Sasha Amira membuat
penilaian terakhir di depan cermin. Sikat dicapainya lalu rambutnya yang
panjang disisir sekali lagi. Seperti ada yang tidak kena. Diubah gaya rambutnya
berulang kali. Emm... gaya bagaimana yang kena dengan selera hari ini? Tindakannya
kian perlahan. Tidak semena-mena dia melepaskan satu keluhan halus bila
mengenangkan hal malam tadi.
Sasha Amira
terpaksa menghadap muka Saif Azrai setiap hari lepas ini? Aggh.. itulah yang paling dirisaukannya sekarang.
“Aduh! Macam mana
pula mamat tu boleh jadi driver aku
pula? Dia sengaja kejar aku ke? Dia ingat aku serius dengan dia ke masa tu!
Masak!” Hatinya tertekan. Hujung rambut ditarik sekuat hati bagi melepaskan
geram. Kalau Saif Azrai ada di depan mata, sudah tentu rambut Saif Azrai yang
ditariknya. Biar rambut pendek itu panjang, kalaulah boleh.
Sayup suara Puan
Damia memekik kedengaran dari dalam kamar Sasha Amira. Serta-merta Sasha Amira
menjeling jam tangan. Sudah lama Puan Damia tidak menggesanya ke kolej. Sebelum
ini, tidak payah disuruh Sasha Amira sudah keluar awal-awal. Duduk berborak
dulu dengan teman sebelum kuliah bermula. Berbincang itu dan ini. Berkongsi
bermacam cerita mahupun gosip. Tapi sekarang, kalau terus begini hendak keluar
bilik pun malas.
Lekas-lekas Sasha
Amira mencapai getah rambut dan diikat terus rambutnya. Ringkas saja
penampilannya hari ini dengan T-shirt longgar dan jeans. Alat kosmetik dipungut
masuk ke dalam beg semula. Kemudian, Sasha Amira berjalan malas meninggalkan
kamar.
Puan Damia sudah
menanti di ruang tamu sambil mendongak ke atas. Tangannya memegang surat
khabar. Melihat Sasha Amira sudah menuruni anak tangga, tumpuan Puan Damia
kembali ke arah isi berita yang dibacanya.
“Pergi dulu, ma...”
Sasha Amira menyapa Puan Damia sebaik melintasi ruang tamu ke depan pintu.
Tidak seperti selalu, hari ini Sasha Amira memilih snickers lalu disarung ke
kaki. Melangkah setapak dua di luar rumah, Saif Azrai sudah menanti dengan
senyuman.
Sasha Amira sekadar
berlalu tanpa suara. Namun tidak jauh langkahnya pergi, tangannya sudah
disambar seseorang.
“Eh, apa
pegang-pegang ni!” bentak Sasha Amira marah. Tangannya lekas ditarik dari
pegangan Saif Azrai. “Oh, sekarang dah pandai nak ambil kesempatanlah.
Mentang-mentang mama dengan papa aku percayakan kau.”
“Maaf.” Saif Azrai
angkat kedua belah tangannya seperti menyerah diri. Dia tidak berniat untuk
mengambil kesempatan seperti tuduhan Sasha Amira tadi. Tapi itulah tindakan
spontannya untuk mengahalang Sasha Amira terus membelakangi dirinya. “Tolonglah
jangan berdegil lagi. Papa awak upah saya jadi pemandu awak, jadi biarlah saya
hantar awak ke mana saja yang awak nak. Kalau awak terus keras hati macam ni,
awak bukan menyusahkan saya. Tapi diri awak sendiri.”
“Oh, aku degil.
Keras hati? Ha, ya! Aku ni degil, keras hati. Jadi, tak boleh ke kau biarkan
aje dengan haluan aku. Jangan nak paksa itu dan ini!”
“Tak boleh!”
Sepantas kilat Saif Azrai membalas. “Sebab saya pemandu awak. Ke mana saja awak
pergi, saya kena bawa dan saya akan ikut.”
Sasha Amira
mendengus. Itulah masalahnya. Kenapa perlu lelaki itu sentiasa perlu ada
bersamanya?
“Kalau awak degil
macam ni, saya akan terus duduk dekat rumah ni. Awak nak ke tengok muka saya
hari-hari, 24 jam? Saya tak kesah!” Saif Azrai membisikkan kata-kata itu
perlahan.
Geramnya Sasha
Amira bukan kepalang. Untuk melihat lelaki itu setiap masa, dia tidak rela. Dia
lebih rela berkurung dalam bilik. Hanya dia sahaja. Aman.
