Hah! Mana skrip
aku? Mana laptop aku?
Celik mata saja
Sasha Amira seakan meracau sambil melingas mencari barang-barang yang bermain
di fikiran. Dia ingat yang dia masih belum lagi menyiapkan skrip sepenuhnya.
Malah yang selesai ditulis semula juga tidak sampai separuh.
Apa yang dicari
tidak jumpa. Dia nampak pula sesusuk tubuh duduk memeluk tubuh di kerusi
belajarnya. Sasha Amira terkejut. Pantas dia menjerit sekuat hati dan
serta-merta lelaki itu membuka mata dari lena lalu segera menoleh. Punggungnya
diangkat dan melangkah ke katil.
Mengingaukah gadis
itu? Sakitkah dia? Otaknya terus bermian teka-teki gara-gara secebis gusar di
hati. Semuanya kerana gadis itu diletakkan sebagai amanat. Amanat yang
diserahkan oleh kedua orang tua gadis itu sendiri. Belum pun sempat dia
bertanya apa-apa, selangkah dua dia berganjak, bantal peluk serupa bintang
menerpa muka. Matanya terpejam serentak tindakannya kaku seketika. Dalam masa
sama telinganya dapat menangkap suara amarah Sasha Amira.
“Apa kau buat dekat
bilik aku ni, hah?! Jantan tak malu! Tak malu!” jerkah Sasha Amira. Tangannya
mencapai pula bantal chicken little kesayangan yang dihadiahi oleh Along ketika
kali pertama Sasha Amira berlakon atas pentas teater dua tahun lalu. Orang lain
dapat bunga, Sasha Amira pula dapat bantal peluk. Apalah Along ni, buat Sasha
Amira macam budak-budak.
Walaupun sayang,
dicampaknya juga chicken little itu ke arah tubuh Saif Azrai. Mengena sasaran
atau tidak, itu belakang kira. Gelabah juga Saif Azrai mengelak serangan Sasha
Amira yang berturut-turut. Dapat dilihatnya wajah Saif Azrai yang
berkerut-kerut tidak sabar berikan penjelasan.
“Saya tak buat
benda tak baik pun. Saya cuma tolong awak pengsan semalam.”
Sasha Amira tidak
peduli walau lelaki itu cuba pertahankan diri. Sasha Amira tidak mahu dengar
sepatah pun. Dia bingkas bangun untuk mengadu papa mama dan papa. Baru
selangkah dia meninggalkan katil, tangannya terasa perit. Saif Azrai juga sudah
mendepang tangan ke depan dengan muka cemas. Sekelip mata saja ada beban yang
menimpa Sasha Amira dari belakang disusuli bunyi hentaman besi ke lantai. Dia
turut terjelepuk.
Adoi!
Tangannya kian
perit. Bila dipandang, ada salur air dan jarum dicucuk ke kulitnya. Patutlah
perit semacam. Gumamnya lantas lekas-lekas mencabut jarum itu. Ouch! Bekerut
mukanya lagi menahan sakit. Kemudian langkah terus dibuka luas mencari Puan
Damia. Saif Azrai yang hanya terpacak dibiarkan saja dengan reaksinya. Tidak
ingin Sasha Amira menoleh.
Hingga ke dapur
Sasha Amira mencari Puan Damia. Papanya juga tiada di rumah. Kalau tidak silap,
hari ini hari Ahad. Takkan hari minggu pun papa kerja juga? Keluar shopping ke? Dia membebel sendiri dalam
hati.
“Puan Damia dan
Encik Rahim tak ada. Mereka balik kampung, ada kenduri tahlil dekat rumah Pak
Ngah awak.” Muncul lagi Saif Azrai dengan menyampaikan berita perihal mama dan
papa.
“Kenduri? Kenapa
tak beritahu...” Sasha Amira mengomel. “Yang kau ni, apasal ada dekat dalam
rumah ni? Kan semalam kata nak sorok muka kau tu!” Sasha Amira mula teringatkan
hal semalam. Tapi lupa pula sama ada dia ada beritahu mama fasal Saif Azrai.
Tentang lelaki itu tidak balik semalam. Seingatnya, balik saja rumah dia terus
meluru ke bilik dan tidak keluar-keluar hingga malam tiba. Otaknya hanya
memikirkan skrip yang perlu disiapkan.
