Kereta yang dipandu
Saif Azrai masuk ke kotak parkir. Seketika kemudian, kereta itu berhenti. Saif
Azrai dan Sasha Amira keluar serentak. Sasha Amira berjalan ke depan Saif
Azrai. Muka lelaki itu sekadar dipandang sekilas. Pintu depan pemandu diselak
lantas Sasha Amira mencapai kunci. Serta-merta enjin kereta dimatikan.
“Petang nanti biar
aku bawa sendiri. Jadi, kau tak perlu tunggu.” Pendek pesanan Sasha Amira lalu
setelah pintu ditutupnya semula. Tidak sempat Saif Azrai mahu bersuara, Sasha
Amira terlebih dulu panjangkan langkah berlalu meninggalkannya. Punat merah
pada kekunci ditekan sekali dari jauh. Serta-merta bunyi bip kedengaran.
Sengaja Sasha Amira
tidak mahu melihat lama wajah Saif Azrai. Cukuplah dia ikut saja tanpa banyak
kerenah pagi tadi. Petang ini, kalau boleh Sasha Amira tidak mahu melihat
lelaki itu. Malu Sasha Amira bila ramai temannya sudah tahu yang dia datang dan
balik berjemput. Huh! Macam suami isteri!
Saif Azrai tergamam
sedikit. Tidak dia duga yang Sasha Amira akan bertindak begitu. Kalau dia tahu,
awal-awal lagi dia sudah sorokkan kunci dalam kocek seluar. Kalau berani,
ambillah.
Kakinya masih di
situ. Memerhatikan Sasha Amira dari jauh. Hai, dah nasib badan. Saif Azrai
pasrah. Tidak serik-serik agaknya gadis itu. Kalau Puan Damia dan Encik Rahim
nampak dia balik sendiri, duit poketnya juga yang disekat. Entah-entah Sasha
Amira sudah merancang alasan yang kesudahannya kesalahan diletakkan atas bahu Saif
Azrai. Ish! Saif Azrai tepis andaian buruk dalam fikirannya jauh-jauh. Biarlah
apa yang gadis itu hendak buat. Kalau tidak disuruh tunggu, Saif Azrai tetap
akan tunggu.
Britt!
Telefonnya pula
berdering juga bergegar dalam poket. Lantas diraih dan dijawab terus.
“Yo, bro!”
Astagfirullah. Saif
Azrai hempas nafas halus. Lantas Saif Azrai terus mencelah sebelum suara di
telinga meneruskan perbualan. Sebelum kau terus cakap, biar aku bagi ceramah
dulu! Rancangnya sambil senyum sinis.
“Telefon orang tu
patutnya berilah salam dulu. Bukan terus menerjah bro... bro. Kita kan orang
Melayu, Islam pula tu. Bahasa cermin bangsa tau!” Saif Azrai menegur. Serius
bunyinya. Walhal dalam hati mahu tergelak sakan kerana mengusik Izi Helmy.
Selalunya Izi Helmy saja yang kuat menyakat. Ingat Saif Azrai tidak pandai
mengusik? Ha, ambik!
Terus saja Izi
Helmy menelan liur. Hai, baru berapa hari dia tidak mendengar suara sepupunya
itu, belum pun sampai sebulan Saif Azrai pergi mengejar bakal isteri, Izi Helmy
pula yang diceramahkannya. Entah-entah pergi mengaji agama sebab gadis yang
dikejarnya sangat itu agaknya. Ataupun bakal bapa mertua yang seorang ustaz?
“Assalamualaikum,
Ustaz Saif Azrai.” Cepat saja Izi Helmy mendapat akal menyindir sepupunya. Ini
Izi Helmy okey. Bukan susah sangat Izi Helmy hendak fikirkan idea-idea nakal.
Kedengaran suara
halus Saif Azrai tertawa kecil. Hilang sudah nama timangannya dari mulut Izi
Helmy.