“Kenapa tak pergi
lagi ni. Mama tengok planner kamu dekat bilik tu, tengah hari ni ada mesyuarat
ahli jawatankuasa kelab. Naib Pengerusi Kelab Budaya mana boleh ponteng
mesyuarat penting kan?”
Tiba-tiba suara
Puan Damia menerpa telinga. Lantas Sasha Amira menoleh. Hanya Saif Azrai saja
yang kekal terpaku pada kedudukannya.
“Papa dah pesan
semalam, kalau kamu masih keluar dan balik sendiri papa akan potong duit poket
bulanan kamu.”
Mata Sasha Amira
bulat. Kurang percaya dengan kenyataan yang baru menyinggah ke telinganya
sekejap tadi. “Apa mama? Mana adil macam ni mana.” Sasha Amira menolak
sepenuhnya.
“Kenapa tak adil
pula? Kalau kamu sendiri yang tak nak dengar cakap orang tua, tu dikira sebagai
pengajaran.”
“Sasha bukan budak
kecil lagi mama...” Langsung Sasha Amira tidak setuju. Masakan kerana tidak
menerima Saif Azrai sebagai pemandunya, dia didenda sehinga duit saku dipotong.
Memang tidak adil. Kalau papa tukar pemandu lain, Sasha Amira rela ikut. Tapi
tolonglah bukan teman lelaki palsu Sasha Amira itu. Kalau satu hari Puan Dami
ingat akan rupa lelaki itu, bagaimana? Tentulah pecah tembelang Sasha Amira.
Namun melihat Puan
Damia senyum lebar membuatkan Sasha Amira mengaku kalah. Sahlah itu satu ugutan
tegas dari mama dan papa. Hai, ini mesti rancangan mama lagi. Papa tidak akan
sesekali terfikir akan idea-idea begini sebab dari kecil hingga ke besar papa
manjakan Sasha Amira. Semua kehendak Sasha Amira papa akan turutkan.
Menggigil tubuh
Sasha Amira menahan geram. Hendak tidak hendak, rela tidak rela dia terpaksa
masuk ke dalam kereta. Saif Azrai juga tidak membuang masa. Sebaik Sasha Amira
duduk di kerusi belakang, Saif Azrai lekas masuk ke tempat pemandu.
Setelah MyVi
anaknya meninggalkan perkarangan rumah, Puan Damia melonjak sendiri. Gembira
hatinya kerana akalnya menjadi.
“Pandai juga aku.
Mana boleh lawan mama ni...” Puan Damia memuji diri sendiri. Dengan hati
gembira, Puan Damia berjalan masuk ke rumah.
Dari cermin pandang
belakang, Saif Azrai dapat melihat muka tegang Sasha Amira. Nampak sangat gadis
itu sedang menahan marah.
Sementara di tempat
duduk belakang, Sasha Amira memeluk tubuh kuat-kuat. Matanya dijeling ke depan
sekali sekala. Dia sedar Saif Azrai mengintai reaksinya. Buat apa
terintai-intai dari balik cermin? Tidak perlu tengok, tentulah Sasha Amira
geram, bengkak hati kerana dipaksa. Ish! Macam budak kecil Sasha Amira yang
patut sudah beranak sepuluh ini dibuatnya. Dada Sasha Amira juga mahu meletup
saja dari tadi dek kemarahan yang meluap-luap.
Saif Azrai ni
kenapa tak pergi jauh-jauh? Kalau mama sedar akan hal yang berlaku di restoran
dulu kan teruk. Teruk pada Sasha Amira yang pasti terpaksa mengikut mama
berjumpa calon-calon menantunya.
Tapi kalau Saif
Azrai tidak mengundur diri dan pergi jauh, biar Sasha Amira buat dia serik.
Biar lelaki itu tidak tahan dan terus menghantar surat perletakan jawatan pada
papa.
“Kenapa bawa kereta
macam siput ni? Tak reti bawa kereta ke apa? Lembap! Lajulah lagi!” Tujah Sasha
Amira bersama renungan tajam ke arah Saif Azrai. Dia nampak Saif Azrai
menjeling ke cermin. Seketika pandangan mereka bertaut dan dia juga nampak
lelaki itu tersenyum lantas mengalih semula pandangannya ke jalan. Senyum-senyum
pula!
