Kereta dipandu Izi
Helmy perlahan sambil matanya memandang sekejap ke kiri dan ke kanan. Kalau
diikutkan arahan GPSnya, memang betullah tempatnya ini. Klinik yang diberitahu
Saif Azrai tadi juga sudah ditemui tapi bayang sepupunya itu pula tidak jumpa.
Masuk kali ini, sudah dua kali dia pusing kawasan itu.
Aik! Tunggu dekat
mana pula sepupu aku ni?
Bibirnya
merungut-rungut sedang mata terus melilau. Kereta Honda City warna silver yang dipandu Aina masih setia
mengekori dari belakang. Kasihan buah hatinya itu. Dia hempas keluhan. Kereta
dihentikan di bahu jalan. Iphone dicapai lalu panggilan dibuat kepada Saif
Azrai.
“Hai, lambatnya
jawab. Cepatlah sikit. Orang dah berpeluh cari dia. Yang dia pula entah pergi
mana. Entah-entah dah pergi dating
dengan awek baru!” Izi Helmy
berceloteh lagi. Panggilan diputuskan bila suara operator yang kedengaran
meminta supaya dia meninggalkan pesanan suara. Serentak dia merengus geram.
Panggilan disambungkan semula. “Kalau tak jawab juga, tak kuasa aku nak tunggu
dan cari lagi.”
*******
“Biar saya bayar.
Saya nak pergi tempat lain pula lepas ni, pakcik. Boleh kira sekali?”
“Ke mana?”
“Ampang.”
“Boleh...” Pemandu
teksi itu angguk kepala mengiakan.
“Pakcik tunggu
kejap ya...”
Saif Azrai ikut
keluar setelah Sasha Amira dilihatnya sudah menghampiri rumahnya. Tangan gadis
itu sempat disambar lagi sebelum dia membuka pintu pagar.
“Awak nak apa
lagi?” bentak Sasha Amira lalu menarik tangannya dari pegangan Saif Azrai.
“Awak tak payah risau. Saya tak akan beritahu mama apa yang jadi tadi. Apa yang
saya akan cakap nanti, saya jatuh tangga sebab dah kelam kabut sangat nak ambil
ujian. Puas hati?”
“Bukan pasal tu.”
Diam. Sasha Amira merenung, menanti seakan memberi peluang lelaki itu
meneruskan cakapnya. Dia juga mahu tahu apa yang bakal keluar dari mulut lelaki
itu. Kata maaf lagi atau loyar buruk dia yang tidak langsung kelakar?
“Nak minta nombor
telefon boleh?”
Ha? Nombor telefon?
Sasha Amira tercengang. Oh, tidak. Tidak! No
way! Selepas Saiful Muslim lenyap dari hidup Sasha Amira, bukan
senang-senang Sasha Amira berkongsi nombor telefonnya dengan orang. Apatah lagi
lelaki. Nombor yang tidak dikenali juga, dengar saja suara lelaki hendak
berkenal-kenalan, ‘Ops, sorry saya
sibuk’, ‘Sorry, wrong number’... dan
bermacam-macam lagi alasan yang direkanya.
Saif Azrai siap
sedia keluarkan Iphonenya. Ops. Baru perasan telefonnya bergegar. Izi Helmy
atas talian. Ah, nantilah. Kacau daun betul mamat ni. Mukanya diangkat semula
mengharap nombor telefon yang bakal diberi Sasha Amira.
“Awak nak buat apa?
Nak main tikam nombor?” Selamba Sasha Amira menyoal sambil membuka pintu pagar.
Langkah dihayun masuk dan kemudian dirapatkan semula pagar itu.
Kali ini Saif Azrai
pula yang tercengang sesaat. Air mukanya lekas-lekas diredakan semula. Buruk
pula tayang muka blur lama-lama depan
bakal kekasih. Nanti sah-sah kena reject!
“Eh, mana ada.
Berjudi tu kan berdosa.”
Huh! Pandai pula dia
bercakap pasal dosa pahala. Sasha Amira buat tidak endah. Tubuhnya dipalingkan
serentak menghayun kaki menuju ke pintu.
“Awak, tak boleh
ke?” Kedengaran suara Saif Azrai memekik. Sasha Amira tidak menjawab. Apatah
lagi menoleh. Langkahnya terus dihayun. Tangan meraba perut beg, mencari kunci
rumah untuk dibuka pintu. “Kirim salam pada mama awak.”
