“Amboi anak bos,
payah benar nak nampak batang hidung dekat pejabat sekarang! Tak dapat-dapat
lagikah burung pipit yang dikejar?” Sudah bergema suara Izi Helmy sebaik Saif
Azrai melangkah masuk ke dalam restoran yang dijanjikan. Belum pun sempat dia
tarik kerusi, mulut kereta api ekspres itu cepat benar menyakat.
“Projek apa yang
kau cakap tadi, sampai beria nak suruh aku keluar sangkar?” Saif Azrai
mengiakan saja usikan Izi Helmy. Namun diteruskan dengan topik yang hendak
dibincangkan. Kalau hendak diikutkan mukadimah Izi Helmy, sampai malam pun
tidak kering idea sepupunya itu menyakat orang. Memang pro!
“Alah, relakslah.
Gopoh sangat nak cerita fasal tu. Rindu benar ke pada buah hati? Tak lari mana
kut!” seloroh Izi Helmy lari bersama tawa yang akhirnya pecah dari perut. “Kalau
ya pun, pesanlah makan dulu ke... minum. Kita bincang slow and steady macam biasa...”
Saif Azrai
mengikut. Tangannya diangkat tinggi memanggil mamak untuk mengambil pesanan.
Teh tarik kurang manis diminta bersama telur separuh masak. Restoran nasi kandar
ini yang menjadi pilihan Izi Helmy, tempat makan kegemaran sepupunya itu sejak
akhir-akhir ini. Di sinilah pertama kali dia bertemu Aina. Jadi restoran ini
bukan saja tempat dia menjamu selera, tetapi juga tempat keramat dia bertemu
cinta hatinya.
“Ha! Ceritalah
fasal projek tu. Kalau kau nak kata aku sibuk, memang aku tengah sibuk. Jadi,
tak payah nak buang masa okey.”
Mulut Izi Helmy
muncung ke depan dengan muka tidak percaya. “Perggh, sibuk benar bos aku ni!
Okeylah bos. Aku pendekkan cerita.”
Saif Azrai sudah
bersiap sedia pasang telinga. Tumpuannya diberikan sepenuhnya pada berita yang
bakal disampaikan Izi Helmy.
“Kalau setakat
projek lain, aku boleh uruskan sendiri. Tak ada hal punya. Tapi projek yang ni,
aku terpaksa libatkan kau. Uncle pun
masih belum balik dari oversea. So, nak tak nak...” Tangannya
didepangkan ke depan. Saif Azrai hanya mengangguk lalu mengajak Izi Helmy
meneruskan penjelasannya. “Actually,
sebelum uncle pergi ke luar negara
dia yang serahkan pada aku projek ni. Uncle
kata projek ni mesti jalan dengan baik.”
“Jadi?” Saif Azrai
mengangkat bahu. Kurang faham dengan mukadimah panjang lebar dari Izi Helmy.
Bila agaknya hendak sampai ke klimaknya? Memang semua projek yang papa terima
papa akan pastikan semuanya berjalan dengan lancar. Mana bisa papa akan biarkan
ada masalah, naik anginlah papanya itu nanti. Hati pelanggan mesti kena jaga,
kepuasan mereka keutamaan papa. Itulah prinsip Datuk Rauf. Dari hari pertama
Saif Azrai jejakkan kaki di syarikat itu, prinsip itu yang pertama sekali
disematkan dalam mindanya. Izi Helmy sendiri pun tahu.
“Projek ni tak besar
pun bro. Projek kecil aje. Papa kau terima pun atas dasar kawan.”
“Laa, apa
masalahnya kalau projek kecil? Projek besar ke kecil, busines tetap busines!”
Izi Helmy angguk
setuju. “Betul! Masalahnya tuan punya projek ni, kawan uncle. Encik Rahim namanya, ayah buah hati kau tulah!”
Tersedak Saif Azrai
yang sedang meneguk air dari gelasnya apabila nama itu dibisikkan Izi Helmy.
Matanya agak bundar dibulatkan lagi merenung Izi Helmy. Banyak juga yang
sepupunya itu tahu. Tahu pula dia yang Encik Rahim itu papa Sasha Amira. Hai,
banyak menyiasat nampaknya.
“Jadi, aku rasa
kaulah orang paling layak uruskan projek ni. Kau pun tahulah aku, projek modal
ciput macam ni aku tak berapa reti nak uruskan. Kalau kau buat mesti jadi
punya. Lagipun semua pelan kau selama ni uncle
setuju. Praktikal. Menepati budget!”
“Kalau dah tahu dia
tu papa Sasha, kenapa kau libat aku? Kau uruskanlah seorang. Pecahlah rahsia
aku nanti kalau aku yang berbincang dengan dia.” Memang tidak masuk akal. Boleh
pula Izi Helmy memilih projek dalam ketiadaan papa masa ini. Pujian yang
dilontar sepupunya itu pun entah jujur entah tidak. Entah-entah saja hendak
memancing supaya Saif Azrai setuju. Kalau hendak minta tunjuk ajar sedikit
sebanyak mungkinlah dia boleh pertimbangkan. Tapi hendak diberinya projek itu
bulat-bulat kepadanya, huh memang tidak sanggup.
