Jarinya
menggerakkan pen, menulis sesuatu di atas kertas. Penuh kertas itu dicoret
luahan hati. Geram dengan apa yang berlaku. Kecewa dengan rancangan dan
tindakan mama. Benci dengan kehadiran teman lelaki palsunya. Takut akal
bodohnya bocor dari pengetahuan mama. Ah, beribu rasanya hendak diluahkan di
atas kertas itu dengan tulisan berbelit-belit yang pasti tidak mampu dibaca
sesiapa. Biar dia sendiri tidak mampu mentafsirnya dengan mata kasar. Hanya
mata hatinya saja yang bisa memahami isinya.
“Fuiyo! Awal kau
hari ni!”
Berderai lamunan
Sasha Amira dek sapaan itu. Berakhir juga sesi luahan hatinya bersama cik pen
dan kertas. Ditolehnya ke sebelah. Dia boleh nampak Intan Nazira masuk ke kelas
bersama Zaimah dari jauh.
Tiada senyuman yang
mampu Sasha Amira ulit, seperti hari-hari biasa wajahnya ceria melihat
teman-teman rapatnya itu. Hanya jelingan dilirik sebelum memalingkan muka
semula. Kertas yang penuh dengan coretan hati direnyuk dengan rasa sebal dan
digenggam dalam tangan.
“Apa hal ni? Datang
bulan ke?” Intan Nazira menghenyak punggung di sebelah Sasha Amira. Kawannya
itu menjeling lagi.
Datang bulan apa
kalau baru aje lepas. Apa kerja asyik nak datang bulan aje! Getus Sasha Amira
dalam hati.
“Eh, kenapa dengan
dahi kau tu?” Intan Nazira menyoal lagi bila tegurannya sejak tadi sekadar
dijawab dengan jelingan Sasha Amira. Tangan Sasha Amira meraba dahi. Namun
masih tiada sepatah jawapan yang keluar dari mulut kawannya itu. Ada simpan
emas pula agaknya dalam mulut dia. “Patutlah tak datang meeting tadi. Ha, tugas untuk kau untuk pementasan akan datang ni
macam biasalah. Kau pun tahulah sendiri.” Nada Intan Nazira sudah berubah.
Terasa hati agaknya akan respon Sasha Amira. Kemudian tubuhnya dihempas ke
belakang. Membelek-belek buku dari satu muka ke muka seterusnya.
Dia merenung ke
sebelah. Intan Nazira sudah membisu seribu bahasa. Zaimah pula dari awal tadi
enak melayan snek double decker. Sesekali terdengar bunyi rangup keropok udang
itu dikunyahnya.
Sasha Amira menarik
nafas perlahan. Kenyataan dari Intan Nazira tadi dia dengar dengan rasa hampa.
Jika dia ada bersama menyertai mesyuarat itu tadi, boleh juga dia menolak tugas
itu sekeras-kerasnya. Skrip. Itulah tugas yang perlu Sasha Amira selesaikan.
Semester ini Sasha Amira semahunya menumpukan perhatian pada pelajaran.
Patutkah dia letak saja jawatan daripada Kelab Budaya? Galat pula rasanya mahu
berbuat demikian.
Brip! Brip!
Saif Azrai membuka
mata. Kepala yang beralas stereng kereta diangkat perlahan. Dadanya masih
terasa sakit walaupun kian surut. Lambat-lambat dia menyeluk telefon dari kocek
seluar. Panggilan yang masih berdering dijawab.
“Helo anak bos.
Lama betul cuti. Bila nak masuk office?”
Kedengaran suara garau Izi Helmy menyergah gegendang telinga dengan nada
seloroh. Siapa lagi yang asyik memanggilnya anak bos. Sepupunya itu saja yang
berani.
Saif Azrai hempas
nafas yang terasa berat lantas mengukir senyum setelah mendengar ayat Izi Helmy
seterusnya.
“Berapa lama kau
nak aku cover ni, kapten.