Saif Azrai hempas
keluhan sebaik menyudahkan pesanannya. Bayang Sasha Amira juga sudah hilang
dari balik pintu yang sudah bertutup. Melepas.
*******
Puan Damia yang
sibuk memasak untuk makan malam di dapur lekas bergegas ke depan sebaik
mendengar suara halus memberi salam. Gulai lemak kacang panjang ditinggalkan
sekejap.
“Ha, kamu dah
balik?” Terus saja Puan Damia bertanya bila melihat Sasha Amira yang pulang.
Cepat-cepat tangan anaknya itu ditarik dan dibawa ke ruang tamu. Puan Damia
membetulkan duduk menghadap anaknya itu. Sementara hatinya melonjak-lonjak
tidak sabar.
“Macam mana?” Wajah
Puan Damia nampak beria-ia sekaligus Sasha Amira juga yang mengerut kening.
“Macam mana pula apa
mama?” Dia faham soalan mamanya tadi tapi sengaja pura-pura tidak mengerti.
Mestilah mama bertanyakan perihal Saif Azrai. Itu soalan biasa mama ajukan bila
Sasha Amira bertemu lelaki.
“Macam mana dengan
budak Azrai tu? Kamu ada berbual tak dengan dia?”
Diam.
“Ish, jawablah
soalan mama. Takkanlah kamu tak berbual langsung dengan dia? Kita orang
perempuan ni, jangan nak tunjuk jual mahal sangat. Nanti sampai kerepot, tak
ada orang yang nak.”
Pap! Sebuah
penampar halus dilayang Puan Damia ke lengan anaknya. Sasha Amira biarkan saja.
Ditayangnya muka tidak mengerti sebaik mungkin. Berkerut seribu rasa di dahi.
“Mama dah jumpa tak
kunci kereta Sasha?” Sasha Amira mengubah topik. Malas hendak bercerita tentang
lelaki mahupun jodoh. Hendak fikir tentang semua itu, jauh sekali. Dia letih
sebab cinta. Dia sedih disebabkan cinta. Dia kecewa disebabkan cinta.
“Eh, budak ni.
Orang tanya soalan lain, dia buat cerita lain pula.”
“Alah, ma. Sasha
sakit kepala sekarang ni. Lain kali Sasha cerita ya...” Dia cuba memberi
alasan, dalam masa sama cuba memujuk hati ibu itu agar tidak terasa hati.
Tangannya memegang luka di dahi. Mama ni pun, bukannya nak perasan dahi anak
dia ni dah berbalut. Tentang lelaki tu pula yang mama fikirkan.
“Eh, kenapa dengan
kepala kamu ni?” Baru Puan Damia sedar akan plaster
di dahi anaknya. Dibelek-beleknya sedikit dengan jari. Perlahan Sasha Amira
mengaduh. “Macam mana boleh luka ni?”
“Sasha jatuh tangga
tadi sebab dah terlewat nak ke kelas.” Seperti dijanjikan, alasan itu yang
diberikan pada Puan Damia.
Puan Damia
menggeleng-geleng. “Kamu ni pun, hati-hatilah sikit. Kalau jadi apa-apa, kan
susah. Bukan kamu aja yang susah, mama pun susah hati nanti tau. Papa kamu tu
pun bukannya selalu ada dekat rumah. Malam baru nampak batang hidung. Kalau
jadi apa-apa dekat kamu, masuk hospital ke, kan kesian dekat mama tinggal
seorang dekat rumah.”
“Ish, mama ni. Ke
situ pula. Mama janganlah doa yang buruk-buruk pula untuk Sasha.”
“Hmm... memanglah
mama doakan yang baik-baik. Supaya anak mama yang cantik molek ni habiskan
belajar, jangan nak berhenti lagi. Dan yang paling penting, hati dia ni terbuka
nak kahwin.”
Mencerut muka Sasha
Amira mendengar kata-kata Puan Damia. Kalau Puan Damia sudah buka mulut, hal
kahwin dan jodoh saja yang selalu bergema dari mulutnya.
“Ma, Sasha naik
bilik dulu la ya. Tak sempat solat Zohor lagi tadi.” Sasha Amira pura-pura
lihat jam di pergelangan tangan. Memang dia belum sempat menunaikan solat Zohor
setelah pengsan entah berapa jam. Sekarang, sudah hampir empat petang. Puan
Damia sudah membebel lagi, berleterkan dia yang melengah-lengahkan solat. Sasha
Amira biarkan saja.
“Yalah, ma. Sasha
nak pergi solatlah ni.” Punggungnya diangkat dan berjalan ke tingkat atas.
