Sejak selesai
mengerjakan solat Subuh tadi, Saif Azrai duduk membaca sambil bersandar ke
kepala katil. Escape From Camp 14 karya penulis ternama Blaine Harden, makin
dibaca makin menarik. Khusyuk jadinya dia menghayati perjalanan hidup seorang
rakyat Korea Utara, Shin Dong Hyuk yang dibesarkan di sebuah kem dipanggil Camp
14. Kehidupan yang dilalui watak itu sangat dahsyat dan tidak tergambar oleh
orang lain. Bagaimana Shin melihat keluarganya terseksa dan akhirnya dihukum
bunuh di depan matanya sendiri. Ya Allah. Hati Saif Azrai tersentap seketika.
Menarik. Itu yang
tergambar di fikiran. Dua tiga hari lepas dia menerima buku ini dari pengedar
luar negara setelah Ramous, ulat buku merangkap kawannya ketika belajar di UK
dulu memperkenalkan buku itu padanya. Baru sekarang dia luangkan masa. Memang
berbaloi. Tidak sabar rasanya hendak mengikuti kisah seterusnya. Apa
agak-agaknya ya. Berjayakan Shin melarikan diri? Atau dia terus tinggal dalam
kem tersebut? Emm... terujanya hendak tahu pengakhiran cerita. Dia membelek
helaiannya yang masih berbaki. Cuma tinggal separuh saja lagi.
Kalau baca ending aja terus, aci tak? Detiknya
dalam hati. Iphone di sebelah dicapai seketika, melihat waktu sekarang. Masih
awal. Rasanya sempat dihabiskan pembacaannya sebelum ke tempat kerja.
Tok! Tok!
Terhenti bacaannya
serentak ketukan pintu dari luar. Dia menoleh dan menanti daun pintu itu dikuak
oleh pemilik suara yang memanggil di luar.
“Azrai dah bangun
ke?” Muncul muka Hajah Kistina terjengul dari balik pintu.
“Dah, mama. Kenapa,
ma?” jawabnya sambil membetulkan duduk sedikit. Bantal yang mengalas di
pinggang ditengakkan pula hingga ke atas, mengalas sampai ke bawah tengkuk.
Matanya memandang sekejap-sekejap ke huruf-huruf yang tercetak atas buku. Berselang-seli
dia memandang Hajah Kistina. Seketika, tilamnya terasa bergoyang. Hajah Kistina
sudah duduk di hujung kaki. Saif Azrai menarik kakinya dan kemudian duduk
bersila.
“Ada apa, ma?”
ulangnya lagi, musykil. Pesan mama berkenaan Sasha Amira semalam tiba-tiba
terngiang-ngiang di telinga.
“Mama suka sangat
kalau kamu cuba rapat dengan dia dulu.”
Emm... bila
dihitung semula, kalau setakat kenal tak jadi masalah. Cuma nak rapat tu yang
payah. Malu-malu kucing macam Qayreena. Tapi ayatnya pedas boleh tahan. Adakah
patut dikatanya Saif Azrai beli ijazah. Susah payah orang belajar, boleh dia
tuduh begitu. Okeylah, Saif Azrai mengaku. Memang dibeli ijazahnya itu tapi
dengan keringat, usaha dan doa! Uish perempuan ni... Tapi bila dikenang-kenang
rupa gadis itu bila mencerut semalam, comel juga. Hai, takkanlah Saif Azrai
hendak lepaskan merpati comel itu pergi macam itu saja. Mestilah dia cari
peluang untuk kurungnya di dalam sangkar.
“Papa kamu minta
mama pesan. Kalau nak ikut papa ke pejabat, siaplah cepat. Papa dah nak
keluar.”
“Awalnya papa nak
keluar hari ni, ma.”
“Emm... papa kamu
ada meeting dengan Pak Cik Hairol
kamu. Dalam internet tu... alaa, apa ke namanya tu yang kita boleh cakap dan
tengok muka orang tu dalam komputer...” Hajah Kistina menekan-nekan kepala
dengan jari, cuba mengingatkan pesanan suaminya tadi. Entah nama apa yang Haji
Rauf kata tadi, puas dia mengingatkan. Payah benar hendak menyelak ingatan
kurang sepuluh minit tadi.
“Skype?”