“Sibuk sangat ke
memikat hati si burung merpati sampai tak masuk-masuk office lagi? Bro, projek dah makin banyak ni. Aku tak cukup tangan
nak buat. Jangan kata tangan, kaki pun tak cukuplah.” Sempat lagi Izi Helmy
mahu berjenaka sekaligus mengundang tawa Saif Azrai sekali lagi. Sepupunya itu
memang tidak pernah serius. Dalam mesyuarat kakitangan juga tidak pernah dia
tidak berjenaka. Ada saja akalnya bikin letup satu pejabat.
“Excuse me. Untuk pengetahuan kau, aku
tak mainlah nak pikat hati merpati. Aku cuma pikat hati anak orang aje!”
Izi Helmy pula
mencebik bila Saif Azrai pula cuba-cuba meloyar buruk dengannya. Kalau hendak
diberi markah, boleh tahanlah kalau buat orang yang serius macam Saif Azrai
itu. Dua per sepuluh markah kira baik hati lagilah kut!
“Kejap lagi aku
singgahlah pejabat. Kau jangan ke mana-mana pula. Jangan nak sibuk mengekor perempuan
sana sini!”
“Uish! Janganlah
cakap macam tu! Dengar dek buah hati aku, bawa diri pula dia nanti. Melepas
aku!” Panjang muncung Izi Helmy menafikan tuduhan itu sambil tangannya diangkat
tinggi, menandakan dia menyerah diri.
Saif Azrai tergelak
lagi. Kecil saja tawanya tapi hatinya bagai berguling-guling lucu. Tahu pula
kawannya setia pada seorang. Dulu, tidak puas seorang. Keliling pinggang pun
tidak pernah cukup.
“Okey. Jumpa kau
nanti!” Saif Azrai cepat-cepat matikan perbualan sekaligus putuskan talian. Dia
menjeling digit jam di skrin telefon. Hampir jam sebelas. Kepalanya didongak
sedikit ke langit. Fuh! Panas terik. Kalaulah kereta kesayangannya ada di sini,
senang juga hidupnya hendak ke sana ke sini. Tapi disebabkan rancangannya untuk
Sasha Amira, semua itu terpaksa disimpan rapi di rumah. Sekarang, terpaksalah
cari alternatif lain untuk bergerak.
Encik Rahim
mengucap panjang mendengar cadangan Puan Damia. Hendak tayang terkejut,
bukannya Puan Damia dapat melihat dari corong telefon. Hendak menaikkan suara,
nanti terkejut pula bininya itu. Tidak pernah-pernah Encik Rahim meninggi
suara. Tapi kali ini Encik Rahim betul-betul terkejut. Ada saja agenda Puan
Damia untuk satu-satunya anaknya yang masih bujang. Apatah lagi rancangan itu
kurang molek bagi Encik Rahim.
“Awak ni biar
benar, Mia. Takkanlah sampai ke situ awak nak anak kita kahwin. Kalau ya pun,
biarlah calon tu biar elok dan sepadan dengan Sasha tu.” Lembut teguran Encik
Rahim. Namun ada tegas dalam kelembutan itu.
“Apa yang tak eloknya,
bang. Saya tengok Azrai tu baik budaknya. Kacak pun kacak. Tak ada kuranglah
luar dan dalamnya.”
Encik Rahim
menggeleng sendiri. Kerja yang bertimbun di depan tidak lagi menjadi tumpuan.
Sekejap lagi sajalah dia sambung semula.
“Saya tak kata perangai
atau rupa dia tu tak elok. Tapi kita pun tak tahu asal usul dia, fasal keluarga
dia. Takkanlah awak nak main tangkap muat aje semata-mata nak puaskan hati
tengok anak awak tu kahwin. Kahwin ni bukannya kalau tak suka, sehari dah
cerai.”
“Ha, itulah yang
saya nak bincang dengan abang ni.” Puan Damia makin beria. Memang sudah lama
dia buat rancangan. Hanya menunggu masa untuk berbincang dengan suaminya.
Hendak bercakap di rumah, asyik terlupa. Alang-alang sudah teringat, terus saja
dia angkat ganggang tadi. “Abang selidiklah latar belakang si Azrai tu.
