“Good morning sayang...”
Halus suara itu
bagai menyapu cuping telinga Sasha Amira. Disusuli sentuhan lembut dipipinya
membuatkan dia akhirnya membuka mata dengan malas.
Masyaallah!
Terbelalak terus matanya melihat muka Saif Azrai dekat di sebelah. Macam mana
lelaki itu boleh berada di sini? Macam mana dia masuk bilik Sasha Amira? Wajah
lelaki itu yang tadinya manis tersenyum kini menonjolkan garis-garis halus.
“Kenapa ni sayang?”
Sayang? Mamat ni
dah hilang akal ke? Kalau nak bergurau sekalipun takkanlah sampai macam ni.
Melampau namanya dan memang boleh mendatangkan marah! Seketika lelaki itu
menganjak ke arahnya. Melompat Sasha Amira dari katil.
Aduh!
Tubuh Sasha Amira
terasa sakit. Digosoknya badan yang sakit sambil mengaduh terus. Bila ditoleh
kanan dan kiri, bayang Saif Azrai sudah tiada. Astaghfirullah. Mengingau
rupanya. Ini pasti terbawa-bawa dek cakap mama pasal Azrai pagi semalam. Balik
dari kolej, mama ulang tanya soalan yang sama. Agghh! Tension dibuatnya.
Tapi kenapa muka
Saif Azrai yang muncul? Bukan Saiful Muslim, bekas kekasih hatinya dulu?
Bukankah semalam dia berendam air mata sekali lagi selepas mengenangkan semua
kisah lama bersama lelaki itu? Huhu... mama, sampai hati mama buat Sasha
terkenangkan dia.
Sasha Amira bangun
dan berlari ke meja solek. Mukanya dibelek di depan cermin. Sembap. Dah
tentulah bengkak matanya kerana menangis sepanjang malam. Entah jam berapa
barulah dia terlena kerana letih menangis. Belum puas dia melelapkan mata,
sedar-sedar sudah berkumandang azan Subuh. Kuat bunyinya kerana rumahnya cuma
selang satu lorong dari surau. Berat rasa mata ni hendak dibuka untuk
mengerjakan solat Subuh. Selesai saja solat Subuh, dia terlentang semula atas
katil. Kain telekung juga masih terlekat di pinggang. Tapi tidak lama, bila
mimpi ngeri datang menjelma.
Kakinya melangkah
pula ke jendela lalu dibuka luas menampakkan laman jiran sebelah rumah yag
ditutupi atap. Rumah sebelah masih lagi teres setingkat sementara rumah Encik
Rahim ini sudah diubah suai menjadi dua tingkat. Mama juga yang beri cadangan
pada papa supaya dibesarkan rumah ini. Kata mama, bila anak-anak balik
berkumpul masa raya ke, dapatlah mereka setiap bilik sekeluarga.
Sasha Amira
membuang pandangan ke laman rumahnya pula. Di langit, matahari sudah mula
memancarkan cahayanya walaupun masih awal. Terang. Dilihatnya pula daun-daun
halus dan bunga berwarna kuning yang gugur dari pohon besar di luar pagar jatuh
masuk ke dalam laman.
Ops! Muncul pula
Puan Damia menyapu halaman rumah sambil bising membebel. Entah apa yang mama
leterkan dia tidak dengar butirnya. Cepat-cepat Sasha Amira larikan diri dari
jendela. Tingkap itu dirapatkan semula sebelum Puan Damia terdongak ke atas.
Manalah tahu kan.
Punggungnya
sudahnya dihenyak semula atas katil. Melihat seluruh ruang bilik dengan fikiran
kosong. Jantungnya berdebar. Berombak bukan kerana malu mengenangkan mimpi tadi
tapi lebih kepada rasa terkejut.
Hai, sampai
termimpi-mimpi. Tapi kenapa muka Saif Azrai yang muncul? Kalau bukan si Muslim
tu pun, biarlah Aaron Aziz ke, Adi Putra ke yang muncul, best la juga! Ops! Semuanya suami orang.
