Sasha Amira sudah
tersedu-sedan dengan suara yang serak seakan susah payah benar dia mahu
bersuara. Sepatah kata yang sampai ke telinga Zaimah, berjelar rasanya suara
tangis kawannya itu.
Zaimah merenung
Intan Nazira di sebelah dengan wajah gelisah. Asalnya Intan Nazira yang
dihubungi Sasha Amira tapi Intan Nazira tidak mahu cakap banyak. Lantas
diserahkan pada Zaimah. Zaimah pun tidak lepaskan peluang. Rindu juga pada
Sasha Amira. Selepas dia balik dari bercuti di kampung, Sasha Amira pula tidak
datang ke kolej. Sudah dua hari. Zaimah juga hendak tahu cerita tentang tunang
palsu Sasha Amira. Apa cerita cik abang tu agaknya. Eii... Zaimah pula teruja
tidak sabar.
Tapi dekat lima
minit dia cuba mendengar cakap Sasha Amira tapi sepatah haram pun dia tidak
faham. Hanya yang dapat didengar hanyalah suara tangis Sasha Amira dan raungan
kawannya itu sekali sekala.
“Eh... eh... eh...
cubalah kau cerita dekat aku betul-betul Cakap tu biar jelas. Aku tak fahamlah
Sasha.”
Eii... makcik ni
pun satu! Aku tengah sakit tekak, macam mana aku nak cakap dengan jelas.
“Aku kena paksa
kahwin! Mama paksa aku kahwin!” Bersusah payah Sasha Amira memekik di telefon.
Kalau tidak dengar juga tak tahulah.
“Kahwin?!” Zaimah
mengulang separuh menjerit. Intan Nazira yang tadi buat tak tahu juga mula
pasang telinga. Dia sibuk hendak merampas telefon dari telinga Zaimah. Tapi
cepat saja tangan Zaimah menepis.
Ish, tadi dia yang
bagi kat aku. Malas konon nak layan. Apa punya kawan da... Getusnya kurang
senang.
“Aik! Selama ni kau
boleh aje tolak. Kenapa sekarang kau melalak kat sini pula? Tolaklah lagi calon
suami yang mama kau pilih tu!”
Sasha Amira rasa
terpukul dengan kata-kata Zaimah. Pandai pula kawannya itu menyindir. Kena
sebiji ke batang hidungnya. Ikut hati mahu juga Sasha Amira membantah seperti
yang dilakukannya sebelum ini. Tapi kali ini bermacam benda yang menjadi
caruman. Kunci kereta, duit poket, semuanya jadi taruhan. Tambahan pula Puan
Damia lepaskan kata dua yang tidak mungkin dia bantah sebagai anak. Jika tidak
mengikut kata, dialah anak derhaka. Huhu... siapa yang berani? Mahunya tidak
menangis dekat sini.
“Dengan siapa?”
soal Zaimah lagi setelah hanya tangisan Sasha Amira saja yang makin menggila di
telinga. Muka Intan Nazira yang menghimpit di sebelah ditolak berkali-kali.
Ish, memang sibuk
minah ni. Aku buka speaker on baru
tahu! Karang satu kuliah pula dengar suara tangis Sasha Amira. Femes terus.
“Azrai...” jawab
Sasha Amira dalam tangisan yang kian kuat. Namun masih dapat didengar butirnya
oleh telinga Zaimah. Laju saja tawanya meletup.
Makin birat hati
Sasha Amira mendengarnya. Berbirat dengan rasa sedih, kecewa, dan geram yang
berbaur. Sampai hati Zaimah gelakkan waktu-waktu begini. Bukannya nak tolong
buat sesuatu ke, atau sekurang-kurangnya tenangkan hatinya ini. Dan kalau
boleh, Sasha Amira tidak mahu perkahwinan ini diteruskan tapi dia juga tidak
mahu jadi anak derhaka. Pada saat ini, mahu saja dia menjerit ‘apa yang patut
aku buat?’. Lari? Pura-pura jatuh sakit? Cari buah hati lain? Cari siapa saja
asalkan bukan Saif Azrai yang dia tidak tahu asal usul lelaki itu.
Dulu, mama marah
benar kalau Sasha Amira berkawan dengan orang yang tidak tahu perihal
keluarganya. Mana asal usulnya. Tapi macamlah mama tahu asal usul Saif Azrai
yang tiba-tiba hendak dikahwinkan dengan Sasha Amira. Dia makin tertekan. Dua
tiga hari ini mama dan papa sibuk berbincang tentang hari perkahwinan. Nampak
gayanya macam lelaki itu setuju dengan rancangan mama. Aiseh, apa lagi Sasha
Amira hendak buat ni?
“Elok sangatlah tu.
Korang pun kan memang rancang nak bertunang dari awal lagi. Hah, mama kau dah
bagi restu dah pun. Ikutkan ajelah. Aku pun tak sabar nak jadi pengapit kau.”
Sekali lagi bagai
hendak tercabut nyawa Sasha Amira mendengar yang Zaimah setuju seratus peratus
akan perkahwinan. Siap pelawa diri jadi pengapit lagi. Ish, ada Sasha Amira
minta?