Tanya-tanyalah sikit dekat budak tu. Siapa mak ayah dia, keluarga dia dekat
mana. Pasal pelajaran tu tak payahlah kisah sangat. Anak kita tu pun bukannya
tinggi belajarnya. Asal baik budi pekerti, keluarga dari yang baik-baik, ha!
Dah cukup baik.”
Fuh, semangat!
Perlahan-lahan Encik Rahim menarik nafas. Berat. Berat. Encik Rahim pula sudah
terlibat sama dalam rancangan Puan Damia. Tapi sebagai seorang bapa, memang
Sasha Amira sudah menjadi tanggungjawabnya. Tugasnya juga untuk mencari suami
yang terbaik buat anak perempuannya. Kebahagiaan Sasha Amira berada di tangan
Encik Rahim. Memang berat tanggungjawab yang digalas seorang bapa tapi itulah
yang sepatutnya.
Izi Helmy gelak
besar. Kalau boleh sanggup dia guling atas lantai pejabat. Lawak benar cerita
Saif Azrai yang sampai ke telinga. Lucu sungguh, kasihan pun ada.
“Kesian kau, Dino!”
Bergema suara Izi Helmy bersama tawa yang masih berbaki. Bahu Saif Azrai
ditepuk sekali dua. Dalam pada itu, nafas ditarik dalam-dalam. Sesak dada
menahan lucu yang teramat.
Saif Azrai tersenyum
sambil mengerling riak Izi Helmy. Seronok benar nampaknya Izi Helmy
mentertawakan ceritanya tadi. Tidak apa. Ketawalah puas-puas selagi mampu.
“Boleh tahan garang
awek kau tu ya! Sama ada awek tu memang garang tak bertempat, atau pun kau tu
yang tak pandai ambil hati perempuan!”
Berdesing telinga
Saif Azrai mendengar kenyataan itu. Ambil hati perempuan? Ini mesti Izi Helmy
sudah mula hendak tunjuk terer. Sekejap lagi mulalah syarahan dan tips dia
tentang cara-cara memikat hati perempuan.
“Perempuan ni suka
kalau kita manjakan dia, puji dia berlambak-lambak sampai ke langit, sayang dia
bagai nak rak. Ish, cakap banyak pun payah. Nak kena demo baru kau faham!” Nada
Izi Helmy berbau sinis sambil tersenyum lebar hingga ke telinga. Tidak langsung
Saif Azrai boleh terima. Pantas saja bibirnya diceberkan ke bawah. Izi Helmy
tetap Izi Helmy tapi Saif Azrai bukan Izi Helmy. Itu kenyataannya.
“Tak payah nak
demo-demo. Aku tak perlukan demo buaya darat yang pun kalah depan buah hati aku
tu.”
“Alah, masa tu dia
yang tak beri peluang. Datang-datang dah cekup tangan lelaki lain. Cuba bagi
aku mengayat sikit, sikit aje... confirm
dia jatuh hati punya!” Beria Izi Helmy mempertahankan diri lalu memetik jari di
hujung ayatnya. Yakin sungguh dia.
Sedangkan Saif
Azrai menjebik lagi. Tidak mahunya dia percaya cakap sepupunya. Kalau betul
hendak mengayat, kenapa tidak teruskan saja? Sebab Saif Azrailah lelaki yang
dicekup Sasha Amira atau cik Aina, buah hatinya yang jadi alasan? Lantak kaulah
Izi Helmy, asalkan kau bahagia...
“Tapi aku
hairanlah. Macam mana kau boleh sangkut pula dengan awek tu?” Izi Helmy menyoal
smabil berkerut-kerut. Jarinya mengurut-ngurut dagu, lagak memikirkan jawapan
bagi kemusykilan yang berlegar di benaknya sekarang. Belum sempay Saif Azrai
mahu buka mulut, suara Izi Helmy sekali lagi bergegar. “Ah, biarlah dulu. Jom
kita pergi makan. Aku pun dah lama tak lepak dengan kau. Nanti, kau bolehlah
sambung cerita kau. Banyak yang aku nak tahu ni!” Izi Helmy mengajak. Mendengar
kata-kata terakhir Izi Helmy memang Saif Azrai telan liur. Banyak yang hendak
ditahunya? Huh! Habis semualah hendak dikoreknya nanti. Tapi Saif Azrai
turutkan juga.