Tuk! Tuk!
Berganda debaran di
hati Sasha Amira bila pintu biliknya diketuk. Segera dia berlari ke pintu bila
bunyi ketukan makin kuat. Suara Puan Damia memanggil namanya mencecah telinga.
Aik! Baru saja dilihatnya Puan Damia menyapu laman tadi. Cepat benar mamanya
itu sudah ke depan biliknya pula.
Muka Puan Damia
terjengul di muka pintu sebaik daun pintu dikuaknya.
“Ha, dah bangun
pun. Cepat bersiap, pakai baju kurung. Ikut mama lepas ni.” Kerah Puan Damia
terus tanpa mukadimah.
“Ha? Nak ke mana
pula mama?” Sasha Amira terpinga-pinga. Tiba-tiba saja suruh ikut, pakai baju
kurung pula tu. Takkan hendak melawat Saif Azrai lagi sekali kut!
“Ikut sajalah.
Jangan banyak tanya. Siap cepat. Mama tunggu dekat bawah. Sepuluh minit!” Puan
Damia terus menghilang setelah menayang sepuluh jarinya. Pula dah. Siap bagi
masa pula tu.
Sasha Amira
memberontak dalam hati namun kaki tangannya kalut juga mengikut rentak Puan
Damia. Berlari dia ke bilik air untuk membersihkan diri. Otaknya pula
menghitung masa yang masih tinggal.
*******
Ha?
Sasha Amira terpaku
bila Puan Damia menyuruhnya beratur di belakang beberapa orang yang sedang
mendaftar diri untuk menghadiri kursus pra-perkahwinan. Kursus kahwin? Otaknya
berkira-kira. Puas dia melihat keliling. Ramai yang datang mendaftar. Kemudian
muka Puan Damia pula ditenung lama.
“Buat apa tercegat
lagi dekat sini. Pergilah check nama
kamu. Lepas tu, ikut aja kelas yang mereka buat,” suruh Puan Damia lalu
menunjuk lagi ke arah kaunter sementara yang dibuka di sebelah bilik yang sudah
mula dipenuhi gadis-gadis berbaju kurung. Hampir menangis Sasha Amira di situ.
Menyambung tangisnya semalam. Dalam diam, Puan Damia mendaftarkan namanya untuk
kursus pra-perkahwinan. Patutlah tergesa-gesa menyuruh Sasha Amira mengikut
pagi ini dengan baju kurung.
Huhu... mama....
“Ish, budak ni.
Biar mamalah yang tolong daftarkan. Bagi sini IC kamu.” Puan Damia mengerah lagi.
Lengan Sasha Amira disinggul berkali-kali. Lambat-lambat Sasha Amira keluarkan
kad pengenalannya. Dia masih bingung.
Puan Damia segera
beratur di depan kaunter. Sasha Amira masih terpaku dan melihat saja tindakan
mamanya itu. Sekali sekala matanya lari melihat orang lain. Ada yang datang
dengan kawan sejantina, ada juga yang datang dengan pasangan.
Hmmm.... Perlahan
Sasha Amira menghela nafas halus.
Kebetulan masih ada
tempat kosong semasa Puan Damia menelefon Puan Yati semalam. Alhamdulillah.
Mudah nampaknya perjalanan rancangannya. Lepas ini, terserahlah pada budak
berdua itu macam mana. Hendak berkenalan? Tak mahu? Puan Damia tetap akan terus
bertanyakan perkembangan mereka nanti hari demi hari. Kalau tak mahu juga, akan
Puan Damia cari jalan supaya anaknya berkahwin. Tak kiralah dengan siapa calon
pilihannya nanti
“Emm... saya nak check nama Sasha Amira binti Rahim.”
Puan Damia memberitahu lalu menghulurkan kad pengenalan Sasha Amira kepada
wanita yang menjaga kaunter. Ini agaknya Puan Yati, tekanya sebarang.