Selamat juga solat menjadi alasan. Selamat telinganya dari mendengar
soalan-soalan mama tentang Saif Azrai buat masa ini. Lain kali, Sasha Amira
guna pula alasan lain.
*******
“Akhirnya... jawab
pun. Apa cerita ni anak bos? Kau dekat mana sampai aku tak nampak bayang kau
pun dekat area sini? Dah kena sorok dek puteri bunian pulakah?”
Amboi. Amboi.
Amboi. Sedapnya mulut dia bercakap. Gerutu hati Saif Azrai mendengar sindiran
Izi Helmy. Sepupunya itu kalau tidak perli sekali, memang tidak sah. Tak apa,
tak apa. Ada lori, ada bas. Lain kali, aku pula balas!
“Ah, kau lambat
sangat! Aku dah hantar dia balik naik teksi. Parah aku kalau baru tackle dah merajuk ni.”
“Haha! Tulah, kau
ni memang kena belajar skill memikat
hati wanita dulu dengan pro macam
aku. Barulah petik aja dua jari, seratus yang datang!”
Berdesing telinga
Saif Azrai bila suara tawa Izi Helmy menyerbu telinga. Memang nak kena budak
ni. Siaplah dia nanti. Kerja-kerja Saif Azrai banyak lagi yang hendak ditolak
ke bahu Izi Helmy. Baru padan muka dia. Jangan kata nak bercanda dengan si buah
hati, nak bernafas pun tak sempat agaknya!
“Banyaklah kau
punya pro. Kalau kau hebat sangat, kenapa dah lama tak ada awek baru? Taring
dah tumpul ke dah tercabut?”
“Hehe... ni tak ada
kena-mengena dengan taring tumpul ke taring tercabut bro. Ni pasal aku nak
belajar untuk setia.” Izi Helmy sambung gelak. Herot bibir Saif Azrai tersenyum
sumbing mendengar jawapan sepupunya. Macam-macamlah alasan dia. Tidak pernah
hendak mengaku kalah dengan Saif Azrai punya.
“Oh, kalau macam tu
pinang ajalah terus. Buat apa nak simpan lama-lama. Nanti berkulat.”
“Uish! Takkan
pernah berkulat punya. Buah hati aku tu pandai jaga diri. Tapi kalau bab
meminang tu, huhu seriau aku. Bakal bapa mertua tok guru tu bro!”
Kali ini Saif Azrai
pula yang tergelak. Kelakar bila difikirkan. Kaki perempuan akhirnya tertambat
dek anak ustaz. Memang harulah jawabnya. Padan muka kau Izi.
“Aik. Ayah kau tu
pun apa kurangnya. Tak ada ustaz pada nama, tapi gayanya pun dah mengalahkan ustaz.
Ingat masa dulu, aku pun seriau. Kalau bab agama, rotan mesti tak lekang.”
Tawanya bersahut. Kedua-duanya mula mengimbas kenangan lalu. Sewaktu ibu dan
ayah Izi Helmy masih duduk bersama mereka di rumah atuk.
Bila bab mengaji,
lebih seronok belajar dengan atuk ataupun Haji Rauf. Lebih seronok dan lembut
ajarannya. Tapi kalau dengan Encik Hairol, pantang silap sikit sudah berbekas
rotan di tubuh. Izi Helmy yang memang dasarnya tidak boleh menyebut huruf ‘R’
tidak langsung diberi kelonggaran. Asyik hinggap belah rotan itu ke tubuhnya
bila sebutannya tidak tepat. Lepas itu, ada pula latih tubi yang Encik Hairol
ajarkan.
Krurrr... krurrr...
Bunyi dia memanggil
ayam untuk diberi makan. Walhal mereka sekeluarga tidak pernah membela ayam.
Hendak makan ayam goreng pun jarang sekali.
“Aku pun dah on the way nak balik. Jadi, kau pun
sambunglah dating dengan cik adik
manis kau tu,” ujar Saif Azrai sekaligus mematikan saki baki tawa Izi Helmy.
Talian kemudiannya cepat diputuskan. Aik. Tak sudi borak lama dengan sepupu
nampak.
Tapi emmm....
sambung dating. Best juga idea tu. Izi Helmy sependapat. Lantas nombor Aina pula
dihubunginya. Dia menanti sambil mata melirik ke arah kereta Honda City di
belakang melalui cermin pandang belakang. Wajah Aina dalam kereta sana dapat
dilihatnya di situ.