Mentang-mentang anak bos, kau biarkan aku tunggang terbalik seorang kat sini.”
“Hai, selama ni kau
yang sibuk melayan, mengejar perempuan sana sini siapa yang tolong cover?” Saif Azrai membalas. Pasti Izi
Helmy akan menyerah kalah lepas ini. Ada hati hendak menyindir Saif Azrai. Lupa
agaknya dia yang Saif Azrai menyimpan lebih banyak rahsianya dalam genggaman.
“Takkan tolong aku sekejap pun tak boleh?”
“Bukan tak boleh,
kapten! Tapi uncle dah mula tanya
fasal kau.”
Aik! Sekejap
dipanggilnya Saif Azrai anak bos, sekejap kapten. Suka hati Izi Helmy saja.
Ikut sedap mulut dia memanggil. Tapi sekejap, uncle? Maksudnya?
“Papa cari aku?
Habis tu apa kau jawab?”
“Mama kau pun dah
risau khabarnya. Tapi, jangan risau bro. Ini Izi Helmylah. Aku kan pandai
mengayat. Aku beritahu aje kau pergi uruskan projek dekat Penang. Lepas tu,
tutup cerita!” Pendek ringkasan Izi Helmy memaklumkan kepada Saif Azrai dan
diakhiri dengan gelak besar. Bangga benarlah agaknya kerana Datuk Rauf tidak
sedikit pun menghidu penipuannya.
Ya! Izi Helmy,
lelaki yang dulunya buaya darat. Memang hebat bila berkata-kata. Sepatah
katanya sudah mampu mengumpan puluhan wanita. Ops! Mungkin boleh mencecah
ratusan. Datuk Rauf juga tidak terkecuali, sangat percaya pada kata-kata Izy
Helmy tentang anaknya. Bukan kerana cakap Izi Helmy itu yang papa percaya
seratus peratus tapi mungkin sebab anaknya ini tidak banyak buat hal.
Sekarang Saif Azrai
boleh menarik nafas lega setelah kenyataan Izi Helmy sebelum ini cukup buatkan
hatinya berdebar. Lebih seminggu Saif Azrai tidak balik ke rumah. Tunjuk muka
juga tidak. Tidak pernah walau sekali Saif Azrai buat perangai begini. Mestilah
mama dan papanya risau. Kalau begitu jawapan Izi Helmy pada papanya, pasti
Datuk Kistina juga sudah sedia maklum.
“Tapi kenapa yang
kau menghilang tiba-tiba ni sampai sepupu sendiri pun tak nak kongsi cerita?
Kau pergi kejar perempuan ke?”
Soalan Izi Helmy
itu sekali lagi menggegar telinga Saif Azrai. Bergetar hatinya bila tekaan
sepupunya hampir tepat. Lebih tepat lagi dia sebenarnya sedang mengejar calon
isteri. Tapi itu kan Izi Helmy. Dalam otaknya cuma ada wanita yang difikirkan.
Tak payahlah Saif Azrai hendak tunjuk terkejut sangat.
“Perempuan bukan
sebarang perempuan.”
“Woah! Betul ke
tekaan aku? Fuiyo! Apa cerita ni, Dino? Awek mana yang kau kejar?”
Ha! Dah keluar dah
panggilan manja Saif Azrai antara mereka. Itulah nama timang-timangan Saif
Azrai ketika kecil Entah dari mana datangnya nama Dino itu, Saif Azrai sudah
tidak berapa ingat. Tapi hanya dengan Izi Helmy, sepupu paling rapatnya nama
itu masih melekat.
“Macam mana rupa
awek tu? Cantik? Seksi? Model? Bila kau nak tayang awek kau tu pada aku. Takkan
dengan aku pun nak sembunyi kut!” Bertalu-talu soalan Izi Helmy menujah telinga
apabila Saif Azrai senyap saja dari tadi. Tidak sabar sungguh sepupunya itu
ingin tahu. Gelojoh.
