Pages

Hi pembaca semua!!!

Terima kasih kerana datang melawat, membaca karya-karya dalam blog ini dan terima kasih juga kepada semua yang menyokong Yuri. Yuri rasa happy sangat dengan kehadiran korang dalam hidup mahupun alam maya Yuri ni.

Segala komen dan sokongan sentiasa dan akan terus membakar semangat Yuri untuk terus berkarya menggunakan nama pena ayu munawer.

Semua karya di dalam blog ini adalah ilusi, imaginasi serta daripada pengalaman hidup. Dan yang paling penting, semua karya di sini adalah hasil karya Yuri. Mohon supaya tiada copycat dekat sini... tqvm

Harap korang terus menyokong dan beri komen mahupun kritikan untuk Yuri memperbaiki sebarang kekurangan.

P/S: Untuk makluman, karya "Dia Si Jantung Hati" akan dihentikan penerbitannya di sini atas sebab rombakan besar-besaran plot cerita. Justeru itu, judulnya juga bakal berubah. Maaf atas sebarang kesulitan. Harap korang setia menunggu dan menyokong hasil rombakannya nanti okey ^^,
"Aku tak suka kau la" kini diterbitkan di penulisan2u dengan tajuk "JIWA KACAU"..saja nk tukar tajuk. Sebb yuri rasa cam lg sesuai je tajuk ni..lebih pendek n ringkas hehe ada ka yuri edit2 skit. Harap u all x kesah nk singgah baca :-)
Sudi-sudilah berkunjung ke official blogshop yuri di http://decodanmakan.blogspot.com yer. Walaupun rupanya masih macam blog biasa, yuri pun masih belajar lagi macam mana nak upgradekannya. Macam-macam ada. Nak tau apa yang ada, kenalah singgah.

Terima kasih (^^,)v

Friday, January 4, 2013

dia si jantung hati: bab 7


Saif Azrai menghela nafas panjang apabila kakinya memijak laman depan sebuah rumah dua tingkat. Taman perumahan itu nampak seperti rumah sederhana mewah tetapi rumah di depannya sekarang sudah banyak diubah suai.
Sengaja Saif Azrai meninggalkan keretanya jauh di jalan utama ke kawasan perumahan tersebut. Semput juga dia hendak menapak mencari alamat rumah yang tertera pada skrin galaxy notenya. Menyesal pula tidak mencari dulu dengan kereta. Tidaklah dia berpeluh tercari-cari.
“Assalammualaikum...” Lembut Saif Azrai memberi salam tika terlihat kelibat seorang lelaki tergesa-gesa keluar dari rumah menuju ke kereta. Kelihatan lelaki itu menoleh ke arahnya. Ada garis tanda tanya di wajah lelaki itu.
Tanpa membuang masa, Saif Azrai terus bertanya. “Ini rumah...” Belum sempat Saif Azrai menyudahkan ayatnya, lelaki itu terlebih dulu memintas.
“Awak ni orang yang nak jadi driver tu ya? Sekejap ya...” Encik Rahim melangkah laju ke dalam rumah semula. Tidak lama, Encik Rahim muncul semula dan terus mendapatkan Saif Azrai di muka pagar.
“Baru petang semalam saya beritahu staf saya pasal ni. Tak sangka secepat ni saya boleh dapat driver. Tapi, awak bukan jadi driver saya. Saya nak upah orang jadi driver kepada anak perempuan saya,” ujar Encik Rahim dan menghulurkan kunci kereta anaknya kepada Saif Azrai.
Memang pada awalnya Encik Rahim kurang setuju akan cadangan Puan Damia mahu mengupah pemandu peribadi untuk Sasha Amira. Tapi boleh katakan tiap-tiap hari telinga Encik Rahim diasak topik yang sama hingga terpaksa juga Encik Rahim beralah.
Sementara Saif Azrai terpinga-pinga menyambut gugusan kunci itu dari tangan Encik Rahim. “Tapi encik...”
“Oh ya, saya Rahim. Maaflah, saya dah hampir lewat nak menguruskan hal penting pagi ni. Awak tunggu aje dekat sini tak apa? Saya dah maklumkan pada isteri saya yang awak dah sampai. Sekejap lagi dia keluar. Emm... itu kereta anak saya.”
Tergesa-gesa Encik Rahim menjelaskan pada Saif Azrai lalu menuding ke depan. Kurang sepuluh saat, Encik Rahim sudah masuk ke dalam kereta. Tidak berkesempatan Saif Azrai hendak buka mulut. Kereta Encik Rahim sudah meluncur pergi.
Saif Azrai pandang keliling dan akhirnya matanya tertancap pada sebuah MyVi berwarna kuning terang di luar pagar.
Driver?” Sekejap Saif Azrai memandang gugusan kunci dalam tangannya. Spontan dia mendengus sambil menggeleng kepala. “Bila pula aku cakap nak jadi driver ni? Dibuatnya aku ni perompak, lesaplah kereta anak dia tu aku rembat.” Fikirnya nakal. “Eh, kejap! Driver anak perempuan dia? Ehmm... kalau betullah rumah yang aku sampai ni rumah dia... cantik sangatlah plan ni!”