“Helo sayang. Ops,
assalamualaikum my sweetheart.” Ada
tawa di hujung talian diikuti suara lembutnya menjawab salam. “Azrai kata dia
dah nak sampai rumah. Hampeh betul sepupu. Penat aja kita dok tunggu dan cari
dia dekat sini. Dia pula sampai hati tak beritahu kita yang dia dah balik.”
“Emm... tak apalah.
Alhamdulillah dia tak apa-apa. Ingatkan dia dah hilang kena kidnapped ke tadi.”
Suara Izi Helmy
pula bergema. Mengekek dia ketawa. Nampak gayanya, Saif Azrai memang sudah kena
culik. Tapi bukan tubuhnya. Hatinya yang diculik barangkali. Selalunya bila dia
dapat memikat, bukan main bangga lagi dia di depan Izi Helmy. Sekarang, baru nak
masuk line untuk memikat dah merajuk?
Aik! Lain macam saja bunyinya. Entahlah. Izi Helmy tidak sabar mahu dengar
cerita daripada sepupunya itu.
“You ni gelak pula.
Betul la I cakap.”
Serta-merta tawa
Izi Helmy mati. Dia menelan liur. “Gulp... I bukan gelakkan you. I cuma geli
hati pasal Azrai tu. Ah, lupakanlah pasal dia. You... alang-alang kita dah
keluar ni, jom kita sambung dating.”
Dia mengajak.
“Amboi. Sebabkan both of you, I tak masuk hospital tadi
tau. Kalau selalu macam ni, habislah I kena buang kerja.”
“Sebab bukan
selalulah, I ajak...” Izi Helmy tersengih-sengih di depan cermin. Dia juga
dapat melihat semua reaksi Aina di situ. Senyap. Tapi dia nampak gadis itu
tersenyum. Malu tapi mahulah tu...
*******
Teksi berhenti
betul-betul di depan pintu pagar rumah dua tingkat milik Haji Rauf. Setelah
membayar wang tambangnya, Saif Azrai turun dari teksi dan berjalan masuk
melalui pintu pagar kecil yang tidak berkunci. Lemah langkahnya diatur mendaki
perkarangan rumah yang sedikit berbukit.
“Dah balik, anak
mama. Awal hari ni?”
Saif Azrai menoleh
sebaik mendengar suara Hajah Kistina menegur. Mamanya itu berdiri di depan
pokok bunga ros kesayangannya. Warna biru. Jarang sekali dijumpai di sini.
Sebab itu mama begitu sayang pada pokok itu. Dijaganya rapi sepanjang hari. Di
tangan mama memegang pemotong ranting. Tengah membelek dan mencantikkan lagi
pokok rosnyalah tu. Saif Azrai cuma tersenyum. Dia datang mendekati. Sementara
Hajah Kistina kembali menilik pokoknya. Kuntum ros tunggal yang sudah kembang
disentuh Saif Azrai. Pantas tangan Saif Azrai diketuk Hajah Kistina.
“Jangan dikacau.
Bunga tu kena tidur!” Tegur Hajah Kistina berbau amaran. Lekas-lekas Saif Azrai
sorok tangan ke belakang. Huhu... sakit terkena pemotong ranting di tulang jarinya.
“Mana kereta kamu?”
Tiba-tiba Hajah Kistina menyoal. Saif Azrai diam membisu. “Eh, eh budak ni.
Orang menyoal dia, boleh berangan pula dia. Azrai... Azrai...” Nama anaknya
dipanggil sekali dua. Serentak bahu anaknya itu dicuit perlahan. “Mana kereta
kamu?” ulang Hajah Kistina setelah anaknya itu memberi respons.
“Dalam workshop.” Pendek jawapannya.
“Hai, kereta mahal
pun baru beli dah rosak?”
“Bukan rosak mama. Accident.”
“Ha?” Terkejut
besar Hajah Kistina mendengar kenyataan itu. Pemotong yang dipegangnya tadi
terlepas terus dari tangan. Mujur tidak terkena kaki. “Anak mama tak
apa-apakah? Ha, luka tak? Sakit tak?” Saif Azrai terus dihujani soalan daripada
si ibu yang risau. Wajah dan tubuh anaknya dibelek puas-puas. Adakah yang
cacat, adakah yang kurang, adakah yang luka.
“Azrai tak ada
apa-apa, ma. Mama janganlah panik.” Saif Azrai cuba menenangkan hati Hajah
Kistina. Tangan mamanya digenggam erat. “MasyaAllah!”