“Woi! Ingat aku ni
macam kau?” Saif Azrai pula yang menerjah. Bingit juga hingga mahu saja Izi
Helmy lari jauh dari telefon. “Perempuan seksi, badan melentik ala-ala model tu
semua taste kau.”
Izi Helmy sudah
tersengih-sengih. Sepupunya yang dari dulu tidak reti bersosial itu memang
tidak berkenan dengan wanita seksi. Kononnya mahu mencari gadis yang sebaik
Datin Kistina rupa parasnya. Walaupun tidak bertutup litup seperti mamanya,
cukuplah sekadar tidak menjolok mata.
“Alah, marahlah
pula sepupu kesayangan aku ni. Habis tu siapakah gerangannya perempuan yang
berjaya mencuri hati kau tu?”
“Emm... perempuan
yang mama nak kenalkan pada aku dulu...” Perlahan Saif Azrai memberitahu.
Sedang Izi Helmy
berkira-kira, membelek diari lepas untuk mengingati gadis yang dimaksudkan Saif
Azrai. Kalau diingat-ingat cuma seorang yang dia sedia maklum. Lantas tawa Izi
Helmy meletup. Bagai mahu pecah perut dia mengingat hari di mana Datin Kistina
mahu memperkenalkan seorang gadis kepada sepupunya itu. Saif Azrai pula boleh
meminta dia supaya menggantikan tempatnya. Kalau dilihat dari rupa parasnya,
boleh tahan. Nasib baik Izi Helmy tidak masuk jarum. Kalau tidak, awal-awal sudah
kena kebas dek Izi Helmy. Gigit jarilah Saif Azrai.
“Pergghhh! Dulu,
mengelak-mengelak pun tiba-tiba muncul jadi boyfriend
perempuan tu. Sekarang dah tersangkut betul ke?” Izi Helmy sambung gelak.
Terbayang wajah Saif Azrai yang tenang saja di sebelah gadis yang hendak
dicalonkan padanya. Pandai berlakon rupa-rupanya sepupunya itu.
Datin Kistina pun
nampak tenang. Tidak langsung Datin Kistina tunjukkan kemarahan. Tenang saja
Datin Kistina bertanya hal sebenar pada Saif Azrai sesampainya di rumah. Malah,
Datin Kistina ikut tertawa mendengar penjelasan Saif Azrai. Untunglah Saif
Azrai memiliki ibu yang sporting
macam Datin Kistina.
“Nak buat macam
mana kalau hati dah suka...” Terdengar suara keluhan Saif Azrai. “Aku ada hal
lagi nak diuruskan. Kalau kau nak gelak puas-puas lepas ni, silakan.
Assalammualaikum.”
Terhenti tawa Izi
Helmy apabila talian diputuskan Saif Azrai. Huh! Merajuklah tu. Memang anak
mak! Hatinya tidak puas. Tidak puas mendengar cerita Saif Azrai. Tidak puas
menyakat sepupunya itu. Banyak yang mahu dia tanyakan. Tapi bila makin difikir,
spontan tawanya meletup semula.
***********************************************************
Zaimah menyinggul
siku Intan Nazira. Muka dia terkulat-kulat bertanyakan perihal Sasha Amira dari
Intan Nazira. Kalau-kalau Intan Nazira tahu sebabnya Sasha Amira bermuram durja
hari ini.
Sejak dari dalam
kelas tadi, semua yang Zaimah tanya dan cakap tidak langsung dibalas Sasha
Amira. Hinggakan Zaimah yang memang banyak cakap juga bertukar pendiam. Intan
Nazira juga tidak bercakap apa-apa di kelas tadi. Hanya isyarat dibibir
menyuruhnya supaya berhenti bertanya.
“Aku ada buat salah
ke?” Sudahnya soalan itu yang Zaimah ajukan pada Intan Nazira.
Intan Nazira
sekadar hempaskan nafas halus disertai dengan gelengan kepala. Mungkin benarlah
tafsiran Zaimah akan respon Intan Nazira itu. Bukan salah Zaimah kan.