“Sorry bro! Tapi bakal ayah mertua kau
dah sampai!”
Tergamam Saif Azrai
dibuatnya. Terketar-ketar rasanya Saif Azrai mahu menoleh ke belakang. Izi
Helmy sudah melambai-lambai seakan memanggil seseorang. Seketika ada suara
memberi salam dari belakangnya. Saif Azrai kenal benar suara itu. Salam Encik
Rahim disambut Izi Helmy.
Erkk... Saif Azrai
kaku di tempatnya. Hendak cabut lari sudah tidak ada ruang lagi.
‘Kurang asam punya
sepupu. Kalau ya pun beritahulah awal-awal. Sempat aku nak lari!’ Gumamnya
tidak puas hati.
Saif Azrai
pura-pura bertanya tentang kepulangan Encik Rahim dari kampung, tentang kenduri
di rumah Pak Ngah. Macam-macam lagi. Sememangnya dia terkejut. Tidak sempat
berjumpa di rumah, duduk pula berbincang di restoran mamak. Apatah lagi dengan
identitinya yang sudah terbuka luas. Aduh. Memang rasa malu macam hendak sorok
muka bawah meja. Malu pada Encik Rahim sebab sudah menipu tapi bukan Saif Azrai
sengaja. Encik Rahim yang mula-mula salah faham ketika kali pertama dia datang
ke rumah mereka.
“Emmm... Encik
Rahim nak dengar fasal projek ni ke atau nak tahu lebih lanjut fasal bakal
menantu Encik Rahim ni?”
Saif Azrai sudah
cegilkan mata ke arah Izi Helmy. Pandai-pandai saja sepupunya itu buat lawak
sekarang ini. Hendak jadi agen mencari calon menantu pulakah? Reaksi muka Encik
Rahim diperhatikan juga. Lepas bercerita tentang kenduri tadi, perbualan mereka
mati sekejap. Lantas Saif Azrai memohon maaf sebelum memberitahu hal sebenar
pada Encik Rahim. Dari A hinggalah ke Z.
“Saya ni tak adalah
nak marah sangat. Yalah, salah saya juga. Tapi, Sasha tahu ke fasal ni?”
Akhirnya Encik Rahim bersuara. Tenang saja. Sama perwatakan Encik Rahim seperti
di rumah.
Izi Helmy memandang
Saif Azrai dan mereka saling berpandangan. Tidak lama, Saif Azrai menggeleng.
Kedengaran suara keluhan halus dilepaskan Encik Rahim.
“Jadinya, macam
mana? Masakan Encik Azrai nak terus jadi pemandu anak saya tu? Malulah saya...”
“Encik Rahim jangan
cakap macam tu!” Lekas Saif Azrai mencelah. Dia kemudiannya meminta supaya
Encik Rahim merahsiakan hal ini daripada pengetahuan Sasha Amira.
“Saya ikhlas pada
anak Encik Rahim. Tapi sebelum saya dapat hatinya, saya tak mahu hatinya
terluka dulu kalau dapat tahu saya menipu...” Saif Azrai tegas dengan
pendirian. Lama juga Encik Rahim merenungnya tanpa sepatah kata. Dia menanti
penuh sabar, tanpa sepatah bicara yang menyokong kenyataannya tadi. Akhirnya
Encik Rahim sekadar mengangguk, merestui.
Syukur
alhamdulillah.
“Terima kasih,
Encik Rahim kerana percayakan saya.” Saif Azrai menyimpul senyum. Mereka
membalas senyuman.
“Alah, buat apa
berencik-encik lagi. Panggil papa sudahlah!” Tempelak Izi Helmy berjenaka lalu
tertawa besar. Encik Rahim dan Saif Azrai juga terikut sama. Lain pula
ceritanya. Rancangan asal hendak berbincang fasal projek pembesaran kilang
milik Encik Rahim. Sekarang sudah jadi seperti sesi sola jawab sejak sejam yang
lalu dan sesi ini baru saja tamat.
“Oh, ya. Berbalik
pada perbincangan kita fasal projek ni...” Saif Azrai memulakan semula
perbincangan yang belum sempat mereka mulakan tadi. Izi Helmy segera
mengeluarkan kertas lakaran dan alat tulis lalu diserahkan kepada Saif Azrai.
Encik Rahim tekun
mendengar idea dan cadangan daripada Saif Azrai. Sesekali Encik Rahim membuka
mulut, membuah pendapat. Izi Helmy juga pasang telinga. Jarinya ligat memegang
pensil. Menulis segala permintaan Encik Rahim dan perbincangan mereka berterusan.
No comments:
Post a Comment