Terkejut lagi Hajah
Kistina bila anaknya itu mengucap kuat. “Ha, kenapa? Kenapa?” soalnya risau.
Saif Azrai menepuk
dahi. “Azrai lupa nak bawa balik karipap Mak Cik Damia bagi. Tertinggal dalam
kereta.”
“Hmm... ingatkan
apalah tadi. Buat mama risau aja.” Hajah Kistina menggumam geram. Satu nafas
lega ditarik panjang. Anaknya itu pula boleh tertawa suka hati. Seketika, dua
beranak itu menoleh serentak apabila terdengar deruan enjin masuk ke
perkarangan rumah. Mercedes yang dipandu Haji Rauf berhenti di tempat biasa.
Hajah Kistina mula
melangkah mendekati kereta yang sudah senyap enjinnya. Sebaik pintu dibuka,
Haji Rauf keluar disambut Hajah Kistina. Tangan sang suami dikucup tanda
hormat.
“Awal abang balik
hari ni?” Soalan yang sama diajukan buat sang suami.
Haji Rauf mengiakan
seketika. Tidak dijawab soalan Hajah Kistina itu serta-merta. Dia membongkok
dan kepalanya dijulur masuk ke dalam perut kereta untuk mengambil beg bimbit
yang tercicir di kerusi penumpang. Kemudian dia keluar semula lalu menegakkan
tubuhnya.
“Tak banyak kerja
hari ni. Sebab tu balik awal. Lagipun abang rindu nak minum petang sama-sama
dengan isteri abang ni,” jawab Haji Rauf berjenaka sambil senyum meleret.
“Ada-ada ajalah
abang ni. Malu kut depan anak.” Hajah Kistina menegur. Matanya melirik jauh ke
arah Saif Azrai yang masih tercegat di depan pasu bunga.
“Ha, Azrai. Macam
mana dengan kontrak baru yang kamu bincangkan tadi?” Tiba-tiba saja Haji Rauf
melontarkan soalan itu bikin Saif Azrai tercengang sendiri. Diam. Itu yang
mampu dibalas. “Izi kata kamu keluar bincang pasal projek baru. Apa ceritanya?
Projek apa tu?”
Erk! Laju akal Saif
Azrai mencari alasan yang paling munasabah. Wajah Hajah Kistina dipandang
sekilas. Seperti meminta mamanya itu menolong supaya cerita itu ditutup. Namun
Hajah Kistina diam. Dia mencari akal lagi.
“Oh, projek naik
taraf pejabat, papa. Tapi masalahnya tarikh jangka siap yang ditetapkan terlalu
awal. Bimbang bertindih pula dengan projek kolaboratif dengan Bayu Holdings dan
satu lagi kontrak ubah suai restoran dekat Miharja. Jadinya, Azrai tak fikir
kita boleh terimalah kontrak tu papa.” Lancar alasan itu meluncur dari
mulutnya. Nafas lega ditarik sebaik berakhir ayat terakhir. Apatah lagi bila
melihat Haji Rauf menganggukkan kepala. Memang lega.
Bijak juga aku
kelentong! Getusnya dalam hati.
“Abang ni, nampak
aja muka Azrai tu mesti nak bercerita tentang kerja. Dekat rumah ni tak
payahlah bercakap tentang kerja lagi, bang. Budak tu pun letih. Baru lepas accident pula tu. Bagilah dia berehat.”
“Accident?” Haji Rauf memandang muka
isterikanya dengan riak terkejut bercampur tidak percaya. Sekejap tubuh anaknya
dibelek dari jauh. “Tak nampak macam accident
pun. Sihat aja.”
“Uish, abang ni.
Takkanlah abang nak anak kita tu pun cedera parah pula. Baguslah dia tak
apa-apa.”
“Habis, dah buat report untuk tuntut insurans?”
Aiseymen! Terkedu
Saif Azrai dibuat soalan Haji Rauf kali ini. Sebelum dapat tuntut insurans,
mestilah perlu dibuat laporan polis terlebih dulu. Apa yang hendak dilapor?
Salah dia atau salah Sasha Amira? Sudahlah atas kertas, Haji Rauflah pemilik
kereta Forte kesayangannya sekarang. Ah, sah-sah nanti papa juga dapat tahu hal
yang berlaku tadi kalau papa yang terpaksa buat tuntutan.
Jujurlah pula
bab-bab tuntut menuntut ni. Bukannya tak boleh reka alasan lain masa buat report. Uish, kalau akhirat nanti aku
pula dituntut lagi teruk. Saif Azrai berkira-kira. Lama dibiarkan Haji Rauf
menanti jawapannya. Soalannya sebaris. Hendak jawabnya macam soalan yang diaju
Haji Rauf tadi bertimbun macam soalan peperiksaan.