“Saya memang tak
reti bawa kereta. Saya cuma tahu pandu aje. Manalah larat saya nak bawa kereta
ni ke hulu hilir dengan awak sekaligus. Berat tu.” Saif Azrai tersenyum-senyum
lagi menjawab. Jawapannya itu bikin hati Sasha Amira tambah bengkak.
Boleh pula dia
loyar buruk pula masa ni. Kelakar sangatlah tu! Gumam Sasha Amira geram.
“Tak payah nak buat
lawak bodoh pula masa ni. Aku dah lambat tahu tak. Cepatlah sikit. Bukan
setakat bawa kereta lambat, otak kau pun sama lembap macam siput.” Sasha Amira
sudah menggila. Ditepuknya belakang tempat duduk pemandu berkali-kali. Cukup
kuat untuk menggegarkan kerusi itu. Sekejap digoncangnya pula kerusi itu.
Kepala Saif Azrai juga dicapai dan digoncang sama berulang kali sambil menjerit
supaya Saif Azrai memandu lebih laju.
Menjerit juga Saif
Azrai meminta Sasha Amira berhenti dari tindakannya. “Janganlah macam ni. Saya
tak nampak jalan ni...”
Bang!
Kepala Saif Azrai
terhantuk ke stereng. Dia mengangkat perlahan kepalanya. Ada rasa perit di
hujung dahi. Bila diraba, tiada luka yang berdarah. Dadanya juga terasa perit
saat dia cuba menggerakkan tubuh. Perlahan dia mengaduh.
Lemah saja tangan
Saif Azrai menekan butang di tepi pintu kerana menanggung sakit di sana sini.
Makin dia bergerak, makin perit sakit itu mencengkam. Namun rasa sakit kian
surut sendiri kemudiannya. Cermin tingkap sudah melurut ke bawah. Kepalanya
menjengah keluar. Dilihatnya tayar sebelah kanan sudah bertenggek di bahu
jalan. Saif Azrai menarik nafas lega. Mujurlah tidak teruk. Rasanya boleh
bergerak lagi kereta ini. Mujur juga mereka tidak bertembung dengan kenderaan
lain.
Saif Azrai segera
menoleh apabila teringat akan Sasha Amira. Senyap saja gadis itu. Tidak ada
lagi suara nyaring Sasha Amira yang menjerit-jerit sebentar tadi.
Masyaallah.
Terkejut Saif Azrai bila melihat separuh tubuh Sasha Amira terhumban atas brek
tangan. Cepat-cepat Saif Azrai menanggalkan tali pinggang keledar. Kepala Sasha
Amira dipangku ke sebelah tangannya. Pipi gadis itu ditampar lembut sambil
memanggil nama Sasha Amira berkali-kali. Beberapa ketika, Saif Azrai dapat
merasa cecair yang hangat mengalir di tangannya.
Perlahan-lahan
Sasha Amira membuka mata. Kelopak matanya terasa berat benar. Bila dicelik,
pandangannya kabur dan sedikit demi sedikit menjadi lebih jelas. Putih. Itu
yang pertama Sasha Amira dapat lihat.
Sepatutnya Sasha
Amira berada di kolej tapi di mana Sasha Amira dia berada sekarang? Dia cuba
bertanya pada diri sendiri. Sasha Amira cuba melihat keliling namun payah benar
rasanya mahu memusingkan kepala walau sedikit. Hendak menoleh ke kiri kanan,
rasanya juga tidak mampu. Kepalanya betul-betul terasa berat.
Bila diingat-ingat,
perjalanan ke kolej tadi terasa begitu panjang. Terlalu panjang hingga Sasha
Amira kurang jelas dengan apa yang berlaku.
“Oh, awak dah
sedar!” Tiba-tiba satu suara bergema di telinga. Sangat jelas dan Sasha Amira
yakin ia datang betul-betul di sebelahnya. Seketika kemudian, terpacul muka
Saif Azrai di atas muka. Terus saja Sasha Amira terkejut serentak bangun.
“Aduh...” Sasha
Amira meraba kepala. Sakit terhantuk dek kepala batu Saif Azrai. Bijak sungguh
lelaki itu menyapanya begitu. Kalau muka-muka yang sememangnya Sasha Amira mahu
lihat, tidak apalah juga. Ini muka lelaki itu yang muncul. Bagai mimpi ngeri!
Eh! Sasha Amira
dapat merasa sesuatu di dahinya. Sebelah tangan lagi juga diangkat dan meraba
seluruh benda yang melekat di kepalanya.