“Habis tu?”
Intan Nazira sekali
lagi menggunakan bahasa tubuh untuk menjawab soalan Zaimah. Bahunya diangkat
menandakan dia tidak tahu apa puncanya.
Petang itu mereka
bertiga tidak pulang bersama. Memang sudah agak lama mereka tidak duduk bersama
melainkan di dalam kelas. Hanya dibontotinya Sasha Amira kerana mereka mengikut
jalan yang sama untuk ke pintu utama kolej.
Dari jauh, Zaimah
dapat melihat kelibat Sasha Amira yang sudah berdiri di kawasan parkir. Di
depannya, sebuah kereta MyVi kuning berhenti betul-betul di tengah jalan. Kalau
tidak silap Zaimah, itu kereta milik Sasha Amira. Di depan Sasha Amira juga,
seorang lelaki sedang menunggu. Kelihatannya seperti sedang menyuaraka sesuatu.
Lantas langkah
Zaimah terhenti. Dia kenal raut wajah lelaki itu. Sebab itulah Zaimah tertarik
untuk mengintip.
Apabila Intan
Nazira menoleh, Zaimah sudah tiada. Dipalingnya ke belakang. Rupa-rupanya
tercicir kawannya itu yang menyorok di balik sebatang pohon hiasan.
Apa pula minah tu
buat? Intan Nazira curiga.
Huh! Sihat rupanya
kereta aku ni! Aku ingat dah masuk bengkel sama macam tuannya! Hati Sasha Amira
merusuh setiap kali Saif Azrai muncul depan mata. Lelaki itu masih datang
menjemputnya walaupun setelah apa yang Sasha Amira buat padanya. Ingatkan sudah
letak jawatan. Ah, tapi yang kena bahananya bukan Saif Azrai. Sasha Amira yang
luka-luka. Jatuhlah saham Sasha Amira lepas ini kalau luka di dahi meninggalkan
parut.
Tiba-tiba Saif
Azrai merapatkan diri. Sasha Amira juga yang berdiri kaku apabila bibir lelaki
itu dekat di sebelah telinganya. Deru nafasnya hangat menampar-nampar cuping
telinga Sasha Amira.
“Awak sanggup ke
tengok muka saya sepanjang masa? Ingat sikit, kalau mama dan papa awak nampak
awak balik sendiri lagi hari ni dan hari-hari berikutnya, duit poket awak yang
kena potong. Gaji saya tetap jalan.”
Bergetar jantung
Sasha Amira dibuatnya. Sama ada kerana kata-kata itu atau Saif Azrai yang
terlalku dekat dengannya yang menggoncang hatinya. Walau apapun sebabnya, tidak
penting. Ada yang lebih penting di mana betapa tegarnya lelaki itu memberi
peringatan akan ugutan itu. Layakkah dia untuk buat begitu?
Mata Sasha Amira
melirik tajam ke arah Saif Azrai. Lelaki itu masih tenang. Seperti waktu-waktu
biasa. Tenang bersama senyumannya yang menampakkan lesung pipit di pipi kiri.
Tercabar rasanya
mahu mengikut cakap lelaki itu. Namun, Sasha Amira tiada pilihan. Kali ini,
Sasha Amira akan ikutkan tapi tidak bermakna Sasha Amira mengikut telunjuk Saif
Azrai. Malam nanti, pandailah Sasha Amira mengusulkan supaya papa menukar
pemandu peribadinya. Gunakan saja alasan fasal kemalangan pagi tadi. Pasti Saif
Azrai akan dipecat.
Bersungguh-sungguh
Zaimah melihat pasangan itu dari jauh, hingga mimik mukanya juga turut sama
berkerut. Mulutnya pula tidak berhenti menyoal itu ini, membuat kesimpulan itu
dan ini. Begitulah keadaannya bila Zaimah menonton drama. Macam dialah
pengarah, dialah penulis skrip. Sementara Intan Nazira melihat saja tanpa
sepatah kata.