Intan Nazira juga
sudah hampir pitam. Siapa tunangan Sasha Amira. Kalau benarlah gerangan yang
bermain di kotak fikirannya sekarang, habislah rancangan asalnya nanti. Lain
yang diharap, lain pula yang jadi. Belum sempat dia merapati Saif Azrai, sudah
dikebas kawan sendiri. Tak boleh jadi ni! Intan Nazira perlu bertindak.
Rancangan harus diubah segera.
Zaimah pula tidak
sudah-sudah tunjuk gembira. Diucapnya tahniah kepada Sasha Amira. Geram pula
Intan Nazira tengok. Lekas-lekas dia rampas telefon dari pegangan Zaimah.
“Kau jangan risau,
Sasha. Aku akan tolong kau nanti. Sekarang, kau ikut aje plan mama kau tu! Nanti tahulah aku apa nak buat!”
“Hei, apa pula yang
kau nak buat ni? Benda yang baik tak elok dirosakkan!” Zaimah membantah tidak
senang hati mendengar rencana Intan Nazira. Entah apalah yang dirancangkan kawannya
yang seorang itu. Intan Nazira menunjuk jari telunjuk ke mukanya. Lantas
memberi isyarat supaya Zaimah mengunci mulut.
Ah, sudah!
Kawan-kawan aku ni dah hilang akal ke apa?
Izi Helmy
ternganga. Susah hendak percaya berita yang disampaikan Saif Azrai. Sepupunya
datang ke pejabat hari ini semata-mata menyampaikan berita pernikahannya.
Dimintanya pula Izi Helmy menjadi saksi merangkap wakil pihaknya nanti.
“Bila tarikh
nikahnya?” soal Izi Helmy sebelum setuju akan permintaan Saif Azrai. Memang dia
berbesar hati hendak menjadi saksi sepupunya itu. Hendak jadi pengapit juga dia
tidak akan menolak. Apa saja untuk perkahwinan Saif Azrai, sepupu paling
akrabnya, cakap saja. Dia pasti akan kata okey di akhirnya.
“Jumaat malam ni.”
Memang mengejutkan.
Tapi Jumaat? Jumaat yang mana?
“Jumaat... esok ke
maknanya?”
Saif Azrai
mengangguk perlahan. Terkulat-kulat saja muka sepupunya itu hendak menjawab.
Tapi Izi Helmy tidak nafikan, sangat mengejut. Semua ni terlalu mengejut. Gila.
Kurang 48 jam lagi hendak diijab kabulkan, baru sekarang beritahunya fasal
berita baik ni.
“Papa dan mama
kau?”
Saif Azrai hempas
keluhan panjang. Tubuhnya dihenyak semula ke kerusi di depan Izi Helmy. Goyang
ke kanan ke kiri sambil senyap berfikir. Izi Helmy seperti dapat menghidu hal yang
kurang menyedapkan hati.
“Aku tak boleh nak
beritahu papa mama sekaranglah. Takkan aku nak suruh papa dan mama balik
tiba-tiba. Nanti bila diorang balik, aku bagitaulah.”
Memang gila! Izi
Helmy ternganga lagi buat sekian kali.
“Kau biar betul,
Dino! Kau tu dahlah satu-satunya anak diorang. Bukan selalu uncle dan auntie
tengok anak sendiri nikah. Lainlah kalau kau rancang nak pasang dua tiga!”
Tempelak Helmy bernada serius. Sempat lagi dia memberi cadangan yang lebih haru
pada Saif Azrai.
Saif Azrai termenung.
Kata-kata Izi Helmy ada benarnya. Memang sudah banyak kali ditimbang tara
tentang hal itu dan setiap kali juga ditolaknya untuk memberitahu berita baik
itu Datuk Rauf dan Datin Kistina. Ini memang berita baik, tapi juga berita yang
bakal mengejutkan. Bagaimana harus dia beritahu? Tiba-tiba mahu mengahwini
Sasha Amira tanpa memperkenalkannya terlebih dulu pada papa dan mama? Mungkin
tidak apa, kerana gadis itu anak kenalan mereka. Tapi bagaimana pula hendak
beritahu papa dan mama yang Puan Damia tidak tahu akan asal usulnya? Pada Puan
Damia, Saif Azrai adalah yatim. Bila papa dan mama muncul depan mereka,
pastinya Puan Damia terkejut.
Ah, mungkin cetek
fikiran Saif Azrai kali ini. Cetek disedut rasa bahagia yang kian menjalar
dalam hati. Sasha Amira yang dikejar-kejar hampir menjadi miliknya tanpa perlu
berkerja lebih keras. Puan Damia sudah memudahkan semuanya. Tuhan membuka jalan
untuknya. Saif Azrai sanggup melutut, memohon ampun dari papa dan mama kerana
menyembunyikan hal ini. Suruhlah apa saja, dia rela dengan harapan papa dan
mama tidak membenci Sasha Amira mahupun keluarga. Ini dosanya, biar dia sendiri
yang tanggung.