“Drama apa pula
ni!” Sasha Amira membentak keras. Tercungap-cungap Raihana datang mencarinya.
Baru saja kaki mahu melangkah pulang. Ingatkan bolehlah dia balik awal hari
ini. Goyang kaki di rumah, sambil menghadap kolam ikan mama di sebelah pondok
kegemarannya. Sudah lama rasanya dia tidak buat begitu. Kelab budaya tidak
habis-habis merampas masanya. Ada-ada saja hal yang berlaku dan paling tak
bestnya, melibatkan dirinya. Kenapa tidak dicari saja orang lain.
“Drama apa pulanya.
Betullah ni. Si Fauziah tu nak kau ganti Intan jadi pelakon utama!” Serius muka
Raihana memberitahu.
Sasha Amira
tercengang lagi. Kemudian dihempas keluhan berat sekuat mungkin. Biar Raihana
tahu yang dia tengah bengang. Ingatkan sudah siap kerjanya dengan teater amal
kali ini. Rupanya... ada lagi?
“Kenapa pula aku
kena gantikan Intan? Kenapa tak ambil saja dia bawa watak heroin tu?”
“Itulah masalahnya.
Baru sehari kami agihkan tugas, tiba-tiba aje Intan tarik diri dari teater ni. Jadi,
macam tak ada orang lagi yang boleh ganti tempat dia.”
Sekali lagi
dihempas nafas yang kian memberat. Sesak sungguh rasanya dada Sasha Amira
sekarang. Tempoh hari, bukan main giat lagi Intan Nazira membodek dan mengambil
hati Fauziah. Kononnya nak dapat watak utama. Nah, sudah diberi wataknya kenapa
pula Intan Nazira tarik diri tiba-tiba? Atau... ada muslihat lain yang Intan
Nazira fikirkan? Ish, tidak kuasa Sasha Amira terus buruk sangka pada kawan
sendiri.
“Macam tak boleh?
Buatlah uji bakat, cari pelakon baru. Takkan semua benda nak campak kat muka
aku?”
“Dah tak sempat.
Masa dah suntuk sangat nak cari pelakon baru, nak uji bakat segala. Kau aje
yang dia nampak. Intan pun suggest
kau ganti tempat dia. Lagipun kau pernah berlakon dengan Azam sebelum ni. Aku
rasa chemistry kau berdua pun okey.”
Ah, sudah!
Terbelalak besar matanya mendengar nama itu keluar dari mulut Raihana. “Azam
watak utama ke?” Bagai terjerut leher Sasha Amira apabila Raihana mengangguk. Kurang
asam punya Intan. Dia saja lepas tangan, hempuk pula beban tu ke muka aku.
Bentaknya geram. Memang niaya dia kali ini. Masakan Intan Anzira menarik diri
kerana Kairel Azam. Kenapa pula Intan Nazira hendak tarik diri kalau Kairel
Azam heronya? Apa pula masalah antara mereka berdua tu? Lepas itu,
pandai-pandai mencadangkan dirinya sebagai pengganti heroin?
“Tambah pula skrip
ni kau yang tulis. Rasanya tak jadi masalah untuk kau menghayati cerita ni
nanti!”
Tak ada masalah?
Huh! Memang masalah besar sebab ini cerita cinta! Terbayang-bayang lakonan
mereka berdua dalam pementasan dua tahun lepas, tubuhnya segera menggigil. Bila
difikirkan tentang skrip kali ini yang hasil tulisan Saif Azrai lebih gila
romantiknya, masya-allah. Dia mengucap panjang. Ya Allah, apalah yang patut aku
buat sekarang? Sasha Amira lagi tidak sanggup mahu bergandingan dengan Kairel
Azam.
“Jom! Ikut aku...
kau kena tolong aku juga kali ni!”
Tangan Sasha Amira
terus ditarik Raihana, dibawa lari hingga ke dewan. Tergamamnya dia sehingga
tidak mampu membuka mulut. Otaknya asyik membayangkan itu dan ini. Memikirkan
tentang sikap Kairel Azam yang perasan setelah mereka digandingkan sekali.
Macamlah Sasha Amira miliknya betul-betul di luar pentas. Mengarut.
Jauh benar
fikirannya melayang hingga tidak sedar diri sudah berada di depan pentas.
Berhadapan dengan puluhan krew kelab budaya yang sibuk membuat kerja
masing-masing. Krew prob sibuk melakar dan berbincang tentang prob yang perlu
mereka sediakan. Krew kostum sibuk dengan pelbagai jenis pakaian dan aksesori
depan mata. Para pelakon pula masing-masing sedang menghafal bahagian skrip
masing-masing.
Sebaik Raihana
memekik memanggil nama Fauziah, semua mata tertumpu ke arahnya. Terpaku terus
Sasha Amira di situ. Seketika Fauziah bangun dari celah krew teknikal yang tadi
sibuk berbincang sambil menunjuk ke atas. Berbincang perihal sorotan lampu
barangkali.