“Siapa tu?”
“Opocot nenek aku
terbang!”Gelabah Zaimah melatah sambil mendepangkan kedua belah tangan ke atas.
Hampir saja tangannya meluku muka orang yang menegur. Bila ditoleh, Kairel Azam
terpaca di belakangnya.
“Siapa lelaki
dengan Sasha tu?” Kairel mengulang soalannya lebih jelas. Sesekali dia
menjeling ke arah Sasha Amira yang kelihatan sudah masuk ke dalam perut kereta.
Kemudian lelaki yang bersama Sasha Amira pula masuk.
“Oh, tunang Sasha!”
Laju jawapan itu meluncur dari mulut Zaimah.
Kairel Azam dan
Intan Nazira terkejut serentak. Intan Nazira terkejut kerana tidak sangka
kawannya itu mudah untuk melepaskan kenyataan itu. Sedangkan kesahihannya juga
ditolak mentah-mentah oleh Sasha Amira. Realitinya lelaki itu cuma pinjaman
dalam lakonan Sasha Amira. Tapi hairan juga bila melihat mereka berdua
sekarang.
Kairel Azam pula
terkejut hingga membisu seribu bahasa. Perhatiannya dialih semula ke arah
kereta yang sudah mulai bergerak meninggalkan kawasan parkir. Bibirnya digumam
rapat.
Tunang? Ulang
Kairel Azam berkali-kali dalam hati.
Semalaman Sasha
Amira menanti Encik Rahim tapi papanya itu tidak juga nampak bayang. Jarum jam
sudah pun menunjukkan hampir tengah malam. Nampak gayanya macam papa tidak akan
balik malam ini.
Tidur dekat
pejabatlah tu! Sasha Amira meneka.
Memang selalu Encik
Rahim bermalam di pejabat. Lebih-lebih lagi tiada pekerja yang boleh diharapkan
untuk meronda kilang pada waktu malam. Papa yang terlampau baik hati. Ada
pengawal, mudah sangat diluluskan cuti. Berilah apa pun alasan, papa akan
terima walaupun kadang-kadang jika difikirkan logik, nampak sangat papa yang
kena tipu. Yalah. Kalau dah tiap-tiap hari beri alasan sakit perutlah, tak
sihatlah, bini sakitlah, anak meragamlah. Itulah yang dilakukan oleh bekas
pengawal kilang papa sebelum ini. Dalam sebulan, boleh dibilang dengan jari
hari berkerjanya. Pengawal papa yang baru ini agaknya sudah terjangkit penyakit
yang sama agaknya.
Sasha Amira juga
yang hampa menanti. Hasrat untuk mencurah rasa pada papa tidak menjadi. Hendak
ditunjukkan luka di dahi pada mama, bukannya mama tidak nampak kalau sudah
terang-terang dahinya berbalut. Tapi mama pula pura-pura seperti tidak nampak.
Tidak langsung mama bertanya apa-apa tentang luka Sasha Amira. Masakan Saif
Azrai sudah terlebih dulu beritahu mama hal yang berlaku? Ada kemungkinan juga.
Jika Sasha Amira
ajukan pendapatnya supaya menukar pemandu peribadi kepada mama, pasti mama
tidak akan setuju. Jadi malam itu, dengan hati kecewa dia masuk ke bilik. Mama
juga seawal jam sepuluh sudah menghilang. Tidak macam selalu jika papa ada
bersama, masa-masa ini mereka akan duduk berdua di laman. Hari ini, ruang tamu
begitu awal menjadi gelap.
Sasha Amira pendam
niat dalam hati. Simpa dahulu hingga esok hari. Harap-harap Encik Rahim akan
pulang malam esok. Tunggulah Saif Azrai. Akan Sasha Amira lenyapkan lelaki itu
dari rumah itu dan kalau boleh lenyap dari hidup Sasha Amira sekaligus.
No comments:
Post a Comment