Keluar saja kaki
dari bilik Izi Helmy, langkah Saif Azrai terhenti. Tawa dan senyum Izi Helmy
yang tadi riang juga mati apabila Datuk Rauf lalu di depan.
“Ha, Azrai. Dah
balik?” Pendek soalan Datuk Rauf tatkala terpandang anaknya. Saif Azrai
tersenyum saja menyapa Datuk Rauf.
Mata Intan Nazira
melingas ke sekeliling pejabat yang besar itu. Kemudian bibirnya membentuk senyum
apabila sudah terlihat orang yang dicari. Tangannya diangkat tinggi, melambai
ke arah seorang lelaki sambil memanggil namanya. Lelaki itu menoleh. Membalas
senyum dan kemudian kelihatan dia menyusun beberapa helai kertas di atas meja.
Dengan tenang dan segak, lelaki itu berjalan ke arah Intan Nazira.
Senyum Intan Nazira
kian melebar. Lengan lelaki itu lekas dipautnya manja. “Cepatlah bang! Intan
dah lapar ni.”
“Janganlah macam
ni. Nanti kawan-kawan abang ingat Intan teman wanita abang pula!” Telah Fauzi
lalu tangan Intan Nazira ditolak perlahan. Sekaligus perbuatannya itu
mengundang muncung Intan Nazira. Tidak lama, ia bertukar menjadi senyuman
nakal.
“Ha, ni mesti abang
ada berkenan dekat sesiapa dalam office
ni kan?” Dia cuba meneka. Namun abangnya itu langsung tidak endah. Laju saja
dia melangkah. Ha, betul agaknya tekaan Intan Nazira. Pantas saja Intan Nazira
terus mengusik abangnya.
Keluar dari lif,
mereka berjalan ke kawasan parkir. Intan Nazira tidak sudah lagi mahu mengorek
cerita tapi Fauzi setenang mungkin tidak mahu bercerita. Tiba-tiba Fauzi
berhenti. Dirabanya kocek seluar berkali-kali.
“Kenapa bang?”
“Alah, abang rasa
abang tertinggal kunci dekat pejabatlah. Intan tunggu dekat sini kejap ya!”
Fauzi terus berlari ke arah lif semula sebaik habis bercakap.
Intan Nazira hempas
keluhan halus. Abangnya itu memang cemerkap orangnya. Ada saja yang tertinggal,
ada saja yang hilang. Dekat rumah pun begitu. Letak telefon merata-rata. Bila
telefonnya berdering baru kelam-kabut mencari. Hai, abang aku ni... Ada ke
patut tinggalkan adik perempuan dekat parkir seorang. Intan Nazira
menggeleng-geleng.
“Actually papa, projek dekat Penang tu
tak ada apa-apa masalah. Azrai yang minta Izi cover. Sorry.” Perlahan suara Saif Azrai menjelaskan pada Datuk
Rauf lantas menekur ke bawah. Dia tidak mahu menipu papa lagi. Kalau Datuk Rauf
tahu akan rancangannya, pasti lebih mudah. Rasanya rancangan ini bakal memakan
masa yang lama. Lagi susah daripada projek-projek yang pernah dia kendalikan.
Datuk Rauf beralih
pula ke muka Izi Helmy. Anak buahnya yang duduk di sebelah Saif Azrai itu
tersengih-sengih.
“Dino ni dah angau
sebenarnya, uncle! Tak lama lagi,
dapatlah uncle menantu!” Lanju
kata-kata itu meluncur dari mulut Izi Helmy. Senyum di bibir dilebarkan. Terus
saja Saif Azrai menoleh dengan mata membulat.
Biar benar! Aku
belum cakap apa-apa lagi, dia pula yang cakap sampai ke situ, tak tengok kiri
kanan!
“Straight to the point kan senang!” ujar
Izi Helmy seakan dapat membaca fikiran Saif Azrai. Lantas dia tersengih lagi.
