digit jam di dashbord kereta ditenung sekilas.
Daripada tengah hari tadi tidak nampak kereta milik Sasha Amira keluar dari
perkarangan kolej. Entah-entah gadis itu itu sudah keluar ketika Saif Azrai
beredar ke surau. Tak boleh jadi ni. Dia tidak sedap hati. Kalau benar,
sia-sialah dia menunggu. Sekarang sudah hampir jam empat.
Enjin kereta
dihidupkan. Kia Forte 6-speed miliknya dipandu menghala ke depan pintu pagar
kolej. Seorang pegawai keselamatan berjalan ke arah keretanya. Pegawai yang
sama seperti pagi tadi.
“Assalammualaikum encik.
Boleh saya nak masuk sekejap, jemput adik saya?” beritahunya setelah menurunkan
cermin kereta. Kad pengenalan telah terlebih dulu dihulurkan sebelum diminta. Kali
ini tidak sukar. Tanpa banyak soal, pegawai itu melepaskan.
Sempat Saif Azrai
mengangkat tangan tanda terima kasih. Keretanya dipandu perlahan masuk ke
perkarangan fakulti, tempat yang sama dia pergi pagi tadi. Terus saja dia
menghala ke kawasan parkir yang sama. Melihat MyVi kuning masih di situ,
hatinya belum cukup lega. Dia memandu masuk ke lorong parkir tersebut. Nombor
kereta dilihat lama-lama. Dibandingkan pula dengan gambar dalam Iphonenya.
Emm... sama. Kali ini dia boleh menarik nafas lega.
Lekas Saif Azrai
mencari parkir kosong di sekitar. Paling dekat, semuanya penuh. Berkali-kali dia
pusing dan meronda sekitar kawasan parkir. Habis satu pusingan, dia pusing
lagi. Op... op... op! Ada satu. Tapi jauh sangat. Malas hendak pusing-pusing,
Saif Azrai parkir belakang kereta milik Sasha Amira.
Kereta itu tidak
akan boleh undur selagi keretanya ada di situ. Mestilah dia tahu sama ada Sasha
Amira sudah beredar ke belum. Bijak... bijak.
*******
“Korang...” Sasha
Amira memanggil dengan muka monyok. Dagunya diletak atas meja sambil
meluncurkan kedua belah tangannya ke depan. Intan Nazira dan Zaimah yang sibuk
mengemas beg setelah tamat kelas sekadar menyahut. Teman-teman sekelas yang
lain juga sibuk mengemas. Riuh bila semuanya berpusu-pusu menghala ke pintu.
“Ha, ni kenapa muka
macam tapai pula ni? Mama kau tanya pasal boyfriend
kau tu?”
Makin panjang
muncung Sasha Amira bila telahan Intan Nazira tepat sekali. Lambat-lambat dia
mengangguk. Intan Nazira duduk semula di depan meja Sasha Amira. Kerusi
didekatkan ke depan kawannya itu.
“Paling teruk lagi,
mama aku dah buat syarat suruh kenalkan calon suami pada dia sebelum hari jadi
aku tahun depan. Kalau tak, aku kena kahwin ikut pilihan mama.” Muka Sasha
Amira makin monyok. Dia merengek bagai anak kecil namun air mata tidak setitis
pun keluar dari kolam mata. Tangan saja menggosok-gosok mata.
Zaimah turut duduk
mendengar cerita. Pasang telinga tanpa mencelah bila Intan Nazira terlebih dulu
mulakan ceramahnya. Keluhan panjang pertama sekali Intan Nazira lepaskan.
“Aku dah agak dah.
Aku dah agak.”
“Apa yang kau dah
agak?” Kali ini Zaimah menyampuk.
“Aku dah agak semua
ni akan jadi. Dua tahun mama dia ni carikan calon suami tapi dia ni tak nak.
Umur dia nak masuk dekad ketiga tahun depan. Mak mana yang tak risau. Eh, mak
aku tu pun dah bising bila abang aku tak kahwin-kahwin. Itu lelaki. Kau ni pula
perempuan. Lagilah mama kau bising.”
“Alah... aku
beritahu kau ni, sebab aku nak jalan penyelesaian. Bukan suruh kau pun membebel
dekat aku. Telinga aku ni dah cukup penatlah nak dengar ceramah pasal kahwin,
kahwin, kahwin.” Rengeknya disambung semula lalu hempas kepala ke meja kembali.
“Kau carilah boyfriend.” Cadangan Zaimah itu bikin
rengekan Sasha Amira kian nyaring. Nasib baik pelajar lain semuanya sudah
keluar. Tinggal mereka bertiga. Kalau ada orang lain, tak adanya Sasha Amira
hendak tayang perangai hodohnya itu. “Jom. Kitorang teman kau cari boyfriend.”