“Ha betul la tu
kut. Skip? Sekaip? Tak tahulah mama macam mana nak menyebutnya.” Saif Azrai
tersenyum-senyum melihat lagak Hajah Kistina. “Kalau kamu nak ikut papa,
bersiaplah.”
Diam. Saif Azrai
berfikir-fikir. Awal pula Haji Rauf pergi kerja hari ini. Lebih awal dari
selalu. Langit di luar juga belum sempat terang. Masakan hendak Skype meeting pun awal-awal pagi? Buku
yang baru separuh dia baca tadi dijeling sejenak.
“Emm... tak apalah,
ma. Azrai telefon Izi nanti minta tolong dia datang jemput.”
Hajah Kistina
mengulum senyum dan menganggukkan kepala. Perlahan-lahan Hajah Kistina bangun
meninggalkan kamar anak bujangnya. Sebaik Hajah Kistina menghilangkan diri,
Saif Azrai mencapai Iphonenya. Nombor Izi Helmy lekas dihubungi.
Hampir sepuluh saat
dia mendengar bunyi talian disambungkan, senyap tiba-tiba. Putus. Aik! Line pun tak belum warm up lagi ke pagi-pagi ni? Detiknya dalam hati. Lantas dia
bangun dan berjalan ke tepi jendela. Telefonnya diangkat tinggi lagak mencari
isyarat.
Huh! Dah macam
pakai handphone cikai pulak! Getusnya
lagi.
Nombor Izi Helmy sekali
lagi dihubungi. Kali ini bunyi suara yang didengarnya tadi lebih lama. Seketika
ada suara mamai yang menyambut. Oh, sedap melayan mimpi lagi rupanya sepupunya
itu. Emm... masa inilah hendak membalas sindiran Izi Helmy semalam.
“Bertuah punya
anak. Matahari dah nak muncul dekat luar, kamu tak bangun lagi? Solat subuh ke
tak tadi?” Marah Saif Azrai lagak suara Encik Hairol. Dapat didengar
suara-suara kalut Izi Helmy selepas itu. Mesti baru hendak buka mata luas-luas,
melihat jam di tepi katil atau mendongak melihat langit di luar tingkap.
“Kejap ayah...
orang nak pergi solatlah ni...” Kalut suara Izi Helmy menjawab. Kemudian talian
terus diputuskannya. Berderai tawa Saif Azrai serta-merta. Makin lama makin
besar gelaknya, bagai hendak pecah perut. Kalau dapat dia lihat respons Izi
Helmy tadi depan mata, mesti lebih seronok. Kelakar. Mesti lintang-pukang dia
berlari ke bilik air untuk mengambil wuduk. Entah-entah terlanggar sana
terhantuk sini. Haha. Padan muka dia!
Brit! Brit!
Aik! Cepat-cepat
Saif Azrai melihat nama pemanggil di skrin Iphone. Ingatkan Izi Helmy yang
solat gajah itu yang menelefon, hendak marah-marah bila dia sedar dirinya
dipermainkan Saif Azrai. Tapi nama lain yang muncul.
“Helo,
assalamualaikum makcik.” Panggilan itu dijawab.
“Waalaikummusalam.
Azrai, minta maaflah makcik ganggu kamu pagi-pagi ni. Makcik nak minta kamu
tolong sekali lagi boleh?” Kedengaran suara Puan Damia bagai berbisik di hujung
talian.
“Tak apa, makcik.
Ada apa yang boleh saya tolong makcik?”
Hai, sopan sungguh
budak ini. Getus hati Puan Damia dalam diam. Makin suka Puan Damia pada Saif
Azrai. Memang sudah diletaknya lelaki itu sebagai calon menantu nombor satu
dalam carta.
“Boleh kamu tolong
hantar Sasha ke kolej lagi hari ni? Makcik terlupa pula mana makcik sorokkan
kunci dia semalam.”
Saif Azrai terdiam.
Bukan hendak menolak, tapi dalam keadaan sekarang dia sendiri tidak berkereta.
Terpaksa menumpang orang. Hai la nasib. Tapi entah bagaimana dia hendak
jelaskan kepada Puan Damia. Dia menyusun ayat.
“Minta maaflah,
makcik. Bukan tak boleh, tapi kereta saya accident
petang semalam. Masih dekat bengkel lagi.”
“Accident?!” Bergema suara Puan Damia
hampir menjerit. “Kamu accident
semalam tak apa-apa ke? Teruk?”
