3 hari kemudian...
“Kau nak pinjam
gerai ke hari ni?” teriak Abang Man dari gerai burgernya.
Serentak Saif Azrai
menoleh. Sudah masuk empat hari dia ke sini. Duduk di bahu jalan sambil menanti
bayang Sasha Amira. Setiap hari juga Abang Man menegur hingga Abang Man pula
yang menjadi teman berbual. Namun sejak pertemuan kali pertama itu di sini,
bayang Sasha Amira sudah tidak lagi muncul.
“Kau tunggu awek
kau tu ke? Ha, tak apalah. Kalau aku nampak dia nanti, aku panggil. Kau
pinjamlah gerai ni. Tapi macam biasalah, jangan kau bawa lari gerai aku ni
sudah. Ni ajelah harta yang aku ada!” Seloroh Abang Man selamba lalu dia ketawa
sendiri.
Saif Azrai mengukir
senyum. Tidak habis-habis Abang Man bergurau hal yang sama. Takut benar gerai
burgernya di bawa lari. Cerita Abang Man semalam, sudah dua kali gerai
burgernya dicuri orang. Kali pertama cuma tong gas dan dapurnya sahaja yang
hilang. Tapi kali kedua langsung tidak meninggalkan sebarang sisa. Habis semua
kena angkut. Sebab itulah agaknya Abang Man risau benar.
“Baru berapa hari
lepas dia datang, bang. Takkan dia nak makan burger hari-hari...” Saif Azrai
menjawab juga. Matanya kembali meliar memandang keliling. Mencari dan menanti
bayang Sasha Amira. Dia yakin akan kenyataan yang baru saja lidahnya ucapkan
tapi tidak dinafikan juga masih mengharap bayang Sasha Amira muncul depan mata.
“Kalau suka, kenapa
tak terus terang aje dekat dia?”
Pandangan Saif
Azrai terus menuju ke muka Abang Man. Sekejap. Kemudian meliar semula. Suka?
Tidak pernah Saif Azrai menyukai seorang gadis sebelum ini kerana dia lebih
suka bersendirian. Gadis juga tidak ada seorang pun yang mahu mendekati Saif
Azrai yang dulu lagak seperti seorang otaku. Ke sana sini hanya dengan dunia
sendiri.
“Perempuan ni,
kalau kita tak cakap bukannya dia faham yang kita suka kat dia!” Abang Man
menyambung lagi. Tangannya pula sibuk mengemas itu dan ini di gerainya. Sedangkan
Saif Azrai menyambung lamunannya. Semenjak bertemu Sasha Amira, hatinya rasa
berbeza. Betulkah seperti kata orang-orang tua yang hatinya kini sudah diketuk
rasa suka? Hai, mungkinkah tuan badan sendiri yang faham akan rasa itu? Dulu,
hendak berkawan dengan perempuan pun payah. Manalah Saif Azrai tahu bagaimana
rasa suka pada perempuan.
“Aku dulu pun macam
kau juga!” Abang Man beralih kepada Saif Azrai. Menghenyakkan punggungnya di
sebelah Saif Azrai sambil melayang tapak tangannya ke lengan lelaki itu.
Saif Azrai
tersentak apabila tangannya dicubit rasa perit. Serentak dia menoleh ke sebelah.
Abang Man sudah pun duduk di sebelah sambil tersenyum-senyum. “Masa aku
mula-mula terpikat pada isteri aku dulu pun macam tu. Suka tapi malu nak cakap
dengan dia yang kita suka kat dia. Alah, biasalah tu. Malu-malu kucing kata
orang. Malu tapi hati mahu!” Abang Man berkongsi cerita lalu diakhirirnya
dengan gelak yang memecahkan suasana.
Saif Azrai sekadar
menayang senyum, menyambut tawa Abang Man yang lucu akan ceritanya sendiri.
“Macam mana kita
nak tahu kita suka dia bang?”
Mati tawa Abang Man
ditujah soalan itu. Garis suka di wajahnya berubah hairan. “Pertama kali ada
orang lelaki yang tanya aku macam tu. Kau ni tak pernah bercinta ke?”
Senyap. Saif Azrai
tidak menjawab. Hanya matanya tepat memandang muka Abang Man. Spontan
telinganya menyambut nafas halus Abang Man. Kepala Abang Man turut digeleng.
Tidak percaya.
“Kalau kau rasa tak
senang hati bila tak nampak dia, teringin sangat-sangatlah nak tengok muka dia,
nak dengar suara dia pun jadilah. Ha, lebih kurang macam tulah. Maknanya kau
suka dia. Aku nak terangkan pun payah soal hati ni. Sendiri mahu tahulah.”