Seluruh meja solek diselongkar hingga berselerak botol-botol kosmetik yang awalnya tersusun kemas. Di dalam laci juga dibelek sekali. Beg tangan yang dipakainya semalam juga dipunggah hingga kosong isi perut. Namun benda yang dicari masih tiada.
“Mana pula aku letak kunci semalam?” Rungut Sasha Amira perlahan sambil terus meraba-raba atas katil. Dijelingnya jam di pergelangan tangan. Sasha Amira sudah hampir lewat. Kuliah akan bermula satu jam lagi sedangkan perjalanan dari rumah ke kolej akan memakan lebih kurang empat puluh minit. Itu pun kalau jalan tidak sesak. Tapi ketika inilah kunci keretanya pula yang hilang tanpa kesan.
Cuba diingatnya semula di mana kali terakhir dia meletak kunci itu semalam. Sepatutnya tidaklah tersorok sangat tempatnya. Tapi... akhirnya, satu keluhan dihempas agak keras.
Dengan terhentak-hentak, Sasha Amira berlari keluar dari bilik. Menuruni tangga, mencari Puan Damia di bawah.
“Mama...” Sasha Amira memanggil sambil mencari bayang Puan Damia. Hingga ke dapur dilihatnya Puan Damia sedang menjamah minum pagi di meja makan.
Puan Damia menunjuk nasi goreng yang masih panas dengan muncungnya, mengajak Sasha Amira duduk bersama menjamu sarapan pagi.
“Mama nampak kunci kereta Sasha tak?” Soalan itu pula yang keluar dari mulut Sasha Amira. Masakan dia berselera mahu menjamah makanan sedangkan dia sudah hampir lewat ke kolej. Fikirannya pula bercelaru habis bila barangnya tiba-tiba lesap.
Ada senyuman terukir di bibir Puan Damia. Dengan tenang nasi goreng disenduk ke atas pinggan lalu disuap ke dalam mulut. Ops, pedas pula nasi gorengnya hari ini. Lantas Puan Damia mencapai cawan berisi kopi pekat dan diteguk sedikit.
“Mama...” Nada suara Sasha Amira kian terdesak. Matanya tercari-cari juga di sekitar meja makan dan kabinet. Dalam masa yang sama otaknya mencongak waktu. Jika dikira mahu sudah lebih sepuluh minit dia mencari merata tempat. Masakan satu rumah mahu diperiksa. Segera kaki Sasha Amira mendaki anak tangga ke bilik semula. Barang yang diselerakkan atas katil tadi disumbat masuk ke dalam beg semula. Dia sudah memutuskan untuk pergi saja ke kolej dengan teksi hari ini.
Hari ini Sasha Amira tidak boleh tidak muncul. Datang lewat pun dia tidak berani kerana Puan Raina, pensyarah bagi kuliah pertamanya sudah memberi amaran. Apatah lagi hari ini bakal dijalankan ujian tergempar. Lewat menjejak kaki ke dewan kuliah saja sudah ditolak markah. Lebih lewat lagi, pintu dewan kuliah pula ditutup rapat. Alamatnya, tawakal sajalah untuk peperiksaan akhir bagi yang tidak dapat masuk ke dewan kuliah. Kalau dulu, bolehlah bertolak ansur dan minta simpati Puan Rania. Tapi setelah berbadan dua, berubah angin nampaknya pensyarahnya itu.
“Aduh, macam mana ni. Kalau dapat telur ayam, silap-silap aku kena repeat lagi. Tak kuasa nak dengar orang perli-perli ni...”
Langkah Sasha Amira panjang menuju ke pintu utama. Kasut tinggi dua inci cepat-cepat disarung ke kaki.
“Kunci kereta kamu ada dekat luar.”
Tiba-tiba terdengar suara nyaring Puan Damia. Namun tenang nadanya. Sekilas Sasha Amira menoleh bersama kerutan di dahi. Puan Damia sudah tercegat di belakangnya.
“Luar? Kenapa kat luar pula, ma? Sasha lupa kunci kereta ke semalam?” Bermacam soalan yang sempat mennyergah fikirannya. Sementara tangan Puan Damia dicapai dan dicium sebelum kakinya berlari ke kereta.
Fuh, nasib baik tak hilang baby aku! Fikirnya setelah sudah nampak sedikit bayang MyVi kuning di luar pagar. Tidak lama Sasha Amira dapat mengukir senyum apabila dia dikejutkan oleh wajah seorang lelaki yang bersandar di sebelah kereta kesayangannya. Kunci di tangan lelaki itu dilambung-lambung sekali dua.