“Tak ada apa,
makcik. Sikit aja. Tapi kalau saya nak tolong temankan Sasha sampai ke kolej
dengan teksi, boleh juga.” Teringat kata-kata Hajah Kistina, dia membuat
tawaran itu.
“Eh, tak apa... tak
payah susahkan diri kamu. Kalau macam tu, makcik minta tolong pakcik aja nanti.
Maaflah ya, Azrai. Assalamualaikum.” Lembut Puan Damia memutuskan talian.
Berdebar-debar jantungnya mendengar berita lelaki itu kemalangan. Hai, bakal
mak mertua mana yang tidak risau. Risau calon menantunya itu jadi apa-apa
sedangkan hati sudah berkenan hendak dijadikan menantu.
Brit! Brit!
Baru habis bercakap
dengan Puan Damia, Iphonenya sekali lagi bergetar serentak berbunyi
berkali-kali, minta dijawab panggilan yang masuk. Kali ini daripada Izi Helmy.
Alamak! Mesti Izi Helmy sudah tahu dia yang menyamar sebagai Encik Hairol. Saif
Azrai tidak mahu jawab. Tapi kalau tidak dijawab, bagaimana hendak dia minta
tolong sepupunya datang jemput nanti? Satu nafas panjang ditarik
perlahan-lahan. Lambat dia menjawab panggilan Izi Helmy.
“Hampeh punya
sepupu!” Terus saja suara garau Izi Helmy menerjah gegendang telinga. Nadanya
geram. Saif Azrai pula bukannya takut tapi dia sudah tertawa halus.
Membayangkan reaksi Izi Helmy yang tidak dapat dilihatnya depan mata, hatinya
tetap rasa lucu.
“Mati-mati aku
ingat ayah aku yang telefon. Nasib baik aku tak tertelefon ayah aku balik tadi.
Ish...” Suara Izi Helmy kedengaran geram. Menyeringai agaknya Izi Helmy
menayang gigi taringnya. Tawa Saif Azrai pula makin kuat mencucuk-cucuk liang
telinga. Kalau di depan mata, memang sudah dicekik batang leher Saif Azrai.
Macam waktu kecil-kecil dulu. Pantang bergaduh, mereka pasti buat aksi WWF.
Walhal masa kecil dulu bukannya pernah tengok program WWF tu.
“Oh, anak ustaz
merangkap bakal menantu ustaz ni pun solat subuh tunggang-terbalik? Ayam pun
dah lama berkokok, kau masih terbongkang atas katil buat air liur basi!”
Selorohnya bersama sisa tawanya yang tidak henti-henti.
“Mana ada ayam
dekat rumah aku ni!”
Tawa Saif Azrai
bergema lagi. Suka hatinya bila Izi Helmy marah. 1-0! Alah, macamlah tak biasa.
Sejak dari kecil lagi mereka memang rapat. Bertekak, bergurau itu cuma lumrah.
Siapa lagi pandai bercakap, dialah yang menang. Sekejap Saif Azrai menang,
sekejap Izi Helmy pula yang menang. Pemenangnya pun bukannya dapat apa. Cuma
kepuasan dan hubungan mereka jadi lebih akrab. Kalau bertumbuk pun, bukannya
betul. Janji tak sampai putus saudara!
“Kau kacau aku
pagi-pagi ni, kenapa?” Soal Izi Helmy tidak tahan. Asyik mendengar suara tawa
sepupunya, bergetar jantungnya ini. Getaran dek gemuruhnya mendengar teriakan
Encik Hairol palsu tadi juga masih belum surut.
“Aku bukan nak
kacau, cuma tolong kejutkan subuh aja!” Tempelak Saif Azrai lagi berseloroh.
Tawanya tadi ditahan-tahan bila mendengar rengusan Izi Helmy. Adoi. Nak minta
tolong orang, mengutuk lagi. Nanti orang tak mahu tolong padan muka aku.
“Kau datang jemput
aku dekat rumah nanti boleh. Kereta aku kan masuk bengkel.”
Izi Helmy mencebik.
Oh, pandai nak minta tolong orang. Ah, sudah, sudah. Semalam berpeluh aku
tunggu dia, dia bukannya tau nak telefon lepas dah balik naik teksi. Lepas dah
sakat aku cukup-cukup pagi ni sampai tak cukup nafas aku berkejaran, ada hati
nak minta tolong aku pula.