Setelah selesai
urusan di kaunter, Puan Damia mendapatkan semula Sasha Amira yang tidak
berganjak di tengah-tengah laluan. Terpacak macam patung hidup di situ.
“Nah, barang-barang
kamu. Sekarang, kamu masuk dalam bilik yang penuh orang tu. Tentatif program
ada dalam ni,” Puan Damia memberitahu sambil mengunjuk buku di tangannya. Buku
itu berpindah tangan.
“Apa ni, ma?” soal
Sasha Amira tiba-tiba. Cemik mukanya dengan sikap Puan Damia. Sedih. Tiba-tiba
suruh dia datang ke mari untuk apa? Dia belum nak kahwin lagi!
“Apa pula? Kursus
kahwinlah. Alah, bukan nak paksa kahwin. Persediaan aja. Pergilah, orang semua
dah masuk tu.” Suruh Puan Damia lagi sambil menampar lengan anaknya.
Cemik lagi muka
Sasha Amira. Merajuklah dengan mama macam ni. Mama pula beria-ia suruhnya masuk
ke dalam bilik seminar. Hai... dia mengeluh terlebih dulu. Dengan malas,
kakinya dihayun perlahan masuk ke dalam bilik yang ditunjukkan. Penuh. Dia
mengambil tempat di belakang sekali. Orang di depannya semuanya datang
berpasangan. Hai, pilih salah tempat duduk pula.
Dari dalam kelas,
Sasha Amira melirik ke luar. Puan Damia masih memerhati di situ. Takut agaknya
Sasha Amira cabut lari. Mama... mama. Selepas seorang lelaki lebih kurang empat
puluhan dan bersongkok masuk dan berdiri di depan memperkenalkan dirinya dan
memulakan ceramahnya, barulah bayang Puan Damia menghilang bila dilihatnya lagi
ke luar.
*******
“Hai.” Datang
seorang lelaki menegur semasa baru hendak menjamah makan tengah hari. Memang
sudah Sasha Amira perasan lelaki itu asyik memandang sejak dari dalam kelas.
Perasannya tadi, lelaki itu sudah duduk makan. Tapi tiba-tiba beralih pula di
depan Sasha Amira sekarang.
La, buat apa
menyemak pula dekat depan ni? Bukan orang dekat sini datang sini sebab dah ada
pasangan ke, bukan baru nak cari pasangan dekat kursus kahwin kan.
“Saya Anuar.”
Lelaki itu memperkenalkan diri. Anuar? Anuar Zain? Sasha Amira merenung wajah
lelaki itu lama-lama. Orangnya kurus tinggi, kulit gelap tapi manis orangnya.
Lebih-lebih lagi bila tersenyum. Mengancam. Berkaca mata. Emmm... bukan Anuar
Zain. Lantas Sasha Amira mengalihkan semula perhatiannya kepada nasi yang masih
belum terusik.
Sambal ayam digaul
rata dengan nasi. Baru hendak disumbat ke mulut, suara lelaki bernama Anuar
tadi menyinggah lagi ke telinga.
“Nama awak?”
Matanya diangkat
merenung lelaki itu seketika. Kemudian dilarikan semula. Soalan Anuar tidak
langsung dijawab. Dia malas. Mengikuti kursus pra-perkahwinan ini pun dah cukup
buat dia bosan. Bukan dia hendak. Tapi kalau tak ikut sampai habis, mesti tak
dapat sijil. Lepas itu, kena pergi lagi sekali. Oh, ngantuknya mata. Tolonglah.
“Kalau awak tak
kesah, boleh tak kita berkenalan?”
Lelaki itu menyoal
lagi. Kali ini Sasha Amira buat tidak endah juga. Nasi disuap jua ke mulut walaupun
tak lalu. Seketika kemudian, datang pula suara perempuan memanggil nama Nuar.
Emm... nama lelaki itu agaknya.
