“Good morning sayang...”
Halus suara itu
bagai menyapu cuping telinga Sasha Amira. Disusuli sentuhan lembut dipipinya
membuatkan dia akhirnya membuka mata dengan malas.
Masyaallah!
Terbelalak terus matanya melihat muka Saif Azrai dekat di sebelah. Wajah lelaki
itu yang tadinya manis tersenyum kini menonjolkan garis-garis halus.
“Kenapa ni sayang?”
Sayang? Mamat ni
dah hilang akal ke? Kalau nak bergurau sekalipun takkanlah sampai macam ni.
Melampau namanya dan memang boleh mendatangkan marah! Seketika lelaki itu
menganjak ke arahnya. Melompat Sasha Amira dari katil.
Aduh!
Tubuh Sasha Amira
terasa sakit. Digosoknya badan yang sakit sambil mengaduh terus. Bila ditoleh
kanan dan kiri, bayang Saif Azrai sudah tiada. Astaghfirullah. Mengingau
rupanya. Ini pasti terbawa-bawa dek skrip teater yang cuba dia siapkan malam
tadi. Semalam, seharian dia tidak keluar dari bilik kerana menghadap
kertas-kertas yang kini sudah bertaburan atas lantai. Tidak sempat dia kemaskan
kerana mata sudah kian memberat setelah sepanjang malam tidak merehatkan badan
hingga azan Subuh berkumandang. Selesai saja solat Subuh, terus saja Sasha
Amira henyak tubuh ke katil sampailah ke waktu ini.
Hai, sampai
termimpi-mimpi. Tapi kenapa muka Saif Azrai yang muncul? Kalau Aaron Aziz ke,
Adi Putra ke, best la juga! Ops! Semuanya suami orang.
Sasha Amira bangun.
Di bawah punggungnya beralaskan draf skrip yang sudah separuh dia siapkan. Awal
malam semalam dia mendapat pesanan ringkas yang menyatakan mesyuarat sudah
disahkan akan dijalankan pada hari Isnin. Kalau tidak selesai juga hingga ke esok,
cukuplah ditunjuk pada pengarah bahagian skrip yang sudah siap. Rasanya tiada
masalah. Pandai-pandailah dia hendak menjelaskan secara oral lanjutan skripnya
nanti.
Kakinya melangkah
ke jendela lalu dibuka luas menampakkan laman jiran sebelah rumah. Laman mereka
bertentangan saja. Sasha Amira membuang pandangan ke laman rumahnya. Redup
walaupun matahari kala itu sudah terpacak atas langit. Beralih pula ke pondok
di mana dia suka menghabiskan masa. Dilihatnya seorang lelaki sedang duduk
sambil membuaikan kaki ke bawah. Saif Azrai!
Sasha Amira spontan
mencebik. Lelaki itu lagi yang muncul depan mata. Tidak cukup semalam dia tidak
hadir dalam hidup Sasha Amira, dalam mimpi pula yang dikejarkan. Salah Saif
Azraikah? Tiba-tiba lelaki itu mengangkat kepala, melihat ke atas. Kelam-kabut
Sasha Amira mengundur. Fuh semangat! Nanti dikatanya Sasha Amira mengintai dia
pula. Siapa tahu kalau Saif Azrai bisa jadi lelaki perasan pula selepas ini.
Punggungnya
sudahnya dihenyak semula atas katil. Melihat seluruh ruang bilik dengan fikiran
kosong. Jantungnya berdebar. Berombak bukan kerana malu tapi dek kerana
tindakan refleksnya yang terkejut. Melihat jarum jam hampir mendekati nombor
satu, Sasha Amira bangkit semula. Belum sempat punggungnya panas.
Tuala kemudian
dicapai dari ampaian kayu lalu dia bergegas ke bilik air. Badan perlu
dibersihkan sebelum ketiaknya terus hangit. Sekejap lagi Sasha Amira mahu turun
merehatkan badan dan minda. Tapi bukan untuk bersua muka dengan lelaki bernama
Saif Azrai. Hai, sampai bila agaknya lelaki itu akan terus tinggal dalam rumah
ni?
Dari atas anak
tangga, Sasha Amira memandang ke ruang tamu. Melihat kalau-kalau ada orang di
situ. Tiada. Mama di bilik barangkali, dia meneka. Namun tekaannya tidak selalu
tepat apabila ada suara yang menegur sebaik kakinya menginjak lantai menuju ke
pintu.
“Ha, baru nak
keluar bilik anak dara ni. Nak ke mana pula tu?”