“Sorry la bro. Jalan jam la pergi
rumah kau tu. Nak pergi pejabat nanti, dah dua kali jam. Kejang kaki aku.”
Ek’eleh. Mamat ni
pun... nak kejang apa kalau guna kereta auto. Alasanlah tu.
“Lagipun, aku nak
singgah bank dulu nanti. Nak bayar loan!”
Ah, itu semua
alasan. Nak bayar loan pun sekarang
dah boleh buat secara online. Saja
nak balaslah tu.
“Okeylah, bro. Aku nak mandi. Nanti lambat keluar,
jalan jam teruk!”
Talian putus. Tidak
sempat Saif Azrai hendak mencelah, tidak diberi langsung peluang. Dia cuma
sempat merenung telefonnya sambil mencebik setelah talian diputuskan Izi Helmy.
“Hampeh punya
sepupu. Boleh dia matikan call macam
tu aja. Tak apa... tak apa. Lain hari, aku balas balik.” Ngomelnya sendiri.
“Kalau tak bagi cakaplah awal-awal. Papa... pada dah pergi ke?” Kelam-kabut
Saif Azrai keluar mencari Haji Rauf. Terus saja dia berlari ke bilik orang
tuanya. Mujur Haji Rauf masih belum keluar. Dia mengetuk pintu seraya
memanggil.
“Papa...”
Tersengih-sengih dia memandang Haji Rauf yang sedang menyarung stokin ke kaki.
*******
“La... kalau kunci
hilang, spare key kan ada.” Encik
Rahim sudah terkocoh-kocoh menyusun fail-fail nipisnya ke dalam beg. Nasi
goreng yang dihidang Puan Damia hanya mampu dipandang. Secawan kopi saja sempat
dinikmati agaknya.
“Itulah masalahnya,
bang. Spare key pun saya yang simpan.
Lupa pula dekat mana saya letak.”
Mendengar jawapan
Puan Damia, Encik Rahim menggeleng. Itulah isterinya. Apa saja benda kecil yang
disimpan, semuanya tidak ingat tempatnya. Surat beranak pun satu. Berkeras Puan
Damia mahu simpankan walaupun masing-masing sudah besar panjang. Sampai masa
anak hendak kahwin, satu rumah terpaksa dibongkar semata-mata untuk mencari
sekeping dokumen. Tidak cukup sekali, selepas Suhana Azreen, giliran Zafuan
pula. Sekali lagi lelah mereka mencari. Nasib baiklah sijil nikah mereka, Encik
Rahim yang simpan. Lepas dua kali kes mencari surat beranak itu, terus saja
Encik Rahim serahkan surat beranak Sasha Amira kepada tuan badannya sendiri.
Kalau hilang juga, ha, samalah tu emak dengan anak.
“Alah, hantarlah
dia kejap bang. Bukannya jauh sangat.”
Encik Rahim melihat
jam di tangan. Dia ada banyak hal yang perlu diuruskan hari ini. Pagi-pagi lagi
hendak memeriksa stok yang sepatutnya perlu dihantar ke syarikat penerbit ABC
Enterprise. Pekerja di kilangnya bukannya ramai. Tidak sampai lima orang. Sebab
itulah dia sendiri perlu menguruskan banyak perkara.
Tidak mahu
melengahkan masa, Encik Rahim terus mengerah. “Mana Sashanya? Suruh dia cepat
sikit. Saya dah lewat ni.” Jam di tangan ditunjuk-tunjuk dengan jari. Sengaja
hendak tunjuk pada Puan Damia yang suaminya ini memang sibuk. Bukan pura-pura.
Tapi hal anak punya pasal, terpaksa dia beralah. Kalau tidak diikutkan, keluar
lagi idea gila isterinya mahu mengupah pemandu peribadi untuk anak bongsu
mereka itu.
Puan Damia
terkial-kial berlari naik ke tingkat dua. Pintu bilik Sasha Amira diketuk
serentak memanggil nama anaknya itu berkali-kali. Tidak bersahut. Tombol pintu
dipulas, lalu terbuka. Tidak berkunci rupanya.