Keningnya turut dijungkit sekali.
Banyaklah kau! Huh,
tapi bagus juga. Senang kerja! Getus hatinya. Pandangannya kembali bersemuka
dengan Datuk Rauf yang memandangnya hairan.
“Menantu?” Sepatah
Datuk Rauf menyoal.
“Emm... macam tulah
nampaknya papa. Azrai nak minta tolong papa sikit, boleh?”
Bekerut seribu dahi
Datuk Rauf. Ditanyanya kepada Saif Azrai tentang hal yang berlaku di Penang,
cerita baru pula yang timbul. Soal anak menantu bukannya perkara kecil tapi
Saif Azrai hanya memberikan jawapan ringkas itu padanya. Kemudian,
pertolongannya pula yang diminta. Entah apa yang ada dalam fikiran orang muda
sekarang agaknya. Cubalah jelaskan terang-terang dahulu, biar orang tua ini
tidak pening kepala dan tertanya-tanya.
Nafas dihempas
terus. Jam di pergelangan tangan sudah berkali-kali dikerlingnya. Abangnya
masih belum nampak bayang. Lama benar Fauzi naik mencari kunci segugus. Lain
kali gantungkan saja di leher. Tidaklah asyik merata tercari-cari. Kalau telefon
yang tertinggal boleh juga Intan Nazira membuat panggilan. Senang sikit hendak
dicarinya.
Sebaik dia
melepaskan satu lagi keluhan buat sekian kali, Fauzi muncul dari balik lif yang
terbuka. Tenang saja Fauzi berjalan sedangkan Intan Nazira sudah menarik muka.
“Lambatnya!” Keluh
Intan Nazira dengan muncung panjang. Kalau tidak kerana abangnya janji hendak
belanja makan sedap, tidak ingin dia tunggu lama. Awal-awal sudah angkat kaki,
jamah sandwich di kafeteria kolej.
“Alah, adik abang
ni janganlah merajuk pula. Kerja bertimbun hari ni sampai lupa kat mana letak
kunci. Rupanya depan mata!” Fauzi tergelak kecil bersama jawapannya.
Intan Nazira
sekadar mencebik. Sajalah tu hendak beritahu yang dia tu sibuk orangnya. Ah!
Alasan biasa dia dengar.
“Dahlah. Jom! Nanti
habis pula masa rehat abang...” Fauzi terus mengajak. Lantas mereka dua beradik
berjalan menuju ke kereta.
Bunyi saja bip,
Intan Nazira tidak menunggu lama untuk terus masuk ke dalam. Panahan mentari
yang terik terasa perit di kulitnya. Dilihatnya abangnya masih di luar.
Mengangkat tangan sambil bercakap sesuatu. Intan Nazira panjangkan leher ke
depan. Bertegur sapa dengan rakan sepejabat agaknya.
Eh! Tergamam dia
seketika.
“Siapa tadi tu,
bang?” Terus saja Intan Nazira mengajukan soalan itu sebaik Fauzi duduk di
sebelah. Hai, tidak sempat-sempat abangnya itu hendak duduk selesa.
“Oh, bos abang!”
Pendek jawapan Fauzi. lambat-lambat pintu ditutup rapat. Kemudian tali keledar dipasang
ke tubuh.
“Yang mana satu?
Yang baju biru tu ke?”
“Dua-dua. Yang baju
biru tu bos abang, yang seorang lagi bos juga, atas sikit. Anak bos besar
tempat nilah!”
Ha?! Sungguh Intan
Nazira terkejut besar apabila lelaki yang dia kenal sebagai penjual burger itu
rupa-rupanya anak kepada pemilik syarikat besar. Langsung dia diam tidak
bersuara. Kereta yang dipandu abangnya sudah mengundur ke belakang. Lantas mata
Intan Nazira lekas memerhati dua lelaki yang baru hendak masuk ke dalam Forte
berwarna putih. Wajah seorang lelaki yang dikatakan anak bos besar itu diteliti
betul-betul.
Biar betul! Intan
Nazira tidak mahu percaya.
No comments:
Post a Comment