“Asalnya memang
macam tu tapi mama awak yang telefon saya minta saya tengok-tengokkan awak
dekat rumah seorang.”
“Tolong
tengok-tengokkan, bukan teman sampai ke bilik tidur!” Bergegar suara Sasha
Amira. Celik mata saja sudah nampak muka Saif Azrai. Memang tidak masuk akal.
Perlukah sampai begitu? Dia bukan anak kecil lagi yang perlu dijaga, didodoi
sebelum tidur. Dilontarnya satu jelingan cukup tajam sebelum berlalu. Naik
semula ke bilik dengan niat untuk menghubungi papa dan beritahu papa semua yang
berlaku. Biar kali ini, papa sendiri yang setuju untuk memecat Saif Azrai.
“Papa, kenapa papa
tinggalkan Sasha berdua dengan mamat tu?”
Gegendang Puan
Damia terus diterjah soalan itu sebaik dia menjawab panggilan bagi pihak
suaminya. Sedang Encik Rahim masih sibuk bergotong-royong memasak di luar
rumah. Hai... spontan Puan Damia menggeleng.
“Kamu ni, dengan
tak beri salam tak apa tiba-tiba aje merengek macam budak kecil ni kenapa? Papa
dengan mama tengah sibuk ni.”
Sasha Amira
mengeluh hampa. Patutlah berkali-kali dihubungi papa tidak dapat. Sudah
dijawab, suara mama pula yang sampai ke telinga. Adakah peluang untuknya
mengadu kalau dengan mama?
“Ha, apa yang kamu
berdua buat dekat rumah tu? Jangan buat hal tak senonoh pula!”
Baru saja Sasha
Amira berkira-kira mahu mengadu dengan mama, dia pula yang terkena. “Kenapa
mama dengan papa tinggalkan Sasha dengan dia? Dia tu bukannya darah daging
Sasha. Dibuatnya JAKIM buat spotcheck,
percuma kena tangkap basah. Mama ni...” Sasha Amira mengadu. Pintu bilik yang
tadinya luas terbuka, ditutup rapat. Laptop di atas meja kemudiannya menjadi
tumpuan.
“Dah kamu tu
memerap aje dalam bilik. Mama dan papa panggil nak ajak pergi kenduri rumah Pak
Ngah ni sekali pun kamu tak menyahut. Nak dengar macam mana kalau dah asyik
menyumbat aje telinga tu dengan lagu. Lepas tu, kunci pintu. Mama nak masuk pun
susah. Nak kena cari master key
segala. Tak kuasa mama!”
Telinga Sasha Amira
sekali lagi dihentam bebelan Puan Damia yang panjang berjelar. Memang tidak
pernah menang kalau bercakap dengan mama.
“Lagipun mama dah
tinggalkan pesanan dekat peti sejuk kan.”
Tidak perasan pula
Sasha Amira akan pesanan mama pada badan peti sejuk. Pergi ke dapur pun tidak
semalam. Ini kan pula hendak buka peti sejuk. Mama ni, lain kali tampallah
depan pintu bilik. Tak pun, hantar saja pesanan ringkas melalui telefon. Kan
senang.
“Habis tu, si Azrai
tu-”
“Ha, kenapa pula
dengan Azrai? Papa yang telefon lepas dia tak balik-balik semalam. Tanya kamu,
kamu tu tak reti nak menjawab. Mengurung diri aje dalam bilik. Kata dia, dia pergi
jenguk makcik dia yang tak berapa sihat. Bermalam terus dekat rumah makcik dia.
Tapi mama minta tolong juga dia tolong tengok-tengokkan kamu bila senang.”
Huh! Pandai betul
mamat tu buat alasan.
“Ish, mama tengah
sibuk ni. Kamu ni kenapa, cubalah cakap cepat sikit. Banyak kerja lagi nak
dibuat. Pinggan mangkuk dekat dapur tu pun banyak lagi yang belum kemas. Nak
harapkan anak dara macam kamu, panggil-panggil pun tak menyahut.”