“Awak ni siapa?” Terus saja soalan itu terpacul dari mulutnya. Muka lelaki itu ditenung lama dari tepi dan apabila lelaki itu menoleh, Sasha Amira benar-benar terkejut. Pantas kakinya berlari semula ke dalam sambil menjerit-jerit memanggil Puan Damia.
“Mama... ada pencuri dekat luar! Dia nak curi kereta Sasha!”
Tenang saja Puan Damia menanti di muka pintu sedangkan anaknya sudah gelabah lebih-lebih. Malahan Puan Damia boleh pula tertawa kecil mendengar tuduhan Sasha Amira. Tambah bingung Sasha Amira pagi-pagi ini.
“Itu bukan pencuri kereta. Itulah driver kamu,” balas Puan Damia agak lambat membuatkan Sasha Amira melopong seketika.
“Dia? Lelaki tu?” soal Sasha Amira berulang kali kerana hati tidak percaya. Jarinya dituding ke arah luar. Ke arah lelaki yang terpacak di luar pagar. Sengaja lelaki itu melambaikan tangan apabila Sasha Amira menunjuk ke arahnya.
Puan Damia tidak berkata walau sepatah. Namun senyuman yang diulit di bibir Puan Damia menjawab semua soalannya. “Kenapa dia nak jadi driver Sasha pula? Sasha tak perlukan driver. Kan Sasha boleh drive sendiri.”
“Kamu tu, hari-hari balik rumah sampai nak dekat lewat malam. Ha, lepas ni tak adalah mama nak risau sangat bila dah ada driver. Mama nak tengok, berani lagi tak kamu nak balik sampai malam-malam gelita.”
Sasha Amira hempas nafas panjang. Semput dia mendengar cakap ibunya. Sahlah semua ini idea Puan Damia. Menarik sungguh rancangan Puan Damia kali ini. Sebab Sasha Amira balik lewat atau pun sekadar hukuman kerana Sasha Amira buat hal ketika perkenalan dengan anak Datin Kistina sebelum ini?
Tanpa menjawab apa-apa, Sasha Amira mengangkat kaki. Di luar, Saif Azrai sudah menanti. Ditegurnya Sasha Amira dan dijemputnya masuk ke kereta. Namun, Sasha Amira lebih rela buat tidak endah. Kakinya terus terhentak-hentak melangkah laju. Kalau dikira, dia sudah semakin lewat. Kalau teksi boleh memecut sepantas kereta lumba sekalipun, belum tentu kakinya sempat jejak ke depan pintu dewan kuliah. Apa alasan Sasha Amira kali ini? Ada lelaki gila mengejarnya atau teksi yang macam siput?
Sementara Puan Damia di muka pintu memerhati tindakan Saif Azrai selepas itu. Lelaki itu tenang masuk ke dalam kereta dan beberapa ketika kemudian, dilihatnya kereta itu berlalu meninggalkan depan rumahnya.
Seulit senyuman terlukis lagi di bibir Puan Damia. Tengoklah sampai bila Sasha Amira boleh berkeras dengan tindakan Puan Damia yang memegang kuasa veto dalam rumah ini. Anak itu dia juga yang besarkan. Lebih kurangnya semua dalam genggaman Puan Damia.
“Jangan budak laki tu bawa lari kereta tu, sudah!” Terdetik hal itu sebelum Puan Damia masuk semula ke dalam rumah. Nasi goreng yang dimasaknya tadi nampaknya terpaksa Puan Damia jamah seorang. Kalau ada cucu-cucunya di rumah ini, pasti budak-budak itu berebut-rebut hingga tidak cukup semangkuk. Hai, rindu pula pada cucu-cucunya.  



“Awak, naiklah kereta. Biar saya hantar awak pergi kolej.” Saif Azrai memandu kereta perlahan, mengekori Sasha Amira sepanjang jalan. Namun Sasha Amira tidak langsung peduli. Menoleh ke arahnya juga tidak.
“Apa guna papa awak upah saya kalau awak nak pergi jalan kaki.”
‘Gila ke apa nak suruh aku jalan kaki sampai kolej? Ingat aku nak menapak sejauh tu macam dalam walkathon tu? Nak berjalan dalam shopping complex pun malas. Ni pun sebab terpaksa!’ Sasha Amira merungut sendiri. Namun Saif Azrai tidak dapat mendengarnya walau sebutir.
“Cik Sasha... miss Sasha!” Berkali-kali Saif Azrai memanggil. Tapi tidak langsung membuahkan hasil. Hingga ke hentian bas kecil di hujung jalan, Sasha Amira duduk dan menunggu di situ. Saif Azrai turun dari kereta. Belum sempat dia mendekati Sasha Amira, sebuah teksi berhenti di depan setelah ditahan oleh Sasha Amira.
“Cik Sasha!” panggil Saif Azrai buat kali terakhir sebelum Sasha Amira pergi dibawa teksi.

No comments:

Post a Comment