Kepala Sasha Amira
menoleh ke arah suara nyaring yang memang biasa bergema dalam rumah itu. Siapa
lagi kalau bukan milik mama. Puan Damia nampak sibuk mengemas meja, menyediakan
hidangan tengah hari. Sementara Encik Rahim sudah duduk di kepala meja. Encik
Rahim juga mengajukan soalan yang sama kepada Sasha Amira namun lebih lembut
aturannya berbanding mama tadi.
“Nak keluar kejap
papa. Nak tenangkan fikiran kejap, serabut siapkan kerja semalam.” Kakinya
dianjakkan mendekati Encik Rahim dan Puan damia di ruang makan. Tangan kedua
orang tuanya disalam tanda meminta izin. Encik Rahim sekadar menganggukkan
kepala, membenarkan.
“Hai, nak tenangkan
fikiran pun sampai ke luar?” Soalan Puan Damia menerjah gegendang telinga Sasha
Amira ketika tangan wanita itu dikucupnya. Bukanlah bernada marah kerana masih
ada senyuman terlukis di bibir mama. Cuma suara mama yang nyaring seperti biasa
memang sudah begitu sejak azalinya.
“Ha, jangan lupa
bagi kunci pada Azrai. Jangan kamu pula pergi keluar seorang. Kalau tak nak
duit saku kamu kena tahan lepas ni, baik kamu ikut aje cakap mama. Jangan nak
tunjuk degil kamu tu lagi. Mama dengan papa bukan main-main tau. Kami ni
serius!” Pesan Puan Damia lagi panjang lebar lalu menyinggul bahu Encik Rahim
meminta sokongan. Lantas suaminya terus saja mengiakan tanpa sebarang kata
lanjutan.
Sasha Amira
ternganga. Takkanlah hari minggu pun sama, kena bertemankan Saif Azrai. Ini
bukan setakat pemandu peribadi tapi sudah macam pembantu peribadi. Ke hulu
hilir hendak diheretnya Saif Azrai bersama. Mama dan papa tidak tahu apa yang
Saif Azrai buat bukan setakat tugas pemandu peribadi. Sasha Amira masak tengah
malam pun Saif Azrai hendak ambil tahu. Busy
body!
“Hari ni pun?”
“Hari-hari.” balas
Puan Damia pantas. Sudah nampak muncung terbit dari bibir anaknya. “Azrai ada
dekat luar tu. Dari tadi tak mahu masuk rumah, entah apa yang termenungkan.”
Leter Puan Damia. Sudah dianggapnya Saif Azrai macam anak sendiri. Dileter,
ditegur memang perkara biasa. “Ha, jangan balik lambat sangat. Jangan kamu nak
berdating pula dengan si Azrai tu sampai malam!”
Sempat Puan Damia
menyakat anak perempuannya bila melihat Sasha Amira sudah terhentak-hentak
berjalan keluar. Sasha Amira menoleh semula dengan muka herot mendnegar ayat
terakhir Puan Damia.
Heuw. Dating dengan mamat tu? Tolonglah mama….
Loya anak tekaknya bagai digeletek rasa mual. Sasha Amira rapat dengan Saif
Azrai pun tidak, di depan mata Puan Damia. Bukan setakat di depan Puan Damia,
realitinya memang begitu. Macam anjing dengan kucing. Sasha Amira tidak suka
Saif Azrai kerana lelaki itu masih tidak pergi jauh dari rumah ini. Kalau tiba
masanya Puan Damia mengingati wajah itu sebagai teman lelaki yang Sasha Amira
perkenalkan sebelum ini, habislah. Mestilah mama marah.
Di luar, Sasha
Amira terus berjalan ke pondok. Dia tahu Saif Azrai masih berada di situ kerana
sebelum turun tadi dia sudah terlebih dulu menjengah ke bawah. Langkahan
kakinya terhenti kurang satu meter dari pondok. Saif Azrai mengangkat muka,
memandang Sasha Amira dengan pandangan kosong. Jelas sekali lelaki itu sedar
akan kehadirannya.
Gugusan kunci yang
sudah sedia kemas dalam genggaman Sasha Amira lontar ke tubuh lelaki itu.
Sekali sambut, ia bertukar tangan.
“Aku nak keluar.
Mama suruh kau yang bawa!” Nada suara Sasha Amira pasrah bersama lirikan
matanya lantas dia berlalu ke kereta. Dalam hati pastinya merungut dengan
kehendak mama. Lagi-lagi soal duit saku yang menjadi ugutan, taruhan supaya
Sasha Amira mendengar cakap. Sedikit sebanyak tindakan mama buatkan Sasha Amira
tidak sabar mahu habis belajar. Kerja sendiri, dapat duit poket sendiri tanpa
meminta dari mama dan papa. Jadi tidak perlulah lagi dia ditekan dengan ugutan
yang sama.