Terkena lagi Sasha
Amira dek panahan kata-kata Puan Damia. Namun Sasha Amira tidak mahu ambil
pusing. Memang sudah biasa mama berleter begitu. Seakan sudah lali telinganya
menahannya. Sasha Amira berfikir lagi dua tiga kali untuk mengadu pada mama.
Takut-takut mamanya nanti berfikir yang bukan-bukan. Nanti tiba-tiba paksa
Sasha Amira kahwin pula dengan Saif Azrai kerana sudah duduk sebumbung semalam.
Bukannya mama tahu hal sebenar yang berlaku. Kalau Sasha Amira cuba jelaskan
pun, belum tentu mama mahu percaya.
“Tak ada apalah mama.
Lama ke mama dengan papa dekat rumah Pak Ngah?” Terus saja dia mengubah topik
soalan. Terkubur hasrat utamanya tadi.
“Emm... esok
baliklah agaknya.” Pendek saja jawapan Puan Damia. Kemudian Puan Damia
lekas-lekas memberi salam. Tidak senang hati dia mendengar pinggan mangkuk
berlaga di ceruk dapur. Mesti Mak Ngah dan saudara mara yang lain sedang sibuk
mengerah kudrat. Banyak lagi barang untuk kenduri malam ini belum disiapkan.
Pinggan mangkuk yang lama tersimpan dalam kabinet baru dikeluarkan dan perlu
dicuci sebelum digunakan malam ini. Rumah juga belum siap berkemas. Terlalu
banyak kerja yang perlu dibereskan. Tidak cukup tangan rasanya.
Sasha Amira
menggumam bibir. Telefon digenggam rapi dalam tangan. Mendengar kata mama yang
papa dan mama akan pulang esok, hatinya berdetak kencang. Masakan Saif Azrai
akan tinggal di rumah bersamanya juga hari ini?
Ah, lantaklah.
Boring nanti, baliklah dia. Takkan dia tak reti fikir nak duduk serumah dengan
anak dara orang pula! Sasha Amira cuba menyenangkan hati. Tumpuan lekas dipandu
ke skrin komputer. Skrip yang tertangguh dibelek-belek.
Eh? Dia ternganga.
Seingatnya baru sikit disiapkannya. Baru semalam dia tinggalkan. Rasanya dia
tidak silap ingat dan dia yakin sangat. Melihat skripnya sudah siap, dia
betul-betul terkejut. Teringat pula melihat Saif Azrai tidur di sini pagi tadi.
Jangan-jangan...
Segera dia berlari
ke bawah. Merata dia mencari lelaki itu tetapi tiada.
“Hai, kat rumah aku
ni juga kau menyemak. Kenapa tak temankan aje buah hati kau tu?” Izi Helmy
lontar tubuh ke sofa. Mahu turut serta menonton televisyen bersama sepupunya di
ruang tamu. Sekejap lagi ada tayangan Sejuta Ringgit Money Drop yang popular di
saluran astro. Tidak sabar hendak tunjuk pandai, lebih-lebih lagi di depan Saif
Azrai.
“Nak temankan apa
kalau dia nampak aku aje dah meracau sakan. Nanti makin parah muka aku ni
dibuatnya pula.”
Izi Helmy gelak.
Geli hati kembali mencuit apabila teringat cerita Saif Azrai semasa mula-mula
terpacul depan rumahnya. Sudahlah datang tidak beritahu dulu. Telefon saja
sudah terpacak depan pintu.
“Habis tu, kenapa
kau tak balik rumah aje?”
“Dengan muka macam
ni?” Said Azrai menunjuk ke muka. Izi Helmy diam. “Jangan cari nahas. Nanti
Bibik beritahu pada mama dan papa, confirm
aku kena soal siasat bila diorang balik dari oversea nanti.” Kepalanya digeleng sungguh-sungguh.
Bibik, gelaran
pembantu rumah mereka yang berasal dari Indonesia. Sudah lama Bibik berkerja di
rumah itu. Sejak dari Saif Azrai masih bersekolah. Hubungan mereka sudah begitu
rapat, bagai sekeluarga. Apatah lagi dengan sikap papa dan mama yang sentiasa sporting
dan mudah mesra. Bibik tidak segan-segan mengadu itu dan ini. Segala macam yang
berlaku di rumah pasti akan disampaikan pada Datin Kistina mahupun Datuk Rauf.
