La! Burger aje?
Zaimah monyok
setelah berdiri di depan sebuah stall burger. Penat saja otaknya membayangkan
bermacam makanan yang enak-enak. Ingatkan dapatlah dia minta Sasha Amira
belanjanya makan yang sedap sikit. Tapi rupanya burger tepi jalan pula yang
menarik minat Sasha Amira? Hilang selera Zaimah!
“Ha, kata tadi
lapar sangat. Tak nak ke?” Sasha Amira menoleh ke arah Zaimah. “Kalau duduk
tercegat macam tu bukannya abang tu tahu kau nak makan apa.”
Zaimah tidak beri
respon. Buat habis air liur Sasha Amira saja. Sasha Amira bercakap dengan
patung lilin agaknya. Tadi Zaimah juga yang menceceh kata lapar bila Sasha
Amira hendak cari makan. Sasha Amira sudah siap pesan burger ayam, Zaimah pula
duduk termenung depan papan menu. Bukannya banyak sangat pilihan menu yang
Zaimah susah sangat hendak buat pilihan.
“Bagi burger ayam
satu lagilah, bang!” Sasha Amira membuat pesanan bagi pihak Zaimah. Nanti
terliur pula kawannya itu bila tengok Sasha Amira menjamu burger ayamnya nanti.
Tengok saja pada sos dan mayonis yang meleleh itu, air liur Zaimah pun turut
sama meleleh nanti.
“Bagi dua bang! Special punya.”
Lekas Sasha Amira
menoleh lagi apabila Zaimah akhirnya bersuara.
“Aku laparlah. Satu
mana cukup nak tampung perut aku ni!” ujar Zaimah sambil meraba perutnya.
Hampir meletup tawa
Sasha Amira melihat reaksi Zaimah. Siap menayang perut buncitnya depan abang
burger. Tak semenggah kawan aku ni!
Zaimah terus
memerhati setiap gerak-geri peniaga burger di depan. Kehangatan pan yang
membakar daging burger itu dapat dirasainya. Melihat daging itu berubah warna
dengan percikan kecil di keliling daging itu saja sudah bikin dia beberapa kali
menelan liur. Makin lapar pula perut Zaimah dibuatnya. Masa juga seakan terlalu
lama hendak menunggu burgernya itu siap. Entah bilalah Zaimah dapat menyuap
burger itu ke dalam mulut. Hai, tak sabar betul.
“Berapa bang?” Sasha
Amira melangkah setapak menghampiri gerai burger itu apabila melihat pesanannya
sudah siap dibungkus ke dalam beg plastik.
“Tak apalah. Hari
ni saya belanja!”
Tergamam Sasha
Amira mendengar jawapan lelaki itu. Spontan dia berpaling lagi ke arah Zaimah
di sebelah. Hai, takkan sebab reaksi Zaimah yang macam dah sebulan tak makan
tadi, abang burger ni terus bagi makan free
kut! Detiknya dalam hati.
“Ha? Free ke? Ish kalau tahu tadi, saya order banyak-banyak!”
Sasha Amira sudah
bulat mata kali ini. Aduhai kawannya yang seorang ini. Dia pula yang
lebih-lebih. Buat malu aje!
“Tak apalah.
Bukannya selalu saya dapat belanja girlfriend
makan...”
“Girlfriend?” Zaimah terus saja menyoal.
Tangannya pula menyambut bungkusan dari tangan lelaki itu yang dihulurkan
kepada Sasha Amira. Sasha Amira pula boleh buat tidak tahu saja. Lebih baik
Zaimah tolong sambutkan. Kasihan lelaki itu hulur lama-lama. Lenguh tangan dia
nanti. Lantas satu bungkusan burger dibuka cepat-cepat. Hmm... sedap juga.
“Siapa?” soalnya lagi sambil gelojoh mengunyah makanan dalam mulut.
Kelat saja muka
Sasha Amira melihat gelagat Zaimah. Memang serupa orang tidak makan sebulan.
Padahal, tadi Zaimah juga yang menghentam pau daging seorang. Sikit pun tidak
pandang kiri kanan. Apatah lagi mahu mempelawa kawan merasa. Mana tidak perutnya
membuncit ke depan. Pipinya itu kalau dicubit-cubit pun sedap. Macam teddy bear!
“Aik! Takkan bakal
tunang sendiri pun tak kenal cik Sasha?”
“Oh... Sasha ke?”
Zaimah menagguk-angguk. Burger di tangan terus disuap ke dalam mulut. “Ha?!
Sasha?!” Tersembur makanan dalam mulut Zaimah. Tangannya menuding ke arah Sasha
Amira.
Sasha Amira sudah
tidak peduli akan reaksi Zaimah. Lantaklah kalau kawannya itu mahu tayang
reaksi hodoh lepas ini. Entah cerita apa pula depan Sasha Amira ni? Mana pula
abang burger tu tahu nama Sasha Amira? Lepas tu, gatal-gatal mengaku bakal
tunang Sasha Amira pula! Pantang betul telinga ni dengar.
Sasha Amira bulat
mata memandang lelaki di depannya. Lelaki itu pula boleh tayang senyum lebar
padanya. Eii... macam miang aje rupa dia! Tapi kan... macam kenal. Seketika,
lelaki itu menanggalkan topi dari kepala. Sah!