“Subhanallah.” Puan
Damia mengucap panjang. Tanpa buang masa, dia meluru ke arah anaknya yang masih
berselubung di bawah selimut. “Sasha... bangun cepat. Sasha,” kejut Puan Damia
berkali-kali. Tubuh Sasha Amira digoncang kuat.
“Hmmm...”
Terpisat-pisat Sasha Amira bangun. Tangan menggosok-gosok mata yang malas
hendak dibuka.
“Cepatlah. Papa
hantar kamu pergi kolej. Papa nak lekas tu. Cepat bersiap.” Suara Encik Rahim
mengerah dari bawah. Gelisah Puan Damia dibuatnya. Mana tak gelisah. Suami
hendak cepat, anak pula baru terpisat-pisat hendak bangun. Anak dara ni,
bukannya reti nak bangun pagi. Bangun sekejap solat subuh, lepas tu tidur
semula. Tak elok tidur lepas subuh ni.
“Cepatlah bangun,
Sasha. Papa dah bising tu.”
“Kelas lambat
lagilah mama. Nanti Sasha pergi sendirilah naik teksi.”
“Eh, jangan nak
mengada-ngada naik teksi. Bahaya. Mama tak benarkan. Mama dah beritahu papa.
Papa nak hantar tu. Cepat bangun.” Peha Sasha Amira ditepuk. Tangan Sasha Amira
ditarik supaya bangun dari katil. “Cepatlah sikit. Apa anak dara malas sangat
ni?”
Didorongnya pula
tubuh Sasha Amira menuju ke bilik air. Suara Sasha Amira yang merungut tanpa
butir yang jelas tidak dipedulikan Puan Damia. Lekas dia memintas.
“Apa salahnya pergi
kolej awal sikit. Bukan senang papa kamu tu nak hantar. Papa tu sibuk, cepat
sikit mandi tu.”
Pap! Pintu bilik
air tertutup.
“Jangan tidur dalam
bilik air tu!” Jeritan Puan Damia bergema lagi bersama ketukan tangannya ke
daun pintu. Kemudian Puan Damia pula yang sibuk mencari baju untuk anaknya. Beg
Sasha Amira juga dikemas sama. Sudah serupa ibu yang menyiapkan anak sekolah rendah
pula.
*******
Tergesa-gesa Saif
Azrai bersiap. Selesai menyarung pakaian ke tubuh, disapu pula gel rambut
berkepuk. Tidak perlu sikat. Jarinya saja digunakan untuk membentuk gaya yang
diingini. Akhir sekali, tidak boleh lupa wangian Burberry Sport disembur ke
tubuh. Itu harus. Selesai semuanya, dia sambar barang yang perlu dan berlari
turun ke bawah.
Haji Rauf sudah
menanti di meja makan. Tenang Haji Rauf menunggu walaupun awalnya tadi kata
sudah terlewat untuk skype meeting
dengan Encik Hairol.
“Sorry, papa. Terlewat sikit. Air shower kecil pula pagi ni. Baru nak warm up agaknya.”
Tersungging senyum
di bibir Haji Rauf mendengar alasan anak bujangnya. Tidak ketinggalan Hajah
Kistina lebih lebar senyumannya.
“Minum dulu,” ajak
Hajah Kistina lalu menghulurkan secawan teh yang baru dituangnya ke depan
kerusi kosong setentang dengan Haji Rauf.
Saif Azrai tidak
sempat duduk. Teh secawan terus diteguk hingga habis. Haji Rauf geleng kepala
melihat.
“Kalau ya pun,
duduklah dulu. Tak elok makan minum berdiri.”
Saif Azrai cuma
tayang sengih bila Haji Rauf sudah menegur. Itu baru sikit. Kalau Encik Hairol,
bakal keluar bermacam hadis mahupun potongan makna surah yang menyokong
tegurannya. Hehe... salah tetap salah kan.
Dari Anas ra, sesungguhnya nabi Muhammad s.a.w melarang
minum berdiri.
Itu antara hadis
yang paling Saif Azrai ingat, pesan Encik Hairol masa dulu-dulu. Tapi itulah,
namanya manusia... kadang-kala kita cuma pandang enteng terhadap hal yang konon
remeh.
Banyak yang Encik
Hairol terangkan dulu. Bukan setakat hadis-hadis, tapi juga secara saintifik.
Tapi emm... macam itulah. Kecil lagi masa tu, degil. Masuk telinga kanan keluar
semula ikut telinga kiri.