“Ha?” Intan Nazira
yang terkejut dek cadangan Zaimah. Tiba-tiba saja mengajak. “Nak ke mana?
Program cari jodoh ke? Nak jumpa agen cari jodoh?”
“Tak payah
susah-susah sampai nak buang duit bayar agen untuk cari jodoh. Jalan-jalan
dekat shopping mall pun boleh dapat
teman juga.”
Intan Nazira
melopong. Mengarut. Memang mengarut cadangan Zaimah. “Hei! Kau nak tayang kawan
kau ni, pegang sepanduk yang tulis ‘siapa nak kahwin dengan saya’ ke? Low class betul!”
“Jalan ajalah. Tak
payah nak sepanduk. Ish, jom ajalah. Kalau kau tak mahu ikut, kau duduk rumah
baca buku.” Zaimah tarik tangan Sasha Amira. Dia cuba pujuk kawannya itu dan
mengajak seperti rancangannya. Kalau tak dapat teman hidup pun, dapat tenangkan
hati sekejap jadilah. Tak adalah Sasha Amira merengek macam budak kecil dekat
sini sampai malam.
*******
“Kan aku dah suruh
kau ikut aja requirement yang dia
tulis. Saja nak kacau aku.”
Tidak sabar Izi
Helmy hendak baca satu per satu. Pening, sakit kepala. Entah apa lagu perkataan
yang biasa mengungkapkan keadaannya sekarang. Perut lapar pun terpaksa
dibiarkan. Kerja yang lain pun bertimbun sama. Adoi!
“Helo kapten. Aku
bukan setakat nak minta tolong kau la. Malam nanti aku belanja makanlah.
Kebetulan nak ajak Aina sekali dinner
nanti.”
Amboi. Hendak makan
malam dengan buah hati sendiri pun hendak berteman sepupu? Atau saja hendak
tayang buah hati depan sepupu. Saja nak tunjuk yang dia tengah bahagialah tu.
Tak apa... sekejap lagi, aku pula akan tayang buah hati lagi cun depan kau.
“Ha, yalah. Yalah.
Kejap lagi aku datang.” Talian diputuskan lagi. Saif Azrai menjengah ke luar
jendela. Masih belum nampak bayang Sasha Amira akan muncul. Sekarang sudah
hampir enam petang. Berpeluh dia menunggu walaupun angin penghawa dingin
menyerbu segenap ruang dalam kereta itu.
Hai, solat Asar pun
belum lagi ni.
Tok! Tok! Tok!
Oh nenek aku!
Sepantas kilat Saif Azrai menoleh ke sebelah bila cermin keretanya diketuk dari
luar. Baru saja hendak betulkan tempat duduk untuk beredar. Sudah diterjah
hingga hampir jantungnya gugur dek terkejut. Ingat tadi nak juga hembur amarah
dua patah kata. Nasib baik cik adik cantik punya kerja, tidak jadi hendak
tayang marah.
“Encik boleh tolong
alih kereta? Saya nak keluar...” ujar gadis tinggi lampai dengan rambut panjang
paras pinggang. Mahu saja dia tegur, cantik rambut. Macam model syampu. Tapi,
eh? Jari telunjuk gadis tadi menunjuk ke arah MyVi kuning yang dihalang Saif
Azrai.
“Ni kereta awak
ke?” Terpacul pula soalan itu dari mulut Saif Azrai. Serentak gadis itu
berkerut sekejap dan terus menangguk.
Aik! Aku tunggu
salah kereta ke? Saif Azrai capai Iphone. Gambar nombor pendaftaran kereta yang
diambilnya pagi tadi ditenung selang-seli dengan nombor plat kereta gadis itu.
Sama. Dia tenung pula muka pemilik kereta itu lama-lama. Kalau tak silap, bukan
gadis itu yang dijumpanya semalam. Hai, pagi tadi macam nampak muka dia. Siap
manis bertudung. Pelik... pelik. Aku ni dah angau ke?
Pon!
Oh nenek aku! Saif
Azrai menoleh lagi. Gadis tadi sudah berada di keretanya. Mulutnya memekik
minta Saif Azrai berundur sambil sebelah tangannya dihayun ke kiri
berkali-kali.
Amboi. Main kasar
pula dia. Rungut Saif Azrai sendiri. Baru saja ada hati hendak mengayat sebaris
dua. Langsung tidak jadi. Duduknya dibetulkan. Enjin kereta dihidupkan semula.
Laju keretanya dipandu meninggalkan kereta MyVi kuning itu. Dari cermin sisi,
dia menjeling kereta itu lagi.
Harap muka aja
cantik. Garangnya, masya-allah.
Di pondok
keselamatan, pegawai keselamatan sudah bertukar orang. Fuh, selamat. Tidaklah
dia kena menjawab kerana ‘adik’nya tiada di sisi sekarang.
No comments:
Post a Comment