“Jadinya, rumah
bujang aku nilah jadi mangsa ya...”
Saif Azrai melirik
sepupunya dari ekor mata. “Hai, macam tak sudi tolong sepupu aje...” Sinis
nadanya. Namun disambut pula dengan hilai tawa Izi Helmy yang kian bergema
sekali lagi.
“Sepupu dengan buah
hatinya punya pasal, apa pun boleh. Bermalam bersengkang mata duduk menyiapkan
skrip cinta romantik pun tak ada hal punya! Buah hati aku sampai lebam mata
macam panda pun aku tak kesah!” Tempelak Izi Helmy bersama sisa tawanya dan
menyambung tawanya semula selepas itu.
Saif Azrai
tersenyum nipis. Dia faham benar maksud kata-kata Izi Helmy itu. Tentu
sepupunya itu bercakap tentang hal semalam di mana dia menahan Izi Helmy dan
Aina sebelum mereka berangkat pulang. Teringat akan pesanan Aina supaya Sasha
Amira banyakkan berehat dan tidak tertekan. Alang-alang Izi Helmy menyerah diri
muncul di depannya, Saif Azrai juga mahu ambil kesempatan.
Bagi Izi Helmy
lelaki kasanova, episod romantik bagai mengopek kacang goreng. Senang saja.
Jadi apalah salahnya Saif Azrai minta pertolongan sepupunya itu untuk membantu
Sasha Amira yang sakit. Apa guna kebolehan yang Izi Helmy ada kalau tidak
diadaptasikan atas pentas.
“Kenapa? Kau
menyesal?”
“Eh, tak... mana
ada menyesal. Mana boleh menyesal dengan sepupu kesayangan aku ni!” Izi Helmy
tayang sengih. Berdehem sekali dua sambil mengangkat kening. “Tapi... tak ada
kredit untuk aku ke? Payment ke,
glamor ke?” Keningnya diangkat lagi.
Kredit? Saif Azrai
berfikir-fikir. Hai, sepupunya ini tidak habis-habis hendakkan habuan. Pantang
buang kerja sikit, sudah minta macam-macam.
“Kat mana kau letak
tuala? Aku nak tuam muka aku ni... bagi cepat surut sikit.” Punggungnya
diangkat lekas-lekas dan melangkah ke dapur. Sengaja dia tinggalkan Izi Helmy
dengan muka tebal meminta-minta ganjaran. Malas dia hendak layan dan membiarkan
Izi Helmy mencebik dengan rasa kecewa. Padan muka sepupunya itu.
Sasha Amira
termenung seorang di meja makan. Sudah memang dia tinggal seorang hari ini.
Mama dan papa masih belum pulang. Kalau ikut kata mama pagi tadi, esok agaknya
mereka akan pulang. Itupun kalau jadi. Mama tu kalau balik rumah Pak Ngah
selalu melekat lama. Rindu dengan masakan kampung Mak Ngah. Lagi-lagi asam
pedas ikan pari air tangan Mak Ngah. Pergh, meleleh air liur Sasha Amira. Mana
setanding dengan megi goreng yang sedang dihadapnya sekarang.
Hai... perlahan
Sasha Amira lepaskan keluhan. Garfu ditonyoh ke dalam pinggan. Dipusing sekali
dua, melilit megi pada hujung garfu lalu disumbat ke mulut. Emm... sedaplah
juga walaupun masin sedikit.
Saif Azrai pula
tidak muncul-muncul batang hidung. Janji pada mama hendak tolong tengok-tengokkan
Sasha Amira. Masakan kena marah sikit pagi tadi sudah merajuk sampai tidak
datang terus. Eii... buruknya lelaki merajuk.
Terfikir tentang
Saif Azrai, teringat pula fasal skrip di bilik. Sudah siap dikerjakan lelaki
itu. Pandai-pandai saja dia menyudahkan kerja Sasha Amira. Tak pernah rasanya
Sasha Amira minta tolong. Bukannya dia tidak boleh siapkan sendiri. Tapi kerja
tangan Saif Azrai dia biarkan saja. Elok jalan ceritanya. Sayang pula nak buang
masuk dalam bakul sampah. Pandai juga Saif Azrai mereka cerita. Hai, patutlah
terer benar bagi alasan pada mama. Agaknya sebab itulah Saif Azrai terlena di
meja belajar Sasha Amira pagi tadi. Alamak! Sasha Amirakah yang salah faham
sebenarnya?