“Kenapa kepala aku
berbalut pula ni?” Dia mengomel sendiri. Aduh. Sakit mula terasa.
“Awak dah okey ke?”
Serentak Sasha
Amira menoleh ke arah suara di sebelah. Saif Azrai masih mengurut dahi. Amboi.
Kepala keras macam batu pun sakit ke? Gerutu hati Sasha Amira melihat muka itu.
“Itulah. Kacau lagi
pemandu berhemah ni memandu. Tengok apa dah jadi. Dah macam rocker dah ha, ada
band dekat kepala.” Sempat lagi Saif Azrai menyakat. “Kalau saya pandu perlahan
tadi kan tak jadi macam ni.”
Sasha Amira
mencebik. Aduhai. Masa-masa ini pun lelaki itu hendak menyakitkan hati orang.
Bukannya hendak pujuk atau menenangkan orang yang sakit. Diri sendiri pula yang
dia puji. Huh!
Balutan di kepala
Sasha Amira lekas-lekas dibuka dengan kasar. Sakit tapi ditahannya juga.
Hatinya lebih sakit jika hendak dibandingkan dengan sengal di kepala. Tidak
ingin dia menjadi minah rocker seperti yang disebut Saif Azrai tadi.
Melihat tindakan
Sasha Amira, Saif Azrai pula yang terkesima. Gadis itu bangun dan turun dari
katil. Tanpa sepatah kata. Namun dari riak wajahnya, Saif Azrai tahu kemarahan
Sasha Amira sedang meluap-luap dalam hati. Ah, seperti biasa. Berbeza sungguh
dengan wajah redup ketika dia terlena tadi. Tapi tidak kira marah atau tidak,
Sasha Amira tetap nampak comel padanya.
“Awak nak ke mana
ni? Awak tu belum stabil lagi.”
Tiada respon. Sasha
Amira terus meluru keluar dari klinik.
“Aduhai... awak
tahu tak 3 jam saya tunggu awak tidur tadi. Takkan awak nak pergi macam tu aje.
Sekurang-kurangnya beritahulah, saya tolong hantar.” Saif Azrai mengejar dari
belakang. Tiba-tiba langkahnya terhenti sebaik Sasha Amira berhenti dan
menoleh.
“Helo, tolong
sikit. Bila masa pula aku tidur? Kau tak boleh beza ke antara tidur dengan tak
sedarkan diri? Tak nampak kepala aku ni yang dah berbalut disebabkan kau?”
Sasha Amira memulangkan paku buah keras.
Ingat dia pandai
sangatlah tu. Pandai-pandai nak meloyar buruk dengan bahasa aku tadi kan.
Hatinya menrungut tidak henti.
“Ha, kalau kau rasa
nak merasa tidur kat dalam tu, silakan. Aku tak ada masa nak kesah!” Satu
jelingan lagi dihadiahkan buat Saif Azrai sebelum kaki Sasha Amira semula. Kali
ini lebih panjang dan selaju yang mungkin. Dia tahu Saif Azrai membontoti di
belakang. Lantas Sasha Amira bergerak lebih pantas.
Sekali lagi
langkahnya terhenti. Kini Saif Azrai sudah berada di depannya. Memandang ke
muka Sasha Amira dengan wajah tenang seperti biasa.
“Kalau awak nak ke
mana-mana, saya hantarkan. Lagipun, beg awak pun ada dengan saya...” Lelaki itu
bersuara sambil menepuk-nepuk beg yang tergalas di bahunya.
Sasha Amira
mencerlung mata ke muka Saif Azrai. Dia tidak menunggu lama untuk merampas beg
dari pegangan lelaki itu. Beg itu berjaya ditawan lalu dihayun kuat ke tubuh
Saif Azrai.
“Jangan sibuk!”
Kata-kata itu laju dituturnya sebelum berlalu pergi.
Saif Azrai hanya
melihat. Menghantar Sasha Amira pergi dengan pandangan yang mulai kosong. Saat
itu otaknya hanya mentafsir rasa sakit yang menular. Dadanya kembali perit
setelah dihadiahkan penangan agak keras dari Sasha Amira. Ketika dia mencempung
Sasha Amira ke klinik itu, dia sendiri tidak menerima rawatan. Keadaan Sasha
Amira lebih penting. Kini Saif Azrai sudah bersandar ke dinding, menahan sakit
yang sekejap lenyap sekejap datang dengan rasa yang cukup perit.
No comments:
Post a Comment