“Belum lagi, pa.
Tapi rasanya macam tak nak claim
insurans. Kemik dia pun sikit aja, pa. Azrai boleh cover sendiri.” Jelas terbayang kerutan di wajah Haji Rauf. Alamak.
Saif Azrai mencari alasan lagi. “Err... kalau claim nanti insurans jadi makin tinggilah, pa. Lagipun takut effect harga kereta jatuh lepas ada
rekod kemalangan.” Jawabya lagi dengan yakin. Dalam hati, bergetar...
bergoncang bagai ada puting beliung berputar-putar.
“Suka hati
kamulah.”
Yes! Berjaya.
“Sementara kamu tak
ada kereta ni, kamu ikut papa. Kenalah kamu bangun lebih awal lepas ni.” Senyum
terbentuk di bibir Haji Rauf. Anaknya itu, sudah masak benar perangainya.
Bukannya hendak berkongsi kereta. Walhal destinasinya sehaluan. Bukan Haji Rauf
tidak tahu ada agenda lain yang anaknya buat di belakangnya. Dua tiga kali dia
ternampak anaknya keluar dengan perempuan. Emm... bakal calon menantu agaknya.
Tapi tak juga diperkenalkan pada orang tua ini betul-betul. Asyik sorok saja di
belakang ibu ayah.
“Sudahlah tu, bang.
Asyik cakap hal kerja aja. Pergilah masuk mandi, dah hangit dah baunya. Nanti
saya siapkan minum petang.”
“Alah, dulu badan
hangit nilah awak kata wangi.” Sempat Haji Rauf berseloroh. Malu Hajah Kistina
dibuatnya. Tubuh Haji Rauf ditolak lembut oleh Hajah Kistina ke arah dalam
rumah. Tersenyum-senyum Haji Rauf bergurau dengan si isteri. Setelah Haji Rauf
meniti anak tangga untuk ke tingkat atas, Hajah Kistina keluar semula.
Berlari-lari anak dia pergi mendapatkan anaknya.
“Ha, mama nak tanya
ni. Macam mana dengan Sasha yang mama kenalkan sebelum ni. Tadi kamu jumpa dia
kan? Macam mana?” Saif Azrai diam membisu. Air mukanya berubah-ubah melihat
riak Hajah Kistina yang beria tiba-tiba.
“Macam mana apa,
mama? Macam dulu juga. Cantik, manis, putih...”
“Orangnya. Orangnya
macam mana?”
“Cantik.”
“Ish, bukan fizikalnya.
Perangainya, macam mana?”
Emm... Saif Azrai
diam lagi. Kalau hendak diberi komen tentang sikap Sasha Amira, apa ya nak
kata? Sekejap manja, sekejap garang. Suka mencerut muka. Lepas tu, merajuk tak
tentu pasal. Agak-agak boleh tak Saif Azrai komen sebegitu banyak hanya pada
pertemuan pertama?
“Hai, diam ni...
anak mama dah angau dengan Sasha ke?” Hajah Kistina tersenyum-senyum. Senyumnya
bersambut.
“Boleh tahanlah
mama.” Ops! Cepat-cepat dia perbetulkan tutur kata sebelum Hajah Kistina
tersalah tafsir. “Maksud Azrai, Sasha tu boleh tahan. Tapi Azrai belum angau
lagi.”
“Boleh tahan aja?”
Diam lagi. Soalan
Hajah Kistina cuma dijawab dengan senyuman. Hendak komen lebih-lebih depan
Hajah Kistina, oh tidak. Biar disimpan saja dalam hati. Esok, kita tengoklah
apa yang jadi.
“Sasha tu mama
tengok cantik orangnya. Walaupun pelajarannya belum pernah habis, tapi mama
perhatikan nampak baik aja budaknya. Mama suka sangat kalau kamu cuba rapat
dengan dia dulu. Emm... tapi kalau kamu tak berkenan nak dibuat isteri, mama
tak paksa.” Hajah Kistina senyum menyampaikan hajatnya. Namun dia tidak mahu
memaksa. Dia cuma memberi jalan, Allah yang menentukan. Sama ada hati anaknya
terbuka untuk jatuh hati, semuanya ketentuanNya.
Gulp! Isteri lagi?
Aduh... Saif Azrai terkedu lagi.
No comments:
Post a Comment