“Jomlah, papa. Papa
kata ada meeting dengan Uncle Hairol.” Saif Azrai pula yang
mengajak Haji Rauf keluar segera. Tangan Hajah Kistina dikucup mendahului
papanya untuk berjalan ke kereta.
Haji Rauf tetap
tenang. Mesyuarat atas talian dengan Encik Hairol tidak dijangka akan mengambil
masa yang lama. Hal yang hendak dibincangkan hanyalah perihal usul anak mereka
yang dibacanya semalam. Nampak gayanya, dua anak muda itu bercadang untuk
mengembangkan sayap ke bidang reka bentuk bangunan baru, sejajar dengan
kelulusan mereka. Mungkin joint venture
dengan syarikat kontraktor lebih besar selepas ini. Elok benarlah rasanya. Jika
Encik Hairol juga bersetuju, bolehlah budak berdua itu bentangkan dalam
mesyuarat nanti. Cuma tergesa-gesa hendak ke tempat kerja kerana mahu mengejar
masa Encik Hairol yang katanya dijadualkan akan berangkat ke Kedah pagi ini
untuk memantau kontrak mereka di sana.
*******
Huahh!
Sasha Amira menguap
beberapa kali. Matanya rasa terkebil-kebil dari tadi. Huahh! Menguap lagi.
Mengantuknya mata, walaupun sudah lelap dekat setengah jam dekat pantri tadi.
Namun, lenanya tersentak bila telefon miliknya berdering nyaring. Lupa pula
hendak ditukar mod silent.
Nombor tidak
dikenali. Langsung Sasha Amira tidak menjawab. Simbol telefon berwarna merah
pada skrin ditolak ke kiri. Senyap semula. Dia cuba lelap semula, tapi tidak
mahu pula matanya lelap lagi selepas itu. Ada bunyi bising yang mengganggu. Dia
pandang keliling. Beberapa orang pelajar yang ada di dalam situ semuanya nampak
sibuk makan. Ada pula dua orang yang rancak benar berborak sampai tak kesahkan
keliling. Bising betul. Kerana itu, dia keluar meronda-ronda. Mencari tempat
lain untuk membuang masa. Kebetulan kelas yang bakal digunakan kuliahnya nanti
ini kosong. Dia duduk termenung. Tanpa seorang pun di sisi. Hanya bertemankan
buku nota dan pen. Sekarang, matanya terasa kantuk semula.
Lantaran itu jarinya
menggerakkan pen, menulis sesuatu di atas kertas. Penuh kertas itu dicoret
luahan hati. Nak jumpa ke tak? Jumpa ke tak? Itulah ayat yang berulang-ulang
dicoretkan atas kertas. Risau dia memikirkan tentang kertas ujian semalam.
Tidak tenang dia dihantui rasa risau.
“Fuiyo! Awal kau
hari ni!”
Berderai lamunan
Sasha Amira dek sapaan itu. Berakhir juga sesi luahan hatinya bersama cik pen
dan kertas. Ditolehnya ke sebelah. Dia boleh nampak Intan Nazira masuk ke kelas
bersama Zaimah dari jauh.
Tiada senyuman yang
mampu Sasha Amira ulit, seperti hari-hari biasa di mana wajahnya ceria melihat
teman-teman rapatnya itu. Riaknya hari ini kosong. Tawar tanpa perasa. Cuma
menguap sekali sekala. Kertas yang penuh dengan coretan hati perlahan-lahan direnyuk
dan digenggam dalam tangan. Kemudian diletakkan kepala di atas meja, beralaskan
lengan. Monyok lagi.
“Apa hal ni? Datang
bulan ke?” Intan Nazira menghenyak punggung di sebelah Sasha Amira. Kawannya
itu diam lagi.
Wajah Intan Nazira
ditoleh sekejap, kemudian mengalih semula kepalanya ke posisi tadi. Muncung
ditarik ke depan.
Datang bulan apa
kalau baru aja lepas dua minggu. Apa kerja asyik nak datang bulan aja! Getus
Sasha Amira dalam hati.
“Eh, kenapa dengan
dahi kau tu?” Intan Nazira menyoal lagi bila tegurannya sejak tadi sekadar
dijawab dengan kebisuan Sasha Amira. Tangan Sasha Amira meraba dahi. Namun
masih tiada sepatah jawapan yang keluar dari mulut kawannya itu. Ada simpan
emas pula agaknya dalam mulut dia. “La, yang senyap aja dari tadi ni kenapa?