Ah! Sasha Amira
geleng kepala laju-laju. Malas rasnaya hendak sesakkan kepala mentafsir itu dan
ini. Sekurang-kurangnya, tak perlu lagi Sasha Amira kerah otak fikir ayat
jiwang-jiwang macam yang Fauziah hendakkan. Esok sudah boleh serahkan terus
skrip itu pada Fauziah. Habis cerita.
Nafas panjang
dilepaskan lagi sekali. Bosan pula bila kerja sudah siap. Dengan rumah yang
sunyi sepi tak berpenghuni, mati kutu rasanya Sasha Amira seorang diri. Ikutkan
rasa bosan, mahu saja dia merayap keluar. Mencari kawan, makan angin, cari
makanan yang lebih enak dari megi goreng atau berborak sampai pagi. Mungkin
bersama Zaimah, atau mungkin juga Intan Nazira. Siapa lagi teman rapatnya
selain mereka berdua tu. Tapi badan pula rasa tak larat. Lemah saja dari pagi
tadi. Tapi ada pula tenaga hendak marah-marah pada Saif Azrai. Ish, kenapa
Sasha Amira asyik terfikirkan Saif Azrai ni? Balik-balik nama lelaki itu yang
berlegar dalam kotak fikiran.
Megi yang masih
berbaki separuh ditinggalkan saja atas meja. Tidak lalu rasanya hendak
menyudahkan makan. Lantas Sasha Amira bangun dan berjalan perlahan ke bilik
semula. Ruang tingkat bawah sengaja dibiarkan terang-benderang. Dengan harapan
dari luar orang tidakkan menghidu yang dia sebenarnya tinggal seorang. Takut
juga tinggal sendirian. Sasha Amira hatinya keras tapi takut masih ada. Apapun,
dia tetap seorang perempuan.
Laptop juga yang
menjadi tumpuan apabila sampai di bilik. Membelek-belek sekejap skrip teater
yang sudah siap dicetak sementara menunggu laptopnya bersedia memaparkan kotak
kata kekunci. Mahu dibelek keseluruhan cerita Sasha Amira rasa malas. Hendak
baca semula cerita hampir 300 muka surat itu? Huh, cukuplah tulis pun separuh
mati. Biar Fauziah pula yang semak kalau-kalau ada yang tidak kena. Bagai yang
Sasha Amira tekadkan sebelum ini, kalau masih ada yang tidak kena biar saja
Fauziah yang betulkan sendiri. Tahulah dia kehendak hati sendiri. Sasha Amira
sudah letih. Dia mahu letak jawatan!
Skrip tebal
diletakkan ke tepi sebaik kotak kata kekunci terpapar depan skrin. Perkataan
‘popo’ ditaip laju. Itulah nama chicken little kesayangan Sasha Amira yang
Along beri. Nama itu pun Along yang bagi. Adakah patut namanya ditukar kepada
popo. Kelakar benar bunyinya. Tapi comel juga sampai melekat jadi kata kekunci
komputernya. Hujung jari hantu disorong ke kiri ke kanan atas pad tetikus.
Sesekali pad tetikus itu diketuk. Bosan. Jam sekarang baru menunjukkan pukul
9.30 malam. Mungkin dengan main solitare boleh mengubat rasa bosan. Cuma
permainan itu saja yang ada dalam komputernya.
Tidak sampai lima
minit. Bosan juga. Tidak mencabar langsung. Sasha Amira klik pada kotak
pangkah. Komputer riba ditolak ke dalam sedikit. Skrip tadi diambil semula.
diletak di depan dan mula membaca babak yang disambung Saif Azrai. Awal-awal
tadi sombong tidak mahu baca satu skrip tapi bila sudah mula baca seronok pula.
Sedar tak sedar, sehelai demi sehelai diselaknya. Lebih hebat hasil tulisan
itu. Sasha Amira tewas.
No comments:
Post a Comment