“Saya ke surau dulu
ya. Nanti jumpa di kelas lepas ni,” suara gadis itu memberitahu. Dalam diam,
Sasha Amira curi-curi menjeling perbualan mereka. Mereka berdua tersenyum
sesama sendiri. Mesra.
Aik. Dah ada girlfriend pun masih nak cari yang lain?
Huh! Dasar lelaki miang. Tak cukup satu! Perempuan tu pun satu, tak marah pula
dia boyfriend dia cuba nak tackle perempuan lain. Tak faham betul aku
orang zaman sekarang ni! Getus Sasha Amira dalam hati. Yang dia tu, orang zaman
mana pula agaknya.
“Apa yang awak
fikir tu? Berkerut-kerut dahi saya tengok.”
Sasha Amira tidak
senang dengan teguran lelaki itu. Tidak pergi lagi rupanya dia. Anuar tersenyum
lagi di depan Sasha Amira.
Oh, tidak.
Tolonglah jangan tersenyum macam tu. Awak tahu tak yang senyuman awak tu
menawan.
Dia tetapkan jiwa.
Tidak mahu tergoda walaupun hakikatnya mudah tergoda. Huhu. Titik pertama yang
menyatukan hatinya dengan Saiful Muslim dulu juga kerana sebuah senyuman. Dia
seorang yang suka tersenyum. Memujuk juga dengan senyuman. Senang hati melihat
senyumannya sampai angau Sasha Amira dibuatnya.
Aduhai. Kenapa
masih teringat dia lagi? Dia sudah pun jadi suami orang, Sasha! Jerit hatinya
pada diri.
“Awak tak sudi
berkawan dengan saya ke?” Suara itu menyingah lagi. Aggh, stres kepala otaknya.
Tidak sabar, dia melontar jelingan tajam. Tepat ke mata Anuar. Kalau boleh
ditikam dengan pandangan itu, dia akan tikam.
“Bukankah orang yang
datang sini semuanya dah berpasangan? Awak tu pun datang dengan bakal isteri
kan. Kenapa nak kacau orang lain pula?” Bengkengnya keras. Lepas itu dia
sendiri yang malu bila ada mata yang memandang. Segera dia buang pandangan ke
tepi kerana malu. Tangan mengetap bibir yang lancang sangat bercakap.
Ya Allah. Kasarnya
aku... kerasnya cara aku. Dia malu tapi, apa yang dikata tidak boleh ditarik
balik. Kalau perahu, bolehlah diundur.
“Maafkan saya. Saya
datang sini sebab ikut kawan saya aja. Bukan sebab saya dah nak kahwin. Tak
semestinya nak kahwin baru pergi kursus perkahwinan kan. Saya tengok awak pun
seorang. Saya ingat awak pun sama macam saya. Maaflah kalau saya dah kacau
bakal isteri orang.” Tenang lelaki itu memohon maaf.
Sasha Amira serba
salah mahu mengangkat muka. Bila diangkat mukanya saja, dilihatnya lelaki
bernama Anuar tadi sudah bangun dan berlalu pergi. Sasha Amira gumam bibir.
“Anuar!”
Erk! Kenapa aku
panggil dia pula? Sasha Amira tergamam sendiri. Bila lelaki itu menoleh, Sasha
Amira kian tidak keruan. Keliling pula, makin banyak mata yang memandang. Alah,
tolonglah buat hal sendiri aja.
“Ya?”
Alamak. Dia tanya
pula.
“Err... err... sorry.” Sasha Amira bangun dan berlalu.
Tangannya menekup muka, menahan malu yang teramat sangat.
*******
Aduh. Lemahnya
lutut ni nak datang kelas terakhir untuk kursus pra-perkahwinan di Pusat Belia
Antarabangsa. Hari ini hari kedua dan terakhir. Kalau tidak silap, kursus hari
ini cuma separuh hari. Aduh. Cepatlah masa berlalu. Bukan tak seronok mendengar
ceramah. Boleh tahan juga. Cuma yang tak bestnya hendak melihat
pasangan-pasangan yang datang. Huhu... jeles kut aku ni!