Suara kau dah hilangkah?” Intan Nazira meletak pula tangan di dahi Sasha Amira.
Lama sikit. Sebelah tangan lagi diletak di dahi sendiri. Tak panas pun.
Ingatkan tadi sakit tekak.
“Papa aku yang
hantar aku tadi.”
“Ha?” Intan Nazira
dan Zaimah menyoal serentak. Tidak mengerti. Mana orang hendak faham butir
katanya kalau sudah suara merungut macam langau.
Sasha Amira
menghempas nafas halus sebelum mengulang ayatnya tadi. “Papa aku yang hantar
aku tadi. Sebab tu datang awal!” Tekannya hendak tak hendak lalu terus
mengangkat muka.
“Eh, nanti kau
tolong hantar aku balik, boleh?” ajunya pula kepada Intan Nazira. Tangan Intan
Nazira digenggamnya sambil menayang muka meminta belas ehsan.
La kenapa pula
budak ni? Terkebil-kebil mata Intan Nazira melihat perangai kawannya itu. Siap
tayang mata baby doll pula dia. Hai,
lemah betul la macam ni.
“Eh, bagi ajalah.
Kesian kat kawan...” Zaimah menyinggung lengan Intan Nazira serentak membela
Sasha Amira.
“Boleh tu memang
boleh. Ada aku kata tak boleh ke?” Mata Intan Nazira menjeling pula ke arah
Zaimah. “Mana pergi kereta kau?” soalnya pula kepada Sasha Amira. Hairan juga.
Tidak pernah-pernah Sasha Amira hendak tinggalkan ‘baby’ dia dekat rumah. Sejak dia terima kereta itu sebagai hadiah
hari jadi daripada mamanya tahun lepas, ke sana ke mari mesti hendak dibawa
kereta itu. Dihantar salon merangkap bengkel mencuci kereta dua minggu sekali. Polish sebulan sekali. Dihias kereta itu
sudah serupa kamar tidurnya. Bantal, teddy
bear semuanya ada. Permaidani lembut pula dialas atas dashboard. Sehari tidak jumpa, sudah merindu... lebih kurang
muncung macam sekarang nilah.
Sasha, Sasha. Kalau
kau angau macam ni dekat kekasih ada juga faedahnya. Taklah mama kau susah hati
nak tengok kau kahwin.
Muncung Sasha Amira
dilihatnya kian panjang ke depan. Tubuhnya sudah dihenyak ke kerusi. Tangan
bermain semula dengan cik pen, dipusingkan sekali dua. Menconteng nota dengan
sepatah dua kata yang terlintas di fikiran.
“Kunci aku
hilang...” beritahunya sama seperti yang ditulisnya atas kertas.
“Macam mana boleh
hilang?”
Diam. Sasha Amira
tidak menjawab soalan Zaimah itu. Dia muncung lagi. Tidak perlu rasanya dia
berikan jawapan. Kalaulah dia tahu... kalaulah dia boleh menyoal kunci itu,
kenapa kau hilang?
Otaknya kembali
memikirkan soal ujian yang terlepas semalam. Risau... risau, risau, risau. Ops,
sudah macam lirik lagu Kalau Cinta dendangan duet Aliff Aziz dengan Joanna
pula. Sedang Sasha Amira masih berkira-kira. Nak pergi ke tak? Nak pergi ke
tak?
Setelah agak lama
berfikir, menimbang itu dan ini, mereka ayat paling boom, dia tekad mahu berjumpa Puan Raihana sekejap lagi. Biarlah
dia merayu, melutut sekalipun, dia mahu menjawab ujian yang dia terlepas
semalam.
Hoho... tolonglah
Puan Raihana. Kasihanilah pelajarmu ini...
*******
“Hello encik bos!
Awal masuk pejabat hari ni!”
Saif Azrai yang
pura-pura sibuk menghadap komputernya menjeling ke pintu sebaik mendengar suara
garau Izi Helmy. Walhal dari masuk kerja awal pagi tadi dengan Haji Rauf, dia
asyik terfikirkan Hajah Kistina, Puan Damia dan tidak lupa tentang Sasha Amira.