Sementara dari
balik jendela, Puan Damia mengintai tindaka anaknya sambil tersenyum suka hati.
Nampaknya menjadi ugutan Puan Damia hendak memotong duit saku budak itu.
Diturutkan saja kata Puan Damia. Kalau tidak, payah benar Sasha Amira hendak
dengar cakap. Jika Puan Damia tahu sebegini mudah, dari awal lagi Puan Damia
gunakan alasan yang sama untuk memaksa anaknya itu berkahwin. Puan Damia
anggukkan kepala. Sudah mula merencana akal seterusnya.
Sepanjang
perjalanan, Sasha Amira senyap sahaja. Bila ditanya Saif Azrai ke mana arah
tujuan Sasha Amira diam juga. Saif Azrai pula tidak banyak cerita. Dipandunya
saja kereta itu entah ke mana tanpa berhenti walau satu destinasi.
Pusing-pusing satu bandaraya KL agaknya.
Pelik juga bila
Saif Azrai senyap tidak bersuara. Sudah habis akal untuk mengusikkah hari ini?
Emm. Sasha Amira
mengeliat kecil. Tidak sedar dia terlena pula dalam kereta. Kemudian di menguap
lagi. Masih terasa kantuk bersisa. Matanya yang kuyu tadi terbuka luas bila
menyedari tiada siapa di depan. Saif Azrai tidak ada di tempatnya. Sasha Amira
pandang keliling. Kereta itu sudah berhenti.
Pintu kereta lekas
dibuka dan dia keluar mencari baying Saif Azrai. Berdebar rasa hatinya. Entah
di mana dia berada sekarang. Saif Azrai pula ke mana hilangnya. Mamat ni memang
nak kena. Lepas ini memang sah dia kena pecat oleh papa!
Pandangannya liar
memandang sekitar sambil kakinya menganjak ke depan. Setapak demi setapak
seraya mencari bayang lelaki itu. Kurang sepuluh langkah, kakinya terhenti
kerana terpesona dek keindahan di kaki bukit itu. Bagai selautan dedaun hijau
luas terbentang di depan mata. Terpegun Sasha Amira seketika.
Di dada langit, ada
jalur-jalur pelangi yang baru muncul membias cahaya mentari. Rumput yang
dipijaknya juga masih kelihatan basah. Hujan barangkali ketika dia terlena
tadi. Kelopak matanya dikatup seketika. Satu nafas panjang disedut dalam-dalam.
Segar. Udara di sini lain rasanya. Tidak seperti di ibu kota yang padat dengan
gas beracun. Kemudian matanya dibuka semula. Sejenak Sasha Amira rasa tenang
dibuai keindahan ciptaan Tuhan. Begitu indah hingga tidak terjangkau akal
manusia akan kuasaNya.
“Oh, cik Sasha saya
dah bangun rupanya…”
Suara itu
serta-merta mengejutkan Sasha Amira lantas dia mencari arah datangnya suara
itu. Saif Azrai kelihatan mendongak dalam baringan tidak jauh dari tempatnya
berdiri.
Ish! Kacau daun
betul. Nak tegur tu, bagilah peluang aku nak nikmati keindahan alam ni dulu. Spoil betul!
Lelaki itu bangun
mendekati Sasha Amira yang masih terpaku. Dia tersenyum manis. Tapi tidak
semanis selalu malah lebih manis dari hari-hari biasa. Tangan Sasha Amira
disambut lembut lalu dipimpin menuruni cerun yang agak landai.
Eh! Apa
pegang-pegang pula ni! Dahlah tempat ni tak ada orang lain. Dia nak ambil
kesempatan pula ke? Sasha Amira terkejut, berbaur risau. Namun kudratnya seakan
tidak berdaya bertindak. Hanya selepas kakinya
menjejak tikar mengkuang yang dijadikan alas duduk, Saif Azrai
melepaskan tangannya. Lelaki itu sudah duduk mengunjur kaki sementara Sasha
Amira masih tercegat berdiri.
Saif Azrai
mendongak sambil tangannya menepuk-nepuk tikar di sebelah. Sepatah pun lelaki
itu tidak bersuara. Hanya senyumnya saja yang menjemput. Lambat-lambat Sasha
Amira hantar punggung ke bawah, duduk memeluk lutut ke tubuh. Matanya
dipanjangkan pula ke depan. Melihat lading the yang semakin cantik dipandang.
“Kenapa kau bawa
aku ke sini?” Sasha Amira juga yang memulakan bicara setelah Saif Azrai hanya
membisu walau sudah dekat lima minit mereka duduk bersebelahan. Tapi lima minit
itu terasa seperti lima hari. Terkiput-kiput Sasha Amira mencari posisi yang
tidak terasa janggal. Ke kiri ke kanan, semuanya rasa kekok.