Seperti semalam,
Sasha Amira ambil tempat di belakang sekali. Masing-masing pun duduk di tempat
yang sama. Di depan Sasha Amira juga pasangan-pasangan yang sama seperti
semalam. Alamak. Lupa lagi nak tukar tempat duduk.
Kebetulan ada dua
tempat duduk di sebelah kanan. Cepat-cepat Sasha Amira beralih ke sebelah. Dia
memandang ke pintu. Menanti kehadiran Azlin, gadis yang sempat dia berkenalan
semalam. Lebih tepat, peserta kursus yang duduk di sebelahnya semalam. Hampir
lima minit merenung ke arah pintu, tengkuknya terasa kejang. Namun Azlin masih
tidak kelihatan. Lantas segera tundukkan kepala, mengurut perlahan batang
tengkuk yang terasa sengal.
“Assalamualaikum.”
Sasha Amira
mengangkat muka apabila mendengar suara lelaki memberi salam. Lambat-lambat dia
keluarkan buku nota dan pen sedia di tangan. Tengkuknya ditekan dua tiga kali.
Masih belum reda sakitnya.
Oh mak! Berderau
darah Sasha Amira bila terlihat Anuar tersenyum di depannya. Lelaki itu duduk
di depannya hari ini. Kalut anak matanya beralih ke depan kelas. Tiada siapa.
Ingatkan penceramah yang datang hendak mulakan ceramah. Jadinya yang memberi
salam tadi, Anuar ke? Soal hatinya sendiri.
“Dosa tau kalau tak
jawab salam orang.” Anuar tersenyum-senyum lagi. Sahlah dia yang beri salam
tadi. Sasha Amira berdehem sekali. Terasa ketat pula tekaknya tiba-tiba mahu
menjawab.
“Jawab dalam hati
kira jawab juga kan.” Balasnya perlahan sambil terkial-kial mengalih pandangan
ke sana dan ke sini. Sekejap menggaru hujung kening dengan jari-jemarinya.
Sekejap membetulkan selendangnya yang sedia kemas. Serba-serbi tidak kena
hinggakan Anuar tersenyum melihat reaksi kalutnya itu.
“Err... pasal
semalam tu, saya minta maaflah ya. Saya takut nak bercakap dengan tunangan
orang. Saya datang sini pun nak sertai kursus, bukan nak cari musuh.” Payah
benar rasanya Sasha Amira mahu memandang ke muka Anuar. Bila dipandang muka
lelaki itu, kakinya mulalah rasa terketar-ketar. Puas tangannya memegang
kedua-dua lutut. Sebab... sebabnya Anuar suka tersenyum. Manis wajahnya dengan
senyuman.
“Tak apa. Saya tak
ambil hati pun. Emm... entah-entah saya yang tengah bercakap dengan tunang
orang kut!” Telah Anuar mesra.
“Eh, mestilah. Saya
tunang orang!” Jawab Sasha Amira cepat-cepat sekaligus lelaki bernama Anuar itu
sangat jelas wajah tergamamnya. Kemudian dia tertawa pula. Alamak.
Kebudak-budakannya aku...
Tidak sempat Sasha
Amira membela diri, penceramah sudah masuk memberi salam. Anuar juga dengan
serta-merta berpaling ke depan semula. Hai... Sasha Amira mengeluh seraya
menghempas kepalanya ke meja.
Apalah jadi pada
aku ni? Dua tiga hari ni macam pelik aja. Mimpikan si Azrai tu, lepas tu cakap
pula main lepas aja. Apa kena dengan aku? Ish, mama ada bagi aku makan ubat
apa-apa ke?
Berpusing-pusing
otaknya berfikir macam-macam. Sedang penceramah di depan memberikan kuliahnya,
Sasha Amira sikit pun tidak dengar.
No comments:
Post a Comment