Saif Azrai diam
semula. Kata-kata Abang Man cuba ditafsir sepantas mungkin. Rumit lagi kompleks
isinya bagi Saif Azrai. Tapi, benarlah kata Abang Man. Mungkin benarlah dia
suka pada Sasha Amira kalau sudah berhari-hari dia meninggalkan pejabat dan
bagai berumah di luar kolej di mana gadis itu belajar.
Hati suka sedangkan
lidah sendiri tidak berani mengaku. Tapi kalau tiba-tiba Saif Azrai luahkan
hati, lari pula Sasha Amira. Kenal sesama sendiri pun mereka tidak pernah.
Hanya pertemuan secara kebetulan sebelum ini. Mungkinkah nanti Sasha Amira akan
menganggapnya mengambil kesempatan? Tapi, apa pula bezanya dengan apa yang dia
lakukan sekarang? Saif Azrai berfikir-fikir.
“Aku ni pun
bukannya pro bab cinta ni. Bab-bab hati perempuan ni pun, kalau kau tanya aku
memang fail. Tapi kalau dah suka tapi
terus nak malu-malu kucing tak mahu mengaku, nanti sendiri yang gigit jari.
Bila orang lain yang masuk line, kau
tengok ajelah dia naik pelamin!” Abang Man sambung gelak. Sempat penamparnya
singgah pula ke peha Saif Azrai sebelum bangun semula ke gerainya.
Saif Azrai
memandang saja Abang Man pergi. Betul juga cakap Abang Man tadi. Baik, kalau
caranya tidak berkesan kali ini Saif Azrai masih ada plan B!
Telefon diraih dari
kocek seluar lalu jarinya disorong atas skrin. Seketika, dia menanti panggilan
dijawab.
“Helo, ma...”
Krukk! Krukk!
Zaimah meraba
perut. Sudah makin rancak perutnya berlagu sejak ditahan dari dalam kuliah
tadi. Terus saja Zaimah menarik tangan Sasha Amira.
“Kenapa pula ni?”
Sasha Amira menyoal. Langkah Intan Nazira turut terhenti lalu menoleh ke
belakang.
“Aku laparlah...
jom pergi makan!” ajak Zaimah bersama muncung di bibir. Tangannya terus meraba
perut yang terus menyanyi.
“Alah, dah nak
sampai kat kereta dah ni. Sabarlah dulu. Nanti kita singgah makan.”
“Aku tak kesah tapi
perut aku ni dah tak tahan lagi...”
“Apasal dengan
perut kau? Ada isi eh yang tak tahan nak makan?” Intan Nazira menyampuk dalam
nada seloroh.
Zaimah tarik
muncung. Jenaka Intan Nazira langsung tidak kelakar. Hendak mengata perut
Zaimah buncit macam perempuan berbadan dualah tu. Tidak sedar badan sendiri
kering macam papan, ada hati hendak megutuk Zaimah hari-hari! Desusnya dalam
hati.
“Perut aku dah
berkeroncong sakan ni! Jomlah teman aku pergi cari makanan. Dapat burger pun
jadilah. Buat alas perut...”
“Burger? Tak mahulah
aku! Sabarlah, nanti kita pergi kedai makanlah!” Sasha Amira menolak keras.
Kalau gerai burger lelaki itu yang Zaimah maksudkan, memang cari nahas. Tapi
mana ada gerai burger lain dekat sini. Itu sajalah satu-satunya. Tidak ingin
Sasha Amira pergi ke gerai itu.
“Ah, kalau kau tak
nak pergi sudahlah. Kau tunggu aku dekat kereta dulu tau. Aku nak pergi beli
burger kejap. Lapar sangat ni!”
“Hei, aku haramkan
kau pergi gerai tu!”
Zaimah kembali
menoleh ke arah Sasha Amira. Ni apahal pula ni? “Apasal pula haram-haram ni?
Kalau aku tak pergi gerai tu, macam mana aku nak beli burger?”
“Tak payah beli!
Beli aje kat tempat lain!”
Zaimah hempas
keluhan. Malas dia mahu melayan cakap Sasha Amira. Lantaklah kalau Sasha Amira
hendak haramkan ke apa. Apa yang penting, perutnya perlu diisi dan tekaknya
pula teringin hendak menjamah burger di gerai itu lagi. Teringat rasa sebelum
ini, memang sedap!
Sementara Sasha
Amira sudah mengetap bibir kerana menahan geram bila melihat Zaimah meneruskan
langkahnya. Mahu diheretnya Zaimah masuk ke kereta, sudah macam orang naik
minyak pula. Masakan hanya kerana gerai burger itu, Sasha Amira mahu tunjuk
berang tiba-tiba. Tidak masuk dek akal. Kenapa pula Sasha Amira hendak marah?
Biarlah kalau betul pun lelaki itu jual burger dekat situ. Cari makan. Lantak
dialah!