Dari balik pintu
depan dewan, Intan Nazira mengintai senario yang berlaku di dalam. Bibirnya
mengulum senyum penuh makna.
“Kenapa monyok
saja?” Akhirnya Saif Azrai menegur. Setelah lama dia perhatikan Sasha Amira
yang diam dan ketat saja mukanya sejak masuk dalam kereta tadi. Semalam
marah-marah, pagi tadi juga tidak habis-habis hendak bertekak dengannya. Petang
ini pula diam membisu.
Sasha Amira terus
diam. Soalannya tadi juga tidak dijawab gadis itu. Saif Azrai mula curiga. Tidak
sihat lagikah gadis itu? Lekas Saif Azrai membelok dan memberhentikan kereta di
lorong kecemasan. Tubuhnya menoleh ke belakang.
Sasha Amira memandang
ke depan. “Kenapa berhenti?” soalnya dengan muka tawar.
Sedar rupanya dia.
Saif Azrai berfikir-fikir. “Awak okey?” soalnya pula ingin tahu. Lesu saja muka
Sasha Amira di matanya. Tentu ada yang tidak kena.
“Penyibuk! Jalan
ajelah!” Wajah Sasha Amira yang ketat tadi kian tegang. Marah benar nampaknya.
Saif Azrai akur. Sihatlah tu, fikirnya. Dia kembali memandang ke depan. Tidak
lama kereta itu bergerak semula.
Mata Saif Azrai
tetap menjeling ke cermin, melihat reaksi Sasha Amira di belakang. Gadis itu kembali
merenung ke luar tingkap. Tergerak hati Saif Azrai untuk mengubah haluan.
Dipandunya kereta itu menuju ke Titiwangsa.
Tiba di kawasan
parkir, Saif Azrai memberhentikan kereta. Menghadap betul-betul di depan tasik
Titiwangsa. Tersentak lagi Sasha Amira apabila kereta itu tidak lagi bergerak.
Dijengah keluar, tiada pun rumah papa. Pastas mukanya masam mencuka merenung
tajam ke arah Saif Azrai.
“Saya ingatkan awak
perlukan tempat untuk tenangkan fikiran,” ujar Saif Azrai tanpa diminta.
Sasha Amira menjeling
geram. Tanpa mendengar cakapnya selepas itu, lelaki itu pula yang keluar dari
kereta. Berjalan beberapa tapak ke depan dan menongkat tubuh di tiang
penghadang di tepi laluan tasik. Sasha Amira dapat melihat semua tindakan
lelaki itu dari dalam kereta.
Di depannya
terbentang tasik yang luas dan dihiasi landskap yang cantik. Berdesup sesekali
manusia yang joging di situ lalu di depan Saif Azrai. Pandai-pandai saja lelaki
itu bawa dia hingga ke sini. Semua orang memang pandai buat keputusan sendiri,
tanpa keizinan dan kerelaannya. Sungguh tidak adil.
Namun melihat
keindahan di luar sana, ketenangan waktu petang dengan menikmati keindahan
Tasik Titiwangsa buatkan dia mengalah lagi. Lambat-lambat dia turun dari
kereta. Berjalan ke depan dan berdiri di tempat yang sama di mana Saif Azrai
sudah lama bermenung jauh. Tangannya memeluk ke tubuh. Matanya turut memandang
ke depan. Menghadap air tasik yang nampak tenang.
“Dalam bandar yang
sesak pun masih ada tempat yang tenang.” Tiba-tiba Saif Azrai bersuara. Segera
Sasha Amira menoleh kerana terkejut. Memang kacau stim betul! “Dalam hidup yang
rumit pun pasti ada ruang untuk kita menarik nafas panjang.”
Huh! Bermadah apa
pula ni? Tak faham langsung! Tak kiralah rumit ke tak rumit ke, memanglah kena
bernafas. Kalau tak bernafas matilah manusia. Gumam Sasha Amira tidak mengerti.
Tiba-tiba lelaki itu memalingkan muka. Memandang tepat ke arahnya. Kemudian
tersenyum manis menampakkan lesung pipitnya. Seketika dia terpana. Lantas lekas
dia mengalih pandanan ke depan semula.
“Orang kalau stres
selalu, takut-takut sampai ke wad mental perginya.” Sasha Amira menoleh semula.
Tercegil matanya kali ini. Sedangkan Saif Azrai sudah tergelak kecil. Hendak
bergurau sekalipun, agak-agaklah. Melampau sungguh.
Namun Sasha Amira
tidak membalas. Tidak ada modal rasanya mahu membalas lalu perbualan mereka
mati di situ. Saif Azrai duduk bertenggek di atas penghadang jalan itu. Matanya
begitu jauh merenung ke depan. Macam dia pula yang punya masalah besar.
No comments:
Post a Comment