“Ha, awak?!”
Senyuman lelaki itu
kian melebar. Seronok bila Sasha Amira sudah mengingati wajahnya. “Kan kita
janji nak bertunang tak lama lagi...” Tenang lelaki itu bersuara dengan kening
dijungkit-jungkit sedikit.
Aduhai. Teringat
Sasha Amira akan kenyataan itu. Mahu pitam pula rasanya. Sungguh Sasha Amira
tidak percaya akan bertembung dengan lelaki itu lagi.
Kecil benar dunia.
Detiknya lagi.
“La... kau cekup
mamat burger ke tempoh hari?”
Oh mak kau meletup!
Nasib baik Sasha Amira tidak melatah sebaik muncul suara menegur dari
belakangnya. Bila ditoleh, Intan Nazira rupa-rupanya. Sejak bila pula minah ni
ada dekat belakang aku? Buat terkejut orang aje.
“Terima kasihlah
bang sebab pinjamkan stall burger abang. Ni duit burger yang saya belanja
awek-awek tadi tu!” Saif Azrai tersenyum lebar sambil menghulurkan wang not
sepuluh kepada lelaki pertengahan tiga puluhan di depannya.
“Siapa awek-awek
tu? Kau cuba nak tackle awek tu ke?
Mana kau tahu yang dia orang tu akan datang sini?” Bertalu-talu soalan yang
keluar dari mulut lelaki itu. Wang yang dihulurkan disambut lambat.
Yalah, dari awal
Saif Azrai yang berdiri di depannya sekarang ini tiba-tiba saya datang hendak
pinjam gerai. Perkenalkan diri pun tidak. Disuruhnya pula dirinya berlakon jadi
pembantu tolong potong roti di sebelah. Beria-ia benar Saif Azrai akan
permintaannya. Dalam keadaan Saif Azrai terkocoh-kocoh takut
perempuan-perempuan tadi semakin hampir, terus saja dia beri peluang. Apa pula
yang budak ni hendak buat. Jangan dibawa lari gerainya, sudah.
“Ah, lantak kaulah
apapun alasannya. Kalau kau nak pinjam gerai aku lepas ni pun, aku tak kesah
sangat. Kau pun bukannya nampak macam nak curi gerai aku ni!” Selamba abang itu
bersuara setelah Saif Azrai sekadar melebarkan senyum.
“Betul ke bang?
Terima kasih bang. Terima kasih.”
Ha, ada pun suara!
Tadi aku tanya tersengeh-sengeh tayang gigi. Detiknya.
Digoncangkan tangan
abang itu dengan bersungguh-sungguh dan berkali-kali Saif Azrai mengucapkan
terima kasih.
“Tulah, main
tangkap muat sebarang aje. Tengok kan dah silap cekup. Daripada kau kahwin
dengan mamat burger tu, lagi baik kau ikut pilihan mama kau!” Intan Nazirah
masih menceceh. Kepalanya digeleng-gelengkan tidak berkenan melihat pilihan
hati Sasha Amira. Banyak pula cik akak ni punya idea hendak menyakitkan telinga
Sasha Amira. “Ada kerjaya bagus, kereta besar, rumah besar. Mamat burger ni apa
ada?”
“Eiii.... mamat
burger tu apa kurangnya Intan. Kalau akulah, aku tak kesah nak dia jadi boyfriend aku pun. Boleh aku makan
burger free hari-hari.” Zaimah pula
menyampuk sambil tersengih-sengih.
“Hei, takkan dia
nak bagi kau makan burger tu seumur hidup. Nanti, burger dengan muka kau pun
dah tak ada beza tau. Bulat bertingkat-tingkat macam burger!”
Zaimah kemam bibir.
Sampai hati Intan Nazira kata begitu. Mukanya yang comel, gebu, tembam macam
teddy bear ni dikatanya macam burger? Report
dekat mak baru tau!
“Hei! Kau orang ni
boleh senyap tak?” Tidak sempat Zaimah mahu merajuk dan membalas, suara Sasha
Amira pula tiba-tiba bergetar seraya berhenti melangkah. Wajah dua temannya
yang tercicir di belakang ditenung dengan riak bengang. “Tak payah kau orang
pula nak bergaduh pasal mamat burger tu! Aku tak serius pun dengan dia. Aku
cuma pinjam dia kejap aje masa tu. Apasal kau orang pula yang susah hati?”
“Kalau mamat tu
ambil serius, what are you gonna do?”
Terus saja Intan Nazira membalas.
“Kalau dia serius
tu lantak dialah! Siapa suruh ambil serius? Aku tak serius!” Sasha Amira
menoleh ke depan semula lalu terhentak-hentak meneruskan perjalanan. Malas dia
mahu memikirkan soal lelaki burger alias lelaki yang dicekupnya menjadi teman
lelaki semasa bertemu ibunya tempoh hari. Ah, buat sakit kepala saja. Burger
yang dimakan Zaimah tadi nampak sedap tapi Sasha Amira sudah hilang selera mahu
jamah. Sebab lelaki itu yang belanja!
No comments:
Post a Comment