Sasha Amira
menjeling gelagat Zaimah di belakang melalui cermin pandang belakang. Tidak
senang hati dia memandu bila telinganya asyik menangkap bunyi dari mulut
Zaimah. Lapar benar nampaknya kawannya itu.
“Amboi! Sedap
sangat ke burger tu sampai menjilat jari segala?”
Sasha Amira
menjeling pula ke sebelah apabila suara Intan Nazira memecah ruang yang sunyi
sepi melainkan suara kunyahan Zaimah tadi. Rupanya Intan Nazira juga perasan.
Beria benar Zaimah mengunyah burgernya. Dijelingnya juga bungkusan plastik di
sebelah Zaimah. Alas perut apa kalau sudah menelan tiga biji burger?
Zaimah mengunyah
baki burger di tangan. Kertas pembungkus direnyuk ke dalam beg plastik.
Kemudian jarinya dijilat lagi. “Emm.. memang sedap tapi bukan mamat handsome tempoh hari yang buat burger ni
tadi. Kalau dia buat, mesti burger ni lagi best!
Boleh juga dapat free kut! Tapi lepas
aku bayar baru dia muncul.” Lambat Zaimah menjawab. Sedih saja bunyinya.
“Sedap sebab mamat handsome ke sebab free?” Intan Nazira menyoal lagi.
Zaimah sudah
bersandar ke kusyen kereta. Perut yang tadi sibuk berdondang sayang sudah pun
berisi penuh. Soalan Intan Nazira yang ringkas juga memakan masa yang lama
untuk dia mentafsirnya. “Dua-dua kut!” jawab Zaimah sambil gelak kecil.
“Kau ni nak makan
burger ke nak jamah muka mamat tu?!” Keras soalan itu diajukan Sasha Amira
membuatkan kedua-dua kawannya menoleh serentak. Boleh katakan bergemalah kereta
ni dek suara lantang Sasha Amira tadi.
“Kau ni cemburu ke
apa?” Lantas Intan Nazira menegur seraya menolak perlahan bahu Sasha Amira.
“Takkanlah kau dah betul-betul suka dekat teman lelaki palsu kau tu? Hei, dia
cuma mamat jual burger ajelah!”
Sasha Amira pula
menoleh namun tidak lama. Seketika, pandangannya kembali ke depan. Matanya
terkebil-kebil. Cemburu? Suka? Ah, tak mungkin... tak mungkin!
“Eh, tapi mamat handsome tu tadi kan...” Zaimah lekas katup
mulut tanpa menghabiskan ayatnya. Berderau darahnya mengenangkan pesan lelaki
itu. Kalau Zaimah bocorkan tembelang, mesti Zaimah rasa bersalah nanti. Ish,
mulut ni! Laju sangat nak beritahu semua. Nasib baik sempat brek! Getusnya.
Sasha Amira dan
Intan Nazira masing-masing sudah melirik lagak Zaimah.
“Kenapa dengan
mamat tu?” soal Intan Nazira tidak sabar. “Cakap tu biarlah habis. Jangan nak
separuh-separuh aje, buat orang tertanya-tanya!” Intan Nazira sudah menjeling.
“Err...” Zaimah
menelan liur. Pembalut burger dalam beg plastik pura-pura diperkemas lalu
plastik itu diikat kuat. Sedangkan otaknya ligat memikirkan helah.
“Kau dah kenyang
ni, tak payahlah kita singgah makan lagi kan?” Pantas Sasha Amira mengubah
topik bila melihat gelagat Zaimah yang terkalut-kalut di belakang. Hai, Zaimah
memang tidak pernah menang dengan Intan Nazira.
Sudah
terkalut-kalut begitu, adalah hal yang disoroknya. Entah-entah Zaimah pula yang
sudah berkenan pada lelaki burger tersebut. Kalau betul, selamatlah Sasha
Amira. Tidak perlu Sasha Amira susah hati hendak lari daripada lelaki itu. Biar
Zaimah saja yang menggantikan tempatnya. Itulah apa yang difikirkan Sasha
Amira.
“Eh, singgahlah!
Aku laparlah!”
Intan Nazira terus
mencebik. “Kau ni ada bela jin ke apa? Melantak tiga biji burger pun tak
kenyang? Mana tak tayar kat perut tu makin bertingkat-tingkat.” Intan Nazira
menyakat lalu dia tertawa kecil sendiri.
Eii... dia buat
lagi! Geram sungguh hati Zaimah mendengar sindiran Intan Nazira. Nasib baik
kawan sendiri. Kalau orang lain, memang sudah makan tapak kasut Zaimahlah
jawabnya. Sasha Amira pun boleh gelak sama.
No comments:
Post a Comment