Silih berganti tiga wanita itu berlegar-legar di ruang fikiran. Hajah Kistina,
mamanya sudah berkenan dengan Sasha Amira. Puan Damia pula nampak gayanya macam
sudah berkenan dengan dirinya. Tapi macam mana pula hendak memikat si tuan
badannya ni? Sudah tahu dirinya anak orang kaya, sudah nampak muka Saif Azrai
yang sikit punya handsome ni pun dia
macam tak terpikat aja.
Jual mahal aja kut!
“Pecah tradisi bila
bos ‘sedang’ datang lagi awal dari bos ‘kecik’ ni!” sambung izi Helmy menunjuk
ke arah dirinya. Dialah bos kecik dan Saif Azrailah bos sedangnya. Bos besar?
Alah, sah-sahlah Haji Rauf bos besar dekat pejabat ni.
Saif Azrai lempar
lagi jelingan. Kali ini lebih tajam bila Izi Helmy sudahpun duduk di depannya
tanpa perlu dijemput. Sakit hati mendengar suara itu hari ini. Bengkak juga
hati hendak melihat wajah itu. Menyemak aja rasanya. Kalau panahan matanya ini
boleh tikam orang, memang dah dibunuhnya Izi Helmy.
Dahlah ikut suka
mulut dia aja nak panggil orang. Sekejap anak bos, sekejap encik bos. Dah macam
bunyi Prob dalam Boboiboy pula. Sekarang nak main gelar-gelar bos sedang, bos
kecik? Eii... budak ni
“Datang dengan bos
besar, mahunya tak awal!” balas Saif Azrai, juga berseloroh mengikut rentak Izi
Helmy. Tak jadi pula nak marah-marah. Hilang rezeki kata orang kalau pagi-pagi
lagi dah naik angin. Jawapannya tadi itu mengundang pula reaksi selebet Izi
Helmy. Mulutnya dimuncungkan ke depan dengan mata yang sedia terbuntang. Macam
tak percaya. Memang hodoh kalau Izi Helmy tayang reaksi begitu. Macam sotong
kurita! Kalau dia tengok mukanya sendiri depan cermin, sah dia taubat tak mahu
buat lagi.
“Apa cerita bro?
Macam mana kereta kau boleh sampai masuk bengkel? Tak pernah-pernah accident. Cantik sangatkah awek tu
sampai kau angau masa tengah drive?”
Wah! Dia nak sindir
aku lagi ke ni? Baunya macam ya!
“Pergghhh! Memang
lawa habis! Kalau kau tengok, kau pun meleleh air liur punya!” Saja Saif Azrai
hendak menduga hati Izi Helmy. Kalau sudah namanya dulu lelaki karsanova,
bukannya begitu mudah dia nak lepaskan tabiat lama sepenuhnya. Paling kurang
pun, 30% masih merenyam lagi gatalnya.
“Lawa lagi kut buah
hati aku.” Izi Helmy juga tidak mahu kalah. Tidak akan tergoda dengan ujian
Saif Azrai. Walau dalam hati mulalah terbayang cantik mana kekasih baru yang
dikejar Saif Azrai itu. Lebih cantik daripada kekasih Saif Azrai sekarang, miss
Qayreena? Huh, Qayreena itu pun sudah cukup cun!
Tapi mana boleh dia
kalah dengan Saif Azrai. Mestilah dia pun nak menang sama. Seri, tak apa
asalkan bukan tewas. Biar berdesing telinga Saif Azrai mendengar.
“Eleh, nak puji
awek sendiri juga. Hebat betul awek kau tu, ubat apa dia bagi kau makan sampai
kau setia dengan dia dua tahun?”
“Eh, tak mainlah
makan ubat. Tahulah dia kerja doktor, tak payahlah kau nak bersengget macam tu
pula. Sebab dia tu senang dekat tapi susah dapat. Tu yang sayang bagai nak rak.
Selagi tak dapat, selagi tulah aku tak akan lepaskan.”
Huhu senang dekat?
Rasanya nak dekat pun payah. Kalau keluar berdua, mesti ada jarak antara
mereka. Katanya takut ada yang ketiga nanti. Huhu... sedih.
“Kahwinlah, baru
dapat!”
Huh! Ni yang lemah
lutut. Dengar perkataan kahwin itu pun sudah cukup buat dia seriau.
No comments:
Post a Comment