“Awak tak cakap nak
ke mana. Saya tengok muka awak monyok aje macam tempoyak… jadi, saya bawalah ke
sini!” Jujur lelaki itu membalas tapi bikin hati Sasha Amira boleh terbakar
semula. Sampai hati dikatanya muka Sasha Amira macam tempoyak.
Kalau Nina, si
hantu durian bolehlah dikatakan macam tempoyak sebab dia memang suka benar
makan tempoyak. Apa saja makanan mahupun minuman berperisa durian, semuanya dia
boleh telan. Sasha Amira pula jangan kata durian, baunya saja Sasha Amira sudah
pening bagai diserang migrain.
“Tapi takkan sampai
ke Cameron. Berapa jam nak balik KL?”
“Emm... kalau
lambat, kita tidurlah sini.”
Sasha Amira
membuntangkan mata. Sedangkan Saif Azrai sengaja lemparkan pandangannya ke
depan sambil tangannya menongkat tubuh ke belakang. Herot-birut mulut Sasha
Amira menahan geram. Kalau kunci kereta ada padanya, ditinggalkan saja Saif
Azrai di situ seorang. Hendak sangat bermalam di sini kan. Ha, duduklah
bertemankan nyamuk!
“Kenapa buat muka
macam tu? Tak comellah.” Ada tawa di hujung kata Saif Azrai. Seketika dia
menoleh dan mata mereka bertaut. “Saya gurau ajelah. Awak tak payahlah tunjuk
muka macam nak makan saya pula. Ni, ha saya dah belikan macam-macam makanan!”
Jarinya menunjuk ke sebelah kanan. Sasha Amira berkerut.
Huish! Aku nak
makan kau? Mamat ni sedar ke tak apa dia cakap?! Rusuh Sasha Amira kurang
senang. Namun kepalanya tetap panjang menjengah di balik tubuh Saif Azrai. Huh!
Banyak betul makanan. Tak perasan pula Sasha Amira tadi. Tersorok rupanya.
“Dah beli makanan
buat apa sorok? Nak bagi hantu makan?” Sasha Amira buat muka tidak malu. Duduknya
dianjak ke sebelah sana. Perutnya juga sudah terasa lapar. Teringat pula asam
pedas ikan parang yang mama masak tengah hari tadi, sempat diijeling saja
sebelum keluar rumah. Lekas-lekas plastik ban perisa jagung dikoyak lalu isinya
terus disua ke mulut.
Ermm... bila lapar,
semuanya jadi sedap. Menjamu selera di depan panorama memukau, bertambah-tambah
enaknya.
Saif Azrai
mengeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum senang melihat gelagat Sasha Amira.
Bagai anak kecil gadis itu dilihatnya. “Anak dara Encik Rahim dan Puan Damia
ni, makan roti pun boleh comot-comot macam ni. Macam budak-budak.” Jari
kasarnya menyapu krim putih di tepi mulut Sasha Amira.
Serentak Sasha
Amira terpempan. Tegang rahangnya menggumam bibir, malu untuk merenung ke mata
Saif Azrai. Eh, apa pegang-pegang ni? Haram tau! Begitulah yang mahu dia
hemburkan pada Saif Azrai sebaik lelaki itu meletakkan tangannya. Dia hendak
marah seperti selalu, tetapi dia tidak mampu lagi. Pipinya kini terasa panas.
Hatinya berdetak perlahan dan sedikit demi sedikit berubah rancak. Alahai hati,
apa kena pula dengan kau hari ni? Pengaruh skrip teater juga atau pengaruh
mimpi?
Terbayang mimpi
peliknya pagi tadi. Sasha Amira geleng kepala laju-laju. Saif Azrai sudah
membaringkan tubuh sambil menekup sebelah tangan ke dahi. Sasha Amira menelan
liur lalu mengesot sedikit ke tepi. Kini jarak mereka kian jauh Seorang
dihujung sini, seorang lagi di hujung sana. Selamat. Sebelum hatinya terus
berombak, baki roti di tangan disumbat lagi ke mulut. Mengunyah dan terus
mengunyah sambil melukis lakaran episod cinta selanjutnya dalam skrip yang
patut dia siapkan. Bagai memanggil-manggil suruh ditamatkan saja cerita cinta
itu.
lagi..nak bce sambingannya lagi...tak dapat nak sabar dah ni....tdo pn asyik duk teringat kat shasa n saif azarai.....
ReplyDeletethanks zuriah sebab baca novel ni.. sambungannya akan diupdate setiap hari, insya-allah. rajin2 la jenguk sini tau :)
Delete